11 September 2009

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA

Ramadhan 1430 Hijriah bakal pergi. Menghitung Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya jadi sedih. Namun, peluang yang berbaki untuk memburu dan menjejak Lailatulqadr tidak harus dipersia. Dapat atau tidak bagi saya biarlah DIA yang menentukannya, siapakah gerangan insan-insan bertuah yang dianugerahkan kesempatan untuk bertemu malam yang berkah.

Bagaimanakah puasa kita ? Tepuklah dada, tanyalah hati dan budi. Iman yang menjawab atau masih ada suara-suara nafsu merajai jiwa.

Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh keampunan dari-Nya, dan alangkah rugi bagi mereka yang hanya merasai lapar dan dahaga sepanjang melaksanakan perintah Yang Maha Esa.


NASIHAT DAN KEMAAFAN
Cukuplah dalam menyambut Aidilfitri yang menyusul tiba, nasihat melalui nasyid di bawah ini akan sentiasa menjadi ingatan dan pedoman kita.



Seterusnya, mengenangkan kesempatan yang mungkin tiada untuk menulis dan menyapa sahabat-sahabat maya sebaik sampai di Malaysia, saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon kemaafan.

Jika ada kata yang mengguris rasa lewat penulisan saya, janganlah ia menjadi jarak yang memisahkan hati-hati kita. Akan tetapi, anggaplah ia sebagai nasihat dan tanda kasih dari saya buat semua.

Sesungguhnya, kita bersaudara. Dan Rasulullah menegaskan, hanya orang-orang yang beriman sahaja akan menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya.

SALAM LEBARAN. TAQABBALALLAH MINNI WA MINKUM SOLEHAL’AMAL


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

10 September 2009

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI


“ Abang! Husna..!” saya bersuara cemas. Belum sempat menghabiskan ayat, air mata lebih dulu turun bercucuran. Saya panik. Betul-betul tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

“ Kenapa As ?” soal suami dari tempat duduk depan, sedang memandu di lebuh raya. Sempat suami menoleh sekilas. Melihat saya menangis, segera suami memberi isyarat ke tepi lantas memberhentikan kereta.

“ Husna bang..dia tak boleh bernafas..” jawab saya dalam sedu sedan. Cemas melihat wajah anak kecil di dalam pangkuan yang telah mula membiru. Tidak bernafas.

“Ya, Allah!” Suami juga kelihatan cemas melihat keadaan bayi sulung kami yang masih terlalu kecil. Baru berusia 2 hari.

“Cuba As terbalikkan badannya..tepuk perlahan-lahan..” pantas suami mengarahkan. Saya segera melakukan itu.

Sejurus, terdengar bunyi batukan diiringi sedikit lendir yang keluar dari hidung dan mulut si kecil. Segera saya membersihkan lendir-lendir berwarna kekuningan yang keluar.

“Alhamdulillah..” terpacul kalimah tahmid di bibir saya dan suami. Tangisan saya reda. Hanya kesyukuran yang dapat saya panjatkan pada-Nya.

KENANGAN SEDEKAD
Peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya. Kenangan sepuluh tahun yang lalu. Ketika masih baru bergelar ibu. Masih cetek pengalaman dan ilmu.

Ketika itu kami dalam perjalanan menuju ke kampung halaman saya di Felda Gedangsa. Pulang untuk berpantang selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan.

Masih terasa cemas dan paniknya waktu itu. Menatap bayi yang baru mengenal dunia bersama tangisan yang tidak berhenti sebaik keluar dari wad bersalin di Pusat Rawatan Kohilal, Taman Melawati.

Puas saya menyusukannya. Menyangka air susu yang keluar tidak mencukupi, saya suakan pula botol susu formula. Namun, tangisannya tetap sama. Nyaring dan panjang. Menyayat rasa dan jiwa.

“ Perut dia kembung agaknya,” kata suami.

“ Tak taulah bang. As dah sapu minyak bayi pada perutnya...” jawab saya.

“ Dia buang air kot..” teka suami, masih belum puas hati.

“Dah tengok..masih kering. Baru je As ganti tadi,” jelas saya sedikit kecewa.

Penat saya memegang, suami pula mengambil giliran. Dari tingkat bawah, dibawanya ke tingkat atas. Bernasyid sudah, berzikir pun sudah. Akan tetapi, si kecil masih belum diam. Cuma ketuk pintu sahaja yang tidak dibuat, kerana tidak mahu kelak digelar Husna al-Albab !

Keesokan paginya, walau masih mengantuk dek tidur-tidur ayam pada malamnya, saya dan suami bertolak pulang ke kampung halaman. Suami memandu sementara saya memangku bayi kecil kami di tempat duduk belakang. Dan semasa dalam perjalanan tersebutlah peristiwa itu berlaku.

FIKIRKAN TANGGUNGJAWAB
Di kampung, si kecil tetap menangis. Tangisannya semakin menjadi-jadi dari jam sepuluh malam membawa ke subuh hari.

Namun, saya bersyukur suami tidak putus asa dan terus berusaha mendodoikan si manja. Berkat kesabaran, akhirnya suami berjaya. Walau terpaksa tidur dalam keadaan duduk sambil memangku si kecil yang juga telah terlena.

Itulah cabaran awal bagi sebuah perkahwinan dan rumahtangga. Perit dan pedih apabila suatu ketika saya pernah terbaca, bagaimana ada bayi yang didera oleh ibu bapa atau penjaga kerana tidak mampu mendengar laungan dan tangisan bayi mereka. Alangkah !

Lantaran itu, jangan sekadar memikirkan keseronokan nafsu apabila memasuki gerbang perkahwinan, tetapi timbang-timbangkan juga tanggungjawab dan kesabaran yang ditagih dek ragam dan gelagat anak-anak, juga pasangan tentunya.

SOLAT YANG BAIK
“ Alhamdulillah..Kak Long dah besar sekarang. Dah sepuluh tahun, “ kata saya girang usai solat Subuh berjemaah. Seperti biasa, Kak Long tersenyum. Kak Ngah pula hanya diam mendengar.

“ Lepas ni Kak Long kena solat betul-betul. Lebih tenang dan khusyuk,” nasihat saya. Sengaja saya kuatkan nada pada perkataan tenang sambil membulatkan mata. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil melihat telatah saya.

Bukan sengaja berlawak jenaka, tetapi sekadar mengingatkan mereka tentang kewajipan menjaga dan menunaikan solat sebaiknya.

“ Cuba Kak Long dan Kak Ngah bayangkan..ketika bercakap di depan cikgu. Kak Long, Kak Ngah bercakap sambil pandang sini sana. Kemudian, garu pula pipi, muka, lutut dan peha. Tak pandang pun muka cikgu, agak-agaknya bagaimana penerimaan cikgu tu?” soal saya cuba mencambah fikir di dalam diri anakanda berdua.

“Tak sopan la kalau macam tu Ummi,”jawab Kak Long pantas.

“Ha..pandai pun. Jika bercakap di depan cikgu perlu dengan rasa hormat, dalam solat lagilah perlu buat begitu. Sebab bila solat, kita seolah-olah bercakap dengan Allah. Perlu beri tumpuan. Baca betul-betul bacaan dalam solat, tentu Allah suka” jelas saya memberi galakan.

“Tapi sebelum solat, ada satu perkara penting yang Kak Long dan Kak Ngah mesti ingat dan buat...”Saya berhenti. Mahu melihat reaksi mereka. Kelihatan mereka sudah bersedia mahu bangun memandangkan jarum jam sudah menganjak ke angka lima.

“Ingat apa Ummi ?” tanya Kak Ngah ingin tahu.

“Periksa dulu ‘seluar kecik ‘ tu setiap kali sebelum ambil wudhuk..Pastikan bersih,” jawab saya sambil sekali lagi menjegilkan mata. Faham dengan ‘jegilan’ mata kali kedua ini, mereka tersenyum malu-malu sambil beredar ke bilik untuk menyambung beradu.

BERATNYA AMANAH
Semakin anak-anak membesar, semakin saya merasai beratnya tugas mengasuh dan mendidik. Mereka amanah yang tiada nilaiannya dari Yang Maha Esa.

Jika dahulu tangisan mereka boleh ditebak dan dihadapi sewajarnya. Mungkin kembung, panas, lapar, dahaga atau pun lampin pakai buang yang sudah penuh, penyebab tidak selesa. Akan tetapi, tangisan mereka di usia menuju remaja sukar dijangka sebab dan puncanya.

Untuk tahu, perlu berbicara dan bersemuka. Melihat wajah yang tidak ceria, pasti ada peristiwa yang menghadirkan duka. Melihat tiada senyuman mesra, pasti ada cerita yang menghilangkan tawa.

DENGARKAN
“ Kenapa Kak Long sedih ?” saya bertanya melihat wajah suram Kak Long selepas membaca al-Quran. Kak Long senyap tidak menjawab.

“ Kak Long penat ?” soal saya meneka. Dia menggeleng kepala.

“Kak Long ceritalah pada Ummi,”saran saya mahu meredakan persoalan di dalam jiwa. Saya tidak senang melihat dia diam. Biasanya riuh rendah rumah dengan bual dan perbincangan hangatnya bersama Kak Ngah. Perang mulut tentang sesuatu topik yang pasti memerlukan pandangan saya dan suami sebagai orang tua.

“ Kak Long tak boleh nak hafal surah yang ayah minta tu,” luah Kak Long hampir menitiskan airmata. Mendengar itu, saya menarik tubuhnya ke dalam dakapan. Saya gosok belakang badannya dan mengelus lembut kepalanya.

Masalah yang kecil menurut nilaian orang dewasa, mungkin dianggap besar bagi anak-anak seusia mereka. Justeru, pertimbangan yang adil bersumber sudut pandang mereka sangat perlu diambil perhatian oleh ibu bapa agar mereka terus rasa dihargai dan dihormati.

GANJARAN ATAS USAHA
“Boleh..surah-surah sebelum ni mudah je Kak Long hafal. Yang ini tentu boleh, cuma panjang sikit je,” pujuk saya.

“Kak Long baca semua ayat terlebih dahulu. Kemudian, cuba hafal tiga ayat pertama. Bila dah hafal tambah pula ayat seterusnya. Sikit-sikit..lama-lama Kak Long akan hafal semua, InsyaAllah” cadang saya. Kak Long mengangguk sambil mengesat airmata. Terpancar kelegaan pada sinar matanya.

“Bila Kak Long dapat hafal surah ni, ayah akan bagi hadiah. Allah pun akan beri hadiah juga,” pujuk suami pula.

“Allah pun bagi hadiah? Hadiah macam mana ayah?” soal Kak Long semakin ceria. Hati manusia, rasa bahagia bila diganjari. Rasa gembira bila usahanya dihargai, apa lagi penghargaan itu berbentuk hadiah sebagai tandamata.

“Hadiah dari Allah tu…pahala. Tak boleh nampak di dunia ni. Nanti di akhirat sana,” suami menerangkan.

“Hadiah dari Allah ni lebih kekal dan tak akan habis selama-lamanya. Tak macam hadiah di dunia, coklat, kek yang bila dimakan sedapnya sekejap sahaja, kemudian beberapa jam nanti, dibuang semula di lubang tandas. Tapi, pahala akan terus berguna dan tidak habis ” tambah suami lagi meniup semangat di jiwa anak sulungnya. Kak Long dan Kak Ngah tergelak mendengarnya.

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Selagi saya dan suami masih bernafas, selama itulah perjuangan membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak tidak akan selesai. Dari anak pertama hingga kini sudah empat cahaya mata penyeri hidup kami berdua.

Jalannya masih jauh dan panjang.

Destinasinya dipenuhi kesukaran yang bukan sedikit. Hanya kesabaran, kerjasama, tolak-ansur dan doa yang tidak putus kepada-Nya sahaja akan membawa usaha ini sampai dengan jaya ke matlamat akhirnya. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang disesuaikan dengan peredaran masa.

Semoga penekanan kepada solat yang sempurna sejak kecil, diiringi kesedaran dan galakan yang berterusan mampu mencorak diri mereka untuk menjadi generasi yang soleh dan solehah untuk ummat dan agama pada masa hadapan. Bukan sekadar angan-angan dan impian. Akan tetapi harapan yang berpandukan kejayaan generasi akhirat zaman silam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. ( Surah al Baqarah ayat 128 )

Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. ( Surah Ali-Imran ayat 38 )

Dan firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. ( Surah Ibrahim ayat 40 )

Ameen..Ya Rabbal ‘alamin.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

4 September 2009

MANA MILIK KITA..



Bukan sekali, malah telah banyak kali soalan tersebut ditujukan kepada saya. Dan setiap kali itu juga, muka saya akan merona merah sebelum memberikan jawapannya.

Merah bukan kerana marah. Akan tetapi wajah yang memerah itu adalah manifestasi dua rasa yang sedang sarat bergelora dalam jiwa. Rasa malu berbaur ragu dan cemburu. Malu untuk menyatakan pandangan, walau pendirian saya dari sudut hukum telah jelas sebagaimana yang disyari’atkan agama.

Ragu bersulam cemburu, kerana sebagai seorang perempuan, sifat yang satu ini pasti ada sebagai bukti saya juga wanita biasa yang memiliki akal yang satu dan sembilan emosi dalam diri. Darinya lahir kelebihan dan kekurangan seorang wanita bergelar ibu dan juga isteri.

BUKAN MUDAH
Kali ini, soalan yang sama ditanya pada ruangan komentar di dalam blog saya. Janji saya untuk menyatakan pandangan sekaligus memberikan jawapan.

“ Bukan mudah sebenarnya untuk berpoligami.” Demikian jawapan awal suami bila saya memulakan perbincangan kami kepada soal yang dianggap ‘taboo’ dalam masyarakat hari ini. Suatu isu fiqh turun temurun yang sangat kontroversi bila membicarakannya.

“ Kenapa abang kata, bukan mudah ? Kalau begitu, mengapa ramai lelaki hari ini yang seakan-akan merasa senang untuk bernikah satu lagi? “ soal saya agak provokatif.

“ Senang melafazkan akad pernikahan, tetapi bukan senang dari sudut melangsaikan tanggungjawab selepas perkahwinan,” jelas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“Andai sebelum berkahwin buat pertama kali seorang lelaki perlu berfikir dua tiga kali, inikan pula untuk berpoligami. Sepatutnya kena fikir sepuluh kali, atau lebih lagi. Fikir berpuluh kali itu bukan untuk mencari jalan menyembunyikannya dari isteri tapi memikirkan cara pelaksanaan tanggungjawabnya” tambah suami.

Saya menerima penjelasan suami dengan anggukan yang bertali. Ye, bukan mudah bagi seorang lelaki untuk berpoligami, jika neraca pertimbangannya adalah tambahan tanggungjawab dan amanah yang hadir bersama satu lagi lafaz, ‘aku terima nikahnya’. Juga bukan mudah untuk seorang isteri menerima poligami, jika pertimbangan emosinya mengatasi akal dan rasional yang satu. Bukan menafikan hukum, tetapi meragukan kemampuan diri menampung rasa cemburu.

Itu belum lagi ditambah dengan penerimaan anak-anak. Sungguh, panjang ceritanya.

KEPELBAGAIAN MANUSIA
“ Bagaimana pula pandangan abang, jika ramai wanita mengatakan hanya mereka yang mengetahui kemampuan suami. Layak atau tidak untuk berpoligami?” saya bertanya, masih mahu melanjutkan perbincangan.

“ Pandangan tersebut juga tidak tepat. Mampu bagaimana yang dimaksudkan? Kalau dari sudut kewangan, mungkin sahaja seorang suami memiliki sumber kewangan lain yang di luar dari pengetahuan isteri. Jika kemampuan dari sudut nafkah batin, keserabutan minda di waktu tertentu boleh memberikan kesan kemampuan batin seseorang lelaki. Ia juga boleh menyebabkan turun naik. Isteri sukar mengukurnya” tingkah suami menjawab persoalan saya sebentar tadi.

“ Tak patutlah macam tu. Sewajarnya, tiada rahsia antara suami dan isteri dan juga suami sepatutnya beritahu isteri jika ada kekurangan dalam rumahtangga mereka,” luah saya tidak puas hati. Menggeleng kepala saya memikirkannya.

“ Ye, itu yang ideal, yang sepatutnya. Tapi, bukan semua orang boleh mendedahkan segala perkara kepada pasangannya. Malah Islam juga mengajar untuk menyimpan beberapa perkara yang dikira lebih membawa banyak mudarat berbanding manfaat kepada rumahtangga. Bukan saja itu, malah dibenarkan pula menyembunyikan beberapa perkara dari pasangan di dalam keadaan tertentu. Manusia ni pelbagai ragam dan sifatnya, As ” kata suami mengingatkan saya.

“ Hmm..sebab itu, sukar untuk berjumpa dengan poligami yang berpandukan sunnah dari meraikan nafsu hari ni, kan bang,” keluh saya, masih menggeleng kepala.

“ Ye, itu betul. Tapi kerana meraikan nafsu itulah salah satu sebab Islam menghalalkan poligami. Sebagai agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan, poligami adalah jalannya. Agar gelora yang membara itu disalurkan pada yang halal, dan bukan sebaliknya. Bukan sekadar untuk kepuasan diri, tapi juga untuk mengawal nafsu agar dia terus dapat beribadah dengan sempurna. Apa cacatnya pada niat dia kalau begitu? Dia bukan serakah tapi berniat menutup pintu gangguan hati “ kata suami saya dengan tenang.

“Tapi kena ingat juga, bukan semua poligami berpunca dari kehendak nafsu malah banyak lagi sebab lain yang amat bertepatan dengan fitrah manusia dan kepentingan umum, malah kepentingan isteri yang pertama juga. Yang ini panjang kalau nak dihurai dan ia kena didengar dan dibaca dengan aqal berpandu iman bukan emosi bersalut nafsu, baru boleh faham“ sekali lagi suami mengingatkan sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala mengiyakan, walau jiwa amat berat menerima kenyataan.

TAMBAH ILMU
Saya merenung jauh ke dalam diri. Mengenang nasib wanita-wanita di luar sana yang masih belum bersuami, dan tidak kurang juga para isteri yang telah kehilangan dahan bergantung untuk meneruskan kehidupan ini. Ketika tiada lelaki-lelaki bujang yang datang melamar, menyatakan persetujuan untuk menggalas peranan yang telah ditinggalkan, saya bersimpati. Hati wanita saya terusik. Naluri keimanan saya turut berbisik, ‘kerana itu Islam menyediakan jalan keluar..poligami.’

Namun, menjadikan bisikan itu sebagai suatu perlaksanaan tidak semudah yang dirasakan. Jiwa bertarung antara nafsu dan iman. Saya tahu, sukarnya menundukkan rasa cemburu dan ragu yang bukan-bukan.

“ Ada baiknya, kita, juga semua pasangan suami isteri hari ini menambah ilmu tentang perlaksanaan poligami. Bukan sekadar membicarakan hukum, tetapi dari sudut pelaksanaan sebagai jalan keluar yang benar-benar mendatangkan manfaat buat masyarakat. Umpama ubat yang menyembuhkan, bukan racun yang mendatangkan kebinasaan,” saran suami.

“ Abang ada cadangan buku yang baik dan sesuai untuk itu?” soal saya. Bagi saya, sebarang pandangan tentang perlaksanaan poligami yang harmoni dan berjaya sewajarnya datang dari pengalaman individu yang telah dan sedang melaluinya, bukan dari angan-angan semata-mata.

“ Ada..buku Dr. Basri Ibrahim, tajuknya : Hidup Bahagia dengan poligami. Melihat kepada tajuk dan kebiasaan penulisnya, abang yakin kupasannya bukan sekadar ilmiah dan kontemporari, tetapi ia juga bersumber dari pengalaman beliau sendiri sebagai pengamal poligami” jawab suami.

MANA MILIK KITA…
Soalan ini akan terus ditanya. Jawapan saya, serahkan sahaja pada Yang Esa. Biarlah Allah SWT yang menentukannya. Lantaran sejak melangkahkan kaki di usia awal pernikahan saya dan suami, saya memohon dari-Nya apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat saya sekeluarga.

Kepercayaan saya bulat terhadap suami. Perasaan hormat, sayang dan cinta saya kepadanya bukan membuta tuli tanpa berpandukan panduan agama. Saya yakin sebarang keputusannya adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan kami bersama. Bukan sekadar di dunia, tetapi yang lebih penting sehingga ke akhirat sana.

Pada saya, layanan istimewa dan khusus yang saya lakukan buat suami bukan untuk menjauhkan kami dari ruang poligami; akan tetapi itulah tanggungjawab dan curahan bakti seorang isteri buat suami. Sebagaimana yang diperintahkan Ilahi. Saling menerima dan memberi dalam ikatan rumahtangga bahagia. Bukan atas alasan memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana-Nya.

Cukuplah saya melaksanakan tugas ini sebaiknya, selebihnya saya serahkan atas ketentuan yang Maha Esa.

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan buat yang bertanya. Yang baik dari Allah jua, yang buruk dari kelemahan saya sebagai manusia biasa.

Mana milik kita..tidak ada milik kita. Semua yang ada, Allah yang punya..

Wajah saya masih merona merah tatkala mengakhiri bicara ini.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.