21 May 2009

KAK LONG PUN BOLEH, UMMI

Setiap kali saya selesai menulis satu artikel baru, anak sulung saya pasti rasa cemburu. Dia sebolehnya mahu menulis seperti saya, tapi bagi saya usianya belum mencapai tahap itu.

“ Ummi, ajarlah Kak Long tulis panjang-panjang, “ desaknya bila membaca hasil tulisan saya.

“ Boleh, tapi bukan sekarang. Nantilah.. bila Kak Long dah sedia dan besar sikit ye,” jawab saya ringkas. Berulang kali dia bertanya, acap itu juga jawapan dari saya.

Mendengar itu, dia pasti diam tanpa bertanya lagi. Namun dari riak mukanya, dia bagaikan tidak berpuas hati. Mungkin juga rasa tercabar dengan jawapan dari Umminya ini.


SEMASA KECIL

Saya masih ingat, ketika anak pertama dan kedua saya berumur dalam lingkungan dua keempat tahun, saya kerap mengikut suami hadir ke program kuliah maghrib atau ceramah. Memikirkan karenah anak-anak yang mungkin berlaku ketika program berlansung, mereka saya bekalkan dengan sehelai kertas dan sebatang pensil setiap seorang. Mendapat itu mereka pasti diam. Tidak banyak meragam. Mereka akan asyik menulis dan menconteng tanpa menghiraukan orang-orang sekeliling. Tekun dan penuh minat.

Kegemaran itu berterusan sehingga mereka besar terutama selepas bersekolah di UK ini. Ruang waktu yang ada, mereka isi dengan melukis dan menulis. Kak Long lebih cenderung menulis sehingga pernah menghasilkan buku cerita rekaannya sendiri. Manakala Kak Ngah lebih gemar melukis dan lukisannya juga lebih cantik dan menarik. Di samping itu, mereka juga berminat dengan computer; dan blog mereka lebih dulu lahir dari saya. Malah saya sendiri belajar berblog dari anak-anak saya berdua ini.


MINDA KREATIF

Perkembangan ini mungkin dirangsang oleh aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang memerlukan pelajar banyak berfikir dan menganalisa di samping pendedahan kepada ilmu-ilmu lain seperti bahasa, kemahiran menulis, mengira dan kemahiran teknologi. Sebagai contoh di dalam matapelajaran Matematik, kaedah yang digunapakai disebut sebagai RUCSAC iaitu singkatan kepada R-read, U-understand, C-calculate, S-solve, A-answer dan C-check.

Bagi matapelajaran bahasa Inggeris pula, penekanan diberikan kepada aspek penguasaan ejaan ( spelling ), tulisan tangan ( hand writing ) dan literasi iaitu kebolehan pelajar mengaplikasi bahasa untuk membaca, menulis, mendengar dan berinteraksi. Selain itu, subjek-subjek lain turut diajar seperti Sains, Geografi, Sejarah, Pendidikan Jasmani dan Agama, yang mengenengahkan info dan maklumat tentang agama-agama utama dunia. Kesan yang amat ketara dari corak pembelajaran tersebut dapat dilihat melalui pertuturan anak-anak Melayu di sini, di mana mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih cepat, mudah dan fasih; di samping cara berfikir mereka juga lebih kreatif dan kritis.

Saya dan suami dapat melihat sendiri begitu kreatifnya mereka sehingga mampu mencipta blog sendiri, disamping mewujudkan pelbagai kelab di internet dan juga mengubah beberapa fungsi di dalam emel. Malah beberapa perkara yang kami juga tidak begitu mahir dengannya, namun mereka mampu berfikir sendiri untuk mencari fungsi-fungsi tersebut. Terlihat sikap berdikari dan tidak putus asa di dalam diri mereka.


PEMIKIRAN BARU

“ Semasa Rasulullah berdakwah kepada penduduk Mekah, hanya orang-orang miskin, hamba dan golongan yang lemah dari kanak-kanak dan wanita sahaja paling ramai menerima Islam,” jelas saya ketika sesi tazkirah bersama anak-anak.

“ Isteri Rasulullah, iaitu Sayyidatina Khadijah menjadi wanita pertama yang beriman, manakala dari kalangan lelaki ialah sahabat Baginda, Sayyidina Abu Bakar as Siddiq. Seterusnya, dari kalangan kanak-kanak pula, didahului oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib yang ketika itu baru berumur 10 tahun,” saya menambah maklumat untuk menerangkan perjuangan dakwah Rasulullah sewaktu bermula di Kota Mekah.

Mendengar ayat akhir saya itu, Kak Long bagaikan terkejut kehairanan. Jelas terlihat ‘tanda soal’ pada wajahnya.

“ Ummi, kenapa pulak Sayyidina Ali, dikira sebagai kanak-kanak yang mula-mula beriman ? Kenapa bukan anak-anak Rasulullah? Anak-anak Nabi kan lebih hampir dengan Nabi sendiri, sepatutnya mereka dulu beriman sebelum Sayyidina Ali,” Kak Long bertanya bertubi-tubi.

Saya terdiam seketika mendengar pertanyaannya. Tidak pernah pula saya terfikir untuk bertanya soalan yang sama ketika seusia dia. Bahkan, sepanjang saya mengajar juga, belum ada anak murid yang melontar soalan ‘di luar kotak’ ini kepada saya. Selama ini, fakta yang ada hanya menyebut, Sayyidina Ali sebagai kanak-kanak pemula beriman kepada Allah dan RasulNya.

” Emm..Ummi tangguh dulu jawapan soalan Kak Long tadi ye. Nampaknya, Ummi pun kena mengaji lagi ni,” saya menyelit sedikit jenaka.

Benar, saya tidak dapat menjawab secara tepat mengapa nama Sayyidina Ali yang ditinta. Adakah kerana ketika itu anak-anak Rasulullah belum lahir ke dunia, atau jika pun ada mereka masih terlalu kecil untuk mengerti berbanding usia Sayyidina Ali yang telah mencapai umur mumayyiz.


KAK LONG PUN BOLEH, UMMI

Ada ketikanya sebagai ibu bapa, kita mudah memandang rendah tahap upaya anak-anak memikir dan melakukan sesuatu lantaran umur yang masih kecil dan pengalaman yang masih terlalu sedikit. Akan tetapi, kita sendiri sebenarnya yang kurang peka terhadap perkembangan anak-anak dalam memerhati kecenderungan serta minat yang mereka tunjukkan sehari-hari.

Demikian juga tanggapan saya. Memerhati perkembangan Bahasa Inggeris anak-anak yang agak drastik kemajuannya, ditambah pula minat yang mendalam pada diri anak sulung saya yang bercita-cita menjadi guru bahasa tersebut, saya menjangkakan penguasaan anak-anak di dalam bahasa ibunda mereka sedikit sebanyak akan jauh ketinggalan. Walaupun saya mengadakan kelas di rumah untuk anak-anak saya belajar Bahasa Melayu, namun ia tidaklah begitu tersusun sebagaimana di sekolah rendah dahulu.

Akan tetapi apa yang berlaku sangat mengejut dan mengujakan saya dan suami.

“ Ummi, Kak Long tengah taip artikel baru untuk blog Kak Long, nanti dah siap Ummi tolong semak ye,” pinta Kak Long pada suatu petang.

“Ok, boleh je, “ jawab saya yang sedang memasak di dapur. Sambil memasak, saya menjengah sekali dua ke bilik komputer. Melihat dia tekun menaip, saya biarkan saja tanpa menyapa. Saya kembali ke dapur untuk memasak nasi dan menyusun pinggan mangkuk.

“ Ummi, kalau kita tak bersenam, apa akan jadi ?” tiba-tiba Kak Long muncul dan bertanya soalan.

“ Emm..kalau tak bersenam, badan mudah jadi gemuk. Sebaliknya jika bersenam, tubuh akan mampu membakar kalori dengan lebih baik, lalu badan akan bertambah sihat,” saya cuba menjelaskan dengan ayat mudah lagak cikgu Sains di sekolah.

“ Oh, macam tu. Terima kasih Ummi, “ balas Kak Long lantas menyambung penulisannya kembali. “Cerita apalah yang ditulis agaknya ya,” bisik saya di dalam hati. Tidak lama selepas itu...

“ Alhamdulillah, dah siap pun..” kata Kak Long. Saya yang mendengar terus ke depan untuk menunaikan janji.

“ Wah, bagus sangat ni,” ujar saya kehairanan berbaur gembira yang bukan kepalang. Saya tidak menjangka Kak Long sudah mampu menulis karangan panjang.

Tulisannya kali ini bertajuk: Eat healthy, Move more, Live longer, dihurai dengan begitu baik dan jelas sekali. Berlatarkan kehidupan sehariannya bersama keluarga di rumah, dia menjadikan iklan kesihatan yang sedang giat dipromosi sebagai rencah utama dalam tulisan terbarunya ini. Suami saya juga memperakukan peningkatan tulisannya ini. Karangannya mempunyai mesej yang jelas dengan olahan ayat berbentuk dialog di dalam cerita.

“ Ummi, Kak Long pun boleh menulis panjang kan ?” celah Kak Long melihat saya bagaikan terpaku membaca ‘buah tangannya’ itu.

Tanpa sedar, saya mengangguk mengiakan. Rupa-rupanya kata-kata saya sebelum ini benar-benar mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu di luar jangka.

Bersyukur padaMu Ya Allah, saya belajar sesuatu dari peristiwa manis ini.

Sewajarnya anak-anak tidak diadili berdasar tubuh dan usia yang masih kecil, tetapi bersikap adil kepada mereka dengan melayan kecenderungan dan minat yang ditunjukkan dan memberi panduan agar tidak tersalah haluan. Pasti nanti sebagai ibu dan bapa, kita akan teruja betapa di sebalik tubuh kecil mereka, tersembunyi bakat besar yang mampu dimanfaatkan untuk ummah di masa depan, InsyaAllah.
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
26 JamadilAwwal 1430
21 Mei 2009.

16 May 2009

UMMI, JANGAN JADI 'DONKEY' !


“ La, cerita ni lagi. Kita pasang cerita lain la ye. Hari-hari tengok cerita ni je,” keluh saya bila anak ketiga meminta dipasangkan cerita kegemarannya.


“ Tak nak. Khalil nak tengok cerita ni,” balas si bujang saya. Susah benar dia mahu berkompromi bila berbicara tentang cerita yang satu ini.


“ Ok, lah. Tapi Ummi tak mahu Khalil jerit-jerit ye. Tengok je,” saya mengalah sambil berlalu ke dapur untuk memasak hidangan tengahari. Sambil memasak, mata dan telinga, saya arah ke ruang tamu bersebelahan. Kedudukan sinki dapur yang terletak hampir dengan pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu memudahkan saya memantau cerita, iklan atau apa sahaja program yang sedang ditonton oleh anak-anak saya. Tambahan pula peti televisyen memang saya dan suami susunatur betul-betul berhadapan dengan pintu dapur.


Sebetulnya, anak-anak saya sangat gemar menonton filem animasi terbitan Dreamworks Studio ini. Lebih-lebih lagi anak ketiga saya yang boleh dikatakan hampir setiap hari pasti meminta agar dipasangkan dvd kegemarannya itu. Dari siri satu hingga yang ketiga semuanya telah habis ditonton, bukan sekali tetapi berkali-kali.


Ada beberapa sebab mengapa mereka gemarkan filem animasi yang satu ini. Pertama, penggunaan Bahasa inggeris yang mudah terutama bagi mereka yang ingin belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Lontaran dialog setiap wataknya terang dan sangat jelas.


Keduanya, mesej yang dibawa berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan dan kepercayaan kepada diri sendiri. Dan ketiga, sudah pasti kerana nilai moral ( bukan akhlak ) dan tata tertib yang masih dijaga rapi. Mungkin kerana sasaran umumnya adalah golongan kanak-kanak.
Cuma….



BISING SANGAT


Saya cukup tidak suka mendengar salah satu wataknya bersuara. Bising. Riuh. Bagai mendengar air hujan yang sedang lebat turun menimpa atap zink di kampung rasanya. Bingit, sungguh tidak selesa. Akan tetapi, saya tidak menafikan ada sifat-sifat mulia padanya yang sangat saya impikan agar ia ada pada diri saya sendiri dan orang lain sebagai seorang kawan dan sahabat sejati.


“ Ish..bising betul keldai ni..banyak mulut sungguh, “ kerap kali saya mengkritik begitu bila menonton filem animasi Shrek. Anak-anak yang menonton sama, pasti akan ketawa kecil bila mendengar nada meluat saya terhadap riuh rendah suara si Donkey.


“ Kenapa Ummi tak suka?” tanya Kak Ngah ingin tahu.


“ Sebab dia selalu bercakap menjerit-jerit..” jawab saya.


“ Kak Ngah selalu cakap kuat Ummi, “ Kak Long mencelah. Kak Ngah hanya menjuih mulut tanda tidak suka diungkit tentang suara kuatnya itu.


“ Kak Long dan Kak Ngah tak boleh cakap macam tu. Orang dengar rasa tak selesa, “ saya menambah memberi nasihat sepatah dua kepada mereka. Memang adakalanya anak-anak perempuan saya ini bila berbual sesama mereka di dalam bilik, saya boleh mendengar dengan jelas setiap patah perbualan mereka. Kuat dan nyaring.


“ Sebab itu Allah ada sebut dalam al Quran, seburuk-buruk suara ialah suara keldai, sama macam Donkey kawan Shrek tu. Shrek pun selalu kata “You are an annoying, talking donkey” kan,” tegas saya mengingatkan.



NASIHAT LUQMANUL HAKIM


Akhlak adalah soal yang sangat perlu dititikberatkan dalam didikan ibu dan bapa kepada anak-anak. Antara yang perlu disenaraikan ialah bagaimana cara komunikasi yang baik antara mereka dan orang –orang di sekeliling. Tiada siapa yang suka dirinya dijerit-jerit. Hati mana yang tidak perit bila dihambur dengan nada suara yang kuat sedangkan dia masih boleh mendengar dengan baik dan bukannya tuli.


Kisah Luqmanul Hakim telah disebut di dalam al Quran bila mana beliau menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :


"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." ( Surah Luqman ayat 19 )


Kerana itu juga, para anbiya’ diperintahkan Allah agar berlemah lembut dalam dakwah mereka sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :


“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. ( Surah Ali Imran ayat 159)


Demikian juga saranan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s ketika berdepan dengan kezaliman Fir'aun.


"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." ( Surah Taha ayat 44 )



JANGAN AH! OH!


“ Kimi, tolong mak angkatkan kain di ampaian luar ye. Nampaknya hari nak hujan, “ kata seorang ibu kepada anaknya yang sedang asyik mengadap PS2.

“ Ah! Mak ni. Tak Nampak orang tengah sengit ‘berperang’ ni,” bantah si anak tanpa sedikit pun menoleh memandang wajah ibu.


Hati ibu mana yang tidak sedih bila mendengar anak menjawab dengan perkataan ah! Oh! dan seumpamanya. Jiwa ibu mana yang tidak pedih melihat anak yang diasuh dan dibelai sedari kecil bersikap acuh tak acuh dan kurang ajar kepada dirinya. Semua ini berkait adab dan nilai budi yang diajar di dalam Islam betapa sependek perkataaan ah! dan oh! saja sudah cukup menjatuhkan seorang anak kepada lembah kedurhakaan. Firman Allah SWT yang bermaksud :


“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”


“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." ( Surah Al-Isra' ayat 23-24 )


Islam mengajar umatnya berbudi bahasa terhadap orang lain terutama kepada kedua orang tuanya yang telah banyak berjasa mengasuh, membesar dan mendidik anak-anak. Sikap suka meninggikan suara, mengherdik dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati mereka adalah amat dilarang oleh agama dan disenaraikan sebagai perbuatan yang membawa kepada dosa besar. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud :


“Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


Perlu diingat bahawa dosa menderhakai ibu dan bapa akan dibalas oleh Allah di dunia lagi dengan azab yang pedih dan menyeksakan.


Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka kepada dua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.” (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)


BERMULA DARI IBU BAPA


Namun demikian, sebagai ibu dan bapa yang diamanahkan oleh Allah dengan anugerah cahaya mata, mereka perlu lebih dulu menginsafi bahawa watak serta sifat yang ditonjolkan oleh anak-anak adalah diwarisi dari kedua orang tua. Walaupun mungkin tidak semua, sedikit sebanyak tetap ada. Jangan sesekali ibu dan bapa lupa bahawa anak-anak juga mempunyai sepasang mata dan telinga untuk mereka boleh melihat dan mendengar apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan oleh ibu bapa.


Sewajarnya, pasangan ibu bapa yang juga suami dan isteri harus membina hubungan baik antara mereka. Suami menghormati isteri dengan berkata yang baik, tidak meninggikan suara dan menegur kesilapan isteri dengan nada lemah lembut dan penuh kasih mesra. Begitu juga kepada isteri. Jangan pernah meninggikan suara kepada suami di depan anak-anak. Ini termasuk juga kata-kata berbaur penghinaan yang mungkin tidak disengajakan tetapi memberi titik hitam kepad jiwa putih suci anak-anak.


“ Ayah kamu tu, taunya tidur je. Bukannya nak bantu ibu di dapur,” luah sinis seorang isteri kepada anaknya yang berumur lima tahun.


“ Alah emak kamu tu, masak asam pedas ikan parinya bukan sedap mana pun,” kata pula seorang suami kepada anak perempuannya yang masih bermain anak-anak patung.


Ibu dan bapa harus lebih dulu berusaha keras membina imej ibubapa yang baik dari kacamata anak-anak. Ibu bapa adalah pendidik anak-anak yang sebenar, sebelum mereka melihat dunia luar. Ibu bapa adalah contoh tauladan dalam apa jua perkara yang mereka lakukan sebelum mereka dewasa dan boleh membuat keputusan. Jangan pula ibu bapa menjadi seumpama ketam mengajar anaknya berjalan betul, tetapi dia sendiri berjalan senget mengereng ke tepi.



UMMI, JANGAN JADI DONKEY!


“ Ya Allah, dah lambat ni,” tiba-tiba saya terjaga dari tidur-tidur ayam selepas solat subuh pagi tadi. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Kak Long dan Kak Ngah juga saya benarkan tidur semula selepas solat memandangkan waktu subuh bermula seawal jam 3.30 pagi.

Saya bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan dan bekal buat Kak Long dan Kak Ngah. Sambil mengoles jem pada roti saya menggoreng pisang untuk mengisi perut anak-anak. Hari ini saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah kerana suami berada di luar negara. Sementara itu, saya naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan anak-anak, kemudian kembali turun ke dapur menyiapkan gorengan pisang yang masih berbaki.


“ La, tak bangun lagi Kak Long dan Kak Ngah ni,” bisik saya sendirian bila kelibat anak-anak tidak kelihatan di dapur.


“ Nurul Husna, Najwa Safiyyah. Bangun. Dah lambat ni,” laung saya dari bawah tangga dengan apron dan sudip di tangan. Kuat juga rasanya suara saya.


“ Ummi..” tiba-tiba wajah Kak Ngah terjongol di tingkat atas anak tangga. “Ye..” jawab saya dengan nada lega melihat Kak Ngah sudah terjaga dari lena.


“ Jangan jadi donkey,” Kak Ngah berkata. Alamak! Baru saya tersedar..terkena juga saya akhirnya.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.


22 Jamadilawwal 1430


17 Mei 2009

13 May 2009

KITALAH GURU-GURU ITU

“ Kamu semua orang Islam bukan ?” Cikgu Fauzi bertanya sebaik masuk ke kelas Tiga Hijau pagi itu. Kebetulan dua orang rakan sekelas berketurunan India masih belum selesai dari mengikuti matapelajaran Moral di kelas sebelah.

“ Ya, Cikgu,” saya dan rakan-rakan menjawab serentak. Pandangan kami tepat ke wajah Cikgu Fauzi yang tersenyum mendengar jawapan tadi.

“ Baik, kalau betul kamu orang Islam saya mahu tengok kamu jadi orang Islam setiap hari, bukan Islam pada hari Jumaat sahaja,” tegas Cikgu Fauzi sambil memandang muka kami silih berganti.

“Murid lelaki berseluar panjang, manakala murid perempuan berbaju kurung dan bertudung kepala. Itu baru betul ikut ajaran agama. Yang lelaki Nampak lebih tampan, yang perempuan pula bertambah ayu dan lebih sopan,“ kata Cikgu Fauzi mengumpan. Kami yang mendengar tersenyum malu-malu melihat masing-masing hanya berseluar pendek bagi lelaki, sementara perempuan pula hanya memakai ‘pinafore’ biru. Bila tiba hari Jumaat baru kami mengenakan pakaian menutup aurat.


KENANGAN LALU

Peristiwa itu telah dua puluh lima tahun berlalu. Namun didikannya masih saya ingat hingga hari ini. Walaupun Cikgu Fauzi seorang guru biasa, tetapi ketegasan beliau mendidik kami mengamalkan ajaran agama sangat memberi kesan kepada jiwa.

Pada zaman awal-awal lapan puluhan, kesedaran beragama masih baru menjalar dalam masyarakat di tempat saya. Kerana itu, bilangan murid-murid sekolah rendah yang memakai baju kurung dan bertudung kepala sepanjang hari-hari persekolahan sangat sedikit. Orang kata, boleh dibilang dengan jari. Ditambah pula momokan akhbar arus perdana dengan kemunculan ‘hantu komkom’ ketika itu, menjadikan suasana untuk mengamalkan pakaian syariat ini tidak begitu mesra dan melata.

Walaupun demikian, Cikgu Fauzi tidak pernah menjadikan suasana begitu sebagai alasan untuk tidak mengajak kami kepada kebaikan. Kesannya, hampir seluruh murid-murid perempuan di kelas saya mula memakai baju kurung lengkap menutup kepala bila naik ke tahun Empat Hijau berikutnya. Kami bangga melakukan itu, kerana Cikgu Fauzi sentiasa mengingatkan kami bahawa kami mulia kerana mengamalkan ajaran agama.


GAJI vs AMANAH

Akan tetapi realiti hari ini amat jauh berbeza. Bukan sahaja tidak ramai guru-guru bukan dari aliran agama yang mahu membawa suasana beragama di dalam pengajaran mereka, malah ada sebahagian guru-guru agama sendiri yang tidak bersungguh-sungguh menjadikan kerjaya guru sebagai ibadah yang boleh melimpahkan pahala berganda. Telah tandus minat dan keinginan, semakin melebar pula jurang dakwah untuk menyeru kepada kebaikan.

“ Ah, budak-budak tu nak pandai ke tidak, terpulang pada mereka. Aku tahu cukup bulan gaji masuk,“ luah seorang guru dengan nada geram. Marah barangkali dengan gelagat anak murid yang tidak tahu hormat kepada guru yang lebih dulu makan garam.

Saya akur sukarnya menjadi guru di zaman serba material ini. Bukan sekadar mengajar subjek-subjek yang telah ditentukan, tapi ada banyak senarai tugasan sampingan lain yang juga perlu dilangsaikan. Itu belum lagi dikira jumlah mesyuarat dan kursus-kursus yang perlu dihadiri. Mengenang itu semua, saya ikut emosi dan simpati.

Kerana itu, Allah SWT berfirman di dalam al Quran tentang nasihat Luqman al Hakim kepada anaknya yang bermaksud :

“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)


Merenung ayat di atas, terlihat betapa besar peranan seorang guru terhadap perkembangan fizikal dan spiritual anak didik demi melahirkan generasi yang berkualiti dari segala segi. Mereka berperanan mendekatkan para pelajar kepada Yang Maha Mencipta dengan mengajar pengetahuan baik berupa fardhu ain mahu pun fardhu kifayah agar terserlah kebesaran dan kekuasaan Allah. Baik guru biasa mahu pun guru agama, mereka perlu berkerja dengan serampang dua mata. Memberi ilmu dan dalam masa yang sama menyuntik sedar tentang tanggungjawab anak didik sebagai manusia yang mempunyai Tuhan. Menyemai jiwa kehambaan.


Guru yang baik bukan mendambakan wang gaji sebagai ganjaran penat dan payah semata-mata, tetapi kesedaran untuk berperanan sebagai pendidik dan pemandu arah yang boleh dicontohi dan diikuti oleh anak didik. Walau banyak rintangan yang mungkin menahan dalam usahanya mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran, semua itu perlu dihadapi dengan tabah serta mengharapkan keredhaan Allah.

Tiada ganjaran yang lebih baik selain pengiktirafan dari Allah SWT terhadap golongan pendidik yang mengajar kebaikan, menuntun kepada mentaati dan mengagungkan Allah serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. Allah SWT menegaskan menerusi firmanNya yang bermaksud :


“ Dan tidak ada yang lebih baik perkatannnya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesa dan mematuhi perintah ) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam ( yang berserah kepada Allah) “.

( Surah al Fussilat ayat 33 )



KISAH DAUN

“ Baik, murid-murid. Siapa boleh beritahu Cikgu, apakah warna daun pokok ?” tanya seorang guru kepada anak muridnya.

“ Warna hijau Cikgu,” kata anak murid di hadapan.

“Warna merah pun ada Cikgu,” jawab pula murid di sebelah kiri.

“ Bukan merah je, warna kuning dan coklat pun banyak, Cikgu “ tambah anak murid yang duduk di bahagian belakang sekali.

“ isyh isyh, salah tu, mana ada daun warna coklat, kuning dan merah,” bidas Cikgu sambil disambut gelak ketawa teman-teman sedarjah. Anak murid yang menjawab berkerut dahi tertanya-tanya siapa benar dan siapa yang salah.

Murid di sebelah kiri pernah duduk di negara terbitnya Matahari. Bukan sekadar pernah melihat, fotonya berlatarkan daun merah juga masih ada sebagai bukti. Manakala murid yang duduk di sebelah belakang pula menjawab demikian kerana itulah warna-warna daun kala musim luruh di United Kingdom.


Seorang guru yang alim dan berilmu pengetahuan tidak akan cepat membuat keputusan sebelum meneliti segala kemungkinan. Alangkah elok lagi wajar jika guru terlebih dulu mendapatkan penjelasan dari jawapan yang diberikan. Seorang guru yang cepat melatah, pasti akan merah wajah bila kebenaran ternyata sudah. Malu kerana berbuat salah dek takut menyatakan yang benar!


LUAS PENGALAMAN, BERTAMBAH PENGETAHUAN

Ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari diri seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar)

Seorang guru yang baik akan menjadikan dirinya tergolong dalam mana-mana kumpulan yang disebut oleh Nabi sebagaimana hadis di atas, iaitu menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain, menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu), mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu dan menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka KECUALI golongan kelima iaitu kumpulan yang digelar sebagai bodoh sombong’. Tahu bahawa diri tidak tahu, tetapi pura-pura tahu dan tidak mahu menambah ilmu.

Amat bahaya seorang guru yang mengajar tanpa ilmu, sekadar buat-buat tahu kerana malu untuk mengaku. Dia akan membawa pelajar ke lorong yang salah kerana tidak tahu arah simpang yang benar. Jadilah dia sesat dan menyesatkan orang lain pula. Justeru, luaskan pengalaman dengan banyak membaca, bertanya dan belajar. Pasti akan bertambah pengetahuan dan seterusnya apa sahaja perkataan akan menjadi bekalan buat anak didik meneruskan kehidupan.


KITALAH GURU-GURU ITU

Walau siapa pun kita, sedar atau tidak kita juga merupakan guru tidak lansung kepada diri dan mereka yang berada di sekitar kita. Seorang suami adalah guru kepada isterinya. Seorang ibu pula merupakan guru kepada anak-anak, cahaya matanya. Begitulah seterusnya, semua berperanan sebagai pendidik untuk diri dan orang-orang yang disayangi.

Bagi saya, tiada guru yang lebih layak dijadikan contoh selain guru bernama Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah Junjungan tercinta serta para sahabat dan sahabiah di zaman Baginda. Pada mereka terhimpun segala tauladan terbaik untuk menjadi guru yang cemerlang walau apa pun peranan yang dimainkan. Baik sebagai anak, suami, isteri, ayah, ibu, kakak, abang, adik dan lain-lain lagi.

Kitalah guru-guru itu...menongkah arus melawan fitnah,

Mendidik generasi mentaati Allah dan Rasulullah,

Jangan salah didik, jangan silap asuh,

Kelak murka Allah tak mampu kita tempuh.


Bottom of Form

Sematkan sabda junjungan ini sebagai pegangan dan ingatan , maksudnya:

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

18 JamadilAwwal 1430

13 Mei 2009


9 May 2009

MARI MENYINTAI-NYA


Seorang anak terburu-buru datang ke hadapan ayahnya, menghulur tangan untuk meminta wang saku.


“Cepatlah ayah, dah lambat ni,” kata si anak dengan nada mendesak.


Si ayah menyeluk poket seluar lalu memberi tanpa banyak tanya. Pantas tangan si anak mencapai wangnya. Tiada ucapan terima kasih apatah lagi memberi salam sebelum berlalu pergi.


Esoknya, si anak berjalan-jalan pula bersama ibunya ke sebuah pasaraya.


“ Ibu, baju di kedai itu cocok dengan warna kulit saya. Saya nak ibu belikan, “ desak si anak dengan wajah mengharap. Ibu yang baik hati tidak sanggup menghampakan. Si anak menerima dengan senyum bangga. Apa sahaja yang diminta, pasti dipenuhi oleh ibu dan ayahnya.


Lusa, sekali lagi si anak meminta.


“ Ayah, untuk ulangtahun kelahiran saya nanti, saya nak ayah belikan basikal ini sebagai hadiah,” ujar si anak sambil tersenyum-senyum menunjukkan gambar basikal idamannya.


“ Saya sudah berjanji mahu berbasikal bersama kawan-kawan ke sekolah,” si anak menambah tanpa sempat si ayah berkata sepatah.



DI KETIKA YANG SAMA


Di sana sini ada tangan-tangan yang menadah meminta kepada Pencipta Yang Maha Agung.


“ Ya Allah , kurniakanlah aku kejayaan dalam peperiksaan yang bakal menjelang. Peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju hidupku di masa depan. Agar kelak aku dapat berbakti untuk agama, bangsa dan tanah airku ini.”


“ Wahai Tuhan Yang Maha mendengar, berikan aku kesihatan agar dengannya aku dapat berusaha mencari sesuap nasi. Seterusnya aku dapat memberikan kebahagiaan kepada keluargaku. Jauhkanlah bala bencana dan juga penyakit-penyakit berbahaya….”


“ Wahai Zat Yang Maha Kaya, kurniakan aku rezeki yang melimpah ruah agar dengannya aku tidak meminta-minta kepada selain dari Mu. Juga aku dapat berbahagi bahagia dengan orang-orang susah dan memerlukan di sekelilingku.”


“ Ya Allah, hatiku kini dipenuhi cinta kepada manusia. Izinkanlah dia sebagai pasangan hidupku, agar kami dapat membina keluarga bahagia berpaksikan mawaddah wa rahmah. Keluarga sakinah yang dapat meneruskan generasi soleh untuk hari akan datang.”


Dan bermacam bentuk lagi permintaan kepada Allah Azza wa Jalla.


Si anak meminta kepada ayah dan ibunya, manakala yang diciptakan memohon pula kepada Pencipta mereka. Ada persamaan pada kedua-duanya.



KITAKAH ITU ?


Bagaimana agaknya perasaan kita sebagai ibu atau bapa sekiranya anak bersikap begitu ? Kerap meminta, tapi jarang berterima kasih sekadar untuk berbudi bahasa. Apakah kita sedih, terkilan, kecewa, marah atau..Cuba kita merenung ke dalam diri sendiri. Sikap tersebut sebenarnya pernah ada, sedang dan akan terus mendarah daging bersatu dengan nyawa kita. Selamanya, sehingga kita dibawa pergi mengadap Yang Maha Esa.

Itulah sikap kita terhadap Pencipta. Umpama si anak yang hanya tahu meminta tapi sangat culas membalas dengan rasa kepadaNya. Tiada rasa kasih berinti cinta. Bayangkan kepedihan di hati apabila si anak meminta namun riak di wajahnya tidak pernah menunjukkan rasa cinta dan kasih di hatinya kepada yang ‘memberi’ iaitu ibu bapanya. Alangkah sakitnya bila cinta yang dihulur tidak bersambut. Hanya bertepuk sebelah tangan, tiada balasan.


Pedih atau tidak andai si anak yang meminta sesuatu kepada si ayah bukan kerana cinta kasihnya kepada ayah dan ibu, tetapi kerana kerakusan nafsu kehendaknya semata ?


Itulah permintaan dan permohonan yang kering tanpa cinta dan kasih mesra. Yang diminta tidak lagi dilihat sebagai tempat bergantung dan menabur kasih, tetapi berubah sedikit demi sedikit seumpama ‘kuli’, dan akhirnya keadaan yang berlaku umpama ibu bapa menjadi hamba kepada anak. Itulah antara tanda hampirnya kiamat. Nantikan saja kehancuran dan kebinasaan dunia.



CINTA DIPINTA, MENYINTAI DILUPA


Kita mahu dicintai tapi kita sendiri tidak menyintai, adilkah begitu?


Dulu kita meminta berjaya dengan cemerlang. Lalu Allah memberi kita kejayaan gemilang. Tapi kita membalas dengan bermalas-malas mengerjakan sembahyang. Lebih buruk lagi, ada setengah orang sembahyang pun sudah mula ‘curi-curi tulang’. Solat yang wajib pun jarang-jarang, solat sunat apa nak dikenang. Sungguh, Allah kita tidak sayang!


Suatu ketika, kita meminta diberi rezeki. Siang dan malam kita merintih. Lalu Allah memberi, tapi kita lupa membalas budi. Rezeki yang melimpah ruah, semakin menjauhkan kita dari bersifat pemurah. Banyak berkira walau untuk sedekah. Inikan pula untuk beramal jariah. Sungguh, suruhan Allah kita tidak endah!


Pernah dulu kita meminta dikurniakan pasangan bahagia. Lalu Allah memberi, tapi sekali lagi kita lupa diri. Kita kata hendak bina ‘Rumahku syurgaku’, tapi yang berlaku jauh dari yang Allah mahu. Isteri dan anak-anak tidak ikut syariat, suami yang juga ayah hanya memandang tanpa rasa bersalah. Keseronokan dunia jadi keutamaan. Urusan akhirat, buat yang mana sempat. Esok lusa boleh bertaubat. Baik suami mahu pun isteri, masing-masing tidak bersunguh-sunguh mengerjakan perintah Ilahi. Sungguh Allah kita tidak kasihi!



BILA WAHYU BERBICARA


Ada suara-suara yang bertanya, salahkah kita meminta-minta. Bukankah Allah itu Maha Kaya, kerana Allah sendiri telah berfirman yang maksudnya :


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..”


Nanti dulu. Jangan terburu-buru. Jangan biarkan nafsu berterusan menipu. Cuba baca sehingga akhir ayat. FirmanNya lagi yang bermaksud :

“…maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Surah al Baqarah ayat 186 )


Berdoa bukan saja suatu ibadat. Malahan ia merupakan suatu alamat ( bukti dan tanda ) pengakuan kita kepada Allah, Tuhan yang berhak disembah. Memohon dan meminta-minta kepada Allah sebagai pengiktirafan bahawa hanya DIA yang Maha Berkuasa memenuhi segala hajat manusia. Ayat ini sering kita ulangi setiap rakaat solat fardhu mahu pun sunat, iaitu firman Allah SWT yang bermaksud :


“Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” ( Surah al Fatihah ayat 5 )


Namun, kita adalah manusia yang selalu lalai dan leka. Lain yang diperintah, lain pula yang kita laksana. Semuanya gara-gara salah dengar dan silap memahami. Mendengar tidak sepenuh hati. Memahami hanya yang serasi dengan naluri. Arahan yang tidak kena dengan jiwa ( baca : NAFSU ) kita abaikan saja. Belum dapat kita berjanji macam-macam, bila apa yang diminta sudah berada dalam genggaman, janji lain pula yang kita sulam.


Benarlah bila mana Allah SWT berfirman :


“ Dan sedikit sahaja hambaku yang bersyukur “ ( Surah Saba' ayat 13 )



TANGGUNGJAWAB TERASA BAK BEBAN


“ Ha..cepat apa lagi yang nak dibeli ni? abang ada banyak kerja lagi selepas ni,” kata seorang suami yang sedang membeli belah bersama anak dan isteri.

Si isteri yang sedang memilih barang, terhenti keinginan untuk membeli. Keluar bersama yang dirasakannya mampu menyemarak hubungan kasih dan mesra sesama keluarga, rupa-rupanya hanya sekadar memenuhi kewajipan tapi kosong dari rasa cinta. Segalanya kerana terpaksa demi memenuhi kewajipan berkeluarga.

“ Tak apalah, bang. Cukup dah rasanya ni,” jawab si isteri serba salah. Anak-anak pula hanya memandang dengan perasaan gelisah.

“ Mengapa ayah selalu terburu-buru. Tidak bahagiakah keluar bersama kami ?” demikian detik hati anak-anak.

Mungkinkah begitu juga hubungan kita dengan Allah yang Menciptakan. Tanggungjawab yang diperintahkan seperti solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain hanya demi menunaikan kewajipan semata-mata, bukan kerana cinta kepadaNya. Bila selesai kewajipan dilaksana, terasa ringan bagai melepas beban di atas kepala. Tanggungjawab itu suatu bebanan, perlu segera dilepaskan. Begitukah kita ?

“ Dah wajib, nak buat macam mana, “ kata seorang wanita kepada rakannya tatkala membicarakan kewajipan menutup aurat. Kata-kata yang menunjukkan tidak redha terhadap kewajipan yang diperintahkan. Buat, tapi tidak rela. Taat, tapi kerana terpaksa.



CARA MENYINTAI-NYA


Kita masih belum terlambat. Selagi nafas masih ada, ruang kembali bercinta kepadaNya terbuka luas. Bagaimana caranya ?

1)Hayati sifat-sifat Allah Yang Maha Sempurna – pepatah mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’. Manfaatkan segenap pancaindera yang ada untuk mengenal Pencipta. Dari mata turun ke hati, dari telinga terbit rasa suka, lalu dengan lidah, alunan zikir sentiasa berkumandang menyatakan rasa cinta kepada Allah SWT. Seterusnya, tubuh ikut ruku’ dan sujud menyembah yang Esa, penyembahan yang sebenar ikhlas kerana kasih setia kepadaNya. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu berkata : Berkatanya rasulullah sallallahu alaihi wassalam : Sesungguhnya allah Taala telah berkata : Barangsiapa yang memusuhi wali ku (6) maka Aku akan isytiharkan perang baginya,dan perkara yang dapat mendekatkan diri seorang hamba kepadaKu ialah pada apa yang Aku sukai terhadap kewajipan-kewajipan yang telah Aku wajibkan ke atas mereka,dan seorang hamba itu tidak akan dapat mendekatiKu dengan melakukan perkara-perkara sunat sehinggalah Aku mencintainya,jika Aku sudah mencintai dirinya,maka Akulah pendengarannya pada apa yang didengarinya,dan Akulah penglihatannya pada apa yang dilihatnya,dan Akulah tangannya pada apa yang dilakukannya,dan Akulah kakinya pada setiap yang dilaluinya,dan jika dia meminta kepadaKu maka pasti Aku akan memberinya,dan jika dia minta dilindungi,maka Aku pasti akan melindunginya” ( Riwayat Imam Bukhari bernombor 6502 dan Imam Baihaqi bernombor 219/10 pada sunan beliau ).


Seterusnya apabila datang sebarang musibah dan dugaan hidup, semua itu dapat dihadapi dengan sabar dan berbaik sangka kepada Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhari )

2)Merasakan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai melaksanakan perintah Allah, bahkan cinta kepada Baginda dikehadapankan berbanding kecintaan kepada diri dan keluarga sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah Ali-Imran ayat 31).

Cinta yang dirasakan terhadap Baginda Rasul Junjungan meresap ke dalam hati lalu diterjemahkan kepada sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Kesempurnaan Rasulullah dihayati dan diyakini bahawa padanya terkumpul segala kesempurnaan seorang manusia baik bentuk fizikal mahupun akhlak lahiriahnya. Hanya Rasulullah sebaik-baik ikutan untuk menyintai Yang Maha Menciptakan.


3)Cintai diri dan keluarga kerana Allah semata-mata. Sentiasa memaksa diri melakukan yang terbaik untuk akhirat yang kekal abadi kerana di sana Cinta Ilahi yang abadi dan kekal sedang menantinya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” ( Surah At Tahrim ayat 6)


MARI MENYINTAI-NYA


Akhirnya, mari kita mulakan langkah untuk membuktikan bahawa DIA kita cinta. DIA kita sayang dan DIA sentiasa kita peduli.

Walau nanti kita terlantar sakit dengan mata yang tidak lagi boleh melihat, telinga yang tidak mampu lagi mendengar, lidah dan bibir yang tidak mampu lagi mengalun zikir atau anggota yang tidak boleh lagi beribadah kepadanya, yakinlah bahawa kita masih ada sekeping hati yang sentiasa segar membisikkan kalimah cinta kepadaNya. Hati yang nantinya di sana menjadi bahan bukti bahawa hanya Allah, DIA yang paling kita kasihi.

Mencari dan mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.


14 Jamadil Akhir 1430


9 Mei 2009

1 May 2009

ANUGERAH HIDAYAH


Saya memanggil nama mereka satu persatu. Seorang demi seorang tampil ke depan mengambil markah pada lembaran kertas peperiksaan. Ada yang menerima dengan wajah biasa. Ada yang menerima dengan riak gembira, dan tidak kurang juga yang menerima dengan rupa kecewa. Namun, semua rasa dipendam tanpa sepatah kata.


Bersusun warna biru pada helaian markah pelajar dengan di selang seli satu dua nombor bertinta merah di sebelah nama mereka. Hati saya tidak ceria. Melihat markah yang mendominasi kebanyakannya hanya cukup-cukup makan sahaja, apatah lagi menatap pemilik nama yang memperoleh warna merah. Bimbang, gusar dan amat tidak menenangkan. Suara bising pelajar yang berbual sesama mereka saya biarkan tanpa endah. Saya bagaikan tidak mahu bersuara apa pun saat itu. Hanya melayan kecamuk jiwa yang sedang menebal di dalam dada.



MULIA YANG PERLU DIPUPUK


“ Astaghfirullah, “ saya tersedar dari lamunan perasaan. Alangkah ruginya masa yang ada berlalu percuma. Sesuatu mesti diberitahu. Cepat-cepat saya bangun. Melihat itu, pelajar yang tadi berbual kosong kembali membetulkan duduk. Saya menoleh memandang wajah-wajah muda di hadapan saya, pelajar tingkatan 2 dari dua kelas yang dicantumkan untuk matapelajaran agama. Raut wajah mereka masih molek, belum bernoda dengan sebarang alat solek.


“ Berapa umur kamu sekarang ?” saya menyoal sambil memandang dari depan ke belakang.
“ 14 tahun Ustazah, “ balas mereka serentak.


“ Antara saya dan kamu semua, siapakah yang lebih mulia?” saya menyoal lagi ingin menguji.


“ Tentulah ustazah, sebab ustazah mengajar kami perkara-perkara baik, “ Amal, yang selalu duduk di depan sekali menjawab. Kawan-kawannya menggangguk mengiakan.


“ Kalau saya kata kamu sebenarnya lebih mulia berbanding saya, bagaimana ?” saya melanjutkan pertanyaan. Anak murid di hadapan saya saling berpandangan.


“ Takkan kami lebih mulia berbanding ustazah, “ kata Amira pula dengan wajah jelas tertanya-tanya. Saya tersenyum sebelum melanjutkan bicara. Kelihatannya mereka teruja dengan pertanyaan saya. Ini peluang baik, hati saya berbisik.


Saya kembali duduk bertimpuh di hadapan mereka. Waktu-waktu begini suasana di dalam surau memang sunyi dan damai. Hanya bunyi putaran kipas angin yang sampai ke gegendang telinga.


“ Ustazah, ceritalah kenapa ustazah kata kami lebih mulia, “ desak dua tiga pelajar yang duduk sebelah menyebelah. Nampak tidak sabar mereka mendengar penjelasan selanjutnya.


“ Umur kamu dan saya sangat berbeza. Saya sekarang berumur 31 tahun sedangkan kamu baru berusia 14 tahun. Kamu masih muda sedang saya semakin berusia. Jika dihitung dosa tentulah kamu lebih mulia dari saya, kerana dosa kamu masih sedikit berbanding saya yang telah hidup lebih dulu,” saya menjelaskan penuh keinsafan. Pelajar yang mendengar menekur memandang lantai.

“ Jadi, saya amat berharap agar kemuliaan ini kamu kekalkan. Hari ini, esok dan seterusnya untuk masa-masa akan datang,“ saya menambah bual kata.


“ Apa yang boleh kami buat Ustazah ? “ Asyikin mencelah.


“ Banyak. Antaranya ialah dengan berbuat baik sesama kawan dan guru-guru, juga tidak lupa perintah Allah dan jauhi laranganNya. Kita mulia kerana Iman dan Islam, bukan dengan pangkat, kecantikan dan harta kekayaan, “ panjang lebar saya menghuraikan.



ALLAH LEBIH MENGETAHUI


Saya bergerak ke papan putih, mengambil pen dan melukis satu bulatan kecil. Pelajar di belakang kedengaran berbisik antara mereka.


“ Baik, siapa boleh beritahu saya, benda apakah yang saya lukis ini ?” saya bertanya seraya menunjuk kepada bulatan di atas papan putih.


“ Bola Ustazah, “ satu suara dari belakang menjawab dengan nada berjenaka. Semua ketawa mendengarnya. Saya menggeleng kepala tanda jawapan yang diberi tidak mengena.


“ Bulan..bulan..,” jawab pelajar di tepi kanan saya pula. Sekali lagi saya menggelengkan kepala.
“ Bukan juga. Kalau begitu saya fikir matahari sedang gerhana, “ Amal pula menjawab disambut gelak besar kawan-kawannya. Saya yang mendengar turut tercuit hati.


“ Baik. Semua jawapan tadi salah. Apa yang saya lukis ini ialah sebiji kuih pau.” Kali ini giliran saya pula diketawakan oleh mereka. Mungkin gelihati dengan jawapan yang tidak mereka sangka.


“ La...kuih pau rupanya. Ustazah ni buat lawak je la, “ ujar Amira, sempat lagi mengenakan saya. Saya tersenyum, terhibur dengan keriuhan anak murid di depan mata.


“ Lawak Ustazah bukan sebarang lawak. Ustazah sebenarnya membuat satu analogi mudah, bahawa sesuatu yang dilukis, walau ada pelbagai tafsiran orang yang melihat, tapi jawapan yang tepat tetap ada pada si pelukis. Dia lebih tahu kerana dia yang melukisnya,“ Saya kembali serius menyambung penjelasan.


“ Demikianlah Allah SWT. Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. DIA menjadikan kita dari tiada kepada ada, tentulah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita jalani sepanjang hidup di dunia ini.” Saya memanjangkan huraian. Kelihatannya mereka semakin berminat mendengar.


“ Lalu Allah menurunkan wahyuNya berupa perintah dan larangan melalui Rasulullah SAW agar kita mampu menjadi mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh agama. Allah perintahkan kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji, menutup aurat, menuntut ilmu, berbuat baik sesama manusia dan banyak lagi. Juga Allah melarang minum arak, berjudi, berkata keji, malas belajar dan lain-lain lagi. Semua ini merupakan peraturan-peraturan yang wajib kita patuhi sebagai orang Islam yang beriman kepadaNya. Segalanya telah tertulis di dalam al Quran dan Sunnah RasulNya,” saya menambah lagi dan lagi.



KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT


“ Saya tahu ramai di kalangan kamu yang memperoleh markah cemerlang dalam subjek-subjek ; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain. Tahniah saya ucapkan. Cuma apa yang agak mendukacitakan saya, mengapa pencapaian kamu dalam subjek agama tidak secemerlang seperti yang lain-lainnya ?”


“ Bayangkan jika markah yang kamu perolehi ini, seumpama peratusan iman untuk kamu persembahkan di hadapan Allah kelak, apa agaknya pengakhiran yang bakal kamu terima. Syurga atau neraka ?” bertalu-talu saya menyoal supaya mereka berfikir dan terus mencari jawapan.


Hilang sudah gelak tawa. Kini, masa untuk bermuhasabah pula. Saya sayang mereka sebagaimana saya menyayangi diri saya sendiri. Mereka masih punya banyak masa untuk berubah dan memperbaiki diri.


Suasana sunyi. Saya hanya memerhati dan membiarkan mereka berfikir sendiri. Depan, belakang, kiri dan kanan. Semuanya bagaikan sedang bermonolog di dalam diri.


“ Saya yakin pelajar-pelajar di hadapan saya sekarang ini bakal bergelar doktor, pegawai tinggi, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan mungkin juga pemimpin negara di masa depan. Saya amat berbesar hati mengingatkan itu. Akan tetapi, saya akan lebih berbangga jika yang muncul kelak adalah doktor, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan pemimpin negara yang menjadikan Islam sebagai panduan hidupnya. Ringkasnya kamu cemerlang untuk kehidupan dunia, juga gemilang untuk kehidupan di akhirat sana,“ saya berhenti seketika. Memandang mereka sekilas sebelum menyambung semula bicara.


“ Saya percaya kamu semua mampu melakukannya. Lihat markah kamu hari ini dan berjanjilah pada diri sendiri untuk memperbaiki keputusan bagi peperiksaan akan datang. Bukan sekadar untuk peperiksaan di dunia, tetapi juga untuk persediaan menghadapi alam sebelah sana. Alam akhirat yang tiada lagi hayat dunia. Apa yang perlu adalah usaha, dan tidak kenal malu untuk bertanya. Jika tidak mampu menyoal di dalam kelas, saya berharap kamu berjumpa saya di luar pengajian. InsyaAllah saya akan cuba membantu,” saya menutup kata dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Bagaikan ada sinar harapan pada wajah-wajah di hadapan saya.



ANUGERAH HIDAYAH


Wajah-wajah bersih itu kini tidak lagi berada di hadapan saya. Semuanya tinggal sebagai pengalaman yang sempat saya kutip sewaktu berada di alam pendidik. Pengalaman yang turut mengajar saya menghargai mereka yang bergelar anak murid.


Saya hanya menyampaikan, selebihnya doa saya panjatkan ke hadrat yang Esa agar hidayahNya mengiringi kehidupan mereka untuk semalam, hari ini dan akan datang. Melihat sebahagian mereka sudah mula mengenakan pakaian menutup aurat, menjadikan saya orang yang paling bersyukur atas nikmat dan anugerah hidayah dariNya. Mereka saya titipkan di bawah pentarbiyahan ustazah lain yang masih terus berjuang di samping mereka.


Terima kasih anak muridku. Kalian kekal sebagai sebahagian dari orang-orang yang pernah hadir di dalam kehidupan saya di dunia. Kita pernah bersama seketika, dan moga ada jodoh untuk kita berjumpa pula di ‘sana’. Firman Nya yang bermaksud :


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai hari Pembalasan (hari akhirat). Hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.
( al Fatihah : ayat 1 – 7 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.


6 Jamadil Awwal 1430


1 Mei 2009