Suatu pagi, ketika saya menunggu
barang-barang yang dibeli selesai dikira jumlahnya oleh pekedai runcit, datang
seorang wanita yang menurut agakan saya sudah mencecah usia 60-an, ke kaunter
bayaran dengan memegang palstik dan bakul yang agak penuh di tangan.
"Tujuh biji kelapa parut ni ye
nak..." Dia menyua plastik kuning berisi kelapa parut ke depan pekedai
yang sedang mengira barang terakhir saya.
Pekedai hanya mengangguk sambil
meneruskan kerjanya. Makcik tua tersenyum manis. Cantik dan tenang wajahnya
pada pandangan. Kelihatan dari barang-barang yang dibeli, agak banyak juga; ada
seplastik besar air kelapa, beberapa bungkus rempah ratus dan barang-barang
lain yang saya tidak pasti kerana telah siap berbungkus.
'Mungkin ada kenduri agaknya..tak pun
berjualan..' Saya menebak.
Saya menoleh ke arahnya, dan kebetulan
juga dia sedang memandang. Lantas, kami berbalas senyuman.
"Banyak beli kelapa, mak cik.
Makcik berniaga?" Saya meramahkan diri.
"Taklah nak, untuk makan sendiri
je ni...anak cucu kat rumah ramai. Mereka suka makan masakan mak cik."
Senyuman manisnya bertambah manis pada pandangan saya.
"Mak cik nak masak apa ni? "Saya
memanjangkan perbualan sementara menunggu pekedai siap memasukkan barang-barang
ke dalam plastik barangan.
" Nasi dagang...ini semua
rempah-rempah yang mak cik guna," Makcik tua menyua beberapa bungkusan
kecil rempah-rempah yang dibelinya. Saya meninjau. Ada halba, ketumbar, jintan
manis, jintan putih dan kulit kayu manis.
AIRTANGAN
Perbualan singkat ini memberi kesan tersendiri di
hati. Ia mengingatkan saya kepada seseorang yang tak mungkin pudar dari
ingatan, dengan izin-NYA, walau waktu terus beredar. Seseorang yang sebahagian
usianya mengandung, melahir dan mengasuh saya sehingga dewasa.
Dan di antara jasa dan baktinya yang tidak
mungkin saya mampu membalasnya ialah kasih sayang yang dicurahkannya pada ‘airtangan’nya.
Dia yang saya dan adik beradik lain memanggilnya ‘Mak’ adalah seorang ibu yang memiliki wajah penuh kelembutan
beserta senyuman yang sukar lekang dari bibir merahnya; tidak pernah gagal menyediakan juadah buat suaminya
dan anak-anak di rumah.
Sepanjang tempoh membesar, memasak…bagai tidak
pernah kami mendengar keluhannya meluahkan penat atau lelah. Bermula dengan desiran gorengan cucur, bau
kukusan kuih atau aroma roti canai yang telah diperap minyak pada malam hari,
bersambung pula dengan menyediakan juadah tengahari, minum petang dan menu
malam jika lauk dan sayur pada siangnya telah kehabisan. Maklum, dengan anak
seramai sembilan orang, makanan biasa-biasa lagi sederhana pun sangat
menyelerakan jika dijamah beramai-ramai!
Esok
hari, sebaik mentari muncul menyinari bumi, membawa ke tengahari dan senja
kembali memunculkan diri, rutin memasak
berulang kembali. Akan tetapi, apabila ada tetamu bertandang dan bulan
Syawal semakin menjelang, kekerapan memasak semakin bertambah tetapi riak
gembira tetap terpancar indah pada wajah mak.
“Tetamu,
membawa rezeki…”
“
Kuih muih buatan sendiri lebih seronok untuk dinikmati di hari raya nanti,”
Demikian didikan mak.
Sehinggakan,
saya mencongak-congak. andai didarab bilangan hari sepanjang saya membesar di
samping mak dengan kekerapannya memasak, pasti tidak terkira keringat yang
mengalir kerananya. Inilah erti keberkatan yang melimpah dari jiwa wanita yang
padanya tergalas amanah mengurus sebuah rumah. Ia bukan semata mencorak bahagia
pada mahligai yang dibina, akan tetapi lebih dari itu ia mengandung makna
syukur dan sabar pada Tuhan Yang Maha Esa.
PERUBAHAN
ATAU ALASAN?
“
Ummi dah lama tak buat kuih..” Suatu ketika si anak dara nombor dua meluah
kata.
Saya
terdiam dan menoleh ke arah kak ngah.
Entah mengapa, menyelinap satu perasaan malu dan bagai tersedar dari
sesuatu usai mendengar bicaranya itu.
“Dulu,
masa kita di UK ( United Kingdom ), ummi selalu masak kek dan kuih…” Kak ngah
menambah. Dia tersenyum hambar namun diiringi renungan penuh makna. Kata-katanya
itu mengimbau perjalanan setahun sepuluh bulan kami di Wales dan Leicester.
Saya
akui, keseronokan mencuba pelbagai menu dan resepi sangat menguja saya untuk
memasak dan memasak. Apatah lagi, kawan-kawan senegara yang juga anak rantau
seperti kami, selalu mengadakan perjumpaan dan pertemuan, maka agenda makan menjadi
satu kemestian. Dari sini, kami saling merasa juadah airtangan masing-masing,
bertukar-tukar resepi dan mengeratkan perkenalan antara satu sama lain.
“Kak
ngah nak ummi masak kuih ye?” Saya membalas. Dia mengangguk. Kami berbalas
senyuman. Walau dari dalam hati, jawapan yang ingin saya lontarkan sedikit
berbeza dari apa yang telah dilafaz. Bagai ingin sahaja saya menuturkan ‘sebab’
mengapa saya tidak lagi memasak sekerap di luar negara dahulu.
Perubahan
rutin harian setelah pulang dari luar negara setelah suami berjaya menyandang
gelar Doktor Falsafahnya, dan kemudiannya saya sekeluarga dianugerahi pula seorang
ahli baru menambah kecerian anak-anak sedia ada, menjadikan saya kurang memiliki
keinginan dan ghairah memasak sebagaimana ketika di perantauan dulu.
Selain
juadah tengahari yang selalu saya masak sendiri, sarapan serta minum petang
sangat jarang saya sediakan. Ditambah pula, apa sahaja yang terlintas untuk
dirasa dan menggamit selera, mudah kedapatan di sini sana, tanpa perlu bersusah
payah memikirkan barang, membeli dan kemudian ‘berperang’ di dapur dengan masa
yang entah berapa lama pula.
Namun,
setelah mendengar luahan pendek dari bibir kak ngah, saya tersentak.
Mungkinkah
sebab-sebab yang menerawang dan menguasai fikiran itu sekadar ‘alasan’?
Hakikatnya,
apa yang saya rasakan mudah dan memberi sedikit waktu lapang serta keselesaan
diri itu, tidak disambut dengan rasa yang sama oleh anak-anak. Walau sesekali,
saya dan suami membawa anak-anak menikmati makanan di restoran-restoran yang
agak terkenal di kalangan masyarakat setempat, airtangan seorang ummi ini masih
mereka nanti-nanti.
PUDING
JAGUNG ALA TIRAMISU
Petang
itu, saya membuka blog resepi yang telah lama tidak saya kemaskini. Keinginan
memasak kembali membara setelah perbualan ringkas bersama makcik tua di kedai
dan peringatan penuh kasih dari anakanda yang dikasihi.
Mata
tertancap pada satu resepi pemanis mulut yang tidak begitu sukar disedia.
Resepi
puding jagung ala tiramisu, ia pernah saya masak dan hidangkan untuk keluarga
serta rakan perantau ketika di United Kingdom dahulu.
Pantas
saya mengumpulkan bahan-bahan dari dalam almari kabinet dapur. Syukur, semuanya
ada dan mencukupi. Langkah demi langkah saya lakukan sebagaimana yang pernah
saya catatkan sendiri ke dalam blog.
Sambil
mengadun bahan, terbayang keriangan wajah anak-anak menikmati puding yang lebih
lazat dimakan dingin setelah dimasukkan ke dalam petisejuk, serta rasanya yang
seakan-akan aiskrim.
Bahan-bahan :
*1 tin jagung manis
*1 tin ( 400 ml ) santan
*2 biji telur
*3 sudu besar tepung kastad ( dibancuh dengan sedikit air)
*Gula secukupnya
*1 cawan air.
2 sudu besar mentega/butter
1 bekas krim putar.
Serbuk koko
Chocolate Rice
Cara-cara :
1) Kisar jagung separa hancur, pukul telur dan campurkan air pada
tepung kastad.
2) Campurkan semua bahan bertanda * dan masak di atas api yang
sederhana hingga pekat. Pastikan adunan dikacau sentiasa supaya tidak berketul
dan menghasilkan puding yang licin.
3) Setelah pekat, tutup api dan masukkan mentega, kacau sehingga
sebati.
4) Masukkan dalam bekas dan sejukkan terlebih dahulu.
5) Setelah sejuk, ratakan krim putar yang telah dipukul sekejap dan
dihias dengan serbuk koko dan chocolate rice.
MEMASAK
DARI HATI
Apapun, saya pasti, setiap insan bergelar anak
yang telah ditatang bagai minyak yang penuh, amat memahami bagaimana ‘enak’nya
masakan daripada seseorang yang dipanggil ibu, mama, mummy, ummi atau emak.
Ini
kerana, air tangan ibu memiliki makna tersendiri. Di dalamnya melimpah rasa
cinta, melaut sayang untuk keluarga yang dikasihi. Mungkin itulah 'ramuan'
tambahan penambah kelazatan apa jua masakan bonda.
Memasak dari hati!
Walau penat, memasak untuk
keluarga tetap jadi keutamaan. Lebih menakjubkan, segala lelah bagai hilang
melihat anak-anak berebut menjamah hasil masakan...penat terubat dengan sendawa
mereka, kekenyangan.
Sesungguhnya,
kelazatan pada lidah, membawa kerinduan pada jiwa, dua rasa membekas cinta nan
indah, berkasih keranaNYA.
Saya
membenarkan satu nasihat yang pernah diucapkan oleh seseorang yang saya hormati,
bahawa apa-apa amal sekalipun memerlukan kesungguhan dalam menunaikannya, tidak
terkecuali dalam menjalin ikatan kekeluargaan lebih-lebih lagi untuk kemesraan serta
hubungan cinta antara pasangan, ibubapa dan anak-anak kesayangan.
Ia
bukan sekadar senyum manis saat menyapa, atau susunan kata-kata simpati kala
sakit dan musibah menimpa.
Ia
adalah inisiatif, bukan menunggu; memberi, bukan menuntut; tangan di atas bukan
tangan di bawah...walau yang disua hanya puding kegemaran seisi keluarga.
Alhamdulillah.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.