30 March 2009

BEGITUKAH AKHIRNYA ?

Ruang yang tadi terang benderang, tiba-tiba menjadi gelap. Hajat di hati ingin membaca sebelum melelapkan mata terpadam dek kegelapan malam.Aku bingkas bangun dari katil, menuju ke pintu. Tujuan di hati ingin meninjau ke bilik anak-anak.


" Tentu mereka sedang tidur lena.." getus hati sambil tangan meraba mencari tombol. Namun...

" Ummi, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh tidur.. ada nyamuk..panas pula tu." Belum sempat pintu bilik dibuka, anak-anak lebih dulu menyua muka. Terpisat-pisat mereka mengesat mata. Dalam kesuraman cahaya bulan purnama yang masuk menembusi tingkap bilik, aku mendorong mereka ke katil. Suamiku kebetulan tiada di rumah kerana berprogram di luar kawasan.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur dengan Ummi ye...elektrik tak ada malam ni ."

Oleh kerana masih mengantuk, mereka menurut sahaja tanpa banyak bicara. Aku mengambil majalah yang tadi ingin dibaca, kujadikan kipas untuk menyejukkan sedikit pusaran udara sekitar bilik kecilku.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur ye, Ummi tolong kipas. Nanti sejuk sikit.." Aku berkata. Sempat telinga mendengar dengungan si nyamuk. Sambil mengipas, aku membuka mata luas, kalau-kalau ada nyamuk yang datang hinggap di tubuh anak-anakku..kasihan mereka. Terpaksa melelapkan mata dalam keadan tidak selesa begitu.


Itu di dunia...Entah mengapa sambil mengipas dan menampar nyamuk yang hinggap seekor dua, fikiran melayang mengenang keadaan di akhirat sana.


Di sini, aku masih boleh menjadi 'penyelamat' anak-anak dari situasi yang tidak menyenangkan. Mereka juga tetap mencari Ummi mereka ini untuk mengadu nasib diri. Bagaiman di sana nanti ? Mampukah lagi aku menjadi penyelamat mereka dari terjunam ke lembah neraka...Na'uzubillah. Dan, adakah anak-anakku mencari Ummi ini sekadar untuk menagih janji..


" Dulu di dunia, Ummi kata Ummi sayang kami. Sekarang ini kami minta bukti ".. mungkin itu jerit mereka. Di depan titian Sirat menanti..di bawahnya jurang neraka berapi.

" Kami tak bersalah, Ummi kami yang menjadikan kami tidak solehah..Salah kami tidak ditegur, silap kami tidak diperbetul. Lantas, kami terus dengan diri sendiri..Pakaian kami tidak ikut syariat. Ummi kata, tak mengapa kerana kami masih belum dewasa. Solat kami culas, Ummi kata tak mengapa. Dah baligh kelak, baru Ummi galak. Gelak tawa kami berdekah-dekah. Ummi buat tak endah. Ummi kata, tak mengapa. Dah besar nanti, baru Ummi menyapa..jangan begitu bila ketawa."

" Namun belum sempat Ummi menegah, Ummi lebih dulu meninggalkan alam ini. Kami dah biasa begini, terus dewasa tanpa panduan ilahi. Mari Ummi, terjun bersama kami..selayaknya kita di sini " kata mereka lagi, lantas pantas mencapai tanganku ke tepian api..


Astaghfirullah..Aku terjaga dari lena. Tertidur rupanya. Ku toleh ke sisi, anak-anak masih dibuai mimpi. Bilik yang tadi suram, telah kembali terang. Terngiang-ngiang lagi 'jeritan' anak-anak dalam mimpiku tadi. Perlahan-lahan aku bangun. Sementelah, belum masuk Subuh, aku ingin munajat pada Ilahi, mohon kekuatan dan petunjuk. Jangan 'peristiwa' dalam mimpi menjadi realiti.

' Ya Allah, dalam hening malam aku sujud pada Mu. Kumohon jangan pernah berpaling dariku. Aku tak punya siapa-siapa untuk menolong. Aku menagih rahmat kasih sayang Mu, Ya Allah. Bantulah aku, dalam mendidik anak-anakku. Kurniakan aku kekuatan menegur dan membetulkan salah silap mereka. Dengan baki usia yang masih bersisa ini, ya Allah. Aku akan bersama suami menunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Pandulah kami, bimbinglah kami. Kami ingin mati dalam redha Mu. Kami ingin menuju akhirat Mu tanpa beban yang masih berbaki.
Alam kini penuh fitnah, dinding kami dari fasad dan jahat dunia. Kami tak daya menolak tanpa bimbingan dan hidayah Mu.
Kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah agar di sana kelak kami tidak saling menyalak.
Kami akan mendidik mereka berlandas syari'at, Al Quran dan Sunnah sebagai pengikat. Ya Allah, hadiahkan kami redhamu, izinkan kami bernaung di bawah cinta Mu, walau kami sedar kami banyak dosa tapi kami tak akan pernah berputus asa'.

***************************************************************************

Untuk renungan wanita bergelar ibu,

Kita sekian lama berbangga kerana syurga di bawah telapak kaki kita, namun sepatutnya kita lebih dulu insaf, kerana syurga atau neraka seorang anak, kitalah pencorak pertamanya. Semoga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, Insya Allah.

3 Rabi'ulakhir 1430

30 Mac 2009

27 March 2009

MARI BELAJAR MEMASAK BERSAMA SUAMI


Nanti! Jangan terus beralih mata. Teruskan membaca sehingga penghujung cerita.


“ Emm..rasanya tajuk ni tak berkaitan dengan saya, saya masih bujang trang tang tang lagi,“ mungkin itu telahan awal yang terfikir di minda. Senyum sendiri agaknya si anak dara.


“ Suami saya tak pandai memasak , macam mana pula dia nak mengajar saya? “, soalan kedua pula menyusul tiba. “Ada faedah ? “, ekor soalan masih berbaki di kepala.


“ Suami saya boleh dan pandai memasak, tapi dia sibuk. Susah nak cari masa belajar memasak bersamanya “, luah yang ketiga.


Cukup..cukup. Belajar memasak bersama suami tidak perlu kemahiran memasak. Juga boleh dilakukan bila-bila masa pun. Cuma, ia memerlukan kerjasama, faham memahami dan sikap tidak putus asa. Tak percaya ?



**********************************



Suami saya juga bukan mahir masak-memasak. Bukan bidang beliau. Walaupun begitu, saya mengaku, cekodok ikan bilisnya lebih sedap berbanding saya. Sibuk. Tidak perlu saya cerita. Akan tetapi saya banyak belajar memasak daripadanya.



Kami disatukan ketika ibu saya dan ibu suami telah tiada di alam ini. Takdir ilahi, saya tiada rujukan kedua-dua ibunda tersayang. Namun kekurangan ini ditampung dengan sikap suami yang sentiasa memberi kritikan terhadap hasil air tangan saya.


“ Lain pula pandangan abang dengan ustaz-ustaz lain ye “, bicara saya di suatu petang sambil makan cekodok ikan bilis air tangan ‘abang’.


“ Biasanya dalam ceramah, tentu mereka menganjurkan supaya suami memuji masakan isteri. Bimbang.. rajuk isteri, tak mahu memasak lagi”, tambah saya.


“ Itu betul, sedap perlu dipuji. Tapi yang tak betulnya, pujian tidak bertempat. Asyik ingin mengambil hati sehingga lambat laun memakan hati sendiri. Apa yang kurang mesti disebut, supaya kemahiran isteri dapat dipertingkat. Hasilnya, masakan semakin sedap, pujian suami tentu lebih kerap” , suami menjawab bercampur galakan.


" Kritikan suami pula perlu berisi. Jangan hanya masam, masin dan manis sahaja; tetapi pekat atau tidak kuah yang dijamah, rempah yang kurang atau perlu ditambah, juga mesti masuk dalam senarai kritikan. Baru isteri tahu di mana yang perlu diperbaiki. Ringkasnya, suami juga mesti pertingkat kemahiran ' merasa ' supaya kena caranya ", tambah suami memberi 'tip' bagaimana teguran yang sewajarnya diberi.



***************************************



Penjelasan tadi ada logiknya. Seorang isteri yang sentiasa mengharapkan pujian suami terhadap semua masakannya, sedap atau sebaliknya; tidak akan ada peningkatan diri. Isteri yang bijak akan menjadikan kritikan suami sebagai motivasi untuk mempertingkat kebolehan diri. Apa yang kurang ditambah, apa yang lebih dikurangkan.


Suami yang sayangkan isterinya pula akan sentiasa bersedia menjadi pengkritik setia, supaya masakan isteri bertambah baik dan sedap. Sedap hakiki bukan hanya sedap di lidah. Justeru nanti ia akan dijamah keluarga, tetamu juga sanak saudara. Lebih elok pula, kritikan diberi dalam bentuk santai dan jenaka. Hati isteri tidak terasa, jiwa isteri rasa bahagia. Tanda suami menghargai susah payahnya menyediakan juadah.


Jika ada luang masa bawa isteri membeli buku atau majalah pelbagai resepi. Tentu semangat isteri akan bertambah untuk menyediakan makanan untuk keluarga tercinta.


Mudah bukan, belajar memasak bersama suami? Anda, bagaimana?



Mencari dan terus mencari cinta ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.


30 Rabi'ulawwal 1430

27 Mac 2009

24 March 2009

BIAR LAMBAT, ASAL BENAR !

Hati bimbang sedikit melihat perkembangan bacaan al Quran anak kedua saya. Di kalangan rakan-rakan seusianya, malahan ada yang lebih muda, telah pun mula membaca al-Quran juzuk pertama, Surah al Baqarah. Namun, Kak Ngah, panggilan manjanya masih berada di tahap Iqra' 3. Sementara anak sulung saya, Kak Long, telah berada pada juzuk ketiga. Akan tetapi, jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebayanya, anak sulung saya ini juga agak ketinggalan pencapaian bacaan al Qurannya.

" Ummi, sikit lagi nak masuk Iqra' 4 ", wajah Kak Ngah nampak ceria tatkala mengira baki lembaran Iqra' 3. Saya hanya mengangguk mengiakan.

" Kak Ngah perlu lebih rajin dan tekun, baru cepat habis ", saya menambah memberi sokongan berbaur harapan.
Sepanjang mengajar anak-anak mengaji al Quran di rumah, saya mengambil sikap ' selagi belum lancar, selagi itu tidak boleh beralih bacaan'. Bagi saya belajar membaca al Quran merupakan perjalanan yang panjang. Bekalnya adalah kesabaran dan istiqamah sama ada kepada orang yang belajar mahu pun individu pengajar. Tidak perlu tergesa-gesa beralih bacaan jika yang sedang dibaca masih belum fasih dan lancar.Mungkin yang demikian, menyebabkan 'kelewatan' pencapaian anak-anak saya membaca kitab suci tersebut. Saya melakukan itu semata-mata demi memastikan mereka telah benar-benar bersedia membaca kalam Allah secara tartil dan tidak tersekat-sekat.

**********************************

Pengalaman mengajar beberapa ketika anak-anak lain membaca al Quran ,bagaimanapun memutik gusar yang bukan sedikit di jiwa saya. Ini kerana ada di kalangan mereka yang masih belum 'bersedia' berada pada tahap membaca al Quran. Sewajarnya, anak-anak ini dilatih lagi membaca Iqra' sehingga fasih. Banyak kesalahan panjang pendek berlaku juga kesilapan menyebut huruf-huruf tertentu akibat keliru. Namun demikian, mereka akan beralih juga membaca muka surat seterusnya pada keesokan hari.

Saya maklum keadaan anak-anak, mereka akan cepat bosan bila melakukan perkara yang sama. Dan saya sangat mengerti, mungkin ibu bapa mengharap dengan beralih bacaan selembar-demi selembar setiap hari akan menambah semangat anak-anak ini untuk mengkhatamkan bacaan al Quran.

Akan tetapi, ada persoalan lain yang mungkin terlepas pandang ibu dan bapa dalam menilai pencapaian al Quran anak-anak ini. Hadis junjungan Rasulullah saw yang bermaksud mengingatkan kita:

“Berapa ramai orang yang membaca al-Quran tetapi dilaknat oleh al Quran itu sendiri ”.

Ulama mentafsirkan perkataan 'dilaknat' yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut adalah kerana dua sebab iaitu membacanya dengan tidak bertajwid, panjang pendek yang tidak dipatuhi dan keduanya membaca al-Quran tetapi tidak mematuhi isi kandungannya. Justeru, usaha untuk memperbetulkan bacaan anak-anak di usia muda mereka, mudah-mudahan akan melahirkan generasi yang elok bacaan.
Memang benar, setelah khatam, bacaan boleh diulang-ulang sehingga kelancaran diperolehi, namun siapa dapat menjangka apa akan berlaku di hari mendatang. Lebih-lebih lagi berada di perantauan ini. Di sini tiada rancangan bersama Ustaz Zamri Mari Mengaji, juga kurang guru-guru al Quran untuk dihantar anak-anak mengaji bersama mereka. Lantas, ketika masa bersama anak-anak terbuka luas; ibu bapa wajar mengambil peluang memantau pencapaian bacaan al Quran anak-anak lebih kerap. Jemu mereka mengulang ayat yang sama, selitkan cerita, peristiwa dan apa jua peringatan di sebalik kalam-kalam Allah itu. Bosan mereka dengan surah yang berkali-kali diulang, tontonkan mereka bacaan kanak-kanak lain yang telah fasih membaca ( kemudahan internet wajar dimanfaatkan, di samping cd dan bahan-bahan media lain). Moga-moga menjadi motivasi dan dorongan.
Sabda Baginda saw lagi yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah menggalakkan kepada hambanya sebagaimana Allah memerintahkan Rasulullah S.A.W. supaya memperelok dan mengangkat suara ketika membaca Al Quran.( Riwayat Bukhari & Muslim )
Semoga Allah membantu. Allahumma irhamna bil Quran....
Mencari dan terus mencari cinta ilahi.
Jumpa lagi, Insya Allah
29 Rabi'ulawwal 1430
25 Mac 2009

18 March 2009

TIADA RAMUAN RAHSIA !

Bahan-bahannya tiada yang luar biasa. Seekor ayam, sedikit cili padi, cili giling, kerisek kelapa goreng, serai, daun kunyit, santan dan bahan-bahan tumisan lain.Itu sahaja ramuan 'Ayam Rendang' mak..tapi rasanya. Sedap tidak terkata.

Sedapnya rendang mak, sampaikan Ah Meng, taukeh kedai membaiki motosikal di Behrang Stesyen sering menempah untuk jamuan rakan-rakan Islamnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.

Sehingga hari ini pun, selepas hampir 11 tahun mak 'pergi', saya dan adik beradik lain merindui kesedapan Rendang ayam air tangan mak. Walau lazat bagaimana sekalipun orang lain memasaknya, tetap tak terbanding buatan tangan mak.

AIR TANGAN DAN BISMILLAH

Bila orang-orang bertanya pada mak,

" Apa ramuan rahsia rendang makcik ni..lazat".

Jawapan mak mudah sahaja," Tak ada ramuan rahsia pun. Sama je macam orang lain buat. Cuma...."
'Cuma apa mak ? Mak lebihkan kerisek ye?' sampuk saya tanpa sempat Mak menghabiskan bicara.

Mak tersenyum, 'Cuma...jangan lupa baca Bismillah. '

Air tangan ibu ada makna tersendiri.Di dalamnya melimpah rasa cinta, melaut rasa kasih dan sayang untuk suami dan anak-anak. Mungkin itulah 'ramuan' tambahan penambah kelazatan apa jua masakan mak. Walau penat, memasak untuk keluarga tetap jadi keutamaan. Lelah hilang melihat anak-anak berebut menjamah hasil masakan...penat terubat dengan sendawa kekenyangan mereka...Esok pagi, tengahari dan malam rutin memasak berulang kembali .

Juga, membaca Basmalah setiap kali memasak, bukan sekadar memperolehi pahala bahkan menambah lagi keberkatan dan nikmat yang dirasa. Mungkin nampak kecil dan remeh, tetapi mungkin itu 'perisa' penambah selera.
Merenung kepada sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah s.w.t. "

Amalan yang kecil dan mudah, tetapi menjadi berat dan sukar jika tidak dibiasakan.


KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA HARI INI

Sudah lama persoalan ini bermain di fikiran saya. Adakah keadaan hari ini dimana ibu-ibu kurang memasak untuk keluarga, lantaran sibuk dengan kerjaya menyumbang serba sedikit kepada keruntuhan akhlak anak-anak mereka? Tugas dan kerja sebenarnya bukan alasan, jika kemahuan untuk menghidangkan keluarga dengan air tangan sendiri tersemat kukuh di dada dan waktu untuk itu diusahakan seboleh mungkin agar makanan yang tersedia bukan juadah 'tunjuk' atau lebih parah hasil air tangan pembantu rumah.

Kejadian malang anak-anak dan suami jatuh kasih kepada pembantu rumah bukan lagi asing dalam masyarakat kita. Lantaran, tanggungjawab memasak dengan mudah diserahmilik kepada pembantu, lazatnya makanan kerana dibeli dari gerai dan restoran. Bukan sekali sekala, tetapi sudah menjadi acara biasa. Inilah kerugian yang tidak terlihat dek mata dan mungkin tidak terjangkau dek pemikiran ibu-ibu moden hari ini.

Tidak salah sesekali bersama keluarga merasa makanan 'luar', asal tidak menjadi kebiasaan. Akur, situasi wanita zaman kini yang berkerjaya dan turut menyumbang kepada perkembangan masyarakat dan negara. Namun, pilihan tetap di tangan kita.

JAUH DI PERANTAUAN

Kini telah hampir setahun saya dan keluarga menghuni negara orang. Sebelumnya di pekan kecil, Lampeter di Wales. Setelah hampir sepuluh bulan, kini kami berada di Leicester, England.

Berjauhan dari tanahair, menjadikan memasak suatu kemestian setiap hari. Manakan tidak, di sini tiada gerai menjual sate ayam, laksa, mee kari dan bermacam lagi makanan Malaysia amnya, dan masakan Melayu khususnya. Mahu tidak mahu keinginan suami dan selera anak-anak harus dipenuhi. Untungnya di sini, ia tidaklah sesukar mana, kerana bahan-bahan masakan Malaysia masih mudah diperolehi. Kemudahan internet juga boleh dimanfaatkan untuk menambah resepi yang ada. Tepuk dada tanya selera.

Jika di Malaysia, kemahuan memasak sering kalah dengan deretan gerai-gerai tepi jalan mahupun restoran-restoran eksklusif, pasar-pasar malam,restoran makanan segera dan bazar Ramadhan degan pelbagai pilihan, justeru di perantauan merupakan ketika yang paling sesuai untuk 'menyintai' dapur dan memasak. Teringat kata-kata seorang chef terkenal di UK ini di dalam rancangannya, Rosemary Shregger's School for Cook :


To love food is a passion, but to love cook is a gift


Mulakan di sini. Mudah-mudahan suami tertambat hati, bertambah cinta di sanubari. Moga anak-anak terikat jiwa, mudah mendengar kata dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah di dunia juga akhirat sana.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.



Jumpa lagi, Insya Allah


19 Mac 2009

22 Rabi'ulawal 1430


MEMAKSA DIRI UNTUK BERJAYA


Entah seru dari mana..hari ini seusai memasak untuk keluarga tercinta, tangan terus mencapai keyboard.Sementelah si kecilku masih tidur dapatlah aku melakar sesuatu..menulis tentang apa jua untuk manfaat diri dan agama pastinya. SYUKUR....akhirnya kekuatan ini datang juga..mengorak langkah pertama..menarikan jemari untuk mula ber'kata' .

Bukan sekali dua, tetapi telah sering kali 'teman sejati' meniup semangat diri :

' tulis lah sesuatu...keluarkan bakat yang ada..paksa diri lakukannya...orang yang malas mencabar diri, akan sentiasa di takuk lama, tidak ke mana..'

dan banyak lagi. Terima kasih abang..kata-katamu sentiasa bermain di ingatan..dan hasilnya hari ini, aku akan mula melakar sesuatu.Dan ini permulaannya.

Semoga ada faedah buat diri yang menulis, ada manfaat bagi yang membaca. Selebihnya, hanya Allah yang akan menilai.

Yang pasti, aku menulis bukan kerana nama, tapi kerana Cinta Nya..mencari dan terus mencari..Cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah




12.45 pm

18 Mac 2009

21 Rabi'ulawal 1430 Hijriah