Assalamualaikum ustazah, saya seorang isteri
dan ibu kepada dua orang cahayamata; sudah hampir lima tahun berumahtangga
dengan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Saya seorang
surirumahtangga, sementara suami merupakan eksekutif kanan di sebuah syarikat
ternama.
Kami hidup bahagia, cuma akhir-akhir ini, saya
mulai merasakan perhubungan saya dan suami semakin hambar. Saya seakan tidak
memahami suami yang kelihatan semakin pendiam, tidak lagi banyak bercerita
seperti awal-awal perkahwinan dahulu. Keadaan ini menjadikan saya bimbang.
Pelbagai andaian muncul dalam fikiran. Apa yang perlu saya lakukan Ustazah?
Saya menyayangi rumahtangga kami dan sangat menyintai suami.
JAWAPAN :
Tiada laut dan sungai yang tidak pernah
bergelora; akan ada waktunya tenang dan damai, dan ada ketikanya berombak dan
berarus deras.
Demikian juga alam perkahwinan, tidak semua
keadaan sentiasa bahagia dan manis. Pasti ada waktunya, pahit, kelat dan masam
mencelah. Akan tetapi jika dipandang dari sudut positif: pahit, kelat dan masam
itu perlu sesekali dirasa agar manis tidak memudarat jiwa seorang hamba; umpama
makanan :
Manis boleh manis, tapi kalau terlebih manis
nanti menangis!
Inilah realiti, lantaran setiap
pernikahan tidak terikat hanya dengan kebahagiaan, tapi juga berkait sekali
sekala dengan penat, letih dan lelah bagi memaknai kewajipan.
Penat seorang suami dalam mencari
nafkah diisi lantaran itu kewajipannya. Dan rasa lelah seorang isteri beserta
segala ‘beban perasaan’ bernama jenuh, bosan, sepi adalah juga jihad dalam
tugasnya sebagai pemelihara amanah suami ke atas harta, anak-anak dan segalanya
dalam rumahtangga.
Mungkin, kerana rasa letihnya,
suami lupa pada tanggungjawabnya untuk tetap membantu isteri, demikian juga
dengan isteri yang terlalu sibuk mengurus anak-anak dan rumahtangga hingga lupa
untuk menyambut dan melayani suami yang pulang mengimpikan istirehat di rumah.
Oleh itu, amat malang jika rasa
lelah itu menjadi punca perselisihan.
Justeru, dalam menanggapi alam rumahtangga yang
berencam cuaca, seorang suami atau isteri itu, perlu bersedia berkorban rasa,
wang dan tenaga. Jangan pernah ada sikap mementingkan kehendak sendiri lalu
meminggirkan keinginan pasangan di sisi.
Saya berpandangan, sebagai wanita, adalah baik
untuk seorang isteri bersikap pro-aktif dalam menanggapi perubahan suami. Apa
yang saya maksudkan ialah seorang isteri bukan sekadar perlu tahu bebanan suami
dan senarai tanggungjawabnya, tetapi juga turut ‘merasakan’ beratnya tugas yang
sedang digalas oleh suami tercinta. Walau bukan dengan turun padang untuk
memahami situasi, cukuplah sekadar memberikan empati.
Untuk itu, perkara pertama yang perlu seorang
isteri fahami adalah, suami ( lelaki ) itu berbeza daripada wanita dalam
pelbagai segi. Walaupun keperluan antara kedua-duanya tidak banyak berbeza,
tetapi lelaki tidak berfikir, bertindak dan bereaksi sebagaimana wanita,
contohnya : ketika berhadapan masalah dan tekanan; Wanita
lebih mudah berkongsi masalah, mahu didengarkan, seterusnya dimengerti. Akan
tetapi bagi lelaki, masalah menjadikannya menyendiri dan banyak berdiam diri bagi merumuskan solusi.
Ketidakupayaan memahami perbezaan ini, akan
menemukan kekecewaan di pihak isteri ( dan suami sekaligus ) kerana isteri
memberikan apa yang diinginkannya bukan yang dikehendaki suami secara hakiki
lalu berhujung dengan bingung dan tertanya-tanya mengapa suami tidak
bertindakbalas sebagaimana yang sepatutnya.
Berikut adalah beberapa senarai cadangan peraturan
perhubungan yang boleh difahami oleh seorang isteri agar komunikasi bersama
suami berdaya kembali :
a.Menerima siapa dia seadanya.
1)
Menghargai sisi positif pada dirinya.
2)
Menunjukkan kekaguman pada sifat maskulin (
kelelakiannya ).
3)
Meletakkan suami sebagai nombor ‘wahid’ dalam tugasan
seorang isteri.
4)
Biarkan suami berperanan sebagai pelindung,
penyedia ( nafkah ) dan pengemudi rumahtangga.
5)
Biarkan dia mengurus kewangan.
6)
Berusaha untuk tidak ‘melukakan’ sisi
kelelakiannya.
7)
Tunjukkan simpati dan penuh memahami.
b.Jangan memulakan langkah dengan rasa
curiga dan tidak percaya kepada suami. Syak wasangka yang menempati hati,
singkirkan segera kerana banyak ketikanya perasaan syak wasangka ini menghijab
hati untuk menilai perasaan sebenar seorang lelaki ( suami ).
c.Sediakan catatan tentang kebaikan suami yang
pernah dilakukannya untuk isteri dan anak-anak. Catatan ini penting ketika jiwa
isteri dilanda keliru dan ragu-ragu; dengannya isteri lebih menghargai dan
sentiasa mensyukuri.
Justeru, sebarang kekurangan dan
ketidaksempurnaan di pihak suami yang berlaku, dapat menjadikan isteri lebih
bersabar kerana setiap mehnah pasti beriring hasanah jika jalan menanggapinya
juga menuruti tuntunan ALLAH.
d. Usah terlalu berharap
untuk men’dengar’kan apa yang seorang suami bicarakan tentang kasih sayangnya
tetapi lihat apa yang dilaksananya bagi menzahirkan rasa cinta. Saya
percaya, ramai wanita bersetuju bahawa lelaki yang baik kurang cekap bermain
kata, tetapi ‘fasih’ mengotakan amanahnya. Jadi, untuk seorang isteri lebih
mengenali suaminya, lihat apa yang dilakukannya. Seorang lelaki boleh berbicara
sebanyak mungkin kata–kata cinta pada seorang wanita, tetapi untuk menilai
kejujuran cintanya, lihat apa yang dilaksananya
sebagai manifestasi dari jiwa.
Akhirnya, renungi pujukan lembut
ILAHI ini seeratnya; bukan semua yang baik itu adalah baik juga menurut
ilmu-NYA, manakala tidak semua yang buruk itu juga adalah buruk pada
pengetahuan Yang Maha Esa :
Maksudnya : Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu
tidak mengetahui." ( Surah al Baqarah ayat 216 )
Semoga setiap badai yang menerpa
akan semakin menguatkan layar bahtera mahligai kita semua untuk menuju destinasi
yang dirindui bersama mereka yang kita cintai; Syurga nan abadi, ameen Ya
Rabbal ‘alamin.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.