“Saya mengenali seorang sahabat
yang hidup berpoligami. Kerana kerap menahan rasa dia selalu berdoa agar dia
tidak dijodohkan kembali dengan suaminya jika ditakdirkan menghuni syurga. Bolehkah
doa yang begitu? Jika ustazah ada peluang berkongsi pandangan.”
Saya membaca persoalan yang
diselit sedit kisah di atas dengan senyuman pahit bersama rasa simpati, mengerti
dan memahami bahawa jiwa seorang wanita bernama isteri, saat emosi menguasai
diri, bicaranya biasa begitu; agak melulu, tidak menentu.
Meneliti kisahnya dari mesej yang
agak panjang lebar, saya merasakan suami wanita itu bukanlah seorang lelaki
yang cenderung menzalimi isteri, bahkan ada sikap baiknya yang disenaraikan, yang pada saya cukup untuk
meletakkan suami itu dalam senarai lelaki yang baik.
Begitu juga si isteri yang
masalahnya dikisahkan kepada saya dari mesej tadi, pastinya seorang suri yang baik
juga. Jika tidak, dia tidak akan mengandaikan dirinya menghuni syurga. Cuma,
mungkin kerana ada selitan peristiwa pedih dan mengusik jiwa kewanitaannya, dia
justeru enggan ‘bertemu jodoh’ semula dengan suaminya itu di syurga.
UJIAN ‘RASA’
Ujian ‘rasa’ sememangnya satu
ujian yang besar dan memerlukan mujahadah, sama ada bagi wanita yang berada
dalam perkahwinan monogami, terlebih lagi kepada yang sedang berada di alam
poligami. Kerana itu, saya pernah menyatakan bahawa cabaran rumahtangga poligami
mampu diharungi kerana setiap individu di dalamnya bergerak sebagai satu
pasukan, di mana setiap daripada mereka menginginkan kebahagiaan dan
kesejahteraan itu dinikmati bersama-sama bukannya secara berseorangan
semata.
Jika ‘team spirit’ berinti
iman ni dijadikan landasan, maka
keharmonian dan kedamaian dalam rumahtangga poligami bukanlah sesuatu yang
mustahil untuk dibina seterusnya diperkasa.
Selanjutnya, saya juga menegaskan
bahawa dalam menjalani kehidupan berpoligami ini, peranan menjaga emosi bukan
semata-mata terpikul ke atas bahu suami, akan tetapi ia juga berada dalam
senarai tanggungjawab kendiri seorang isteri. Jika keadilan ini dibebankan
ke atas pundak seorang suami tanpa kerjasama padu daripada pihak isteri-isteri,
maka keberhasilan yang manis di akhirnya sukar dicapai dan dinikmati bersama.
SEDIKIT PANDUAN
Untuk itu, melalui pengalaman
yang masih setahun jagung usianya ini, saya suka berkongsi beberapa tips atau
lebih tepatnya adab, bagaimana seorang isteri dapat menjaga dan mengawal
emosinya dari dibakar rasa yang tidak menentu terutama api cemburu :
1)Elakkan dari bertanya
soalan-soalan atau mengeluarkan ucapan berbaur provokasi atau sekadar mahu
menyakitkan hati pasangan yang akhirnya akan meyakitkan diri sendiri
juga.
Contohnya : "Abang lebih
suka makan di rumah sana kan? Ye lah, masakan saya ni sedap manalah..."
dan seumpamanya; sedangkan bukankah lebih baik jika inginkan pengiktirafan
suami terhadap masakan sendiri atau apa jua kebaikan yang telah dilakukan,
ajukan secara berhemah dan membuka hati.
"Macam mana abang, ok tak
masakan saya? Kalau ada yang kurang, abang tolong komen ye, in shaa ALLAH, saya
akan perbaiki di lain masa." Sambil diiringi dengan senyuman manja.
Bukankah lebih berbaloi dan menyejukkan rumahtangga?
Ayat cinta ALLAH ini selalu
dibacakan suami buat mengingatkan kami agar berhati-hati dalam melontar
pertanyaan dan kata-kata :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَسْأَلُواْ عَنْ أَشْيَاء إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُواْ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللّهُ عَنْهَا وَاللّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur'an itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” ( Surah al Maidah ayat 101, 5:101 )
2) Hormati ‘item-item’ peribadi suami seperti telefon bimbit, laptop/komputer peribadi, emel, mesej dan seumpamanya serta elakkan dari berusaha mencuri-curi lihat, sengaja ‘menggodek-godek’ tatkala peluang terbuka di depan mata dengan niat mahu menyiasat apakah yang telah atau sedang dilakukan oleh suami bersama isteri yang lain.
Usaha ini bukan sahaja tidak
membawa apa-apa makna untuk kebaikan iman dan jiwa, bahkan lebih dari itu akan
menimbulkan cemburu yang membuak-buak dan prasangka yang bukan-bukan. Lebih
bimbang, ia juga memungkinkan seorang isteri melakukan tegahan ALLAH iaitu
‘tajassus’, sengaja mencari-cari kesalahan dan silap suami. Akhirnya, hati dan
diri sendiri juga yang merana dan kecewa sedangkan di pihak suami, sudah
berusaha sebaiknya menjaga.
Bukankah setiap isteri dan
keluarga punya hak yang sama, jadi pastinya ada gambar-gambar dan mesej-mesej
peribadi yang disimpan di dalam telefon bimbit atau komputer peribadi
suami.
Sifirnya mudah : “Jika tangan dan kehendak sendiri tak mampu diselia, usah pula menyalahkan orang lain, andai sakit dan pedih yang singgah dalam jiwa.”
Pada saya, setelah suami
mengingatkan tentang ini demi menjaga kemaslahatan semua isteri, adalah ‘berdosa’
bagi seorang isteri jika amanah dan kepercayaan yang diberi dikhianati. Seorang
suami berjaya untuk berlaku adil, adalah dengan kerjasama daripada pihak
isteri-isterinya juga.
3)Setiap isteri juga pastinya
inginkan ‘ me time’ bersama suami; justeru kepada isteri yang bukan
dalam waktu gilirannya pada hari tersebut, elakkan dari terlalu kerap
menghantar mesej atau melakukan penggilan telefon kecuali atas sesuatu yang
benar-benar perlu, seperti memaklumkan tentang kedatangan ahli keluarga atau
rakan-rakan ke rumah, meminta izin untuk pergi ke sesuatu tempat, anak sakit
dan seumpamanya.
Walaubagaimanapun, tidaklah
menjadi satu kesalahan pula di pihak suami yang baik dan bertanggungjawab dari
bertanya khabar isteri dan keluarganya yang bukan pada tempoh giliran tersebut.
Kerana, sikap ambil berat suami begini, menjadikan isteri dan keluarga sangat
dihargai dan disayangi. Lalu, jika suami menghantar mesej dan melakukan
panggilan telefon, kepada isteri balaslah sekadarnya tanpa berlebih-lebih demi
menjaga masa isteri lain yang sedang bersama-sama suami ketika itu.
4)Dahulukan baik sangka
dan berikhtiar menjauhi buruk sangka, baik kepada madu, terlebih lagi kepada
suami. Sentiasalah memberi ingatan kepada diri sendiri tentang ayat ALLAH yang
menyebut tentang prasangka sebagaimana firman-NYA :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Al Hujurat ayat 12, 49:12 )
Setiap orang bertanggungjawab ke
atas pilihannya. Jalan bahagia atau sebaliknya, ia bergantung kepada
kecenderungan dan pilihan untuk dirinya sendiri. Jika prasangka bukan-bukan
yang lebih menempati jiwa, maka bagaimana cahaya bahagia dapat mengambil bahagian
padanya?
5) Sesuatu yang paling utama dalam menangani ujian rasa ini ialah meletakkan kembali cinta kepada manusia ( suami ) kepada tempatnya yang sebenar. Hakikatnya, poligami menyediakan ruang bagi wanita untuk mentadbir cinta yang benar kepada manusia lain, iaitu suami dengan menjadikan cinta ALLAH sebagai paksi. CINTAILAH SUAMI KERANA ALLAH.
5) Sesuatu yang paling utama dalam menangani ujian rasa ini ialah meletakkan kembali cinta kepada manusia ( suami ) kepada tempatnya yang sebenar. Hakikatnya, poligami menyediakan ruang bagi wanita untuk mentadbir cinta yang benar kepada manusia lain, iaitu suami dengan menjadikan cinta ALLAH sebagai paksi. CINTAILAH SUAMI KERANA ALLAH.
Cinta yang berlebihan sehingga
menyesakkan suami untuk berlaku adil, berada dalam serba salah seolah sentiasa
diperhati dan diadili, bukanlah satu iklim yang sihat untuk sesebuah
rumahtangga mencapai harmoni. Yakinlah sebarang nilai yang disandarkan kepada
ALLAH, pasti akan ada kebaikan mengiringi. Sesungguhnya tiada yang lebih
beerti, melainkan menyintai seorang suami kerana ALLAH dan itu membawa pula
kepada bertambahnya keimanan dan ketaqwaan seorang isteri kepada Rabbnya.
NIKMATI SEKARANG!
Akhirnya, persoalan tentang doa
pula, saya suka untuk berkongsi satu doa yang pada saya lebih baik untuk
dijadikan amalan agar rasa bahagia yang dapat dijana lebih sederhana sifatnya.
"اَللَّهُمَّ
قَنِّعْــنِيْ بِـمَا رَزَقْــــتَــنِيْ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ، وَاخْلُفْ عَلَى
كُـلِّ غَائِـبَةٍ لِيْ بِـخَيْرٍ"
Maksudnya : “Ya
Allah, jadikanlah aku merasa qana’ah (merasa cukup, puas, rela) terhadap
apa yang telah engkau rezekikan kepadaku, dan berikanlah barakah kepadaku di
dalamnya, dan jadikanlah bagiku semua yang hilang dariku dengan yang lebih
baik.” ( Hadis riwayat al Hakim )
Walaupun berkata tentang
ini lebih mudah dari melaksana, namun sesuatu yang perlu diinsafi, hidup ini
sememangnya adalah perjalanan yang digariskan memiliki dua rasa, ia hadir silih
berganti mewarnai kanvas hidup; sebagai ujian keimanan TUHAN ke atas
hamba-hambaNYA: manis dan getir, lapang dan sesak, suka dan duka, nikmat dan
musibah; serta sabar dan syukur.
Tidak ada seorang pun yang boleh
lepas dari dua rasa itu, termasuk juga mereka yang dicintai-Nya. Sejarah
nabi-nabi, para rasul, waliyuLlah dan orang-orang soleh yang sering meniti
bibir menukilkan bahawa kian agung nikmat, semakin besar pula musibah dan
ujiannya.
Sesuatu yang pasti, nilai indah
kehidupan ini boleh susut dan sirna hanya kerana dua perkara :
1) kekhuatiran yang melampau
terhadap hari esok
2) kesedihan serta kekecewaan
yang menguasai atas penderitaan semalam
Kerana itu, ramai manusia terikat
dalam penjara masa : 'suatu hari nanti', 'moga-moga esok hari..', 'alangkah
baiknya jika semalam' , 'bila masa mengizinkan' dan seumpamanya untuk mencicip
gembira, mengangankan bahagia...sedangkan hanya satu tindakan sahaja untuk
mereka bebas darinya...
Nikmati hari ini, waktu
ini...SEKARANG juga!
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu
yang disayangi atau sesiapa pun jua yang dikasihi, walau dia yang paling kita
cintai di dunia ini hanya menemani kita pada satu tempoh tertentu sahaja;
sampai ketikanya semua itu bakal pergi, sehingga ada di antara kita yang
'terpaksa' meneruskan kehidupan ini seorang diri....
Justeru, biarlah dari saat ini
kita telah menginsafi, bahawa hanya DIA, Allah Yang Maha Pengasih, tetap bersama,
melindungi dan menjaga hingga akhir hayat kita di dunia....
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.