29 December 2010

HADITH ASSIGNMENT FOR KAK LONG & KAK NGAH

Anak-anak saya suka melukis dan menggunakan komputer. Baik kak long dan kak ngah, Khalil dan Solehah juga sudah menunjukkan minat yang serupa. Kebanyakan masa mereka terutama di musim cuti persekolahan, banyak dihabiskan di depan komputer. Melukis menggunakan paintbrush, bermain game dan adakalanya menulis untuk blog.

Sebagai ibu, ada ketikanya, timbul perasaan kurang selesa di hati dengan kecenderungan mereka. Akan tetapi, apabila memikirkan ruang rumah di UK ini yang keluasannya agak terhad, dengan kebanyakan masa anak-anak di rumah, terutama dalam cuaca dingin yang terlalu menggigit, ia memberi satu cabaran kepada diri saya untuk lebih kreatif.

Kecenderungan yang ada harus di'manipulasi' sebaiknya. Bakat melukis yang ditunjukkan juga mesti disalurkan kepada pengisian yang lebih bermakna. Berisi dan memberi manfaat buat mereka.

Justeru itu, hasil perbincangan bersama suami, juga sebagai galakan kepada anak-anak untuk menyintai sunnah Nabi, saya telah memberikan satu tugasan kepada anakanda kak long dan kak ngah untuk menulis satu cerita dengan menjadikan potongan hadis pendek yang telah mereka hafal sebagai asas penceritaan.

Saya kongsikan hasil tugasan mereka. Semoga ada manfaatnya buat kita semua, InsyaALLAH.

28 December 2010

MENJADI YANG TERBAIK, MEMBERI YANG TERBAIK

“Salam, adakah ayat "engkau terbaik untukku" masih valid sekiranya suami ditakdirkan bertemu jodoh lagi ?”

Pertama kali membaca persoalan di atas, hati wanita saya sedikit cemas. Entah bisikan apa yang menyusup masuk ke dalam jiwa, sehigga persoalan itu begitu membekas di jiwa.

Seolah-olah kata-kata yang saya tujukan khusus buat suami lewat artikel, Engkau Terbaik Untukku, dipandang kosong. Tiada makna.

Saya bagai hanyut dibawa ke alur rasa yang melemaskan ditengah-tengah kedamaian dan kehangatan sambutan ulangtahun ke-12 pernikahan saya dan suami tercinta. Lebih-lebih lagi, sambutan itu berlaku selepas beberapa hari kami berjauhan kerana suami berkelana ke bumi Praque di Republik Chezc.

Saya tidak pasti tujuan dari lontaran persoalan yang agak mengganggu itu. Adakah untuk meninjau pandangan saya tentang poligami, atau sekadar mahu mengacah-acah sambil melayangkan maksud rasa bahagia yang sedang saya rasakan ketika ini pasti tidak akan lagi saya rasai andai suami bernikah lagi.

“Suami dia belum ada isteri yang lain…bolehlah nak kata, engkau terbaik untukku…”
Mungkinkah begitu?

15 December 2010

DALAM TADBIR KUSUSURI TAKDIR-MU ( Bhgn 2 )


Namun, langit tidak selalu cerah. Ada ketikanya, awan mendung berarak megah menutupi sinar mentari yang indah.

Demikian juga kehidupan saya dan suami. Entah bagaimana, penempatan pertama saya sebagai guru sandaran terlatih ditempatkan jauh di bumi Kenyalang, Sarawak. Saya terpaksa menolak kerana keadaan sangat tidak mengizinkan untuk saya berjauhan dari suami yang dikasihi.

Kami reda dan meneruskan hari-hari seadanya. Persediaan menyambut ‘orang baru’ juga dilakukan sekadarnya memandangkan suami baru bekerja dengan gaji bulanan RM800 sahaja. Akan tetapi, dengan bantuan dari adik beradik saya dan suami, juga kenalan yang bermurah hati, sedikit sebanyak menambah keyakinan kami terhadap rahmat dan kasih sayang ILAHI.

13 December 2010

DALAM TADBIR KUSUSURI TAKDIR-MU


Suara ayah terdengar lemah menerusi ‘speaker’ komputer. Sayup-sayup menembusi corong telinga. Hati ini jadi hiba. Andai saja saya berada di tanahair ketika ini, pasti sudah lama saya mengajak suami pulang ke desa.

“Badan ayah banyak hilang air tu. Ayah muntah-muntah juga ke?” saya bertanya. Bimbang mengenangkan kesihatan ayah yang tidak berapa baik akhir-akhir ini.

“Muntah, cirit birit..semua ada. Sampai doktor masukkan air masa pergi klinik tadi. Tapi, ni dah rasa kuat sikit.” Jawapan ayah sedikit melegakan kerisauan jiwa.

“Doktor kata salah makan…” ayah menambah cerita. Saya mendengar.

“Ayah berehatlah…nanti Ina call lagi,” balas saya.

Niat di hati tidak mahu berbual lama. Kasihan mengenangkan tubuh tua ayah yang lemah dan kurang berdaya dek penangan keracunan makanan dua hari lepas.

“Eh..buku Ina dah ada kat rumah ayah ni. Bolehlah ayah baca…” Tiba-tiba ayah bersuara. Nada suara yang lemah tadinya terdengar sedikit berubah.

Agak bertenaga.

Ceria.

5 December 2010

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU (2)


Dari tadi kak long asyik tersenyum-senyum memandang saya. Entah apa yang di fikirkannya saat itu, hanya dia dan ALLAH yang tahu.

“Kenapa kak long, nak cubit?” soal saya dalam nada bergurau. Senyumannya kian melebar.

“Tak ada apa-apa…” Kak long menjawab ringkas, tapi lirikan manis yang menguntum di bibirnya masih terlihat jelas.

Saya membiarkan kak long dengan senyuman misterinya dan meneruskan kerja-kerja rutin di dapur. Periuk belanga, pinggan dan cawan yang digunakan untuk memasak hidangan tengahari tadi masih belum di cuci. Kain baju yang memenuhi bakul biru dan kuning di hadapan bilik air juga belum terusik sedikitpun.

“Ummi dan ayahkan….macam orang bercinta…” Tiba-tiba kak long meluah bicara, malu-malu sahaja lontaran nada yang masuk ke telinga. Terpempan seketika saya mendengarnya. Mujur pinggan di tangan tidak terlepas ke sinki kaca.

“Kenapa kak long cakap macam tu?” saya bertanya. Aliran darah bagai deras menerjah ke wajah. Panasnya terasa. Paras rupa merah merona. Sejurus, saya menguntum senyum ceria.

Segan sebenarnya !

“Hari tu, masa kita jalan-jalan, kak long dan kak ngah tengok ummi ayah pegang-pegang tangan, senyum-senyum pulak tu,” ucap kak long berterusterang. Kata-katanya itu saya sambut dengan ketawa panjang.

Tiada jawapan balas yang dapat saya berikan. Hanya bibir melafaz takbir dan tahmid. Cukuplah itu menjadi pengukuh terhadap pandangan luhur seorang anak, yang lahirnya ke dunia ini menjadi bukti ikatan kasih yang terpatri. Sayang seorang suami, cinta seorang isteri.