28 June 2009

ALAHAI..MALUNYA!


Mahu saja saya lari. Tapi kaki bagaikan terpasak, tidak bergerak. Mata saya memandang matanya. Kami saling bertentang pandang.
Ini pertama kalinya saya begitu dekat dengannya. Sebelum ini, saya hanya melihat dia dari balik pintu kaca. Namun, pertemuan kali ini sangat tiba-tiba. Sungguh saya tidak menyangka bertemu dengannya dalam jarak hampir sebegini. Dada saya berdebar. Mulut saya terkunci.

GERAM
“ Ya Allah, memang Israel Laknatullah..jahat, kejam..” mulut saya menyumpah geram.

Pemandangan di depan mata tidak mampu menyekat mulut saya dari berkata begitu. Terpampang pada kaca televisyen, seorang petugas keamanan Palestin mengangkat satu objek seperti anak patung. Namun bila diamati betul-betul, ia adalah mayat seorang bayi yang telah mengeras, tertimbus di balik runtuhan batu-batu dan kepingan kayu. Sesiapa yang melihat pasti belas. Simpati, dan marah yang amat pada kekejaman Rejim Zionis Israel.

Sepanjang tiga tahun menghuni bumi Irbid di Jordan, selama itu juga hampir saban hari saya melihat kezaliman dan kerakusan tentera Israel membunuh warga Palestin. Rata-rata mangsa mereka adalah golongan lemah dan tidak mampu melawan. Mereka terdiri dari wanita dan kanak-kanak termasuk juga golongan warga emas. Apalah daya mereka untuk bertindakbalas. Sebiji bom gugur ke bumi, jasad mereka hancur terkubur. Sebutir peluru mengenai tubuh, darah merah mereka menyimbah tanah. Tidak lagi bernafas.

Malangnya kesan kekotoran tangan-tangan rakus Israel ada di mana-mana. Ramallah, Tebing Gaza, Rafat, Jenin dan Al-Khalil telah ramai menjadi mangsa. Ibu meratapi pemergian anak. Isteri menangis kehilangan suami.


‘ANJING’ ZIONIS PEMBOHONG
Telah terlalu lama tanah Palestin dijajah. Bumi yang di dalamnya berdiri Masjid al Aqsa. Kiblat pertama umat Islam sedunia. Namun setelah pendudukan haram warga Yahudi pada tahun 1948, bumi Palestin menyaksikan sedikit demi sedikit tanah mereka dirampas. Hanya yang tinggal kini, sebahagian Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

“ Kami bertindakbalas terhadap Hamas. Mereka teroris yang mesti dihapuskan !” Sungguh angkuh nada suara jurucakap tentera ‘anjing’ Israel. Siaran berita petang itu melaporkan kejadian pengeboman terbaru di tengah-tengah rakyat awam Palestin di Jurusalem.

Meluap kemarahan saya. ‘Pembohong ! Hujah palsu’ desis hati. Jika dia ada di depan saya, pasti saya beri sebiji dua penumbuk lesung batu ke wajah bongkak itu. Menyampah! Meluat! Berselindung di sebalik operasi menghapus teroris kononnya. Bukan dunia tidak tahu tujuan dari perlakuan jahat mereka.

Sepanjang pertempuran, tentera Israel sebenarnya yang terlebih dahulu bertindak membedil kawasan penduduk Palestin. Melancarkan roket di malam hari dan mensasarkannya ke perkampungan awam. Selain itu, pelbagai kemudahan turut diserang, masjid dan sekolah dibom, jalan raya dirosak hancur, malah stesen janakuasa turut diletupkan untuk mengekang kemaraan warga tempatan. Lantaran itu, Hamas membalas balik dengan serangan demi serangan.


TIADA LAGI KETAKUTAN
“ Kami tidak punya apa-apa lagi untuk kami rasakan kehilangannya kecuali maruah dan iman. Dan ini yang akan kami pertahankan sehingga akhir hayat dikandung badan. Kami akan terus berjuang. Walau pendek atau panjang, dekat atau jauh. Namun kami yakin, kemenangan itu hampir untuk mereka yang berjihad di jalanNya. Sama ada kami menang atau kami syahid kerananya. Palestin milik umat Islam, dan janji kami untuk mengembalikan kedaulatan silam. A’aiduun!” Laung pemuda pejuang Bridget Izzuddin al Qassam.

Sungguh, saya kagum dengan kekentalan semangat dan kesabaran mereka. Telah berpuluh tahun mereka diasak dengan serangan bertubi tentera Zionis Israel. Akan tetapi kehidupan mereka tetap berjalan seperti biasa. Tiada riak bimbang, apatah lagi rasa takut untuk mendepani hujan bom dan ledakan mortar musuh. Solat berjamah tetap berjalan. Sementara kanak-kanak masih setia ke sekolah walau yang bersisa hanya bumbung dan dinding yang kopak.

Kaum wanita keluar bersama saudara-saudara perempuan dan anak-anak kecil mereka. Melalui jalan yang dikawal ketat dengan pasukan bersenjata Israel dan kereta kebal di sisi. Mereka berjalan tanpa sedikit pun rasa gusar. Sebaliknya mereka bangga untuk terus hidup dan bergerak di atas tanah yang sememangnya milik mereka.


ANJING GARANG
“ Anjing aku memang tak baik sangat.” Seakan terngiang-ngiang perbualan singkat jiran sebelah dan suami tempohari.

Entah kenapa hari ini. Anak kecil jiran sebelah membuka pintu depan. Anjingnya yang garang menerpa ke halaman. Kebetulan ketika itu, saya dan dua anak kecil saya, Khalil dan Solehah melintas berjalan menuju ke sekolah. Petang itu, seperti hari-hari biasa, kawasan perumahan Barbara Avenue sunyi. Jarang sekali kelihatan kereta lalu lalang, demikian juga pejalan kaki.

‘Bagaimana kalau dia menggigit..atau mengejar kami?’ bertalu-talu suara hati saya meluahkan ketakutan. Anehnya, Khalil memandang selamba. Solehah juga diam, tidak menangis. Bagaikan tidak ada apa-apa yang luar biasa.

“ Allahu Akbar ! Allahu Akbar !” Hanya dua kalimah itu mula-mula terlintas dalam ingatan sebaik anjing itu berada betul-betul di tepi anak lelaki saya. Bimbang sungguh saya saat itu.

“ Kami tak kacau kamu, jangan ganggu kami.” Saya berkata dalam Bahasa Melayu sambil mata tepat memandang anak matanya. Mulut saya terkumat-kamit membaca beberapa ayat Al-Quran. Syukur, anjing itu hanya diam memerhati, tidak berganjak sedikit pun.

Melihat itu, cepat-cepat saya menarik tangan Khalil dan menolak kereta sorong Solehah. Alhamdulillah..dia tidak mengejar kami.


ALAHAI.. MALUNYA !
“ Khalil tak takut tadi?” soal saya menduga anak bujang yang masih berjalan selamba. Hairan juga saya dengan riak wajahnya yang tenang seolah-olah tidak berlaku apa-apa.

“ Khalil tak takut pun,” jawabnya jujur.

Alahai..malunya saya mendengar jawapannya. Terasa betapa diri saya terlalu kerdil saat itu. Menyangka yang bukan-bukan sedangkan pergantungan pada Allah tidak saya dahulukan.

Ingatan saya terbang mengingati saudara seakidah di Palestin. Mungkin ini yang menjadi salah satu nadi kekuatan mereka menghadapi kekejaman Israel.Pergantungan yang tuntas hanya kepada Yang Maha Kuasa. Tiada lagi yang mereka takuti selain DIA. Tiada lagi yang mereka bimbang selain mengharap syahid dalam berjuang.

“ Ya Allah, bantu hambaMu yang hina ini untuk membersihkan hati. Menggilap jiwa hanya dengan rasa takut yang sebenar kepadaMu. Tiada lagi sisa ketakutan kepada selainMu. Ketakutan yang menghijab kasih cintaMu dari terus menyinari kehidupan ini. Jadikan aku di kalangan mereka yang cintakan perjuangan di jalanMu, orang-orang yang Engkau firmankan :

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka. (Surah Muhammad ayat 7-8)

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (Surah Al-Ankabut ayat 69). Ameen Ya Rabbal ‘alamin. ”


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

21 June 2009

AYAH SAYA DAN AYAH MEREKA

Jumaat lalu, suami saya pergi lagi. Kali ini, menghala ke utara. Dundee, di Scotland. Seperti biasa, sebelum berpergian, keperluan rumah semuanya telah dicukupkan. Tidak perlu saya keluar untuk membeli apa-apa yang kurang. Tinggal lagi saya menjadi pemangku sementara jawatannya sebagai nakhoda dalam bahtera keluarga.

“ Ayah pergi mana, Ummi?” Khalil anak bujang saya, kerap bertanya soalan yang sama setiap kali ayahnya tiada.

“ Ayah pergi ceramah, “ balas saya tiga patah sambil mempamer senyuman pada wajah.

“ Oo… Ayah pergi ceramah,” Khalil mengulang ayat saya. Namun, selang beberapa ketika, dia akan bertanya soalan serupa dan itu juga jawapan saya kepadanya.

AYAH SAYA
Dari jauh terdengar deruman enjin motor ayah. ‘Ayah dah habis menoreh,’ desis hati saya. Begitulah rutin ayah setiap hari sebagai peneroka felda. Jika cuaca baik dan cahaya mentari memancar indah, ayah akan ke kebun getah yang jauhnya hampir 2 kilometer dari rumah.

Sebaik ayah sampai di halaman, enjin motor dimatikan. Ayah turun dan terus ke belakang menuju ampaian.

“ Dah balik bang ?” sapa emak yang sedang menggoreng ikan. Ayah hanya membalas dengan anggukan. Ayah membuka baju. Baju itu ayah perah lalu ayah sidai di ampaian tengah. Bagaikan kain yang baru habis dicuci, basah lencun dengan air bilasan, begitulah curahan peluh ayah.

“ Kasihan ayah, tentu penat,” bisik saya sendiri. “ Ina janji ayah, Ina akan belajar bersunguh-sungguh. Ina nak hantar ayah pergi Mekah” hati saya berbisik lagi. Terasa bagaikan ada titisan air jernih menuruni pipi. Saya menangis. Hiba melihat banyaknya keringat yang mengalir dari tubuh ayah untuk membesarkan kami sembilan beradik.


AYAH MEREKA
“ Ayah selalu pergi ceramah. Kan Ummi?” kata Kak Ngah bertanya soalan yang telah lebih dulu dijawabnya.
“ Ye. Sebab ayah nak berkongsi rezeki dengan orang lain, “ balas saya mengingatkannya.

“ Kenapa pula nak kongsi rezeki ? Bukan dulu Ummi kata, seorang ayah tugasnya mencari rezeki untuk keluarga ?” tanya Kak Long dalam nada kurang setuju. Kak Ngah di sebelahnya mengangguk-angguk kepala. Seiya sekata.

“ Betul kata Kak Long tu. Seorang ayah bertanggungjawab mencari rezeki untuk anak dan isteri. Bekerja untuk pastikan makan, pakai dan tempat tinggal cukup untuk keluarga. Tapi, Kak Long dan Kak Ngah juga perlu tahu. Rezeki yang Allah beri bukan satu. Ada banyak lagi yang Kak Long, Kak Ngah patut tahu. Anak-anak, kesihatan, harta kekayaan, pangkat dan jawatan, termasuk juga ilmu pengetahuan juga adalah rezeki dari Yang Esa,” jelas saya.

“ Kalau dulu Atuk bekerja membanting tulang empat kerat untuk menyara keluarga. Ayah Kak Long dan Kak Ngah pun macam tu juga. Cuma ayah tidak menggunakan tenaga, tapi ayah menggunakan otak, berfikir dan berusaha mendapatkan ilmu yang bermanfaat untuk agama dan umatnya. Sebab itu, ayah selalu ke sini dan sana. Semuanya untuk berkongsi rezeki ilmu pengetahuan yang telah Allah beri supaya manfaat dan faedahnya dapat dinikmati semua, “ saya menghuraikan lebih panjang lagi. Saya mahu anak-anak menghargai pengorbanan ayah mereka sebagaimana saya menghargai jasa bakti ayah saya. Atuk mereka.


TIDAK TERBALAS
Seorang ayah dengan tanggungjawabnya mencari nafkah keluarga dan memastikan pendidikan anak-anak terjaga sehingga mereka dewasa. Sungguh besar jasa dan bakti yang diberikan olehnya. Tidak terbalas walau dengan segunung emas.

Apa yang boleh dilakukan adalah ucapan terima kasih yang diseiringkan dengan penghormatan yang tulus ikhlas sebagai menghargai lelah dan payah, sukar dan susah seorang ayah membesarkan anak-anak. Terdapat beberapa ayat yang menyeru manusia agar beribadah hanya kepada Allah dan kemudian tidak pula lupa berbakti kepada ibu juga ayah . Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan ( ingatlah ) ketika Kami mengambil perjanjian dengan Bani Isra’il, agar kalian ( wahai Bani Isra’il ) tidak beribadah kecuali kepada ALLAH, dan agar kalian berbuat baik kepada kedua orang tua.” (al Baqarah ayat 83)

Di dalam surah al Isra’ pula, Allah SWT sekali lagi menyebut melalui firmanNya yang bermaksud :

“ Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kalian jangan beribadah kecuali kepadaNya, dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua.” (al Isra’ ayat 23)

Selain itu, berdoa dengan merendahkan diri juga merupakan cara yang diajar oleh Allah SWT sebagai penghargaan kepada jasa dan pengorbanan orang tua, iaitu ibu dan pastinya juga seorang ayah. FirmanNya di dalam surah al Isra’ ayat 24 yang bermaksud :

"Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Juga di dalam surah Ibrahim ayat 41 yang bermaksud :

"Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan."


AYAH SAYA DAN AYAH MEREKA
“ Ummi, Kak Long Kak Ngah ada buat kad, “ kata Kak Ngah dengan wajah cerah. Tangannya memegang kad yang di buat khusus untuk ayah.

“ Alhamdulillah, cantik kad yang anak-anak Ummi buat ni, “ ulas saya melihat kad hasil buah tangan permata hati. Berseri-seri wajah mereka bila dipuji.

“ Ini salah satu cara menghargai ayahkan, Ummi ?” Kak Long meminta jawapan pasti.

“ Ye, tapi jangan sekali-kali lupa ucapan terima kasih dari mulut sendiri. Juga doa agar ayah diberi kesihatan untuk terus berkongsi rezeki, ikhlas hati dan tabah menerima sebarang cabaran dan dugaan dari Ilahi,” kata saya lagi. Mereka tersenyum, mengangguk kepala tanda mengerti.

Ayah saya, mencari rezeki dengan mengalir keringat yang mencurah ke bumi. Ayah mereka, berkongsi ilmu dan pengetahuan untuk kebaikan umat di masa depan. Kedua-dua mereka sama berjasa, sama berbakti.

Terima kasih ayah, ayah tiada duanya. Juga Syukur padaMu ya Allah, atas anugerah seorang ayah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
27 Jamadilakhir 1430
21 Jun 2009

19 June 2009

KAK LONG, KAK NGAH JADI 'TOM YAM' !

Nampak bertenaga sekali Mr Foster, selaku Headteacher di Humberstone Junior School mengendalikan perhimpunan pagi itu. Saya dan suami berkesempatan untuk hadir bagi meraikan sesi penerimaan anugerah untuk para pelajar yang terpilih. Salah seorang daripada mereka ialah anak kedua kami, Najwa Safiyyah.

Mr. Foster membaca satu persatu nama-nama pelajar yang menerima anugerah. Mereka yang telah bersedia berbaris di hadapan pelajar-pelajar lain kelihatan tersenyum-senyum bangga dan gembira. Tangan menerima anugerah berupa sijil penghargaan, sambil mulut menutur terima kasih sebagai balasan. Ada yang menerima anugerah atas perhatian dan sikap ambil berat yang ditunjukkan terhadap rakan-rakan. Ada juga yang memperolehinya kerana kesungguhan menyiapkan tugasan, dan ada juga yang menerimanya kerana cemerlang dalam sukan. Pendek kata setiap pelajar diberikan kredit atas kelebihan masing-masing dan kerana perbezaan itu mereka menerima pujian serta penghargaan.
Bila tiba pada nama anak kedua kami, Mr. Foster membaca :
“ TEACHER’S AWARD :
Presented to Najwa ( 3 FS ) for Working really hard on her handwriting”
Alhamdulillah, saya melafaz syukur pada Ilahi. Sampai juga masanya untuk Kak Ngah pula menerima anugerah.
Selesai sesi anugerah, para pelajar menyanyikan pula lagu rasmi sekolah. Bersemangat sekali mereka menyanyikannya bersama guru-guru. Saya, suami dan sebahagian lain ibu bapa yang hadir memandang ceria. Antara lirik lagu sekolahnya :
We are the children of Humberstone,
We take a pride in the things we do,
Learning together and having fun,
Who’s got a good day? EVERYONE!

BELAJAR DAN BERGEMBIRA BERSAMA
“ Kak Long, Kak Ngah. Tolong Ummi kemas mainan dan buku-buku ni, “ pinta saya. Kak Ngah yang sedang melukis terus datang mendengar permintaan saya.
“ Kak Long, jom la tolong Ummi, “ Kata Kak Ngah melihat Kak Long masih belum berganjak dari sofa. Sedang asyik membaca buku cerita kegemarannya, Felicity’s Wishes : Designer Drama karya Emma Thomson.
“ Ala, kejap la. Kak Long nak habiskan baca buku ni. Semalam Kak Long dah tolong Ummi. Hari ni Kak Ngah la pulak. Takkan asyik Kak Long aja,” jawab Kak Long pula. Masih belum beralih muka dari buku yang dibaca. Masam muka Kak Ngah mendengar jawapan darinya. Saya yang sedang menyusun buku-buku bacaan anak-anak pada rak tersenyum sambil mengeleng-geleng kepala.
Fikiran saya terlintas sesuatu. Pengamatan saya ketika sesi anugerah dan perhimpunan pagi Khamis lalu boleh saya terapkan untuk menyelesaikan ketidapuasan hati anak-anak tadi.
Saya tertarik dengan mesej yang disampaikan di dalam lagu sekolah anak-anak. Di samping menonjolkan kelebihan yang ada pada setiap pelajar yang kemudiannya diterjemahkan melalui anugerah. Para pelajar juga diseru untuk memainkan peranan melalui kelebihan yang mereka ada. Mesejnya, ‘Berikan apa yang anda ada, anda ada banyak untuk dikongsi bersama. Berikan ia dengan sepenuh jiwa, berikan ia dengan sepenuh minda’.
Pelajar-pelajar disaran belajar dan bergembira bersama. Yang mahir menggunakan komputer, boleh mengajar kawan-kawan lain yang masih belum menguasai dengan baik. Demikian juga, pada pelajar yang memiliki tulisan kemas dan cantik, boleh memberi tunjuk ajar kepada kawan-kawan lain bagaimana mahu menulis dengan kemas dan rapi. Natijahnya, setiap individu pelajar akan melalui hari persekolahan yang baik. Begitu juga pastinya terhadap guru-guru yang mendidik.

NASI PUTIH KOSONG
Saya terus ke dapur. Saya ambil talam empat segi. Saya isi dengan nasi putih kosong. Setelah itu, saya hampar pula lapik plastik lalu terus memanggil anak-anak makan bersama.
Selesai membaca doa dan bismillah, saya mula makan nasi. Solehah ikut makan melihat saya mula menjamah makanan. Tetapi Kak Long, Kak Ngah dan Khalil saling berpandangan.
“ Ummi, takkan makan nasi je. Mana lauknya?” Kak Long bertanya dengan wajah hairan.
“ Khalil nak ayam goreng,” Khalil mula bersuara nyaring. Saya terus diam dan menjamah nasi putih tanpa lauk dan ayam goreng.
“Ummi, mana sedap makan nasi je,” Kata Kak Ngah pula. Mendengar itu, saya mengangkat kepala. ‘Sampai masanya,’ bisik saya.

MAINKAN PERANAN
“ Sedap je makan nasi putih tanpa lauk ni,” kata saya menidakkan tanggapan Kak Ngah.
“ Tapi kalau makan dengan lauk, sayur dan ayam goreng lagi sedap hingga menjilat jari, “ kata saya lagi. Kak Long dan Kak Ngah masih berkerut dahi.
“ Kak Long tak faham, “ celah Kak Long sementara Kak Ngah terus diam.
“ Begini. Nasi putih, lauk sayur dan ayam goreng ni umpama satu keluarga. Boleh makan nasi putih saja, tapi kalau lengkap dengan lauk dan sayurnya, kelazatannya lebih terasa. Kita makan pun lebih berselera. Betul tak?,” soal saya lagi disambut anggukan kedua-dua mereka.
“ Ha..begitu juga dalam keluarga. Kalau semua orang dalam keluarga mainkan peranan, tentu kerja jadi ringan. Contohnya Kak Long pandai dan rajin membaca, boleh tolong ajarkan Khalil dan Kak Ngah belajar, Kak Ngah pula rajin jaga Solehah dan Khalil, boleh tolong Ummi jaga adik-adik. Sementara Ummi memasak, dan ayah pula sedang buat kerja, menulis dan tolong Ummi mengemas juga, Kak Long dan Kak Ngah pun boleh tambah ceria dengan bantu kemas juga. Dengan cara tu, semua kerja jadi mudah dan boleh siap dengan lebih cepat, barulah kita ada banyak masa untuk bermain dan bercerita bersama. Akhirnya, semua orang akan rasa seronok dan gembira.”

KAK LONG, KAK NGAH JADI TOM YAM !
“ Oo..Ummi dan ayah macam nasi putih. Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah pula macam lauk, sayur dan ayam goreng la ye Ummi,” Kak Long membuat kesimpulan.
“ Ye, pandai pun,” puji saya.
“ Ummi masak lauk apa hari ni ? “ tiba-tiba Kak Ngah mencelah mengingatkan. Pantas saya ke dapur semula mencedok lauk tom yam dan mencapai beberapa ketul ayam goreng di dalam pinggan.
“ Wah! Bestnya. Kak Long, Kak Ngah jadi tomyam, Khalil dan Solehah jadi ayam goreng. Jom makan!” Kak Long berjenaka.
Aduhai..anak-anak. Senyum sendiri saya..masih menggeleng kepala.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
25 Jamadilakhir 1430
19 Jun 2009

14 June 2009

ABANG, ANAK KITA DAH BESAR..


“ Seronok tengok Ina..sibuk dengan baby,”. Tiba-tiba terpacul ayat itu dari mulut Kak Hasni. Saya memandangnya, hanya tersenyum. Belum mahu bersembang sepatah kata pun. Sibuk menukar lampin sambil mengagah si kecil.

“ Adakalanya, bila anak-anak dah dewasa ni, perasaan risau makin menjadi-jadi. Fikir-fikir, ada baiknya mereka kecil sampai bila-bila, “ luah Kak Hasni lagi. Ada nada bimbang pada getar suaranya.

“ Kenapa kak ?” soal saya pula setelah selesai menukar lampin. Si kecil saya biarkan berbaring, bermain-main dengan jari tangan dan kaki.

“ Entahlah..walaupun kecil-kecil dulu mereka hanya tahu berbaring, bila lapar, menangis. Kencing dan berak pun menangis. Tapi mereka tetap ada depan mata kita, “ Kak Hasni berhenti. Pandangan matanya jauh dilempar ke luar jendela. Anak-anak saya dan sepupu-sepupu mereka sedang riang bermain sambil menghirup udara petang. Hanya di kampung sahaja mereka boleh bebas bermain di halaman. Kalau di Puchong, pasti saya perlu temankan. Tidak berani membiarkan mereka tanpa pemantauan.

“Bila anak-anak dah besar, langkah mereka dah makin panjang. Dah ramai kawan-kawan. Selalu di luar, di rumah dah makin kurang. Bila memikirkan keadaan dunia hari ini yang tak sama macam dulu..bimbang,“ keluh Kak Hasni lagi sambil memegang tangan si kecil. Saya hanya mengangguk. Faham dengan kerisauan yang bertandang.

JANGAN PANIK
Saya pernah melalui masa-masa mencabar itu. Mencabar, dalam penilaian dan tanggapan usia saya kini sebagai seorang ibu. Namun bagi anak-anak yang sedang menikmatinya, tentu sahaja merasa bagaikan berada dalam satu dunia baru, dunia remaja.

Dalam alam baru ini, anak-anak sudah mula melihat dunia dihadapannya sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk mereka terokai. Semuanya bagai daya tarikan magnet untuk mereka mendekat, melekat dan merasai kelainannya berbanding alam kanak-kanak dahulu. Jika suatu ketika pada usia enam tahun mereka masih lagi riang bermain anak-anak patung atau kereta mainan, membaca buku cerita dan majalah komik kanak-kanak sambil tertawa mengekek; tetapi pada usia sepuluh tahun kemudiannya mereka mungkin sahaja asyik membelek wajah pada cermin muka atau menunggang motorsikal dengan gelak dan tawa bersama kawan-kawan mereka, juga membaca novel-novel cinta dengan sendu tangis hiba.

“ Jangan panik, “ nasihat seorang kakak yang sudah punya anak tujuh.

“ Bukan bermakna kita tidak ambil kisah. Kita peduli, namun dalam masa yang sama kita mengikuti perubahan itu sebagai sesuatu yang positif dalam perjalanan hidup seorang anak yang sedang meningkat dewasa,” tambahnya lagi, optimis.

“ Tapi kak, dunia hari ini tak sama seperti kita dulu. Dulu aman, sekarang penuh kerisauan. Nak melepaskan anak pergi sekolah berjalan kaki pun, rasa bimbang, “ kata saya pula. Sekadar membuka topik perbincangan agar lebih berpijak di bumi nyata.

Dia merenung ke anak mata saya. Dalam. Saya membalas renungannya penuh mengharap. Saya tahu dia punya alasan dan jawapan atas setiap bilah kata yang dilontarkannya tadi. Dia seorang ibu yang sudah punya anak remaja. Pasti dia lebih memahami kerana masa-masa gawat itu sedang dilaluinya.


MASIH BELUM CUKUP
“ Persediaan dan bersedia,” jawabnya pendek.

“ Maksud kakak ?” soal saya, minta penjelasan.

“ Kasih sayang semata-mata masih belum cukup, Ina, “ balasnya sambil memandang langit biru. Mendengar itu lidah saya terus kelu.

“ Kakak bukan menafikan kepentingan kasih sayang. Betul, kita memang perlu memberi kasih sayang kepada anak-anak. Belaian, ciuman, makanan yang halal dan sihat, sakit demam yang dijaga dan diberi ubat dan lain-lain lagi. Semua itu perlu, tetapi di samping itu ada beberapa perkara lagi yang juga harus kita ambil perhatian.," jelasnya panjang.

“ Contohnya, kak ? “ saya mencelah bertanya. Terasa perbincangan petang itu semakin menarik untuk saya berbual lebih lanjut bersamanya. Dia memandang saya, tersenyum. Manis sekali. Melihat senyumannya saja sudah cukup menggambarkan ketenangannnya berhadapan dengan kerumitan dunia anak-anak yang sedang meningkat usia.

“ Banyak, Na. Disiplin diri, nilai-nilai dan adab sebagai seorang Muslim, kebolehan untuk membina hubungan baik bersama orang lain di sekitarnya, keutamaan ilmu dan beramal dengannya, kefahaman yang benar tentang nilai wang ringgit terutama dalam dunia materialistik hari ini dan berbagai lagi yang memerlukan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar dari kita sebagai ibu dan bapa. Orang tua yang lebih dulu merasa masinnya garam walaupun mungkin bukan kita yang lebih dulu merasa lazatnya kentang putar dan burger keju,” katanya lagi disambut ketawa kecil saya.


JANGAN BERTANGGUH
“ Kalau begitu, sukar sungguh menjadi ibu bapa zaman millennium ni ye kak ? Panjang betul senarai tugasan kita, “ luah saya separuh mengeluh.

“ Memang tidak mudah. Kerana itu kakak selalu mengingatkan diri untuk bermula dari mereka kecil sebelum menginjak dewasa. Saat mereka masih di keliling kita sebelum mereka beransur pergi untuk berdikari sendiri. Jangan bertangguh! Ajar anak-anak tentang keutamaan menggunakan lima perkara yang disebut di dalam sabda Baginda sebaiknya. Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)”.


KASIH SAYANG YANG PERLU
“ Abang, boleh As tanya sesuatu ?” Saya memulakan bicara usai makan malam berlaukkan ayam masak merah dan nasi putih. Masa lapang bersama suami kala dia tidak mempunyai komitmen ceramah, program dan penulisannya perlu saya manfaatkan untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran. Sementelah saya juga masih ada persoalan dalam benak fikir tentang perbualan petang tadi.

“ Apa pendapat abang, kasih sayang sahaja masih belum cukup untuk membesarkan anak-anak?”tanya saya kepada suami tercinta.

“Kasih sayang semata-mata memang tak cukup, kasih sayang yang 'cukup' adalah kasih sayang terpimpin dengan panduan dan displin. Namun perlu diingat, kasih sayang umpama sebuah batu asas yang wajib dipupuk oleh ibubapa ke dalam diri dan hati anak-anak sewaktu usia 7 tahun pertama khususnya. Bagi mereka yang berjaya mewujudkan perasaan ini, peluang untuk membimbing dan mengawal anak-anak ketika umur remaja lebih besar dan mudah. Kerana setiap arahan dan kata-kata ibu bapa akan diterima oleh anak-anak sebagai kata-kata dari mereka yang dikasihi dan bukan sebuah beban. Namun tanpa kasih dan cinta, apa sahaja perkataan ibu bapa kelak akan menjadi satu leteran yang amat membosankan, lebih parah ia dianggap sebagai beban yang sangat menyusahkan” jawab suami menjelaskan sudut pandang.


CARA LEMBUT DIUTAMA
“ Maknanya, ibu bapa perlu mendahulukan pendekatan lemah lembut dalam keseluruhan tempoh pendidikan anak-anak. Begitu maksud abang ?” Soal saya lagi sekadar berbasa basi untuk mencungkil lebih lagi huraian dari suami.

“ Begini..cuba kita buat statistik teguran, kata-kata dan memek wajah kita semasa berhadapan dengan anak-anak dan karenah mereka. Jika pendekatan yang keras beriring masam di wajah melebihi 40 %, itu tanda cerah untuk gagal dalam memegang hati anak-anak. Lembut tidak beerti memanjakan, tetapi lembut adalah dengan tujuan, ada panduan dan ketegasan dalam hal prinsip,” kata suami memberi justifikasi.

“ Mengapa perlu lembut sebagai asas pendidikan anak-anak?”tanya saya lagi. Tersenyum suami mendengar soalan saya ini.
“Jika Nabi s.a.w mengarahkan kelembutan dan kelunakan sebagai asas membawa manusia kepada Allah swt, apatah lagi dalam usaha membawa keluarga dan anak kepada agama tentulah juga kelembutan dan kelunakan menjadi keutamaan.
Nabi SAW bersabda :
“Sesungguhnya agama ini adalah kukuh, maka oleh kerana itu serulah ke dalamnya dengan kelembutan”

Firman Allah SWT pula di dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud : ”Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu…”.


ABANG, ANAK KITA DAH BESAR
“ Kak Ngah, kenapa main dengan anak patung ? Kak Ngah tak boleh main anak patung dah la..Kak Ngah dah 8 tahun. Kak Long..dah tak suka main anak patung lagi, “ Kata-kata Kak Long jelas dan terang masuk ke pendengaran saya dan suami.

“ Apa salahnya..Ala, Kak Ngah tau Kak Long suka tengok jewellery sekarang ni. Kalau pergi carboot sale, nampak je rantai dan cincin manik Kak Long tentu cakap, Wah! Cantiknya..kan..kan” usik Kak ngah pula di sambut ketawa mereka bersama.

Mendengar itu, saya dan suami saling berpandangan.

“ Abang, anak kita dah besar,” luah saya penuh makna. Jangan panik, jangan bertangguh dan berikan kasih yang perlu…detik hati.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.


20 Jamadilakhir 1430

14 Jun 2009

5 June 2009

JANGAN TERKUNCI HATI

“ Ya Allah! Kak Ngah. Kenapa tutup pintu..Ummi tak ambil kunci lagi,” kata saya kaget.



“ Macam mana kita nak masuk rumah nanti ?” tambah saya lagi dengan nada marah. Tajam mata saya memandang Kak Ngah. Geram sungguh saya dengan tindakannya itu.



“ Biasanya kan Ummi yang tutup pintu. Kenapa hari ni Kak Ngah nak tutup pula. Cuba buka..boleh ?” marah saya lagi. Berair anak mata Kak Ngah mendengar kata-kata saya. Kak Long dan Khalil yang melihat juga terdiam tanpa kata.



Pagi ini, saya sendiri akan menghantar Kak Long dan Kak Ngah ke sekolah. Memandangkan jarak antara rumah dan sekolah tidak berapa jauh, ditambah keberanian yang belum ada pada diri saya untuk memandu Honda Shuttle, saya lebih senang menapak ke sekolah bersama anak-anak. Selepas Solehah dan Khalil saya pakaikan kasut, saya keluar untuk meletakkan Solehah di dalam kereta sorong. Namun, sebaik saya menoleh untuk mengambil kunci pada pintu, Kak Ngah telah menarik tombol. Tutup. Terkunci !



Ini merupakan kejadian pertama. Kebiasaannya sebelum keluar saya akan pastikan kunci telah saya ambil. Bimbang, memandangkan pintu hadapan rumah ini mempunyai fungsi ‘double-lock’. Jika ditutup dari luar, ia akan terkunci sendiri.



Buntu fikiran saya. Saya tidak punya kunci pendua. Kebetulan suami juga tiada, seawal 6.30 pagi telah bertolak ke Lampeter, Wales untuk bertemu penyelia tesis Phdnya. Mahu menghubungi ejen rumah, nombor telefon mereka tiada dalam simpanan saya. Bateri telefon bimbit juga lemah, semuanya bagai lengkap untuk menambah lagi kusut fikiran saya. Akhirnya, terlintas satu nama.



“Salam, Min. Kak Ina nak minta tolong. Urgent! Kak Ina tertinggal kunci kat dalam rumah…” pantas tangan saya menaip pada butang telefon bimbit sambil kaki melangkah longlai ke sekolah. Awan mendung yang melata di atas menambah suram perjalanan pagi ini. Kak Long, Kak Ngah dan Khalil berjalan di hadapan. Masih diam. Saya yang berjalan di belakang juga senyap, bungkam. Masih sebal, kesal dan tidak henti-henti mempersoalkan salah anak kedua saya.

Dalam perjalanan pulang, saya menerima panggilan telefon dari Min. “Alhamdulillah! ” seru saya di dalam hati. Min, suaminya Mahyudin dan iparnya, Nisar serta seorang anak mereka, Aiman akan datang untuk membantu. Bagai hilang separuh kerisauan saya tadi. Dengan pertolongan dan hasil buah fikiran bersama, Min, Mahyudin dan Nisar menjadi ‘Mcgyver’ yang menyelesaikan masalah saya. Pintu rumah kembali terbuka. Gembira di hati saya tidak terkata. Hanya ucapan terima kasih yang dapat saya ucapkan atas jasa baik mereka.


TERKUNCI HATI
Sejak saya mula berkecimpung dalam dunia maya sebagai blogger, kotak emel saya menerima beberapa luahan daripada kaum isteri. Rata-rata mengadu tentang masalah rumahtangga yang mereka hadapi. Kebimbangan mereka menurut penilaian saya, yang juga seorang isteri dan ibu adalah berasas. Segalanya bertitiktolak atas kesedaran isteri-isteri tersebut yang mahukan kerukunan rumahtangga mereka berdiri bersama kesempurnaan pelaksanaan ibadah dan tangggungjawab seorang Muslim beriman.



Kebiasaan buruk dan kelalaian dalam menunaikan ibadah kepada Allah akan menyebabkan banyak kesempitan di dalam dada. Hidup tidak tenteram, hidayah menipis, sudut pandang tidak benar, kebenaran terhijab dan akhirnya dibimbangi hati akan terkunci dari menerima panduan Ilahi. Kesan lain dari ini, keluarga menjadi tidak sakinah dan jauh dari rahmat Allah, anak-anak kian sepi dari hidayah, kehidupan menjadi semakin payah dan seterusnya perasaan akan berterusan resah gelisah. Sedangkan hal-hal yang sebalik dari itu, dapat dizahirkan melalui ketaatan dan ketabahan, bersabar dan selalu memohon keampunan dari Allah.



Hadirnya masalah demi masalah di dalam sebuah rumahtangga yang berhujung dengan perpisahan, berawal dari kelalaian mengingati Allah, mentadabbur ayat-ayatNya dan sering alpa dalam menjalankan syari'at Allah dan Rasulullah. Justeru itu, selagi masih ada kesempatan dan ruang untuk bernafas di bumi Allah, selama itu juga peluang dan pintu untuk bertaubat masih terbuka luas, maka bersegeralah melakukan pembaikpulihan sebelum nyawa dicabut dari badan.

PENDAMPING BERIMAN ASBAB TERBUKA HIDAYAH
Kerana itu, kehadiran pendamping yang beriman tidak kira isteri, ibu, anak-anak, saudara mara dan sahabat taulan sangat penting sebagai membuka jalan ke arah kebaikan agar hidayah Allah kembali tersingkap sinarnya. Tidak perlu mempertikaikan siapa menasihati siapa. Seorang ustaz boleh sahaja melakukan silap lalu diingatkan oleh sahabatnya, seorang jurutera. Seorang suami juga boleh melakukan dosa, lalu disedarkan oleh isterinya. Demikian seterusnya, kerana sifat sedia dibimbing dan membimbing perlu ada dalam diri manusia muslim dan mukmin.



Berikut salah satu emel yang saya terima untuk paparan sebagai teladan kepada pembaca. Ada beberapa ayat di dalamnya telah saya ubah atas sebab-sebab tertentu, namun tidak mengubah maksud asal emel ini dikirimkan.



*************************************************************************************
Salam Kak Ina,



Maaf kerana akak telah dipilih untuk saya meluahkan masalah dan mengharapkan nasihat dan bimbingan. Saya telah berkahwin dan dikurniakan 3 cahayamata.

Kak,
Saya rasa sekarang ini saya sedang mendaki tangga kehancuran rumahtangga saya kak. Saya dan suami sebaya. Masalah utama saya rasa tak boleh nak hormat kat suami saya kak,sebab utama kerana dia ambil lewa bab solat. Sepanjang berkahwin ni, boleh bilang dengan jari berapa kali dia bertanya saya dah solat ke belum, sebaliknya saya pulak yang macam polis tanya dia dah solat ke belum. Dah nak dekat habis waktu barulah dia sibuk nak solat.


Dulu awal-awal kahwin saya cuba utk berlembut dan cakap secara baik-baik, tapi saya rasa tak berkesan sangat. Sampai tahap sekarang dah rasa macam menyindir pulak nada sy suruh dia solat. Patutnya dia yang bimbing saya, bukan saya yg bimbing dia.


Kak, apa perlu saya buat kak? Benda-benda macam ni saya pendam dalam hati, lama-lama meletup. Anak-anak yang jadi mangsa. Suami saya sebenarnya baik kak, jarang la dia tinggi suara dengan saya, marah-marah ke, seorang yang penyayang , bertanggungjawab terhadap keluarga dan parents tapi bab solat tu la....


So bila gaduh benda kecik-kecik akan drag sampai ke soal solat ni, sebab saya tak boleh nak dengar cakap dia. Then kami bila gaduh masing-masing tak akan cakap walaupun duduk satu rumah, paling lama 2 minggu. Anak-anak yang jadi mangsa.


Bila diingat kembali, Ya Allah berdosanye saya ni kak. Tambah pulak bila dah baca kat blog akak pasal isteri penenang suami tu…usahkan nak masuk ke syurga, cium bau pun belum tentu lagi saya ni kak...tolong la bagi bimbingan kat saya ni kak, saya tak nak jadi isteri derhaka...


JAWAPAN SAYA

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, L .

Pertamanya, Kak Ina ucapkan terima kasih atas kepercayaan L untuk menceritakan masalah dan sekaligus meminta nasihat. Kak Ina bukan orang yang layak, tapi atas dasar kita ini bersaudara ( innamal mukminuna ikhwatun...al-Hujurat ) insya Allah Kak Ina cuba berikan apa yang mampu. Sememangnya kita digalak berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran ( al-Asr ).


L, Kak Ina suka nak menyebut di sini bahawa L sangat beruntung sebenarnya mempunyai sebuah keluarga yang baik, suami yang penyayang dan bertanggungjawab, anak-anak yang sihat dan L sendiri, sebagai ibu dan isteri yang hebat bagi Kak Ina. Hebat kerana sangat mengambil berat tugas-tugas sebagai isteri dan ibu juga hal-hal kerohanian untuk jiwa. Teruskan dan kekalkan keutuhan rumahtangga in. Jangan biarkannya hilang dan pergi yang akan disesali kemudian hari.


Kak Ina cuba memahami masalah yang L hadapi. Terus terang, suami L tidak menghadapi masalah yang sangat besar cumanya dia meninggalkan afdhaliyyah dengan gemar solat di akhir waktu. Selagi dia solat di dalam waktu yang telah ditentukan, dia tidak dikira melakukan dosa meninggalkan sembahyang. Dia hanya meninggalkan yang lebih baik sahaja iaitu solat di awal waktu. Justeru, apa yang L lakukan dengan sentiasa mengingatkannya tentang solat adalah sangat baik. Tak perlu timbulkan siapa membimbing siapa. Dalam hal berumahtangga adakalanya, sebagai suami isteri perlu saling ingat mengingatkan supaya segala aspek terjaga.


Pandang dari sudut positif, bahawa Allah mengurniakan L suami begini agar L dapat menjadikannya seorang suami yang baik dengan tidak meninggalkan solat dan L sendiri beroleh pahala dengan sentiasa mengingatkannya. Mungkin sahaja, suami L tidak menjadi seperti hari ini jika bukan L sebagai isterinya,ya kan ? Alhamdulillah, pujian hanya untuk Allah..lazimkannya sebagai lagu bibir yang akan mendatangkan ketenangan jiwa. Kerana, Rasul sendiri pernah bersabda yang menyebut tentang keajaiban seorang mukmin, segala yang ada di hadapannya semuanya baik baginya. Jika dia memeperoleh kesenangan dia bersyukur, dan jika dia beroleh kesusahan dia bersabar. Kedua-duanya sangat terpuji di sisi Allah.


L yang Kak Ina kasihi kerana Allah, bersabar lagi dik untuk hari-hari seterusnya. L mampu insya Allah untuk menjadi isteri solehah penyejuk jiwa. Pohonlah keampunan dari Allah dan pintalah kemaafan dari suami. Kak Ina yakin L sangat menyayangi dan menyintainya. Jangan bimbang dik, selagi kita masih bernafas, selagi itu, kita masih boleh berusaha meraih soleh dan solehah sehinggalah nyawa kita diambil untuk mengadapNya.


Kak Ina rasa setakat ini dulu, moga-moga ada manfaatnya buat L. Kak Ina mohon maaf atas kelemahan Kak Ina memberi nasihat yang dipinta. Segala yang baik dari Allah dan sebaliknya dari kelemahan Kak Ina sebagai manusia.



JANGAN TERKUNCI HATI
Saya menghubungi suami sebaik masuk ke dalam rumah. Bercerita tentang peristiwa terkunci di luar sebelum menghantar anak-anak ke sekolah.

“ Kenapa marah pada Kak Ngah. Abang rasa dalam hal ini As yang salah,” kata suami di hujung talian telefon.

“ As yang salah..Kak Ngah yang tutup pintu tanpa sempat As ambil kunci. Waktu tu As baru saja letakkan Solehah di dalam kereta sorong,” bidas saya. Masih mahu membenarkan kata.

“ Ye, memang betul tu. Tapi, anak-anak melihat kebiasaan yang dilakukan oleh ibu dan bapanya. Selalunya As bawa kunci sebelum keluar. Hari ni As agak lalai, lalu terkunci di luar. Jadi, bukan salah Kak Ngah menutup pintu, tapi silap As yang cuai tidak mengambil kunci seperti selalu,” hujah suami ingin menyedarkan saya.
Astaghfirullah..ya. Saya membenarkan kata-kata suami. Betapa tadi saya ‘terkunci hati’ untuk melihat kesilapan sendiri.


“ Ya Allah, ampuni hambaMu ini. Ampuni dosa-dosaku agar ia tidak menjadi hijab untuk aku melihat kebenaran yang berlaku. Lantaran aku tahu, setiap kebaikan walau sekecil zarah, ada ganjaran di sisiMu. Demikian juga dosa, walau sekecil zarah tetap ada balasannya. Jangan kerana kekhilafanku, anak-anak ‘terkunci hati’ untuk menerima nasihatku selepas ini..”

Petang ini saya menunggu Kak Long dan Kak Ngah di hadapan sekolah. Saya perlu melakukan sesuatu.

“ Maafkan Ummi.Ummi silap kerana marah pada Kak Ngah pagi tadi..tak mengapa terkunci pintu, tapi jangan terkunci hati,”. Saya memeluk Kak Ngah sambil Kak Long tersenyum memerhati. Biarlah mereka tidak mengerti masa ini, pasti suatu waktu nanti mereka akan memahami. Langkah pulang kami ke rumah terasa terang dan tenang. Alhamdulillah, segala puji pada Mu Ya Allah.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




14 Jamadilakhir 1430


8 Jun 2009

3 June 2009

YANG PERTAMA DAN KEDUA


Hari ini saya dan keluarga tidak punya apa-apa rancangan untuk keluar. Adakalanya, cuaca dingin di luar menyebabkan rasa malas untuk bersiar-siar. Suami seperti biasa membaca dan menelaah di bilik bacaan. Anak-anak pula bermain di ruang tamu sambil menonton rancangan kegemaran. Pada hari cuti sebegini, tugas saya dan suami terasa ringan kerana ada dua anak dara kami yang sudah boleh menghulur bantuan.


“ Kak Ngah, tolong Ummi tengok-tengokkan Solehah ye. Ummi nak masak,” pinta saya sambil menyua talam berisi sepiring biskut dan air teh sebagai kudapan ringan sebelum waktu makan tengahari.



“Ok,” jawab Kak Ngah ringkas. Sememangnya dalam hal menjaga adik, Kak Ngah lebih ringan tulang dan tidak banyak soal. Senang hati saya mendengar jawapannya. Saya berlalu ke dapur untuk menyudahkan kerja.



AYAT PERTAMA OK, AYAT KEDUA KO
“ Kak Ngah, tolong ambilkan Kak Long air. Kak Long haus la,” kata Kak Long yang sedari tadi asyik dengan buku cerita.



“ Ala, Kak Ngah tengah tolong Ummi jaga Solehah ni. Tak nampak ke? “ balas Kak Ngah pula sambil terus melayan Solehah.



Mendengar jawapan Kak Ngah, Kak Long bangun dengan wajah masam. Sakit hati barangkali mendengar ayat akhir sebentar tadi. Saya yang mendengar juga terasa bagai ada yang tidak kena. Saya matikan api dapur lalu ke ruang tamu untuk ‘menjernihkan yang keruh’.



“ Kak Long, Kak Ngah. Ke mari sekejap,” ujar saya terus duduk di sofa.



“ Ada apa Ummi ?” tanya Kak Long dan Kak Ngah hampir serentak.



“ Ummi nak cakap sikit. Bolehkan?” kata saya meninjau kesediaan mereka.



“ Boleh,” Kak Long menjawab. Kak Ngah pula hanya mengangguk-angguk mengiyakan.



“ Begini. Tadi Ummi dengar Kak Long minta tolong Kak Ngah, tapi Kak Ngah tak boleh tolong. Ayat pertama Kak Ngah ok, tapi ayat kedua ko,” ujar saya seraya tersenyum memandang wajah mereka.



Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan. Nampak berkerut wajah mereka mendengar bicara saya. Tapi entah kenapa, tiba-tiba pecah ketawa mereka.



“ La, kenapa ketawa pulak, “ giliran saya pula kehairanan melihat mereka tertawa.



“ Ummi cakap tadi tu. Kelakar. Satu ok, satu ko,” jelas Kak Long masih ketawa kecil.



“Oh..maksud Ummi begini. Jawapan pertama Kak Ngah pada Kak Long iaitu Kak Ngah kata sedang jaga Solehah, jadi tak dapat tolong Kak Long. Ayat tu ok. Tapi, jawapan Kak Ngah seterusnya :’Tak nampak ke?” itu ko.



Tak baik cakap begitu. Perkataan macam tu boleh menyebabkan orang yang mendengar sakit hati dan marah. Kalau Kak Ngah atau Kak Long tak boleh bantu cukup dengan terangkan kenapa tak boleh, tak perlu ayat kedua tadi yang menjadikan orang benci dan sakit hati,” jelas saya panjang lebar




PANDUAN DARI NABI
Dalam menjalani kehidupan sehari-hari, tanpa sedar atau tidak kita juga pernah berkata ‘ayat kedua’ yang tidak perlu. Kata-kata yang hanya menghadirkan duka di jiwa, bukan penawar yang menyembuhkan luka. Walaupun perkataan yang keluar itu berunsur nasihat dan ingatan, namun jika terselit ‘ayat kedua’ tadi ia tetap membekas di dalam hati umpama parut dari luka yang telah sembuh.



Lantaran itu di dalam hadis Rasulullah SAW terdapat banyak seruan yang menyuruh kepada berkata yang makruf dan baik sahaja. Jika tidak mampu untuk melakukan itu, diam adalah lebih baik dari berkata-kata yang menyakitkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :



“Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Di dalam hal ini, harus difahami bahawa isi yang baik tetapi jika diterjemah kepada kata-kata dan ayat yang tidak baik, bukan mendatangkan kesan positif, malah bimbang kesan negatif yang akan hadir lebih dulu.



Kerana itu, berfikir dengan zikir sebelum berkata adalah rasional paling baik agar perkataan yang terbit dari bibir berisi peringatan yang lunak dan baik, mengandungi hikmah yang sarat dengan nasihat agar pendengar yang ditujukan kata-kata itu menerima dengan senang hati dan tenang jiwanya.



Sifat orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya, tentu gerun dan takut kepada azabNya. Sebaliknya dia mengharapkan pahala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan laranganNya. Oleh kerana itu, aspek paling penting untuk melaksanakan semua itu ialah menerusi kawalan seluruh anggota badannya kerana kelak dia akan dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan anggota tubuh badannya, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :



“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya”. ( Surah Al Isra’ : 36)




BEBERAPA CONTOH
Saya pernah melalui dan mendengar pengalaman orang lain yang mengalami keadaan, di mana ‘ayat kedua’ yang menyakitkan itu sering kali diucap. Tidak tahu mengapa ia perlu ada bertali seiring ayat pertama yang telah sedap didengar telinga dan telah meresap tenang ke dalam jiwa. Semuanya hilang sebaik ‘ayat kedua’ dilafazkan lalu menerjah gegendang telinga dan masuk menolak kata-kata baik yang pertama.



1) “Puan, kami dah terima surat permohonan (berhenti kerja) Puan. Sayang ye, Puan berhenti di zaman orang lain berebut-rebut mahu bekerja makan gaji,” sinis bicara seorang pekerja di Kementerian Pelajaran.

2) “ Aslina, kenapa adik awak menangis tiba-tiba ni. Gila ke ?” kata seorang guru lelaki kepada adik kembar saya ketika kami masih berusia sangat muda, lapan tahun. Baru darjah dua!

3) “ Saya nasihatkan isteri awak dapatkan rehat secukupnya. Tiap-tiap tahun beranak, awak tak sayang isteri ke ?” ujar seorang doktor perempuan kepada sepasang suami isteri yang baru menimang cahaya mata ketiga.




YANG PERTAMA DAN KEDUA
Dialog dan situasi di atas sekadar contoh yang mana mungkin juga dilakukan oleh kita ketika berkata-kata. Tiada manfaat dari kata-kata seumpama itu, sekadar melambangkan hati yang masih perlu dirawat dan dicuci dengan bisikan zikrullah dan peringatan dari Ilahi. Katakan yang pertama tanpa ada 'yang kedua' yang menyesakkan dada dan menimbulkan luka di jiwa.



Justeru, mulakan hari ini. Ingatkan diri sendiri dan keluarga yang dikasihi.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.



Jumpa lagi, InsyaAllah.




9 Jamadil Akhir 1430




3 Jun 2009

1 June 2009

YA DAN TIDAK : YANG SEMPURNA

Selesai sudah sembilan hari lamanya saya berkelana bersama keluarga ke bumi Eropah. Berjalan, melihat dan mentafsir kebesaran Allah pada setiap bumi yang kami jejaki. Bermula di Lapangan Terbang Bremen, kemudian ke Wolfsburg, Saarbruken dan Abstadt di Jerman kemudian lansung ke Geneva, Swiss dan seterusnya ke Paris. Alhamdulillah, banyak pengalaman baru dapat saya, suami dan anak-anak kutip sepanjang keberadaan kami di sana. Sememangnya pengalaman adalah ‘guru’ yang paling baik untuk mendidik dan memperbaiki diri ke satu tahap yang lebih baik dari semalam dan hari ini demi esok yang masih ‘misteri’ di dalam pengetahuan Ilahi.

Namun, bukan itu tujuan saya menarikan jemari kali ini. Lantaran kepenatan yang masih berbaki, juga pelbagai urusan harian rumah yang tertunggak seminggu masih belum diisi, saya sebenarnya masih belum mahu menulis. Akan tetapi kesempatan sebentar cuma ketika berkelana tempoh hari, dapat juga saya membuka ruang komentar pada tajuk terakhir saya iaitu : Kak Long pun boleh Ummi! Menemukan saya dengan satu komen yang agak lain dari sebelumnya. Agak provokatif dan saya rasa perlu melakukan pencerahan kerananya. Bukan sebab terasa, jauh sekali dari rasa benci dan marah. Sekadar penjelasan bahawa saya dan keluarga masih manusia normal dan bukan luar biasa.

Komen tersebut ditulis oleh seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Anonymous’ berbunyi :

“ Saya ada membaca blog ni 2 3 kali. saya dapati paparan di blog ini terutama yang berkaitan anak2 puan terlalu 'perfect', sampaikan saya terfikir luar biasanya keluarga ini, sempurna sgt2..??!!! apapun, baguslah jika ia bertujuan untuk berdakwah, selamat maju jaya..”

CARA SAYA
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk bercerita dan berkongsi rasa, terutama kepada mereka yang bergelar ‘blogger’ seperti saya. Ada yang suka berkongsi apa sahaja yang berlaku kepada mereka di dalam hidup baik gembira, sedih, ketawa dan tangisan hiba. Ada juga yang sekadar ingin bercerita tanpa tujuan dan pengajaran tertentu di penghujungnya. Dan tidak kurang juga yang mengenengahkan cerita diri dan keluarga sebagai iktibar untuk orang-orang yang membaca.

Saya juga ada cara dan prinsip yang saya pegang dalam setiap penulisan. Cara saya adalah bercerita yang muluk-muluk dan jauhkan yang buruk-buruk. Prinsip saya :

1) Setiap orang punya kelemahan dan kelebihan, maka kongsikan kelebihan dan tinggalkan kekurangan. Saya dan keluarga juga manusia yang tidak sempurna. Terlalu banyak kekurangan berbanding kelebihan yang ada. Tetapi InsyaAllah, saya amat bersyukur dengan anugerah ibu ayah yang berkorban jiwa, masa dan tenaga sehingga saya berada di tempat saya sekarang ini.

Seterusnya, saya dikurniakan Allah seorang suami yang baik dan penyayang, juga anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan tempat saya mencurahkan kasih mesra dan cinta. Kehadiran mereka, manusia yang juga memiliki kelebihan dan kekurangan seperti saya, melengkapkan kehidupan saya di dunia ini. Kami tidak sempurna, tetapi kami saling lengkap melengkapi dengan kelebihan dan kekurangan yang ada. Tamsilannya umpama bahan-bahan mentah yang belum diadun mungkin tidak enak untuk dirasa, namun setelah melalui proses sinergi ia menghasilkan makanan yang hebat dan lazat untuk dinikmati. Justeru, bercerita yang baik-baik tentang mereka sebagai tanda penghargaan dan rasa bersyukur yang tidak berpenghujung kepadaNya. Saya memuji Allah dengan bercerita tentang nikmatNya kepada saya melalui pengalaman manis bersama keluarga. Jiwa saya rasa hidup dan bertenaga dengan cara ini. Hidup dengan rasa positif dan optimis terhadap apa jua yang berlaku kepada saya tidak kira manis, pahit, masam, kelat dan berencam rasa kehidupan ini. Ia sebagai motivasi untuk saya terus ceria dan gembira.

2) Ia sebagai wasilah untuk saya mengajar kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


“ Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi, bahkan semut di liangnya sehinggakan ikan besar (di lautan), semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” ( Hadis riwayat al-Tirmizi )

Saya bercerita kisah yang positif lagi bermanfaat tentang keluarga dengan harapan apa yang baik itu akan dapat mengingatkan kami sendiri di hari mendatang di samping mampu dicontohi oleh orang yang membaca dan mengikuti setiap hasil penulisan saya. Namun, itu bukan bermakna saya dan keluarga tiada cacat celanya. Tiada siapa yang tidak melakukan salah dan dosa, cuma saya lebih selesa bercerita tentang kebaikan yang saya lalui bersama mereka. Apa-apa yang sebalik dari itu, saya ada cara sendiri untuk mengatasinya. Saya membaca tulisan penulis-penulis lain. Saya juga melayari blog-blog lain yang banyak bercerita tentang keluarga dan cahaya mata. Saya akui mereka lebih cemerlang dan lebih baik dari saya dalam hal meneladani keluarga dan mendidik anak-anak. Blog KlinikUmmi, alQasam, IbuMithali dan SaifulIslam.com antara yang kerap saya kunjungi. Di sana saya kutip pengalaman mereka untuk saya aplikasikan pula bagi memperbaiki kekurangan yang berlaku dalam keluarga.

3) Ia pelengkap kepada suara hati yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Anak-anak adalah harta yang tiada nilainya. Saya percaya ramai yang bersetuju dengan saya. Ada ketikanya mereka menjadi penawar duka dan pembangkit semangat setelah penat melalui kehidupan seharian. Gelak tawa mereka, senyum simpul mereka dan cerita ceriti yang entah apa-apa penghujungnya bagaikan gula yang memaniskan tawar air yang diminum. Namun, ada masanya mereka sangat meruntun jiwa, menghadirkan rasa marah dan geram seorang Ummi dengan sikap ambil lewa dan sering mengulangi salah yang sama. Justeru, saya banyak menulis tentang kebaikan mereka sebagai kesinambungan kepada apa jua tazkirah, peringatan dan bebelan seorang ibu yang sentiasa inginkan kebaikan kepada anaknya. Saya mahu mereka tahu, kebaikan tentang mereka yang saya tulis merupakan sikap yang perlu diteruskan. Saya ingin mereka sedar bahawa Ummi ini menulis dengan iringan doa yang tidak putus setiap kali nama mereka ditulis di dalam cerita. Menulis dengan doa, memanggil mereka juga dengan doa dan ‘marah-marah sayang’ saya juga tetap beriring doa agar kebaikan ini berterusan dan membentuk mereka sebagai warisan soleh dan solehah ummat masa depan. Bagi saya, kata-kata seorang ibu adalah doa!

YA DAN TIDAK : YANG SEMPURNA
Saya bercerita tentang diri, suami dan anak-anak bukan untuk kemasyhuran dan membangga-bangga diri. Cukuplah bagi saya Allah sebagai penilai dan penentu keikhlasan yang saya sentiasa cuba sematkan setiap kali jari jemari ini menulis sesuatu tentang mereka. Buat apa hebat pada pandangan manusia, tapi hina pada pandanganNya. Bacalah secebis kisah kehidupan saya dan keluarga dengan tujuan mencari kebaikan yang boleh dimanfaatkan bersama, bukan mengintai-ngintai kesempurnaan yang sememangnya saya sendiri tidak mengiyakannya.

Tiada keluarga yang sempurna termasuk kami kerana itulah sifat manusia biasa sama seperti anda semua. Namun Ya, saya dan keluarga merasa qana’ah (cukup) dan gembira kerana kami saling berusaha menyempurnakan dengan apa yang ada.

Kesempurnaan sememangnya bukan milik kita, ia milik Allah Yang Maha Esa.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah
8 Jamadil Akhir 1430
1 Jun 2009