22 November 2016

JANGAN HILANGKAN.....

Wajahnya sedikit murung. Kelihatan ada airmata yang tertahan dari mengalir keluar. Sesekali diseka hujung mata dengan tangan. Anak jantan, tak ingin dilihat larut dalam tangisan.

Mungkin….

Atau...

Boleh jadi dia rasa bersalah kerana culas, hingga adik yang kecil menangis kesakitan akibat terjatuh di lantai papan.

Atau...

Mungkin juga ada rasa 'marah' berbaur sedih kerana dicubit atas kesalahannya tadi, mudah-mudahan jadi ingatan, agar tidak berulang di masa depan.

Saya biarkan.

Rasa geram kerana tidak mendengar arahan : "Jaga adik baik-baik.."

" Mata ke mana agaknya..." Getus hati. Kepenatan badan menjadikan emosi mudah 'berapi'.


LUPA
Kadang-kadang tanpa sedar, dalam memenuhi hasrat ibubapa mendidik anak-anak, mereka sering merasa ‘berkuasa’ ke atas jiwa-jiwa kecil ini. Sering terlupa yang anak-anak ini juga manusia yang punya rasa. Beralasankan ibu dan ayah lebih tahu, maka kesilapan anak-anak acap tidak ditangani dengan cara yang lebih wajar dan bijaksana. Marah melulu sering didahulu berbanding berbicara dari hati ke hati, menyelidik duduk perkara sebenar sebelum memberi penjelasan panjang lebar.

Ironinya, orang-orang dewasa bergelar ibubapa ini adalah juga mereka yang pernah menjalani zaman kecil, di usia sama seperti anak-anak mereka sedang berada. Jika dahulu, semasa kecil perlakuan sama diberikan, sudah pasti penerimaan yang tidak jauh berbeza dirasakan dalam hati.

Memang benar, banyak ketikanya, ibubapa mahu anak-anak mereka menjadi matang lantaran menjadi dewasa adalah satu perkara yang tidak terhindarkan dari hidup manusia. Selain secara biologisnya anak-anak ini akan bertambah besar dan tua, setiap mereka yang bergelar manusia juga akan dituntut untuk bertanggung jawab atas kelangsungan hidupnya sendiri.

Kerana itu, sejak kecil anak-anak ini mahu dipersiapkan untuk menghadapinya, contohnya melalui pendidikan, dan ketika tuntutan itu semakin tinggi, maka persiapannya juga turut semakin berat sehingga tanpa sedar,  mereka membesar atas kehendak dan acuan yang dibentuk ibubapa dan dibawa menjauh dari potensi diri yang sebenar.

Mungkin, ada relevannya pendapat yang pernah saya baca, bahawa setiap orang dewasa hakikatnya pernah melalui masa kanak-kanak mereka, namun tidak semua yang mengingati…bahkan hampir semua lupa bagaimana ‘rasanya’ menjadi seorang kanak-kanak yang dikawalselia oleh orang dewasa.


THE LITTLE PRINCE
Berkesempatan menonton sebuah filem animasi yang cantik lagi menarik sewaktu bermusafir dengan penerbangan udara baru-baru ini, menjadikan saya cukup teruja dengan watak utama yang ditampilkan dalam filem tersebut, The Little Prince.

Ia merupakan filem animasi yang diangkat dari sebuah buku karya Antoine de Saint-Exupery, dan merupakan buku yang paling banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dengan judul asalnya, Le Petit Prince.

Sungguhpun filem ini dilihat sebagai satu hiburan buat kanak-kanak dengan lakaran penuh warna-warni, namun, saya merasakan ia juga amat sesuai ditonton oleh orang dewasa, terutama ibubapa yang sedang berhadapan cabaran mendidik anak-anak yang menginjak usia remaja.




Ini kerana, kisah The Little Prince sangat sarat berisi nasihat serta pesan bagaimana kualiti seseorang individu dewasa itu banyak ditentukan dari masa kanak-kanaknya.

Apakah mereka puas menjalani masa kecil yang penuh dengan imaginasi dan kreativiti? Atau justeru terkongkong oleh orangtua?

Lewat filem ini, pengajaran yang dibawa adalah awal mula  permasalahan terjadi kepada anak-anak, bila mana orang dewasa tidak mampu menangkap maksud dari tindakan atau sikap mudah yang ditunjukkan oleh mereka. Dalam cerita ini, iktibar tersebut diwakili oleh perasaan kesal dan hampa seorang kanak-kanak apabila lukisan ular yang dilakarnya sedang menelan seekor gajah tidak dapat difahami oleh orang dewasa, bahkan lebih dari itu, hasil usahanya itu diperlekeh dan dianggap sebagai membuang masa.

Kanak-kanak itu mengeluh : “ Orang dewasa tak pernah memahami sesuatu seperti apa sepatutnya, dan sungguh melelahkan bagi anak-anak jika harus menjelaskan sesuatu kepada mereka.”


MESRA KATA-KATA
Pada saya, apa yang boleh diperbaiki oleh ibubapa dalam menangani anak-anak dan seterusnya untuk memahami mereka ialah dengan menggunakan pendekatan yang lebih ‘mesra kata-kata'.

Bahasa yang dilontar, melalui patah-patah perkataan yang digunakan, biasanya banyak memainkan peranan menukar mood tidak baik kepada sebaliknya.

Hasil pembacaan saya kepada beberapa buah buku keibubapaan menemukan saya dengan teknik-teknik berikut :


1) Jauhkan dari menuduh, sebaliknya beri penjelasan.
MENUDUH : “Wani, kenapa cuai sangat ni? Tengok apa yang Wani dah buat. Habis basah karpet baru kita..” Gerutu seorang ibu apabila melihat karpet baru ruang tamu basah dengan air minum.

MENJELAS : “ Wani, karpet kita basah kerana air yang tumpah, boleh tolong bersih dan lapkan untuk ummi?”


2) Jauhkan menuduh, sebaliknya beri informasi.
MENUDUH : “ Shahir, apa kamu fikir kamu buat? Siapa yang beri kebenaran untuk conteng meja ni? “ Marah seorang guru kepada muridnya yang sedang asyik menconteng meja.

BERI INFORMASI : “ Shahir, meja bukan untuk diconteng-conteng di atasnya, kalau untuk melukis atau menulis, gunakan kertas.”


3) Dari memberi arahan, sebaiknya berikan pilihan.
ARAHAN : “ Awatif tak dengarkah apa yang Mama cakap? Sekarang masa tidur. Naik atas, gosok gigi dan tidur!” Arah Puan Normah kepada anaknya yang masih bulat mata bermain anak patung kegemarannya.

PILIHAN : “ Wah, cantiknya anak patung Awatif. Kalau Awatif belum mengantuk, Mama beri masa 5 minit sahaja lagi untuk bermain, atau Awatif boleh terus naik ke atas, gosok gigi dan tidur. Ok, sayang?”


4) Usah mengugut, sebaliknya beri ayat atau perkataan mudah.
MENGUGUT : “ Hasif, kenapa tak pakai jaket? Sejuk kat luar tu, demam nanti, Mak tak mau beli ubat...” Ugut Mak Cik Nani kepada anaknya yang selalu lupa memakai jaket.

GUNAKAN PERKATAAN : “Hasif, pakai jaket.”


5) Jauhkan ‘sarcasm’ sebaliknya jelaskan apa yang kita rasa.
SARCASM : “Hayati, awak ingat saya ni pokok ke? Saya tak suka awak asyik pegang baju saya macam ni..” Rungut seorang guru tadika kepada anak muridnya yang masih belum biasa dengan suasana baru sekolah, hingga suka bergantung kepada hujung baju gurunya itu.

JELASKAN : “Hayati, cikgu rasa kurang selesa bila Hayati pegang baju cikgu selalu. Tolong lepaskan dan kita baca buku sama-sama, ok?”

Anak-anak yang telah melakukan kesalahan juga tidak akan merasa ‘terhukum’ lagi dan lagi setelah rasa bersalah akibat kesilapan yang dibuat telah pun menjadi satu hukuman buat mereka. Sebaliknya, mereka terdidik secara langsung untuk lebih prihatin, peduli dan responsi.


JANGAN HILANGKAN….
Tidak lama...saya mengintai ke depan. Melihat Khalil kembali bermain bersama adik kecilnya, mereka tertawa dan usik mengusik bersama, menyelinap rasa bersalah di jiwa.

Perlahan-lahan dia saya hampiri.

" Tadi Khalil buat apa sampai adik boleh jatuh ke lantai. Khalil tengok tv ye? " Saya menyoal. Khalil diam.

" Khalil main dengan adik, tapi adik tersalah pegang, jatuh...Khalil tak tengok tv pun, ummi.." Dia menjelaskan. Perlahan suaranya.

" Khalil tak sempat pegang dan sambut adik? " Soal saya lagi. Dia mengangguk.




" Hmmm...ummi minta maaf ye sebab tak dengar penjelasan Khalil tadi..lain kali Khalil kena hati-hati, jaga adik baik-baik, kan adik kecik lagi.." Saya mencium dahinya. Senyumannya melebar. Sinar matanya bercahaya.

" Khalil marah adik tak.. Kerana adik Khalil kena marah?" Sengaja saya menduga.

Kali ini dia tertawa kecil.

" Taklah.. Adik kan kecik lagi.."

Saya sebak...Benarlah nasihat orang-orang lama :

Dengarlah untuk memahami, bukan mencari isi bagi membalas lagi dan lagi untuk memuaskan diri sendiri....

Dan....


Biar sedewasa bagaimanapun kita, usah hilangkan jiwa 'anak-anak' dari diri...Anak-anak, tak sukar untuk kembali ceria, mudah lupa dan mudah memaafkan...besarnya jiwa mereka.  

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.


22 September 2016

UKHUWWAH INI UNTUK DISANTUNI

Beberapa waktu kebelakangan ini, pintu kotak berbual saya di ‘Mukabuku’ sering diketuk oleh beberapa orang wanita yang belum berumahtangga; mereka meminta pandangan apabila dilamar sebagai isteri kedua. Termenung saya membaca dan meneliti bicara hati mereka, antara dilema menerima dan menolak, antara kasih yang sedang mekar dan hakikat yang difahami penuh sedar.

Sementara di pihak saya sendiri, walau sudut pandang dan jawapan sudah dapat saya fikirkan, namun soal berkongsi kasih dan cinta dalam rumahtangga poligami, saya akui, ia mudah untuk dilafaz dan ditinta, namun untuk melaksana dan menjayakannya, amat memerlukan mujahadah dan semangat yang dipandu oleh DIA Yang Maha Kuasa.

Lalu, sedikit jawapan dari diri yang masih mentah di alam rumahtangga 'bertiga' ini, saya hulurkan :

PERTAMA : Ia satu perkara yang besar dan memerlukan mujahadah yang bukan sedikit terutama bagi isteri-isteri dalam mengurus emosi dan perasaan. Di pihak suami, sudah pasti yang paling utama adalah keadilan dalam mentadbir lebih dari sebuah keluarga.

KEDUA : Para isteri dalam poligami perlu bahu membahu untuk membantu suami berlaku adil, tanpa ‘teamwork’, ia sesuatu yang sukar diperkasa. Kedepankan redha terhadap apa-apa keputusan suami ( selagi tiada kezaliman berlaku ) berbanding semata-mata menuntut hak demi hak.

Dalam hal ini, para isteri perlu memandang tindakan suami dari perspektif berbeza dari apa yang difikir/dirasa kerana sering berlaku apa yang dirasa/difikir itu meleset dek sangka-sangka semata.

KETIGA : Sentiasa berusaha dari sehari ke sehari untuk menyayangi siapa dan apa yang disukai oleh suami, in shaa Allah setiap usaha untuk kebaikan bersama tersebut pasti dinilai dan diganjari di sisi ILAHI.

Namun, apa yang perlu difahami bahawa senarai di atas tetap tinggal sebagai teori dan jauh dari realiti andai tiada kesedaran bagi merealisasikannya demi kebaikan bersama. Ini kerana, tindakan dan tingkah dalam mengisi hari-hari sentiasa memungkinkan untuk menjadi asbab kesedihan atau kegembiraan kepada peribadi-peribadi yang terlibat.



SENSITIVITI



“Kawan saya di sekolah, ada seorang tu hidup bermadu, kak Ina…” Seorang kenalan bercerita saat bertandang ke rumah saya.

“ Alhamdulillah, awal mula rumahtangganya nampak ok dan tiada masalah, tetapi apabila suami dan madunya mengerjakan umrah, lalu kemudian madunya memuatnaik gambar-gambar mesra mereka ketika di Mekah dan Madinah, kawan saya ini menjadi kecewa..sehingga dia ‘unfriend’ madunya di Facebook…” Tambah kenalan tersebut dengan wajah tidak ceria.

Saya yang mendengar menarik nafas dalam.

“Bagaimana sebenarnya ye, kak? Boleh atau tidak memuatnaik gambar-gambar peribadi dengan suami sehingga melukakan hati isteri yang lain? ” Satu soalan dilontarkan.
Saya tersenyum hambar.

“Hakikatnya, setiap isteri punya ruang privasi masing-masing. Walau mungkin tiada salah apapun memasukkan gambar peribadi di akaun Facebook atau mana-mana laman sosial untuk tatapan keluarga dan rakan-rakan terdekat, namun mahu atau tidak, oleh kerana telah memilih hidup dalam rumahtangga poligami, masing-masing perlu sangat menyedari ‘di bumi mana mereka berpijak’ iaitu dengan saling menjaga sensitiviti.

Dalam gembira yang ingin ditampilkan, ada hati lain yang menahan kepedihan. Sementara di pihak seorang lagi, dalam menghendaki pihak madu memahami kecemburuan diri, perlu juga cuba ‘memakai kasut’ madu agar dapat sedikit sebanyak memahami sekeping hati yang mahu merai kegembiraan bersama suami yang dikasihi.

Ia satu mujahadah di pihak isteri-isteri, dan ia tidak mudah. Kerana itu, pada Kak Ina, tindakan ‘unfriend’ tersebut wajar dan kena dengan kehidupan berpoligami demi memelihara dua hati ini asalkan nilai ukhuwwah di alam sebenar tetap terpelihara. Biar tidak berkawan di alam maya, tetapi masih mesra dan bersaudara di dunia sebenar, jangan pula tidak berteman di FB hingga terbawa-bawa membenci lalu bermusuh pula akhirnya, walya’uzubillah…” Saya menjelaskan dengan suara sedikit ditekankan lantas disambut anggukan bertalu daripada kenalan di hadapan.



SUCIKAN HATI

Kerana itu, dalam hal ini, satu usaha jitu yang perlu diperhati oleh setiap diri yang terlibat dalam poligami adalah menguat dan mensucikan hati dengan sentiasa memperbaiki ibadah fardu sebagai ikhtiar untuk lebih akrab kepada ALLAH, Pemilik setiap jiwa sebagaimana pesanan-NYA lewat sebuah hadis Qudsi. ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang bermaksud :

“Tidak seorangpun hamba mendekatkan diri kepada-KU dengan sesuatu yang paling aku cintai, melainkan dengan apa yang telah AKU wajibkan kepadanya. Hamba-KU adalah orang yang selalu mengerjakan ibadah-ibadah nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga AKU mencintainya. Ketika AKU telah mencintainya, maka AKU-lah yang akan menjadi telinga yang dia gunakan untuk mendengar, mata yang dia gunakan untuk melihat, tangan yang dia gunakan untuk memukul, kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-KU, pasti AKU berikan, dan jika dia perlukan perlindungan-KU, pasti AKU lindungi...”

Setiap kali menelusuri bait-bait inspirasi ini, jiwa sebak dalam harapan yang tinggi kepada ILAHI, agar terus membimbing dan memberi taufik-NYA kepada diri ini, suami, madu, anak-anak, kaum keluarga serta sahabat yang dikasihi, untuk menjadi manusia yang diberkahi.

Lantaran, manusia yang berkah itu..adalah manusia yang tumbuh, berkembang dan meluas manfaat serta kebaikannya buat diri, keluarga dan masyarakat. Terkenal di langit tinggi, walau mungkin tidak dikenal di bumi.

Munajat malamnya, menjadi wadah dia menyelesaikan masalah, hingga yang ditonton oleh manusia pada dirinya di siang hari hanyalah senyuman yang indah. Dia tidak bahaya untuk didekati, kerana dia tidak menyakiti dengan lisan atau perbuatan. Mendengar bicaranya, manusia beroleh teladan kesolehan..melihat dia bergerak, membangkit motivasi kepada amal soleh.

Dia yang mendekat dan terus mendekat kepada ALLAH, kerana ALLAH paling suka didekati oleh hamba-NYA melalui ibadah yang difardukan.

Lantas, ALLAH terus membuka kesempatan untuk hamba yang menuju hampir kepada-NYA  dengan yang fardu kemudian ditambah dengan ‘nafilah’ serta ‘sunnah’ lagi dan lagi…hingga akhirnya ALLAH memanggil Jibril lalu mengumumkan :

“Wahai Jibril, AKU mencintai orang ini maka cintailah dia, lalu jibril pun mengumumkannya kepada seluruh makhluk di langit!”



BUKAN PERTANDINGAN

Seperkara lain yang juga perlu difahami dalam menjayakan poligami ialah, rumahtangga ini bukan pertandingan tentang siapakah yang terbaik dalam melayani suami dan menyayanginya, masakan siapakah yang lebih lazat dan menepati citarasa, hadiah siapakah yang paling memenuhi keperluan insan nan seorang yang dicintai bersama itu atau lain-lain lagi.

Kerana, andai keadaan ini yang berlaku, ia amat mendukacitakan!

Isteri-isteri bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai pertandingan sukan sahaja. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan lain yang kecundang.

Sedangkan…’Fastabiqul khairaat’ yang digalakkan oleh Deen mulia ini bukanlah perlawanan yang bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling membantu ke arah ketakwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” ( Surah al Maidah ayat 2 )

Andai seorang isteri yang lebih maklum citarasa makanan kegemaran suami dan ingin berkongsi tentangnya kepada isteri lain, itulah yang sebaiknya dilakukan, berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya isteri lain tersebut. Sementara kepada isteri yang masih belum berpuas hati dengan apa-apa sahaja berkait rumahtangga, belajarlah daripada madunya dengan ikhlas tanpa membuat perbandingan sesama mereka.

Pada saya, para isteri tidak sepatutnya saling cuba menyaingi antara satu sama lain. Kemahiran menghias rumah, memasak, mendengarkan masalah suami dan lain-lain bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang ke atas lawan bagi meraih perhatian yang tersayang, sebaliknya ia adalah ‘perlumbaan sihat’ untuk meraih keberkatan dari-NYA dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah dan nilai persaudaraan sesama Islam.

Boleh menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!

Untuk itu, yang paling utama…cukuplah, sekadar menjadi peribadi yang terus berusaha untuk menebar sebanyak mungkin manfaat dalam rumahtangga, baik kepada suami, madu dan anak-anak serta keluarga terlibat. Sebagaimana bicara puitis yang diterjemah dari bahasa ‘syurga’ ini :

🌹Jadilah seumpama pintu yang masuk melaluinya kebaikan...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama jendela, yang membenar lalunya cahaya...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama dinding, yang bersandar padanya mereka yang letih tidak bermaya...

Kejayaan bukan diukur dari keseronokan berdamping pasangan dan anak-anak sendiri semata, tetapi ia dinilai dari kebahagiaan ketika madu dan anak-anaknya turut serta bersama...

Kejayaan bukan dilihat dari gambar-gambar kebahagiaan dan status romantis di media sosial, tetapi ia dipandang dari sikap ‘kota apa yang dikata’, iaitu tidak boleh berhenti setakat perkataan, bahkan lebih dari itu, ia diukir indah melalui perbuatan.

Lantaran rumahtangga mukmin itu sifatnya bukan seperti tong kosong yang gah berbunyi di luar tapi kosong di dalam. Akan tetapi ia bagai padi yang menunduk kerana semakin berisi...pro-aktif dalam mengasihi, empati mendepani emosi, meredhai melebihi meminta-minta itu ini.



UKHUWWAH INI UNTUK DISANTUNI




Akhirnya, buat peribadi-peribadi yang sedang dan masih berjuang menyantuni ukhuwwah unik ini…hayatilah  :

“Tak perlu hairan mengapa insan yang satu-satu ketika membuat kita ketawa, adalah insan sama membuat kita menangis hiba...
Yang pernah menjadikan kita bersemangat, pernah juga menjadikan kita rasa lemah bagai tiada kudrat..
Yang pada masa indah menjadikan jiwa tenang, juga yang pada masa ribut membuat jiwa berserabut...

Kerana...
Itulah insan di dunia...
Tiada keadaan yang kekal serupa sepanjang masa....
Ada masa langit cerah beriring kicau burung...
Ada waktu pula langit kelam beriring awan mendung...

Kerana...
Itulah insan di dunia...
Yang turut berdepan ujian dan cabaran pada hari-harinya...
Yang utama adalah saling memahami dan menerima...
Bahawa setiap situasi, akan berlalu pergi...
Dan dia..mereka...insan-insan yang tetap di sisi menemani...

Bagi kita...
Kebaikan itu latihan untuk bersyukur dalam kesabaran...
Keburukan pula adalah latihan untuk bersabar dalam kesyukuran...
Terima kasih dia, mereka...”

Sesungguhnya wajah kebenaran dalam ukhuwwah itu tetap satu...iaitu ceria seiring bahagia saudaranya, dan berduka bersama kesedihan saudaranya.

Yakinilah... Persaudaraan dalam poligami itu adalah usaha berpasukan bukan lawan melawan untuk 'kemenangan'...

Insafilah.... Ukhuwwah dalam poligami itu adalah saling menyantuni, bukan membanding dan menandingi....


Itulah kejayaan …


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH. 



16 February 2016

KOTAK PERKAHWINAN

"Susahkah untuk taat pada suami, kak Ina?" 

Soalannya di kotak mesej petang semalam bagai terkenang-kenang. Seorang rakan FB yang jarak usianya hanya muda beberapa tahun daripada saya. 

Sudah berumahtangga dan memiliki empat cahayamata. Memiliki kerjaya sebagai seorang pendidik bangsa serta bersuamikan seorang lelaki bergelar usahawan berjaya. Perjalanan hidupnya tampak lancar, hanya sahaja dua tahun kebelangan ini, jiwa wanitanya cepat sedih dan hiba lantaran suaminya memilih untuk bernikah kali kedua. Walau diawalnya dia merelakan, namun akhir-akhir ini jiwa perempuannya diasak penyesalan. 



"Kenapa isteri diminta taat kepada suami?" Soalan kedua menyusul.

Perbualan yang bermula dengan perkenalan ringkas berlanjut ke topik rumahtangga. Sementelah menurutnya, dia peminat blog kecil saya : ummuhusna99, sejak ia dibuka. 


PERUMPAMAAN

Saya memahami, dalam perkahwinan, menampilkan kebaikan ketika suasana tenang dan aman, begitu mudah lagi menyenangkan...

Ketika suami meminta belaian daripada isteri, lalu dengan penuh senang hati permintaannya dipenuhi; demikian pula, tatkala isteri meminta bantuan itu dan ini, dengan gagah bantuan dihulur oleh si suami. 

Lancar, harmoni...

Umpama otot yang memerlukan latihan jasmani untuk kekal sihat dan tegap, demikian juga sikap baik terhadap pasangan. Ia memerlukan kerja keras dan latihtubi yang acap; jika tidak sebelum sampai ke penghujung hayat, cahaya kebahagiaan mungkin malap...

Namun, ramai yang sukar menunjukkan kebaikan ketika amarah menyelubungi diri...apatah lagi bagi wanita yang diuji dengan cabaran hidup berpoligami. Luka, pedih, kecewa dan pelbagai rasa yang negatif lebih mudah menguasai andai emosi dilayan, lebih-lebih lagi tanpa prihatin dan peduli seorang suami. Sehinggakan tanpa sedar ia 'meracuni' hati dan membuang waras pada akal kurniaan ILAHI. 

Untungnya, suami adik ini tidak sebegitu. Malah menurutnya, si suami berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hatinya kembali, memujuk jiwanya semula.

Untuk itu, tidakkah patut hulurannya itu wajar disambut penuh gembira?


LOGIK

"Hurufnya hanya empat, tapi untuk melaksana memang agak berat...itulah taat, dik. Suruhan dari Allah, juga saranan daripada Nabi. Ia bukan untuk mengurangi nilai dan harga diri isteri tapi bagi melengkapi kebaikan dalam hidup suami. " Begitu mukadimah saya kepadanya. 

"Dalil al Quran dan hadis tersebut, saya tahu…Cuma, kalau kita disakiti, masihkah perlu taat kepada suami?" Dia bertanya tanpa sempat saya menulis kedua kali. 

Saya melepaskan nafas seketika saat membaca pertanyaannya. Bagai terbayang-bayang rona wajah seorang isteri yang sedang diasak oleh rasa-rasa yang menekan untuk berterusan dalam hiba dan tangisan. 

"Rasa sakit hati singgah kerana kita yang menjemput ia bertamu, dik...kalau kita tidak membuka pintu, masakan ia dapat mengganggu?" Kali ini, saya pula memulangkan soalan balas kepadanya.

Melihat dia tidak membalas, saya meneruskan taipan. 

"Pada kak ina, kalau pun kita sebagai wanita belum mahu mengambil dalil sebagai isi perbincangan tentang ketaatan kepada seorang suami, beberapa logik akal sudah memadai...hanya saja, buka hati seluasnya dan ketepikan ego seketika.” Laju saya menyudahkan kata.

Namun sebelum sempat menyambung, melihat tanda dia sedang menaip, saya berhenti dan menunggu sebentar.

“Logik? Logik bagaimana tu kak Ina?” Agakan saya mengena. Itulah persoalan yang akan dikemukakannya.

“Kita semua ada seorang ibu, dan ketaatan kepadanya adalah tiga kali ganda berbanding seorang ayah, betul tak? “ Saya mengajukan tanya. Dia membalas dengan emoticon senyum dan ‘thumbs up.’

“Bayangkan…seorang lelaki bergelar anak yang juga telah menjadi seorang suami itu dahulunya dibesarkan oleh ibu yang sangat mengasihinya. Bukan sehari, seminggu, sebulan atau setahun…tetapi untuk seumur hidup. Akan tetapi apabila dewasa, dia memilih mencintai isterinya yang mungkin belum tentu mencintainya seumur hidupnya.”

“Dia juga dibesar dan dibiaya makan pakai serta nafkah oleh ayah ibunya sehingga dewasa dan bekerja. Namun, sebelum dia mampu membalas jasa bakti kedua ibubapa, dia telah bertekad menanggung nafkah isterinya, seorang perempuan asing yang diikat dengan akad tanpa ikatan rahim seperti ayah dan ibunya.” Saya menaip itu dengan sedikit sendu di kalbu. Terkenang wajah ayahanda dan bonda mertua sendiri yang telah pergi menemui ILAHI.

 “Seorang suami walau dia sedar ketaatan anak-anaknya kepadanya tidak sama sebagaimana ketaatan mereka kepada isterinya, namun tidak pernah sekalipun dia merasa iri kerana dia mencintai isteri bahkan dia tetap rela dan bangga menafkahi isteri serta anak-anak yang dikasihi tanpa minta dibalas atau diingati….” Saya berhenti seketika untuk menegangkan jari-jari yang sudah lenguh kerana menaip laju.

Tidak lama, muncul emoticon menangis di skrin komputer. Saya turut hiba…

“Dik, seorang suami yang baik…dia berusaha seboleh mungkin untuk merahsiakan masalahnya dan melakukan ikhtiar untuk menyelesaikannya sendiri, sedangkan seorang isteri…sudah terbiasa mengadukan masalah kepada suaminya dengan harapan dia mampu memberi solusi. Padahal, kemungkinan saat isteri mengadu itu, si suami sendiri sedang memiliki masalah yang lebih besar. Ah…biasanya, masalah isterilah yang diutamakan berbanding masalah yang dihadapi sendiri...” Sengaja saya menaip dengan ayat sedikit sinis sebegitu. Buat kesekian kalinya, emoticon ‘thumbs up’ muncul mewakili dirinya.

“Dan yang paling utama dik…seorang suami…tatkala isteri melakukan dosa, dia juga ikut bertanggungjawab, bahkan mungkin terheret sama ke neraka….walya’uzubillah, kerana isteri itu adalah di bawah tanggungan didikannya. Namun bila dia sendiri melakukan dosa, isteri tidak akan pernah dituntut ke neraka kerana apa yang dilakukannya di bawah tanggungannya sendiri. Lalu, dengan logik-logik tadi, tidakkah seorang suami itu wajar ditaati?” Saya menutup bicara.

Tiada balasan daripadanya.


UBAT JIWA

“Saya faham semua logik yang kak Ina berikan tadi…ye, saya bersetuju…tanggungjawab seorang suami itu sangat besar dan berat sekali. Kerana itu, agama memuliakan suami untuk ditaati.” Selang beberapa ketika, dia membalas kata.

Membaca itu, saya tersenyum lega.

“Cuma kak ina…bagaimana mahu merawat rasa pedih, sakit dan cemburu terhadap suami dan madu? Walau bagaimana baik pun mereka terhadap saya, tetap ada terselit pedih melihat mereka bersama-sama. “ Jujur dia meluahkan perasaannya. Sekali lagi, saya menghela nafas…dalam dan penuh makna.

“Dengan berdoa, itulah ubat jiwa…” Ringkas saya menyarankan.

“Berdoalah yang terbaik untuk kedua-duanya. Kebahagiaan, kemudahan, kesenangan dan apa-apa kebaikan lainnya, dengan harapan agar manfaat dari doa tersebut turut membawa kita kepada kebaikan yang sama. Bukankah Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam pernah bersabda :

Dari Abu Ad-Darda’ radiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Ù…َا Ù…ِÙ†ْ عَبْدٍ Ù…ُسْÙ„ِÙ…ٍ ÙŠَدْعُÙˆ Ù„ِØ£َØ®ِيهِ بِظَÙ‡ْرِ الْغَÙŠْبِ Ø¥ِÙ„َّا Ù‚َالَ الْÙ…َÙ„َÙƒُ ÙˆَÙ„َÙƒَ بِÙ…ِØ«ْÙ„ٍ

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” ( Hadis riwayat Muslim no. 4912 )

Dalam riwayat lain, baginda bersabda :

دَعْÙˆَØ©ُ الْÙ…َرْØ¡ِ الْÙ…ُسْÙ„ِÙ…ِ Ù„ِØ£َØ®ِيهِ بِظَÙ‡ْرِ الْغَÙŠْبِ Ù…ُسْتَجَابَØ©ٌ عِÙ†ْدَ رَØ£ْسِÙ‡ِ Ù…َÙ„َÙƒٌ Ù…ُÙˆَÙƒَّÙ„ٌ ÙƒُÙ„َّÙ…َا دَعَا Ù„ِØ£َØ®ِيهِ بِØ®َÙŠْرٍ Ù‚َالَ الْÙ…َÙ„َÙƒُ الْÙ…ُÙˆَÙƒَّÙ„ُ بِÙ‡ِ آمِينَ ÙˆَÙ„َÙƒَ بِÙ…ِØ«ْÙ„ٍ

“Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.” Saya menambah penjelasan.


KOTAK PERKAHWINAN

“Dah dapat jawapan kepada persoalan tadi?” Sebelum menutup perbualan saya bertanya soalan yang diajukannya pada awal-awal tadi.

“Saya rasa saya dah dapat kak…” Dia menjawab ringkas beriring emoticon senyum dan senyum dan senyum.

Saya membalas kembali dengan sekuntum bunga. Walau sekadar emoticon, tetapi ia mewakili rasa hati wanita yang berseni ini.

Saya meyakini bahawa hakikat perkahwinan adalah seumpama kotak kosong pada fasa awal memasukinya. Setiap dari suami dan isteri perlu memasukkan sesuatu ke dalamnya sebelum mereka boleh mengambil sesuatu darinya.

Cinta tidak wujud dalam perkahwinan, cinta wujud pada peribadi yang menjayakannya. Cemburu, pedih, sakit hati, juga romantik, belas dan empati, semua itu tiada dalam perkahwinan kecuali individu-individu di dalamnyalah yang mengadakannya.

Kerana itu, setiap pasangan perlu belajar dari semasa ke semasa akan erti memberi sebelum menerima bagi memenuhkan ‘kotak cinta dan kasih’ yang mereka masuki; lantaran jika yang diambil lebih banyak dari yang diisi, pasti kotak tersebut akan kosong kembali.

Untuk isteri, isilah sebanyak mungkin ketaatan ke dalam kotak perkahwinanmu selagi mana ia dalam keharusan ILAHI, lantaran seorang suami itu tugas dan tanggungjawabnya berat tidak terperi. Permudahkan dia untuk mengasihi, moga dengannya suami isteri dapat berpaut tangan meniti kehidupan yang penuh mencabar ini.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.