Satu demi satu kunjungan persolan rumahtangga menjengah ke kotak emel saya. Rata-ratanya adalah dari kaum wanita, baik yang bekerja mahupun yang bergelar surirumahtangga. Dari luahan rasa, gelodak jiwa hinggalah kepada cetusan emosi yang meluap api benci kepada suami , semuanya dicoret sebegitu panjang bernada harapan agar saya mampu melorongkan mereka kepada jalan-jalan penyelesaian.
Namun, menginsafi bahawa saya bukanlah seorang yang benar-benar berkelayakan dalam memberikan nasihat dan pandangan, ditambah pula hambatan masa yang sukar berkompromi untuk saya berlama-lama di hadapan komputer bagi menjawab kemusykilan yang diutarakan, justeru menulis secara umum sebegini diharapkan mampu memberi sedikit jawapan bagi merungkai kekusutan perasaan seorang isteri yang sedang gerhana dari cahaya cinta.
Sebenarnya, sudah agak lama saya mahu menambah penulisan saya pada sesuatu yang memfokus kepada ikhtiar isteri dalam melakar bahagia rumahtangga tetapi masa dan idea belum kunjung tiba. Sehinggalah saat ini, kala suami berpergian memenuhi tanggungjawabnya kepada ummah, kerinduan yang hadir membangkitkan keinsafan, kesedaran dan muhasabah diri seorang isteri. Lalu, jemari ini mulai ligat menyusun kata bertemankan wajah-wajah bersih yang sedang lena dibuai mimpi.