“Andai ditanya, antara dua pilihan : menyayangi
dan disayangi…apakah jawapan daripada ustazah…jawapan yang pasti?”
Suatu ketika, persoalan ini diluahkan
kepada saya oleh seorang isteri yang sedang mengalami derita hati; merasa dirinya tidak dikasihi
suami.
“Kalau saya memilih kedua-duanya?” Saya
pula bertanya sambil membetulkan duduk. Redup cuaca petang itu dengan angin
sepoi-sepoi bahasa di bawah gazebo berlantaikan kayu pada sisi kiri rumah lot
tepi itu, menjadikan perbualan kami turut terbuai dari perbualan penuh mesra
soal anak-anak hingga akhirnya bersoaljawab agak serius pula tentang kasih dan
cinta dalam rumahtangga.
Mendengar pertanyaan itu, dia menundukkan
kepala. Wajahnya masih muram, sama kelamnya tatkala dia menyambut ketibaan saya
sejam yang lalu, hanya senyuman hambar menjadikan situasi ketika itu sedikit
bercahaya.
“Saya juga ingin kedua-duanya,
ustazah…tapi….” Lontaran bicaranya terhenti; tidak sempurna. Saya
menunggu…namun kelihatannya, dia terus membisu.
“Tapi…adik sendiri sukar untuk memulai?”
Saya melengkapkan kata-katanya dengan sengaja memilih ayat terakhir itu.
Saya memaklumi dari kata-katanya sebelum
ini, bahawa suaminya melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, ayah, menantu
serta ipar dengan baik, Cuma kurangnya adalah dia bukan seorang yang romantik
dalam menunjukkan cinta’; sedangkan jiwa perempuannya mengimpikan itu sebagai
pelengkap mesra. ‘Kekurangan’ tersebut menjadikan dirinya merasa tidak
disayangi suami; malah keinginan yang diimpi, tapi tidak dipenuhi itu mulai
mencambah jemu di hati; bosan barangkali dengan sikap ‘dingin’ pasangan menurut
penilaian diri.
SIFIR
MEMBERI
“Ustazah
minta saya memulai?” Dia menyoal sebaik mendengar kata-kata saya tadi. Saya
tersenyum, mengangguk dan berkata :
“Ye,
menyayangi untuk nanti disayangi…memulakan rasa untuk menghadirkan rasa? Kalau
adik mahu hadiah, mengapa tidak adik dahulu menghulurkan tandamata; andai
menginginkan mesra, sangat baik jika adik dulu mempamer ceria dan menunjukkan
sikap manja?” Tegas saya.
“Tapi…Bagaimana saya
dapat beraksi begitu, jika suami sendiri selalu membatu? Bagai acuh tak acuh
sahaja melihat saya berpakaian cantik di depannya...sekadar senyum tetapi berat
benar bibirnya untuk memuji sepatah dua…geram saya bila tiada pujian diterima..
” Luahnya dalam nada sebak bercampur ketar. Mungkin marah dan geram yang
dipendam dengan suasana rumahtangga yang sedang dialaminya, tidak mampu lagi
ditahan.
“Saya
menyayanginya sepenuh hati, Ustazah. Tapi, mengapa dia tidak boleh menyayangi
saya sebagaimana saya menyayanginya?” Kali ini, kolam matanya pecah. Saya diam
sebentar, membiarkan dirinya bertenang ditemani manik-manik jernih.
“Dik,
kadang-kadang apa yang tidak dan belum kita miliki adalah kerana kita sendiri
tidak pernah atau BELUM lagi memberi…bukankah itu sifirnya?” Saya
menjawab.
Mendengar
itu dia mengeluh; agak keras.
“Pernah adik bertanya kepada suami, adakah
layanan yang diberi itu adalah bentuk layanan yang diinginkannya daripada seorang
isteri? Menyintai pasangan dengan cara dia ingin dicintai, bukan dengan cara
kita ingin dicintai?” Saya bertanya kembali setelah beberapa ketika.
“Maksud
ustazah?” Dia bertanya buat kesekian kalinya. Sekilas, saya melihat matanya
yang sedikit cerah tanda inginkan jawapan.
“Begini…cuba
adik ingat-ingat..pernahkah sepanjang perkahwinan adik, pujian dan penghargaan
terhadap kerjakeras suami menyediakan itu ini dalam rumahtangga adik beri?
Percaya pada suami dengan tidak mengintai-intai barang peribadinya seperti
telefon bimbit dan lain-lain melainkan
dengan izin dan pengetahuannya, juga
apabila dia menginginkan sesuatu daripada adik, bagaimana tindakbalas adik
terhadap permintaannya…sambil lewa atau berusaha untuk memenuhinya secepat
mungkin?
Lelaki
merasa dikasihi dengan hormat dan percaya, berbeza dengan kita wanita. Luahan
cinta diterjemah lebih kepada kata-kata mesra serta bahasa tubuh seperti
pelukan dan belaian mesra.” Saya menjelaskan. Mendengar itu, dia merenung jauh
ke luar pagar…
SOAL
RASA
Saya
memamahami bahawa merasa tidak dicintai, dikasihi dan disayangi adalah satu
bentuk 'kesakitan' bagi hati...lebih-lebih lagi apabila ia wujud pada diri
seseorang bergelar suami atau isteri.
Walau
hakikatnya, cinta telah diberi, kasih banyak dipamer dan ucapan sayang tidak
pernah lekang dari bibir pasangan, namun yang menerima cinta, yang melihat
kasih dan yang mendengar lafaz ucapan tidak ‘menikmati’ semua itu lalu
berterusan dalam kepedihan serta kekecewaan.
Lantaran
itu, apabila kepedihan ini menggungguli rasa, tiada yang lebih utama selain
berkaca kepada jiwa; melihat refleksi rohani yang padanya akan terungkai segala
tekateki diri. Saya meyakini, soal rasa, iaitu kemampuan merasai apa yang
diberi dan ditunjukkan oleh insan lain dari aspek kasih sayang, kemesraan dan
cinta merupakan satu bentuk rezeki dari ILAHI.
Justeru,
apabila ia satu rezeki, maka tidak boleh tidak, cara bagaimana ia diperolehi
dan diterima, banyak mencorak bagaimana ‘rasa’ yang terbit asbab dari semua
itu.
Mungkin
benar, ada ketikanya orang yang memberi tidak menghulur cintanya sepenuh hati,
kurang ikhlas dan mengharapkan imbalbalik, lalu orang yang menerima turut
merasai tempias yang sama. Kasih yang diterima dirasakan tidak murni.
Namun,
banyak masanya, orang yang menerima lebih perlu memuhasabah diri jika
kasihsayang dan cinta yang diberi, tidak dapat dinikmati. Barangkali, jiwanya
sendiri telah dijangkiti penyakit hati kesan dari maksiat yang dilakukannya
lalu apa yang telah pun diberi dari hati yang tulus, tidak dapat ditadah oleh
hati yang tidak mulus, sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dalam surah
Toha ayat 124 :
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ
يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
Maksudnya
: "Dan sesiapa yang berpaling ( ingkar ) dari peringatan dan
petunjuk-KU, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan KAMI akan
himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".
Membaca
ayat ini, kita dapat memahami bahawa bentuk maksiat serta keingkaran dari
peringatan ar Rahman yang boleh menafikan rasa dikasihi, dicintai dan disayangi
dalam rumahtangga, antaranya ialah meremehkan kebaikan pasangan, kagum dengan
kebaikan diri sendiri dalam meneladeni keperluan anak-anak dan pasangan
termasuk juga merasa diri lebih baik daripada pasangan.
Jika
ini berlaku, bagaimana cinta yang ikhlas dapat membekas?
RASA
ITU….KURNIAAN-NYA
Dia
menoleh, memandang tepat ke arah saya. Namun kali ini, matanya agak redup.
Lantas, saya mendekat dan memegang tangannya.
“Dik,
menyelamatkan sebuah perhubungan lebih wajar diutamakan dari mempertahankan
sebuah keadaan lebih-lebih lagi jika perhubungan itu adalah sebuah ikatan yang
termeteri atas nama TUHAN. Pada saya, perhubungan dalam perkahwinan amat mudah
terlerai andai benih putus asa mulai bercambah dan menguasai perasaan. Ramai
orang bimbang andai pasangan mendahuluinya ‘bertemu TUHAN’ setelah sekian lama
bersama melalui kehidupan, tetapi ramai yang alpa bahawa kehilangan sebenar
adalah tiada lagi ketertarikan kepada pasangan semasa hidup masih lagi
berjalan. Itulah ‘kehilangan’ sebelum kematian …” Saya menasihatkan.
Dia
mengangguk dan memberikan senyuman. Walau tidak lebar, akan tetapi itu sudah
cukup menjadi tanda dia masih punya sifar sabar. Setidak-tidaknya, wajah yang
masam, tidak lagi muram. Moga-moga, senyuman itu sebagai pemangkin kepada
suasana jiwa dalaman yang memercik pedoman dan petunjuk ar Rahman.
Saya
membalas senyumannya….dalam hati, ada bisikan mengetuk dinding jiwa :
“Cinta
itu amat ajaib... Dek kerana cinta...insan rela berkorban apa saja.... Cinta
itu mengasyikkan jiwa... Jika tidak, masakan wujud kisah cinta qais dan
laila...tak mampu bersama, hingga nyawa jadi pertaruhannya...
Namun,
sekian lama manusia mengejar cinta... Ramai kecewa duka dan hiba... Kerana
mereka lupa bahawa semakin akrab dengan makhluk yang dicinta, kian terserlah
ketidaksempurnaannya... Melainkan yang bercinta dan menyintai kerana-NYA...
Maka kelebihan dan kekurangan.... Wadah untuk bersinergi... Saling lengkap
melengkapi....
Cinta...jadikan
ia sebab untuk meraih syurga... Kerana nilaiannya adalah pada apa dan siapa
cinta itu disua...
Menyayangi
dan disayangi…
Sesungguhnya….’rasa’
itu…kurniaan-NYA.
***************************************************************************
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ
-صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ « وَمَا
أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ ». قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ « فَإِنَّكَ
مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ». قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحًا
أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- « فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ
أَحْبَبْتَ ». قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ
وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ.
Maksudnya
: Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bercerita: “Pernah seorang lelaki datang
menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu dia bertanya: “Wahai
Rasulullah, bilakah hari kiamat?”, beliau bersabda: “Apa yang kamu telah
siapkan untuk hari kiamat”, orang tersebut menjawab: “Kecintaan kepada Allah
dan Rasul-Nya”, beliau bersabda: “Sesungguhnya kamu bersama yang engkau
cintai”, Anas berkata: “Kami tidak pernah gembira setelah masuk Islam lebih
gembira disebabkan sabda nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam
“Sesungguhnya kamu bersama yang engkau cintai, maka aku mencintai Allah,
Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dan berharap aku bersama mereka meskipun aku
tidak beramal seperti amalan mereka.” ( Hadis riwayat Muslim )
Mencari
dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa
lagi, In shaa ALLAH.