Saya pernah membaca sebuah kisah. Ia cerita yang ringkas, tetapi berisi pengajaran yang bernas.
Cerita seorang gadis yang dibesarkan di sebuah rumah kecil dan serba kekurangan di lereng bukit. Gadis itu gemar bermain di tengah-tengah padang bak ‘taman’ alam semulajadi yang luas dan indah berhampiran rumahnya. Saban hari, sambil bermain, dia mengkhayalkan kehidupan bak puteri di dalam istana yang megah dan mewah.
Walaupun cintanya pada keluarga tidak dinafi, tetapi impiannya yang satu ini kerap meng’hantui’!
“Betapa beruntungnya andai aku bergelar seorang puteri. Setidak-tidaknya, menjadi anak hartawan ternama saja sudah memadai berbanding kehidupanku yang miskin ini.”
Suatu ketika, setelah meningkat dewasa, sedang dia menghabiskan masanya sebagaimana biasa di padang tersebut, tiba-tiba dia melihat di kejauhan pancaran keemasan dari sebuah rumah yang besar di atas sebuah bukit bersetentang. Seakan-akan rumah itu diperbuat dari emas dan permata yang bersinar-sinar! Tingkap, pintu, bahkan dinding dan atapnya, semuanya memancarkan cahaya seiring terik mentari di langit tinggi.
Belum pernah dia melihat rumah sebegitu indah!
“Oh, rumah siapakah agaknya itu? Indah sungguh bentuknya!Pasti penghuni di dalamya juga di kelilingi rasa bahagia,” bisik si gadis teruja.
Perlahan-lahan dia menapak menuruni bukit rumah kecilnya menuju ke bukit yang menempatkan rumah besar itu.
Keghairahannya untuk melihat dengan lebih dekat kecantikan rumah besar itu membuatkannya berlari sekuat hati. Biar cepat sampai!
Namun, tatkala kakinya berada betul-betul di hadapan pintu rumah besar itu, dengan tarikan nafas yang masih tercungap-cungap kepenatan, matanya yang bulat itu hanya menyaksikan sebuah rumah usang dengan warna pintu, tingkap dan dinding yang kian pudar. Daun-daun kering berserakan di lantai. Tiada kedengaran gelak tawa….sekelilingnya sunyi sepi. Tidak berpenghuni.
“Benarkah ini rumah besar yang keemasan itu?” si gadis bermonolog sendiri.
Perlahan-lahan, dia membalikkan badan,membelakangi rumah besar yang disangkanya sangat indah itu dan mulai melangkah menuju ke rumah kecilnya. Sedih dan kecewa. Akan tetapi….
Alangkah terkejutnya si gadis. Bagai mahu luruh tangkai jantungnya kerana di atas bukit yang ingin ditujunya itu, dia melihat sebuah rumah kecil yang keemasan! Sinar matahari menambah cantik sinar rumah itu.
Kini dia menyedari. Selama ini dia tidak bermimpi. Bayangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa menguasai jiwanya, bersama keindahan alam semulajadi yang menceriakan hidupnya setiap ketika, rumah kecil itu sebenarnya adalah sebuah rumah paling ‘indah dan mewah’.
Ia ada di hadapan mata tanpa pernah dia sedar kewujudannya!
Si gadis akhirnya tersenyum. Senyuman paling manis dirasakan sepanjang hidupnya…..