BAGAIMANA
CINTA-MU WAHAI IBUBAPA?
Saya melepaskan satu keluhan berat tatkala mendengar cerita
daripada seorang kenalan terdekat tentang sikap segelintir ibu bapa yang
menyalahkan pihak sekolah atas kegagalan anak-anak mereka meraih markah
cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun bulan Jun yang lalu.
“Tambah menyedihkan bila ibu bapa kepada pelajar yang kurang
menyerlah ini seperti membandingkan pula anaknya itu dengan kakak dan abangnya
yang telah berjaya, kata mereka : “Kakak dan abangnya dulu pandai-pandai
belaka!.” Ujar kenalan saya itu dengan wajah sedikit kesal.
Saya yang mendengar juga turut terdiam. Gusar!
“Apa agaknya yang diinginkan oleh ibu bapa sebegini daripada
anak-anak mereka? Hanya memperakui anak yang berjaya, sementara yang
ketinggalan, segala kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada pihak ketiga. Di
mana muhasabah ibu bapa?” Gelengan kepalanya bagaikan mewakili rasa sesal yang
bersarang dalam jiwa.
Saya terus membisu tanpa sepatah kata. Dalam hati, saya sangat
menyetujui patah bicaranya.
Di mana muhasabah ibu bapa? Mampukah bicara yang membezakan
prestasi anak-anak dalam pencapaian akademik sedemikian rupa mampu
menyelamatkan mereka dalam kehidupan seterusnya?
Bermain salji ~ sekadar hiasan
KEJAYAAN
Saya merenung ke dalam diri, melontarkan satu pertanyaan yang saya
rasakan begitu dekat dengan ibu bapa lain tika menangani soal pendidikan
anak-anak. Sepenuh hati saya meyakini bahawa, tiada ibu bapa di dunia ini yang
mengimpikan anak-anak yang ‘gagal’ dalam hidup mereka. Cuma pada saya kekeliruan
kita sebagai orang tua adalah pada memberikan makna dan pengertian tentang
sebuah kejayaan.
Kerap kali, tatkala berbicara tentang individu pelajar yang
berjaya, fokus perbincangan lebih menjurus kepada nilaian markah dan jumlah A
yang berhasil diperolehi. Sementara sudut-sudut selain dari itu, bagai
terpinggir dan kurang diberi perhatian.
Sedangkan saya percaya, jika diperhatikan situasi sekeliling,
kebejatan akhlak yang berlaku di kalangan remaja dan belia hari ini telah
menjangkaui kepada anak-anak muda yang cemerlang pelajaran mereka, yang juga
pernah dibangga-banggakan sebagai pemuda pemudi harapan bangsa.
Namun, tatkala individu yang cemerlang ini ditemukan melakukan
kesalahan yang berat menurut norma budaya dan agama, kita mula mempersoalkan,
di manakah silapnya pada pendidikan anak-anak ini sehingga kejayaan meraih
deretan ‘A’ tidak pula menjangkau kepada akhlak dan budi pekerti?
“Bagaimana agaknya ya…penerimaan orang tua yang pernah dengan rasa
gembira dan bangga menghantar anak-anak ke menara gading, tetapi kemudiannya,
setelah empat lima bulan berlalu, menerima pula surat makluman dari pihak
universiti tentang masalah disiplin anak-anak mereka. Ada yang sengaja ponteng
kuliah, sebahagiannya pula lambat hadir ke kelas kerana terlalu lewat tidur dan
tidak kurang juga yang terjebak dengan sindiket pernikahan palsu. Itu belum
lagi menyentuh gejala seks sonsang yang berlaku di kalangan penuntut
universiti. Tak dapat saya bayangkan…” Pernah seorang kenalan lain meluahkan
kerisauan.
Mereka berjaya menggapai kegemilangan pelajaran, tetapi belum benar-benar menjadi muslim 'berTUHAN'!
MENJADI LALANG
Justeru itu, sudah sampai masanya, kita sebagai individu dewasa
yang mendakwa ‘lebih dulu makan garam ini’ bermuhasabah dan merenung kesilapan
diri.
Andai kita selaku ibu bapa mengakui bahawa di satu tempat yang sama
pasti akan lahir orang-orang yang baik maupun orang-orang yang rosak, kita juga
sewajarnya turut mengakui bahawa betapa pun berpengaruhnya persekitaran, baik
buruk modal insan yang dihasilkan tetap tidak bergantung kepada lingkungan,
bukan juga suasana dan bukan zaman saat seseorang itu dibesarkan menjadi
penentunya. Akan tetapi yang paling berperanan mencorak anak-anak adalah bagaimana
kedua ibu bapanya membekalkan nilai-nilai hidup kepada cahaya mata mereka sejak
awal usia.
Walaubagaimanapun, inilah masalah yang berlaku apabila ibu bapa
dewasa ini terlalu sibuk menyuburkan keterampilan anak-anak dalam peperiksaan,
memerhati penuh teliti kemampuan mereka menjawab segala bentuk soalan yang
dikemukakan pada kertas ujian, juga kekreatifan anak-anak mengolah jawapan agar
bertepatan dengan soalan peperiksaan. Sedangkan, persoalan mengenai prinsip dan
pegangan hidup yang lebih mendasar dikesampingkan bagai tiada nilai untuk masa
depan.
Jika sekadar itu sahaja kecerdasan kognitif anak-anak ini
dibangunka dengan tumpuan ibu bapa di rumah dan penekanan yang berulangkali
sepanjang tempoh sekolah dibuka, maka kebimbangan untuk anak-anak ini
kehilangan jejak dan arah tatkala usia dewasa menginjak adalah lebih besar. Ini
kerana, anak-anak yang baru mula memegang ‘layar’ kehidupan sendiri setelah
sekian lama mengikut perlayaran ibu bapa, tidak mampu mengarah diri mereka
sendiri kerana tiada prinsip yang kuat, orientasi yang jelas dan nilai-nilai
hidup yang berpengaruh yang benar-benar men’jatidiri’kan mereka selama ini.
Kesannya mereka menjadi seumpama lalang, sangat mudah mengikut arus atau ‘ trend’
yang melata tanpa kebijaksanaan menilai akan baik buruknya.
QAULAN SADIIDA
Ini mengingatkan saya kepada lembaran ayat-ayat cinta-NYA yang
pernah saya baca; ayat-ayat yang sungguh indah dari surah an-Nisa’ ayat 9 dan
surah al Ahzab ayat 70. Ada persamaan pesanan dari untaian kata yang tertera
pada kedua-duanya.
Cukup dalam….
Firman ALLAH SWT :
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُواْ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً
ضِعَافًا خَافُواْ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللّهَ وَلْيَقُولُواْ قَوْلاً
سَدِيدًا
Maksudnya : “Dan hendaklah takut kepada ALLAH orang-orang
yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka
khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka
bertaqwa kepada ALLAH dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (
An Nisa’ ayat 9 )
Dan firman-NYA :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا
سَدِيدًا
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu
kepada ALLAH dan katakanlah perkataan yang benar.” ( Al Ahzab ayat 70 )
Itu pesan indah dari ALLAH SWT yang cukup menyentak jiwa.
Kedua-duanya menggariskan dua pendekatan iaitu bertaqwa dan mengucapkan
kata-kata yang benar sebagai pra-syarat yang harus dipenuhi agar generasi yang
ditinggalkan nanti, adalah generasi yang tidak lemah, bahkan kuat menentang
mehnah.
TAQWA DAN QAULAN SADIIDA
Pra-syarat pertama berawal mula dengan ibu bapa, mereka harus lebih
dulu menjadi orang-orang yang bertaqwa. Ketaqwaan terhasil dari keimanan kepada
Yang Maha Esa dan bukan semata pengetahuan tentang agama, iaitu dengan meyakini
bahawa setiap syari’at-NYA mengandungi kebaikan terhadap kehidupan manusia sepanjang
masa dan di mana sahaja.
Untuk itu, mereka lebih dulu melaksanakan ketaatan agar anak-anak
menuntuninya pula. Mereka lebih dulu menjauhi maksiat sebelum anak-anak
diperingat dan dinasihat. Seterusnya mereka pasti akan berusaha pula untuk membangun
keyakinan yang kuat dalam diri anak–anak terhadap syari’at ALLAH; tidak ada
keraguan sedikit pun padanya kerana mereka memahami bahawa al Quran yang
diturunkan oleh ILAHI sebagai petunjuk dan panduan abadi hanya akan berfungsi
kepada jiwa yang tidak curiga dan meragui.
Mereka percaya menanam nilai bukan semudah memupuk kebijaksanaan
kognitif yang hanya berkisar soal teknik dan cara, tetapi nilai beragama serta
merasai hidup ‘Bertuhan’ datang bersama pakej kesedaran mengamalkannya, dan ia bertitiktolak
dari keyakinan. Jika jiwa anak-anak tidak yakin, penjelasan panjang lebar tidak
akan memberi manfaat apa-apa selain hanya menambah pengetahuan. Sebaliknya,
jika anak-anak memiliki keyakinan yang kuat, maka bertambahnya pengetahuan akan
menambah kuat keyakinan yang telah sedia tersemat.
Selanjutnya, pra-syarat kedua ialah mengenai kata-kata yang benar, qaulan
sadiida. Imam at-Tabari ( Jami’ul Bayan fi ta’wili ayyil Quran )
menafsirkan kata qaulan sadida
dengan makna adil manakala Al Buruswi ( Tafsir
Ruhul Bayan ) pula menyebutkan qaulan
sadida dalam konteks tutur kata kepada anak-anak yatim yang harus dilakukan
dengan cara yang lebih baik dan penuh kasih sayang, seperti kasih sayang kepada
anak sendiri.
Sementara itu, Hamka ( Tafsir al Azhar ) menafsirkan kata qaulan sadida berdasarkan konteks
ayat, iaitu dalam konteks mengatur wasiat yang mengandung makna kekuatiran dan
kecemasan seorang pemberi wasiat terhadap anak-anaknya yang digambarkan dalam
bentuk ucapan-ucapan yang lemah lembut, jelas, jujur, tepat, baik dan adil.
Untuk itu, apa yang dapat saya fahami secara ringkas, perlaksanaan qaulan
sadida dalam pendidikan anak-anak terutama dalam pergaulan seharian
hendaklah berintikan perkara-perkara berikut :
1) Benar iaitu
kata-kata yang diucapkan itu sesuai dengan realiti yang terjadi, tidak
menambah-nambah ataupun menguranginya.
Rasulullah
SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Biasakanlah berkata benar,
kerana kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke
syurga. Hendaklah seseorang itu selalu berkata benar dan berusaha supaya tetap
benar, sehingga dicatat di sisi ALLAH sebagai as-siddiq ( yang amat benar).”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Siapakah lawan dalam berbicara tentu sahaja berbeza kata-kata yang tepat untuknya; sebagai contoh:
berbicara dengan orang tua pasti tidak sama kata-kata yang diucapkan terhadap
anak kecil dan remaja. Oleh itu, di samping kata-kata yang benar, harus pula
bijak membaca situasi dan objek yang diajak bicara. Ini termasuk, harus pandai
mengukur apakah kata-kata itu melukai atau tidak, karena sensitiviti setiap
orang tidak serupa.
Bermanfaat dan
membangun jiwa sebagaimana anjuran Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang
bermaksud : "Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat,
hendaklah dia berkata baik atau diam; barang siapa beriman kepada ALLAH dan
hari akhirat, hendaklah dia menghormati jirannya; dan barang siapa beriman
kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya"
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Untuk itu, saya suka berkongsi sebuah kisah menakjubkan di dalam al
Quran tentang bagaimana kata-kata yang benar, tepat dan bermanfaat ini dapat direalisasikan
bagi menyelamatkan sebuah kehidupan.
KISAH SEMUT
Suatu ketika, tatkala Nabi Sulaiman alaihissalam bersama bala tenteranya
melewati suatu wilayah, tiba-tiba baginda mendengar laungan seekor semut kepada
semut-semut yang lain :
“Wahai semut-semut, masuklah kamu semua ke dalam sarang-sarangmu,
agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman
dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”
Nabi Sulaiman yang dikurniai mukjizat oleh ALLAH SWT memahami
bahasa seluruh makhluk hidup, sebaik mendengar kata-kata semut tersebut,
baginda tersenyum dan tertawa lantas mengangkat tangannya berdoa ke hadrat Yang
Maha Kuasa :
رَبِّ أَوْزِعْنى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الّتى أَنْعَمْتَ عَلَىّ
وَعَلى والِدَىَّ وَأَنْ اَعْمَلَ صالِحاً تَرْضيهُ وَأَدْخِلْنى بِرَحْمَتِكَ
فى عِبادِكَ الصَّالِحينَ
Maksudnya : “Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap
mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu
bapaku dan agar aku mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah
aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (
Surah an Naml ayat 19 )
Alangkah indahnya andai semua ibu bapa menurut jejak langkah semut
pada ayat ini dalam berbicara kerana ada beberapa pengajaran berharga yang
dititipkan Yang Maha Kaya dari ucapan semut ini, antaranya :
1) Kata-kata yang
bertujuan menyelamatkan kehidupan sangat mahal nilainya. Apatah lagi jika
kata-kata seumpama ini dilafazkan oleh kedua ibu bapa terhadap apa jua situasi
anak-anak mereka, baik ketika mereka mempamerkan prestasi demi prestasi yang
memberangsangkan dalam pelajaran, mahupun ketika mereka menghulurkan dengan
penuh bimbang ke tapak tangan ibu bapa, sekeping kad kemajuan yang bertanda
‘merah’ pada markah peperiksaan.
Ketika
itu, adakah kemarahan dan cercaan yang anak-anak dapatkan dari ibu bapa atau
pelukan penuh hangat beriring kata-kata semangat bahawa mereka harus berusaha
lebih kuat untuk kejayaan akan datang.
Sekali
gagal, bukan beerti gagal selamanya.
2) Bersangka baik
melalui kata-kata. Bersangka baik seperti ini lebih menenangkan semua pihak
dalam bermuhasabah seterusnya masing-masing berlapang dada untuk
melipatgandakan usaha. Pihak sekolah dan
guru-guru merasa dihormati dan berikhtiar lebih gigih manakala ibu bapa pula
berperanan membantu di rumah.
3)
Ikhlas untuk
manfaat akhirat. Jika ALLAH SWT merakamkan bicara sang semut yang bertujuan
untuk keselamatan di dunia ini di dalam al Quran sebagai menunjukkan betapa
mulianya kata-kata sedemikian, maka apatah lagi jika kata-kata yang terbit itu
bermatlamatkan keselamatan di akhirat nanti. Pasti kemuliaannya berganda
juga. Justeru, sebagai ibu bapa, tanggapi
permasalahan anak-anak dengan kata-kata yang bersifat menyelamat akhirat ini
iaitu ucapan berintikan ikhlas dan cinta tanpa syarat.
BAGAIMANA CINTAMU WAHAI IBU BAPA?
Akhirnya, wahai insan bergelar ibu bapa…mari kita terus
bermuhasabah. Sesungguhnya tiada kerugian pada orang yang selalu menghitung
diri. Mencongak-congak ‘nasib diri’ di hadapan pengadilan ILAHI nanti.
Andai setelah membaca pandangan ini, kalian bertanyakan kepada saya
:
“Lalu apakah anda reda jika suatu masa kelak anak-anak yang
diharapkan menjadi ‘insan’ terpandang di dunia hanya menjadi kerani biasa?”
Jawapan saya :
“Jika ALLAH SWT menetapkan bahawa syurga itu hanya tersedia buat
mereka yang cemerlang dalam kerjaya di dunia, maka saya amat bimbang, kecewa
dan putus asa. Akan tetapi, ALLAH SWT telah berfirman bahawa syurga itu adalah
buat orang-orang bertaqwa, maka harapan saya masih subur, impian saya masih
tidak lebur kerana keadilan-NYA menjamin sesiapa sahaja yang bertaqwa pasti
memperolehi nikmat berganda di dalam syurga-NYA.”
Untuk itu, saya akan terus berusaha mengisi jalan-jalan asbab bagi meraih kejayaan di dunia dan akhirat,
dan meninggalkan pilihan masa depan itu di ‘tangan-NYA’ Yang Maha Tahu.
Tawakal yang sebenar-benarnya hanya pada DIA, bukan pada usaha
manusia yang lemah seperti kita.
Saya hanya memerlukan ikhlas.
Ikhlaslah dalam menyintai anak-anak kita…