18 February 2010

AKU PENGKAGUM WANITA-WANITA ITU...


Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah terhadap ketentuan-Nya


Kisah Siti Hajar meruntun sukma…
Bersama bayi kecilnya dia ditinggalkan di lembah gersang membakar…
Suami tercinta, Ibrahim berlalu dengan linangan air mata…
Rahsia dari arahan Tuhan tidak pernah dipersoalkan, hanya patuh atas setiap perintah-Nya.

Tanpa makanan, tanpa minuman, tiada pepohonan, tiada insan buat peneman..
Hanya bayinya Ismail yang mulai menangis…ratap sayunya kerana lapar dan kehausan..
Pedih hati seorang ibu, kasihnya membara menguatkan jiwa…
Ke sini dan ke sana, antara dua bukit Hajar berlarian bagai tak kenal erti lelah…
Harapan menjejak air buat merawat dahaga putera tercinta

Dari jauh bagaikan ada, namun mendekat nyata ia fatamorgana..
Putus asa tidak pernah singgah di hatinya, mencari dan terus mencari….
Berlari dan terus berlari, hingga berulang alik sampai tujuh kali…
Ingatan pada kata-katanya sendiri tersemat kukuh saat si suami berlalu pergi,
“Jika ini perintah Ilahi, pasti DIA tidak akan mensia-siakan kami!”

Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah dengan ketentuan-Nya


Bersuamikan Fira’un Maharaja perkasa, gelaran ratu menghiasi singgahsana…
Permaisuri Asiah jelitawan mulia, kedudukan bukan untuk bermegah..
Hanya sahaja melayan resah, suami di sisi berbeza aqidah…
Angkuh sombong zalim pemerintahan, takbur mendakwa dirinya Tuhan..
Dilepas hidup dakwanya mampu menghidupkan…
Dihukum bunuh, sangkanya mampu mematikan.

Terhibur hatinya tatkala mendapat tahu,
Masyitah si tukang sisir menyembah Yang Esa..
Berkongsi rasa, berbagi cerita, saling mendorong teguh beragama..

Suatu ketika Masyitah menyisir rambut puteri Maharaja..
Terlancar di bibirnya saat mengambil sisir yang jatuh….
“Dengan nama Allah binasalah Fir’aun”.
Si puteri tersinggung mendengar ayahanda dihina..
Mengadu cerita, membangkit amarah ayahandanya..
“Siapakah Tuhan yang kau sembah?”

Teguh pendirian, tidak berganjak, kata-kata Masyitah mencetus lahar..
“Tiada Tuhan selain Allah , Penguasa sekelian alam dan segala isinya”
Masyitah diberi dua pilihan, mengaku kufur atau tetap beriman..
Bersaksikan rakyat jelata dan Fir’aun durjana…
Di hadapannya kuali besar tersedia, menunggu hukuman penamat usia…

Menatap bayi di dalam pelukan, cinta ibu menghadirkan belas kasihan..
Takdir Allah, si anak kecil lunak bersuara, memujuk Masyitah memilih keimanan
“Wahai ibuku, Jangan kau ragu, pintu Syurga terbuka menanti kita”.

Tanpa jeritan, tanpa keluhan,
Masyitah dan anaknya terjun ke dalam kuali besar..
Wangi semerbak mengiringi pemergian..
Roh mulia bertemu Allah Yang Maha Esa..
Menyaksikan suami menzalimi wanita dan bayi yang lemah..
Membakar jiwa Asiah, mewarwar kebenaran aqidah..
Fir’aun menganggap permaisurinya gila…
Menyiksa Asiah tanpa belas dan rasa duka..

Sebelum nafas berakhir di dunia, ke hadrat Yang Kuasa Asiah berdoa
“Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam syurga,
Selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya,
Serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim”.

Aku pengkagum wanita-wanita itu, manusia biasa dengan semangat luar biasa…
Punya jati diri dan tinggi keyakinan diri, pasrah berserah dengan ketentuan-Nya


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi
Jumpa lagi, InsyaAllah

16 February 2010

DI SEBALIK KERINDUAN INI

“Rindu itu adalah anugerah dari Allah…..
Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu…
Rindu pada kedamaian , rindu pada ketenangan…
Rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan…”


“Ummi rindu ayah ye?” tanya Kak Ngah. Mesra dan ramah. Mungkin dia mendengar berulang kali nasyid ‘Rindu’ itu dikumandangkan, Kak Ngah menghampiri untuk bertanya. Namun, menyaksikan redup matanya, saya bagai dapat menebak perasaan hatinya yang sedang gundah. Sememangnya anak kedua saya ini mudah menunjukkan rasa hatinya. Jika gembira, riuh rendah ketawanya. Andai berduka, senyap sunyi tidak bersuara.

“Kak Ngah pun rindu pada ayah,” luahnya tanpa diminta.

Saya memandang Kak Ngah sambil melempar senyuman. Walau telah beberapa kali berjauhan, kerinduan ini tetap berkunjung mengetuk pintu jiwa. Masakan dapat saya dan anak-anak menolak kehadirannya apatah lagi bila ia datang bersama ingatan kepada suami tercinta. Seseorang yang sentiasa mendorong, mendokong dan menitip nasihat buat diri yang selalu terlupa.

AKTIVITI
“Orang-orang bertaqwa rindu akan kebenaran…
Kejujuran dan keikhlasan keredhaan Tuhannya…
Orang mukmin merindukan anak-anak yang soleh…
Isteri-isteri yang Solehah, keluarga bahagia..”


Telinga saya terus menangkap lirik penuh makna dari nasyid kumpulan Hijjaz. Sambil itu, saya meneruskan kerja-kerja membasuh baju dan lansung menyediakan sarapan buat mengalas perut. Kak Long dan Kak Ngah membantu dengan mengemas ruang tamu yang agak bersepah. Khalil dan Solehah pula sudah duduk bersila di hamparan plastik bercorak bunga. Bersedia menanti hidangan pagi yang saya sediakan di dalam dulang bersaiz sederhana.

“Kita baca doa makan dan bismillah dulu ye,” saya berkata. Anak-anak mengikut dan mengaminkan doa yang dibaca.

“ Hari ini, dah masuk hari ketiga ayah balik Malaysia kan? “ saya bertanya. Kak Long mengangguk mengiyakan sambil mulut terus menyuap makanan. Berselera. Melihat anak-anak diam, saya meneruskan perbualan.

“Sepanjang ayah balik ke Malaysia dan selama seminggu cuti sekolah ni, Ummi nak buat beberapa aktiviti,” saya bersuara dengan nada sedikit ceria. Sengaja mahu memancing perhatian mereka.

“Kita nak buat apa Ummi ?” soal Kak Long, agak teruja mendengar kata-kata saya.

“Kita akan buat antaranya permainan bahasa, origami, hafazan, solat sunat dan ….”

“Apa lagi…Ummi ?” Kak Ngah bertanya tanpa sempat saya menghabiskan bicara.

“Pertandingan Busana Muslimah..” saya melengkapkan ayat dengan nada semakin ceria.


“Wah…seronoknya…” jerit Kak Long dan Kak Ngah serentak. Terlihat riak gembira di wajah kedua-duanya. Masing-masing mulai riuh membicarakan gaya pakaian yang akan diperaga.

“Anak perempuan,” bisik hati saya melihat mereka ketawa.


‘BERSAMA-SAMA’ BUKAN ‘BERSAMA
Sememangnya, setiap kali ketiadaan suami di sisi sering mengajar saya untuk lebih mandiri. Menyingkap hikmah di sebalik perpisahan sementara, terutama dalam melayan telatah dan ragam anak-anak yang berbeza minat serta kecenderungan setiap seorang daripada mereka. Sungguh, ia memerlukan kesabaran dan kekreatifan.

Hampir setiap malam saya melayan mata yang tidak mahu pejam. Otak laju memikirkan aktiviti yang dapat mengisi masa anak-anak di rumah. Bimbang bila mengenangkan kebosanan yang terpaksa mereka hadapi jika tiada sebarang perancangan aktiviti.

Bukan tidak merasa letih dan lelah. Andai mengenangkan rutin harian rumah yang tidak pernah habis, pasti waktu-waktu seumpama ini hanya dilalui nafsi-nafsi. Saya tahu, saya punya banyak cara lain yang lebih mudah. Tanpa perlu saya bersusah payah. Saya boleh saja memasang DVD untuk tontonan anak-anak sepanjang hari. Atau, saya juga boleh meminta mereka melakukan apa sahaja mengikut kemahuan sendiri.

Namun bila difikir-fikir kembali..Oh, tidak !


PILIHAN
Bukan begitu caranya seorang ibu mengisi masa-masa berharga bersama anak-anak tercinta. Luang waktu yang ada, harus diisi ‘bersama-sama’ bukan sekadar cukup dengan ‘bersama’ semata-mata. Itulah yang membezakan kualiti dan kuantiti masa antara ibu bapa dan anak-anak yang kerap disalahguna.

Lebih-lebih lagi bila mengenangkan anak-anak sebagai amanah yang dititipkan oleh suami sepanjang ketiadaannya, rasa penat itu perlu saya kesampingkan. Tambahan pula, sepanjang seminggu suami berada di Malaysia, anak-anak pula sedang bercuti pertengahan semester. Juga, musim dingin yang masih bersisa dengan cuaca yang tidak menentu awal hujungnya. Tidak begitu mengizinkan saya membawa anak-anak keluar bersuka ria.

Walaupun benar tidak salah untuk saya membuat pilihan, namun saya akur dan insaf bahawa setiap pilihan harus dipertanggungjawabkan. Kerap saya membayangkan, bagaimanakah agaknya reaksi suami bila pulangnya hanya disambut dengan cerita anak-anak tentang kartun dan filem animasi. Pasti naluri kebapaannya akan hiba melihat sedikitnya pengisian bermanfaat diberikan kepada anak-anaknya.

Dan yang paling utama, bila mengingatkan ketika tiba saatnya kelak Allah SWT bertanya :

“Anak-anakmu sebagai amanah daripada-Ku… apa yang telah kau lakukan kepada amanah-Ku itu ?”

Ya Allah, gerun hati ini memikirkannya. Mampukah saya menjawab dengan bicara yang lancar ? Atau, mulut ini hanya membisu, kelu bahkan terkunci kaku? Kerana itu, sabda Junjungan Rasulullah SAW sering saya sematkan sebagai pemangkin motivasi dan semangat di dalam diri. Baginda bersabda yang bermaksud :

“Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya. Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya ..” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )


PENGISIAN JIWA
“Kak Long, Kak Ngah…sebelum kita mulakan aktiviti, kita solat sunat Dhuha dulu ..ok? “ saran saya.

“Ok, Ummi,” balas kedua-duanya lalu terus berlalu ke tingkat dua. Berwudhuk dan memakai telekung seadanya.

Melihat itu, saya tersenyum lega. Keriangan mereka memulakan pagi hari, saya sambut dengan lafaz kesyukuran yang tidak bertepi kepada-Nya.

Ingatan saya kembali tersorot kepada ungakapan ayat-ayat cinta saya dan suami. Menyerap segar motivasi yang tersemat di sebalik kalam Allah Yang Maha Esa. Tujuan dari pernikahan tidak hanya sekadar mewariskan generasi, tetapi juga bagaimana menjadikan generasi pewaris tersebut sebagai pemimpin kepada orang-orang bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
( Surah al Furqan ayat 74 )


DI SEBALIK KERINDUAN INI
Sesungguhnya suamiku, di sebalik kerinduan ini ada didikan dari Ilahi. Tiada apa yang kuharapkan selain redhamu. Baktimu untuk agama dan masyarakat menjadi pendorong untukku mencurahkan cinta buat permata hati kita. Benar katamu, bahawa kemuncak kejayaan seorang wanita ialah pelaksanaan tugas tabiinya sebagai isteri dan Ummi di dalam rumah tangga.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keredhaan-Nya.

“ Para pencinta kebenaran rindukan suasana..
Masyarakat yang terjalin aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya kalimah di muka bumi
Dan dalam merindukan keampunan Tuhannya
“Dan seluruh umat itu merindukan cahaya… Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada TuhanYa Allah….”

Bait-bait nasyid kumpulan Hijjaz itu terus berkumandang membaluti hati-hati kami dengan kerinduan yang akan berpenghujung beberapa hari sahaja lagi, InsyaAllah.

“Abang….tak sabar rasanya menunggu abang pulang,” saya berbisik sambil melihat anak-anak terus tertawa riang.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




*** Di kesempatan ini saya ingin menjemput pembaca semua berkunjung ke kedai maya saya. Semoga kebahagiaan hidup kita akan lebih beerti dengan ilmu yang menghampirkan kita kepada-Nya, ameen.
Selamat menikmati juadah rohani anda.


6 February 2010

PANDANGLAH..LIHATLAH..JANGAN !

Saya sebenarnya berhasrat untuk menulis sesuatu yang lain dari topik ‘aurat wanita’ di dalam artikel kali ini. Akan tetapi, saya merasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa persoalan yang dilontarkan melalui satu komentar di bawah artikel : That’s not hijab!

“Assalamualaikum,

Saya belum berkahwin, pakai tudung tiga segi menutup bawah dada cuma bukan tudung labuh seperti anda..dlm rumah saya pakai baby tee, skirt, gaun dan sluar pendek, cuma kini saya sikit malu lalu menukar dgn sluar panjang tapi masih seksi kiranya. Suatu hari nanti jika berkahwin saya mungkin kekal cara begini?

Saya ada persoalan...kalo benar pakai tudung tapi tak bleh pakai cantik, tak bleh baju color, tak bleh bersolek wpun nipis diluar...benarkah wanita yg bertudung litup seperti anda berhias semata-mata utk suami, waktu bila anda bergaya? Kat rumah? atau anda langsung tidak bergaya pakai cantik2 takut plak anak persoalkan? ramai yg saya jumpa berpakaian seprti anda tetapi berbau, nampak tidak bermaya.muka pucat. Adakah benar dlm hati suami org seperti anda suka melihat isteri begitu?

Saya faham anda akan berhujah tentang kita ni milik Allah jadi kita kena ikut syariat yg ditetapkan. Pada anda, mungkin saya seorang yg tidak faham kerana pengetahuan agama anda high level berbanding saya. Maka itu saya mohon anda down grade sikit utk sampaikan sesuatu agar saya faham. Tak mustahil follower blog anda ialah org yg seperti anda, org biasa baca skali dan blalu pergi. Tak tahulah jika anda tidak kisah yg penting ialah menyampaikan saja.

Saya tidak berniat utk mempersoalkan saja tanpa membuka hati menerima pandangan anda tapi saya cuba dan mahu lagi perbaiki diri. Saya cuma ingin tahu dan minta anda jawab persoalan di atas kerana saya benar2 tidak tahu. Kehidupan dan cerita yg anda sampaikan terlalu sempurna. Saya dahulukan terima kasih – SERI”

PENJELASAN SAYA
Setiap kali saya melakar bait-bait kata yang menyentuh tentang aurat seorang wanita, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya bukan menulis kerana merasakan pakaian saya adalah contoh terbaik. Akan tetapi ia lebih kepada peringatan kepada diri sendiri dan teman-teman pembaca agar sentiasa berusaha kepada penyempurnaannya sedaya yang kita ada. Malah, banyak masanya, ketika memberi nasihat serta peringatan kepada orang lain, acap kali juga sengaja saya kenakan ke batang hidung sendiri. Biar tidak lupa diri !

Apa yang penting perhalusilah isinya dengan mencari jalan dan keyakinan iman untuk melaksananakan tanpa perlu mengandaikan sama ada pakaian individu tertentu termasuk saya sebagai role model terbaik atau tidak. Persoalan itu tidak timbul.

Semuanya bertitik tolak atas dasar ilmu serta nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, justeru saya merasa bertanggungjawab untuk memberi sedikit penjelasan dan pendirian berpandu ayat-ayat Allah SWT dan Sunnah Rasul Junjungan.

Sebagai tambahan, suka saya mengingatkan bahawa dalam memperkatakan sesuatu berkait hukum, sama ada kita telah melaksanakan yang terbaik atau sedang berusaha melakukan yang lebih baik, itu merupakan persoalan kedua. Pokok utama, ialah bersikap jujur dan amanah dengan ilmu Allah SWT. Telus menyatakan kebenaran, walau ada ketikanya lebih banyak kepahitan perlu ditelan berbanding kemanisan yang menghadirkan ketenangan.

ANDAIAN DAN JAWAPAN
Persoalan yang dilontarkan oleh SERI, bahawa benarkah orang yang bertudung litup di luar, benar-benar berhias semata-mata untuk suami, atau sebenarnya tidak bergaya cantik lansung, adalah satu agakan dan andaian semata-mata. Pada saya perkara itu kurang manis untuk ditanya, kerana saya juga boleh melontarkan pertanyaan yang sama ( tapi tidak serupa ) iaitu benarkah wanita yang berhias dan terlalu menjaga penampilan di luar, akan berkeadaan serupa di dalam rumahtangga ? Di hadapan suami terutamanya ? atau sebenarnya ketika di rumah, mereka hanya biasa-biasa sahaja, buat apa nak bergaya, bukannya nak ke mana-mana ?

Kerana itu, pada saya tidak wajar menghukum semua Muslimah yang bertudung labuh, sebagai berbau tidak menyenangkan dengan muka pucat dan tidak bermaya, hanya dengan melihat beberapa orang berkeadaan sebegitu rupa. Pukul rata dalam hal seumpama ini adalah satu ketidakadilan.

Memang benar mengabaikan kebersihan bukan sikap yang diterima Islam, dan demikian juga bersolek serta berhias dengan pakaian berwarna yang terlalu menyerlah untuk menjadikan diri cantik dan kelihatan lebih menarik. Ia juga tidak digalakkan.

PERSOALAN WARNA
Saya tidak menolak pakaian berwarna warni kerana saya juga masih mengenakan pakaian sedemikian apabila keluar bersama keluarga. Cuma warna yang perlu dielakkan ialah warna-warna yang terlalu terang ( striking ) dan menyilau pandangan. Justeru itu, saya menyatakan warna gelap dan suram atau warna-warna lembut dan sederhana lebih selamat dari pandangan kaum lelaki di jalanan.

Mungkin akan ada yang menyoal kembali:

“Tidakkah wanita yang memakai warna hitam akan lebih menarik pandangan orang sekiranya dia berada di dalam suasana semua orang memakai pakaian berwarna garang dan ceria ?”

Saya akan menjawab begini :

“Pandangan yang terhasil kerana ‘berlainan’ dari orang sekeliling tidak sama dengan pandangan yang terhasil kerana tertarik dengan keindahan dan kecantikan. Pakaian pertama mungkin hanya menyebabkan orang merasa jengkel dan hairan berbanding pakaian bentuk kedua yang mampu menggoncang iman para jejaka. Di samping ia boleh memberi indikasi kepada lelaki bahawa wanita sebegini masih dari ‘jenis’ suka berfesyen dan bercantik walau telah menutup tubuh badan. Kesannya, seorang lelaki boleh membuat kesimpulan wanita ini mudah didekati, lebih mudah diajak berbual, dan mungkin juga lebih mudah untuk digoda. Kerana pakaian sebegitu boleh membawa maksud dan melambangkan ‘tolerability’ diri pemakai. Itulah kemerbahayaan yang dibimbangkan dan patut dielakkan !”

Reaksi sebegitu pasti tidak mudah berlaku bila wanita berpakaian dengan warna yang sederhana dan suram warnanya, juga sudah pasti tidak ketat dan nipis kainnya. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini, namun itulah pandangan saya dan suami berdasarkan penelitian kami berdua.

HANYA UNTUK SUAMI
Justeru itu, apa yang dianjurkan oleh agama yang mulia ini ialah menjaga kebersihan, tidak selekeh, berpenampilan kemas dan sederhana pada gaya. Sementara, jika mahu bersolek dan mengenakan pakaian yang melirik tumpuan mata, cukuplah hanya di hadapan suami tercinta.

Keadaan inilah sewajarnya seorang Muslimah lakukan di dalam rumahtangga. Pakaian yang dikhususkan untuk suami di rumah sememangnya bukan pakaian yang biasa dipakai ketika di luar. Tidak perlu saya menerangkan lebih lanjut jenis dan bentuk pakaian yang bagaimana, cukup saya nyatakan bahawa seorang isteri sepatutnya memakai pakaian yang digemari dan biasanya dibeli oleh suami sendiri. Tidak semestinya seksi dan terbuka sana sini !

Perlu saya sebutkan di sini, bukan semua lelaki bergelar suami gemar isterinya bersolek cantik. Setakat pengalaman saya berbual dan bertukar pandangan dengan wanita lain, ada di antaranya menyatakan bahawa suami mereka tidak suka melihat mereka mengenakan alat solekan dan berhias berlebih-lebihan kerana ia seumpama penipuan dan khayalan semata-mata. Bukan tulen.

Kecantikan asli dengan tambahan nilai dari pekerti yang luhur dan terpuji lebih dihargai berbanding kecantikan palsu yang tercipta dari alat make-up pelbagai jenama. Keadaan inilah yang sukar difahami oleh sesetengah wanita melainkan jika mereka telah bersuami dan bergelar isteri.

CANTIK BUKAN PENENTU
Saya suka membawa pembaca semua melihat sudut lain kecantikan seorang wanita. Kecantikan bukan hanya boleh diperolehi melalui solekan dengan warna di mata, pipi dan bibir yang merah menyala. Akan tetapi, kecantikan juga mampu didapati melalui kaedah tradisional dan petua-petua lama.

Untuk diri saya sendiri, saya juga pernah mengenakan solekan di wajah. Pastinya hanya di dalam rumah. Namun kini, setelah menilai baik buruk menggunakan alat-alat solek dari bahan kimia, menatap wajah-wajah artis barat yang mana kejelitaan asli mereka telah sirna dek terlalu kerap menggunakan make-up pada muka, saya beralih kepada penggunaan sumber asli yang lebih mudah diperolehi dan murah pula harganya.

Kini, saya mengamalkan menyapu madu untuk memerahkan bibir dan hanya menggunakan serbuk kacang hijau yang telah ditapis ( bagi mendapatkan tekstur yang paling halus ) untuk membersihkan kulit muka dan badan seluruhnya. Selebihnya, hanya perlu mengenakan pelembab kulit dan bedak biasa baik ketika di rumah mahu pun sebelum keluar bersama keluarga. Sementara untuk penjagaan kesihatan, saya menganjurkan kita semua mengamalkan madu, kurma dan air susu di samping pengambilan vitamin C, B Kompleks dan lain-lain yang perlu.

Ingatlah, cantik tubuh, fizikal dan pakaian bukan penentu segala. Ia tidak dapat membeli bahagia dan ia juga bukan jaminan keutuhan sesebuah rumahtangga. Lihatlah, berapa ramai artis dan golongan terkenal, gagal mengekalkan keharmonian walaupun mereka berwajah cantik menggoda. Ada banyak perkara lain yang perlu diambil berat untuk menjadikan pasangan suami isteri kekal bahagia hingga ke syurga. Cantik hanya menyumbang sebahagian kecil sahaja. Paling penting adalah tanggungjawab, rasa percaya, yakin serta bersedia memberi kasih dan cinta yang tidak berbelah bagi kepada pasangan dan rumahtangga.

PANDANGLAH..LIHATLAH..JANGAN !
Akhirnya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa persoalan menutup aurat dan hijab, bukanlah berkisar kepada tudung semata-mata. Itu perlu difahami sebaiknya oleh semua Muslimah di luar sana. Bahkan tudung hanya merupakan sebahagian sahaja dari maksud sebenar menutup aurat dan berhijab di dalam Islam. Kerana itu, apabila menyentuh dua perkara tersebut, tidak dapat tidak saya harus menjelaskan dari sisi yang paling tepat dan sahih sebagaimana yang dikehendaki agama, baik dari sudut warna pakaian, solekan, berwangi-wangian dan sebagainya.

Sekian banyak di dalam hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan tentang fitnah wanita di penghujung usia dunia, maka sudah tentu sikap bermudah-mudah dan mengambil ringan terhadap pelaksanaan kedua-duanya akan mendatangkan kesan buruk dan bencana.

Yakinlah, semakin terhindar seorang Muslimah dari pandangan kaum lelaki semakin baik dan mulia harga dirinya di sisi agama, kerana Allah SWT memerintahkan lelaki-lelaki mukmin untuk menjaga pandangan mereka. Namun, bagaimana mungkin para lelaki mukmin dapat menjalankan perintah ini jika kaum muslimahnya berhias diri dan mempamer keindahannya ? Justeru, kerana itulah syariat menganjurkan wanita menutup aurat dan berhijab dengan sempurna, iaitu untuk menjaganya dari pandangan kaum lelaki, terutama pandangan yang tercipta dari anak panah syaitan durjana. Bak kata orang muda, dari mata jatuh ke hati. Sukma bergelora, nafsu membara !

Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabdanya yang bermaksud :

“Sebaik-baik saf lelaki adalah saf paling depan dan sejelek-jeleknya adalah saf terakhir. Dan sebaik-baik saf wanita adalah saf terakhir, dan sejelek-jeleknya adalah saf paling depan.” ( Hadis riwayat Muslim).

Pesan Baginda ini menjelaskan bahawa saf terburuk bagi wanita adalah yang paling hadapan karena akan lebih mudah terlihat oleh kaum lelaki. Jika keadaan ini yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum wanita ketika solat, maka sudah tentu di dalam suasana dan kegiatan bukan ibadah, mereka lebih dianjurkan untuk memelihara diri dari menjadi titik tumpu pandangan lelaki.

Insaflah, sikap berlapang dada untuk mematuhi semua perintah agama itu hanya akan dirasakan oleh orang-orang beriman dan bertakwa. Orang-orang yang menyerahkan sepenuh jiwa dan sangka baik mereka kepada ketentuan Allah SWT dan Rasul-Nya. Keadaan ini amat berbeza dengan orang-orang yang hatinya berpaling, maka setiap ajaran Islam akan terasa berat dan sukar untuk dilaksana. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, karena sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu .” ( Surah Al-Baqarah ayat 45 )


Wahai muslimah, mari kita bermuhasabah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

****Contoh gambar pakaian Muslimah.



*****Contoh pakain yang tidak menepati ciri-ciri menutup aurat.

2 February 2010

THAT'S NOT HIJAB !

Usai kuliah ‘online’ kedua pada hari Jumaat, 29 Januari yang lalu, saya menarik nafas dalam. Kesal dan sedikit kecewa. Lama saya termenung melayan gelodak rasa. Menatap beberapa perkataan yang membentuk sebaris tajuk : Aurat Wanita, apa batasnya ?

Sungguh, kuliah kali ini menghadirkan rasa kurang puas hati yang bukan sedikit di dalam jiwa, terutama bila mengingatkan masalah teknikal yang kerap terputus sehingga mengganggu tumpuan dan penyampaian saya.

Risau. Resah. Bimbang mengenangkan isi kuliah yang mungkin tidak dapat dihadam dengan baik oleh para pendengar.

“Janganlah kecewa. As dah buat yang termampu kan?” suami memujuk. Cuba menghiburkan hati yang rawan. Saya tersenyum, namun hambar sekali saya rasakan.

“Masalah teknikal yang berlaku di luar kawalan kita,” tambah suami. Masih berusaha mengubat luka di hati saya.

“Ya...tapi As tetap bimbang...abang” luah saya, sedikit membangkang.

“As bimbang jika penyampaian As tadi tidak difahami oleh para pendengar. Lebih malang, jika ada yang tersalah tafsir kata-kata As kerana selalu terputus-putus,” keluh saya sambil memandang wajah suami tercinta.

HARAPAN
Saya sebenarnya menaruh harapan yang tinggi terhadap kuliah ini. Sekian lama saya berhasrat untuk menyampaikan sesuatu berkait aurat atau lebih tepatnya mengenai ‘hijab’ ini kepada para pendengar yang kesemuanya wanita. Melalui perantara suara, bukan dari penulisan semata-mata.

Keinginan ini memuncak, terutama bila akhir-akhir ini saya melihat terlalu ramai pelajar lepasan agama, baik dari dalam mahu pun luar negara yang seakan mengambil lewa tuntutan dan kewajiban berhijab sebaiknya.

Pada saya, andai golongan agama tidak menjadi contoh yang baik dan terbaik di dalam masalah ini, bahkan sebaliknya bertindak berlebih-lebihan daripada mereka yang tidak memiliki latar pendidikan agama di sekolah atau di universiti, maka akan semakin kelabulah suasana menutup aurat dan penampilan Muslimah di negara kita ini.

Justeru, inilah ikhtiar yang dapat saya lakukan untuk membangkitkan kesedaran kepada para pendengar di luar sana ( biar pun mungkin tidak ramai ) bahawa seorang wanita hanya tidak wajib untuk berhijab 100% hanya kepada seorang lelaki bernama suami.

HIJAB
Hijab merupakan satu sistem di dalam ajaran Islam yang merangkumi antara lainnya, garis panduan berpakaian, adab dan akhlak memelihara pandangan dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagai langkah mengatur interaksi sesama mereka di dalam masyarakat sesuai dengan maksud literal ‘ hijab’ itu sendiri iaitu sesuatu yang melindungi, menutup dan menyekat.

Justeru itu, hikmah dan manfaat dari arahan Allah SWT agar kaum hawa menutup aurat mereka, seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan ( menurut jumhur ulama’ ) ialah tidak lain demi menjaga kemuliaan dan ketinggian martabat mereka sebagai wanita Islam yang sentiasa terpelihara dari dipandang atau memandang, dikerling atau mengerling dengan jelingan mata hasil panahan syaitan.

Seterusnya, keadaan ini diharap akan membawa rahmat dan keberkatan yang melata di dalam masyarakat. Seorang perempuan, sama ada yang berkerjaya atau tidak akan dinilai kecemerlangannya berdasar kepada wibawa dan bakat yang ada pada dirinya, bukan kerana kecantikan dan keindahan kewanitaannya. Seorang suami hanya akan menyanjung kecantikan isterinya tanpa sedikit pun terusik dan tergoda dengan wajah rupawan perawan lain di luar rumahtangga mereka.

Alangkah indahnya suasana ini!

BUKAN KERANA ILMU
Akan tetapi, sayang seribu kali sayang. Bagaimana keadaan ini akan terhasil jika dalam keadaan mahu menutup aurat sekali pun, kaum wanita masih terlalu mementingkan penampilan sehingga akhirnya tanpa disedari telah melanggar syari’at Tuhan ? Bukankah bersolek, berhias, berwangian, berpakaian dengan gaya, warna dan fesyen yang memukau pandangan, masih bermaksud mahu dipandang cantik dan menarik ?

Bilakah akan tiba harinya keadaan ini bakal terlaksana, jika masih ramai Muslimah yang menutup aurat berebut-rebut memapar wajah indah mereka dengan pelbagai gaya di dalam majalah, televisyen dan dunia siber?

Inilah bahaya yang berlaku jika umat ini beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran masa. Tudung dan pakaian bukan lagi menjadi medium untuk melindungi dan menutup aurat , tetapi lebih sebagai alat untuk berhias. Wanita begini tetap menarik pandangan mata sang lelaki, sehingga dibimbangi mencetuskan perasaan syahwat di dalam diri. Di ketika itu, bukan pahala dengan menutup aurat yang akan diraih, tetapi malangnya wanita tersebut beroleh dosa kerana masih mempamer keindahan dan kecantikannya.

Sungguhpun seorang wanita dalam rangka mentaati perintah menutup aurat ini, boleh membuat pilihan dari pelbagai pandangan ulama’, dia mempunyai pilihan untuk memilih di antara pandangan itu selama mana ia memahami dalil dan hujah di sebaliknya. Justeru, perlu diingatkan, agar pilihan yang dilakukan bukan semata-mata kerana mencari kemudahan atau bersenang-senang dalam beramal, lantaran malu atau segan, hanya ikut-ikutan atau apa jua sebab-sebab lain yang bersifat keduniaan.


Juga perlu diingat, sesiapa pun yang mengamalkan syari’at kerana pengaruh sekeliling, dia hanya akan mampu bertahan dengan praktis amalannya, selama mana dia masih berada di dalam suasana begitu. Akan tetapi, bila keluar dari persekitaran tersebut, dia tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Godaan dan ujian yang sedikit sahaja pasti mampu menggoyah iman di dalam dada.

THAT’S NOT HIJAB
Akhirnya, bukanlah saya bermaksud mahu mendabik dada dengan mengatakan saya telah mencapai piawaian yang dikehendaki agama. Saya amat sedar dan sering memuhasabah diri, bahawa masih ramai di luar sana para Muslimah yang berpakaian dan berpenampilan lebih baik daripada saya. Mereka benar-benar menundukkan nafsu dan keinginan diri untuk melaksanakan arahan Ilahi. Patuh dan taat dengan penyerahan yang paling baik.

Mereka bersabar dalam meninggalkan larangan Allah, dan mereka juga sangat sabar dalam mematuhi perintah Allah. Sungguh, saya kagum dengan kemampuan mereka. Sabda Rasulullah SAW :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Maksudnya : “ Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya ..” ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Lantaran itu, jadikan muslimah seperti mereka sebagai contoh ikutan. Mudah-mudahan kita akan bermotivasi untuk berubah kepada diri yang lebih baik pada hari ini dari semalam yang berlalu pergi.


Kita ini milik Ilahi. Bila sampai masa kita menemui-Nya, tiada apa yang dapat membantu selain amal soleh yang benar-benar ikhlas hanya kerana Allah semata-mata.


Saya akhiri ingatan dan pesanan lewat video di bawah ini. Semoga ada manfaat yang dapat kita ambil darinya. Terimalah : That’s not hijab!



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

1 February 2010

NILAM PURI: SUATU KENANGAN DAN INGATAN



“ Ha..ni lah biliknya..Alhamdulillah!” saya bersuara gembira. Impian penuh debaran sebelum menjejakkan kaki ke tempat ini suatu ketika dahulu, sudah menjadi suatu realiti.

Buat julung kalinya saya menjejakkan kaki ke Nilam Puri. Di sini, saya mengikuti Kursus Pra Akademi Islam yang merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah, Usuluddin dan Pendidikan Islam di kampus utama Akademi Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Entah mengapa, sukar saya membayangkan perasaan berdebar ketika itu. Namun, teruja dengan sambutan ramah kakak-kakak urusetia, sedikit sebanyak memadam debaran di dalam jiwa.

Di sini, saya ditempatkan di asrama Al Malik Khalid, di mana bermula pengalaman bergelar penuntut institusi pengajian tinggi. Satu fasa baru selepas berakhir alam menengah di Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Seingat saya, nama dan kemasyhurannya telah lama saya dengar. Kerana itu, mungkin, saya tidak berapa resah ketika ayah menolak permintaan Ustaz Samurin agar saya menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Wallahu’alam.

Semuanya telah sedia tertulis dalam suratan Yang Maha Esa.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Itu pegangan saya.

BUKAN KERANA WAJAH
“ 007..macam nombor dalam cerita James Bond,” celah abang Apai ( Jaafar ) membaca nombor yang tertera pada pintu bilik saya. Seperti biasa, emak hanya tersenyum mesra.

“Agaknya…orang yang duduk di bilik ni nanti terkenal macam James Bond kot,” tambah Abang Apai mengusik.

“Ish..tak adalah..” saya menyanggah.

“ Satu bilik…muat untuk dua orang agaknya ye?” ayah menyoal dengan jawapan yang telah tersedia dalam pertanyaannya. Saya mengangguk, mengiyakan sahaja.

Mata saya meliar melihat suasana sekitar.

Walaupun bangunan asrama itu kelihatan agak lama sebagaimana bangunan perpustakaan di hadapan pintu pagar utama, namun kedamaian dan ketenangan yang meresap di jiwa ketika berada di sini, melebihi kekurangan yang ada.

Ya,pada saya, bukan kerana wajah bangunannya yang dapat menggambarkan keindahan tempat ini, sebaliknya mutiara ilmu dari para pendidiknya, menjadikan suasana suram itu bersinar dengan keberkahan, ketenangan dan kedamaian.

Pintu bilik yang sedia terbuka saya kuak sedikit. Kelihatannya, rakan sebilik saya di tempat baru ini telah lebih dahulu tiba.

“Assalamulaikum,” saya menghulur salam perkenalan. Tangan kami bertaut seiring dengan senyuman. Kami berbual seketika. Rezeki saya nampaknya. Berteman satu bilik dengan orang tempatan. Orang Kelantan.

“Boleh la Ina belajar kecek Kelate..” kata abang Apai sambil ketawa kecil. Masih bemaksud mahu mengusik.

“Ala..orang dah belajar dengan Kak Hasni la..” saya membalas dengan cebekan. Tanda gurauan. Mendengar nama Kak Hasni disebut, Abang Apai tersengih panjang. Adat orang baru bertunang! Kebetulan. Tarikh pendaftaran saya ke AIUM hanya selang beberapa ketika sahaja selepas tanggal pertunangan abang Apai dan Kak Hasni, anak jati Darul Naim, dari Pasir Puteh.

HALUAN KEHIDUPAN
Selesai sahaja kemasukan ke asrama, maka bermula “Minggu Haluan Siswa”, iaitu minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru di sini. Boleh dikatakan, setiap hari saya menemui pelbagai ragam manusia, dengan bermacam watak, dari negeri dan loghat bahasa yang berbeza. Walaupun suasana seumpama ini telah saya lalui ketika di KISAS dahulu, tetapi pengalaman kali ini ada perbezaannya. Saya merasakan itu.

Mungkin, oleh kerana, sebahagian besar dari kami berada jauh dari ibu bapa dan kaum keluarga, ditambah pula ketiadaan seseorang bergelar warden, juga kumpulan pelajar bergelar pengawas asrama, saya dan rakan-rakan lebih bebas mengatur kehidupan.

Kerana itu bagi saya Minggu Haluan Siswa di Nilam Puri ini bukan sekadar minggu pengenalan biasa sebagaimana ketika di sekolah menengah dahulu. Akan tetapi, ia bertindak sebagai mukaddimah kepada kehidupan kami menuju alam dewasa. Ia menyediakan ruang dan masa yang amat baik untuk kami menyediakan kekuatan diri. Jasmani dan rohani.

Di dalam minggu ini, kami diperkenalkan kepada corak kehidupan sebagai pelajar Akademi Islam. Kesedaran kami dipertingkat. Jiwa kami dipenuhi nasihat, bahawa tugas dan tanggungjawab yang terpikul sebagai penuntut aliran agama melebihi masa yang beredar cepat.

BI’AH SOLEHAH
Saya memerhatikan keadaan itu dari langkah pertama lagi. Melihat pergaulan siswa dan siswi yang ditugaskan sebagai urusetia, sangat sopan dan terjaga. Tiada gurau senda, jauh sekali dari bermain mata. Akan tetapi tatkala bersama rakan-rakan siswi sahaja, ukhuwwah sesama mereka terjalin penuh mesra. Ditambah pula dengan pakaian yang menepati ciri-ciri seorang Muslimah sejati, jubah tebal atau baju kurung yang sederhana coraknya, dilengkapi tudung labuh sebagai pelindung diri menambahkan kekaguman saya terhadap tarbiah di bumi kecil ini.

Setiapkali azan bergema, satu-satunya surau di asrama siswi ini akan diimarahkan sebaiknya. Ada kalanya, dewan makan bersebelahan juga kami manfaatkan untuk bersolat di samping fungsinya sebagai dewan acara utama. Kami berjamaah, bermunajat, memberi tazkirah dan saling mengingatkan. Hubungan antara kami menjadi rapat hanya dengan pertemuan setiap kali ketika solat. Selebihnya, kami memanfaatkan waktu dengan berkenalan lebih dekat. Berbincang peranan dan tugas sebagai muslimah pembangun ummat.

Justeru, suasana inilah yang selama ini amat saya damba. Mengimpikan setiap saat berlalu tanpa sia-sia. Berbekalkan sabda Rasul Junjungan yang bermaksud :

“Sentiasalah kaki anak Adam itu berdiri di hari kiamat dihadapan TUHANnya sehingga dia ditanya empat perkara: Umurnya kemana dihabiskannya.Masa mudanya dimana dipergunakan.Hartanya dari mana ia peroleh dan kemana dibelanjakannya serta ilmunya sejauh mana dia mengamalkannya." ( Hadis Riwayat al-Tirmizi )

SEUMPAMA IKAN ATAU LALANG ?
“Jadilah seumpama ikan di lautan dalam,” demikian peringatan yang selalu diberikan.

Seekor ikan, walau sepanjang hidupnya hanya di dalam lautan, namun, tidak sedikit pun rasa isinya yang manis dan segar terkesan dengan masinnya air di persekitaran. Kerana itu, pengalaman hidup di Nilam Puri ketika bergelar remaja berusia 18 dan 19 tahun ketika itu, cukup mengajar dan mematangkan. Ia bukan sahaja mendidik diri untuk menjadi seorang yang lebih berdikari, tetapi ia juga menghalakan tumpuan hidup ini untuk menjadi seseorang yang berbakti kepada agama yang suci ini. Menjadi agen perubah suasana bukan berubah kerana persekitaran yang melata di luar sana.

Ditambah lagi lingkungan hidup bersama rakan-rakan yang seiring sejalan dalam menuntut ilmu Islam, juga berperanan saling mengingatkan, menjadikan penghuninya kuat dan tidak cepat terpengaruh dengan rentak dan gaya di luar.

Hakikatnya kini, saya amat merindui pengalaman itu. Bukan sedikit pengalaman yang dapat saya timba. Saya pernah merasakan kemanisan menuntut ilmu, beribadah, ukhuwwah dan segala yang terbaik di dalamnya. Bangga dan syukur bergelar siswi pingitan Nilam Puri, namun tetap tangkas berpersatuan dan berbakti kepada masyarakat sekitarnya. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang juga pernah menjadi salah seorang penghuninya, pasti jawapan yang sama akan mereka perkata.

Kerana itu, saya tidak dapat menafikan rasa sedih dan kecewa yang melanda akhir-akhir ini. Melihat sebahagian sahabat yang tidak lagi berpegang kepada prinsip yang pernah mereka perjuangkan suatu ketika dulu. Andai sewaktu di Nilam Puri, tabarruj dan solekan sangat dijauhi, mengapa kini setelah berada di alam kerjaya dan berumahtangga, perkara itu dilakukan tanpa rasa berdosa? Jika dulu, kita amat berhati-hati mempamerkan gambar dan foto sebagai seorang siswi Nilam Puri, mengapa kini foto-foto dengan pelbagai gaya dipaparkan tanpa rasa resah di dalam jiwa?
Saya bagai mendengar hujah-hujah sebegini diluahkan, ‘perlu berubah mengikut keperluan dan keadaaan’ , ‘tidak salah berubah selama mana syariat menjadi panduan’ dan pelbagai lagi. Namun adakah hujah tersebut lahir dari iman yang tulus atau sekadar nafsu yang menipu ?

Adakah dahulu kita BERUBAH KERANA ILMU atau sebenarnya kita hanya terikut dengan suasana yang mendominasi ? Adakah kita ini umpama ikan di lautan dalam, atau selayaknya kita hanya umpama lalang, meliang lintuk mengikut arah angin yang datang?


Lalu, adakah peranan seorang suami perlu dalam mencorak prinsip seorang isteri ?

Jawapannya ada di dalam diri kita.

NILAM PURI: SUATU KENANGAN DAN INGATAN
Memang mengenang sesuatu yang indah sangat menggamit kerinduan, apatah lagi jika ia merupakan sesuatu yang baik untuk dijadikan tauladan dan pengajaran. Mengimbau masa remaja yang terisi dengan suasana tarbiah dan penuh keimanan. Alangkah baik, sekiranya keadaan itu dapat dikekalkan.

Namun, sebagai manusia biasa, saya tetap sedar dan akur, bahawa tempoh dua tahun bukanlah penentu dan kayu ukur yang dapat meletakkan ‘produk’ Nilam Puri sebagai figure yang boleh menjadi contoh ikutan. Segalanya tetap terletak pada diri individu itu sendiri. Akan tetapi, ingatlah, sewajarnya asas ilmu yang kuat dan biah yang solehah mampu melahirkan muslimah yang hebat, InsyaAllah.

Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya.

Semoga kata-kata ini menjadi peringatan buat saya dan pembaca semua. Bukan menyindir, jauh sekali mahu menghina. Kita semua manusia biasa, namun kita mampu menjadi luar biasa jika kemahuan itu ada dan kita terus berusaha mencapainya. Ambil ia sebagai muhasabah kita bersama.

Akhirnya, khusus buat sahabat-sahabat Nilam Puri, terimalah bait-bait nasyid ini. Biar di mana pun kita ditakdirkan berada, walau bagaimana pun suasana persekitaran yang melata, kita sebagai insan-insan di dalamnyalah yang berperanan mencorak dan memberi warna. Jika baik, baiklah ia. Namun jika tidak, ia akan menjadi sebaliknya.

******************************************************************************

Di bumi ini kita ditemukan, di satu arah satu perjuangan,
Satu aqidah satu pegangan, atasnya terjalin ikatan.
Ukhuwwah fillah tidakkan musnah,
Walau pun ombak walau badai mendesah,
Tautan erat tak mungkin patah, dengan ismullah kita berbai’ah.

Bertemu berpisah hanya kerna-Nya semata,
Redha Allah kita cari, moga-moga kita kan dirahmati,
Dengan niat yang suci, bertemu kembali di negeri abadi.

Demikian manisnya mahabbah murni, limpahan kasih anugerah Ilahi,
Terpancar cahaya penuhi hati, an-nur suci dari-Mu Rabbi,
Semaian kasih di bumi ini, suburkan dengan perjuangan hakiki,
Bajai ia jangan dicemari, redha Al Wahhab dipohoni.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.