30 April 2010

NASIHAT BUATKU DAN DIRIMU



“Kenapa Ummi menangis ?” tiba-tiba Khalil menyapa. Memang anak yang seorang ini pantang melihat air mata. Pasti dia datang bertanya.

“Ummi sedih…” saya membalas ringkas.

“ Sudah Ummi, tak mau sedih-sedih,” Khalil memujuk sambil menggosok kepala saya. Meniru cara saya dan suami bila kami memujuknya. Saya tersenyum hambar, namun pujukannya menghilangkan sedikit gundah di jiwa.

“Cuba Khalil tengok ni..kesiankan ?” Saya mengarahkan mata ke skrin komputer. Khalil turut mengalihkan pandangannya.

Paparan video pada skrin di hadapan memperdengarkan sebuah nasyid yang cukup syahdu. Suara dari Syeikh Misyari al Afasi, yang cukup terkenal dengan alunan ayat-ayat suci yang merdu.

Kandungannya menggambarkan kisah seseorang yang tidak mampu melihat keindahan bulan dan alam semesta. Juga, tidak dapat menatap wajah lembut seorang ibu kerana matanya buta. Kisah yang dipertontonkan itu cukup menusuk kalbu dan jiwa.


23 April 2010

KITA YANG BERNAMA MANUSIA


“Adik, jom mandi,” saya memujuk Solehah. Seperti biasa, Solehah menggeleng kepala. Bibir merahnya dicebekkan tanda tidak suka. Saya faham, dia keberatan.

Saya merapati Solehah. Cebekannya semakin ketara.

“Ala..mandi ya. Nanti Solehah bersih, wangi, cantik..” saya memujuk lagi beserta kata-kata pujian. Tapi, Solehah tetap bertahan. Tidak berganjak dari tempat duduknya. Bila-bila masa sahaja, riak ‘mendung’ di wajahnya bakal menurunkan hujan air mata.

Melihat itu, saya diam sebentar. Memikir-mikir cara lain yang boleh diguna untuk melembutkan hatinya. Tanpa begitu memaksa.

Oh! Ya! Saya teringat sesuatu di minda.

17 April 2010

BAHAGIAKAN DIRIMU...


Saya mengenali seorang wanita yang kerap menjalin hubungan istimewa bersama lelaki. Sebaik hubungan sedia ada menemui titik buntu, dia pasti mencari cinta yang baru. Hidup bersendirian bukanlah pilihan kerana baginya kesunyian bermakna tiada kebahagiaan. Dia sentiasa ingin menyintai dan dicintai, menyayangi dan disayangi.

Suatu ketika, dia bersama seorang lelaki yang dilihat sangat sesuai untuk dirinya. Cuma sayangnya, lelaki itu tidak memberikan sepenuh cinta yang didambakannya. Namun dia membiarkan sahaja perkara itu terjadi tanpa mahu memutuskan ikatan yang terjalin.

Apabila ditanya, mengapa? Jawapannya, dia tidak punya pilihan lain, kerana padanya bersendirian bukanlah sesuatu yang diinginkan. Bersendirian bagai suatu penanggungan yang amat memeritkan berbanding kurangnya kasih dari kekasih. Walau itu tidak sebagaimana yang diimpikan.

Sampai saatnya, hubungan itu menjadi bertambah buruk. Perpisahan terjadi jua. Di ketika itu, dia bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku dan terpaksa juga hidup tanpa teman. Sungguhpun dia amat benci hidup sendiri, namun akhirnya dia kelihatan boleh menjalani saat-saat getir itu tanpa kekecewaan yang memusnahkan. Dia bagaikan baru sedar bahawa sebenarnya dia mampu hidup sendirian.

Sembilan bulan berlalu, sehinggalah dia menemui seorang jejaka yang amat baik budi. Kali ini, lelaki tersebut mahu menjalin ikatan lebih serius dan tinggal bersamanya, dan itulah yang sering diharapkan dari semua kekasihnya sebelum ini. Akan tetapi, entah mengapa, kali ini dia menolak. Dia menyedari, terlalu banyak keseronokan dapat dinikmati walau hanya hidup bersendiri.

5 April 2010

KU INGIN JADI BIDADARI ITU...

Sumber


Kereta MPV Honda Shuttle berwarna biru meluncur laju menyusuri lebuhraya. Cuaca dingin sejak pagi mulai beransur hangat. Matahari bersinar terang memancarkan cahaya. Saya dan keluarga bermusafir ke Lancaster untuk menjayakan ‘Kem Solat’ bersama warga Malaysia di sana.

Sepanjang perjalanan, saya mengambil peluang menikmati keindahan alam. Padang rumput yang menghijau. Juga, bunga-bunga Daffodil kelihatan tumbuh melata dengan kembang kuning yang menambah ceria. Damai. Menghilangkan resah dan risau.

Suami pula tenang memandu di sisi. Sesekali dia tersenyum sendiri. Mungkin tercuit hati dengan isi ceramah yang didengarnya melalui MP3. Ceramah tentang syurga dari Syeikh Anuar Awlaki.

“Hai..apalah yang disenyumkan tu?” usik saya, sengaja mahu mengajak suami bercerita.

Suami menoleh. Senyumnya belum lekang dari bibir. Bahkan makin melebar saat melihat saya menjeling sinis. Belum mahu menjawab, suami kembali memberi tumpuan kepada pemanduan dan isi ceramah.

Anak-anak di bahagian belakang, telah lama lena dibuai mimpi. Jarak perjalanan dari Leicester ke Lancaster, sememangnya agak jauh . Iaitu lebih kurang 2 jam 55 minit, mengikut anggaran navigator berjenama ‘Tomtom’ kami.

NIKMAT SYURGA
“Jangan lupa kongsi dengan As ya..” luah saya bila melihat suami ketawa kecil seakan geli hati. Sambil itu, saya menyua makanan dan minuman yang dibawa kepadanya. Itulah tugas saya setiap kali kami berkelana jauh begini.

Maklum dengan keletihan perjalanan jauh sebegitu, sekurang-kurangnya saya dapat berperanan menghilangkan jemu dan rasa mengantuk suami ketika memandu.

“Ada pendengar wanita menyoal Syeikh Anuar..” suami mula mahu berkongsi. Saya sabar menanti sementara menunggu suami menghabiskan bicara.

“Dia bertanya: mengapa al Quran tidak menerangkan SECARA JELAS kenikmatan yang diperolehi wanita di syurga?” tambah suami.

Saya mengangguk. Kepala ligat mengingati ayat tentang kenikmatan syurga yang disediakan bagi lelaki beriman dan bertaqwa. Bidadari syurga yang digambarkan sebegitu indah menerusi kalam-kalamNya yang mulia.