27 July 2009

BOLEH..DI PLANET PLUTO !



“ Maruah ialah kehormatan dan harga diri yang lahir dari budi pekerti dan tingkah laku mulia yang merangkumi cara berpakaian, pertuturan dan pergaulan,” lantang suara saya menerobos masuk ke telinga pelajar-pelajar tingkatan dua di hadapan.

“ Menjaga dan memelihara maruah diri sangat penting terutama kepada kaum perempuan, khususnya wanita Islam. Dan itu merupakan kewajipan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah tanpa mengira siapa mereka,” saya menambah buah kata. Kelihatan beberapa orang pelajar yang mendengar mengangguk-anggukkan kepala, sementara yang lain masih senyap dan menelinga untuk mendengar penerangan selanjutnya.

Saya memandang wajah-wajah di depan saya, seorang demi seorang. Ada yang melontar senyum saat bertentang pandang, tidak kurang juga yang melarikan anak mata, menundukkan kepala sambil menguis-nguis helaian buku teks.

“ Semua itu bermula dari rasa malu. Bahkan, mulia atau hinanya akhlak seseorang itu dapat diukur dari rasa malu yang dimilikinya. Justeru itu, malu dan iman berkait rapat, umpama kembar siam yang tidak boleh dipisahkan. Orang yang beriman adalah orang yang menjadikan malu sebagai pakaian,” ulas saya lagi sambil mata terus melirik mesra setiap wajah yang dari tadi hanya diam tanpa kata. Bagaikan terkunci mulut mereka untuk mencelah sepatah dua.

DIDIKAN SIFAT MALU
Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan fitrah yang suci bersih dari sebarang noda. Malu merupakan salah satu fitrah yang telah sedia ada, tinggal lagi ia perlu disuburkan terutama ketika usia masih kecil. Justeru, mendidik anak-anak dengan sifat malu merupakan tugas yang wajib dilaksanakan oleh ibu bapa Muslim.

Malu yang dibentuk perlu dibezakan dari sifat ‘pemalu’, iaitu sikap rendah diri atau tiada keyakinan diri, dan ini berlawanan dengan sifat malu yang dikehendaki oleh syara’. Sebaliknya, malu yang perlu dipupuk ialah malu untuk melakukan sesuatu yang bersifat membuka keaiban ( keburukan ) diri dan orang lain. Sebagai contoh, malu untuk mendedah aurat sendiri atau memandang aurat orang lain, malu untuk melakukan apa-apa perbuatan yang tidak sopan, malu untuk berkata-kata yang tidak senonoh, lucah, mencarut dan lain-lain lagi. Seterusnya, anak-anak juga mesti dididik agar malu kepada diri sendiri terutama ketika bersendirian di dalam bilik tidur dan bilik air.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang yang pemalu dan Baginda menjadikan sifat malu ini sebagai sebahagian dari cabang-cabang iman. Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Iman itu memiliki 70 atau 60 cabang. Paling utama adalah ucapan ‘Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan di jalan. Dan sifat malu adalah cabang dari keimanan.” ( Hadis riwayat Muslim )


KEUTAMAAN SIFAT MALU
“ Ustazah, apa akan jadi bila seseorang itu tiada rasa malu ? ” tiba-tiba Farah bertanya, memecah buntu dan senyap rakan-rakan yang seakan terkejut mendengar kelantangan suaranya.

“ Alhamdulillah, ada juga yang bertanya. Saya ingatkan semua dah jadi pemalu tadi,“ seloroh saya mengundang ketawa kecil anak-anak muda di depan saya.

Saya tersenyum lega. Ada dua kebimbangan saya sebenarnya, jika penjelasan tidak bersulam tanya. Bimbang pertama, pelajar tidak faham apa yang diajar tetapi segan untuk melontar soalan. Bimbang kedua, para pelajar menyangka mereka telah faham berdasar apa yang mereka fikir dan rumuskan sendiri, sedangkan kefahaman mereka itu tersasar dari kehendak sebenar yang mahu saya sampaikan.

“ Malu merupakan penghalang manusia dari melakukan maksiat dan dosa, contohnya : malu membuka atau mendedahkan aurat, malu untuk ketawa tanpa adab, bercakap kotor dan memaki, malu untuk meninggalkan solat dan banyak lagi,” jelas saya pendek. Kelihatan dua, tiga orang pelajar yang duduk di bahagian belakang saling berbisik. Mungkin kata-kata saya tadi sedikit sebanyak mengenai ‘batang hidung’ mereka.

“ Sebaliknya, banyak perkara buruk boleh berlaku jika malu telah tiada dalam diri. Manusia yang hilang rasa malu akan berbuat semahunya tanpa mempedulikan ajaran agama, juga adanya peraturan dan undang-undang tentang kesopanan dalam masyarakat. Lantaran itu, mereka akan bertindak kurang ajar, mengikut hawa nafsu, menjadi liar dan melanggar peraturan sedia ada. Tidak hairanlah jika kita mendengar hari ini terlalu banyak masalah sosial yang mengancam masyarakat, khususnya remaja seperti gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, seks bebas, melahirkan anak luar nikah, menagih dadah dan pelbagai lagi,” panjang lebar saya menjelaskan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah lebih dahulu mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud :

“ Bila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, lakukanlah apa saja yang kamu inginkan,” ( Hadis Riwayat Bukhari )

ADAB BERPAKAIAN DI DALAM RUMAH
“ Justeru itu. Mulakan dengan dengan rasa malu dalam berpakaian. Jauhkan dari pakaian yang menjolok mata walaupun ketika berada di dalam rumah bersama keluarga,” tambah saya seterusnya.

“ Ustazah, dalam rumah sendiri takkan tak boleh pakai seksi,” getus satu suara di sisi kanan saya. Tersengih-sengih para pelajar lain mendengarnya.

Saya tersenyum. Sememangnya, tujuan saya adalah untuk menyuntik kesedaran kepada pelajar agar memelihara kesopanan terutama pakaian mereka; baik di sekolah apatah lagi ketika di rumah. Sudah terlalu banyak kes sumbang mahram yang berleluasa dalam masyarakat dek hilangnya perhatian dan pemantauan ibu bapa terhadap soal berpakaian anak-anak terutama anak remaja. Persoalan yang nampak remeh, tapi impak dari itu cukup perit dan pedih.

“ Walaupun di rumah, tidak bermakna kamu boleh berpakaian menjolok mata. Hanya berseluar pendek dan t-shirt sendat, kemudian duduk pula di sofa atau terbaring di depan tivi ketika menonton bersama ayah atau abang,” luah saya tegas. Merah padam muka para pelajar yang mendengar. Ramai yang tadinya mendongak memandang saya, mulai menekur kepala. ‘Malu barangkali,’ tebak saya di dalam hati.

“ Kerana itu, sebagai orang tua, ibu dan bapa harus menunjukkan contoh awal kepada anak-anak. Atas dasar ingin mendidik, ibu bapa juga perlu berpakaian sopan walaupun di dalam rumah. Tidak ketat, jarang, pendek dan membuka bahagian-bahagian yang merangsang mata dan nafsu gelora,” ujar saya lagi agar mereka memahami.

“ Jika ibu bapa sendiri tidak malu berpakaian seksi di depan anak-anak, tentulah sukar membentuk sifat malu dalam diri mereka. Akhirnya, akibat tiada contoh dan panduan yang baik dari ibu bapa, anak-anak terus leka dan hanyut dengan kemahuan nafsu semata-mata. Sebaliknya, jika dari rumah anak-anak telah dididik dengan sifat malu dalam berpakaian ini, maka sudah tentu di luar rumah anak-anak akan lebih rasa malu untuk membuka aurat kepada yang bukan mahram mereka,” saya menutup bicara.

BOLEH, DI PLANET PLUTO
“ Jadi, memang tak boleh lansung la pakai seksi ye ustazah ?” tulus pertanyaan pelajar yang duduk di belakang.

“ Boleh..siapa kata tak boleh ?” jawab saya sambil tersenyum. Kelihatan bulat anak mata mereka memandang saya. Tidak kurang juga yang mengerutkan dahi, pening kepala agaknya.

“ Boleh..ada dua tempat. Hanya di depan suami bagi yang telah berkahwin dan bagi yang belum,.. ” jawab saya, lantas diam sejenak.

“Di mana ustazah” soal mereka beramai-ramai. Bising mereka kerana membiarkan ayat tergantung.

“Di Planet Pluto,” saya berjenaka. Ada makna.

“ Ustazah…..” panjang meleret suara anak murid di depan saya. Senyum saya makin melebar.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

22 July 2009

MENYEMAI KASIH, MENYUBUR SAYANG

Gambar hiasan dari sini


“ Sedap kuih keria ni,” kata Lek Mok. Emak yang duduk berhadapan tersenyum simpul mendengar pujiannya. Pagi itu, Lek Mok datang bertandang untuk bertanya khabar. Kedudukan rumahnya yang tidak berapa jauh membolehkannya berjalan kaki sahaja ke rumah saya.

“ Ina yang buat tu, “ jelas emak sambil mengerling ke arah saya. Tersipu-sipu saya dibuatnya. Merah muka.

“ Bagus la tu. Kalau dah biasa memasak dari kecil, senang bila dah besar nanti. Perempuan, setinggi mana pun belajar kalau tak pandai memasak, jatuh nilainya ” balas Lek Mok disambut ketawa kecil emak. Saya hanya tersengih, masih diam. Segan mahu menyampuk bual orang-orang tua.

DIDIKAN EMAK
Sememangnya sejak kecil lagi, saya sudah dilatih untuk melakukan kerja rumah yang ringan-ringan. Walaupun saya mempunyai tiga orang kakak di atas saya, namun itu bukan alasan untuk saya duduk goyang kaki tanpa membantu apa yang termampu. Seawal usia tujuh tahun, saya sudah mula membasuh sendiri kasut sekolah dan menyapu sampah keliling rumah.

Sebagai salah seorang dari tujuh anak perempuan, saya juga diasuh dan diajar cara-cara menyediakan juadah. Memasak nasi, menjerang air, menggoreng telur, memasak sayur dan lain-lain masakan yang mudah merupakan didikan awal emak kepada saya di dapur. Seingat saya, ketika berumur sepuluh tahun, saya sudah mula dipertanggungjawabkan memasak nasi buat keluarga.

“ Masak dua pot je untuk makan malam ni. Nasi tengahari tadi masih ada berbaki. Nanti, panaskan saja bersama nasi yang baru ditanak,“ arah emak. Pantas saya membuka tong kecil berisi beras dan menyukat menggunakan tin susu kecil. Selepas membersihkan beras, saya menyukat menggunakan jari banyak air yang perlu bagi memasak nasi. Semuanya telah biasa saya lakukan dan syukur hanya sesekali sahaja, nasi yang saya masak terlebih air.

“ Tak apalah ni. Lebih baik dari nasi mentah,” pujuk emak bila melihat saya sedih.


MEMASAK BERSAMA ANAK
Kini, saya telah berkeluarga. Kak Long dan Kak Ngah juga semakin dewasa. Tahun ini, usia Kak Ngah genap lapan tahun manakala Kak Long pula akan menginjak ke angka sepuluh. Usia yang sangat sesuai bagi saya memulakan kelas memasak bersama mereka.

Pada usia ini biasanya anak-anak sudah boleh memahami arahan dan dididik mengenai aspek keselamatan ketika di dapur seperti bagaimana menggunakan pisau dan bahan-bahan tajam lain juga cara menghidupkan api dapur dengan betul. Selebihnya, anak-anak yang berusia sebegini juga sudah boleh diasuh tentang kebersihan diri dan dapur ketika dan selepas proses memasak selesai. Kemahiran ini secara tidak langsung melatih mereka mengenai disiplin ketika menyediakan sajian, dan seterusnya menyemai sikap menghargai makanan yang telah disediakan itu serta menjauhi pembaziran.


PERALATAN MEMASAK
Tambahan pula, peralatan memasak yang ada pada hari ini jauh lebih mudah berbanding zaman saya kecil dahulu. Ketika itu, untuk melumat bawang, cili dan sebagainya hanya ada batu giling dan lesung batu. Kukur kelapa pula digunakan untuk mengukur atau memarut isi kelapa yang kemudiannya dicampur air dan lansung diperah bagi mendapatkan santannya.

Sementara untuk proses memasak, emak masih menggunakan dapur minyak tanah atau sesekali menggunakan dapur kayu. Setiap kali meniup udara ke bara kayu api, hitam muka dek debu tanah dan bara yang sudah mati.

Semua itu sudah tiada lagi pada zaman moden ini. Kini, sudah ada periuk nasi elektik, pengisar elektik, mesin kelapa elektrik dan lain-lain gajet yang semuanya menggunakan elektrik. Justeru, penggunaan peralatan tradisional dianggap tidak relevan lagi di zaman millenium yang serba cepat dan canggih.


TIBA GILIRAN SAYA
“ Esok, lepas bangun pagi, sarapan dan mengaji al Quran, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh guna komputer macam biasa,” bicara saya sebelum anak-anak melelapkan mata.

“ La, kenapa pula Ummi,” luah Kak Long tidak puas hati. Berkerut-kerut dahinya mendengar kata-kata saya tadi.

“ Sebab esok, Kak Long dan Kak Ngah kena tolong Ummi masak,” balas saya hampir tergelak.

“ Ha..Kak Ngah tak tau masak,” celah Kak Ngah dengan nada bimbang budak-budak.

“ Sebab tak tau la, Ummi nak ajar, jadi tau,” jelas saya lagi geli hati melihat reaksi dua permata hati saya ini. Sudah tiba giliran Ummi, bisik saya di dalam hati.

Sebelum ini, saya hanya sekadar ‘ajak-ajak ayam’ anak-anak untuk sama-sama ke dapur. Walaupun tidak banyak yang dapat mereka bantu, sekurang-kurangnya mereka dapat melihat bagaimana saya menyediakan sesuatu masakan. Atau setidak-tidaknya, mereka dapat mengenal satu dua bahan yang sering digunakan.


AYAM GORENG UMMI
“ Kak Long tolong Ummi gaul tepung gandum dan serbuk kari ni ya. Gaul sampai sebati, “ kata saya. Kelas masakan hari itu saya mulakan dengan menu ayam goreng. Ayam yang telah siap dibersihkan, saya lumur dengan sedikit garam. Setelah itu, saya perap pula bersama lima ulas bawang putih dan dua inci halia yang telah dikisarlumat. Dari mula, Kak Long dan Kak Ngah memerhati penuh tumpu dan minat.

“ Lepas ni, nak buat apa pula Ummi? “ soal Kak Long setelah siap tepung dan serbuk kari digaul sebati.

“ Kak Long tolong pecahkan telur ni dan pukul sedikit dengan garfu, “ jawab saya sambil menghulur dua biji telur yang telah dibasuh. Pantas Kak Long mengambil mangkuk kecil dan garfu dari dalam laci.

“ Kak Ngah, tolong Ummi sediakan bekas untuk letak ‘bread crumbs’ ni,” pinta saya pada Kak Ngah yang dari tadi asyik memerhati.

Setelah cukup sejam ayam diperap, saya menunjukajar Kak Long dan Kak Ngah cara-cara menghidupkan api dapur. Sejurus minyak sudah cukup panas, saya ajar pula cara-cara menggoreng ayam kepada mereka.

“ Mula-mula ambil seketul ayam, celup terlebih dahulu ke dalam telur, kemudian golekkan ke dalam campuran tepung dan serbuk kari. Seterusnya, golek pula ke dalam bread crumbs dan barulah goreng dalam kuali,” satu persatu saya menjelaskan. Berhati-hati Kak Long dan Kak Ngah melakukan setiap arahan.


BOLEH JUAL NI!
“ Sedap la ayam goreng Ummi ni, “ puji Kak Long sambil meratah ayam goreng. Suami, Kak Ngah, Khalil dan Solehah juga tidak ketinggalan merasa air tangan pertama dua anak dara.

“ Memang la sedap, Kak Long Kak Ngah yang masak, “ saya membalas dengan pujian juga.

“Eh! Memang sedap. Rasanya boleh buka gerai jualan ni,” tambah suami menambah kembang di hati. Sambil itu, suami sibuk bertanya harga bahan-bahan yang digunakan dan mula mencongak-congak kos membuat ayam goreng yang dimakan.

Hasil kiraan suami, jika dibuat perniagaan ayam goreng di UK tanpa premis, margin keuntungan mencecah 70 % berbanding harga kos. Tidak tahu apa yang difikirkannya selepas itu, mungkin akan jadi projek akan datangnya bila balik ke Malaysia nanti. Wallahu’alam, tunggu dan lihat!


MENYEMAI KASIH, MENYUBUR SAYANG
“ Walaupun bahan-bahan yang digunakan biasa-biasa sahaja, tetapi ada perencah tambahan yang menjadikannya lebih lazat. Nak tau apa ? “ tanya saya menduga. Kak Long menggeleng kepala. Kak Ngah pula tak terkata apa, mulut penuh meratah ayam goreng kegemarannya.

“ Perencah tambahannya ialah kasih dan sayang. Itu sebabnya, Ummi selalu memasak untuk ayah, Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah. Memasak untuk menyemai kasih, menyubur sayang. Hubungan keluarga bertambah erat. Makanan yang dimakan juga terjamin bersih dan sihat,” tambah saya mengingatkan.

“ Tapi, kenapa orang perempuan je yang kena masak,” soal Kak Long tiba-tiba. Saya tersenyum.

“ Nanti kita minta ayah buatkan cekodok ikan bilis. Dah lama tak rasa ni, “ saya menjeling suami di sisi. Masih tersenyum penuh erti. Soalan Kak Long saya jawab di dalam hati.

Walaupun zaman telah berubah, namun biarlah tugas memasak ini terus digalas oleh seorang wanita bergelar ibu dan isteri. Seorang lelaki boleh sahaja memasak sekali sekala, tetapi bagi seorang isteri, inilah salah satu medannya untuk berbakti kepada keluarga tercinta. Mungkin ini tugas tradisi yang diwarisi, namun ini juga peluang meraih pahala dan keredhaan Ilahi.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

17 July 2009

SEHARUM KASIHMU

Setiap kali memandang ke arah rak di sebelah almari buku itu pasti wajah saya merona merah. Senyuman tidak lekang dari bibir dan mata memancar bercahaya tanda bahagia. Ada bermacam warna di hadapan saya. Merah, putih, kuning, ungu dan hijau yang memikat jiwa. Semuanya teradun indah di dalam bekas putih jernih diperbuat dari kaca. Sungguh, ia menarik pandangan mata.

Lebih dari itu, wangian asli alam yang terbit dari warna-warna itu cukup memercik ceria dan segar pada hati dan minda. Walaupun tubuh saya masih terasa lemah dan lesu dek penangan demam, selsema dan batuk yang masih bersisa, namun melihat keindahan itu semangat saya kembali membara.

TANGGUNGJAWAB SUAMI
“ Tak perlu pembantu rasanya bang,” saya membuka bicara usai makan malam berlaukkan kari ayam. Mendengar perkataan ‘tak perlu’ itu, suami memandang anak mata saya, dalam. Sudah beberapa kali ketidakperluan itu saya ajukan pada suami.

“ Perlu. Siapa yang akan bantu As dalam pantang nanti jika tiada pembantu. Abang tak dapat berada di rumah selalu kerana pelbagai program ” luah suami perlahan. Saya diam memandang meja makan. Sebolehnya saya mahu menguruskan sendiri rumah dan anak-anak sebagaimana ketika bersalin anak ketiga dulu. Namun saya akur dengan tanggungjawab dan tugas dakwah yang sedang suami perjuangkan melalui pelbagai ilmu-ilmu Islam terutama di dalam bidang muamalat. Keadaan yang memerlukan dia sentiasa ke sini sana, menyampaikan permasalahan bahaya riba dan keperluan memilih ekonomi Islam yang masih agak baru dalam masyarakat.

“ Soal wang As tak perlu risau. InsyaAllah abang dah sediakan biayanya. Apa yang abang mahu, As ada pembantu untuk melakukan kerja-kerja rumah terutama menjaga khalil yang semakin keletah,” tambah suami bila melihat saya masih menyepi.

“ Lagipun ini tanggungjawab abang juga. Menyediakan pembantu rumah buat isteri jika kemampuan itu ada,” jelas suami lagi disambut senyuman dan anggukan saya. Setuju. Kami sepakat akhirnya.

BERUNTUNG
“ Beruntung Ina. Tak bekerja, duduk di rumah jaga suami dan anak-anak je. Ada kereta dan pembantu rumah pula,” kata adik beradik dan rakan taulan saya.

Setiap kali terdengar kalimah yang sama saya hanya membalas dengan senyuman mesra. Apa lagi yang dapat saya ucapkan selain kalimah puji-pujian kepada Allah SWT yang Maha Mengurniakan. Saya bersyukur dianugerahkan seorang suami yang sentiasa memikirkan yang terbaik buat saya dan anak-anak, cahaya mata kami.

Banyak perancangan yang difikir dan diaturnya untuk saya mengembangkan potensi diri. Dia memberi semangat untuk saya menulis dan berkarya. Membeli buku-buku bertema keibubapaan dan pengisian jiwa seindah ‘ La Tahzan ’ karya Dr A’idh Abdullah al Qarnee. Tidak kurang juga novel-novel penyubur mesra ikatan kasih suami isteri seperti ‘Ayat-ayat cinta’ tulisan Habiburrahman el Syirazi. Pada suami, walaupun saya tidak lagi bekerja, bukan beerti saya hanya duduk diam tidak melakukan apa-apa yang bermanfaat buat diri dan keluarga. Pendeknya, dalam ruang masa yang terbatas, dia masih meluang waktu bukan sekadar sebagai seorang suami, tetapi juga sahabat baik kepada saya sebagai isteri.

MUHASABAH DIRI
Walaubagaimanapun, saban waktu bila memuhasabah diri, saya jadi bimbang dan gusar sekali. Saya sedar saya bukanlah wanita bergelar ‘superwoman’ yang boleh melakukan banyak perkara pada satu-satu masa. Saya hanya perempuan biasa yang punya keimanan, keyakinan dan semangat untuk melakukan yang terbaik semampu saya.

Saya mahu menjadi isteri solehah. Penyejuk mata suami dan penenang jiwanya seumpama Sayyidatina Khadijah terhadap Baginda Rasulullah. Saya ingin mengikut jejak langkah Sayyidatina Fatimah. Mengurus rumahtangga tanpa keluh kesah walau hidup diselubungi susah dan payah. Dan saya bercita-cita menjadi isteri yang cerdik sebagaimana Sayyidatina Aisyah, membantu suami merungkai permasalahan umat sehingga menjadi antara muslimah contoh pembangun generasi akhirat.

Sungguh pun begitu, seringkali dalam menunaikan kewajipan, pasti ada layanan yang tidak terisi sempurna. Namun, suami saya tidak pernah mengeluh, jauh sekali dari marah melulu. Dia akan menggosok sendiri pakaiannya jika saya tidak berkesempatan melakukan itu. Dia akan menyenduk sendiri nasi dan lauk, juga membasuh pinggan serta mengemas dapur di kejauhan malam kala saya sendiri telah terlena keletihan.

PERJUANGAN
“ Perjuangan seorang perempuan tidak sama selepas ia berkahwin dan berkeluarga,” pujuk suami di satu hari. Ketika itu, saya agak terusik hati dengan kata-kata beberapa muslimah muda bahawa muslimat yang dulunya aktif di kampus tetapi hilang setelah berumahtangga sebagai ‘hampeh’ dan ‘pancit’.

“ Biarkan mereka. Manusia seringkali memusuhi perkara yang tidak diketahuinya. Apa yang perlu As ingat, seorang ibu yang mengasuh anak-anaknya dan mendidik mereka dengan asuhan agama juga sedang berjuang. Masing-masing ada cara dan situasi tersendiri dalam berdakwah kepada mad’u yang berada di luar rumah. Ada yang turun ke padang bertemu masyarakat dan orang awam, ada menerusi penulisan, juga ada yang melalui ceramah dan lain-lain lagi. Siapa yang paling ikhlas di antara mereka hanya diketahui oleh Allah swt. Akan tetapi, yang tercela adalah mereka yang merendahkan cara dan usaha orang lain. Jadi jangan mencela dan jika dicela, abaikan saja. Serahkan kepada Allah swt menentukannya, ” bicara suami lagi mengubat luka di hati.

Benar kata-kata suami. Dan saya juga tidak menafikan walau siapa pun seorang wanita itu, dia tetap seorang isteri dan ibu. Itu adalah tanggungjawab asas dan tiada sebab untuk mengabaikannya atas alasan ingin menunaikan tanggungjawab yang lain.

“Jangan jadikan perjuangan di luar rumah sebagai ‘excuse’ kepada tanggungjawab di dalam rumah. Bahkan ia perlu dilakukan sekaligus, dengan cara masing-masing dan tentunya menurut kadar yang dimampui mengikut situasi yang ada. Jangan diletakkan perjuangan Islam itu dalam ‘bentuk’ yang stereotype dan mendakwa itulah satu-satunya cara untuk berjuang “ jelas suami panjang lebar.

Sesungguhnya tugas membangun generasi yang menyintai akhirat dalam dunia yang bersifat kebendaan hari ini bukan sesuatu yang mudah dan boleh dilepas tangan begitu sahaja. Tidak cukup sekadar menghantar anak ke sekolah agama atau menggaji guru untuk mengajar anak mengaji al Quran, maka soal halal haram, penerapan akhlak dan nilai-nilai mulia telah langsai. Belum lagi. Kerana ia masih memerlukan pemantauan dan perhatian. Perhatian seorang bapa lebih-lebih lagi seorang ibu.

SEHARUM KASIHMU
Saya masih menatap jambangan wangi penuh warna warni. Hadiah dari seorang lelaki bernama suami. Dia menghulurkannya kepada saya dengan senyuman dan ucapan ringkas, selamat hari lahir.

Saya menerima dengan hati yang berbunga. Saya pandang wajahnya dan kemudian melihat pula kepada empat cahaya mata di depan saya. Setiap sinar mata mereka mewakili harapan dari seorang suami, meletak amanah di bahu saya untuk mendidik mereka agar menjadi penyelamat dari kedahsyatan ‘Yaumul Hisab’.

Dan detik saya menyambut ulangtahun ke-34 ini, saya semakin menginsafi diri. Masih banyak usaha perlu dilaksana. Ada berbagai lagi ilmu perlu digali. Semuanya untuk mencari redha Ilahi agar di sana nanti saya akan tetap bersama suami di kelilingi bidadari syurga, hadiah buat suami tercinta. Ameen, amen Ya Rabbal ‘alamin.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ،
فَالْإِمَامُ الْأَعْظَمُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ
عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ
مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ
زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْؤُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ
رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ
رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya : Ingatlah setiap kalian adalah pengembala dan setiap kalian akan ditanya tentang pengembalaannya, seorang suami/ayah pengembala atas ahli rumahnya dan dia akan ditanya tentang pengaturannya di dalam keluarganya dan seorang isteri/ibu merupakan pengurus atas ahli rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang pengurusannya… (Riwayat Al-Bukhari, kitabul ahkam hal 77-90).

Saya terus memuhasabah diri.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

15 July 2009

SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT

Gambar :Humberstone Junior School

Tanggal 5 Julai 2009, genap setahun saya dan keluarga berada di United Kingdom. Terasa begitu cepat masa berlalu. Bagaikan baru sahaja rasanya saya sekeluarga menjejakkan kaki di Lapangan terbang Cardiff pada tanggal yang sama setahun dulu.

Lapan bulan kami di Lampeter, Wales dan empat bulan di Leicester, England. Dua tempat di dalam sebuah negara yang sama tetapi berbeza suasana dan ragam manusia di dalamnya.

Semasa di Lampeter, saya dan anak-anak merasa lebih aman dan tenang walaupun ada ketikanya suami berada di luar UK atau berprogram di luar kawasan. Kedudukannya sebagai pekan kecil yang jauh di pedalaman serta dihuni oleh ramai warga tua dan mereka yang telah bersara menjadikan Lampeter amat tenang dari hiruk pikuk dan kebisingan berbanding bandaraya dan kota besar. Kadar jenayah yang rendah termasuk juga purata kemalangan kereta yang jarang-jarang berlaku menjadikan kehidupan di Lampeter damai dan tenteram. Kesukarannya hanya pada mendapatkan bahan-bahan mentah halal seperti daging dan ayam.

Walaubagaimanapun, setelah berpindah ke Leicester, apa yang dahulunya sukar semasa di Lampeter bertukar menjadi mudah. Di Leicester, untuk mendapatkan bahan mentah hanya perlu berkereta lima minit sahaja dari rumah berbanding ketika di Lampeter yang memakan masa hampir satu jam setengah untuk ke Swansea. Namun, di sebalik kemudahan yang tersedia di sini ada sedikit ketenangan yang tergugah di sebalik kehidupan kami di Leicester terutama kepada dua anak saya, Kak Long dan Kak Ngah.

Mereka bukan sahaja kehilangan kawan-kawan Melayu di sekolah, tetapi lebih dari itu mereka perlu berdepan dengan..

GANGGUAN
“ Kenapa Kak Ngah diam je ni ?” tanya saya bila melihat Kak Ngah tidak ceria.

“ Kak Ngah tak suka sekolah kat sini. Kak Ngah lebih suka sekolah di Wales,” jawab Kak Ngah lemah.

“ Eh, kenapa pula ni. Sebelum ni Kak Ngah nampak ok je. Kenapa hari ni tiba-tiba pula kata tak suka?” soal saya lagi. Mata saya merenung wajah Kak Ngah yang agak bulat. Memang tiada riak gembira seperti selalu-selalunya dia. Sejak pulang dari sekolah jam 3.25 petang tadi dia lebih banyak mendiamkan diri.

“ Kak Ngah ceritalah pada Ummi. Kak Ngah ada masalah ke ?” Saya masih belum putus asa memujuk. Berat benar dia untuk membuka mulut. Bimbang pula saya melihatnya.

“ Ummi jangan marah ya,” jawab Kak Ngah memandang saya. Saya menganggukkan kepala.

“ Tadi masa di sekolah ada dua orang budak lelaki tahun lima dan enam ejek Kak Ngah. Mereka kata Kak Ngah macam ‘chicken’ ,” cerita Kak Ngah sambil matanya mula digenangi air jernih.

“ Bukan hari ini je. Sebelum ni pun mereka cakap Kak Ngah macam tu juga,” tambah Kak Ngah dalam nada sebak menahan tangis.

“ Kenapa sebelum ni Kak Ngah tak cerita pada Ummi dan ayah ?” tanya saya sambil menggeleng kepala.

BUKAN MENGUMPAT
“ Dulu Ummi pesan jangan cerita tentang orang. Mengumpat. Sebab tu Kak Ngah tak cerita”. Tersenyum saya mendengar jawapan tulus Kak Ngah. Saya usap kepalanya, saya tatap anak matanya.

“ Mengumpat ialah bercerita tentang keburukan orang lain, yang mana jika orang itu dengar dia akan terasa hati dan marah. Tapi cerita Kak Ngah lain. Kali ini orang lain yang buat tak baik pada Kak Ngah, jadi Kak Ngah perlu beritahu Ummi dan ayah. Luahkan perasaan sedih Kak Ngah supaya Ummi ayah dapat dengar dan beri semangat,” jelas saya panjang supaya dia faham dan tahu membezakan.

“ Selepas ini kalau mereka ejek lagi, Kak Ngah tak perlu kisah. Sabar dan buat tak dengar je. Lama-lama tentu mereka akan berhenti mengejek,” saya menambah tip. Kak Ngah mengangguk dan kembali menguntum senyum. Lapang hati saya melihatnya.

Memang adakalanya gangguan-gangguan sebegini mencarik sedikit ketenangan anak-anak untuk ke sekolah. Gangguan yang kecil pada penilaian saya dan orang dewasa tapi besar bagi anak kecil seperti mereka.

DEBAT ANAK KECIL
“ Ummi, Jesus bukan Tuhankan. Jesus tu Nabi je kan ?” soal Kak Ngah lagi. Nampaknya masih ada cerita tentang hari persekolahannya yang selama ini saya sangkakan hanya penuh dengan kecerian bermain di samping kegembiraan bersama kawan-kawan.

“ Ya, betul. Jesus tu Nabi Isa a.s Kenapa Kak Ngah tanya? “ ringkas jawapan saya.

“ Hari tu, Sara, dia kata pada Kak Ngah, Jesus is our God ,” kata Kak Ngah sambil membetulkan duduknya. Saya menunggu dia menyambung cerita.

“ Habis tu, Kak Ngah kata pada Sara, Jesus is not our God. He was a prophet. He was a human like us. Tapi Sara tak nak percaya. Dia tetap cakap Jesus tu Tuhan,” bersungguh Kak Ngah bercerita.

“ Sara tu agama apa ?” soal saya ingin tahu.

“ Dia Kristian. Dia sekelas dengan Kak Ngah,” Kak Ngah menjelaskan.

KISAH KAK LONG
“ Hope (nama kawan kak long) pun pernah soal Kak Long Ummi, “ tiba-tiba Kak Long mencelah. ‘ Banyak juga rupanya kisah menarik Kak Long dan Kak Ngah di sekolah, bisik hati kecil saya.

“ Hope kata : you must be hot because you wear long sleeve and trousers during summer” Kak Long memulakan cerita.

“ Habis, Kak Long jawab apa ?” saya bertanya. Tak sabar mahu mendengar jawapannya tentang itu. Perihal kewajipan menutup aurat kepada seorang perempuan Islam.

“ Kak Long cakap, not really. Kemudian Hope tanya lagi, kenapa awak pakai macam ni. Kak Long pun jawablah, because Muslim girls and women have to close all body except our face and hand,” jelas Kak Long sambil menggayakan percakapannya.

Alhamdulillah, saya mengucap syukur di dalam hati. Rasa gembira dan bangga terhadap apa yang telah mereka ucapkan tadi.

SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT
“ Bagus jawapan Kak Long dan Kak Ngah,” kata saya lantas mendakap mereka erat.

“ Kak Long dan Kak Ngah dah buat apa yang Rasulullah suruh, sampaikan daripadaku walau sepotong ayat,” saya menambah bicara agar mereka ingat.

“ Memang manusia akan memusuhi apa yang tidak diketahuinya. Maksud Ummi, Sara dan Hope..mereka bukan orang Islam dan banyak yang mereka tidak tahu tentang agama Islam. Jadi jawapan Kak Long dan Kak Ngah walaupun sedikit, telah menambahkan maklumat tentang Islam dan kebenaran kepada mereka,” ulas saya lagi.

“ Kan bagus..dulu masa di Lampeter, Kak Long dan Kak Ngah tak perlu susah payah menjelaskan kepada kawan-kawan yang bukan Islam tentang ini sebab selalu bermain dan berteman dengan kawan-kawan Melayu; tapi di sini..Kak Long dan Kak Ngah dapat sampaikan tentang Islam kepada kawan-kawan bukan Islam, Alhamdulillah” kata saya sambil mengenyit mata. Ketawa kecil Kak Long dan Kak Ngah melihat celoteh saya. Saya menyambut dengan senyuman berbunga.

Mungkin ini hikmahnya. Walaupun ketenangan persekolahan mereka terusik sedikit, namun mereka sudah boleh untuk berdepan dengan cabaran kecil sebagai seorang muslim. Perjalanan mereka masih panjang. Semoga ini permulaannya. Usaha anak kecil seperti mereka dalam memanjangkan dakwah Rasulullah walau dengan sepotong ayat cuma.

Bantu mereka Ya Allah!

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

6 July 2009

JOM MAIN PONDOK-PONDOK !

“ Ina, Nora..main apa tu?” laung emak dari tingkap dapur. Mendengar suara emak, saya menjengulkan kepala. Kembar saya, Nora sedang sibuk mengacau pucuk ubi kayu di atas tungku batu. Dua teman sepermainan kami turut bermain sama, membantu mengumpul ranting kayu.

“ Main pondok-pondok, mak.” Saya menjawab di antara dua pelepah kelapa yang dijadikan pintu dapur.

“ Tu yang berasap tu, tengah masak apa?” tanya emak melihat ada asap nipis dari bumbung pondok kami.

“ Masak pucuk ubi. Yati dan Siti pun ada sekali ni,” jelas saya lagi.

“ Main elok-elok. Pucuk ubi gajah sebelah sana tu jangan ambil. Beracun,” nasihat emak mengingatkan.

“ Yelah, mak. Orang masak olok-olok ja,” balas saya pula. Emak tersenyum lega mendengar jawapan saya.

ANAK PERKAMPUNGAN FELDA
Seperti hari-hari sebelumnya di hujung minggu, saya, adik kembar dan kawan-kawan sebaya banyak menghabiskan waktu dengan bermain. Sebagai anak kecil yang dibesarkan di perkampungan felda, di kelilingi kebun getah dan pokok sawit, ada sahaja benda-benda di sekeliling yang kami usik dan ulit. Semuanya diubahsuai sehingga menjadikan kami asyik dan ralit.

Selain bermain pondok-pondok, banyak lagi permainan yang kami reka cipta sendiri. Daun kelapa yang biasanya dijadikan sarung ketupat, kami anyam menjadi bulat. Kami juga bermain baling tin susu yang disusun bertingkat, mengorek tanah di bawah rumah untuk bermain congkak, bermain baling selipar jepun yang disusun menegak, mengutip serpihan pasu bunga yang pecah untuk dijadikan ‘buah’ dan bermacam lagi yang hanya dianggap orang sekarang sebagai sampah.

Paling tidak, kami akan bermesra dengan alam. Berbasikal keliling kampung. Meredah semak dan paya bagi mencari ‘spedo’, gelaran budak kampung untuk labah-labah. Bermain paya yang aliran airnya masih jernih. Memanjat pokok jambu batu dan jambu air yang berbuah lebat di sekitar rumah, lalu kami makan sambil bercerita hal-hal sekolah. Semuanya kami lakukan bersama dengan rasa gembira. Tiada masalah, tiada keluh kesah.


BERMAIN PENTING
Sememangnya dunia anak-anak tidak dapat dipisahkan dari aktiviti bermain. Di samping berhibur dan berseronok, banyak kelebihan lain yang mereka perolehi hanya melalui aktiviti ini.

Sebagaimana makanan yang sihat, pakaian yang bersih dan kesihatan yang terjaga rapi, bermain juga menjadi satu keperluan jiwa yang amat penting bagi anak-anak kecil. Mereka belajar tentang dunia, bergerak cergas, berfikir cerdas dan menyemai nilai-nilai sebagai insan yang bertanggungjawab dan punya hubungan dengan manusia lain, yang mana kesannya akan mereka bawa sehingga dewasa. Ringkasnya, apa yang mereka perolehi ketika usia kecil banyak mencorak dan menentukan bentuk pembelajaran dan penerusan pengalaman mereka di alam dewasa.


PERMAINAN DI UK
“ Wah! Banyaknya mainan,” jerit Kak Long dan Kak Ngah setiap kali kami berkunjung ke ‘carboot’. Mana tidaknya, banyak permainan yang mahal harganya jika di Malaysia boleh diperolehi dengan harga yang jauh lebih murah di sini. Walaupun semuanya berstatus barangan ‘second hand’ yang telah digunakan tetapi kualiti, kondisi dan fungsinya masih baik dan tidak jauh beza berbanding yang baru dibeli.

Rambang mata mereka dibuatnya. Dari anak patung yang bermacam saiz dan rupa, peralatan memasak, rumah-rumah anak patung dengan serba-serbi kelengkapan perabot di dalamnya, kereta sama ada yang biasa atau yang menggunakan alat kawalan jauh ( remote control ), hinggalah permainan video seperti PS2.

Namun ada kebimbangan yang berputik di dalam diri saya melihat corak bermain anak-anak ini, termasuk anak-anak saya sendiri lebih-lebih bila musim dingin menjengah diri.

CABARAN MUSIM DINGIN
Kebiasaannya bermula September hingga Mac, cuaca dingin dan ketika salji turun, kesejukan lebih dirasai. Adakalanya hingga beku air di dalam batang besi. Keadaan ini menghalang anak-anak untuk selalu berada di luar rumah.

“ Kak Long boringlah, Ummi. ” Tiba-tiba Kak Long muncul menegur saya yang sedang memasak di dapur. Saya mengerling sekilas ke ruang tamu di depan. Kelihatan Kak Ngah sedang asyik menatap skrin komputer. Solehah pula dari tadi merengek inginkan kawan bermesra. Khalil, sedang leka dengan kereta lumba mainannya.

“ Kak Long ajaklah Kak Ngah, Solehah dan Khalil main sama-sama. Baru seronok, “ tambah saya.

“ Macam mana nak main sama-sama Ummi. Khalil nak main kereta. Solehah nak main anak patung, Kak Ngah pula asyik main ‘game’ komputer je,”balas Kak Long jujur.

Menatap wajahnya yang sugul, saya jadi kasihan. Terimbau kenangan di waktu kecil dahulu. Tidak pernah saya merasa bosan begitu. Setiap permainan pasti ada yang meneman. Walaupun adakalanya kami berkelahi, tapi kami cepat berbaik kembali. Namun dunia anak-anak hari ini sangat berlainan. Permainan banyak, tapi jiwa mereka tetap sesak.

Dahulu, kami bermain bersama. Tidak sendiri. Dahulu kami bermain menggerakkan seluruh tubuh, dari kepala hingga kaki. Tapi anak-anak kini, bermain sendiri dan hanya banyak menggunakan jari.

JOM MAIN PONDOK-PONDOK
Ligat otak saya berfikir agar kegembiraan kembali mewarnai suasana bermain anak-anak saya. Lantas saya teringat sesuatu di kepala.

“ Ummi nak buat apa ni ?” pantas Kak Ngah bertanya melihat saya menyusun sofa. Satu saya letak menyandar ke dinding, manakala satu lagi saya letak berhadapannya. Kemudian saya hampar selimut tebal sehingga melebar menutup bahagian atas kedua-dua sofa.

“ Eh! Jadi macam rumah la..,” jerit Kak Long di sambut ketawa ceria semua.

“ Ha..Jom main pondok-pondok,” kata saya setelah siap membina ‘pondok’ kecil buat mereka.

“ Kak Long jadi emak. Kak Ngah dan Solehah jadi anak, Khalil pula jadi ayah,” cepat-cepat Kak Long mengarah menambah meriah suasana di tengah rumah.

“ Yey..jom main,” jerit semua.

Melihat itu saya tersenyum lega. Mungkin saya tidak mampu mengembalikan segala kenangan yang pernah saya alami dulu, tapi apa yang dapat saya kekalkan ialah nikmat bermain bersama. Manfaat bergembira dan berseronok umpama bermain pondok-pondok.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

3 July 2009

AKAN BERULANG LAGI


“ Khalil, dah ke belum?” Dari ruang tamu rumah di tingkat bawah jelas saya mendengar suara suami bertanya kepada anak bujang kami, Khalil.

“Dah..”Khalil menjawab sepatah. Sejurus, terdengar bunyi jirusan air di dalam tandas.

“ Bagus anak ayah! ” suami memuji Khalil.

Syukur suami banyak membantu sewaktu keberadaannya di rumah. Sementara saya memasak atau menyusukan Solehah, Khalil ada ayahnya yang memberi tunjuk ajar.

SUDAH LAMA
Pengalaman melatih anak menggunakan tandas ( toilet training ) sudah lama tidak kami lalui. Semenjak Kak Ngah berusia dua tahun dan dia sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang, sejak itu juga pengalaman itu sedikit sebanyak mulai hilang. Kini Kak Ngah sudah berumur lapan tahun. Bermakna selama enam tahun kami melalui kehidupan tanpa perlu berkejar bersama anak yang sedang kuat menahan dari ter’membuang’di dalam seluar.

Setahun yang lalu, saya sebenarnya telah cuba untuk melatih Khalil. Namun kerana beberapa sebab, saya gagal menyempurnakannya. Pertama, kerana ketika itu saya dan suami sedang sibuk melakukan persiapan ke UK. Dari urusan berhenti sekolah, membeli keperluan seperti beg, sedikit pakaian, barang-barang makanan dan lain-lain sehinggalah hal-hal berkaitan kereta dan rumah yang akan ditinggalkan selama tiga tahun dan pelbagai urusan lagi yang perlu dilangsaikan sebelum hari bertolak pada 4 Julai. Tambahan pula Solehah ketika itu masih bayi, masih menyusu badan dan tidak boleh berenggang lama tanpa Umminya di sisi. Sememangnya, tekanan yang sedia ada tidak mengizinkan saya untuk meneruskan sesi latihan, lalu Khalil kembali memakai lampin pakai buang.

Kedua, Khalil sendiri nampak belum bersedia. Saya katakan begitu, kerana pada separuh hari latihan saja, dia terbuang air kecil hampir sepuluh kali. Dan setiap kali itu juga, dia akan berjalan-jalan ke sekeliling rumah tanpa menghirau seluarnya yang sudah basah. Saya bukan sekadar perlu menukar pakaiannya, bahkan lantai rumah juga hampir keseluruhannya perlu dibersihkan setiap kali Khalil ‘terlepas’. Namun, itu tidak menjadi masalah bagi saya. Apa yang merisaukan saya ialah Khalil kelihatannya masih ‘belum pandai’ memberitahu dan bahasa tubuhnya juga tidak banyak membantu saya untuk mengagak. Sememangnya, pengalaman setiap anak berbeza. Dan orang-orang tua juga banyak berkata, anak lelaki dan perempuan tidak sama. Anak lelaki memerlukan masa yang lebih lama untuk belajar. Mungkin ada benarnya.


CABARAN DI UK
“Khalil dah tiga tahun setengah rupanya ya,” kata suami seakan baru menyedari bahawa anak bujangnya telah semakin membesar kini.

“Ya. Rasanya ini masa yang sesuai untuk kita latih Khalil, bang ” saya mengesyorkan. Suami mengangguk memberikan persetujuan.

“ Kalau begitu, As akan gulung dan simpan dulu karpet di ruang tamu. Khalil banyak bermain di situ. Kalau terlepas pun nanti, hanya kena di lantai dan tak perlu bersusah payah nak membasuh karpet tebal tu. “ tambah saya lagi disambut senyuman suami.

Sememangnya di negara-negara empat musim seperti di UK, musim panas merupakan ketika yang paling sesuai untuk melatih anak menggunakan tandas. Di samping cuaca yang tidak dingin, pakaian yang perlu ditanggalkan juga sedikit, tidak berlapis-lapis. Ini sangat membantu untuk memudahkan proses anak belajar dan berlatih. Tidak ada masalah untuk berlama-lama sedikit, berbanding musim sejuk yang ada kalanya hendak ke tandas pun rasa malas. Sejuk hingga ke tulang sumsum!

Di samping itu, keadaan rumah yang hampir keseluruhannya berkarpet dengan kemudahan tandas hanya sebuah pada kebanyakan rumah sedikit sebanyak menambah cabaran. Jika tandas di tingkat atas, berkejar kami mendaki anak tangga ke tandas. Jika di bawah, anak-anak pula seram berseorangan pergi ke bilik air pada waktu malam. Bukan setakat yang kecil, yang besar juga perlu berteman. Walau apapun suasananya, latihan tetap perlu diteruskan.


CARA SAYA
“ Khalil tak boleh kencing dalam seluar. Khalil dah besarkan.” Saya memandang Khalil yang berdiri di depan tivi dengan seluar yang sudah lembap. Terlepas sedikit ke atas lantai. Baru saja sebentar tadi saya membawanya ke tandas.

“ Lepas ni Khalil bagitau Ummi ye..cakap: Ummi, Khalil nak kencing,” saya mengajar Khalil.

“ Ok. Khalil kencing,” jawab Khalil ingin mengulangi ayat saya. Tergelak kecil saya mendengarnya.

“ Alahai anak Ummi..macam ni, Khalil bagitau : Ummi, nak kencing. Nanti Ummi bawa Khalil ke tandas. Jangan dah basah seluar baru nak cakap, ok?” saya menjelaskan. Kali ini, dia mengangguk faham. Saya angkat dia ke tandas. Solehah saya tinggalkan sebentar di tingkat bawah. Setelah membersihkannya, saya cuci pula tangan Khalil menggunakan sabun dan membilas semula dengan air sehingga bersih. Khalil hanya menurut tanpa sepatah kata. Tetapi dari wajahnya, saya tahu dia mengikuti setiap pergerakan saya.

Sudah masuk seminggu sesi latihan saya kepada Khalil. Bermula dengan aturan masa setiap sejam sekali sehinggalah Khalil berjaya untuk berada dalam keadaan kering selama empat ke lima jam selepas setiap pembuangan. Akan tetapi ada ketikanya, ‘terbabas’ juga sekali sekala.



BIAR ANAK FAHAM
“ Alamak..ada bau ni. Khalil berak ye,” tanya saya. Khalil diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Saya menghampirinya lalu terus mengangkatnya ke tandas di tingkat atas. Mujur belum ada yang ‘terlepas’ ke lantai. Solehah mengikut dari belakang. Syukur dia tidak banyak ragam melihat saya menggendong abangnya.

“ Khalil, tak boleh macam ni. Khalil tak boleh kencing dan berak dalam seluar. Kencing dan berak mesti dalam tandas. Dalam potty ni, “ jelas saya dengan suara sedikit tegas. Khalil memandang saya. Masih diam. Pandangannya beralih pula ke potty di tepi.

“ Khalil kencing dalam ni, “ akhirnya dia bersuara. Saya mengangguk mengiyakan.

“ Bolehkan ? Tak mau kencing dan berak dalam seluar. Kotor,” saya menegaskan lagi. Perkataan kotor saya kuatkan sedikit dengan iringan memek muka tanda jijik.

“ Ok, Ummi,” balas Khalil pendek. Saya memandangnya. Senyum kembali. Jelas dia faham dengan permintaan Umminya sebentar tadi.

“ Semoga esok akan ada perkembangan yang lebih baik, InsyaAllah” doa saya di dalam hati.


AKAN BERULANG LAGI
Pagi ini seperti biasa, saya mengemas tilam dan mengumpulkan pakaian kotor untuk dibasuh. Suami pula, selepas menghantar Kak Long dan Kak Ngah ke sekolah, dia terus menghadap komputer untuk meneruskan penulisan tesisnya.

“ Ummi, Khalil nak kencing,” Khalil muncul di depan saya bersama Solehah. Dia kemudiannya terus membuka sendiri seluarnya lalu terus ke bilik air. Saya lansung mengikutinya dari belakang. ‘Sudah ada perkembangan yang baik ni,’ bisik saya di dalam hati.

Selesai melepaskan hajatnya, saya menyua air. Kali ini Khalil sendiri membersihkan dirinya. Kemudian terus ke sinki dan membasuh pula tangan sebagaimana yang diajar sebelum ini. Lega sungguh saya melihat perkembangannya. Dalam diam tidak banyak patah kata yang keluar, rupa-rupanya dia faham dan belajar.

“ Umi nak encin,” tiba-tiba saya dikejutkan satu suara, agak pelat. Solehah rupanya. Senyum saya. Proses ini akan berulang lagi nampaknya.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.