25 January 2015

CINTA ITU BUKAN FANTASI..

“Apa lagi yang boleh kita usahakan bagi mengatasi masalah ini?” kakak naqibah bertanya kepada saya dan rakan-rakan lain sewaktu usrah mingguan baru-baru ini.

Kami saling berpandangan. Raut wajah masing-masing begitu serius memikirkan sebarang pandangan yang boleh dimanfaatkan. Merungkai persoalan 'couple' yang kini kian menjadi-jadi di kalangan penuntut universiti.


Gejala ini bukan sahaja menimpa golongan pelajar yang jauh dari aktiviti persatuan bahkan lebih menyedihkan individu yang melibatkan diri dengan persatuan dan menjadi penggerak aktiviti di universiti adalah sasaran yang lebih mudah dan terbuka untuk terjebak ke dalam budaya berpasangan yang merosakkan ini sehingga mereka tidak tahu bagaimana mahu keluar darinya.

Menurut mereka, tidak memiliki 'pasangan' atau tidak ber'couple' kini menjadi sesuatu yang sangat pelik dan ganjil di universiti.

Golongan pelajar yang masih belum memiliki pasangan terlihat asing bahkan ditertawakan!
Amat malang, dalam keghairahan program-program kesedaran tentang bahaya bercinta sebelum pernikahan diperhebat di kampus-kampus, semua itu tidak menatijahkan sesuatu yang positif, sebaliknya ia bagai sajian hiburan semata-mata, sedang gelora untuk merasai cinta dan memberi cinta tidak juga berkurang bahkan kian berombak rindu!

GUSAR
Lebih menambah kegusaran, saban ketika saya melayari laman ‘Muka Buku’,acap kali saya menemui bicara puitis yang ditujukan golongan hawa kepada ‘bakal imamnya’, dan saya pasti perbualan seumpama di atas banyak berlaku di kalangan anak muda berjiwa Islam yang sedang mengintai keindahan ‘taman bunga’ di alam rumah tangga.

Seolah-olahnya, mereka sedang melihat sebuah taman bunga dari kejauhan. Mereka melihat pohon-pohon menghijau, bunga-bunga berwarna-warni yang sedang berkembang mekar dengan kicauan burung-burung memeriahkan keindahan taman. Inilah bahang perasaan yang melanda.

Kehadiran watak-watak ‘sempurna’ yang ditampilkan pada novel-novel berkisar cinta Islami sebuah rumah tangga yang baru bermula menjadikan diri mereka bagai merasakan wujudnya ‘individu’ seumpama itu di alam nyata.

Kerana itu, banyak ketikanya bila membaca komen anak-anak muda terutama di kalangan Muslimah tentang ke'sweet'an panorama hidup pasangan suami isteri dalam novel-novel Islami yang mereka baca, saya bersyukur mengenangkan tiada atau boleh dikatakan amat sedikit kemunculan karya-karya sedemikian rupa pada ketika saya melangkah ke alam rumah tangga.  Ini menjadikan saya dan suami tercinta 'bebas' mencorak suasana rumah tangga yang akan kami bina tanpa perlu menjadikan watak-watak ciptaan yang begitu sempurna sebagai piawaiannya.

MUDA MUDI DAN CINTA
Dari dulu saya menegaskan, perasaan cinta itu tidak salah, ia fitrah yang ada dalam diri setiap manusia termasuk saya juga. Cuma, kesilapannya adalah pada bagaimana menyalurkan perasaan itu agar segala pengisian untuk memaknainya membuahkan pahala, bukan dosa.

Rata-rata anak muda, bila perasaan cinta menyapa, tetapi kemampuan untuk menikmatinya secara HALAL belum lagi ada, namun mereka tetap meneruskan juga dengan bercouple yang mana aktiviti-aktiviti cinta di dalamnya hanya boleh dilakukan oleh mereka yang sudah bergelar SUAMI ISTERI sahaja.

Andai cinta itu mendambakan hubungan intim, ia BOLEH, tetapi bukan kepada pasangan yang belum halal, tetapi hanya untuk yang sudah bernikah. Di luar pernikahan, ‘hubungan badan’ menjadi dosa besar, tetapi di dalam penikahan, ia membuahkan pahala yang banyak dan salah satu sebab yang menjadikan kasih sayang kian melebar.

Jika cinta itu menginginkan perbualan mesra, ia BOLEH, tetapi hanya setelah akad pernikahan termeterai. Di luar pernikahan, perbualan yang mesra sehingga menaikkan nafsu itu haram bahkan ditegah sama sekali, tetapi di dalam pernikahan ia digalakkan untuk menyubur cinta berahi.

Walaupun begitu, saya tidak menafikan, sebahagian anak muda terjebak ke dalam alam cinta kerana terpesona dengan keindahan perkahwinan yang mereka baca dari novel-novel cinta remaja termasuk novel bernafaskan Islam lalu ingin segera mengecapi nikmat hidup bersama yang segalanya tampak indah pada pandangan mereka. Sifir mereka, bila hati sudah serasi, jiwa sudah suka sama suka, maka kebarangkalian untuk bahagia dalam perkahwinan adalah sangat besar.

Sedangkan….

Bagi pasangan yang sedang dilamun gelora cinta, mereka melihat alam perkahwinan sebagai tapak menyemai harapan nan indah, menambah erat kasih dan cinta yang sedang membara. Namun bagi sekian ramai pasangan suami isteri yang telah, sedang dan masih dalam perjuangan melakar tadbir harmoni dan bahagia, cinta yang mengikat dua jiwa pada awalnya bukan penentu kelangsungan ikatan yang didamba.

Seumpama pasangan sejoli menyaksikan panorama pergunungan dari kejauhan. Hijau pepohonan yang melitupi kaki pergunungan, sungguh menyegarkan. Kicau sang burung memecah keheningan. Gumpalan awan putih menyapa puncak nan tinggi, amat mempesona pandangan. Bersama tamparan lembut angin sepoi-sepoi bahasa pada batuan kukuh dan pejal, segalanya terlihat begitu indah dan mengasyikkan.


Akan tetapi, bagi mereka yang bergerak mendekat, pasti banyak cabaran terpaksa didepani. Hutan di sekitarnya sahaja sudah cukup meletihkan untuk diharungi sebelum sampai ke kaki gunung.

Ketika pendakian dimulai, diri perlu lebih berhati-hati. Mata mesti tajam memerhati, telinga pula perlu sentiasa peka mengawasi. Jika salah kaki berpijak dan mendaki, tubuh boleh jatuh ke batuan yang pejal dan menyakitkan. Andai tidak berwaspada dengan persekitaran yang asing dan penuh kejutan, bahaya dari binatang buas dan berbisa boleh sahaja menyebabkan kecederaan dan kemalangan yang tidak terjangkakan.

Namun, apabila perasaan cinta sebelum pernikahan semakin subur, maka kerumitan yang timbul adalah pada satu persoalan utama, iaitu bagaimana mengurus cinta itu agar ia tidak lebur dibaham nafsu!

BUKAN MENYUSAHKAN
“Baru-baru ini kakak didatangi seorang pelajar perempuan yang bertudung labuh dan berjubah meminta nasihat bagaimana mahu menjauhi budaya berpasangan ini, kakak bacakan padanya satu ayat :


Maksudnya : “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.” ( Surah al Haj ayat 78 ).

Menjauhi sesuatu kebiasaan yang salah tetapi sudah menular dan dianggap tiada apa-apa dalam masyarakat tidaklah mudah melainkan ia perlu diiringi kesungguhan. Dan pelajar yang mahu menentang arus bercouple ini perlu sangat kuat tatkala mendengar kisah-kisah manis daripada rakan-rakan yang sedang dilamun cinta, perlu kuat berhadapan kemesraan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan saat bergayutan di telefon, senyum simpul di hadapan komputer dan hadiah-hadiah yang kononnya membuktikan kasih sayang pasangan yang sedang dilamun api asmara.

Sebaliknya, mereka hendaklah meyakini janji Yang Maha Kaya, bahawa gesaan agar mentaati ALLAH Azza wa Jalla dalam semua keadaan, sama ada yang disukai diri atau sebaliknya itu sekali-kali bukan bertujuan untuk menyusahkan hamba-hambaNYA; bahkan ia sebenarnya  menghadiahkan kesejahteraan iman dan maruah serta keselamatan dari siksaan api neraka di akhirat sana, sehingga ketegaran mereka berpaut pada dahan ILAHI, melayakkan mereka nantinya menjadi saksi ke atas manusia lain dan hanya ALLAH jua sebaik-baik Pelindung dan Penolong untuk mereka menjauhi budaya yang mengasyikkan ini.” Kakak naqibah menambah dengan anggukan bertali dari kami yang mendengar butir bicaranya.

SOLAT DAN DOA
Saya mengiyakan di dalam hati. Kerana itu, pada saya, perkara utama yang mesti selesai dahulu bila perasaan cinta ini datang ialah dengan mengisi masa terluang dengan aktiviti ketaatan dan amalan yang menyubur iman. Antaranya ialah dengan mempertingkat bacaan dan perbincangan ilmiah tentang bagaimana seseorang itu dapat memperbaiki hubungan cinta dengan pemilik cinta paling agung iaitu ALLAH SWT.

Tidak lain tidak bukan, salah satu medium perhubungan paling canggih dengan-NYA ialah melalui solat. Lalu, sebaiknya aktiviti wajib ini dikoreksi saban waktu...kemungkinan besar cinta yang membuak-buak ingin dilayan itu adalah kerana kualiti solat semakin merudum dan tidak diperbaiki ilmu untuk melaksanakannya.

Ini kerana, solat yang baik pasti dapat mencegah dari maksiat dan dosa.

Selanjutnya, saya juga suka untuk mencadangkan kepada muslimah-muslimah muda ini untuk mengamalkan doa ini :

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

Maksudnya : “Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada MU dan Rasul MU, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Ia merupakan doa yang sahih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s ( iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri.

Pada saya, doa ini bukan sekadar munajat ke hadrat Yang Maha Esa agar maruah berharga seorang wanita tetap kekal terpelihara, bahkan lebih dari itu, ia mengandungi nilai cinta seorang wanita yang beriman dan bermaruah untuk menjaga hatinya hanya untuk suami yang halal baginya suatu ketika nanti. 

Berdoalah….agar ALLAH menghijab hati wanita yang lemah ini dari terpedaya dengan pujuk rayu lelaki bertopengkan iblis.

Berdoalah….agar ia menjadi satu usaha yang mampu membuahkan hidayah dari-NYA pada ketika dan suasana di mana sebagai manusia biasa kita tidak lagi mampu memilih yang benar, melainkan hanya dengan petunjuk dari ALLAH SWT sahaja kita akan terselamat dari menghampiri noda dan maksiat!

Sehebat manapun seorang manusia, sebijak manapun seseorang itu, ia tidak mampu menjangkau semua perkara. Justeru, manusia sangat memerlukan kepada hidayah di sepanjang kehidupannya, lebih-lebih lagi dalam mengawal nafsu dari mendominasi diri. Sememangnya, manusia sering mencari TUHAN ketika masalah menimpa, namun tidak pula ramai untuk 'bersama' TUHAN sebelum masalah menjelma.

CINTA ITU BUKAN FANTASI
Buat akhirnya, ingin saya nyatakan, bahawa cinta itu bukan fantasi. Ia hanyalah satu perkataan, sehinggalah seseorang datang dan menjadikan ia bermakna. Sama ada ia bermakna kebahagiaan atau kedukaan dalam sesebuah perkahwinan, jawapannya bukan pada angan-angan, tetapi usaha yang dilakukan bagi menjadikan rumah tangga itu sebagai salah satu jalan untuk meraih keredaan Tuhan. 

Lantaran itu, kepada adik-adik yang sedang merasai bahang cinta, juga yang menjadikan novel-novel Islami sebagai cermin yang diharapkan memantulkan kebahagiaan yang serupa dalam rumah tangga mereka nantinya, ingin saya menasihatkan..

Andai kalian merasakan hanya senyum dan tawa semata sebagai piawaian kebahagiaan, saya khuatir kalian telah tersasar landasan dalam memaknakan bahagia sebenar. Andai saja kalian tahu, kehidupan berumah tangga menjadi indah dan berwarna kerana ia dicorakkan dari kejutan demi kejutan yang berlaku.

Wahai adik-adik yang dikasihi, bila perasaan CINTA mula menyapa hatimu...ia memang indah dan mengasyikkan, tetapi jangan mudah kalah dengan perasaan ini sebelum kau benar-benar meneliti dua sisi ...


1) Andai cinta itu semakin mendekatkan dirimu kepada ketaatan, menjauhi maksiat yang dimurkai TUHAN, maka terimalah cinta itu dan jagai ia hingga sampai masa untuk kau menikmatinya secara halal dan terhormat.

2) Akan tetapi, andai cinta itu kian menjarakkanmu dari kemanisan ketika 'bersama TUHAN', bahkan jalan-jalan maksiat lebih mendekat...maka jauhkanlah dirimu sejauh-jauhnya dari cinta itu.
Ketahuilah adik-adikku, cinta yang benar akan lebih menjadikanmu seorang muslimah yang lebih malu, indah akhlak dan bertambah ketaqwaan; bukan sebaliknya. 


Insafilah, jalan cinta ALLAH bukan menyusahkan, tetapi menyelamatkanmu...selamat di dunia dari kehinaan, selamat di akhirat dari neraka yang membakar.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.

9 January 2015

ANAKMU BUKAN MILIKMU

“Kakak risau la ustazah. Membesarkan anak-anak di zaman dunia tanpa sempadan hari ini terlalu besar cabarannya bagi kita sebagai ibu ayah.” Keluh seorang kenalan sewaktu saya minum pagi bersamanya di sebuah restoran usai menghantar anak-anak ke sekolah.

“Apa yang kakak risaukan?” Saya bertanya.

“Macam-macam, ustazah. Masa kecil, terasa mudah untuk menasihati anak-anak; tambahan mereka juga tidak banyak karenah dan baik-baik sahaja pada penglihatan saya dan suami. Tetapi, setelah meningkat remaja dan memasuki alam universiti, lain pula kisahnya,” dia menambah dengan wajah gelisah. Seakan ada sesuatu yang berbuku di dada, belum terluah.

Saya diam, sekadar memberi respon dengan anggukan; memberikan masa untuknya berfikir. Biar dia sendiri yang membuat pilihan, sama ada mahu meneruskan bercerita atau sebaliknya, tanpa apa-apa paksaan atau permintaan.

Tambahan pula, masa yang masih berbaki sebelum pulang ke rumah untuk memasak juadah tengahari, agak selesa juga untuk kami meneruskan perbualan.

“Entahlah ustazah….Sejak kecil, kakak dan suami sudah memilih sekolah yang baik pada penilaian kami untuk anak-anak. Di rumah juga, kami sendiri mengajarkan al Quran dan adab sopan. Harapan kami, suasana yang baik di rumah dengan kesinambungannya di sekolah dalam bi’ah yang baik dan guru-guru yang berakhlak mulia dapat memberikan kesan yang baik juga di peringkat tumbesaran  anak-anak. Namun, dengan masalah yang berlaku hari ini, kakak jadi keliru dan tertanya-tanya, apakah silap dari semua yang telah kami berikan kepada anak-anak dahulunya?”

PERIBADI CONTOH

Dalam hati saya membenarkan kata-katanya. Betapa banyak persoalan berkisar anak-anak hari ini yang memerlukan mata fikir dan mata hati bagi menemukan jawapannya. Sikap baik anak-anak, mendengar kata dan sangat menyejukkan hati ketika kecil mereka, tidak beerti ia akan kekal begitu menjelang usia dewasa mereka. Justeru, persoalan inilah yang perlu ditangani dan difikirkan bersama.
Oleh itu, pada saya, bila memperkatakan tentang remaja, perkara pertama yang sangat penting untuk  diambil peduli adalah, orang dewasa perlu 'melihat' dirinya sendiri, bahawa mereka adalah umpama cermin kepada individu yang masih muda di bawah mereka. 

Bagaimana mereka berperilaku, refleksi dari tindakan mereka akan terpantul kepada anak-anak yang melihat dan memperhati.

Contohnya, bagaimana ibu bapa memanfaatkan ruang bersosial di internet seperti FB, YM atau seumpamanya bersama lawan gender dalam keadaan tidak mengawal kata-kata, pertanyaan yang meleret-leret tanpa keperluan, maka keadaan yang sama juga boleh berlaku di antara anak-anak dan rakan-rakan mereka atau mungkin mereka menjadi lebih jauh lagi dari apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Menyebut tentang ini, saya teringat kepada pengalaman sendiri ketika berusia awal 20-an dan masih menuntut di sebuah IPTA tempatan. Imbauan masa lalu yang saya rasakan baik untuk diteladani oleh orang dewasa terutama mereka bergelar ibu bapa.

Ketika itu, saya menelefon seorang tuan guru yang alim serta amat saya hormati cara pergaulannya dan penghormatannya kepada kaum wanita. Sebaik mengangkat gagang telefon, beliau terus bertanya apakah keperluan saya menghubunginya. Bila saya melontarkan persoalan, beliau terus menjawab pertanyaan itu tanpa bertanya lebih lanjut seperti pertanyaan : “Saudari belajar di mana, jurusan apa,” dan seumpamanya . Sebaliknya, sebaik sahaja selesai memberikan jawapan, beliau terus meminta maaf, memberi salam dan lantas mengakhiri perbualan.

Pada saya, inilah contoh yang amat tepat agar pergaulan antara dua jantina dapat dijaga sebaik-baiknya. Walaupun jarak usia antara keduanya mungkin jauh, namun syaitan tidak memandang itu semua. Asal saja ada ruang, fitnah yang merosakkan boleh saja mengetuk jendela rasa.

Amanah dalam menjaga batas perhubungan, sama ada di hadapan orang lain atau ketika bersendirian inilah yang menjadi ujian semua orang baik seseorang itu bergelar agamawan terkenal sekalipun.

Seorang suami atau isteri, boleh saja menahan diri atau mengawal perbualannya ketika berchatting bersama seseorang lain berbeza jantina sewaktu di rumah atau ketika pasangan dan anak-anak ada bersamanya, akan tetapi bila bersendirian di pejabat atau ketika berjauhan dari pasangan dan anak-anak, maka kawalan itu sudah longgar, lantaran itu tidak sedikit yang tersasar dari batas dan sempadan pergaulan yang disyari’atkan.

Situasi sebegini hakikatnya menuntut kejujuran seseorang kepada ALLAH Subhanahu wa ta’ala dalam mengukur sejauhmana urusannya itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung kepada sejauh mana keimanannya kepada Yang Maha Esa. Jika muraqabatillah seseorang itu kuat ( yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan ALLAH ), maka itu yg akan menjadi pengawal dirinya. Jika tidak maka kemungkinan besar, dia hanyut bersama dengan teknologi moden ini.

POSESIF DAN EGOIS
“Satu kemungkinan lain adalah, kesan sebegitu datang dari sikap  negatif ibu bapa sendiri dalam mendidik. Setiap ibu bapa menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Tidak ada yang salah dengan pernyataan tersebut. Namun, tidak sedikit ibu bapa menggunakan alasan tersebut untuk bersikap posesif dan egois terhadap anak.” Saya memberikan pandangan selanjutnya.

“Maksud ustazah?” Soalnya penuh perhatian. Sambil itu, air bandung cincau yang dipesannya dihirup penuh sopan. Ada sedikit kelegaan pada wajahnya setelah kami berbalas pandangan tentang pengaruh gajet-gajet moden dalam pembesaran anak-anak tadi.

“Posesif’ iaitu ibu bapa merasakan ‘pemilikan’ mereka pada diri anak-anak menjadikan mereka boleh memperlakukan anak-anak itu sesuai dengan keinginan mereka sebagai ibu bapa. Lantas, anak-anak seakan dipaksa mengikut kehendak mereka. Semua perilaku dan sifat anak haruslah sesuai dengan keinginan ibu bapa. Semua obsesi orang tua dilimpahkan kepada anak-anak sehingga jika lain yang ditunjukkan maka mereka terus melontarkan kata-kata yang membandingkan diri mereka sendiri dengan anak-anak ketika mereka berada pada usia yang sama. Inilah ego namanya. Membuat perbandingan dek sedikit kesilapan anak-anak tanpa lebih dulu melihat sisi kebaikan mereka yang pernah dan sedang mereka lakukan.” Saya berusaha menjelaskan. Kelihatan dia termenung, bagai mengingat-ingat sesuatu.

“Terasa macam saya pernah buat pula apa yang ustazah sebutkan tu. Saya dulu ketika bersekolah menengah dan rendah, boleh dikatakan antara pelajar cemerlang juga. Jadi, bila melihat perkembangan pelajaran anak-anak yang kurang berprestasi saya selalu mengatakan begini: 

“Kenapalah anak-anak mak tidak seperti mak dulu; walaupun susah, tapi selalu sahaja beroleh nombor satu di sekolah.” Dia mengakui khilaf diri.

PILIHAN DALAM PANDUAN
“Benar kak. Kita sebagai ibu bapa, selalu tidak menyedari hal ini. Terlalu egois jika ibu bapa boleh bertindak sewenangnya terhadap anak-anak. Bukankah mereka juga adalah manusia yang memiliki perasaan dan keinginan sendiri.” Saya menambah. Dia membalas dengan anggukan kepala.

“Jadi, sepatutnya apa yang ibu bapa boleh lakukan, Ustazah? “ Buat kesekian kalinya, dia bertanya.


“Saya berpandangan, adalah lebih bijak jika ibu bapa mengarahkan dan membina anaknya sesuai minat dan kecenderungan mereka. Akan tetapi, ini bukan bererti ibu bapa menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada anak-anak tanpa memberi panduan atau mengabaikan aspek lain di luar minat dan kecenderungan tersebut. Sebaliknya, manfaatkan minat itu sebagai sarana belajar  yang membantu untuk mengembangkan sesuatu aspek yang kurang pada diri anak. Contohnya, jika seorang anak suka menyanyi tetapi kurang mahir membaca al Quran, maka ibu bapa boleh menggunakan teknik berlagu untuk mengembangkan keterampilan dan minat si anak membaca al Quran melalui pengenalan huruf dan hukum hakam berkait membaca kitab suci itu. Demikian seterusnya bagi kecenderungan lain.” Saya melontarkan pandangan.

ANAKMU BUKAN MILIKMU…
Saya menginsafi, berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya mahu memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan. Namun, tanpa sedar mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.

Ironinya, buah dari sikap posesif dan egois ibu bapa hanya akan menghancurkan masa depan anak-anak tercinta. Apa yang dibimbangkan, anak-anak hakikatnya menjadi baik dalam terpaksa akibat tidak punya pilihan, impian dan kebebasan.

Justeru, hanya sikap bijaksana yang dapat menyelamatkan mereka dari merasa dipaksa dan terpaksa. 

Biarkan anak-anak meneroka dunia, dan dalam masa yang sama, iringkan dengan peringatan dan pesan ke arah kebaikan. Walau nantinya, anak-anak melakukan kesilapan, tetapi silap ketika dalam kawalan ibu bapa lebih mudah untuk diperbetulkan agar kembali ke landasan kebenaran.

Hakikatnya, anak-anak bukan milik mutlak ibu bapa.

Mereka tidak akan selamanya berada di keliling ibu bapa. Sampai saatnya mereka akan lepas pergi. Berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup mereka sendiri.

Sungguhpun, seorang anak memang terlahir di dunia melalui mereka tapi usah lupa bahwa seorang anak adalah titipan sekaligus ujian dari ALLAH Subhanahu wa ta’ala yang harus dijaga, dibina dan dibimbing dengan penuh rasa bertanggungjawab dan cinta.

Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud :

“Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi ALLAH-lah pahala yang besar.”
( Surah Al Anfaal 8:28)

Justeru, temukan cinta antara ibu bapa dan anak-anak dengan saling memahami, komunikasi yang beerti dan berdoa ke hadrat ILAHI. Semoga, sikap baik yang ditunjukkan anak-anak sewaktu membesar bukanlah kerana terpaksa bagi memenuhi selera ibu bapa, tetapi sebaliknya ia adalah pilihan mereka sendiri; datang dari hati yang mahu menjadi muslim mukmin sejati.

Dengan ini, walau di mana sahaja mereka berada kelak, walau suasana sekitar ‘gelap gelita’ dan rosak, anak-anak yang memilih untuk menjadi baik ini bakal menjadi ‘cahaya’ yang menebarkan kebenaran seterusnya memulih suasana ke arah yang diredai-NYA, insya ALLAH.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI
Jumpa lagi, in shaa ALLAH.


7 January 2015

IKHLAS ITU....


Ikhlas itu...
Tak selalu hadir dari rasa mudah mengerjakan perintah...
Tak sering tampil saat ringan meninggalkan larangan Allah...
Kerana ia mampu tumbuh dari usaha yang sukar dan payah...
Beratnya jiwa memerangi nafsu, menumbangkannya hingga meranap serakah...

Ikhlas itu...
Datang bersama pengorbanan dan mujahadah...
Walau rasa ringan, walau rasa berat..
Melangkah terus melangkah, dengan harta dan jiwamu diserah...
Demi redaNYA Yang Maha Haibah...
Lepas bebas dari belenggu perasaan haiwaniyyah...

Ikhlas itu....
Merasuk jiwa yang sedar dari mana ia bermula...
Ke mana pula pengakhirannya...
Lantas merona gelisah dalam dada...
Gelisah yang bukan menoktah langkah...
Bahkan menggerak ikhtiar untuk terus menapak...
Lagi dan lagi, lebih gigih lebih sejati...
Berlumba mengejar rahmah dan cinta ILAHI...

Ummuhusna99
295 Kg Raja
060115 – Buatmu yang dikasihi sentiasa.

****************************************************************************************************
Nukilan bersumber bingkisan wahyuNYA :


انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (٤١

"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI

Jumpa lagi, in shaa ALLAH.