16 January 2010

BUKAN PERTANDINGAN !



Saya sebenarnya kurang selesa bila ada orang bertanya berapa juzukkah bacaan al-Quran anak-anak saya. Andai sekadar bertanya, masih tidak mengapa. Saya akan menjawab dengan penuh lapang dada. Akan tetapi, yang menjadi sebab ketidakselesaan saya ialah bila jawapan saya dibalas dengan pandangan mata seakan tidak percaya.

“Eh..takkan baru banyak tu. Anak saya, Alhamdulillah… dah nak khatam dah,” dia berkata dengan nada suara dan senyum sinis yang menyakitkan mata dan jiwa saya. Namun, saya tahankan hati. Buat-buat biasa, seolah-olah tidak terasa.

“Tak mengapalah…saya memang agak ‘keras’ dalam bab mengaji ni. Selagi belum betul-betul lancar, bacaan mereka tidak akan saya alih ke muka surat seterusnya,” penuh yakin saya menjelaskan pendirian.

Saya percaya, ada di kalangan pembaca yang pernah mengalami situasi sama seperti saya. Tidak tahu apa tujuan dan maksud dia berkata begitu. Bukanlah saya mahu menelah niat di dalam hatinya, cuma cara dia menyatakan kesyukuran atas pencapaian anaknya itu, seakan-akan satu sorakan kemenangan atas kekalahan saya dan anak-anak untuk bergelar juara.

Apakah maknanya?

PERTANDINGAN IBU BAPA
Saya melihat situasi ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Kebimbangan ini semakin meningkat, bila mana saya membaca komen-komen ibu bapa dari mana-mana blog yang saya lawati. Gaya mereka mengkritik, serta dalam masa yang sama menonjolkan kebaikan dan kejayaan anak-anak mereka, bagi saya amat tidak kena.

Seakan-akan mereka mahu menyatakan, merekalah ibu bapa yang mahir mendidik. Cara mereka, adalah cara yang terbaik dan seumpamanya.

Begitu juga dalam perbualan sehari-hari. Topik berbangga dengan kecemerlangan anak-anak hasil asuhan dan didikan mereka sering ditonjolkan dalam suasana penuh mendabik dada. Sebagai contoh, cuba anda teliti perbualan di bawah :

“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.

“Oh..anak-anak saya tak pula begitu. Masuk je waktu terus mereka solat bersama-sama. Syukur..mudah kerja saya,” balas ibu kedua dengan senyum simpulnya.

“Anak-anak saya pulak, solat ke, mengaji ke..semua mereka tahu buat sendiri. Tak payah saya bising-bising,” jawab ibu ketiga dengan senyuman melebar ke telinga.

Amat mendukacitakan! Ibu-ibu tersebut bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai pertandingan sukan sahaja kelihatannya. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan lain yang kecundang. Semua yang ada tidak mampu mengatasi kehandalannya.

Bukankah lebih baik sekiranya perbualan tersebut berlansung begini :

“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.

“Oh, budak-budak memang begitu. Lebih-lebih lagi bila dah ada permainan atau cerita di depan mata. Tapi, kita sebagai ibu bapa tak boleh putus asa. Kena selalu ingatkan dan beri nasihat,” balas ibu kedua dengan kata-kata semangat.

“Ya, betul tu. InsyaAllah, kalau selalu diajak solat bersama, mengaji bersama..lama-lama mereka akan biasa. Lagi pun, itu untuk kebaikan mereka juga,” jawab ibu ketiga dengan kata-kata meransang jiwa.

FASTABIQUL KHAIRAT
Hakikatnya, Islam meraikan apa saja kaedah dan cara mendidik anak-anak, asal sahaja ia tidak bercanggah dengan ajaran agama yang mulia. Hikmahnya, untuk memberi peluang bersaing secara sihat dalam menggapai kebaikan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan “ ( Surah al Baqarah ayat 148 )

Namun perlumbaan yang digalakkan ini bukanlah perlawanan yang bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling membantu ke arah ketaqwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” ( Surah al Maidah ayat 2 )

Justeru itu, pada saya, ibu bapa tidak sepatutnya saling cuba mengatasi antara satu sama lain. Kemahiran keibubapaan dan kejayaan anak bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang. Sebaliknya ia adalah perlumbaan meraih kebaikan dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah dan nilai persaudaraan sesama Islam. Boleh menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!

Andai ada ibu bapa yang merasakan cara didikannya adalah cara yang baik dan boleh disebarluaskan, berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya orang lain. Sementara kepada yang masih belum berpuas hati dengan amalan dan gaya didikan, belajarlah dari ibu bapa lain dengan ikhlas tanpa membuat perbandingan.

SAYANGI SAUDARAMU
Inilah penegasan Rasulullah SAW tatkala Baginda menitipkan sabdanya yang bermaksud :

“Tidak beriman salah seorang dari kamu sekalian, sehingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Sesuai dengan saranan dari hadis di atas, dapat difahami bahawa kasih sayang merupakan elemen utama yang perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap saudara Muslimnya yang lain. Apa-apa kebaikan yang dinikmatinya, mahu terus dikongsi bersama. Manakala apa-apa keburukan yang menimpa, bersegera dia berdoa dan berharap agar tiada orang lain mengalami nasib serupa.

Lebih-lebih lagi jika kebaikan yang diperoleh berkait perkara-perkara agama yang pastinya penting untuk meraih kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat sana. Inilah keinginan kita semua. Namun, hal ini tidak akan pernah wujud dan sulit mencapainya jika tiada usaha bantu membantu dan tolong menolong untuk membuka jalan kearah keinginan tersebut.

Ingatlah, kedamaian dan keharmonian hidup di dunia ini tidak akan terhasil hanya dengan satu dua keluarga sahaja yang berjaya, atau satu dua keluarga yang anak-anaknya berakhlak belaka. Akan tetapi, ia dapat diperoleh bila setiap keluarga yang membentuk masyarakat itu juga berjaya dan berakhlak mulia.

Demikian pengajaran dari perjalanan hidup Rasul yang mulia. Bermula dengan persaudaraan suku Aus dan Khazraj seterusnya penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar, akhirnya melahirkan sebuah negara Islam yang mampan. Digeruni kawan dan lawan.


BUKAN PERTANDINGAN!
Akhirnya, setiap ibu bapa perlu yakin dengan corak didikan dan asuhan masing-masing. Seterusnya, berlapang dada terhadap ketidaksempurnaan yang mungkin ada. Apa yang perlu adalah sentiasa menambah baik apa yang ada dari semasa ke semasa. Terlalu berbangga dengan pencapaian keluarga dalam keadaan memandang sebelah mata kepada keluarga yang kurang berjaya, hanya akan mencambah benci dan hasad di dalam jiwa.

Kita semua manusia. Sifat riak, bangga diri, cemburu dan iri hati, semua itu merupakan jarum-jarum syaitan yang tidak membawa erti apa-apa.

Paling penting, kasihanilah anak-anak. Jangan jadikan mereka umpama ayam sabungan. Menangnya dijulang, tewasnya nanti alamat mati dipanggang. Mereka juga punya perasaan dan perlukan perhatian.

Jangan pula, anak-anak yang memiliki ibu bapa berdaya saing ini beranggapan, hanya dengan kecemerlangan zahir dan fizikal sahaja mereka akan dapat meraih perhatian istimewa ibu bapa. Nama mereka disebut-sebut setiap masa, sedangkan jika gagal, tiada lansung pandangan gembira apatah lagi keghairahan untuk bermesra sebagai satu keluarga. Lebih bimbang, sekiranya kegagalan spiritual tidak termasuk dalam senarai keutamaan ibubapa.

Lagi pula, bukanlah kejayaan masa kecil ini petanda kepada kejayaan yang konsisten di waktu dewasa. Mungkin sahaja, suasana akan bertukar sebaliknya. Realiti yang berlaku banyak mengesahkan hal ini.

Lalu, mengapa tidak kita mulakan hari ini. Berusaha menyapa sahabat-sahabat bergelar ibu bapa dengan perasaan ingin saling berkongsi kebaikan dari pengalaman yang ada (tentu saja dengan senyum yang ramah dan menyejukkan). Mudah-mudahan, secara tidak langsung kita sudah mengikat rantaian kasih sayang dan persaudaraan.

Semoga masyarakat Islam yang gemilang terbilang sama-sama dapat kita jelmakan! InsyaAllah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

13 January 2010

PULANGKAN

Tulisan ini adalah untuk menjawab persoalan dari seorang pengunjung pada artikel ‘Pakaikan Dirimu pakaian taqwa’.
Soalan itu dikatakan dari seorang wanita Cina yang Free-thinker :

1) mereka ditanya apakah maksud 'fitrah', dan adik2 ni jawab "yg Allah dah jadikan terhadap sesuatu, cthnya, wanita fitrahnya lembut". Maka wanita tersebut balas balik, apa bukti fitrah wanita mesti lembut? dan buktinya...
2)soalan kedua pasal knape lelaki ada yg tukar jantina ke wanita? dan sebaliknya...isu fitrah juga.

Pertamanya, saya bukanlah orang yang layak untuk menjawab semua persoalan besar yang diutarakan. Namun atas dasar saling ingat mengingati dan berkongsi, saya cuba berikan sedikit huraian berpandu pengetahuan yang sedikit ini, InsyaAllah.

Umumnya, perbincangan tentang fitrah bertitik tolak dari firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” ( Surah al-Rum ayat 30 )

Manakala dari hadis nabi juga ada menyebutkan tentang fitrah ini, sebagaimana hadis dari Abu Hurairah yang bermaksud :

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ( suci ), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Dari ayat dan hadis tersebut, dapat difahami bahawa fitrah itu ialah naluri beragama ( Islam ) yang suci dan bersih. Kecenderungan dan kecintaannya memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Di dalam sebuah hadis disebutkan oleh Rasulullah SAW :

“Kebajikan ialah sesuatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Manakala dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan di dalam hati dan terasa bimbang di dada”. ( Riwayat Ahmad )

FITRAH DAN RUH
Fitrah wujud sejak azali lagi di dalam diri manusia, iaitu sebelum mereka dilahirkan ke dunia; ketika masih di alam ruh sebagaimana Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini.” ( Surah al-Araf ayat 172)

Kerana itu fitrah dan ruh saling berkait rapat antara satu sama lain. Seterusnya, ruh pula bertindak sebagai rantaian yang menghubungkan nafsu, akal dan hati. Justeru, jika manusia lari dari fitrah ini, maka rantaian ini akan terurai lalu manusia akan menyimpang dari kebenaran dan sesat dalam kegelapan bawaan Syaitan.

WANITA DAN KELEMBUTAN
Sebagai contoh, wanita diciptakan secara fitrahnya sebagai makhluk yang penuh dengan kelembutan, sensitif, mudah emosi dan keras hati. Walaubagaimanapun, perbezaan terhadap perkembangan dan pembentukan semua fitrah ini, antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain, tentu sahaja berkait secara lansung dengan latar belakang di mana dia dibesar, bagaimana dia diasuh dan didik serta perjalanan hidupnya sehari-hari bersama teman dan orang-orang di sekitarnya.

Sifat-sifat yang ada pada wanita ini merupakan fitrah yang menjadi tunjang utama untuk mereka berperanan sebagai ibu dan isteri. Tanpa sifat-sifat ini, mereka tidak akan peka pada setiap kehendak dan keperluan dalam kehidupan. Dan ia merupakan satu keistimewaan yang cukup beerti, kerana dengannya, wanita mampu melahirkan cinta dan kasih sayang yang tidak bersempadan sama ada sebagai isteri, mahupun seorang ibu kepada anak-anaknya.

Namun begitu, kematangan dan kerasionalan mereka dipengaruhi oleh pembentukan emosi yang sentiasa memerlukan bimbingan. Sebagaimana di dalam satu hadis, Rasulullah SAW menjelaskan yang bermaksud:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).” ( Riwayat Bukhari )

Tulang rusuk yang semulajadinya bengkok merupakan gambaran sifat fizikal dan mental yang cukup istimewa pada wanita. Walaupun pada dasarnya, ia merupakan sifat semulajadi yang tidak seimbang, justeru tugas ‘meluruskannya’ beerti memikul tanggung jawab yang cukup berat kepada kaum lelaki, khususnya seorang ayah dan suami. Mereka bukan sekadar perlu membimbing, bahkan perlu sentiasa bersabar dalam memberi nasihat yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh agama yang mulia ini.

TUKAR JANTINA
Mengenai lelaki yang menukar jantina kepada perempuan atau sebaliknya, mereka sebenarnya melawan fitrah yang ada di dalam diri. Hakikatnya mereka menghadapi kecelaruan jantina yang berkemungkinan disebabkan sejarah hitam di dalam hidup lampau mereka.

Begitu juga, tidak kurang ada di kalangan lelaki yang berperwatakan lembut dan wanita yang berperangai kasar, hasil dari asuhan dan pendedahan yang tidak betul dari keluarga sejak kecil. Kerana itu di dalam Islam, salah satu adab berpakaian yang ditegaskan ialah tidak menyerupai pakaian lelaki bagi wanita dan tidak menyerupai pakaian wanita bagi lelaki. Hal ini dinyatakan melalui sabda Baginda Rasul yang bermaksud:

"Rasulullah SAW melaknat lelaki yg memakai pakaian wanita dan wanita yg memakai pakaian lelaki" (Riwayat Abu Daud dgn sanad sahih)

Jika perbuatan menyerupai sahaja pun telah dilaknat oleh Baginda SAW, apatah lagi perbuatan mengubah sesuatu anggota daripada lelaki kepada anggota wanita, tentu lebih-lebih lagi dosanya.

Alasan naluri dan batin yang ingin menjadi perempuan atau sebaliknya, tidak boleh diterima untuk mengharuskan perbuatan tersebut. Jika begitulah alasan yang diterima pakai, tentu sahaja akan berlaku banyak kerosak dan kebinasaan di dalam masyrakat.

Contohnya, seorang yang suka merompak, pasti akan menggunakan alasan naluri jiwanya suka merompak untuk menghalalkan perbuatan jahatnya itu. Begitu juga perogol, penzina, dan pelbagai pelaku maksiat dan jenayah. Tentu sahaja mereka boleh berhujah atas naluri jiwa yang suka melakukan perbuatan-perbuatan mungkar dan dosa tersebut. Alangkah dahsyatnya!


PULANGKAN
Akhirnya sebagai kesimpula, sedarilah bahawa kehidupan insan di atas muka bumi Allah ini bukanlah sekadar bersifat ‘trial and error’ semata-mata tetapi ianya sudah mempunyai arah dan tujuan hidup yang jelas sebagaimana yang telah digariskan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Pedoman dan jalan kebenaran hanya dapat dicapai menerusi hati yang tidak buta, akal yang waras dan tindakan yang selaras dengan didikan agama. Kemampuan ini sebenarnya ada dalam diri setiap manusia. Jawapannya ada di dalam setiap jiwa.

Tinggal lagi, pulangkan ia.

Kembalilah kepada fitrah yang asal. Fitrah azali dari Ilahi.

** Sebagai tambahan maklumat dan ilmu. Para pembaca dialu-aIukan menambah ilmu dan pengetahuan dari entri suami saya ini. Ia berkaitan hukum Islam, Fitrah dan aqal manusia.
** Dan jika para pengunjung ada tambahan pandangan terhadap topik yang dibicarakan ini, pandangan anda juga amat dialu-alukan. Jazakumullah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

9 January 2010

PAKAIKAN DIRIMU PAKAIAN TAQWA

“Kenapa muka Ummi berkerut-kerut tu?” Kak Long yang suka bertanya menghampiri saya. Saya menoleh memandang kepadanya. Tersenyum lantas kembali menatap gambar-gambar penuh warna ceria.

“Wah!Cantiklah…”tukasnya tiba-tiba. Belum pun sempat saya menjawab, bebola anak matanya lebih dahulu memandang skrin komputer. Teruja dan terpesona.

Bercorakkan motif floral abstrak dengan kombinasi satin warna ungu di bahagian dada, baju dari kain satin lembut warna hijau muda terang itu sangat menarik pandangan mata. Ditambah pula aksesori tambahan dari batuan mewah, baju itu cukup memukau dan indah. Itu tanggapan awal saya.

“Kak Long suka?”soal saya pula. Kak Long tersenyum lebar mengiyakan pertanyaan saya.

Memang cantik. Sebagai perempuan saya juga turut tertarik.

Cuma, ada kerisauan yang berdetik setiapkali saya menemukan gambar-gambar seumpamanya.

Memang perkara yang satu ini sungguh membimbangkan saya. Dari sehari ke sehari, perkembangannya merunsingkan hati. Kecamuk jiwa mengenangkan nilai Islam yang diletakkan bergandingan dengannya, sedangkan paparan yang ada menunjukkan ia sangat jauh dari ciri-ciri yang diharuskan agama.

Lebih-lebih lagi apabila pemakainya seakan-akan menonjolkan keindahan pakaian dengan bentuk tubuh yang masih jelas dapat diteroka oleh mata. Aduhai…

MELATA
Sudah lama sebenarnya saya memendam keinginan untuk berbicara sepatah dua mengenainya. Namun bak kata pepatah : Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Serba salah.

Bukan saya tidak bersyukur. Bahkan saya akur, dek perkembangan fesyen pakaian Islam inilah, semakin ramai wanita Muslimah hari ini mengenakan tutup kepala. Bertudung dengan pelbagai cara dan gaya. Hal ini wajar mengembirakan saya dan kesyukuran ini dipanjangkan dengan tahmid kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Kaya.

Saya masih ingat betapa sukarnya Muslimah dahulu berjuang mempertahankan komitmen mereka untuk memenuhi kehendak agama. Mahu berpakaian menutup aurat walau bukan sedikit tentangan dan cabaran yang diterima. Mereka diejek, digertak dan dipandang sebelah mata sama ada oleh pihak sekolah, majikan atau ibu bapa. Namun, semua itu tidak mengurangkan semangat mereka hingga bilangan yang ada bertambah dari semasa ke semasa.

Berkat kesungguhan dan kesedaran pelopor awal inilah, beransur-ansur Muslimah bertudung mulai diterima di kalangan masyarakat, dari peringkat rakyat bawahan hingga kepada isteri-isteri pimpinan.

Kesan dari itu, rekaan dan gedung pakaian yang menampilkan ciri Islam mulai berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ia melatari persona dunia fesyen dengan meletakkan tuntutan syarak sebagai asas. Mendekati hati lembut wanita dengan variasi corak ilham perekanya. Melalui pelbagai tema.

Pesona Muslimah trendy terkini, Santun anggun menyerlah,
Sopan gaya kontemporari, Syari’e cantik tidak kalah.

Ya, dari suatu segi ia suatu perubahan yang amat membanggakan,namun dari sudut lain ia mewujudkan kebimbangan.

SALAH
Kebimbangan inilah yang melunturkan kegembiraan saya, bila melihat kepada penampilan pakaian yang tidak kena dengan namanya sebagai busana Muslimah yang sempurna.

Cuba anda lihat contoh pakaian di bawah ini.


Dan ini :



Sekali pandang, mungkin tidak ada apa-apa yang salah padanya. Labuhnya cukup menutup bahagian pinggul, berlengan panjang dan lengkap pula bertudung kepala. Akan tetapi, jika dinilai dari sudut ilmu dan kefahaman tentang ciri-ciri pakaian wanita Islam, ia sangat bercanggah dengan kebenaran.

Ciri-ciri yang digariskan di dalam Islam, berpandu al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW ialah :

1. Menutup aurat sebagaimana sabda Baginda : Telah berkata Aisyah RA “Sesungguhnya Asma’binti Abu Bakar menemui Nabi SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”


2. Tidak nipis sehingga nampak bayangan tubuh badan dari luar. Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabda Baginda yang bermaksud :“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah, kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh” (Riwayat Muslim)


3. Tidak ketat atau sempit, tetapi longgar dan selesa dipakai. Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh terutama bahagian dada dan pinggul wanita, yang mengiurkan nafsu lelaki, mengecurkan keinginan syahwatnya dan seterusnya dapat menutup aspek kehaiwanan dari golongan itu.


4. Warna pakaian itu suram, tidak garang dan tidak terlalu terang. Tidak menyerlah atau menyilau pandangan, sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya ( terutama pakaian seperti jubah atau abaya). Menurut Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi SAW ketika mereka keluar rumah adalah berwarna hitam.



5. Tidak sekali-kali memakai bau-bauan yang harum, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu lelaki. Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah sehingga lelaki mencium baunya disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai zaaniyah, iaitu pelacur atau penzina. “Wanita apabila memakai wangi-wangian, kemudian berjalan melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini ( iaitu pelacur ). ” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)



6. Tidak menyerupai ( bertasyabbuh ) dengan pakaian lelaki iaitu tidak meniru–niru atau menyerupai pakaian lelaki. Ibnu Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki” (Riwayat Bukhari)



7. Tidak bertasyabbuh dengan pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.



8. Pakaian itu bukanlah bertujuan untuk libasush-shuhrah, iaitu untuk bermegah-megah. Menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan gaya.


HATI YANG BELUM TUNDUK
Saya percaya, rata-rata di kalangan Muslimah hari ini, ramai yang terpelajar dan sedar akan perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” ( Surah An-nur ayat 31 )

Dan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah al Ahzab ayat 59 )

Sudah jelas di dalam dua ayat di atas, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya, mewajibkan setiap Muslimah mukminah, menutup seluruh anggota tubuh mereka. Melindungi lekuk-lekuk yang menggoncang sukma jejaka dan tidak memperlihatkan perhiasan melainkan kepada suami, ayah, bapa mertua, anak-anak dan lain-lain yang dibolehkan melihat aurat mereka.

Ia bermaksud sebagai preventif dan pelindung dari berbagai kerosakan. Ia bukan sekali-kali kekangan dan halangan untuk bergelandangan dalam aktiviti kemasyarakatan. Seorang wanita tetap dapat berinteraksi dalam linkungan sekitarnya dengan syarat ia harus menjaga kesopanan dan kewibawaan tanpa keluar dari batasan syariat Tuhan.

Orang-orang yang hati mereka terlindung dari kegelapan hidayah sering mengemukakan bahwa dengan pakaian cantik dan tampil bergaya, wanita memiliki keyakinan yang lebih untuk berdepan dengan suasana. Hakikatnya, mereka malu untuk keluar dengan gaya biasa-biasa. Mana mungkin penampilan seperti itu mampu melirik tumpuan mata?

Malang, hati-hati ini sebenarnya masih dahagakan pujian manusia. Justeru, busana muslimah yang disarung hanyalah kosmetik untuk kelihatan sopan semata-mata, bukan jujur untuk menjalankan perintah Yang Maha Esa.

PAKAIKAN DIRIMU PAKAIAN TAQWA
Kesimpulannya, dengan perkembangan pesat pelbagai model busana muslimah sekarang ini, bukan bererti kita tidak boleh menyukai atau memakainya. Kenakanlah ia pada tubuh, asal sahaja semuanya tidak melanggar piawaian Islam yang mulia.

Sebagai Muslimah beriman dan bertaqwa, seharusnya kita dapat menjaga hati agar busana muslimah yang kita kenakan tidak mengheret ke neraka. Sematkan niat yang ikhlas untuk mentaati perintah Allah dan jauhkan penyakit riak, ujub atau mencari populariti di kalangan manusia. Tunduklah demi cinta dan redha Allah semata. Benarlah firman-Nya yang bermaksud :

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )

Sedarlah, andai wanita menjaga aurat dengan sempurna dari pandangan yang bukan selayaknya, bermakna dia bukan sahaja menjaga maruah dirinya, bahkan maruah wanita mukmin seluruhnya.

Sesungguhnya peringatan ini demi kasih sayang saya. Kerana kita adalah wanita.

Kerana dirimu begitu berharga, capai duniawi jangan lupa ukhrawi,
Pakaikan dirimu pakaian taqwa, demi jati diri muslimah sejati.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

4 January 2010

WAJAH-WAJAH DI KALENDAR


Sengaja saya letakkan kalendar dengan wajah tiga permata hati saya itu di meja kerja. Betul-betul di sebelah komputer riba yang banyak berjasa. Tempat saya berkarya dan mencurah ilham untuk ditinta.

Kalendar itu sebagai pembakar semangat dan pencetus idea. Menatap wajah ketiga-tiga mereka iaitu Kak Long, Kak Ngah dan Khalil yang sedang tersenyum manis, ia seolah-olah manifestasi keceriaan dan kebahagiaan mereka pada tahun sebelumnya. Dan InsyaAllah, diharapkan kesinambungannya akan terus berlaku pada tahun ini dengan bantuan saya dan suami.

Mereka menghadirkan pelbagai suasana dalam kehidupan saya. Gelagat dan telatah mereka cukup menghiburkan. Namun, tidak dinafi, ada ketikanya kerenah dan ragam mereka menyesakkan dada dan fikiran. Ringkasnya, mereka mengajar saya erti gembira. Dan mereka juga mendidik saya erti sabar dan tidak putus asa.

Bersama mereka saya mencipta kenangan yang tersendiri. Lantaran, setiap dari mereka masing-masing punya karektor dan peribadi.

KAK NGAH YANG CERIA
Setiap kali membaca cetusan minda dan rasa di blog Kak Ngah, setiap kali itu juga saya akan tertawa. Hingga adakalanya Kak Long juga kehairanan melihat keadaan saya.

“Kenapa Ummi…kelakar sangat ke?” Kak Long bertanya melihat saya ketawa.

Saya menggeleng kepala dalam tertawa yang belum reda. Entahlah. Saya sendiri sukar mengungkap, mengapa saya tercuit hati sebegitu rupa. Bukan kerana penggunaan Bahasa Melayunya yang agak ‘rojak’. Bercampur antara bahasa percakapan dan bahasa penulisan. Bukan juga kerana gaya penceritaannya yang agak kelakar.

Akan tetapi, kerana isinya yang menyentap kalbu saya sebagai seorang ibu. Mungkin pada orang lain yang membacanya, ia tidak memberi kesan apa-apa. Biasa-biasa sahaja. Tetapi ia berlainan kepada saya.

Ia berbunyi begini ( saya edit beberapa ejaan yang salah tanpa membetulkan struktur asal ayat ):

“Hari ini Najwa mahu cakap pasal syurga:


Siapa mahu masuk Syurga? Mesti semua orang mahu masuk syurga kan? Syurga ada di bawah tapak kaki ibu kita. Itu kita kena hormat kepada ibu kita, bukan saja kita kena hormat ibu kita, kat ayah pun dan semua. Kalau nak masuk Syurga kita kena buat baik, solat betul-betul, jaga diri, dan selalu sayang Allah S.W.T. Allah S.W.T suka tengok kita buat baik. Tapi Allah S.W.T tak suka kita buat benda yang tak elok. Allah S.W.T sayang kita, kita sayang Allah S.W.T. Syurga tempat orang yang baik tau. Kalau kamu nak masuk Syurga kamu mesti kena buat baik.


Tau tak Syurga macam mana? Syurga kita dapat apa-apa kita nak. Kita nak bicycle ke, nak kereta besar lah, semua kita akan dapat di Syurga. Kalau kita nak makan Ice cream kat dunia kan bila dah habis makan Ice cream kan kita kena gosok gigi sebab nanti rosak gigi, tapi kat Syurga kita punya gigi tak pernah akan rosak. Orang yang akan masuk Syurga adalah orang yang baik dan hormati. Kalau kita buat benda yang tak elok kita masuk....Neraka! Neraka tempat yang paling panas..api nya warna hitam..panas sangat..Syurga tempat kita boleh bahagia :) KALAU MAHU MASUK SYURGA KENA ADA KUNCINYA..APA KUNCINYA? KUNCINYA ADALAH DUA KALIMAH SYAHADAH.! :) Bila kita dah nak meninggal kita kena baca dua kalimat Syahadah dulu.”



KAK LONG YANG SUKA BERTANYA
“Ummi betul ke kita boleh dapat macam-macam dalam syurga?” Kak Long bertanya.

Saya menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada persoalannya.

“ Boleh makan coklat..dan ais krim?” soalnya lagi. Kelihatannya dia masih belum berpuas hati.

“Ya..apa sahaja yang Kak Long minta, semua ada,” saya meringkaskan cerita.

“Apa-apa je? “ Kak Long bertanya lagi untuk lebih pasti.

“Ya..arak pun ada dalam syurga nanti tau,” rumus saya tiba-tiba. Kak Long terbeliak mata. Berkerut dahinya.

“Oo..kalau macam tu, H1N1 pun boleh makan lah ye di syurga nanti,” Kak Long pula membuat kesimpulan yang mengangakan mulut saya.

“Ishh..banyak lagi benda lain yang lebih sedap dari tu..” jawab saya tersipu-sipu. Malu sendiri.

KHALILUR RAHMAN YANG TEGAS
Dari tadi saya melihat Khalil diam. Mukanya masam. Bila dipanggil, dia tidak menyahut. Dipujuk, dia cepat-cepat menyorok.

“Kenapa ni..sayang?” saya bertanya sambil mengusap kepalanya. Biasanya, jika begitu keadaannya, pasti ada sesuatu yang menyinggung hatinya.

Khalil terus senyap. Sepatah pun tidak mahu bercakap. Melihat itu, saya bangun untuk meneruskan kerja-kerja membasuh.

“Ummi..Khalil cakap ni,” tiba-tiba Khalil bersuara.

“Ya..Khalil nak apa, sayang?” saya menjawab tanpa menoleh kepadanya. Terus membasuh periuk belanga di sinki dapur.

“Ummi..Khalil cakap ni,” kali ini suaranya semakin mendatar. Sebak dan sayu. Segera saya mendapatkannya.

“Ya..Khalil nak apa ni. Cuba beritahu Ummi,” saya memujuk lagi.

“Khalil cakap..Ummi pandanglah,” luahnya tegas. Saya pula yang terdiam.

HARAPAN 1431 H dan 2010 M
Kini, semua itu menjadi kenangan untuk tahun 1430 H dan tahun 2009 yang telah ditinggalkan beberapa hari lepas. Tiada mukaddimah yang sebaiknya melainkan ucapan syukur kepada Allah SWT atas detik-detik yang masih dipinjamkan kepada saya dan keluarga.

Ia tanda bermulanya hari untuk tahun 2010 yang penuh dengan impian dan harapan yang masih sama. Bagi saya secara peribadi, tiada agenda yang lebih utama selain pendidikan anak-anak dan kemajuan pencapaian mereka dalam segenap lapangan.

Semuanya bakal menjadi kenyataan asal sahaja tidak culas dan malas. Dengan izin daripada Allah, pastinya.

Saya akur, proses mendidik anak oleh ibu bapa bukanlah seperti suatu program atau kursus bina diri yang banyak terdapat pada hari ini, dengan menjadikan anak-anak sebagai peserta wajibnya. Pada saya, andai begitu cara pandang ibu bapa, sudah pasti perlakuan mereka kepada anak-anak akan menjadi tidak adil dan tiada pengertian jiwa. Tidak ‘manusiawi’ lagi.

Ia bagaikan membiarkan anak-anak membesar dengan acuan yang hanya sesuai dengan keinginan ibu bapa dan mengenepikan kehendak serta kreativiti anak-anak mereka. Bukan begitu sewajarnya yang berlaku!

Sebaliknya, perkara utama yang perlu difikir dan direncanakan ialah, bagaimanakah ibu bapa sebagai orang tua, dapat memimpin anak–anak menemukan diri mereka. Mengangkat potensi diri tanpa meminggirkan kelemahan yang perlu diperbaiki.

Untuk itu, caranya tentu tidak sekaku arena pendidikan formal seperti sebuah kursus, melainkan ia harus melalui peristiwa sehari-hari yang mampu memasukkan unsur-unsur pendidikan di dalamnya. Perancangan tetap ada,namun perlaksanaannya perlu lebih santai, ceria dan tidak menekan jiwa.

WAJAH-WAJAH DI KALENDAR
Wajah-wajah di kalendar itu akan terus menjadi inspirasi dan aspirasi saya untuk melewati hari-hari seterusnya.


Justeru, saya memulakan tahun ini dengan catatan sasaran saya untuk setiap dari mereka. Tidak dilupakan pastinya, pelan sasaran saya sendiri sebagai ibu untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan ilmu yang ada.

Sebagaimana suami saya pernah menegaskan, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibu bapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

“Adik tak ada…”Solehah tiba-tiba menyapa. Melihat gambarnya tiada bersama kedua-dua kakak dan abangnya. Saya menoleh. Mengangkat dan meletaknya di atas ribaan saya. Pipi mulusnya saya cium.

Wajahnya mungkin tiada di dalam kalendar di sebelah saya, tetapi perancangan untuknya tetap tidak saya lupa. Saya tersenyum dan berdoa semoga Allah mempermudahkan semuanya, ameen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.