30 December 2009

MY HANDPRINTS..


“Ummi..tengok ni..Khalil buat car..” Khalil berkata. Nyaring suaranya. Sengaja dikuatkan, untuk menarik perhatian saya.

“Wah! Cantiknya…good boy Khalil,” saya memuji. Tersenyum melihat keasyikan jemari kecilnya membentuk kereta dari mainan lego. Sambil memasak saya melihat Khalil bermain menyusun bongkah-bongkah kecil berwarna-warni di atas meja. Kemas dan ada seni.

Siap ‘sebiji’ kereta, dia membentuk rumah pula. Ada kalanya, terdengar dia ketawa bila susunan ‘rumahnya’ tidak sempurna. Senget dan hampir jatuh.

“Ala…jatuh…” saya bersuara lemah. Sengaja saya merendahkan suara untuk menunjukkan simpati kepadanya.

It’s ok..try again...try again, Ummi” balas Khalil. Bersemangat dan tidak kecewa. Terdiam saya mendengar kata-katanya.

Sambil tersenyum manis dia menyusun semula. Entah mengapa, hati saya diruntun sayu bercampur gembira.

EMPAT TAHUN DULU
It’s a boy!” kata Dr.Khamsiah, sedikit menjerit nada suaranya. Saya dan suami mendengar dengan senyum lebar dan ucapan tahmid ke hadrat Yang Esa. Mungkin memahami keinginan dan impian kami, dia kelihatan begitu gembira saat mengkhabarkan jantina anak yang bakal lahir ini.

Setelah beroleh dua puteri, keinginan untuk menimang seorang anak lelaki pada kandungan kali ini tidak dapat kami nafi. Namun, doa yang tulus kami panjatkan ke hadrat Ilahi. Hakikatnya, segala urusan tetap diserahkan kepada-Nya. Walau pun jika ditakdirkan anak yang bakal lahir itu tetap seorang perempuan, kami berharap agar dia dianugerahi kesihatan yang baik dan sempurna. Membesar sebagai manusia yang berguna dan bermanfaat kepada agama.

Selepas melahirkan hingga usianya dua tahun,Khalil tidak terlalu meragam dan mudah diurus. Hanya satu perkara sahaja yang merisaukan saya. Dia lambat bercakap dan kelihatan kurang faham dengan arahan yang diberikan kepadanya. Demikian juga bila dia mahukan sesuatu. Bahasanya sukar dimengerti. Keadaan ini menyulitkan saya dan keluarga memenuhi kemahuannya. Namun, saya tetap berusaha, berdoa dan mengharapkan keadaan itu akan berubah dari semasa ke semasa.

Syukur, Alhamdulillah. Perkembangan percakapan Khalil lebih memberansangkan selepas usianya menginjak angka tiga. Dengan bantuan suami yang mengajar Khalil membaca ‘Iqra’ serta perbualan dalam Bahasa Inggeris bersama Kak Long dan Kak Ngah, Khalil mulai berbicara dengan bahasa yang mampu saya telah.

BERSEKOLAH
Sudah rezekinya, Khalil memulakan alam persekolahan di negara orang. Bermula September lalu, dia memulakan sesi pra-persekolahan yang dipanggil ‘Foundation One’. Walaupun pada awalnya, Khalil kerap menangis sebaik ditinggalkan di sekolah, namun dia tidak pernah membentak dan memberontak sebelum meninggalkan rumah. Hanya riak wajahnya sahaja kelihatan muram, menunjukkan rasa tidak seronok yang terpendam.

Melihat ini, emosi saya ikut terusik. Setiap kali melihat dia menangis dan melambai tangan, kaki saya seakan berat mahu melangkah. Namun, saya sedar. Saya sendiri perlu kuat untuk menyuntik semangat. Bila dia melambai, saya membalas lambaiannya serta menunjukkan isyarat tangan. Saya mengepal empat jari dan meninggikan jari ibu. Dia faham maksud saya dan mulai tersenyum walau matanya masih digenangi air mata pilu.

Kini, Khalil sudah semakin betah dengan pengalaman baru di sekolah. Dia semakin seronok bermain dan belajar. Menyerap semua yang dipelajarinya, mengikut segala yang dilihat dan didengarinya. Tinggal lagi, tugas saya dan suami sebagai ibu bapa untuk menapis dan menjernihkan pengetahuan dan pengalamannya yang 'samar' dan 'kelabu' terutama berkait agama dan budaya.

MY HANDPRINTS
“Ummi…tengok ni…” Khalil tertawa sambil menghulur sekeping kad bersaiz dua poster. Sapaannya mengejutkan saya. Melihat beberapa biji kereta dan bangunan yang telah siap dibentuk di atas meja, saya tidak menyedari entah berapa lama saya tenggelam dalam lamunan dan kenangan lama.

Saya menyambut kad berwarna merah dengan rasa sedikit bersalah. Padanya terdapat dua cap tangan berwarna ungu pekat dengan kata-kata berunsur nasihat. Ia umpama kata-kata Khalil yang dahulunya sukar saya fahami, tetapi kini, kata-kata itu cukup memberi bekas di hati dan sanubari. Kata-katanya berbunyi :

“My handprints…There used to be so many of my finger prints to see, on furniture and walls and things, from sticky grubby me!
But if you stop and think a while, you’ll see I’m growing fast, these little moments disappear, you can’t bring back the past.
So here is a small reminder, to keep not throw away, of tiny hands and how they looked, to make you smile someday!”


“Terima kasih, sayang..Khalil memang anak yang baik,” saya merangkulnya erat penuh sebak dan syukur di dada.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

25 December 2009

IMPIAN MEREKA , HARAPAN KITA



Cuaca sejuk di bumi UK masih berada di paras beku. Kehadiran saya, suami dan anak-anak ke desa Coalbrookdale, Ironbridge di Telford dua hari yang lalu, menyaksikan bumi yang sebelumnya berwarna hitam tanah, memutih dilitupi salju. Bahkan, lebih memukau pandangan, hujung-hujung ranting pada pohonan kayu juga turut diwarnai keputihan salji. Semuanya serba putih. Bersih.

Mencipta pemandangan yang sungguh indah. Cantik mempesona. Mengasyikkan pastinya.

“Wah! Snow. Bestnya ! “ teriak Kak Long, Kak Ngah dan Khalil. Hampir serentak. Mereka mulai melangkah. Setapak demi setapak. Menelusuri jalan bersalji dengan iringan senyum dan ketawa seiring.

“Hati-hati..,”saya menguatkan suara.

“Jalan atas jambatan sana tu licin. Jangan lalu dekat penghadang besi di situ ya…bimbang jatuh ke dalam air nanti,” saya mengingatkan mereka.

Saya memahami, sesiapa pun yang menyaksikan mukabumi Telfolrd ketika ini, akan teruja untuk merasai dan menikmati keseronokan memijak salji. Derap derup bunyinya umpama bunyi rangup keropok saat dikunyah gigi. Sedap !

Walaupun gembira, namun kami perlu sentiasa berwaspada. Permukaan tanah yang telah lama bersalji, biasanya akan mengeras dan menjadi licin. Salah mendarat dan memijak, boleh menyebabkan kaki tergelincir. Badan terdorong ke hadapan. Tubuh akan hilang keseimbangan lantas jatuh tersembam.

FUIYO 2009
Sebetulnya, saya dan anak-anak berada di sini kerana mengikut suami. Beliau dijemput sebagai penceramah utama program FUIYO (Fun With ILuvIslam’s Youth Overseas ) bermula pada 22 hingga 25 Disember. Tempoh masa yang bersesuaian dengan cuti panjang masyarakat setempat menyambut perayaan Hari Natal.

Walaupun pertukaran tempat program berlaku pada saat-saat akhir, namun berkat kesungguhan pihak urusetia dengan kerjasama dan komitmen para peserta, program ini berjalan penuh lancar dan tersusun acaranya. Dengan jumlah peserta mencecah 100 orang lebih, dewan di mana sesi ceramah diadakan, terisi padat. Cukup-cukup muat.

Seperti biasa, sementara suami berada bersama peserta berkongsi ilmu dan pengalamannya, saya melayani anak-anak yang berbagai ragam dan karenah mereka. Namun, kelebihannya kali ini, saya mendapat bantuan daripada ‘abang-abang dan kakak-kakak’ urusetia yang rajin melayan keletah keempat-empat permata hati saya, terutama Khalil dan Solehah yang manja.

Hanya seketika sahaja saya berkesempatan mendengar ceramah suami. Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan bersama anak-anak atau berada di dalam bilik menelaah. Itupun tidak boleh lama kerana Solehah agak meragam. Asyik meminta keluar bangunan untuk berjalan-jalan memesrai keindahan malam.

Penat berjalan di luar sambil melawan kedinginan, saya memujuk Solehah meneroka bilik-bilik di dalam bangunan pula sambil menghangatkan kembali badan. Walaupun begitu, sesekali saya mencuri kesempatan untuk beramah mesra bersama peserta dan urusetia wanita yang ada. Sekadar mempererat ukhuwwah dan berkongsi cerita.

DINGIN DI HATI
“Ustazah, boleh saya bercakap dengan ustazah sekejap?” Tiba-tiba saya disapa seseorang. Manis dan lembut wajahnya. Berbaju kurung sambil mengepit fail di tangannya. Saya tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya, sebenarnya amat menghargai kepercayaan dirinya untuk berbicara bersama.

“Tentang apa ya? Kalau ada yang ustazah boleh bantu..InsyaAllah ustazah cuba sebaiknya,”saya menyatakan kesediaan.

Kami mengambil posisi yang sesuai memandangkan para peserta telah keluar dewan. Semua tempat dimanfaatkan untuk perbincangan dalam kumpulan. Dari meja makan hingga anak tangga bangunan.

“Hmm..begini, ustazah. Tentang ibu saya…” dia memulakan bicara. Kelihatan wajahnya mulai muram. Ada masalah antara dia dan ibunya yang terpendam .

Di luar, salji sedang turun ke bumi. Sejuknya terasa. Dan mungkin, rasa dingin itu sampai meresap ke dalam hati. Dia masih diam. Saya membiarkan, sebelum dia menyambung cerita semula.

“Akhir-akhir ini saya sering dimarahi ibu kerana minat dan hobi saya ini.” Dia menunjukkan beberapa aksesori. Memang unik dan tersendiri.

Saya tersenyum. Mula memahami mengapa si ibu berleter panjang tentang kegemaran anaknya ini.

HARGAI NASIHAT
“Ibu kata apa ?” saya bertanya.

“Ibu kata saya macam nak tarik perhatian orang. Sedangkan saya bukan begitu.. Cumanya saya meminati sesuatu yang lain dari orang lain je..”dia menjawab sekaligus membela diri.

“Adakah kerana minat ini, saya sering dimarahi. Seolah-olah semua yang saya buat salah belaka. Dan saya bagaikan tak ada keistimewaan yang boleh dibangga..”dia meluah rasa.

Saya diam, belum mahu memberikan pandangan. Memikir-mikir bagaimanakah jawapan yang selesa untuk saya utarakan dan dia mendengarkan.

“Seorang ibu hanya mahukan kebaikan untuk anak-anaknya,” saya memulakan kata-kata.

“Dan atas sebab itulah, ibu adik selalu membantah keinginan yang lain dari yang lain ini. Mungkin baginya, minat itu tidak normal. Jauh dari kebiasaan yang sepatutnya. Hatinya bimbang dan risau jika kelainan itu akan mendatangkan keburukan dan bukan kebaikan,” saya terus memberikan pandangan.

“Jadi…apa perlu saya buat, ustazah?” pertanyaannya mencelah.

“Cuba adik kurangkan aksesori ini. Pakai seadanya. Cukup hanya satu dua sahaja. Seterusnya, banyakkan berbual dengan ibu tentang minat dan impian adik untuk masa depan. Tunjukkan adik menghargai dan menghormati nasihatnya. Dan dalam masa yang sama, minat adik tetap dapat diteruskan,” usul saya mencadangkan.

Pada saya, perbezaan dan kelainan pada hobi dan minatnya itu tidak terlalu luar biasa. Masih terkawal dan boleh diterima.

SILAP FAHAM
Jika direnung dan difikir-fikir semula, saya melihat ada sedikit kesilapfahaman anak remaja dan ibu bapa dalam menangani konflik antara mereka.

Sebagai seorang manusia, fasa remaja sepertinya pernah saya lalui. Dan bukan sesuatu yang baru, berlaku perbezaan sisi pandang seorang anak dan ibu. Saya juga ada pengalaman seperti itu.

Akan tetapi, setelah menginjak usia dewasa dan kini telah punya empat cahaya mata, sudut pandang saya mulai berubah. Hampir sama dengan apa yang pernah ibu saya utarakan dahulunya.

Mungkin kerana saya juga seorang Ummi kini. maka saya merasakan setiap nasihat yang didengar oleh anak-anak sebagai leteran, adalah sebenarnya tanda ambil berat seorang ibu dan belas kasihnya. Tiada lain yang difikirkan melainkan usaha dan ikhtiar semampunya agar buah hati, belahan jiwanya dijauhkan dari sebarang keburukan dan bala bencana.

Berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya mahu memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan. Namun, tanpa sedar mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.

Sementara di pihak anak-anak pula, sering kali sikap ambil berat ibu bapa kurang mampu dimengerti terutama oleh mereka yang berada di usia remaja. Ditambah lagi, jika ibu bapa gagal meraikan pemikiran dan impian anak-anak sehingga ‘ambil berat’ mereka dinilai sebagai kongkongan. Lebih malang,ia dianggap sebagai penafian kepada bakat dan kecerdikan anak-anak dalam membuat keputusan.

Itulah silapnya !

TITIK TEMU
“Terima kasih atas nasihat ustazah. Saya beredar dulu,” dia meminta izin untuk kembali mengikuti perbincangan dalam kumpulan.

Saya mengiringinya dengan doa dan senyuman. Saya mengakui bukan mudah mencari penyatuan. Seorang anak muda remaja bertindak atas minat, keinginan dan impian. Manakala ibu bapa, mengatur kehidupan berpandu pengalaman, pendirian dan harapan. Justeru, bagaimana mahu mencari titik pertemuan?

Berbicaralah atas nama kasih dan cinta. Itu ajaran agama yang mulia. Memang benar, sewajarnya sebagai orang tua, ibu bapa bertanggungjawab mencongak risiko yang bakal berlaku kepada anak-anak mereka. Sama ada risiko itu terhasil dari tindakan, atau keputusan yang dilakukan. Namun, itu tidak bermakna, ibu bapa harus mengongkong. Hanya memerintah dan menuntut agar kata-kata mereka diturut, sedangkan pandangan anak-anak, lansung tidak disebut.

Jangan begitu !

IMPIAN MEREKA, HARAPAN KITA
Lebih elok sekiranya anak-anak menghargai pandangan orang tua, manakala ibu bapa menghormati impian anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Selagi minat dan kehendak itu tidak menyalahi ajaran agama, maka berlapang dadalah! Itu lebih baik dari saling bermasam muka.

Sekalipun minat dan kegemarannya itu nanti ternyata tidak memberi makna, biarkan dia belajar dan menyedari kesilapannya.

Ingatlah, seseorang yang tidak pernah silap, sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa. Statik. Dia tidak mampu memberi sesuatu yang berguna buat dirinya, apatah lagi orang lain di sekitarnya.

Ingatlah juga. Andai tidak berdepan risiko, bagaimana seseorang itu akan tahu dan bertambah ilmu? Seorang anak tidak akan selamanya berada di keliling ibu bapa. Sampai saatnya mereka akan lepas pergi. Berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup mereka sendiri.

Justeru, bertindaklah umpama melihat anak-anak menyusuri jalan bersalji. Biarkan mereka menikmati keseronokan memijak permukaan yang putih memikat hati. Akan tetapi, peringatkan mereka agar sentiasa berhati-hati. Beritahu mereka sempadan dan batasan yang boleh dilalui.

Seandainya suatu ketika mereka tergelincir jatuh, hulurkan tangan. Bantu mereka untuk berdiri kembali. Semoga keseronokan bermain salji terus dapat dinikmati. Bersama.

Sesungguhnya saya kembali ke Leicester dengan pengalaman dan pengajaran yang amat berguna. Syukur. Alhamdulillah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

21 December 2009

SUKARKAH MERAIH SOLEHAH ?


Sukarnya meraih solehah. Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang hanya dia dapat mengerti.

“Mengapa ni..kak. Kakak ada masalah?” saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sebenarnya sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tidak..hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama bila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri,” dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mulai sedikit berseri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat darinya.

Saya membetulkan duduk. Mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan suasana.

MUDAH
“Bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Sudah terlalu biasa. Bermacam-macam sebab dan punca..kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan,” suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah nak jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu amat senang diperoleh. Tidaklah serumit mana. Ina ingat tak? Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu Baginda menjawab:

“Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Bila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaiknya dan menjaga hartamu." ( Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya ; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani ).

Dan sabda Baginda juga yang bermaksud :

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki." ( Hadis Riwayat Ahmad )

Saya menganggukkan kepala. Memang tepat apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Baginda SAW, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah dari tiga perkara iaitu: isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

TAPI
“Sayangnya ramai di antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna,” dia menambah. Masih bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” saya membalas tanya.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja..tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumahtangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja...” tuturnya kecewa.

“Ya..betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat sepatah dua...” saya mengiyakan butir katanya.

“Ya..itu ada benarnya dan berkonsultasi tentangnya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia. Tetapi apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua..tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa lagi bercerita perihal rumahtangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Seorang isteri yang menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumahtangga? Sudah tentu isteri yang begini tidak akan mampu berada di depan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan akhirnya mereka jatuh dalam perangkap cinta ’gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘ambil berat’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian si lelaki mendengar luahan hati, “ saya menambah isi.

SOLAT DAN PUASA
Sungguh benar persoalan yang diketengahkannya. Itu belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini mereka masih bermasalah.

Ada sebahagian yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutama kepada kaum perempuan yang masa kitaran haid mereka sudah hampir sampai. Golongan ini harus lebih peka dan beringat dengan masa yang ada. Jika mereka melambat-lambatkan solat, dibimbangi ketika masuk waktu sedang mereka masih sibuk dengan pelbagai urusan.

Ibadah wajib yang wajar didahulukan, ditangguh-tangguh hingga hampir ke pengakhiran. Ketika mahu mengerjakan solat, didapati darah haid telah pun keluar. Sayang sekali. Solat yang sepatutnya boleh dikerjakan secara ‘tunai’, terpaksa diqada’ dan diganti setelah suci dek kerana lalai dan cuai.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. Allah SWT berfirman, mengingatkan tentang kemurkaan-Nya ke atas mereka yang melalaikan tanggungjawab sebagai hamba, bermaksud :

“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Mau’n ayat 4 dan 5 )

Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan selama melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerosakan yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan-pelaksanaan lain agamanya.

Demikian juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-Nya, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan berpuasa Ramadhan.

Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusu anaknya untuk tidak menunaikan puasa. Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman. Puasa yang ditinggalkan, mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Hari berganti hari, minggu berganti bulan. Sehingga akhirnya, Ramadhan tiba kembali, puasa itu masih juga belum berganti. Sekali lagi, cuai...lalai.

Lalu, bagaimana mungkin keadaan-keadaan ini mampu membawa pelaksananya meraih gelaran solehah di sisi Ilahi?

SUKARKAH MERAIH SOLEHAH?
“Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya,”dia menyimpulkan sebelum menamatkan perbualan kami.

“Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al Quran dan hadis Rasulullah SAW ada pedoman pada kedua-duanya. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu,”dia menambah .

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna,”saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.


Justeru, sempena ketibaan tahun baru 1431 Hijriah ini, mari bersama memuhasabah diri. Membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk kita mempertingkatkan kualiti.

Ilmu dan amal seiring menghiasi peribadi, keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat menjadi inspirasi mukminah muslimah sejati. Semoga kitalah harta bernilai bagi seorang lelaki bernama suami selepas ketaqwaan dan keimanannnya kepada Ilahi.

Berhijrahlah..berusahalah...mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah, ameen.

“Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah” ( Hadis riwayat Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

15 December 2009

HARAPAN DARI KEMATIAN

Sungguh berat dugaan hidupnya. Kebahagiaan yang dirasai menjadi seorang suri hanya bertahan empat jam sahaja. Ketika masih bergelar raja sehari, dalam debar menunggu kemeriahan majlis resepsi, suami yang dikasihi dijemput Ilahi. Pergi tak kembali.

Terkedu. Terharu.

Saya antara ribuan yang membaca paparan akhbar yang menyebut kisah menyayat hati ini. Cuba merasakan kepiluan yang bersarang saat menerima berita pemergian suaminya dalam suatu kemalangan ngeri. Manakan sama sayu hati yang membaca berbanding dirinya yang menanggung derita.

“Kak Long takut baca tentang mati,” luah Kak Long tiba-tiba dengan wajah cemas sekali. Saya tidak menyangka dia berada di belakang saya, turut membaca kisah yang sama.

Saya memahami pengakuan jujur daripada anak seusianya. Membayangkan kepedihan jari jemari yang luka terhiris pisau. Tajam bak sembilu, tentu amat jauh tidak terbanding kesakitan saat menghadapi kematian dahsyat seumpama itu.

Allah!

PERSOALAN
Wajah Kak Long saya pandang penuh belas kasihan. Cuba menyelami kerisauan hati dan berusaha merungkai ketakutan kepada sesuatu yang pasti.

“Kak Long tahukan..setiap yang bernyawa pasti akan mati suatu hari nanti. Allah sebut dalam al Quran :

“Di mana saja kamu berada, kematian pasti akan mendapatimu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” ( Surah An-Nisa` ayat 78)

Jadi, walau di mana kita berada, kita tak dapat lari dari mati. Kita tak tahu bila dan di mana Allah akan mengambil nyawa kita. Jadi tak perlu risau tentang mati. Yang perlu Kak Long, Ummi dan semua orang risau dan bimbang ialah bagaimana keadaan kita saat berdepan dengan kematian yang datang,” saya menjelaskan. Agak panjang.

Kak Long diam mendengar pesanan. Akan tetapi pandangannya menusuk, inginkan lebih penjelasan dan kefahaman. Namun, cepat-cepat saya mengalihkan mata yang sedang melihat. Menyedari bagai ada genangan air di dalamnya. Pilu yang amat.

Siapalah saya untuk tidak merasa sayu dan hiba. Berbicara tentang kematian yang menjadi pemisah dari wajah-wajah tercinta. Ibu ayah, adik beradik, sahabat handai dan terutamanya suami dan anak-anak pengikat jiwa.

“Apa maksud Ummi tu?” Kak Long menyambung tanya.

“Maksud Ummi…ialah keadaan dan amalan yang sedang kita lakukan. Adakah ketika kematian datang, kita sedang sibuk melakukan kebaikan atau sebaliknya sedang seronok dengan kejahatan.. Nauzubillah,” saya mengurut dada. Bagai sesak mengenangkan amalan yang tidak seberapa. Menginsafi kata-kata dari mulut sendiri yang berbicara.

INGAT MATI
“ Kerana itu Rasulullah ajar kita supaya sentiasa ingat mati. Sabda Baginda yang bermaksud :

“Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan ( iaitu kematian).”

“Ingat mati..kenapa pulak Ummi?” Kak Long bertanya lagi.

“Sebab dengan mengingati mati kita akan jadi mukmin dan muslim yang baik. Ingat mati akan menghalang kita dari berbuat maksiat dan dosa serta mendorong untuk lebih taat kepada-Nya.

Contohnya, orang yang miskin dan susah. Dengan mengingati mati kala kesempitannya itu, akan melapangkan hatinya dari kesusahan yang dihadapi. Bahkan, dia akan jadi tenang dan berusaha lebih kuat untuk memperoleh rezeki dengan jalan yang halal.

Sementara bagi orang yang kaya dan senang pula, dia tidak akan lupa diri dengan kemewahan hidup yang diberikan Allah kepadanya. Sebaliknya, dia sedar bahawa semua itu hanyalah pinjaman ketika hidup di dunia. Lalu dia menjadi orang yang pemurah, suka bersedekah dan menabur hartanya ke jalan yang diredhai Allah.

Kak Long nampakkan..walaupun peringatan daripada Rasulullah SAW itu pendek dan ringkas sahaja, namun padanya terkumpul nasihat yang sangat berguna.”

Kak Long menganggukan kepala dengan senyuman menghiasi wajahnya.

MUHASABAH
Memang benar, kematian akan datang kepada sesiapa tanpa diduga. Bagi mereka yang merindui pertemuan dengan Khaliqnya, kematian bukanlah pemutus bahagia, bahkan ia adalah permulaan kepada kesenangan yang tiada tolok bandingnya di syurga. Amalan soleh yang dilakukan ketika hayat di dunia, menjadi penyambung bahagia di akhirat sana. Kekal tanpa batas masa. Firman-Nya yang bermaksud :

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang yang memperdaya.” ( Surah Ali Imran ayat 185 )

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” ( Surah An Nahl ayat 32 )

Pernah dikisahkan, bagaimana gementarnya ‘Umar bin Abdul ‘Aziz RA, tatkala mengenang dan berfikir tentang kematian. Lantas beliau mengumpulkan para ulama dan cerdik pandai, dan mereka saling memberi peringatan tentang kematian, kedahsyatan hari kiamat dan kecintaan kepada akhirat. Kemudian mereka menangis teresak-esak seolah-olah di hadapan mereka ada jenazah yang menunggu untuk disemadikan.

Alangkah jauhnya keadaan mereka berbanding kebanyakan manusia. Terutama kepada pelaku dosa dan noda. Bagi mereka kematian merupakan suatu ketakutan. Menyebutnya sahaja cukup menghadirkan rasa gerun yang bersangatan. Apa yang diinginkan adalah hidup selamanya di dunia ini, berterusan menyanjung kemungkaran dek hanyut dibuai nafsu yang sentiasa bermaharajalela. Terpedaya dengan pujukan syaitan durjana.

Allah SWT mengingatkan tentang ini menerusi firman-Nya yang bermaksud :

“Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama-lamanya, karena kesalahan-kesalahan yang telah diperbuat oleh tangan mereka (sendiri), dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang berbuat aniaya.” ( Surah Al Baqarah ayat 95 )

HARAPAN DARI KEMATIAN
Andai menyedari kematian itu suatu yang pasti, mulailah bergerak untuk menyediakan bekal kemudian hari. Bekalan untuk kehidupan yang abadi di sana nanti.

Mereka yang telah pergi, tidak akan kembali lagi. Hanya kita yang masih menghuni dunia, punya janji dan amanah untuk dipenuhi. Ambillah iktibar dan pengajaran selagi masih ada ruang untuk bernafas dalam kehidupan.

Segala yang ditinggalkan semalam, sudah tersimpan dalam lipatan kenangan. Jauhkan angan-angan yang merosakkan dan kembali menjejaki kenyataan. Sesungguhnya, hidup ini terlalu singkat untuk kita persia-siakan.

Insafilah, walau semalam kita bergelumang kemaksiatan, namun masih ada saat dan hari ini untuk dimanfaatkan. Juga harapan hari esok untuk menjadi mukmin beriman.

Justeru, cukuplah kematian itu sebagai peringatan.

“Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mendahulukannya.” ( Surah An-Nahl ayat 61 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

12 December 2009

TANGGAL PENUH MAKNA

Merenung kembali cuti dua hari pada hujung minggu yang lalu, sungguh memberi erti dalam diari kehidupan ini.


Dalam debaran menunggu jam tujuh pada malam 6 Disember, saya tidak dapat menolak pelawaan suami untuk mengikut beliau ke Birmingham, menghadiri satu program bersama penuntut-penuntut universiti sehari sebelumnya.


Sementara menunggu suami selesai berprogram, saya dan anak-anak menumpang teduh di salah sebuah rumah warga Malaysia di sana. Kenalan baru, sepasang suami isteri punya anak tiga. Lelaki belaka. Salah seorang dari mereka, masih bayi. Baru berusia 35 hari.


Walau sibuk mengurus anak-anak yang masih kecil, pasangan ini masih punya luang masa untuk melayan kami. Turut datang bertamu bersama saya dan anak-anak di rumah mereka, ialah isteri dan anak-anak Ustaz Maszlee dari Durham.


Meriah sungguh suasana dengan riuh tawa dan tangis si manja. Ditambah pula, kehadiran beberapa rakan warga Melayu Birm yang lain, membantu menyediakan hidangan pagi, tengahari dan malam untuk santapan kami.


MEREKA YANG TABAH

“Anak saya ni doktor telah sahkan mengidap hidrosefalus sejak sebelum dilahirkan lagi, kak..” tenang bicara tuan rumah lewat perbualan kami sambil menjamah hidangan pagi.

“Itu istilah untuk apa ye ?” saya bertanya. Sebetulnya, saya memang tidak banyak mengetahui istilah perubatan moden seumpama itu.

Lagi pula, saya tidak dapat mengesan kelainan luar biasa pada si kecil yang masih terlena. Sekilas pandangan mata, si kecil itu sama sahaja seperti bayi-bayi lain yang baru mengenal dunia.

“Oo..kalau akak tengok betul-betul, kepala anak saya ini lebih besar dari biasa. Ia disebabkan penambahan jumlah cecair dalam otak. Menurut doktor hidrosefalus di kalangan bayi dan kanak-kanak menyebabkan kepala mereka membesar kerana struktur tengkorak belum bercantum,” jelasnya lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Memerhati penuh simpati pada seraut wajah suci. Kelihatan urat-urat hijau mulai timbul di tepi telinga kanan dan kiri.

SYUKURI NIKMAT

Memandang wajah tenang si ibu yang menyusukannya penuh kasih, meruntun hati untuk memuhasabah nikmat kurniaan Ilahi.

Lebih-lebih lagi bila dia menceritakan kemungkinan yang dijangka berlaku sebaik zuriat ketiganya dilahirkan ke dunia. Pihak doktor memaklumkan tubuh kecil itu mungkin tidak dapat bertahan lama.

Namun, kehendak Ilahi mengatasi pengetahuan dan ilmu seorang manusia . Si kecil terus bernyawa. Mampu menyusu dan bertindakbalas seperti biasa. Subhanallah! MasyaAllah!


“Betapa saya sepatutnya lebih bersyukur memiliki anak-anak yang sihat dan ceria,” saya berbisik memandang keempat-empat buah hati yang sedang sibuk dengan aktiviti bersama teman-teman mereka.


Saya akui, dalam melayan telatah anak-anak yang bermacam rentak dan ragam, ada kalanya saya juga dilanda emosi. Ditambah pula dengan kesibukan dan keletihan melakukan rutin seharian, ada ketikanya menerbitkan rasa geram dan marah bila anak-anak melakukan kesalahan.


Terasa jauhnya diri dari sifat syukur sebenar. Masih kurang rasa sabar dalam menangani telatah anak-anak yang semakin membesar.


Sungguh, benarlah bicara Rasulullah SAW tatkala Baginda mengingatkan cara untuk mempertingkat nilai kesyukuran, yang bermaksud :


"Lihatlah orang yang dibawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



RENUNGKAN

Ada pasangan yang mengimpikan zuriat, tetapi perlu menanti sehingga bertahun untuk dimakbulkan hajat.


“Belum ada rezeki,” jelas mereka berbasa basi. Tetapi jauh di lubuk hati, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Pedihnya hati tatkala disoal berulangkali.


Ada pula pasangan yang dikurniakan permata hati yang diidamkan, tetapi diuji dengan kesihatan si anak yang tidak memberansangkan.


“Semua ini dugaan daripada-Nya. Kami pasrah dan akan terus berusaha,” mereka meluahkan bersama semangat untuk memelihara ‘tanda’ cinta mereka.


Dan, ada juga pasangan yang ‘kehilangan’ insan yang dinanti-nantikan sebelum sempat si buah hati melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.


“Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya ada orang lain yang lebih hebat diuji dari kami berdua.” Betapa besar hati mereka. Jawapan yang cukup untuk menggambarkan ketulusan mereka menerima ujian daripada-Nya. Pasrah dan berserah.



TANGGAL PENUH MAKNA

Saya dan keluarga kembali ke Leicester dengan berencam rasa yang mengusik jiwa. Walau keletihan dan masih batuk-batuk dek penangan kedinginan musim sejuk, saya gagahkan juga diri memenuhi janji untuk berkuliah secara online pada malamnya.


Pengalaman pertama berceramah tanpa pendengar di sisi. Hanya berteman komputer riba dan mikrofon yang menyalurkan suara. Bersyukur atas nikmat kemajuan yang memungkinkan ilmu disampaikan tanpa perlu bertemu mata.


Usai kuliah, saya turun ke tingkat bawah. Sekali lagi jiwa terusik dengan kejutan yang tidak disangka.


"Selamat ulangtahun perkahwinan kita.” Lembut ucapan daripada suami tercinta. Senyuman diberi bersama huluran hadiah daripadanya. Anak-anak memerhati penuh ceria dan gembira. Alhamdulillah.


Sungguh, tanggal ini amat bermakna dalam kehidupan saya. Padanya ada cerita buat renungan sepanjang masa. Dan di dalamnya juga ada kisah kasih dan cinta.


Saya membenarkan firman-Nya yang mulia, bermaksud :


“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal dan soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. (Surah al-Kahfi: 46)


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

7 December 2009

TIADA RESEPI RAHSIA !



Anak-anak saya tidak pernah jemu menonton cerita yang satu ini. Bahkan boleh dikatakan, saya dan suami juga masih belum bosan walau telah menatap dan menonton berulangkali. Melihat watak utamanya sahaja boleh mengundang ketawa, tidak kering gusi.

Sepanjang menonton, ada saja adegan-adegan yang lucu dan menggeletek hati. Masakan tidak, sebelum ini tidak dapat dibayangkan bagaimana seekor panda yang besar dan buncit perutnya boleh beraksi hebat sebagai pahlawan naga.

Kerana itu, DVD Kung Fu Panda antara senarai filem animasi yang menjadi pilihan saya dan keluarga.

Pada saya, kekuatan filem ini bukan sekadar pada garapan cerita yang sangat baik, humor yang cerdik dan animasi yang menarik. Akan tetapi lebih dari itu ia menghidangkan pesan moral yang cukup kuat walau hanya dipersembahkan dalam bentuk sebuah animasi.

LUAHAN
“Alhamdulillah…” saya mengucap syukur setelah selesai memasak dan mengemas dapur. Melihat sekilas ke arah jam di dinding, senyuman di bibir menguntum seiring. Solehah yang terlena saya biarkan terus berbaring.

“ Ada sedikit waktu sebelum Zuhur..” bisik saya mencongak masa. Cepat-cepat saya hidupkan komputer riba dan membuka kotak emel yang masih dipenuhi emel-emel yang belum berbaca.

Pantas saya membalas satu dua emel yang hanya memerlukan jawapan ringkas. Sejurus menekan butang’send’, hati saya disirami rasa puas dan lega. Sekian lama tertangguh membalas soal dan tanya dari pembaca, kali ini saya bersyukur dengan keluangan masa yang diizinkan-Nya.

Sambil menaip mata saya sesekali menjeling ke arah peti televisyen di sebelah. Melihat Khalil yang tidak berkelip menyaksikan putaran filem Kung Fu Panda sebelum bertolak ke sekolah.

Dalam keasyikan membaca dan membalas emel-emel yang ada, hati saya tersentuh menatap emel daripada seorang wanita bergelar ibu muda. Panjang dia bercerita. Nada ayatnya menggambarkan gelodak jiwa yang sedang dialaminya.

Perasaan cemas bergelar seorang ibu dan harapan untuk menjadi ‘seseorang’ yang berguna kepada keluarga dan masyarakat di sekitarnya.

“Saya teringin jadi macam akak, seorang ummi dan isteri yang cemerlang dan muslimah yang bermanfaat pada orang lain..” dia mengakhiri kata-kata yang menghadirkan bermacam rasa di hati saya.

CABARAN
Taipan tangan terhenti seketika. Fikiran saya ligat berputar mengimbau masa suka dan duka, pahit dan manis yang masih segar menyapa jiwa.

Siapalah saya untuk menafikan bahawa dalam usaha mengisi dan memaknakan hubungan sebagai seorang anak, adik, kakak, sahabat, pelajar dan kini telah berkeluarga, saya juga turut melalui saat sukar dan mencabar. Sehingga kini, cabaran dan dugaan itu sentiasa hadir dalam kehidupan.

Setiap orang akan melalui pengalaman pertama dalam apa jua perkara dalam hidup mereka. Dari kecil sehingga dewasa, segalanya bermula dengan pengalaman pertama. Pertama kali berjalan, pertama kali bercakap, pertama kali berkahwin, pertama kali menimang anak dan pelbagai lagi. Jadi, dari pertama kali itulah kita akan belajar banyak perkara kemudiannya.

Namun bukan semua pengalaman pertama yang bermula dengan gembira akan berpenghujung bahagia. Dan tidak semua yang berawal dengan sengsara akan berakhir dalam derita.

TERUSKAN USAHA
“ Ummi…look. Po..kelakar la...” Khalil ketawa. Saya mengangguk kepala sambil melempar senyuman mesra.

Memang melucukan. Melihat Po, yang seharian bekerja di kedai mi milik ayahnya. Memiliki impian untuk menjadi seorang pendekar Kung Fu walaupun menyedari dia tidak memiliki kemahiran untuk bertarung . Namun berkat percaya diri dan tidak putus asa, dia akhirnya mampu menjulang gelaran pahlawan ulung.

Saya yakin, tidak seperti Po, ada di kalangan kita yang mudah menyerah, gagal mencapai impian dek kerana terhalang oleh perasaan dan fikiran negatif diri sendiri.

Sewajarnya, jangan berhenti mengejar apa yang diimpi. Bak bicara Master Oogway yang cukup memberi bekas pada diri:


“Semalam adalah suatu sejarah, esok adalah misteri, sementara hari dan saat ini adalah suatu anugerah (gift), maka kerana itu ia disebut sebagai hadiah ( present) “


Justeru, jangan biarkan diri dihalangi oleh kegagalan masa lalu dan ketakutan masa depan. Sebagaimana Po yang terdorong untuk lebih gigih berlatih kung fu setiap kali disua makanan kepadanya, begitu jugalah sewajarnya setiap individu belajar dengan cara dan motivasinya yang tersendiri. Berusaha terus !

BAHAGIA ADA PADA SABAR
Saya kembali mengalihkan pandangan ke skrin komputer di hadapan. Balasan saya kepadanya saya mulai dengan suntikan semangat di jiwa.

“Bagi Kak Ina apa yang ukhti alami, adalah perasaan yang normal bagi sesetengah perempuan, malahan ia sangat baik. Baik..kerana dengan kesedaran itu, ukhti akan memastikan apa yang dilakukan adalah yang terbaik untuk anak dan suami."


Saya menginsafi setiap dari kita diberi ujian yang tersendiri oleh Ilahi. Kalau ada pun yang serupa tapi tetap tidak sama.


Cukuplah dengan merenungi firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya akan kami memberikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” ( Surah Al baqarah ayat 155 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh perkara adalah kebaikan baginya. Yang demikian itu tidaklah dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika mendapatkan kelapangan ia bersyukur maka yg demikian itu baik baginya. Dan jika ia ditimpa kemudaratan atau kesusahan ia bersabar, maka yang demikian itu baik baginya.”( Hadis riwayat Muslim )

Kebahagiaan ada pada sifat sabar. Dengan kesabaran,seorang hamba akan terpelihara dari kemaksiatan, berterusan menjalankan ketaatan, dan tabah dalam menghadapi berbagai dugaan.

Ibnul Qayyim rahimahullah pernah menukilkan, “Kedudukan sabar dalam iman laksana kepala bagi seluruh tubuh. Apabila kepala sudah terpotong maka tidak ada lagi kehidupan di dalam tubuh.”

BAHAGIA BILA KENAL DIRI DAN PENCIPTA
Allah SWT dengan sifatnya Yang Maha Mengetahui, Maha Berkehendak dan Maha Adil sangat berbeza ketetapan dan ketentuannya ke atas setiap manusia. Tanyalah kepada sesiapa sahaja bernama insan yang menghuni dunia, sudah pasti tiada di antara mereka yang mahu sengsara apatah lagi hidup berduka dan penuh ratap hiba.

Semuanya mengharapkan kebahagiaan berpanjangan. Senyum dan tawa menghiasi kehidupan. Tidak kunjung padam selagi hayat dikandung badan.

Namun, begitulah cara Allah memberi didikan. DIA mendatangkan kesusahan bukan bermakna untuk menjatuhkan, DIA mendatangkan kesenangan bukan pula untuk meninggikan. Akan tetapi kedua-duanya ujian untuk menilai keimanan. Meningkatkan ketaqwaan, sebagai pembeza sebenar darjat manusia di sisi Tuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” ( Surah Al-Hujurat ayat 13 )

Ingatlah juga janji-Nya yang bermaksud :

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya akan Allah berikan jalan keluar dan Allah akan berikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka.” ( Surah At Thalaq ayat 2-3).

Justeru, antara jalan untuk berjaya dan merasa bahagia bertitik mula dari mengenal Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Mencipta lagi Maha Berkuasa. Mengenali untuk memahami dan meyakini bahawa segala sesuatu daripada-Nya pasti mengandungi hikmah yang tersembunyi.

TIADA RESEPI RAHSIA
Sejujurnya, baik saya mahu pun sesiapa saja, kita tiada resepi rahsia untuk berjaya dan kekal gembira. Saya meyakini setiap dari kita memiliki potensi dan kemampuan yang sama untuk mencerna bahagia . Tinggal lagi bagaimana potensi yang ada itu disedari, digilap dan dimanfaatkan seoptimumnya

Saya mengakhiri balasan emel dengan kata-kata :

“InsyaAllah,ukhti juga mampu melakukan yang terbaik. Cuma pada fasa ini, ukhti harus dan terus mengenali diri lebih lagi. Itu yang pernah Kak Ina alami sendiri sewaktu mula-mula bergelar isteri dan ummi.

Banyakkan merenung diri di samping mengenang masa lalu, tetapi jangan sampai ia mengganggu hidup ukhti hari ini.

Jadikan kenangan masa lalu sebagai motivasi untuk ukhti melakukan yang terbaik buat hari ini dan hari esok juga seterusnya.

Tidak ada manusia yang sempurna dan Kak Ina juga ada kelemahannya. Kak Ina pasti pada diri ukhti ada keistimewaan tersendiri yang belum digali. Teruskan mengenali diri. Jadilah 'seseorang' buat anak dan suami, InsyaAllah ukhti akan menjadi ‘seseorang’ kepada orang lain di luar sana suatu hari nanti. Percayalah !"

Saya menekan butang ‘send’ sambil menyaksikan saat-saat Po menyedari maksud dari gulungan Naga ( Dragon Scroll ) yang ternyata kosong. Sesungguhnya, kekuatan sebenar dari dunia ini terletak pada diri sendiri.

Setiap dari kita adalah unik, lalu berusahalah dengan keunikan masing masing berpandu ajaran Ilahi.

Benarlah, tiada resepi rahsia ! Yakini ini…

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsayAllah.