DOAKU PADA-MU TUHAN....
"Ustazah,
boleh tak saya berdoa supaya suami kahwin lain, dengan seseorang yang lebih
baik daripada saya?" Seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an
mengajukan soalan.
"Ustazah,
boleh ke kita berdoa agar cinta dan kasih suami hanya untuk seorang isterinya
sahaja?" Soal seorang wanita lain pula yang lebih muda, baru menginjak
usianya ke angka 30.
Itu
adalah antara dua soalan yang pernah diajukan kepada saya dalam salah satu sesi
perkongsian dan ceramah saya bersama para muslimat.
Jika
direnung-renung, kedua-duanya tidak banyak berbeza, kerana ia berkisar pada
topik yang sama, iaitu tentang poligami. Dan, saya yakin, rata-rata wanita
menganggap topik ini sebagai sesuatu yang agak sensitif dan pedih untuk
menghadapinya.
Saya
tidak menafikan keadaan itu, cuma untuk menjawab kedua-duanya dalam waktu yang
terbatas dan tidak mengguris perasaan kewanitaan yang halus, saya cuba mengalih
perhatian mereka kepada persamaan yang wujud pada inti persoalan iaitu berkait
doa; kerana pada saya, kekecewaan yang dihadapi oleh kebanyakan manusia muslim
hari ini, salah satunya adalah berpunca dari kesalahfahaman tentang konsep doa
yang dipanjatkan ke hadrat ILAHI.
MENGAPA
BERDOA?
“Mengapa
kita berdoa?” Saya melontarkan satu persoalan mudah kepada jemaah muslimat yang
santai bersimpuh di atas karpet merah.
“Untuk
menyampaikan apa yang kita hajatkan, ustazah…” Jawab salah seorang wanita di
hadapan saya.
“Maksudnya,
kita nak beritahu ALLAH apa yang kita mahu, begitu?” Saya menambah rencah.
“Hmm..lebih
kurang begitulah agaknya, ustazah.” Wanita tadi menjawab dengan senyuman, namun
ada sedikit kerutan terlihat pada dahinya. Sementara itu, jemaah muslimat lain
hanya mendengar penuh minat.
“Kita
nak beritahu ALLAH, atau nak order sesuatu daripada-NYA?” Saya masih
meneruskan persoalan buat mencambah fikir dan renungan.
“Order?
Maksud ustazah?” Kerut di dahinya kian jelas terlihat.
Melihat
itu saya senyum. Satu demi satu wajah di hadapan saya perhatikan. Sambil
menarik nafas dalam-dalam, saya diam sebentar bagi mencari patah kata yang
sesuai. Melihat riak ingin tahu pada wajah mereka, diam-diam saya berdoa di
dalam hati agar penjelasan saya nanti, mampu menatijahkan kefahaman yang
sebenar.
Biar
ringkas, tetapi padat dan tepat, In
shaa ALLAH.
PETUNJUK-NYA
“Saya
yakin, kita selalu pergi ke restoran untuk menjamu selera, dan pasti nya
sebelum dapat menikmati makanan yang diinginkan, kita lebih dulu buat order
apa yang kita mahu makan dan minum kepada pelayan restoran. Sebentar kemudian,
apa yang kita order akan sampai di hadapan mata; jika roti canai telur
yang kita minta, roti canai telur yang akan dihantar ke meja kita. Jika ‘Teh
Tarik lebih buih’ yang kita inginkan, minuman itu juga yang akan dihidangkan
kepada kita. Ringkasnya, apa yang kita dapat, adalah apa yang kita order.
Bukan begitu?” Sekali lagi saya bertanya.
Para
Jemaah muslimat di hadapan saya mengangguk-ngangguk tersenyum.
“Namun,
kita selalu lupa. ALLAH bukan seperti restoran mamak, jauh sekali dapat
disamakan dengan restoran makanan segera atau selainnya. Kita berdoa, bukan
untuk memberitahu ALLAH apa yang kita mahu, bukan juga untuk order
apa-apa yang kita impi dan inginkan dalam hidup ini, tetapi berdoa adalah
sebagai bukti kita ini hamba-NYA. Ia manifestasi perhambaan kita kepada Yang
Maha Esa bahawa kita sangat memerlukan DIA dalam menjalani kehidupan setiap
masa.
Tambahan
pula, cara ALLAH mengabulkan apa yang diminta oleh hamba-hambaNYA sangat jauh
berbeza berbanding permintaan kita kepada makhluk selain-NYA. Kita meminta
begitu, tetapi ALLAH memberi begini, kerana DIA mengurniakan apa yang manusia
perlu, bukan apa yang mereka mahu. “ Saya sedikit berfalsafah.
Terlihat
wajah-wajah di hadapan saya menunduk ke karpet merah.
“Jika
puasa bertujuan menambah takwa, maka berdoa pula adalah untuk meraih petunjuk
ALLAH, sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Dan
apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka (jawablah),
bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa
apabila ia memohon kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala
perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu
mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran).” ( Surah al Baqarah ayat 186 )
Justeru,
semakin
banyak kita berdoa, semakin banyak juga petunjuk dari ALLAH yang akan kita
perolehi. Sebaliknya, jika kurang berdoa, maka dibimbangi kurang juga hidayah
yang akan mendatangi.” Saya berhenti seketika bagi melihat reaksi jemaah di
hadapan saya.
PILIHAN
“Tapi tak salah kan ustazah, kita meminta
apa yang kita rasakan baik untuk kehidupan kita? Seperti doa tadi, supaya suami
tidak beralih kasih daripada isteri dan anak-anaknya. Tak salah kan?” Wanita
yang bertanya tadi meminta kepastian.
Buat kesekian kalinya, saya tidak terus
menjawab. Saya hulurkan senyuman terlebih dahulu.
‘Hati wanita mana yang dapat menerima
dengan mudah seruan poligami,’bisikan kecil menerjah ke dalam hati saya.
“Begini, saya tidak kata salah untuk berdoa
sebegitu. Akan tetapi, Rasulullah SAW mengajar kita untuk istikharah
iaitu pilihan yang dilakukan dengan mengikat setiap urusan atau perkara yang
kita rasakan baik tersebut dengan kebaikan untuk agama, kehidupan dan urusan
akhir kita, sebagaimana doa yang pernah diajar oleh baginda kepada sahabat
melalui sabdanya yang bermaksud :
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk
kepada-MU dengan ilmu-MU, memohon ketetapan dengan kekuasaan-MU, dan aku
memohon kurniaan-MU yang sangat agung kerana sesungguhnya ENGKAU berkuasa
sedang aku tidak berkuasa sama sekali, ENGKAU mengetahui sedangkan aku tidak,
dan ENGKAU yang mengetahui hal yang ghaib. Ya ALLAH, jika ENGKAU mengetahui
bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan)
lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau
mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka
tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah
kepadaku dalam menjalankannya. Jika ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini buruk
bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam
waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku
dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun
kebaikan itu berada. Kemudian,
jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut. ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab
al-Jumu’ah, no: 1162 )
Melalui
berdoa sedemikian, maka seseorang itu dapat melapangkan jiwanya dari apa jua
keinginan peribadi yang berlandaskan hawa nafsu. Sebaliknya, urusan tersebut
akan dipulangkan ke hadrat Yang Maha Mengetahui; kepada ilmu-NYA yang amat luas
dan tidak terbatas.
Individu
yang beriman dan menyerahkan urusannya kepada ALLAH, harus menyedari bahawa ada
ketikanya, solusi yang dipilih oleh ALLAH SWT untuk dirinya tidak
selari dengan keinginan hawa nafsu atau pada tanggapan seseorang tersebut
bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi dirinya, lantaran hakikat
kebaikan atau keburukan sesuatu itu hanya ALLAH jua yang mengetahui. Firman-Nya
yang bermaksud :
“…dan
boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi
kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH
jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” ( Surah al-Baqarah ayat 216 )
DOAKU
PADA-MU TUHAN…
“Saya
suka untuk mengajak sahabat muslimat semua untuk merenungi satu perkara agar
kita insaf bahawa kita ini hanya hamba yang berada di bawah takdir-NYA. Kita
mentadbir kehidupan ini dalam batas kudrat yang diberikan-NYA, tetapi ia tetap
tidak dapat mengatasi ketentuan DIA Yang Maha Berkuasa.
Berbalik
kepada soalan tadi, kita boleh berdoa agar suami tidak beralih kasih. Kita
meminta bersungguh-sungguh pada ALLAH. Namun, tanpa kita sedar, di luar
pengetahuan kita, ada wanita lain yang turut menadah tangannya, bermunajat
penuh pasrah agar dikurniakan seorang suami yang soleh dan dapat membimbingnya
di dunia dan akhirat. Antara dua doa tadi, dalam ilmu dan kehendak-NYA, ALLAH
mengangkat doa wanita tadi sebelum doa kita sendiri dikabulkan dan lelaki yang
ditakdirkan menjadi pendamping wanita tersebut adalah suami kita sendiri
melalui jalan-jalan yang tidak pernah kita jangka.
Lalu,
ada baiknya kita merendah diri ketika berdoa kehadrat Yang Maha Esa. Kepasrahan
kita dalam menyerahkan untung rugi kehidupan kepada Yang Maha Kaya pasti tidak
sia-sia kerana kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan
suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan ALLAH
akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan
kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan
keburukan yang sepadan dengannya. (Riwayat
Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).
Saya
tunduk menginsafi kata-kata sendiri, sambil hati berbisik :
Doaku
pada-MU TUHAN agar KAU bimbing kami yang lemah ini, dan usah sesekali membiarkan
kami menentukan urusan hidup kami sendiri, walau untuk sekelip mata pun…ameen,
amen Ya Rabb.
Comments
Saya berpandangan, doa adalah salah satu usaha seorang hamba kepada Allah, untuk dirinya (dan lain2), mengikut kesesuaian dirinya sendiri. Tak semua wanita/lelaki boleh menerima/berpoligami, hence poligami itu sendiri tidak wajib utk semua jenis muslimin/muslimat, kerana sifat Islam itu sendiri yang flexible, dan merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk kehidupan berumahtangga yg pelbagai.
Jadi, jika seorang wanita berdoa dan mengharap kepada Allah, supaya dirinya kekal didalam kehidupan monogami bersama suaminya, di dunia dan akhirat, dengan izin Allah. Adakah salah beliau meminta kepada Yang Maha Mendengar?. Itupun jika layak untuk masuk ke syurga Allah...
Mohon maaf ustazah jika ada tersalah tutur kata.
MS, ibu anak 3.