Beberapa
waktu kebelakangan ini, pintu kotak berbual saya di ‘Mukabuku’ sering diketuk
oleh beberapa orang wanita yang belum berumahtangga; mereka meminta pandangan
apabila dilamar sebagai isteri kedua. Termenung saya membaca dan meneliti
bicara hati mereka, antara dilema menerima dan menolak, antara kasih yang
sedang mekar dan hakikat yang difahami penuh sedar.
Sementara
di pihak saya sendiri, walau sudut pandang dan jawapan sudah dapat saya
fikirkan, namun soal berkongsi kasih dan cinta dalam rumahtangga poligami, saya
akui, ia mudah untuk dilafaz dan ditinta, namun untuk melaksana dan
menjayakannya, amat memerlukan mujahadah dan semangat yang dipandu oleh DIA
Yang Maha Kuasa.
Lalu,
sedikit jawapan dari diri yang masih mentah di alam rumahtangga 'bertiga' ini,
saya hulurkan :
PERTAMA : Ia
satu perkara yang besar dan memerlukan mujahadah yang bukan sedikit terutama
bagi isteri-isteri dalam mengurus emosi dan perasaan. Di pihak suami, sudah
pasti yang paling utama adalah keadilan dalam mentadbir lebih dari sebuah
keluarga.
KEDUA
: Para isteri dalam poligami perlu bahu membahu untuk membantu
suami berlaku adil, tanpa ‘teamwork’, ia sesuatu yang sukar diperkasa.
Kedepankan redha terhadap apa-apa keputusan suami ( selagi tiada kezaliman
berlaku ) berbanding semata-mata menuntut hak demi hak.
Dalam
hal ini, para isteri perlu memandang tindakan suami dari perspektif berbeza
dari apa yang difikir/dirasa kerana sering berlaku apa yang dirasa/difikir itu
meleset dek sangka-sangka semata.
KETIGA : Sentiasa
berusaha dari sehari ke sehari untuk menyayangi siapa dan apa yang disukai oleh
suami, in shaa Allah setiap usaha untuk kebaikan bersama tersebut pasti dinilai
dan diganjari di sisi ILAHI.
Namun,
apa yang perlu difahami bahawa senarai di atas tetap tinggal sebagai teori dan
jauh dari realiti andai tiada kesedaran bagi merealisasikannya demi kebaikan
bersama. Ini kerana, tindakan dan tingkah dalam mengisi hari-hari sentiasa
memungkinkan untuk menjadi asbab kesedihan atau kegembiraan kepada
peribadi-peribadi yang terlibat.
SENSITIVITI
“Kawan
saya di sekolah, ada seorang tu hidup bermadu, kak Ina…” Seorang kenalan
bercerita saat bertandang ke rumah saya.
“
Alhamdulillah, awal mula rumahtangganya nampak ok dan tiada masalah, tetapi
apabila suami dan madunya mengerjakan umrah, lalu kemudian madunya memuatnaik
gambar-gambar mesra mereka ketika di Mekah dan Madinah, kawan saya ini menjadi kecewa..sehingga
dia ‘unfriend’ madunya di Facebook…” Tambah kenalan tersebut
dengan wajah tidak ceria.
Saya
yang mendengar menarik nafas dalam.
“Bagaimana
sebenarnya ye, kak? Boleh atau tidak memuatnaik gambar-gambar peribadi dengan
suami sehingga melukakan hati isteri yang lain? ” Satu soalan dilontarkan.
Saya
tersenyum hambar.
“Hakikatnya,
setiap isteri punya ruang privasi masing-masing. Walau mungkin tiada salah
apapun memasukkan gambar peribadi di akaun Facebook atau mana-mana laman
sosial untuk tatapan keluarga dan rakan-rakan terdekat, namun mahu atau tidak,
oleh kerana telah memilih hidup dalam rumahtangga poligami, masing-masing perlu
sangat menyedari ‘di bumi mana mereka berpijak’ iaitu dengan saling menjaga
sensitiviti.
Dalam
gembira yang ingin ditampilkan, ada hati lain yang menahan kepedihan. Sementara
di pihak seorang lagi, dalam menghendaki pihak madu memahami kecemburuan diri,
perlu juga cuba ‘memakai kasut’ madu agar dapat sedikit sebanyak memahami sekeping
hati yang mahu merai kegembiraan bersama suami yang dikasihi.
Ia
satu mujahadah di pihak isteri-isteri, dan ia tidak mudah. Kerana itu, pada Kak
Ina, tindakan ‘unfriend’ tersebut wajar dan kena dengan kehidupan
berpoligami demi memelihara dua hati ini asalkan nilai ukhuwwah di alam sebenar
tetap terpelihara. Biar tidak berkawan di alam maya, tetapi masih mesra dan
bersaudara di dunia sebenar, jangan pula tidak berteman di FB hingga
terbawa-bawa membenci lalu bermusuh pula akhirnya, walya’uzubillah…” Saya
menjelaskan dengan suara sedikit ditekankan lantas disambut anggukan bertalu
daripada kenalan di hadapan.
SUCIKAN
HATI
Kerana
itu, dalam hal ini, satu usaha jitu yang perlu diperhati oleh setiap diri yang
terlibat dalam poligami adalah menguat dan mensucikan hati dengan sentiasa memperbaiki
ibadah fardu sebagai ikhtiar untuk lebih akrab kepada ALLAH, Pemilik setiap
jiwa sebagaimana pesanan-NYA lewat sebuah hadis Qudsi. ALLAH Subhanahu Wa
Ta’ala berfirman yang bermaksud :
“Tidak seorangpun hamba mendekatkan diri kepada-KU dengan sesuatu yang paling aku cintai, melainkan dengan apa yang telah AKU wajibkan kepadanya. Hamba-KU adalah orang yang selalu mengerjakan ibadah-ibadah nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga AKU mencintainya. Ketika AKU telah mencintainya, maka AKU-lah yang akan menjadi telinga yang dia gunakan untuk mendengar, mata yang dia gunakan untuk melihat, tangan yang dia gunakan untuk memukul, kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-KU, pasti AKU berikan, dan jika dia perlukan perlindungan-KU, pasti AKU lindungi...”
Setiap
kali menelusuri bait-bait inspirasi ini, jiwa sebak dalam harapan yang tinggi
kepada ILAHI, agar terus membimbing dan memberi taufik-NYA kepada diri ini, suami,
madu, anak-anak, kaum keluarga serta sahabat yang dikasihi, untuk menjadi
manusia yang diberkahi.
Lantaran,
manusia yang berkah itu..adalah manusia yang tumbuh, berkembang dan meluas
manfaat serta kebaikannya buat diri, keluarga dan masyarakat. Terkenal di
langit tinggi, walau mungkin tidak dikenal di bumi.
Munajat
malamnya, menjadi wadah dia menyelesaikan masalah, hingga yang ditonton oleh
manusia pada dirinya di siang hari hanyalah senyuman yang indah. Dia tidak
bahaya untuk didekati, kerana dia tidak menyakiti dengan lisan atau perbuatan.
Mendengar bicaranya, manusia beroleh teladan kesolehan..melihat dia bergerak,
membangkit motivasi kepada amal soleh.
Dia
yang mendekat dan terus mendekat kepada ALLAH, kerana ALLAH paling suka
didekati oleh hamba-NYA melalui ibadah yang difardukan.
Lantas,
ALLAH terus membuka kesempatan untuk hamba yang menuju hampir kepada-NYA dengan yang fardu kemudian ditambah dengan
‘nafilah’ serta ‘sunnah’ lagi dan lagi…hingga akhirnya ALLAH memanggil Jibril
lalu mengumumkan :
“Wahai
Jibril, AKU mencintai orang ini maka cintailah dia, lalu jibril pun
mengumumkannya kepada seluruh makhluk di langit!”
BUKAN
PERTANDINGAN
Seperkara
lain yang juga perlu difahami dalam menjayakan poligami ialah, rumahtangga ini
bukan pertandingan tentang siapakah yang terbaik dalam melayani suami dan
menyayanginya, masakan siapakah yang lebih lazat dan menepati citarasa, hadiah
siapakah yang paling memenuhi keperluan insan nan seorang yang dicintai bersama
itu atau lain-lain lagi.
Kerana,
andai keadaan ini yang berlaku, ia amat mendukacitakan!
Isteri-isteri
bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai
pertandingan sukan sahaja. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan
lain yang kecundang.
Sedangkan…’Fastabiqul
khairaat’ yang digalakkan oleh Deen mulia ini bukanlah perlawanan yang
bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling
membantu ke arah ketakwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan
tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong
menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (
Surah al Maidah ayat 2 )
Andai
seorang isteri yang lebih maklum citarasa makanan kegemaran suami dan ingin
berkongsi tentangnya kepada isteri lain, itulah yang sebaiknya dilakukan,
berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya isteri
lain tersebut. Sementara kepada isteri yang masih belum berpuas hati dengan
apa-apa sahaja berkait rumahtangga, belajarlah daripada madunya dengan ikhlas
tanpa membuat perbandingan sesama mereka.
Pada
saya, para isteri tidak sepatutnya saling cuba menyaingi antara satu sama lain.
Kemahiran menghias rumah, memasak, mendengarkan masalah suami dan lain-lain
bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang ke atas
lawan bagi meraih perhatian yang tersayang, sebaliknya ia adalah ‘perlumbaan
sihat’ untuk meraih keberkatan dari-NYA dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah
dan nilai persaudaraan sesama Islam.
Boleh
menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!
Untuk
itu, yang paling utama…cukuplah, sekadar menjadi peribadi yang terus berusaha
untuk menebar sebanyak mungkin manfaat dalam rumahtangga, baik kepada suami,
madu dan anak-anak serta keluarga terlibat. Sebagaimana bicara puitis yang
diterjemah dari bahasa ‘syurga’ ini :
🌹Jadilah seumpama pintu yang masuk
melaluinya kebaikan...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama
jendela, yang membenar lalunya cahaya...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama
dinding, yang bersandar padanya mereka yang letih tidak bermaya...
Kejayaan
bukan diukur dari keseronokan berdamping pasangan dan anak-anak sendiri semata,
tetapi ia dinilai dari kebahagiaan ketika madu dan anak-anaknya turut serta
bersama...
Kejayaan
bukan dilihat dari gambar-gambar kebahagiaan dan status romantis di media
sosial, tetapi ia dipandang dari sikap ‘kota apa yang dikata’, iaitu tidak
boleh berhenti setakat perkataan, bahkan lebih dari itu, ia diukir indah
melalui perbuatan.
Lantaran
rumahtangga mukmin itu sifatnya bukan seperti tong kosong yang gah berbunyi di
luar tapi kosong di dalam. Akan tetapi ia bagai padi yang menunduk kerana
semakin berisi...pro-aktif dalam mengasihi, empati mendepani emosi, meredhai
melebihi meminta-minta itu ini.
UKHUWWAH
INI UNTUK DISANTUNI
Akhirnya,
buat peribadi-peribadi yang sedang dan masih berjuang menyantuni ukhuwwah unik
ini…hayatilah :
“Tak perlu hairan mengapa insan yang satu-satu ketika membuat kita
ketawa, adalah insan sama membuat kita menangis hiba...
Yang pernah menjadikan kita bersemangat, pernah juga menjadikan
kita rasa lemah bagai tiada kudrat..
Yang pada masa indah menjadikan jiwa tenang, juga yang pada masa
ribut membuat jiwa berserabut...
Kerana...
Itulah insan di dunia...
Itulah insan di dunia...
Tiada keadaan yang kekal serupa sepanjang masa....
Ada masa langit cerah beriring kicau burung...
Ada waktu pula langit kelam beriring awan mendung...
Kerana...
Itulah insan di dunia...
Itulah insan di dunia...
Yang turut berdepan ujian dan cabaran pada hari-harinya...
Yang utama adalah saling memahami dan menerima...
Bahawa setiap situasi, akan berlalu pergi...
Dan dia..mereka...insan-insan yang tetap di sisi menemani...
Bagi kita...
Kebaikan itu latihan untuk bersyukur dalam kesabaran...
Keburukan pula adalah latihan untuk bersabar dalam kesyukuran...
Terima kasih dia, mereka...”
Sesungguhnya
wajah kebenaran dalam ukhuwwah itu tetap satu...iaitu ceria seiring bahagia
saudaranya, dan berduka bersama kesedihan saudaranya.
Yakinilah...
Persaudaraan dalam poligami itu adalah usaha berpasukan bukan lawan melawan
untuk 'kemenangan'...
Insafilah....
Ukhuwwah dalam poligami itu adalah saling menyantuni, bukan membanding dan
menandingi....
Itulah
kejayaan …
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.