Wajahnya
sedikit murung. Kelihatan ada airmata yang tertahan dari mengalir keluar.
Sesekali diseka hujung mata dengan tangan. Anak jantan, tak ingin dilihat larut
dalam tangisan.
Mungkin….
Atau...
Boleh
jadi dia rasa bersalah kerana culas, hingga adik yang kecil menangis kesakitan
akibat terjatuh di lantai papan.
Atau...
Mungkin
juga ada rasa 'marah' berbaur sedih kerana dicubit atas kesalahannya tadi,
mudah-mudahan jadi ingatan, agar tidak berulang di masa depan.
Saya
biarkan.
Rasa
geram kerana tidak mendengar arahan : "Jaga adik baik-baik.."
"
Mata ke mana agaknya..." Getus hati. Kepenatan badan menjadikan emosi
mudah 'berapi'.
LUPA
Kadang-kadang
tanpa sedar, dalam memenuhi hasrat ibubapa mendidik anak-anak, mereka sering
merasa ‘berkuasa’ ke atas jiwa-jiwa kecil ini. Sering terlupa yang anak-anak
ini juga manusia yang punya rasa. Beralasankan ibu dan ayah lebih tahu, maka
kesilapan anak-anak acap tidak ditangani dengan cara yang lebih wajar dan
bijaksana. Marah melulu sering didahulu berbanding berbicara dari hati ke hati,
menyelidik duduk perkara sebenar sebelum memberi penjelasan panjang lebar.
Ironinya,
orang-orang dewasa bergelar ibubapa ini adalah juga mereka yang pernah
menjalani zaman kecil, di usia sama seperti anak-anak mereka sedang berada. Jika
dahulu, semasa kecil perlakuan sama diberikan, sudah pasti penerimaan yang
tidak jauh berbeza dirasakan dalam hati.
Memang
benar, banyak ketikanya, ibubapa mahu anak-anak mereka menjadi matang lantaran
menjadi dewasa adalah satu perkara yang tidak terhindarkan dari hidup manusia.
Selain secara biologisnya anak-anak ini akan bertambah besar dan tua, setiap
mereka yang bergelar manusia juga akan dituntut untuk bertanggung jawab atas
kelangsungan hidupnya sendiri.
Kerana
itu, sejak kecil anak-anak ini mahu dipersiapkan untuk menghadapinya, contohnya
melalui pendidikan, dan ketika tuntutan itu semakin tinggi, maka persiapannya
juga turut semakin berat sehingga tanpa sedar,
mereka membesar atas kehendak dan acuan yang dibentuk ibubapa dan dibawa
menjauh dari potensi diri yang sebenar.
Mungkin,
ada relevannya pendapat yang pernah saya baca, bahawa setiap orang dewasa
hakikatnya pernah melalui masa kanak-kanak mereka, namun tidak semua yang
mengingati…bahkan hampir semua lupa bagaimana ‘rasanya’ menjadi seorang
kanak-kanak yang dikawalselia oleh orang dewasa.
THE
LITTLE PRINCE
Berkesempatan
menonton sebuah filem animasi yang cantik lagi menarik sewaktu bermusafir
dengan penerbangan udara baru-baru ini, menjadikan saya cukup teruja dengan
watak utama yang ditampilkan dalam filem tersebut, The Little Prince.
Ia
merupakan filem animasi yang diangkat dari sebuah buku karya Antoine de
Saint-Exupery, dan merupakan buku yang paling banyak diterjemahkan ke dalam
pelbagai bahasa dengan judul asalnya, Le Petit Prince.
Sungguhpun
filem ini dilihat sebagai satu hiburan buat kanak-kanak dengan lakaran
penuh warna-warni, namun, saya merasakan ia juga amat sesuai ditonton oleh
orang dewasa, terutama ibubapa yang sedang berhadapan cabaran mendidik
anak-anak yang menginjak usia remaja.
Ini
kerana, kisah The Little Prince sangat sarat berisi nasihat serta pesan
bagaimana kualiti seseorang individu dewasa itu banyak ditentukan dari masa
kanak-kanaknya.
Apakah
mereka puas menjalani masa kecil yang penuh dengan imaginasi dan kreativiti?
Atau justeru terkongkong oleh orangtua?
Lewat
filem ini, pengajaran yang dibawa adalah awal mula permasalahan terjadi kepada anak-anak, bila
mana orang dewasa tidak mampu menangkap maksud dari tindakan atau sikap mudah
yang ditunjukkan oleh mereka. Dalam cerita ini, iktibar tersebut diwakili oleh
perasaan kesal dan hampa seorang kanak-kanak apabila lukisan ular yang
dilakarnya sedang menelan seekor gajah tidak dapat difahami oleh orang dewasa,
bahkan lebih dari itu, hasil usahanya itu diperlekeh dan dianggap sebagai
membuang masa.
Kanak-kanak
itu mengeluh : “ Orang dewasa tak pernah memahami sesuatu seperti apa
sepatutnya, dan sungguh melelahkan bagi anak-anak jika harus menjelaskan
sesuatu kepada mereka.”
MESRA
KATA-KATA
Pada
saya, apa yang boleh diperbaiki oleh ibubapa dalam menangani anak-anak dan
seterusnya untuk memahami mereka ialah dengan menggunakan pendekatan yang lebih
‘mesra kata-kata'.
Bahasa
yang dilontar, melalui patah-patah perkataan yang digunakan, biasanya banyak
memainkan peranan menukar mood tidak baik kepada sebaliknya.
Hasil
pembacaan saya kepada beberapa buah buku keibubapaan menemukan saya dengan
teknik-teknik berikut :
1) Jauhkan
dari menuduh, sebaliknya beri penjelasan.
MENUDUH
: “Wani, kenapa cuai sangat ni? Tengok apa yang Wani dah buat. Habis basah
karpet baru kita..” Gerutu seorang ibu apabila melihat karpet baru ruang tamu
basah dengan air minum.
MENJELAS
: “ Wani, karpet kita basah kerana air yang tumpah, boleh tolong bersih dan
lapkan untuk ummi?”
2) Jauhkan
menuduh, sebaliknya beri informasi.
MENUDUH
: “ Shahir, apa kamu fikir kamu buat? Siapa yang beri kebenaran untuk conteng
meja ni? “ Marah seorang guru kepada muridnya yang sedang asyik menconteng
meja.
BERI
INFORMASI : “ Shahir, meja bukan untuk diconteng-conteng di atasnya, kalau
untuk melukis atau menulis, gunakan kertas.”
3) Dari
memberi arahan, sebaiknya berikan pilihan.
ARAHAN
: “ Awatif tak dengarkah apa yang Mama cakap? Sekarang masa tidur. Naik atas,
gosok gigi dan tidur!” Arah Puan Normah kepada anaknya yang masih bulat mata
bermain anak patung kegemarannya.
PILIHAN
: “ Wah, cantiknya anak patung Awatif. Kalau Awatif belum mengantuk, Mama beri
masa 5 minit sahaja lagi untuk bermain, atau Awatif boleh terus naik ke atas,
gosok gigi dan tidur. Ok, sayang?”
4) Usah
mengugut, sebaliknya beri ayat atau perkataan mudah.
MENGUGUT
: “ Hasif, kenapa tak pakai jaket? Sejuk kat luar tu, demam nanti, Mak tak mau
beli ubat...” Ugut Mak Cik Nani kepada anaknya yang selalu lupa memakai jaket.
GUNAKAN
PERKATAAN : “Hasif, pakai jaket.”
5) Jauhkan
‘sarcasm’ sebaliknya jelaskan apa yang kita rasa.
SARCASM
: “Hayati, awak ingat saya ni pokok ke? Saya tak suka awak asyik pegang baju
saya macam ni..” Rungut seorang guru tadika kepada anak muridnya yang masih
belum biasa dengan suasana baru sekolah, hingga suka bergantung kepada hujung
baju gurunya itu.
JELASKAN
: “Hayati, cikgu rasa kurang selesa bila Hayati pegang baju cikgu selalu.
Tolong lepaskan dan kita baca buku sama-sama, ok?”
Anak-anak
yang telah melakukan kesalahan juga tidak akan merasa ‘terhukum’ lagi dan lagi
setelah rasa bersalah akibat kesilapan yang dibuat telah pun menjadi satu
hukuman buat mereka. Sebaliknya, mereka terdidik secara langsung untuk lebih
prihatin, peduli dan responsi.
JANGAN
HILANGKAN….
Tidak
lama...saya mengintai ke depan. Melihat Khalil kembali bermain bersama adik
kecilnya, mereka tertawa dan usik mengusik bersama, menyelinap rasa bersalah di
jiwa.
Perlahan-lahan
dia saya hampiri.
"
Tadi Khalil buat apa sampai adik boleh jatuh ke lantai. Khalil tengok tv ye?
" Saya menyoal. Khalil diam.
"
Khalil main dengan adik, tapi adik tersalah pegang, jatuh...Khalil tak tengok
tv pun, ummi.." Dia menjelaskan. Perlahan suaranya.
"
Khalil tak sempat pegang dan sambut adik? " Soal saya lagi. Dia
mengangguk.
"
Hmmm...ummi minta maaf ye sebab tak dengar penjelasan Khalil tadi..lain kali
Khalil kena hati-hati, jaga adik baik-baik, kan adik kecik lagi.." Saya
mencium dahinya. Senyumannya melebar. Sinar matanya bercahaya.
"
Khalil marah adik tak.. Kerana adik Khalil kena marah?" Sengaja saya
menduga.
Kali
ini dia tertawa kecil.
"
Taklah.. Adik kan kecik lagi.."
Saya
sebak...Benarlah nasihat orang-orang lama :
Dengarlah
untuk memahami, bukan mencari isi bagi membalas lagi dan lagi untuk memuaskan
diri sendiri....
Dan....
Biar
sedewasa bagaimanapun kita, usah hilangkan jiwa 'anak-anak' dari
diri...Anak-anak, tak sukar untuk kembali ceria, mudah lupa dan mudah
memaafkan...besarnya jiwa mereka.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.