29 December 2010
HADITH ASSIGNMENT FOR KAK LONG & KAK NGAH
28 December 2010
MENJADI YANG TERBAIK, MEMBERI YANG TERBAIK

15 December 2010
DALAM TADBIR KUSUSURI TAKDIR-MU ( Bhgn 2 )
13 December 2010
DALAM TADBIR KUSUSURI TAKDIR-MU

5 December 2010
ENGKAU TERBAIK UNTUKKU (2)
24 November 2010
KITA ADALAH KUNTUMAN MAWAR
22 November 2010
INGIN JADI APA WAHAI ANAKKU?
Tatkala awan putih meliputi langit yang membiru, kepulan-kepulan bak kapas bersih itu pasti bergerak ke satu arah yang sama, mengikut arah tiupan bayu. Liang liuk pepohonan turut menambah kemeriahan alam. Sangat menenang dan mengasyikkan.
Memerhati keharmonian alam saat ini, hati diusik kenangan sewaktu kecil. Mendongakkan kepala ke langit yang tinggi. Bermain dan berimaginasi bersama kawan-kawan sebaya. Pelbagai gambaran yang timbul di fikiran kami ketika melihat awan putih yang melata.
Terdapat kepulan-kepulan awan yang besar bagaikan kepala sang gajah. Ada pula kepulan–kepulan kecil umpama asap yang keluar dari serombong keretapi lama. Tidak kurang juga, gandingan kumpulan awan yang membentuk kelopak bunga putih yang indah.
Semua gambaran itu kami ceritakan dan kongsikan bersama.
Banyak kali imaginasi yang diberitahu kepada rakan-rakan menerima reaksi yang begitu mencuit rasa. Diketawakan, diusik dan pelbagai lagi. Namun semua itu tidak sedikit pun mencarik kemesraan yang terjalin antara kami. Memang indah mengimbas keriangan di usia mentah. Tiada apa yang dirisaukan. Tiada gundah dan gelisah.
Kehidupan tika itu dipenuhi hilai tawa dan senyuman yang panjang.
15 November 2010
SALAM AIDILADHA

11 November 2010
DETIK INI KUPATRI JANJI....

Detik ini kupatri janji, untuk lebih menikmati…
Desir dedaunan ditiup angin malam…
Bersama deruan membelah kesunyian…
Bauan enak dari ayam panggang di dalam ketuhar…
Harum aroma dari secawan kopi hangat…
Menghidu nyaman buah-buahan segar.
Detik ini kupatri janji, untuk lebih menghayati….
Kegigihan sekawan semut menghurung seketul kecil serbuk roti…
Kicauan beburung mencari rezeki dinihari…
Suam-suam terik mentari di musim dingin bersalji…
Layangan lembut sehelai daun ditiup bayu pagi.
Detik ini kupatri janji, untuk lebih menghargai…
Bening mata insan-insan tercinta…
Tangan kecil mengharap dipimpin…
Tangan besar meminta dibelai…
Senyum manja, hilai tawa, tangis hiba…
Bersilih ganti menggugah rasa.
Kuyakini, setiap satu ada nilai tersendiri…
Walau ia mungkin tidak beerti apa-apa pada sesiapa…
Namun padaku, semua itu menambah ‘hidup’ pada kehidupanku...
Selagi ada masa…
Akan kucuba untuk mengotakan kata-kata…
Bahawa setiap ‘mereka’ penting dan berjasa…
Agar tidak kukesali apa yang tidak dapat kunikmati…
Agar tidak kukesali apa yang tidak dapat kuhayati…
Agar tidak kukesali apa yang tidak dapat kuhargai…
3 November 2010
SOLATLAH ANAK-ANAKKU
“Hmm…dah dekat pukul lima dah ni…” saya berbisik di dalam hati sambil mengerling sekilas jadual waktu solat yang ditampal di pintu bilik.
“40 minit lagi dah masuk maghrib…”saya mencongak-congak sendiri.
Di tingkat bawah, riuh rendah suara anak-anak bermain menerobos masuk ke cuping telinga. Sesekali tercuit juga mendengar telatah mereka berbual dan bergurau. Usik mengusik dan saling berbalas kata hingga banyak kali si kecil Solehah menangis akibat dikenakan oleh kakak-kakak dan abangnya, Khalil.
“Hmmm, asyik betul bermain….” Bisikan di hati bertemali.
Di luar rumah, suasana terang kian kelam. Siang pergi, malam pula mengambil ruang untuk mengabdikan ‘diri’. Bukti ketaatan yang tidak pernah culas kepda Pencipta Yang maha Suci.
28 October 2010
ANDAI SEMUA ITU BELUM CUKUP!
22 October 2010
SEDIKIT PENJELASAN

Sebenarnya, saya berazam untuk tidak melanjutkan perbincangan tentang rumahtangga selepas entri : Sinergi 1,2 dan 3 yang lalu, tetapi memang sukar nampaknya; kerana berbicara tentang perkahwinan dan hubungan suami isteri tidak ada satu pun yang remeh dan kecil. Semuanya penting dan besar bagi saya.
Tidak pernah saya lupa kepada peribahasa ‘orang-orang’ kita, It takes two to tango :)
Bertepuk sebelah tangan, manakan ada bunyinya!
Kerana itu saya tidak pernah menafikan peranan dan tanggungjawab lelaki ( suami ) untuk mengemudi bahtera rumahtangga. Lebih-lebih lagi lelaki dihalakan di dalam masyarakat dan agama yang mulia ini sebagai teraju utama kepimpinan sesebuah keluarga.
20 October 2010
SINERGI 1,2 DAN 3 : Kekuatan Cinta Seorang Isteri

Hari ini buat kesekian kalinya saya menerima beberapa emel berkisar masalah rumahtangga. Saya tidak dapat menyembunyikan rasa hiba dan sedikit terganggu dengan beberapa luahan dari pihak isteri. Baris demi baris saya baca dan amati sebaiknya.
Bukan seorang dua, malahan sebahagian besar emel yang diterima, sehinggakan ruang berbual di kotak sembang di blog saya juga mengenengahkan masalah yang hampir sama.
Kesemua mereka meminta pandangan bagaimana harus berhadapan dengan sikap suami yang tidak pandai memujuk, bermesra membelai, bahkan sebahagiannya panas baran, suka mengherdik, menengking dan memukul tubuh badan.Dari awal saya menulis dan menyentuh aspek hubungan kekeluargaan, terutama pendirian saya berkait hubungan suami isteri, saya pasti lebih cenderung untuk membicarakan tindak tanduk isteri; apakah peranan yang perlu para isteri laksanakan untuk mencipta ketenangan dalam rumahtangga, juga perbincangan hak-hak seorang suami yang wajib dipenuhi sebagai satu bentuk ketaatan para isteri kepada suruhan ILAHI.
Mengapa harus isteri sahaja di’kenakan’ sepanjang masa? Tidakkah saya merasa belas? Adakah saya tidak memahami?
Ada beberapa sebab untuk saya menjawab persoalan itu.
12 October 2010
KALKULATOR CINTA
Berulangkali.
Membaca beberapa komen teman-teman lewat status saya di fb, semakin menambah kekuatan saya berimaginasi.
Angan-angan saya, alangkah baiknya, jika ada satu alat yang berfungsi seperti sebuah mesin kira-kira, yang boleh digunakan untuk aktiviti tambah, tolak, darab dan bahagi. Cuma kelainannya ialah subjek yang dihitung bukanlah satu benda, tetapi adalah sebuah cinta.
‘Kalkulator cinta’.**

Saya cuba membayang-bayangkan aplikasinya.
Andai seorang suami melafazkan puji-pujian kepada isteri tersayang, disertai ucapan, I love you my dear, maka aktiviti tambah akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, ucapan cinta menambah bahagia, membuatkan seorang isteri rasa dikasihi dan dihargai.
‘Suami, ucapan cinta, romantik + CINTA = isteri gembira = rasa bahagia.
Saya berangan-angan lagi.
Andai seorang suami menegur gaya berpakaian isteri sebelum keluar membeli di pasar tani dengan kata-kata : ‘Cantiknya awak hari ni! Macam nak pergi mengurat mamat benggali!’. Maka aktiviti tolak akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, kata-kata yang kasar amat dibenci oleh seorang isteri, walaupun teguran yang diberi adalah benar demi kasih dan cinta suami kepada isteri.
‘Suami, sindir, perli – CINTA = isteri terasa hati = masam mencuka wajahnya sehari.
7 October 2010
JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Buat renungan suami isteri
“Karipap pun sama…”suami menambah bicara tanpa sempat saya menjawab sepatah dua.
30 September 2010
AKU MENYINTAIMU ( ? )

Betapa besar cinta dan sayang seorang ibu, demi seorang anak, dia sanggup berjaga malam, tidurnya hanya tidur-tidur ayam.
Mimpilah apa sahaja; baik mimpi yang menakutkan, mimpi hiba yang mengalirkan air mata, atau mimpi indah bulan jatuh ke riba, tangisan seorang anak di tengah malam pasti membangunkan seorang ibu dari terus diulit lena. Lalu dia bersegera mendapatkan anaknya, menenangkannya agar si anak kembali melelapkan mata.
Namun, diri ini menginsafi tatkala membaca bait-bait bermakna ini :
عَنْ عُمَرَبْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَدِمَ عَلَيَّ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِسَبِيٍّ فَاِذَاامْرَأَةٌ مِنَ السَّبِيِّ تَبْتَغِى اِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِى السَّبِيِّ أَخَذَتْهُ فَاَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ فَقَالَ لَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَتَرَوْنَ هَذِهِ اْلمَرْأَةَ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِى النَّارِ قُلْنَا لاَ وَاللهِ وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ تَطْرَحَهُ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم اَللهُ اَرْحَمُ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا
Maksudnya : Dari Umar bin al Khattab RA berkata:“Bahwa beliau datang menghadap Rasulullah SAW dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu ketika ia mendapatkan seorang anak di antara tawanan tersebut, dia langsung mengambil anak itu lalu memeluknya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi ALLAH, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH lebih mengasihi hamba-NYA daripada wanita ini terhadap anaknya.” ( Hadis Sahih riwayat Muslim no.4947 )
25 September 2010
MOGA BARAKAH ITU KITA RAIH
Ramadan semakin jauh pergi. Syawal juga bakal berakhir, tidak lama sahaja lagi. Kehangatan sambutan Aidilfitri di Leicester juga sudah berlalu, tidak sehangat sebagaimana Syawal pertama, kedua dan ketiga dua minggu yang lalu. Kalaupun ada, mungkin suam-suam kuku sahaja panasnya, kerana meneruskan ibadah puasa enam, juga melunaskan hutang puasa Ramadan bagi kaum perempuan.
Semuanya kembali normal. Rentak hidup kini mengulangi rutin biasa pada bulan-bulan sebelum Ramadan tiba.
Sedangkan saya….
Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali sejak hari-hari terakhir Ramadan, hanya membuka dan merenung kosong ke arah paparan utama blog ummuhusna99 dengan hasrat agar keinginan untuk menulis kembali menjelma. Beberapa emel yang tiba, yang di antaranya mengenengahkan persoalan tentang barakah di dalam rumahtangga, juga belum cukup mencuit jiwa saya untuk membalasnya. Persoalan yang ada hanya saya baca di dalam jiwa :
“Assalamualaikum wbt Kak Ina,
Dah lama dah saya membaca blog Kak Ina dan alhamdulillah
banyak yang saya belajar dari situ...
Saya cuma nak tanya pada Kak Ina
tentang apa yg dimaksudkan dengan 'barakah' dalam perkahwinan. Selalunya bila
ada pernikahan, kita akan ucapkan 'barakallahu lakuma', apa yang kita maksudkan
dengan doa itu? adakah kebahagiaan, keredhaan Allah dan zuriat sahaja?Harap akak dapat bantu saya, ataupun jika ada artikel yang
boleh saya baca berkaitan ini. Kalau Kak Ina sibuk sekarang,bolehlah
ditangguhkan dulu sampai Kak Ina berkelapangan.Semoga Kak Ina sekeluarga dirahmati Allah.”
Terasa amat bersalah, namun, keinginan menulis nampaknya belum menyerlah. Idea ada, tetapi upaya dan daya kurang membara. Ditambah, halangan untuk menterjemah idea di kepala sering tergendala dek berebut menggunakan komputer dengan anakanda bertiga. Kak Long, Kak Ngah dan Khalil yang sudah memulakan semester baru persekolahan di bulan September ini.
Komputer yang biasa mereka gunakan entah mengapa tidak berfungsi tiba-tiba, lalu komputer desktop saya menjadi sasaran mereka. Lagi pula, niat untuk melipatgandakan amalan dan ibadah di penghujung bulan yang barakah itu, turut mengurangkan hasrat untuk menulis dan berkarya.
Selesai menyambut Syawal, saya cuba pula menukar ‘layout’ dan penampilan blog. Mana tahu, semangat untuk meninta di layar kaca berubah cuacanya..dari mendung kepada bersinar cerah semula. Tetapi, masih hampa. Awan mendung belum mahu berarak pergi, masih tebal menyelubungi diri.
Sehinggalah…
9 September 2010
Salam lebaran...

Gerbang Syawal semakin menghampiri, Ramadan yang berkunjung,
akan berlalu pergi.
Syawal yang tiba, sambutlah ia dengan tasbih, tahmid dan takbir yang memenuhi ruang jiwa,
Agar denai berliku yang telah, masih dan akan kita lalui untuk menuju kemenangan hakiki,
Akan terus kita tempuhi dengan sabar dan percaya kepada bantuan Yang maha Esa.
4 September 2010
AGAR CINTA ISTERIMU TERJAMIN UNTUKMU...
28 August 2010
ANDAI RASULULLAH BERSAMA KITA....
27 August 2010
KATALOG BUKU KARYA BESTARI
Semoga beroleh manfaat.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
25 August 2010
SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU
21 August 2010
BICARALAH ATAS NAMA KASIH
17 August 2010
RAMADAN : JANGAN SAMPAI RETAK!

“Kak Ngah, tak baik asyik mengeluh lapar…cuba banyakkan sabar,” nasihat saya dengan kerutan di dahi. Tanda kurang berpuas hati dengan sikapnya ini. Mendengar itu dia diam. Bibirnya mencebik masam, wajah dan kepalanya tunduk menekur ke lantai.
“Rasa lapar memang biasa masa berpuasa ni,nak… supaya kita merasai bagaimana orang yang susah dan menderita kelaparan. Kalau nak bandingkan apa yang kita rasa masa puasa ni dengan keadaan mereka, tentulah kita jauh lebih baik. Kita masih boleh berbuka puasa dengan makanan yang sedap-sedap sedangkan mereka, nak dapat makan pun susah,” saya menambah.
“Sebab tu, kena banyak sebut Alhamdulillah dari asyik mengeluh lapar,” saya menyambung kata-kata.
Kak Ngah terus membisu. Namun, raut wajahnya berubah. Kelihatan pilu dan sayu. Mungkin, sedikit sebanyak nasihat saya tadi berbekas di hatinya. Saya tahu, dia seorang yang mudah kasihan belas. Melihat foto-foto kesusahan orang lain sahaja boleh menyebabkan air matanya mengalir deras.
Saya membiarkan Kak Ngah melayan gelodak jiwanya sambil meninjau kegiatan anak-anak lain di ruang bacaan. Khalil leka bermain. Solehah pula telah lama dibuai mimpi, sementara Kak long, seperti biasa, tenggelam dalam keasyikannya melukis dan berkreativiti.
10 August 2010
RAMADAN KAREEM
"Allahumma a'inna..."
RAMADAN KAREEM.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
5 August 2010
KECIL YANG BESAR, SEDIKIT YANG BANYAK
Mendengar kisah yang sungguh mengkagumkan ini, bagai terbayang di depan mata keikhlasan dan kemurnian jiwa yang dimiliki oleh mereka, wanita-wanita biasa tetapi luar biasa pada pandangan Allah dan Rasul-NYA. Itulah yang menjadikan mereka begitu istimewa.
Sungguhpun ada di kalangan mereka bukan dari kalangan berharta, bukan juga bangsawan ternama atau jauh dari dikenali ramai sebagai golongan ilmuwan dan bijak pandai, namun bakti kecil yang dicurahkan oleh setiap seorang dari mereka untuk Islam tetap terpandang dan dijulang.

Beliau merupakan figur penting dalam bidang dakwah Islam dan telah menulis lebih dari dua puluh karya yang diterbitkan. Salah sebuah darinya bertajuk : Istamti’ bihayatik ( Nikmati kehidupanmu ) yang dihadiahkan oleh suami sebaik kepulangan beliau dari Bahrin tidak lama dulu.
31 July 2010
ANDAI MENYAYANGIKU....

Jangan merimbun puji dan pujamu padaku..
Tapi, hujani aku dengan ingatan berisi cinta-NYA..
Kalam agung menjulang kehebatan Maha Pencipta…
Sabda Nabi yang lebih dulu menebarkan cinta buat ummatnya.
Pujian hanya mengurangi imanku…
Puja banyak menebalkan mazmumahku….
Panjang angan-anganku…
Lalu terlena diulit mimpi-mimpi nafsu.
Hanya peringatan dengan kasih menyedarkan…
Merentap keasyikan mimpi palsu bawaan syaitan…
Biar aku merintih dalam keinsafan…
Biar aku menangis mengenang kekhilafan…
Dari tersenyum tanpa nilai…
Apatah lagi tertawa yang membinasakan…
Sahabat….
Andai benar kalian menyayangiku….
Tebarkan wangian dalam persahabatan…
Agar harum kasih ikatan dan ukhuwwah ini…
Berpanjangan hingga ke syurga idaman…
Sahabatku…
Sayangi aku kerana-NYA…
Dan aku pasti menyayangimu jua kerana cinta-NYA.
**************
STICKY POST : SOLUSI ISU KE-22

http://www.stormreaders.net/aslina
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang AKU, Maka (jawablah), bahwasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." ( Surah al Baqarah ayat 186 )
30 July 2010
KUIMPIKAN KELUARGA 'S-M-R'

Bahagia, harmoni dan sejahtera,
Dengan cinta, hikmah, dan tawa ria,
Bukan dengan gelar, harta dan wang berjuta.
Kuimpikan rumahtangga,
Bahagia dalam sederhana,
Harmoni dalam ibadah,
sejahtera dari keluh kesah.
Kuimpikan keluarga,
Walau kehidupan bertandang pancaroba,
Tangan bertaut, saling menyokong,
Salah dan silap, dinasihati dengan cinta,
Kebaikan bukan untuk diri, tapi seluruh ahli di dalamnya..
Kuimpikan rumahtangga,
Bersinar indah bukan dek perhiasan mewah,
Tetapi kerana kasih sayang berpandu ajaran-NYA,
Mencambah sakinah, mawaddah wa rahmah.
Kuimpikan…
keluarga SMR…
InsyaAllah.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
29 July 2010
DI SEBALIK CEBISAN KAIN ITU...

Saya bersyukur kerana bermula dengan artikel bertajuk : Antara dua cinta sehingga yang terbaru : Jangan buka diri, saya melihat suatu perkembangan perbincangan yang baik dan penuh kesedaran di dalam diri pembaca untuk menilai tahap penutupan aurat di dalam diri masing-masing. Bukan sekadar pakaian, penampilan, pembawaan diri, pergaulan dan batasannya, malahan gambar-gambar yang tersebar di ruang cyber juga harus diambil kira oleh seseorang muslimah dalam menentukan tahap kesempurnaan penutupan aurat dan hijabnya.
Walaupun tidak semua persoalan yang timbul, dapat saya balas dan memberi pandangan, tetapi saya mengharapkan segala butiran yang ditulis di dalam setiap artikel tersebut dapat memberikan serba sedikit gambaran tentang ‘penutupan aurat’ dan berhijab yang sewajarnya diusahakan oleh setiap wanita Islam.
Terbaru, timbul satu persoalan mengenai hukum pemakaian purdah atau niqab. Ia bertitiktolak dari artikel saya yang bertajuk : Menggenggam bara api, yang membicarakan di dalamnya tentang kekangan yang dihadapi oleh kelompok muslimat berpurdah di Perancis.
24 July 2010
MENGGENGGAM BARA API...
Lima botol arak dengan label bertinta nama lima jutawan tersebut, seolah-olah menggambarkan bahawa itulah jenama yang akan diletakkan pada perusahaan dan botol minuman berkenaan sekiranya mereka melabur kelak. Ia jelas menampakkan kesungguhan Jeff untuk ‘mengambil hati’ kelima-lima mereka.
“Ok..i understand,” balas Jeff sedikit terkilan bila mendengar penarikan diri James Caan.
Saya dan suami berpandangan. Kami saling berbalas senyuman. Terserlah kekaguman pada sinar mata suami. Saya apatah lagi. Kagum bercampur syukur atas pendiriannya itu. Perasaan ini kami kongsi bersama ketika menonton episod pertama, Dragons Den siri ke 8 pada hari Rabu, 14 Julai yang lalu.
Ia adalah sebuah siri realiti tv di mana lima orang pelabur yang juga merupakan pengusaha berjaya ditugaskan mengadili para peserta yang memerlukan dana untuk memulai atau mengembangkan perniagaan mereka. Kelima-lima pelabur itu diberi jolokan The Dragons, sebagai melambangkan kejayaan dan kekuasaan mereka dalam arena perusahaan dan bisnes walaupun rata-rata mereka memulakan perniagaan dari angka sifar.
18 July 2010
16 July 2010
13 July 2010
ZURIAT BERKAT

“InsyaAllah, As ok..” balas saya. Si kecil Husna, terus leka bermain. Manakan dapat dia memahami resah dan debar yang sedang membelenggu jiwa ayah dan ummi.
“Rasanya, lambat lagi ni. Lagipun, tempat kuliah abang malam ni tak berapa jauh kan…abang pergilah. Kasihan pula para jemaah yang menunggu,” saran saya dengan nada memujuk bertujuan menenangkan debar dan ragu.
Sembilan bulan berlalu, dan hasil pemeriksaan doktor sewaktu rawatan antenatal petang tadi menunjukkan kemungkinan untuk saya melahirkan pada malamnya. Saya sendiri tidak menduga secepat itu, lantaran tarikh jangkaan akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Tambahan pula, saya lansung tidak mengalami rasa sakit yang mengganggu, sama sekali tidak sama seperti pengalaman melahirkan anak pertama lebih kurang dua tahun yang lalu.
Namun, ketentuan Allah mengatasi segala andaian dan jangkaan manusia. Bermakna, dalam tempoh beberapa jam sahaja, saya dan suami bakal menimang cahaya mata kedua.
Kerana itu suami agak keberatan untuk pergi. Bimbang, saat ketiadaannya, saya akan melahirkan tanpa sesiapa di sisi. Lebih-lebih lagi, doktor yang merawat menyarankan agar saya segera masuk ke wad bersalin sebaik selesai pemeriksaan petang tadi.
BILA USIA BERTAMBAH....

Ditambah pula, ketiadaan ‘scanner’ dan lain-lain gajet moden yang canggih seperti hari ini, amat memungkinkan dua janin yang sedang menghuni rahim emak tidak dapat dikesan walau oleh bidan Klinik Desa yang melakukan rawatan bulanan.
“Ingatkan lepas Ina lahir tanpa berbidan, dah selamat dahlah. Ayahlah yang jadi ‘bidan terjunnya’,” ayah menambah. Saya dan adik kembar mendengar penuh minat.
“Alhamdulillah, selepas tiga jam Ina lahir, barulah Nora selamat melihat dunia. Itu pun, kulit badan semua dah kecut, sampai terpaksa mandi minyak selama seminggu.” Sekali lagi, saya dan adik kembar berteleku sambil membulatkan mata mendengar mak terus bercerita.
Menurut emak, selama mengandungkan kami, terdengar sindiran sinis dan cakap-cakap orang di sekelilingnya. Jika ketika mengandungkan lima anaknya sebelum kami, emak masih tangkas ke sana sini, namun kali ini emak bagai tidak berdaya. Lelah dan lemah sekali.
“ Bila jiran-jiran tahu je mak melahirkan kembar, barulah mereka berkata, patutlah baru 5 bulan mengandung, Som dah nampak tak larat. Ada dua rupanya,” emak berbicara, masih tidak jemu mengenang kisah lama sambil bibirnya terus menguntum senyum manis memandang kami berdua.
3 July 2010
WALAU SEBESAR ZARAH...

Pemilik wajah berkulit putih dan berambut perang itu, dari jauh kelihatan tersenyum. Setiap hari, sementara menunggu bas untuk pulang ke rumahnya, saban kali ketika berpapasan dengan saya dan anak-anak yang sedang berjalan kaki, Jessica pasti melemparkan senyum manisnya.
“Hello, Jessica,” saya membalas dengan iringan ucapan ringkas. Saya tahu, bibirnya yang menguntum ceria itu sebenarnya diberikan kepada kawan sekelasnya, Kak Ngah.
Saya menoleh ke sebelah kiri saya. Bagaikan sedikit terkejut bila melihat Kak Ngah yang masam mencuka. Wajah Jessica yang sedang tersenyum lansung tidak diendahkannya.
“Kenapa Kak Ngah tak senyum pada Jessica tadi?” saya bertanya setelah berjalan jauh sedikit. Sengaja saya tekankan nada suara sebagai tanda kurang senang dengan perlakuannya sebentar tadi.
“Malaslah Ummi…Jessica selalu buat tak elok pada Kak Ngah. Hari ni di sekolah, dia minum air Kak Ngah tak minta izin pun,”Kak Ngah meluahkan punca masalah.
Mendengar itu saya diam. Ada sesuatu yang saya fikirkan…
24 June 2010
BELAJAR DARI PASIR

Mata menumpu penuh teruja menanti satu demi satu babak cerita yang akan dibawanya.
Sejarah menjadi tema persembahannya. Pada awal pengkisahan, dia menghamparkan suasana damai penuh keindahan. Sejurus itu, konflik mula berlaku.Ia menggambarkan detik penaklukan Jerman terhadap Ukraine di dalam perang dunia kedua. Peperangan yang telah memisahkan orang-orang yang dikasihi, hidup dan mati yang tidak pasti.
Penonton kelihatan terbuai dengan gaya dan ragam suasana yang dibawakannya sehingga ramai menitiskan airmata hiba.
Dan hari ini, buat kesekian kalinya, saya sekali lagi menonton persembahan seni pasir dari Kseniya Siminova ini di laman Youtube. Beliau merupakan seorang pelukis berasal dari Ukraine yang telah mengungguli pertandingan : Ukraine’s Got Talent 2009.
Mengagumi bakat yang ada padanya, sekaligus kebesaran Ilahi yang pastinya Maha Berkuasa mengurniakan apa sahaja kepada manusia.
Subhana Allah!
KEMBALILAH....

Terkedu seketika membaca berita di myMetro pagi semalam.
Artikel bertajuk : Duit maksiat Jamu jemaah itu, melaporkan kegiatan dua wanita beragama Islam, anak beranak yang menjadikan wang haram dari kegiatan maksiat untuk menjamu para jemaah masjid di Petaling Jaya, setiap Jumaat.
Menurut mereka, wang itu dilaburkan untuk tujuan baik sebegitu bagi menghapuskan dosa dan mendapatkan pahala.
Berulangkali saya beristighfar tatkala membacanya. Betapa masih ramai umat Islam yang sesat dan menyesatkan orang lain pula dengan pemahaman yang sonsang tentang agama.
22 June 2010
JANGAN 'BUKA DIRI'

"Takutnya...nanti Ummi tolong delete gambar-gambar Kak Long dalam blog dan Ning ye..."demikian respond Kak Long tatkala saya menunjukkan satu emel yang diterima.
Emel itu merupakan satu pendedahan mengenai salahguna gambar-gambar wanita Muslimah yang telah elok menutup aurat, tetapi dengan menggunakan teknik superimpose dan sinar x-ray, 'gambar' yang telah diedit tersebut dikatakan boleh 'menampakkan' anggota dalaman yang sepatutnya tidak dipertontonkan.
Saya tidak mengetahui apakah kemungkinan benar perkara itu berlaku. Namun, walau apapun, saya berpandangan Muslimah hari ini sudah terlalu berlebihan menonjolkan diri mereka kepada umum lewat gambar-gambar di blog, FB, Friendster dan laman-laman sosial yang lain.
20 June 2010
DOAKU BUAT MEREKA

“Ummi dah sampaikan ?” satu suara menyapa.
Saya menoleh. Terlihat Kak Long berdiri di sisi dengan senyum simpul yang manis. Agak terkejut dengan pertanyaan yang tiba-tiba, ditambah keasyikan memberus kotoran pada baju, suara Kak Long itu menyedarkan saya.
“Mengelamun la tadi ni,” saya berbisik sendiri bila mengenangkan kehadiran Kak Long, lansung tidak saya sedari. Cepat-cepat saya membalas senyumannya.
“Belum lagi. Lepas ni Ummi sampaikan, InsyaAllah,” saya membalas ringkas lalu kembali meneruskan tugasan harian.
“Ummi jangan lupa ya,” Kak Long sekali lagi mengingatkan. Saya berpaling dan menggangguk perlahan.
“Ya…Ummi tak lupa.”
Mendengar itu, Kak Long seakan lega. Wajahnya ceria sambil berlalu ke bilik komputer yang juga merupakan perpustakaan mini buat anak-anak membaca, bermain dan bergembira bersama.
10 June 2010
AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH

Sukar untuk saya menggambarkan rasa hati. Kerana itu, saya sering tersenyum, berfikir dan mencari makna ketika membaca komen daripada teman-teman lewat status saya di FB; terutama pada kata-kata saya yang menggambarkan kerinduan tatkala berjauhan dari suami tercinta. Paling terbaru, semasa suami berpergian selama lima hari ke Bahrain. Di sana, beliau menghadiri satu wacana ekonomi dan perbankan Islam bersama tokoh-tokoh ulama’ semasa.
Dalam debar menunggu kepulangan suami, saya sempat menukilkan apa yang dirasa pada status FB. Sekadar luahan berbaur muhasabah untuk diri sendiri.
Berjauhan dengannya bukanlah perkara baru bagi saya, kerana seawal empat hari bergelar seorang suri, saya dan suami terpaksa berpisah buat sementara. Ketika itu, suami masih sibuk dengan amanah dan tanggungjawabnya sebagai presiden sebuah gabungan persatuan mahasiswa Islam.
Ada kalanya, sebelum berangkat pergi, beliau meninggalkan saya untuk bermalam di rumah sewa sahabat-sahabat seuniversiti. Mungkin kasihan melihat isterinya yang acap kali ditinggalkan. Sementelah, kami juga masih bergelar pelajar, sekurang-kurangnya ketiadaannya di sisi dapat saya manfaatkan untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran.
Namun, di kebanyakan masa, saya hanya di rumah bersendiri. Menunggu dan menanti.