24 December 2014

SEDARKAH?



Engkaukah....manusia 'halu'a' Berkeluh kesah atas tiap masalah...
Yang kecil diperbesar tak sudah-sudah...
Yang besar lebih mengundang gerah... Salah dirimu tak pernah terpandang, silap yang lain sering dicanang...

Engkaukah....manusia 'jazu'a'
Menerima ujian hidup penuh sempit dada...
Bagai pintu-pintu bahagia tertutup tidak terbuka...
Jiwa lupa pada DIA, Maha Mengasihani tanpa alpa...
tak pernah menjauh, hanya dirimu tak ingin 'bersua'-NYA...

Engkaukah...manusia 'manu'a'..
Nikmat ditanggapi dari diri yang lelah berusaha...
Leka bahawa TUHAN Maha Pemurah yang mengurnia...
Hingga kikir memberi sesama... Gerun susut nikmat yang ada...

Engkaukah...manusia 'halu'a', 'jazu'a', 'manu'a'...
Manifestasi jiwa yang sakit menderita...
Selumbar dosa dan maksiat yang di'pelihara'...
Tidak kembali bagi bertaut cinta Yang Maha Esa... Lantas, engkau terus terluka...
Sedang hakikat yang dirimu terlupa....
Manusia terluka hanya melukai jiwa lain di sampingnya....

Sedarkah?

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI
Ummuhusna@Mutiara Gombak2

10 December 2014

RASA ITU KURNIAAN-NYA...

“Andai ditanya, antara dua pilihan : menyayangi dan disayangi…apakah jawapan daripada ustazah…jawapan yang pasti?”

Suatu ketika, persoalan ini diluahkan kepada saya oleh seorang isteri yang sedang mengalami  derita hati; merasa dirinya tidak dikasihi suami.

“Kalau saya memilih kedua-duanya?” Saya pula bertanya sambil membetulkan duduk. Redup cuaca petang itu dengan angin sepoi-sepoi bahasa di bawah gazebo berlantaikan kayu pada sisi kiri rumah lot tepi itu, menjadikan perbualan kami turut terbuai dari perbualan penuh mesra soal anak-anak hingga akhirnya bersoaljawab agak serius pula tentang kasih dan cinta dalam rumahtangga.

Mendengar pertanyaan itu, dia menundukkan kepala. Wajahnya masih muram, sama kelamnya tatkala dia menyambut ketibaan saya sejam yang lalu, hanya senyuman hambar menjadikan situasi ketika itu sedikit bercahaya.


“Saya juga ingin kedua-duanya, ustazah…tapi….” Lontaran bicaranya terhenti; tidak sempurna. Saya menunggu…namun kelihatannya, dia terus membisu.

“Tapi…adik sendiri sukar untuk memulai?” Saya melengkapkan kata-katanya dengan sengaja  memilih ayat terakhir itu.

Saya memaklumi dari kata-katanya sebelum ini, bahawa suaminya melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, ayah, menantu serta ipar dengan baik, Cuma kurangnya adalah dia bukan seorang yang romantik dalam menunjukkan cinta’; sedangkan jiwa perempuannya mengimpikan itu sebagai pelengkap mesra. ‘Kekurangan’ tersebut menjadikan dirinya merasa tidak disayangi suami; malah keinginan yang diimpi, tapi tidak dipenuhi itu mulai mencambah jemu di hati; bosan barangkali dengan sikap ‘dingin’ pasangan menurut penilaian diri.

SIFIR MEMBERI

“Ustazah minta saya memulai?” Dia menyoal sebaik mendengar kata-kata saya tadi. Saya tersenyum, mengangguk dan berkata :

“Ye, menyayangi untuk nanti disayangi…memulakan rasa untuk menghadirkan rasa? Kalau adik mahu hadiah, mengapa tidak adik dahulu menghulurkan tandamata; andai menginginkan mesra, sangat baik jika adik dulu mempamer ceria dan menunjukkan sikap manja?” Tegas saya.

“Tapi…Bagaimana saya dapat beraksi begitu, jika suami sendiri selalu membatu? Bagai acuh tak acuh sahaja melihat saya berpakaian cantik di depannya...sekadar senyum tetapi berat benar bibirnya untuk memuji sepatah dua…geram saya bila tiada pujian diterima.. ” Luahnya dalam nada sebak bercampur ketar. Mungkin marah dan geram yang dipendam dengan suasana rumahtangga yang sedang dialaminya, tidak mampu lagi ditahan.


“Saya menyayanginya sepenuh hati, Ustazah. Tapi, mengapa dia tidak boleh menyayangi saya sebagaimana saya menyayanginya?” Kali ini, kolam matanya pecah. Saya diam sebentar, membiarkan dirinya bertenang ditemani manik-manik jernih.

“Dik, kadang-kadang apa yang tidak dan belum kita miliki adalah kerana kita sendiri tidak pernah atau BELUM lagi memberi…bukankah itu sifirnya?” Saya menjawab. 

Mendengar itu dia mengeluh; agak keras.

 “Pernah adik bertanya kepada suami, adakah layanan yang diberi itu adalah bentuk layanan yang diinginkannya daripada seorang isteri? Menyintai pasangan dengan cara dia ingin dicintai, bukan dengan cara kita ingin dicintai?” Saya bertanya kembali setelah beberapa ketika.

“Maksud ustazah?” Dia bertanya buat kesekian kalinya. Sekilas, saya melihat matanya yang sedikit cerah tanda inginkan jawapan.

“Begini…cuba adik ingat-ingat..pernahkah sepanjang perkahwinan adik, pujian dan penghargaan terhadap kerjakeras suami menyediakan itu ini dalam rumahtangga adik beri? Percaya pada suami dengan tidak mengintai-intai barang peribadinya seperti telefon bimbit  dan lain-lain melainkan dengan izin dan pengetahuannya,  juga apabila dia menginginkan sesuatu daripada adik, bagaimana tindakbalas adik terhadap permintaannya…sambil lewa atau berusaha untuk memenuhinya secepat mungkin?

Lelaki merasa dikasihi dengan hormat dan percaya, berbeza dengan kita wanita. Luahan cinta diterjemah lebih kepada kata-kata mesra serta bahasa tubuh seperti pelukan dan belaian mesra.” Saya menjelaskan. Mendengar itu, dia merenung jauh ke luar pagar…

SOAL RASA

Saya memamahami bahawa merasa tidak dicintai, dikasihi dan disayangi adalah satu bentuk 'kesakitan' bagi hati...lebih-lebih lagi apabila ia wujud pada diri seseorang bergelar suami atau isteri.

Walau hakikatnya, cinta telah diberi, kasih banyak dipamer dan ucapan sayang tidak pernah lekang dari bibir pasangan, namun yang menerima cinta, yang melihat kasih dan yang mendengar lafaz ucapan tidak ‘menikmati’ semua itu lalu berterusan dalam kepedihan serta kekecewaan.

Lantaran itu, apabila kepedihan ini menggungguli rasa, tiada yang lebih utama selain berkaca kepada jiwa; melihat refleksi rohani yang padanya akan terungkai segala tekateki diri. Saya meyakini, soal rasa, iaitu kemampuan merasai apa yang diberi dan ditunjukkan oleh insan lain dari aspek kasih sayang, kemesraan dan cinta merupakan satu bentuk rezeki dari ILAHI.

Justeru, apabila ia satu rezeki, maka tidak boleh tidak, cara bagaimana ia diperolehi dan diterima, banyak mencorak bagaimana ‘rasa’ yang terbit asbab dari semua itu.

Mungkin benar, ada ketikanya orang yang memberi tidak menghulur cintanya sepenuh hati, kurang ikhlas dan mengharapkan imbalbalik, lalu orang yang menerima turut merasai tempias yang sama. Kasih yang diterima dirasakan tidak murni. 

Namun, banyak masanya, orang yang menerima lebih perlu memuhasabah diri jika kasihsayang dan cinta yang diberi, tidak dapat dinikmati. Barangkali, jiwanya sendiri telah dijangkiti penyakit hati kesan dari maksiat yang dilakukannya lalu apa yang telah pun diberi dari hati yang tulus, tidak dapat ditadah oleh hati yang tidak mulus, sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Toha ayat 124 :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

Maksudnya : "Dan sesiapa yang berpaling ( ingkar ) dari peringatan dan petunjuk-KU, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan KAMI akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Membaca ayat ini, kita dapat memahami bahawa bentuk maksiat serta keingkaran dari peringatan ar Rahman yang boleh menafikan rasa dikasihi, dicintai dan disayangi dalam rumahtangga, antaranya ialah meremehkan kebaikan pasangan, kagum dengan kebaikan diri sendiri dalam meneladeni keperluan anak-anak dan pasangan termasuk juga merasa diri lebih baik daripada pasangan.

Jika ini berlaku, bagaimana cinta yang ikhlas dapat membekas?

RASA ITU….KURNIAAN-NYA

Dia menoleh, memandang tepat ke arah saya. Namun kali ini, matanya agak redup. Lantas, saya mendekat dan memegang tangannya.

“Dik, menyelamatkan sebuah perhubungan lebih wajar diutamakan dari mempertahankan sebuah keadaan lebih-lebih lagi jika perhubungan itu adalah sebuah ikatan yang termeteri atas nama TUHAN. Pada saya, perhubungan dalam perkahwinan amat mudah terlerai andai benih putus asa mulai bercambah dan menguasai perasaan. Ramai orang bimbang andai pasangan mendahuluinya ‘bertemu TUHAN’ setelah sekian lama bersama melalui kehidupan, tetapi ramai yang alpa bahawa kehilangan sebenar adalah tiada lagi ketertarikan kepada pasangan semasa hidup masih lagi berjalan. Itulah ‘kehilangan’ sebelum kematian …” Saya menasihatkan.


Dia mengangguk dan memberikan senyuman. Walau tidak lebar, akan tetapi itu sudah cukup menjadi tanda dia masih punya sifar sabar. Setidak-tidaknya, wajah yang masam, tidak lagi muram. Moga-moga, senyuman itu sebagai pemangkin kepada suasana jiwa dalaman yang memercik pedoman dan petunjuk ar Rahman.

Saya membalas senyumannya….dalam hati, ada bisikan mengetuk dinding jiwa :

“Cinta itu amat ajaib... Dek kerana cinta...insan rela berkorban apa saja.... Cinta itu mengasyikkan jiwa... Jika tidak, masakan wujud kisah cinta qais dan laila...tak mampu bersama, hingga nyawa jadi pertaruhannya...

Namun, sekian lama manusia mengejar cinta... Ramai kecewa duka dan hiba... Kerana mereka lupa bahawa semakin akrab dengan makhluk yang dicinta, kian terserlah ketidaksempurnaannya... Melainkan yang bercinta dan menyintai kerana-NYA... Maka kelebihan dan kekurangan.... Wadah untuk bersinergi... Saling lengkap melengkapi....

Cinta...jadikan ia sebab untuk meraih syurga... Kerana nilaiannya adalah pada apa dan siapa cinta itu disua...

Menyayangi dan disayangi…

Sesungguhnya….’rasa’ itu…kurniaan-NYA.

***************************************************************************
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ « وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ ». قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ « فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ». قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- « فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ». قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ.

Maksudnya : Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bercerita: “Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah hari kiamat?”, beliau bersabda: “Apa yang kamu telah siapkan untuk hari kiamat”, orang tersebut menjawab: “Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya”, beliau bersabda: “Sesungguhnya kamu bersama yang engkau cintai”, Anas berkata: “Kami tidak pernah gembira setelah masuk Islam lebih gembira disebabkan sabda nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam “Sesungguhnya kamu bersama yang engkau cintai, maka aku mencintai Allah, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dan berharap aku bersama mereka meskipun aku tidak beramal seperti amalan mereka.” ( Hadis riwayat Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


Jumpa lagi, In shaa ALLAH.

DOAKU PADA-MU TUHAN....


"Ustazah, boleh tak saya berdoa supaya suami kahwin lain, dengan seseorang yang lebih baik daripada saya?" Seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an mengajukan soalan.

"Ustazah, boleh ke kita berdoa agar cinta dan kasih suami hanya untuk seorang isterinya sahaja?" Soal seorang wanita lain pula yang lebih muda, baru menginjak usianya ke angka 30.

Itu adalah antara dua soalan yang pernah diajukan kepada saya dalam salah satu sesi perkongsian dan ceramah saya bersama para muslimat.

Jika direnung-renung, kedua-duanya tidak banyak berbeza, kerana ia berkisar pada topik yang sama, iaitu tentang poligami. Dan, saya yakin, rata-rata wanita menganggap topik ini sebagai sesuatu yang agak sensitif dan pedih untuk menghadapinya.

Saya tidak menafikan keadaan itu, cuma untuk menjawab kedua-duanya dalam waktu yang terbatas dan tidak mengguris perasaan kewanitaan yang halus, saya cuba mengalih perhatian mereka kepada persamaan yang wujud pada inti persoalan iaitu berkait doa; kerana pada saya, kekecewaan yang dihadapi oleh kebanyakan manusia muslim hari ini, salah satunya adalah berpunca dari kesalahfahaman tentang konsep doa yang dipanjatkan ke hadrat ILAHI.

MENGAPA BERDOA?

“Mengapa kita berdoa?” Saya melontarkan satu persoalan mudah kepada jemaah muslimat yang santai bersimpuh di atas karpet merah.

“Untuk menyampaikan apa yang kita hajatkan, ustazah…” Jawab salah seorang wanita di hadapan saya.

“Maksudnya, kita nak beritahu ALLAH apa yang kita mahu, begitu?” Saya menambah rencah.

“Hmm..lebih kurang begitulah agaknya, ustazah.” Wanita tadi menjawab dengan senyuman, namun ada sedikit kerutan terlihat pada dahinya. Sementara itu, jemaah muslimat lain hanya mendengar penuh minat.

“Kita nak beritahu ALLAH, atau nak order sesuatu daripada-NYA?” Saya masih meneruskan persoalan buat mencambah fikir dan renungan.

Order? Maksud ustazah?” Kerut di dahinya kian jelas terlihat.

Melihat itu saya senyum. Satu demi satu wajah di hadapan saya perhatikan. Sambil menarik nafas dalam-dalam, saya diam sebentar bagi mencari patah kata yang sesuai. Melihat riak ingin tahu pada wajah mereka, diam-diam saya berdoa di dalam hati agar penjelasan saya nanti, mampu menatijahkan kefahaman yang sebenar.

Biar ringkas, tetapi padat dan tepat, In shaa ALLAH.

PETUNJUK-NYA

“Saya yakin, kita selalu pergi ke restoran untuk menjamu selera, dan pasti nya sebelum dapat menikmati makanan yang diinginkan, kita lebih dulu buat order apa yang kita mahu makan dan minum kepada pelayan restoran. Sebentar kemudian, apa yang kita order akan sampai di hadapan mata; jika roti canai telur yang kita minta, roti canai telur yang akan dihantar ke meja kita. Jika ‘Teh Tarik lebih buih’ yang kita inginkan, minuman itu juga yang akan dihidangkan kepada kita. Ringkasnya, apa yang kita dapat, adalah apa yang kita order. Bukan begitu?” Sekali lagi saya bertanya.

Para Jemaah muslimat di hadapan saya mengangguk-ngangguk tersenyum.

“Namun, kita selalu lupa. ALLAH bukan seperti restoran mamak, jauh sekali dapat disamakan dengan restoran makanan segera atau selainnya. Kita berdoa, bukan untuk memberitahu ALLAH apa yang kita mahu, bukan juga untuk order apa-apa yang kita impi dan inginkan dalam hidup ini, tetapi berdoa adalah sebagai bukti kita ini hamba-NYA. Ia manifestasi perhambaan kita kepada Yang Maha Esa bahawa kita sangat memerlukan DIA dalam menjalani kehidupan setiap masa.

Tambahan pula, cara ALLAH mengabulkan apa yang diminta oleh hamba-hambaNYA sangat jauh berbeza berbanding permintaan kita kepada makhluk selain-NYA. Kita meminta begitu, tetapi ALLAH memberi begini, kerana DIA mengurniakan apa yang manusia perlu, bukan apa yang mereka mahu. “ Saya sedikit berfalsafah.

Terlihat wajah-wajah di hadapan saya menunduk ke karpet merah.

“Jika puasa bertujuan menambah takwa, maka berdoa pula adalah untuk meraih petunjuk ALLAH, sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :

Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka (jawablah), bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran).” ( Surah al Baqarah ayat 186 )

Justeru, semakin banyak kita berdoa, semakin banyak juga petunjuk dari ALLAH yang akan kita perolehi. Sebaliknya, jika kurang berdoa, maka dibimbangi kurang juga hidayah yang akan mendatangi.” Saya berhenti seketika bagi melihat reaksi jemaah di hadapan saya.

PILIHAN

“Tapi tak salah kan ustazah, kita meminta apa yang kita rasakan baik untuk kehidupan kita? Seperti doa tadi, supaya suami tidak beralih kasih daripada isteri dan anak-anaknya. Tak salah kan?” Wanita yang bertanya tadi meminta kepastian.

Buat kesekian kalinya, saya tidak terus menjawab. Saya hulurkan senyuman terlebih dahulu.

‘Hati wanita mana yang dapat menerima dengan mudah seruan poligami,’bisikan kecil menerjah ke dalam hati saya.

“Begini, saya tidak kata salah untuk berdoa sebegitu. Akan tetapi, Rasulullah SAW mengajar kita untuk istikharah iaitu pilihan yang dilakukan dengan mengikat setiap urusan atau perkara yang kita rasakan baik tersebut dengan kebaikan untuk agama, kehidupan dan urusan akhir kita, sebagaimana doa yang pernah diajar oleh baginda kepada sahabat melalui sabdanya yang bermaksud :

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-MU dengan ilmu-MU, memohon ketetapan dengan kekuasaan-MU, dan aku memohon kurniaan-MU yang sangat agung kerana sesungguhnya ENGKAU berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, ENGKAU mengetahui sedangkan aku tidak, dan ENGKAU yang mengetahui hal yang ghaib. Ya ALLAH, jika ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut. ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1162 )

Melalui berdoa sedemikian, maka seseorang itu dapat melapangkan jiwanya dari apa jua keinginan peribadi yang berlandaskan hawa nafsu. Sebaliknya, urusan tersebut akan dipulangkan ke hadrat Yang Maha Mengetahui; kepada ilmu-NYA yang amat luas dan tidak terbatas.

Individu yang beriman dan menyerahkan urusannya kepada ALLAH, harus menyedari bahawa ada ketikanya, solusi yang dipilih oleh ALLAH SWT  untuk dirinya tidak selari dengan keinginan hawa nafsu atau pada tanggapan seseorang tersebut bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi dirinya, lantaran hakikat kebaikan atau keburukan sesuatu itu hanya ALLAH jua yang mengetahui. Firman-Nya yang bermaksud :

“…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  ( Surah al-Baqarah ayat 216 )

DOAKU PADA-MU TUHAN…

“Saya suka untuk mengajak sahabat muslimat semua untuk merenungi satu perkara agar kita insaf bahawa kita ini hanya hamba yang berada di bawah takdir-NYA. Kita mentadbir kehidupan ini dalam batas kudrat yang diberikan-NYA, tetapi ia tetap tidak dapat mengatasi ketentuan DIA Yang Maha Berkuasa.


Berbalik kepada soalan tadi, kita boleh berdoa agar suami tidak beralih kasih. Kita meminta bersungguh-sungguh pada ALLAH. Namun, tanpa kita sedar, di luar pengetahuan kita, ada wanita lain yang turut menadah tangannya, bermunajat penuh pasrah agar dikurniakan seorang suami yang soleh dan dapat membimbingnya di dunia dan akhirat. Antara dua doa tadi, dalam ilmu dan kehendak-NYA, ALLAH mengangkat doa wanita tadi sebelum doa kita sendiri dikabulkan dan lelaki yang ditakdirkan menjadi pendamping wanita tersebut adalah suami kita sendiri melalui jalan-jalan yang tidak pernah kita jangka.

Lalu, ada baiknya kita merendah diri ketika berdoa kehadrat Yang Maha Esa. Kepasrahan kita dalam menyerahkan untung rugi kehidupan kepada Yang Maha Kaya pasti tidak sia-sia kerana kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan ALLAH akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Saya tunduk menginsafi kata-kata sendiri, sambil hati berbisik :

Doaku pada-MU TUHAN agar KAU bimbing kami yang lemah ini, dan usah sesekali membiarkan kami menentukan urusan hidup kami sendiri, walau untuk sekelip mata pun…ameen, amen Ya Rabb.


 Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.


23 July 2014

JADILAH CERMIN JIWA

“It bothers me a lot when I have such low grades but the laziness inside me conquers me, so I don’t feel like doing anything to cange. Tapi sumpah stress!” Demikian luahan seorang remaja kepada ibunya. Si ibu terdiam. Hanya menggeleng-geleng kepala.

‘Nak buang malas pun susah? Malas buang malas, memang tak akan ke manalah..’ Keluh si ibu dalam hatinya. Wajah si anak ditenung lama…

‘Mampukah aku memotivasinya sehingga dia boleh mendaki tangga jaya?’ Pertanyaan itu bergema.

“Suami saya sendiri tidak memahami saya..sehingga saya bagaikan lupa bagaimanakah rasa bahagia hidup berumahtangga” Keluh pula seorang isteri semasa satu sesi kaunseling keluarga.

Kehidupan yang dilaluinya selama lima tahun bersama suami yang dinikahi atas dasar suka sama suka nampaknya bagai retak menunggu belah sahaja. Si suami dirasakannya tidak mampu membahagiakannya, namun cinta yang pernah berputik dulu, masih ada…

‘Mampukah diriku melakukan sesuatu demi kelangsungan cinta kami berdua?’ Dia menyoal diri sendiri sambil menggigit jari. Satu keluhan berat dilepaskan menggambarkan beban yang memenuhi ruang hati.

******************************************************************************
Saya akui, sebagai manusia biasa, ada ketikanya kebimbangan, kerisauan dan kekhuatiran terhadap sesuatu memberi kesan kepada perjalanan emosi dan seterusnya menjadikan semangat diri menurun untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat buat diri dan insan lain yang dikasihi. Sedangkan, ini bukanlah satu sikap yang benar dalam menanggapi cabaran hidup yang tidak pernah sudah...kerana kebimbangan tidak pernah mampu menghilangkan cabaran esok hari, tetapi ia hanya menghilangkan kekuatan diri hari ini...sedangkan itu tidak berbaloi sama sekali!

Dua situasi di atas, mengingatkan saya kepada satu peringatan indah daripada seseorang yang saya hormati..

POTENSI


"Setiap orang ada potensi untuk berubah.." Demikian bicara suami sewaktu satu sesi usrah bersamanya baru-baru ini. Saya dan beberapa ahli usrah lain mengangguk mengiyakan.

Hakikatnya, pada setiap diri, ada kebaikan yang sedang berjuang untuk muncul, cuma kesempatan itu banyak ketikanya memerlukan bantuan orang lain untuk memahami, memotivasi dan menguatkan semangat ke arah perubahan diri. 

" Berbaik sangka perlu didahulukan walau yang terserlah pada diri seseorang itu adalah keburukan.." Suami menyambung lagi. 

Inilah satu cara bagaimana kebaikan yang 'mengintai' dalam diri seseorang itu dapat dijemput untuk memunculkan diri; dengan berbaik sangka sesama manusia, sebagaimana baik sangka seorang alim terhadap seorang pendosa yang telah membunuh seratus jiwa dalam satu hadis yang panjang. 

Nasihat si alim yang bijaksana agar sang pembunuh berhijrah ke negeri lain bagi memulakan hidup baru dituruti. Akan tetapi takdir Ilahi menentukan sang pembunuh menemui Penciptanya dalam perjalanan menuju perubahan. Dua malaikat berselisih ke manakah sang pembunuh harus di bawa, antara syurga dan neraka, selayaknya dia di mana? 

Jarak perjalanannya diukur lalu terbukti lelaki pendosa itu sejengkal lebih hampir ke arah negeri tempat dia ingin memulakan fasa baru kehidupan. Berhijrah dan bertaubat. Dia benar-benar telah meninggalkan kejahatan, meski baru sejengkal, maka Allah memerintahkan agar dia dibawa ke syurga.

Alangkah besar rahmat Yang Maha Esa!

Kerana itu, Umar al Khattab radiyallahu'anhu pernah menyatakan : 

(لا تَظُنَّنَّ بكلمةٍ خَرَجَت من في امرئ مسلم سوءا وأنت تَجِدْ لها في الخير مَحمَلاً)

"Usah kamu menyangka satu perkataan yang keluar dari mulut seorang muslim itu buruk, sedang kamu boleh mengandaikan bahawa padanya ada kebaikan." 

Dahulukan berbaik sangka, itu intinya.

PENAWAR HATI
Mendengar kalam hikmah daripada para sahabat dan solehin yang dibaca suami, cukup menghadirkan sebak di hati.

Memang benar, tidak wujud manusia biasa yang suci di dunia ini, yang ada hanya manusia yang banyak khilaf; yang kembali kepada ILAHI dengan bertaubat dan menginsafi silap  diri. Sesungguhnya..tiada insan baik di dunia ini yang tiada keburukan di masa lalunya, dan tiada insan jahat di dunia ini yang tiada kebaikan untuk masa depannya jika dia telah kembali kepada TUHAN, mengharap keampunan.

Justeru itu, sebagai insan terhampir bagi seseorang, baik anak-anak remaja yang sedang mencari kekuatan diri atau pasangan hidup yang ‘dilihat’ gagal menjadi pelengkap diri, dahulukan baik sangka bahawa mereka mampu berubah.

Jiwa yang positif boleh dibangunkan melalui jiwa yang positif juga.

Untuk itu, seseorang yang berhasrat menjana perubahan insan sekeliling terutama seseorang yang bermakna dalam hidupnya, dia terlebih dahulu perlu merawat jiwanya agar hampir kepada Yang Maha Esa bagi beroleh kekuatan dan semangat yang benar.

Jiwa yang pesimis bukanlah jiwa yang sihat, justeru ia memerlukan penawar. Untuk itu, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imam Yahya bin Muadz al-Razi rahimahullah (wafat 258 hijrah), beliau pernah berkata :

دَوَاءُ اْلقَلْبِ خَمْسَةُ أَشْيَاءٍ، قِرَاءَةُ اْلقُرْآنِ بِالتَّفَكُّرِ، وَخَلاَءُ اْلبَطْنِ وَقِيَامُ اللَّيْلِ، وَالتَّضَرُّعُ عِنْدَ السَّحَرِ، وَمُجَالَسَةُ الصَّالِحِينَ
“Ubat bagi penyakit hati itu ada lima perkara; iaitu membaca Al-Qur’an dengan merenungkan maknanya, mengosongkan perut (berpuasa), solat malam, meminta keampunan ALLAH di waktu sahur dan berteman dengan orang-orang yang soleh.” [Sifatus Sofwah, Ibn al-Jauzi]

Sesungguhnya, ketaatan kepada Yang Maha Esa mampu menjadi benteng kepada rasa-rasa negatif yang melanda.

Setelah itu, dengan rahmat Yang Maha Esa, tidak mustahil seorang ibu mampu menjadi motivator kepada anak sendiri, sementara seorang isteri pula menjadi pemangkin kepada perubahan baik suami yang dicintai.

JADILAH CERMIN JIWA


Saya meyakini bahawa setiap individu di dunia ini terutama dalam lingkungan sebuah keluarga, masih mampu berada dalam keadaan yang baik apabila wujud persekitaran nasihat menasihati. Orang yang menasihati bersih jiwa, dan orang yang dinasihati pula merasa dekat dan bersedia untuk belajar memperbaiki dirinya.

Kedua-dua mereka saling bertindak sebagai cermin bagi memantulkan refleksi diri demi pembaikan  masing-masing.

Sebagaimana sajak yang sempat saya coretkan di bawah ini, semoga tiada ibu yang berputus asa kepada perubahan anaknya, juga tiada isteri yang menyerah kalah untuk mempertahankan mahligai bahagia yang telah terbina.

Baik sangka dan berusahalah merawat jiwa.

  
DI DEPAN CERMIN KAMAR

Di depan cermin kamar...
Kurenungi satu perkara...
Cermin dan jiwa itu miliki persamaan nyata..
Kedua-duanya wahana buat merubah nilai insani...

Di depan cermin kamar....
Kurenungi satu perkara... 
Cermin menunjuk refleksi diri
Jiwa terisi kasih manusiawi
Keduanya-duanya mampu retak..
Namun masih boleh diperbaharui..
Andai betul caranya...
Andai tepat didikannya...

Di depan cermin kamar...
Terlihat bayangan seorang insan...
Ketika mataku menangis hiba..
Bibirnya tidak pernah mengukir tawa...
Hanya wajahnya memancar nestapa...
Menyembunyi rahsia jiwa yang turut berduka.

Di depan cermin kamar...
Terlihat bayangan seorang insan..
Tatkala diriku penuh kecewa..
Pedih, khilaf dan luka....
Dia meminjamkan dirinya...
Memberi kekuatan, semangat dan maruah semula...

Di depan cermin kamar...
Kusyukuri anugerah ILAHI...
Dia 'cermin jiwa' kurniaan Yang Maha Esa...
Darinya kupelajari hikmah cinta sejati...
Darinya diriku berkaca memuhasabah nurani...
Agar cinta-NYA mengungguli diri.



Mencari dan terus mencari cinta sejati.


Jumpa lagi, in shaa ALLAH.