29 August 2009

UNTUKMU...

“ Wah! Cantiknya. Ini yang cemburu ni…” luah saya sambil mengerling suami di sisi. Ketawa kecil suami mendengar kata-kata saya tadi.

Sememangnya saya tidak dapat menafikan kecantikan yang terpampang di depan mata. Ini kali pertama saya melihatnya. Sungguh mempesona. Kena dengan penilaian saya sebagai seorang wanita dewasa.

Kulitnya merah-merah hati. Berhias pula dengan bunga mawar berwarna merah darah yang indah. Gabungan citarasa yang sungguh menyerlah.

“ Macam mana, ok tak?” suami menyoal buat kesekian kalinya. Tersenyum-senyum dia memandang saya. Makin cemburu saya dibuatnya.

“ Cantik la ayah,” balas Kak Long dan Kak Ngah. Kali ini, senyumannya melebar ke pipi. Sungguh puas hati.

BUKAN HAK MILIK
Dari awal pernikahan lagi, saya sudah menerima bahawa suami bukan hak milik saya seorang. Saya masih ingat, ketika usia perkahwinan kami baru menginjak 4 hari. Saya dan suami berjauhan buat pertama kali selepas bergelar suami isteri. Saya ditinggalkan bersama sahabat-sahabat universiti di rumah sewa mereka, manakala suami menjayakan satu program nun jauh di utara.

“As masih ingatkan, hadis nabi yang menjadi pegangan hidup abang..” suami membuka kata bila melihat saya diam membisu. Saya akan ditinggalkan pergi dalam suasana masih berbulan madu. Mulut saya bagaikan berat untuk meluahkan apa yang terbuku.

“Abang tahu As sedih, tapi inilah jalan perjuangan seorang isteri di sisi suami. Meniup semangat juangnya. Rela melepaskannya berpergian untuk menjalankan tanggungjawab agama. Menyeru orang lain kepada yang ma’ruf dan mengajak mereka meninggalkan yang mungkar,” nasihat suami.

Saya mengangkat kepala memandangnya. Saya tahu suami mahu saya mengerti. Sabda Rasulullah SAW yang menjadi motto perjuangannya kemas tersemat di dalam hati.

"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." ( Hadis Riwayat Muslim )

Saya berusaha memujuk diri. Mendengar kata-katanya yang sarat berisi ruh perjuangan, mengingatkan kembali diri yang mulai lupa kepada impian dan harapan perjuangan. Lupa pada nafsu yang sering mengajak kepada kemaksiatan, dan lupa pada iman yang perlu disubur dengan baja mujahadah dan pengislahan.

Melihat kesungguhannya mahu meninggikan martabat deen yang mulia ini; yang semakin dilupa dan dianaktiri oleh penganutnya sendiri, menjadikan saya ikut termotivasi.

Seorang isteri yang menjadikan suaminya seorang pejuang agama, tiada lain yang lebih mulia melainkan ganjaran pahala yang sama banyaknya. ‘Saya mahu bantu suami dan diri sendiri,’ bisik saya memujuk hati.

MANUSIA YANG BERMANFAAT
Jika direnung sedalam-dalamnya, setiap manusia sebenarnya telah dibekalkan Allah dengan kelebihan yang tersendiri untuk dikongsi bersama orang lain di sekelilingnya. Seorang pelukis, mampu merobek keangkuhan manusiawi lewat lakaran alam yang indah ciptaan Ilahi. Demikian juga, seorang penulis, dapat menggunakan kemahiran penulisannya untuk menghasilkan tulisan berisi peringatan agar manusia kembali ke jalan Allah yang Maha Esa. Kembali menghambakan diri kepada Pencipta mereka.

Ada senarai panjang kemuliaan yang menanti orang-orang yang menjadikan dirinya berguna untuk orang lain di luar sana. Antaranya, Allah SWT menyintai mereka yang berbuat kebaikan ( ihsan ) sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

” Sesungguhnya Allah swt mencintai orang–orang yang berbuat baik. ” ( Surah al Baqarah ayat 195 )

Kebaikan yang hasilnya dirasakan orang lain pastinya lebih bermanfaat dan tinggi nilaiannya dari kebaikan yang hanya dirasai oleh diri sendiri sahaja.

Karena itu para sahabat silam jika ingin melakukan sesuatu kebaikan, mereka akan bertanya terlebih dahulu kepada Rasulullah. Amalan apakah yang paling baik untuk dikerjakan. Pasti, jawapan Baginda menjurus kepada sesuatu yang lebih mendatangkan faedah dan kebaikan buat semua. Dari sebesar-besar amal yang boleh dilakukan seperti menggali perigi ketika musim kemarau menjengah tiba hinggalah kepada sekecil-kecil amal seperti membuang duri di jalanan.

UNTUKMU…
“As cemburulah dengan abang,” luah saya masih menatap lakaran kulit buku terbaru suami.

Walaupun, suami kini tidak lagi sering keluar menjayakan program-program ilmu dan kemasyarakatan, namun masanya tetap banyak diluangkan menekuni helaian-helaian buku bagi menghasilkan tulisan yang dapat dimanfaatkan bersama.

Dan sebagai seorang isteri, saya hanya membantu dengan memberikan kelapangan waktu yang sebanyaknya kepada suami untuk menjayakan itu.

Buku terbaru beliau ini khusus ditujukan untuk kaum wanita yang mempunyai peranan cukup besar dalam menentukan halatuju umat sepanjang masa beredar.

Sebagai ibu, isteri dan rakan seperjuangan kaum lelaki dalam menegakkan perintah dan larangan Islam di atas muka bumi. Rosaknya wanita membawa seribu satu macam bencana buat dunia. Rosaknya wanita pasti akan meruntuh institusi keluarga dan membawa kehancuran sebuah negara. Wanita boleh menjadi punca dan sumber iman bagi kaum lelaki, boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan.

“Bila la masanya akan tiba, As pula dapat menghasilkan buku seperti abang,” tambah saya lagi mengingatkan diri.

“ InsyaAllah, As sedang berusaha ke arah itukan ?” suami memujuk.

“ Ye, suatu masa nanti, InsyaAllah,” saya menyemat azam. Mudah-mudahan dengan memberikan ruang yang selapangnya kepada suami menghasilkan buku-bukunya ini, akan dihitung di sisi Allah SWT sebagai salah satu amal soleh suami dan saya, sebagai isteri. Juga, moga-moga akan datang ketika dan saatnya, saya juga mampu menghasilkan buku sebagai bekalan amal soleh untuk kebahagiaan di akhirat sana.

Justeru, sebagai berkongsi manfaat yang ada, sebagai ole-ole di dalam Ramadhan dan Syawal yang akan menjelma, saya dengan rasa syukur dan rendah diri menampilkan buku terbaru suami : UNTUKMU WANITA. Semoga ada keberkatan dan rahmat yang kita perolehi melaluinya, ameen.



Dalam Kelembutanmu Suburkan KetegasanBerlandaskan ilmu Keredhaan Ilahi.Terimalah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi ,InsyaAllah.

24 August 2009

SERONOKNYA PUASA !



Masa yang pantas beredar bagaikan tidak terasa. Hari ini sudah masuk hari ketiga berpuasa. Bermakna telah dua hari Ramadhan 1430 Hijriah, berlalu pergi.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya dan keluarga menyambut Ramadhan di United Kingdom. Jauh dari rakan taulan dan sanak saudara.

Saya bersyukur kerana saya dan keluarga masih dikurniakan umur dan kesihatan. Masih punya peluang meraih sebanyak mungkin ganjaran berganda yang tersedia. Peluang memperoleh keampunan, rahmat dan pelepasan dari azab nerakaNya, sama ada di awal, pertengahan dan pada penamat bulan yang mulia.

Kak Long dan Kak Ngah juga kelihatan lebih bersemangat berpuasa. Mungkin, ketibaan Ramadhan kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Kebanyakan masa mereka hanya di rumah. Justeru, dari awal lagi mereka telah menyediakan jadual harian sempena ketibaan Ramadhan.

Bermula dengan bangun sahur, mengaji al Quran, Solat sunat, Solat Fardhu dan aktiviti-aktiviti lain sebagai mengisi senggang masa sebelum waktu berbuka.

BANGUN SAHUR
“ Ummi, nanti gerak Kak Ngah ye,” Kak Ngah mengingatkan sebelum melelapkan mata. Entah kali ke berapa dia mengucapkan kata-kata yang sama.

“ InsyaAllah. Ummi gerak nanti. Syaratnya, Kak Long dan Kak Ngah kena tidur awal. Nanti mudah nak bangun sahur,” nasihat saya.

Entah mengapa, kerap benar mereka mengingatkan saya. Mungkin mereka masih teringat pengalaman berpuasa pada tahun lepas.

Setahun yang lalu, bulan Ramadhan 1429 Hijriah jatuh pada hari persekolahan. Sebagai seorang ibu, saya bimbang anak-anak saya tidak dapat menahan lapar dan dahaga dalam keadaan waktu bersekolah yang agak panjang. Tambahan pula, itu merupakan pengalaman pertama mereka berpuasa di luar negara.

Saya sempat bertanya rakan-rakan lain tentang pengalaman mereka melatih anak-anak berpuasa. Dan hasilnya, saya turut mengambil langkah yang sama seperti mereka. Kak Long dan Kak Ngah tidak saya bangunkan untuk bersahur. Sebagai ganti, mereka saya berikan sarapan pagi seperti biasa sebelum ke sekolah dan selepas itu mereka tidak dibenarkan makan dan minum sehingga waktu berbuka. Perlu berpuasa!

INI BUKAN PUASA
“ Kenapa Ummi tak gerak Kak Long dan Kak Ngah bangun sahur? Kak Long, Kak ngah nak puasa,” Kak Long berkata. Jelas terdengar nada tidak puas hati pada suaranya. Wajahnya masam, tidak gembira sambil menjamah juadah ‘sahur’nya sebelum ke sekolah.

Kak Ngah juga tidak bersemangat menyuap makanan ke mulutnya. Melihat itu, terbit rasa bersalah dalam diri saya.

“ Ummi nak anak-anak Ummi puasa la ni. Sebab tu, Kak Long dan Kak Ngah kena makan sebelum pergi sekolah supaya dapat tahan lapar. Nanti tak lah rasa nak makan dan minum,” jelas saya masih serba salah. Tujuan saya, dengan memberikan mereka makan pagi, akan dapat melatih mereka menahan rasa lapar dan dahaga.

“ Tapi, macam ni bukan puasa Ummi. Orang yang puasa betul-betul kena bangun sahur,” luah Kak Long lagi. Tersentak saya mendengar kata-katanya. Saya mengakui kesilapan saya.

LEBIH MENCABAR
Keesokan harinya, mereka mula saya kejutkan untuk bersahur dan berpuasa. Alhamdulillah, pencapaian mereka sangat mengembirakan suami dan saya. Kak Ngah hampir berpuasa penuh, manakala Kak Long kurang sedikit kerana tidak sihat beberapa hari.

Tahun ini, tempoh waktu berpuasa lebih mencabar. Aakan tetapi melihat kepada usia dan umur mereka, Kak Long dan Kak Ngah tidak lagi sesuai untuk hanya ‘belajar’ berpuasa, tapi sudah mesti berpuasa. Kak Ngah sudah pun berusia 8 tahun dan Kak Long pula hampir 10 tahun.

Saya dan suami berterusan memberikan semangat kepada mereka, memandangkan waktu Subuh bermula jam 4.30 pagi, dan waktu berbuka adalah pada jam 8.20 malam. Kini, sudah dua hari berlalu, nampaknya mereka berjaya; malah ditambah pula dengan melakukan pengisian amalan soleh yang lain. Tahniah..buat mereka !

MENDIDIK TAQWA

Sebagai ibu dan bapa, saya yakin ramai pasangan seperti saya telah mula melatih anak berpuasa seawal usia 5, 6 dan 7 tahun. Bak kata pepatah Melayu: melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Akan tetapi, masih ramai yang belum menyedari bahawa melatih anak berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu adalah melatih nafsu untuk tunduk patuh kepada arahan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Mengawal keinginan diri untuk bertindak berpandukan syariatNya. Itulah hikmah TAQWA yang harus dititikberatkan dalam pendidikan berpuasa anak-anak, sejak mereka kecil lagi.


Firman Allah SWT yang bermaksud :


"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (Surah al-Baqarah ayat 183)


Apa yang perlu dijelaskan kepada anak-anak, walaupun makanan dan minuman itu sesuatu yang halal dan boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja di luar bulan Ramadhan, akan tetapi peluang itu tidak tersedia di bulan yang mulia ini. Ini kerana, pada bulan Ramadhan makan dan minum hanya dibolehkan selepas terbenam matahari sehingga terbit fajar pada keesokan harinya. Makan dan minum, hanya pada malam hari dan bukan lagi pada siang harinya.


Puasa Ramadhan bertujuan menanamkan kesedaran bahawa lapar dan dahaga adalah ‘rasa’ biasa bagi mereka yang tidak berkemampuan, miskin dan sedang menderita. Justeru, ia membersihkan hati dan jiwa dengan perasaan belas kasihan, kasih sayang, pemurah, ikhlas, serta terhindar dari sifat tamak dan rakus dengan kemewahan dunia. Dengan ini, anak-anak kecil ini akan mudah dibentuk bahawa makan itu hanya satu keperluan untuk meneruskan kehidupan, dan bukan sebaliknya.


Keseronokan berpuasa bukan pada kemewahan makanan yang beraneka dan lazat, tetapi ia terletak pada rasa kesyukuran kerana dapat menikmati makanan setelah siang harinya menahan diri dari makanan dan minuman. Lebih-lebih lagi, kegembiraan itu dikongsi bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan sanak saudara. Makanan yang ada dijamah bersama. Sama-sama berbagi rasa. Saling merasai apa yang ada. Walau sekadar buah kurma dan air kosong sebagai penghilang dahaga sebagaimana Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)

SERONOKNYA PUASA !

“ Ummi, Kak Long rasa seronoklah,” Kak Long berkata sambil melempar senyuman manis. Dari tadi saya melihat dia asyik tersenyum sendiri. Memang benar barangkali. Kak Long sedang senang hati.

“ Kenapa Kak Long rasa seronok ?” soal saya berbasa basi. Sementara melayannya berbual, tangan saya ligat memakaikan lampin pakai buang pada si kecil Solehah.

“ Sebab sekarang ni bulan Ramadhan. Kak Long nak puasa banyak-banyak,” Kak Long menjawab tenang. Saya membalas dengan senyum panjang. Gembira mendengar keseronokannya mahu berpuasa bersama.

“ Baguslah kalau macam tu. Kak Long dah besar. Tahun ni Kak Long kena cuba puasa penuh ye,” saya berkata dalam nada ceria. Mahu membangkitkan lagi semangatnya yang sedang membara. Kak Long mengangguk tanpa kata.

“ InsyaAllah,” saya mengingatkan. Kak Long ketawa kecil mendengarnya. Malu-malu. Saya tahu Kak Long faham maksud dari kata-kata saya tadi. Semoga Allah mengizinkannya untuk berpuasa penuh tahun ini. Mudah-mudahan kesihatannya tidak terjejas seperti awal Ramadhan sebelumnya.

Doa saya, semoga Ramadhan kali ini kian membuahkan taqwa dalam diri. Kerana hanya taqwa yang menjadi pembeza antara kita di hadapanNya. Juga, hanya taqwa sahaja mampu mendinding diri dari fitnah dan godaan dunia. Untuk hari-hari seterusnya. Sehingga kembali bertemu Yang Maha Mencipta, Allah Yang Maha Esa. Ameen, amen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

18 August 2009

AHLAN YA RAMADHAN..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

SUARA IMAN, SUARA FITNAH

“Ina dan Nora, sebelum balik kena nasyid dulu ye,“ pinta Ustaz Ghazali. Ayah hanya tersenyum. Menyuruh tidak, melarang jauh sekali. Ayah telah maklum barangkali.

Memang begitu setiap kali saya dan adik kembar mengikut ayah berkunjung ke rumahnya. Baik ziarah sempena menyambut hari raya atau sekadar kunjungan pada hari-hari biasa. Pasti beliau meminta kami bernasyid serangkap dua.

“ Nak nasyid apa Pak Cik ?” saya bertanya.

“ Apa-apa pun boleh, “ jawab Ustaz Ghazali.

Saya memandang adik kembar sambil membisikkan sesuatu ketelinganya. Sejurus, kami melangkah naik dua anak tangga. Bagaikan melangkah ke atas pentas lagaknya.

“ Satu dua mula. Sepohon kayu daunnya rimbun..” kami mula berdendang bersama. Walaupun pada mulanya kami menyanyi agak perlahan dan malu-malu, tetapi lama kelamaan kami bertambah yakin dan semakin padu. Suara kami kian mendayu-dayu.

SAYA DAN SENI SUARA
Sejak kecil, saya gemar menyanyi. Dari sekadar suka-suka, hingga akhirnya menimbul minat yang bukan sedikit di dalam jiwa. Rasa saya, bakat ini diwarisi dari ayah yang mahir bermarhaban dan berzanji sejak muda.

Bermula dengan menyanyi lagu ‘Warisan’ ketika di tadika, sehingga saya memasuki alam persekolahan seterusnya. Baik di sekolah rendah kebangsaan pada pagi hari mahupun pada sebelah petangnya di sekolah agama kerajaan negeri, saya sering membuat persembahan dan menyanyi.

Kebiasaannya, saya akan berduet bersama adik kembar saya menyanyikan lagu-lagu terkenal semasa. Sementara untuk persembahan nasyid, saya sering dipilih menjadi ‘tekong‘ atau ketua. Dari lagu penyanyi popular tahun lapan puluhan hingga irama nasyid padang pasir, semuanya saya lagukan dengan penuh penghayatan.

Banyak kenangan yang saya lalui. Semuanya meninggalkan kesan tersendiri. Saya masih ingat ketika persembahan sempena hari penyampaian hadiah di sekolah, diiringi tepukan gemuruh rakan-rakan dan ibu bapa yang mendengar; sehingga ke persembahan nasyid sempena pertandingan musabaqah peringkat daerah, disusuli ketawa kecil para hadirin bila saya terlupa lirik akibat terlalu gelisah. Darah gemuruh !

Namun setelah memasuki alam sekolah menengah, saya semakin terdedah kepada persoalan hukum mengenainya. Jika dahulu ketika di sekolah rendah, saya tidak kisah untuk menyanyi di khalayak ramai, tapi kini tidak lagi.

Walaubagaimanapun, minat ini tetap saya teruskan. Pengaruh dari didikan dan suasana di sekolah agama, banyak mengarahkan pilihan saya kepada lagu-lagu nasyid sebagai alternatif yang lebih islamik dan mendidik nurani. Mewakili sekolah dalam acara nasyid berkumpulan, pencapaian paling manis ialah ketika saya dan rakan-rakan sepasukan Puteri Islam dari KISAS menjuarai kategori nasyid peringkat negeri. Berbekalkan azam dan semangat untuk berdakwah melalui lagu, kami pertaruhkan nasyid “Puteri Islam Sejati “ dan “ Detik-detik yang berlalu”.

WANITA DAN SUARA
“ Sedapnya suara Ummi,” puji Kak Ngah mendengar saya bernasyid sambil memasak di dapur. Tersenyum-senyum dia memandang saya di balik daun pintu dapur.

“ Tak adalah,” jawab saya merendah diri. Memang Kak Ngah biasanya pandai mengambil hati. Manis mulut, bak kata orang.

“ Yelah, Ummi. Suara Ummi sedap..” celah Kak Long mengiyakan.

“ Kalau Ummi menyanyi macam orang kat dalam tivi tu kan bagus. Mesti best! “ tambah Kak Long lagi. Tertawa kecil saya mendengar kata-katanya.

“ Tak payahlah. Ummi nyanyi untuk ayah, Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah di rumah cukuplah, “ saya menyanggah.

Sememangnya kian bertambah usia saya, semakin banyak perkara yang mengelirukan timbul disekitar masyarakat Islam, terutama berkait dengan permasalahan wanita hari ini. Bukan sekadar pakaian dan penampilan, malahan persoalan suara juga bagaikan tidak lagi diendahkan bila melihat semakin ramai penyanyi dan penasyid wanita yang muncul. Cukup banyak menghadirkan pelbagai pertanyaan di benak fikiran.

AURATNYA SUARA WANITA, BILA?
Saya bersetuju bahawa suara wanita pada dasarnya bukanlah aurat. Dalam hal ini, mereka boleh berbicara, memberikan pandangan, bermuamalah dan berurusan dengan lelaki yang bukan mahram dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah, contohnya ketika di dalam kelas, mengajar atau belajar, berjual beli, menyampaikan ceramah, mendapatkan rawatan dan bermacam lagi aktiviti seharian. Namun, terdapat pelbagai pendapat dan pandangan ulama silam dan terkini tentang suara wanita apabila ia dilunakkan melalui nyanyian.

Sememangnya Islam sangat mengambil berat terhadap apa jua perkara yang berhubung dengan wanita dan perempuan. Pelbagai aspek diutarakan oleh Islam sebagai langkah untuk memelihara mereka dari ancaman jahat dan fitnah yang merosakkan.

Mengenai suara, syara’ telah menetapkan hukum yang berbeza bagi lelaki dan wanita di dalam solat. Sebagai contoh, dalam bab menyaringkan bacaan dan menegur kesalahan imam. Lelaki disunatkan menyaringkan bacaan mereka, tetapi tidak disunatkan kepada perempuan terutama jika ada kehadiran lelaki yang bukan mahram. Demikian juga dalam bab menegur kesalahan Imam, lelaki dikehendaki menyebut Subhanallah, sedangkan wanita hanya diminta memberikan isyarat dengan menepuk tangan. Tanpa perlu bersuara dan mengeluarkan walau sepatah perkataan.
Justeru, bagaimana pula suara wanita di luar solat mereka ? Apakah kayu ukur terhadap kelunakan suara seorang perempuan ? Lunak dalam erti kata boleh menimbulkan ‘sesuatu rasa’ di dalam hati-hati lelaki yang mendengar suaranya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” ( Surah al-Ahzab ayat 32)

Jelas dari mafhum ayat, bahawa syara’ mengharamkan wanita bersuara manja, merayu-rayu, mendesah dan seumpamanya, yang dapat menimbulkan hasrat yang bukan-bukan dari kaum lelaki, misalnya keinginan berbuat zina, berbuat serong, mengganggu dan sebagainya.

Jika keadaan begitu dilarang oleh agama ketika berbicara, lalu bagaimana pula dengan suara wanita yang dilemakmerdu dan dilunaklembutkan di dalam nyanyian ? Pasti hukumnya tidak berbeza malah lebih bahaya dari itu kerana rata-rata penyanyi nasyid wanita hari ini menyanyi dengan lenggang lenggok dan berhias indah untuk tatapan mata-mata yang melihat mereka.

BERDAKWAH MELALUI NASYID
Jika demikian halnya, tiada ruang lansungkah untuk wanita berdakwah melalui nasyid ? Andai soalan ini ditanya kepada saya, jawapannya : Ya, masih ada.

Bagi saya, irama lagu melalui nasyid mempunyai daya tarikan tersendiri. Ia menyediakan ruang berekspresi, meluahkan rasa hati, juga berupaya mendekati hati melalui cara yang halus dan lembut.

Saya masih bernasyid, di hadapan para pelajar perempuan sewaktu matapelajaran Pendidikan Islam. Saya masih terus berdendang ketika mengendalikan persatuan pelajar perempuan, dan saya akan terus mengalunkan suara ini ketika menyampaikan kuliah kepada golongan Muslimah.

Peluang yang ada sangat terbuka luas jika bijak menggunakan suasana yang ada. Suasana yang diwarnai iman pastinya dan bukan suasana yang berbaur fitnah dan mencambah dosa !

SUARA IMAN, SUARA FITNAH
Wanita masih boleh berdakwah melalui nasyid, asal sahaja syarat-syarat yang diletakkan Islam dipenuhi sebaiknya tanpa meninggalkan satu pun.
Berdakwahlah melalui nasyid, dengan syarat tiada percampuran antara lelaki dan wanita di dalamnya. Lantunan merdu menusuk jiwa dari suara wanita, hanya khusus untuk wanita. Tiada ruang untuk santapan telinga pria dan jejaka. Berdakwahlah, asal sahaja menjaga penampilan dan aurat sebaiknya.

Inilah adab dan akhlak wanita solehah dan beriman. Kebenaran yang diberikan Islam kepada mereka untuk keluar bekerja, berdakwah dan sebagainya digunakan tanpa melanggar batas-batas yang telah siap diatur oleh yang Maha Mencipta.

Mereka sedar, jika adab dan akhlak ini dipinggirkan, maka akan berlaku kerosakan yang melata. Mereka insaf jika adab dan akhlak ini disalahgunakan, tunggu sahaja kehancuran umat manusia.

Sayangnya ramai yang mengambil sikap tidak apa-apa, sehingga tersalah duga bahawa suara iman yang dialun mahu mengajak kepada cinta kepada Pencipta, rupa-rupanya adalah suara fitnah yang mengundang dosa.

Buat kesekian kalinya, mari kita cermin diri. Muhasabah diri di bulan mulia ini.

Ahlan ya Ramadhan…

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah

11 August 2009

PERLUKAH BEGITU ?

Saya suka membaca. Salah satu bahan bacaan yang menjadi pilihan saya ialah majalah-majalah yang banyak terdapat di pasaran baik bertema kewanitaan, kekeluargaan, keibubapaan, majalah kanak-kanak, hiasan dalaman hinggalah resepi-resepi masakan.


Banyak yang telah saya beli dan baca kerana tidak dinafikan kandungan di dalamnya sangat infomatif, mendidik dan menambah ilmu di dada.


Pembahagian topik-topik diselarikan dengan sesuatu isu setiap bulan keluaran. Sebagai contoh, majalah bercorak kewanitaan, kebanyakannya menumpu kepada gaya hidup, hobi, fesyen, kecantikan, rawatan, motivasi, resepi dapur dan banyak lagi. Manakala majalah bertema kekeluargaan dan keibubapaan pula turut memapar pelbagai maklumat menarik mengenai tip-tip ibu bapa cemerlang, penjagaan bayi, mendidik anak-anak, masalah kesihatan dan sebagainya.


Ditambah, corak persembahan yang menggunakan kertas berkualiti dengan hebahan tajuk-tajuk terkini di sekitar kehidupan bermasyarakat, sangat berguna dan bermanfaat untuk diaplikasikan pula dalam kehidupan saya dan keluarga.

KULIT DEPAN

“ As, cuba tengok ni, “ pinta suami ketika saya sedang melipat baju dan kain. Saya bangun lalu menuju ke arahnya.


“ Cuba As nilai melalui kacamata seorang perempuan. Cantik tak ‘cover’ buku abang ni?’ suami bertanya meminta pandangan saya terhadap kulit buku baru bertajuk ‘untukmu wanita’ yang sedang dalam pembikinan.


“ Cantik..kena betul dengan wajah penulisnya yang berbaju coklat kemerahan,” jawab saya sambil tersenyum mengusik.


Hati terpikat melihat warna kulit buku yang terpapar di skrin komputer. Merah hati yang berhias kembangan bunga mawar merah darah, dan diserikan pula dengan bait-bait puitis khusus buat wanita solehah.


Saya maklum mengapa suami sangat mengambil berat penampilan kulit luaran bukunya itu. Saya percaya bukan suami seorang sahaja. Rata-rata, kebanyakan penulis juga begitu.

Kerana itu, seseorang penulis yang menyerahkan hasil tulisannya, sangat berharap agar bukunya yang bakal terbit tidak hanya elok dan betul susunan bahasanya, teliti dalam pengeditan salah eja dan garapan isi kandungannya, tetapi turut juga dipersembahkan dengan kulit luar atau cover yang akan mampu menarik seramai mungkin bakal pembeli yang membaca buku tersebut berikutnya.

PERLUKAH BEGINI ?
Sebagaimana penulis dan pengeluar buku yang mengambil berat tentang cover buku, demikian juga halnya bagi pengusaha majalah-majalah tempatan yang wujud di Malaysia. Termasuklah majalah-majalah bertema agama.

Namun, dalam asyik membelek dan membaca input-input yang banyak di dalam majalah yang ada, hati saya tidak boleh tidak pasti tertanya-tanya tentang hal yang satu ini. Tentang keperluan sesuatu majalah terutama yang dikatakan bercorak keislaman menampilkan seorang wanita sebagai penghias kulit depan. Bak kata orang sekarang, sebagai covergirl pelaris jualan. Perlukah ?

Adakah kerana ingin memberi penampilan berbeza dan lebih bersifat alternatif terhadap lambakan majalah-majalah yang menjadikan wanita tanpa menutup aurat sebagai penghiasnya, maka ditampilkan pula wajah-wajah indah wanita menutup aurat dan berbusana Muslimah ? Dengan kata lain, pihak penerbit mahu mengatakan, beginilah majalah yang islamik sepatutnya diketengahkan.

Atau, kerana tujuan untuk berdakwah ? Terutama saya maklum ada beberapa majalah yang menjadikan selebriti dan artis yang tidak menutup aurat sebagai cover depan majalah mereka. Artis dan selebriti ini dipakaikan pakaian yang sopan menutup aurat sebagai satu ajakan halus dan lembut, agar mudah-mudahan suatu hari kelak mereka akan terbuka hati dan tampil di khalayak umum dengan penampilan seorang Muslimah sebenar.

MUDARAT DAN MANFAAT
“Isu ini ada mudarat dan manfaat sekaligus. Jadi, untuk menentukan sikap yang tepat, pertimbangan teliti lagi adil terhadap kedua-dua aspek ini mesti dilaksanakan. Penilaian pula mesti dilakukan oleh para ilmuan Islam yang berwibawa, ” tegas suami bila saya mengajukan persoalan ini.

“Namun, kebimbangan hari ini adalah pihak penerbit dan pasukan jualannya sendiri yang menilai, dan bukan dari ilmuan Islam yang kefahamannya berpaksikan hukum yang telah ditetapkan. Tatkala itu sudah tentu keputusan yang berdasarkan memberi ‘manfaat lebih besar’ lalu menyebelahi pihak penerbit, tetapi sebenarnya tidak menyebelahi hukum Islam, ” tambah suami lagi.

Dalam hal ini saya terfikir, adakah proses ini sudah dijalankan oleh pihak penerbit majalah dan buku?

DAKWAH ITU PERLU
Saya tidak menafikan kepentingan berdakwah kepada golongan artis seperti mereka. Juga jauh sekali dari berprasangaka, bahawa penampilan mereka ini tidak lain sebagai rencah pelaris untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Semoga Allah memelihara hati saya dari bisikan jahat sebegitu.

Peringatan Allah mengenai larangan mencela sesuatu golongan, kemas tersemat sebagai panduan. Saya sedar dan yakin, setiap orang memiliki sisi kebaikan yang boleh dicontohi oleh orang lain. Golongan selebriti dan artis seperti mereka tidak terkecuali. Justeru, mengenengahkan kisah-kisah kebaikan seseorang artis yang boleh dijadikan teladan kepada pembaca sangat dialu-alukan. Saya menyokong usaha-usaha ke arah itu. Sementelah pula, pakaian menutup aurat dan sopan bukanlah hak milik eksklusif golongan tertentu semata-mata. Ia adalah pakaian semua Muslimah yang beriman kepada Allah sebagai Tuhan yang sewajarnya disembah dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah kepada sekelian umat.

Akan tetapi, menurut penilaian saya (walau berbeza dengan orang lain), tidak perlu artis dan selebriti ini tampil sebagai muka depan, cukup sekadar memaparkan sekeping dua gambar yang sopan dan menutup aurat di bahagian dalam majalah dengan diiringi cerita-cerita tentang kebaikan dalam diri mereka yang boleh dicontohi semua. Ubah penampilan mereka yang selama ini mengundang nafsu dan dosa kepada sesuatu yang boleh melahirkan taqwa dan iman kepadaNya.

MENGAPA SIBUK ?
Saya tidak berniat mahu menyibuk-nyibuk dan menganggu keputusan mana-mana majalah yang ada di pasaran. Bukan juga mahu mendabik dada, pandangan saya adalah yang terbaik. Bukan. Semuanya bertitiktolak atas kesedaran dan keinsafan, bahawa ramainya wanita menghuni neraka sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Baginda junjungan.

Jiwa ini sering bimbang. Jiwa ini selalu menangis, andai diri ini salah seorang yang disebut-sebut nabi sebagai bahan bakar api yang marak menyala, kerana culas menjalankan perintahNya. Nauzubillahiminzaalik!
Dan salah satu penyebabnya ialah kerana aurat yang tidak ditutup sempurna. Penampilan diri yang mempesona. Mengundang panahan syaitan kepada lelaki-lelaki di luar sana. Penyebab keruntuhan sesebuah rumahtangga dan banyak lagi kerosakan yang lahir dari wanita di akhir usia dunia.

JIWA MEMBERONTAK
Jiwa saya menjadi semakin memberontak, apabila melihat wajah-wajah wanita bertudung litup yang menghiasai majalah, turut disaluti solekan tebal untuk tayangan umum, persis seorang artis bukan Islam.

Lebih bimbang apabila hanya wajah-wajah yang dikira menarik sahaja akan dipilih. Mengapa ?

Kita bimbang, para lelaki termasuk yang sudah bergelar suami akan rambang mata membandingkan isterinya dengan wajah-wajah yang dipaparkan. Ya, wajah-wajah terpilih dari jutaan wanita, tentunya akan menyebabkan isteri-isteri yang ‘kurang’ rupa paras jadi rendah diri serendah-rendahnya.

Suami saya pernah menerima emel-emel yang meminta panduan, pandangan dan nasihat, daripada wanita yang merasa dirinya sangat hina, apabila suaminya ketagih menonton filem lucah yang menawarkan gambar-gambar wanita bertubuh ‘solid’. Si isteri yang menghantar emel itu berkata :

“ Saya bimbang suami akan membandingkan tubuh saya dengan wanita di dalam filem tersebut, maka amat jauh tewasnya saya,”.

Tatkala suami menceritakan hal tersebut, fikiran saya terus memikirkan wajah-wajah menarik penyeri majalah yang memaparkan wanita berpenampilan indah ini. Adakah hal yang sama akan mengganggu pemikiran para isteri ?

PERLUKAH BEGITU ?
Allah SWT memerintahkan hambaNya untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Dan matlamat saya tidak lari dari tujuan ini. Sebagai tazkirah untuk diri sendiri dan golongan wanita hari ini.

Dalam menghitung Ramadhan yang bakal menjelma, beberapa hari sahaja lagi. Mari kita memuhasabah diri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)


Katakan tidak! Kita bukan golongan yang mengundang fitnah ini.
Katakan tidak! Kita bukan kumpulan yang membawa mudharat kepada kaum lelaki.

Sebaliknya, mari kita sama-sama berdoa, berharap dan berusaha akan termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”.


Akhir bicara, sebenarnya, adakah benar-benar manfaat lebih besar dari mudarat dalam hal ini ? Perlukah begitu ? Sama–sama kita fikirkan dan bertindak jika ia di dalam ruang kuasa anda dan kita semua.



Mencari dan mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

6 August 2009

MARI BANTU DIRI DAN SUAMI


“ As dah solat ?” tanya suami sewaktu sesi rehat selepas makan tengahari.

“ Belum lagi “ jawab saya ringkas. Sememangnya saya menunggu-nunggu ketika yang sesuai untuk menunaikan solat memandangkan di dalam dewan tersebut penuh dengan ahli keluarga lain yang turut serta, dari kaum bapa, ibu dan anak-anak mereka.

Sabtu itu, saya sekeluarga menghadiri Hari Keluarga Warga Lampeter yang berlansung di Dewan Milennium, Cellan; lebih kurang 20 minit perjalanan menaiki kereta dari pekan kecil Lampeter.

“ Rasanya ok dah nak solat ni, orang lelaki semua ada di luar . Solehah, biar abang pegang,” cadang suami. Saya menghulur Solehah ke dalam dukungannya.

“ As solat di hujung sudut belah sana. Agak terlindung dan tidak nampak bahagian belakang ketika rukuk dan sujud,” tambah suami bila melihat saya tertinjau-tinjau tempat yang sesuai. Suami menunjuk ke bahagian kiri belakang dewan. Kelihatan beberapa orang lain dari kaum ibu dan anak-anak perempuan juga telah bersedia berwudhuk untuk menunaikan kewajipan. Saya menghampar sejadah lalu mempelawa mereka untuk solat bersama. Berjamaah.

SANGAT MENGAMBIL BERAT
Saya bersyukur kerana suami seorang yang sangat menitiberatkan penjagaan aurat. Bukan sekadar menutup tetapi juga memeliharanya dari pandangan yang tidak wajar. Walaupun saya telah berjubah dan memakai tudung labuh namun suami masih tetap mengambil perhatian terhadap penjagaan aurat saya sebaiknya. Antara saranannya ialah memakai seluar panjang di sebelah dalam, juga berstoking warna gelap.

Seterusnya, ketika berada di kampung bersama adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara, suami sering mengingatkan agar saya menutup kaki sepenuhnya ketika duduk bertimpuh.

“ Tarik sedikit hujung kain agar menutup seluruh kaki bila duduk,” suami mengingatkan.

Walaupun ada sedikit keringanan (rukhsah ) terhadap aurat perempuan ketika bersama adik beradik dan ipar duai, iaitu boleh untuk tidak memakai stoking dan menampakkan pergelangan tangan bagi memudahkan bergerak dan melakukan kerja-kerja di dapur terutamanya, namun keringanan itu harus digunakan seminimum mungkin.

Kerana itu, dalam kebanyakan waktu saya lebih selesa memakai pakaian lengkap menutup aurat, lebih-lebih lagi bila kaum keluarga termasuk ipar duai dan rakan-rakan berkunjung ke rumah kami di Puchong Indah. Saya sering mengingat dan memuhasabah diri terhadap anjuran Rasulullah SAW , yang bermaksud :

“Jagalah auratmu, kecuali dari (penglihatan) suamimu”
Kemudian Baginda ditanya pula, “Bagaimana apabila seorang perempuan bersama dengan sesama kaum perempuan ?”
Maka Baginda menjawab, “Apabila engkau mampu untuk tidak menampakkan aurat kepada sesiapapun maka janganlah kau nampakkan kepada sesiapapun.”
Lalu Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pula apabila salah seorang dari kami (kaum perempuan) sedang bersendirian ?”
Maka Baginda menjawab, “Engkau lebih harus merasa malu kepada Allah daripada kepada sesama manusia.” ( Hadis Riwayat Abu Daud dan selainnya dengan sanad hasan, lihat Fiqhu Sunnah lin Nisaa’, halaman 381).

Dari mafhum hadis di atas, jika dalam lingkungan kaum perempuan sekalipun sebaik-baiknya aurat ditutup sempurna, tanpa ada keperluan memperlihatkannya, apatah lagi bila berada dalam lingkungan keluarga bersama ipar duai lelaki.

SEMPURNA MELINDUNGI
“ Ummi, boleh tak Kak Long pakai baju ni ? “ anak sulung saya bertanya sambil menunjukkan sehelai baju t-shirt. Baju itu berlengan panjang warna hijau pucuk pisang, tetapi labuhnya sekadar menutup sedikit sahaja bahagian punggung.

“ Kak Long nak pakai waktu Hari Keluarga nanti,” jelas Kak Long lagi. Saya memandang wajahnya. Saya tahu dia amat berharap saya memberikan kebenaran.

“ Dulu Ummi pernah beritahu Kak Long dan Kak Ngah, ingat tak?” soal saya terlebih dahulu sebelum menjawab pertanyaannya.

“ Bagitau apa Ummi, Kak Long tak ingatlah,” jawab Kak Long berterus terang.

“ Ummi pernah beritahu, pakaian seorang perempuan Islam bukan sekadar cukup menutup seluruh tubuh sahaja tetapi juga sempurna untuk melindungi pemakainya ketika ia duduk, membongkok dan melakukan pergerakan lainnya,” saya berhenti seketika untuk memberi ruang kepada Kak Long menyerap maklumat.

“ Jadi, walaupun baju Kak Long nampak sudah menutup aurat, berlengan panjang dan dari kain yang tidak jarang, tetapi labuh baju tu tak cukup panjang. Tidak cukup sempurna melindungi badan Kak Long dari terlihat oleh orang lain ketika Kak Long tunduk dan membongkok,“ ulas saya sekaligus menjawab pertanyaannya tadi. Kak Long mengangguk, tetapi ada sedikit kekecewaan pada riak mukanya. Saya mengerti.

“ Macam ni, Kak Long pakai baju ni sebelah dalam dan pakai gaun tanpa lengan yang baru Ummi beli tempoh hari di sebelah luar. Tentu lagi menarik,” cadang saya memberikan alternatif. Terpancar kembali sinar gembira pada wajahnya. Syukur, bisik saya.

CANTIK DEPAN SUAMI TETAPI DI LUAR?
Seorang Muslimah, seluruh tubuh badannya wajib dilindungi dari pandangan lelaki ajnabi kecuali muka dan tapak tangan. Demikian pendapat jumhur ulama’ zaman berzaman. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin lainnya, hendaklah mereka mengulurkan jilbab-jilbab keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,kerana itu mereka tidak diganggu." ( Surah Al-Ahzab ayat 59)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud :

"Katakanlah kepada perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka, memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak darinya. Hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka,ayah mereka,ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara laki-laki mereka, putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita), atau anak-anak yang belum mengerti aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kalian kepada ALLAH SWT, wahai orang-orang yang beriman supaya kalian beruntung."( Surah An-Nur ayat 31)

Sayangnya, tidak ramai wanita zaman moden hari ini yang menyedari dan mahu mematuhi sebaiknya perintah Ilahi. Kebanyakan mereka faham dan mengerti saranan dan contoh tauladan yang diperlihatkan oleh srikandi zaman kegemilangan Islam dahulu, kepentingan dan keperluan berhias serta berdandan di hadapan suami. Berpenampilan menarik untuk memikat sukma si jantung hati.

Akan tetapi bukan semua dapat memahami dan mencontohi corak pakaian dan penampilan wanita-wanita solehah ini di luar rumah tangga, lebih-lebih tanpa kehadiran suami di sisi ketika bekerja dan sebagainya.

Kerana itu, ramai wanita hari ini walaupun memakai tudung ketika keluar dan bekerja tetapi masih bersolek dan berwangi-wangian dengan aroma menusuk jiwa; sedangkan mereka tahu bahawa keadaan itu menjadi daya ketertarikan dan membangkitkan syahwat lelaki.

MARI BANTU DIRI DAN SUAMI
Mungkinkah kerana itu, wanita-wanita solehah semakin sukar kedapatan dalam dunia hari ini ? Dek bertahan memegang yang syari’e cukup sukar dan penuh duri umpama menggenggam bara api, hampir terlepas kerana kepanasannya yang tak terperi.

“ Jangan putus asa. Selagi masih bernyawa, selama itu gelaran Solehah masih boleh diraih dan dicapai,” demikian sering suami memujuk tatkala terasa diri bagaikan jauh dari ciri-ciri wanita solehah, penyejuk di mata, penawar di hati.

Justeru, mari kita berusaha semampu daya untuk mendapatkan kesempatan yang masih ada ini. Tanpa rasa pesimis ataupun khuatir. Mari kita bantu diri dan suami tercinta. Bukan hanya dari sudut materi, tetapi juga dari sudut rohani sebagai bekal kemudian hari.

Biarlah orang memandang kita sebagai naïf dalam berfesyen arus semasa di luar rumahtangga, tetapi di depan suami kita adalah isteri yang ‘daring’ dan manja. Bukan bermaksud perlu selekeh dan comot, tetapi cukuplah sekadar berpenampilan bersih, rapi dan kemas di luar rumahtangga. Itu sebenar tuntutan agama.
Kecantikan itu bukan dilihat dari fizikal semata, tetapi kecantikan itu timbul dari dalam hati, beserta kebaikan terhadap manusia dan kepatuhan kepada Yang Maha Mencipta.

Andai ingin terus bersama hingga ke syurga, mudah-mudahan ketaatan dalam menyempurnakan penutupan aurat ini dapat membantu menuju bahagia di sana. Bersama suami tercinta.

"Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kalian untuk menutupi aurat kalian dan pakain indah untuk perhiasan.Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebagian dari tanda-tanda kekuasan ALLAH SWT.Mudah-mudahan mereka sellau ingat." ( Surah al-A'raf ayat 26 ).

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

1 August 2009

RASAILAH KESEDAPAN TULEN !

Bangun pagi ini, saya melakukan rutin harian seperti biasa. Kemudian saya menuju ke dapur, dan saya keluarkan dua bungkus ayam siap potong dari peti sejuk beku. Niat saya, hari ini mahu memasak soto kegemaran suami tercinta.

Saya bersyukur, walaupun berada di luar negara, namun saya masih boleh memasak soto dengan bahan-bahan yang cukup.

Ayam, halia, bawang dan rempah ratus yang diperlukan semuanya sangat mudah diperolehi, baik dari kedai-kedai milik Arab dan Pakistan, juga dari kedai Cina yang menjual bahan-bahan masakan Asia Tenggara.

Nasi impit dan bawang goreng awal-awal lagi telah saya masak dan sediakan pada malamnya. Tinggal lagi, saya menyediakan kuah dan bahan-bahan tambahan sebagai pelengkap hidangan.

AJINOMOTO PENYEBAB SEDAP
“ Memasak kalau tak letak ajinomoto, alamat tak sedaplah rasanya,” akui seorang peniaga restoran.

Memang benar, dalam dunia hari ini, bukan sukar untuk menjadikan sesuatu makanan itu terasa lazat dan sedap. Bak kata orang, hingga menjilat jari. Apa yang perlu hanya tambah ajinomoto sebanyak-banyaknya. Ajinomoto atau nama lainnya monosodium glutamat ( MSG ) adalah bahan kimia perasa yang merangsang deria lidah lalu mentafsirkan makanan itu sebagai 'sedap'. Kerana itu walaupun ada kalanya membeli makanan dari luar yang kelihatan bagaikan tidak cukup bahan, namun bila dijamah terasa kesedapannya. Kekurangan itu terlindung kerana ada perisa tambahan ajinomoto !

Walaubagaimanapun, saya menafikan sedap makanan HANYA bergantung kepada penggunaan perisa tambahan ini. Bagi saya, tanpa ajinomoto sesuatu makanan itu tetap mampu tampil sedap dan lazat. Pengalaman saya dibesarkan dengan masakan air tangan ibu, bebas dari ajinomoto namun masih membangkit selera. Rahsianya terletak kepada dua :

1) Individu yang menikmati juadah itu, deria rasanya belum terhijab atau tertipu dek kesedapan tidak hakiki ajinomoto yang memudaratkan.
2) Penggunaan bahan-bahan yang segar, sukatan yang betul dan seimbang serta cukup pada semua rasa masin, masam dan manisnya. Walaupun orang-orang dahulu kebanyakannya memasak ‘main campak-campak’ saja, tetapi kesedapan masakan mereka tidak boleh dipertikai.

Namun, ramai yang masih meragui dan tidak yakin untuk tidak menggunakan ajinomoto dalam setiap masakan mereka hinggakan sambal belacan buat cecah ulam-ulaman juga turut dimasukkan.

Inilah yang dibimbangi apabila makan di kedai dan di luar rumah, sukar untuk dijumpai kedai makan yang tidak memasukkan MSG di dalam resipi masakan mereka. Hasilnya, berkembang biaklah generasi ajinomoto di kalangan masyarakat. Hilang sudah rasa enak masakan berperisa asli.

KELAZATAN SEMENTARA
Mungkin begitu pandangan kebanyakan manusia akhir zaman yang terpesona dengan kemilau dunia, umpama ajinomoto dalam masakan. Ramai yang terhijab oleh kelazatan hidup yang sementara ini dari kenikmatan akhirat yang kekal abadi. Berapa ramai manusia hari ini yang terlalu asyik mengejar kemewahan dan kesenangan hidup duniawi, tetapi selalu lalai dan lupa untuk mengejar kesenangan hidup di ‘sana’ nanti.

Mengapa tidak mereka kejar tawaran keuntungan hakiki di alam syurga ? Mungkin kerana mereka sudah ditutupi oleh kesedapan ‘ajinomoto’ dunia. Sebagaimana ajinomoto yang menghijab kenikmatan sebenar sesuatu masakan tanpa MSG.

Dek kerana dunia bersifat dan bercirikan sesuatu yang boleh nampak dan dilihat, yang boleh disentuh dan di pegang, yang boleh dirasa dan seterusnya boleh di miliki; sedangkan akhirat adalah sebalik dari itu semua. Ia hanya banyak disebut-sebut di dalam al Quran dan hadis Nabi, tidak boleh dilihat dan dinikmati. Justeru itu, ia sangat mudah dilupa dan dibiar sepi.

Sedih dan pilu melihat manusia-manusia yang wujud hari ini. Jika mereka orang kaya, hartawan dan ternama, tetapi terhijab dari kenikmatan di akhirat sana, maka akan lahirlah orang yang tamak, rakus, kedekut, ego, sombong, mementingkan diri sendiri, membazir dan suka berfoya-foya. Akan tetapi jika kelompok bawahan pula terhijab dari ganjaran syurga, maka akan subur hasad dengki, tidak redha dengan kehidupan yang dilalui dan kurang sabar dengan kesusahan yang dihadapi. Ini semua penyakit-penyakit yang lahir akibat diri sudah ditutupi oleh kesenangan dunia yang menipu dan buta dari melihat kelazatan sebenar di ‘alam’ sebelah sana.

Seterusnya, jika penyakit ini mengenai golongan remaja, maka mereka akan susah menerima didikan dan teguran. Hidup mereka hanya penuh dengan keseronokan dan hiburan, membuang masa, menagih dadah, merempit dan berbagai lagi gejala sosial yang merosak generasi masa depan.

Isteri menderhakai suami, menggadai rumahtangga demi mengejar harta dunia. Manakala suami pula melupakan anak isteri, meninggalkan mereka kerana terpesona dengan kecantikan yang sementara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya” ( Surah Ali ‘Imran ayat 14 dan 15 )

KUAH SOTO CARA SAYA
Bahan-bahan untuk membuat kuah soto telah sedia. Biasanya saya akan merebus air terlebih dahulu. Setelah air rebusan menggelegak, barulah saya memasukkan ayam yang telah dibuang kulit dan lemak bersama rempah empat sekawan. Saat ini, terhidu jelas haruman dari kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang yang naik bersama wap ke udara.

Setelah ayam separuh masak, saya matikan api dapur. Saya asingkan ayam dari air rebusan serta mengeluarkan rempah empat sekawan. Seterusnya, saya tumis bawang besar yang telah dikisar bersama bawang putih dan sedikit halia. Bila naik bau, masukkan pula rempah empat sekawan yang telah diasingkan dari air rebusan tadi. Sekali lagi terhidu bau yang enak membangkit selera. Kemudian, saya masukkan pula air rebusan ayam dan biarkan ia mereneh dengan api perlahan.

Sementara itu, ayam yang telah direbus, saya lumurkan dengan garam dan kunyit. Ayam itu kemudiannya digoreng dan disiat-siat isinya. Tulang ayam yang bersisa, boleh dimasukkan ke dalam air rebusan. Akhir sekali barulah saya masukkan rempah sup bunjut adabi yang telah dikeluarkan dari paketnya dan ditumbuk menggunakan lesung batu beserta sedikit lada hitam. Setelah memastikan sempurna rasanya, api dimatikan. Nah..siap kuah soto cara saya!

RASAILAH KESEDAPAN TULEN
“Sedap ni…” puji suami sambil menambah soto buat kali kedua. Tersenyum-senyum saya mendengar pujiannya. Isteri mana yang tidak rasa bangga dan bersyukur bila hasil air tangannya mendapat pujian dari suami tercinta. Terasa hilang penat lelah ketika memasak dan menyediakan juadah.

“ Ni ada letak pak aji ke ni..sedap betul ni,” tambah suami.

“ Mana ada letak pak aji, bang. Kesedapan yang asli tak akan terasa kalau letak ajinomoto,” jelas saya membela diri. Senyuman masih belum lekang melihat suami dan anak-anak berselera menikmati hasil air tangan saya.

“ Ya Allah, lindungilah kami, peliharalah kami. Agar nikmat dan kesenangan hidup di dunia tidak menghijab kami dari nikmat sebenar yang Engkau sediakan buat hamba Mu yang bertaqwa. Golongkan kami dalam kumpulan orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka lalu mereka gunakan nikmat itu sebagai jalan untuk lebih menghampirkan diri kepada Mu. Jauhkan kami dari golongan yang Engkau murkai, iaitu golongan yang sesat kerana kelazatan dunia sehingga melupakan nikmat di akhirat yang kekal abadi. Bantu kami ya Allah, pandu kami ya allah. Siapalah kami tanpa petunjuk dan hidayahMu, amen Ya Rabbal ‘alamin. ”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.