23 July 2014

JADILAH CERMIN JIWA

“It bothers me a lot when I have such low grades but the laziness inside me conquers me, so I don’t feel like doing anything to cange. Tapi sumpah stress!” Demikian luahan seorang remaja kepada ibunya. Si ibu terdiam. Hanya menggeleng-geleng kepala.

‘Nak buang malas pun susah? Malas buang malas, memang tak akan ke manalah..’ Keluh si ibu dalam hatinya. Wajah si anak ditenung lama…

‘Mampukah aku memotivasinya sehingga dia boleh mendaki tangga jaya?’ Pertanyaan itu bergema.

“Suami saya sendiri tidak memahami saya..sehingga saya bagaikan lupa bagaimanakah rasa bahagia hidup berumahtangga” Keluh pula seorang isteri semasa satu sesi kaunseling keluarga.

Kehidupan yang dilaluinya selama lima tahun bersama suami yang dinikahi atas dasar suka sama suka nampaknya bagai retak menunggu belah sahaja. Si suami dirasakannya tidak mampu membahagiakannya, namun cinta yang pernah berputik dulu, masih ada…

‘Mampukah diriku melakukan sesuatu demi kelangsungan cinta kami berdua?’ Dia menyoal diri sendiri sambil menggigit jari. Satu keluhan berat dilepaskan menggambarkan beban yang memenuhi ruang hati.

******************************************************************************
Saya akui, sebagai manusia biasa, ada ketikanya kebimbangan, kerisauan dan kekhuatiran terhadap sesuatu memberi kesan kepada perjalanan emosi dan seterusnya menjadikan semangat diri menurun untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat buat diri dan insan lain yang dikasihi. Sedangkan, ini bukanlah satu sikap yang benar dalam menanggapi cabaran hidup yang tidak pernah sudah...kerana kebimbangan tidak pernah mampu menghilangkan cabaran esok hari, tetapi ia hanya menghilangkan kekuatan diri hari ini...sedangkan itu tidak berbaloi sama sekali!

Dua situasi di atas, mengingatkan saya kepada satu peringatan indah daripada seseorang yang saya hormati..

POTENSI


"Setiap orang ada potensi untuk berubah.." Demikian bicara suami sewaktu satu sesi usrah bersamanya baru-baru ini. Saya dan beberapa ahli usrah lain mengangguk mengiyakan.

Hakikatnya, pada setiap diri, ada kebaikan yang sedang berjuang untuk muncul, cuma kesempatan itu banyak ketikanya memerlukan bantuan orang lain untuk memahami, memotivasi dan menguatkan semangat ke arah perubahan diri. 

" Berbaik sangka perlu didahulukan walau yang terserlah pada diri seseorang itu adalah keburukan.." Suami menyambung lagi. 

Inilah satu cara bagaimana kebaikan yang 'mengintai' dalam diri seseorang itu dapat dijemput untuk memunculkan diri; dengan berbaik sangka sesama manusia, sebagaimana baik sangka seorang alim terhadap seorang pendosa yang telah membunuh seratus jiwa dalam satu hadis yang panjang. 

Nasihat si alim yang bijaksana agar sang pembunuh berhijrah ke negeri lain bagi memulakan hidup baru dituruti. Akan tetapi takdir Ilahi menentukan sang pembunuh menemui Penciptanya dalam perjalanan menuju perubahan. Dua malaikat berselisih ke manakah sang pembunuh harus di bawa, antara syurga dan neraka, selayaknya dia di mana? 

Jarak perjalanannya diukur lalu terbukti lelaki pendosa itu sejengkal lebih hampir ke arah negeri tempat dia ingin memulakan fasa baru kehidupan. Berhijrah dan bertaubat. Dia benar-benar telah meninggalkan kejahatan, meski baru sejengkal, maka Allah memerintahkan agar dia dibawa ke syurga.

Alangkah besar rahmat Yang Maha Esa!

Kerana itu, Umar al Khattab radiyallahu'anhu pernah menyatakan : 

(لا تَظُنَّنَّ بكلمةٍ خَرَجَت من في امرئ مسلم سوءا وأنت تَجِدْ لها في الخير مَحمَلاً)

"Usah kamu menyangka satu perkataan yang keluar dari mulut seorang muslim itu buruk, sedang kamu boleh mengandaikan bahawa padanya ada kebaikan." 

Dahulukan berbaik sangka, itu intinya.

PENAWAR HATI
Mendengar kalam hikmah daripada para sahabat dan solehin yang dibaca suami, cukup menghadirkan sebak di hati.

Memang benar, tidak wujud manusia biasa yang suci di dunia ini, yang ada hanya manusia yang banyak khilaf; yang kembali kepada ILAHI dengan bertaubat dan menginsafi silap  diri. Sesungguhnya..tiada insan baik di dunia ini yang tiada keburukan di masa lalunya, dan tiada insan jahat di dunia ini yang tiada kebaikan untuk masa depannya jika dia telah kembali kepada TUHAN, mengharap keampunan.

Justeru itu, sebagai insan terhampir bagi seseorang, baik anak-anak remaja yang sedang mencari kekuatan diri atau pasangan hidup yang ‘dilihat’ gagal menjadi pelengkap diri, dahulukan baik sangka bahawa mereka mampu berubah.

Jiwa yang positif boleh dibangunkan melalui jiwa yang positif juga.

Untuk itu, seseorang yang berhasrat menjana perubahan insan sekeliling terutama seseorang yang bermakna dalam hidupnya, dia terlebih dahulu perlu merawat jiwanya agar hampir kepada Yang Maha Esa bagi beroleh kekuatan dan semangat yang benar.

Jiwa yang pesimis bukanlah jiwa yang sihat, justeru ia memerlukan penawar. Untuk itu, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imam Yahya bin Muadz al-Razi rahimahullah (wafat 258 hijrah), beliau pernah berkata :

دَوَاءُ اْلقَلْبِ خَمْسَةُ أَشْيَاءٍ، قِرَاءَةُ اْلقُرْآنِ بِالتَّفَكُّرِ، وَخَلاَءُ اْلبَطْنِ وَقِيَامُ اللَّيْلِ، وَالتَّضَرُّعُ عِنْدَ السَّحَرِ، وَمُجَالَسَةُ الصَّالِحِينَ
“Ubat bagi penyakit hati itu ada lima perkara; iaitu membaca Al-Qur’an dengan merenungkan maknanya, mengosongkan perut (berpuasa), solat malam, meminta keampunan ALLAH di waktu sahur dan berteman dengan orang-orang yang soleh.” [Sifatus Sofwah, Ibn al-Jauzi]

Sesungguhnya, ketaatan kepada Yang Maha Esa mampu menjadi benteng kepada rasa-rasa negatif yang melanda.

Setelah itu, dengan rahmat Yang Maha Esa, tidak mustahil seorang ibu mampu menjadi motivator kepada anak sendiri, sementara seorang isteri pula menjadi pemangkin kepada perubahan baik suami yang dicintai.

JADILAH CERMIN JIWA


Saya meyakini bahawa setiap individu di dunia ini terutama dalam lingkungan sebuah keluarga, masih mampu berada dalam keadaan yang baik apabila wujud persekitaran nasihat menasihati. Orang yang menasihati bersih jiwa, dan orang yang dinasihati pula merasa dekat dan bersedia untuk belajar memperbaiki dirinya.

Kedua-dua mereka saling bertindak sebagai cermin bagi memantulkan refleksi diri demi pembaikan  masing-masing.

Sebagaimana sajak yang sempat saya coretkan di bawah ini, semoga tiada ibu yang berputus asa kepada perubahan anaknya, juga tiada isteri yang menyerah kalah untuk mempertahankan mahligai bahagia yang telah terbina.

Baik sangka dan berusahalah merawat jiwa.

  
DI DEPAN CERMIN KAMAR

Di depan cermin kamar...
Kurenungi satu perkara...
Cermin dan jiwa itu miliki persamaan nyata..
Kedua-duanya wahana buat merubah nilai insani...

Di depan cermin kamar....
Kurenungi satu perkara... 
Cermin menunjuk refleksi diri
Jiwa terisi kasih manusiawi
Keduanya-duanya mampu retak..
Namun masih boleh diperbaharui..
Andai betul caranya...
Andai tepat didikannya...

Di depan cermin kamar...
Terlihat bayangan seorang insan...
Ketika mataku menangis hiba..
Bibirnya tidak pernah mengukir tawa...
Hanya wajahnya memancar nestapa...
Menyembunyi rahsia jiwa yang turut berduka.

Di depan cermin kamar...
Terlihat bayangan seorang insan..
Tatkala diriku penuh kecewa..
Pedih, khilaf dan luka....
Dia meminjamkan dirinya...
Memberi kekuatan, semangat dan maruah semula...

Di depan cermin kamar...
Kusyukuri anugerah ILAHI...
Dia 'cermin jiwa' kurniaan Yang Maha Esa...
Darinya kupelajari hikmah cinta sejati...
Darinya diriku berkaca memuhasabah nurani...
Agar cinta-NYA mengungguli diri.



Mencari dan terus mencari cinta sejati.


Jumpa lagi, in shaa ALLAH.


10 July 2014

MARI MILIKI KEJELITAAN SEJATI


Ummi….kenapa kulit adik putih sangat, not fair!” Luah kak long sambil mencubit lembut pipi mulus adik kecilnya yang berada dalam dukungan.

“Alhamdulillah, kulit kak long pun kecil-kecil dulu putih macam adik juga…sekarang ni je berubah sikit sebab banyak kena cahaya matahari…nanti dah macam ummi putih la balik..hehe..” bidas saya sambil tertawa kecil. 

Mengerti, bahawa iri anakanda sulung saya ini bukanlah datang dari hati, hanya mainan bibir sahaja kerana saya meyakini sayangnya pada adik kecilnya ini tak tergambar dengan kata-kata. Kerana itu, biar pun letih sebaik pulang dari sekolah, dia tetap melayan adiknya bermain.

“Ye ke? Cuba ummi tengok kulit kak long ni…macam aiskrim neapolitan…” Ulas kak long lagi dengan sengihan di bibir.

Mendengar itu, meledak ketawa saya. Terbayang aiskrim yang dimaksudkan…belang kuning, merah jambu dan coklat!

Hmmm…Sememangnya kecantikan dan wanita tidak boleh dipisahkan terutama dalam dunia hari ini yang mengenengahkan senarai wanita cantik adalah mereka yang memiliki pesona kejelitaan seumpama artis dan selebriti. Kerana itu, pada saya, apabila berbicara mengenai kecantikan perempuan, ia adalah sama sebagaimana fesyen pakaian. Berbicara mengenainya memerlukan dua elemen utama  iaitu kefahaman dan ketakwaan.

Kefahaman penting, kerana ia melibatkan keupayaan untuk mengetahui, mengerti dan menyelami masalah yang dibicarakan secara adil dan saksama, sementara dengan ketaqwaan pula, ia memimpin dan mendorong kepada jalan penyelesaian yang terbaik berlandaskan syari’at demi meraih keredaan-NYA. Pincang salah satu darinya, maka ‘outcome’ dari perbincangan tersebut tidak akan memberi faedah apa-apa.

Lebih-lebih lagi apabila isu ini dibangkitkan oleh anak gadis yang sedang meningkat remaja, persepsi mereka tentang kecantikan yang banyak dibentuk oleh media massa perlu diletakkan kembali ke landasannya yang benar.

KISAH 'ANAK ITIK' YANG HODOH
“Kak long, kak ngah pernah tak dengar atau baca cerita tentang angsa yang hodoh?” Saya bertanya. Petang itu, sambil menyusun buku-buku cerita di bilik anak-anak, saya mengambil peluang berbual bersama mereka.
“Tak….” Kedua-duanya menjawab serentak.

“Eh! Takkan tak pernah…” Saya menyanggah.

“Kan ada satu cerita tentang seekor anak angsa yang dibela oleh itik. Selepas menetas, dia melihat dirinya tak sama dengan anak-anak itik yang lain. Mereka semua berwarna kuning, bersih dan cantik, tapi dia…dah lah warna hitam, besar dan nampak hodoh pulak..” Saya mula berkisah.

“Oh! Cerita tu. Kak long dah baca dah…” Tiba- tiba kak long mencelah.

“Ha, kalau dah baca, apa jadi lepas tu?” Saya menyoal untuk menduga ingatannya.

“Dia sedih sebab tak cantik macam anak itik lain. Anak itik lain pun tak nak kawan dengan dia. Satu hari, anak ‘itik’ tu nampak seekor swan terbang dekat dengan kolam. Dia kata, kan baik kalau dia jadi macam swan tu...putih, cantik dan menarik..Rupa-rupanya bila dah besar, 'anak itik' tulah swan sebenarnya...” Kak long menambah cerita.

BAGAI SANG ANGSA
Saya pasti ramai di kalangan wanita hari ini yang meletakkan diri mereka seumpama sang angsa di dalam cerita dongeng tadi. Sejak kecil, ramai di antara kita terperangkap dengan suasana semasa dalam menentukan nilai kecantikan seorang wanita.

Andai di zaman kanak-kanak, patung Barbie dan seumpamanya menjadi idola, menjengah ke alam remaja dan dewasa, tanda aras cantik dan jelita itu terarah pula kepada artis dan selebriti yang menghiasi media elektronik dan majalah.

Kondisi ini semakin 'melumpuhkan' pandangan mata. Kita bagai tidak memiliki 'tenaga' untuk mengembangkan daya dan upaya menghargai kecantikan sendiri yang sebenarnya wujud dalam diri setiap individu di muka bumi ini.

“Cukup sifat, ada mata, hidung, telinga, mulut….cantiklah namanya tu.” Demikian jawapan ayah bila saya dan adik beradik perempuan lain membandingkan kelainan yang ada di antara kami. Asalnya mahu bergurau senda, tetapi tidak sangka pula rupa-rupanya ayah memasang telinga. Kami terdiam dan berpandangan sesama sendiri. Senyuman terukir di bibir masing-masing, penuh makna.

 Hakikatnya, generasi wanita yang terperangkap dengan 'neraca' semasa ini akan mewariskan piawaian sonsang tentang kecantikan kepada anak-anak gadis mereka suatu masa nanti dan menatijahkan neraca kecantikan yang tidak benar itu berpanjangan dan berkesinambungan zaman ke zaman.

MENJADI CERMIN


Kerana itu, saya merasakan, pendidikan tentang kecantikan sejati ini harus dimulai oleh ibubapa di rumah agar perspektif yang songsang itu dapat diluruskan kembali. Kekeruhan fikiran anak-anak gadis tentang apa itu ‘cantik’ mesti dipandu dengan pengisian jiwa agar tumpuan mereka ketika berada di hadapan bingkai kaca, bukan lagi tubuh fizikal yang boleh sirna bersama beredarnya masa, tetapi keindahan hati yang dengannya kekal ingatan dan sanjungan manusia.

Ringkasnya, ibubapa perlu bertindak dan memberikan respon seumpama ‘sebingkai cermin’ kepada anak-anak gadis mereka. Antara yang boleh dilakukan untuk tujuan tersebut ialah :

1)      Contoh daripada seorang ibu iaitu seorang ibu itu perlu berhati-hati ketika mengkritik bentuk tubuhnya sendiri

Saya pernah menonton satu rancangan keibubapaan di kaca televisyen, ketika menetap di United Kingdom suatu ketika dahulu. Rancangan ini dikendalikan oleh seorang pakar keibubapaan bernama Jo Frost.

Di dalam siri yang menyentuh tentang obses remaja hari ini tentang penampilan dan kecantikan, Jo menegur segelintir kaum ibu yang begitu mengkritik bentuk tubuh sendiri akibat membanding-bandingkan penampilan diri dengan model-model majalah. Akibatnya, anak-anak gadis yang melihat atau mendengar turut terkesan sama.

Impak panjang dari itu, kecantikan yang ada pada diri terus tidak dibangunkan, sebaliknya perbandingan dengan orang lain akan terus subur dan mewarnai kaca mata seorang perempuan.sebaiknya, sebelum membelek-belek wajah dan tubuh di cermin, sebelum mengkritik itu dan ini pada tubuh sendiri, pandang dahulu ke kanan dan kiri.

Andai bersendiri di dalam bilik dengan pintu bertutup rapat dan terkunci, itu lebih molek, kerana lebih terjamin dari penglihatan anak-anak. Lantaran seringkali sebagai ibu kita terlepas pandang, menyangka anak-anak sedang leka melakukan aktiviti masing-masing; akan tetapi sebenarnya mereka menjeling dan men'curi-curi' dengar.

2)      Peranan seorang ayah iaitu dengan memberitahu kepada anak gadis mereka bahawa dari sudut pandang seorang lelaki, mereka sudah cukup cantik dan memiliki pesona diri.

Ketengahkan kepada anak-anak bahawa ‘kejelitaan’ yang dicari dari diri seorang wanita adalah satu bentuk tarikan dan pengaruh yang terbit dari dalam jiwa dengan segala kemuliaannya.

‘Perhiasan jiwa’, itulah yang lebih utama. Ia merupakan aspek budi pekerti yang diterapkan oleh Islam; diawali dengan sifat keimanan kepada Yang Maha Menciptakan, sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud :

“Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan.” (Al Quran surah Al-Hujaraat: 7)

Apabila keimanan telah benar-benar terpatri dalam hati, maka akan tumbuhlah sifat-sifat indah yang menghiasi diri insan : ketakwaan, berimu, rasa malu, jujur, terhormat, berani, sabar, lemah lembut, berbudi pekerti, menjaga silaturrahmi dan sifat-sifat terpuji lain yang dengannya dia membuat kehidupan lebih beerti dengan ciri-ciri tersebut dari sekadar memenangi ego manusiawi yang tidak terkendali. Semua itu  adalah nikmat ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang diberikan kepada hamba-hambanya yang beriman agar dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat.

3)      Perkukuhkan dalam diri anak gadis sifat BERSYUKUR bahawa setiap manusia yang ALLAH jadikan di dunia ini mempunyai kecantikan tersendiri.

Tambahan pula, cantik itu sendiri adalah terlalu subjektif dan relatif bak satu pepatah Inggeris :

Beauty is in the eye of the beholder

Justeru, minta anak gadis agar berhenti dari meminati kecantikan orang lain dan alihkan kepada membangun potensi diri kurniaan ILAHI.
Beritahu mereka bahawa, wanita adalah umpama kuntuman mawar. Mekar indah dengan pelbagai warna : putih bersih, merah muda, merah menyala dan kuning diraja, akan tetapi pada setiap penghujungnya, semua kuntuman mawar itu akan dihidu dan dinilai dengan cara yang sama, iaitu melalui keharumannya yang semerbak walau apapun warnanya.
Lalu, begitulah juga kita, dengan pelbagai bentuk tubuh, ketinggian dan paras rupa, pengakhirannya kita semua memiliki satu ciri yang sama iaitu kecantikan semulajadi kurniaan Yang Maha Adil lagi Bijaksana.
Bersyukurlah!

MARI MILIKI KEJELITAAN SEJATI


Dan pagi ini, ketawa saya meledak kembali. Apabila seorang teman memaklumkan sesuatu dan kata-kata itu terngiang di telinga, sukar benar untuk saya tersenyum sopan begitu sahaja. Mujur juga saya berada di rumah. Jika tidak, sungguh tidak sesuai tertawa sebegini sebagai seorang muslimah!

Namun, ketawa saya itu mengundang kerutan di dahi kak long. Mungkin dia tertanya-tanya gerangan apakah yang menyebabkan umminya ini ketawa sedemikian rupa.

“Kenapa ummi? Dari tadi kak long tengok ummi ketawa kuat macam tadi…” Kak long akhirnya bersuara. Tidak tahan lagi bersoaljawab sendiri agaknya. Biar jelas duduk perkara.

“Tak ada apa-apalah sayang…seorang kawan ummi ni, dia beritahu yang muka ummi ni macam muka seorang pelakon cantik tu..” Ujar saya sambil menyebut nama seorang selebriti. Ketawa lagi saya usai menyebut namanya.

“Sama ke muka ummi dengan wajahnya?” Saya melontar tanya sekadar berjenaka. Kak long tersenyum.

“Ada rasanya…tang hidung…” Jawab kak long bersahaja disambut ketawa kami bersama.

“Kak long nampak tak sayang? Setiap orang memandang kecantikan itu dari sudut berbeza. Ada orang melihat wajah si polan ini biasa-biasa sahaja, tetapi ada orang lain melihat si polan ini tersenarai dalam kalangan wanita cantik menurut penilaiannya. Jadi, akhirnya….” Saya berhenti berkata-kata untuk melihat respon si anak dara.

“Akhirnya…semua orang adalah cantik sebenarnya.” Kak long memberikan kesimpulan.

Alhamdulillah….dalam hati saya berbisik dengan kesyukuran ke hadrat ILAHI :


‘Buat anakku yang dikasihi, tak salah membelek-belek ‘kekurangan’ diri, tapi tak perlu berlebih-lebih, kerana yang mencintaimu tak memerlukannya, yang membencimu kan jadikan bahan cerita. Bercerminlah melihat diri, sempurnakah amal ketaatan yang diperintahkan ILAHI; berkaca meneliti hati, wujudkah mazmumah yang mengaburi cahaya iman dari menyuluh denai hidup ini. Bercermin tubuh dilihat manusia, bercermin hati dipandang ALLAH Yang Maha Kaya. Kedua-duanya indah jika akhlak menjadi naungannya. Mari kita miliki kejelitaan sejati, in sha ALLAH!’

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, in shaa ALLAH.