11 June 2012

CELIKKAN KECEMBURUANMU....

Semilir petang yang berhembus begitu mendamaikan. Rumput-rumput hijau yang memenuhi taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Sentosa turut meliang lintuk dihembus bayu. Sesekali terdengar kicauan burung. Pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki buat menyambung kehidupan.

Cukup mengasyikkan.

Akan tetapi kecamuk rasa di hati Ahyana sedikit pun tidak berkurang dengan keindahan ciptaan TUHAN yang terpapar di depan mata. Hanya tubuhnya menikmati sapaan lembut alam, sedang jiwanya tenggelam dalam gelombang perasaan.

Satu keluhan dilepaskan. Berat!

“Mengapa kau lakukan begitu?” Solehah, teman karib yang menemaninya menghirup udara petang itu tiba-tiba melempar tanya. Agak menyentak rasa.

Ahyana memalingkan kepala sambil menatap dalam anak mata Solehah. Kelihatan sahabatnya itu serius. Namun, riak ketenangan dari wajah keibuannya itu, seperti selalu, tidak terganggu.

“Lakukan apa? Merajuk dengan suami sendiri sehingga berhari-hari. Itu maksudmu?” Ahyana membalas sinis.

Entah mengapa mimpinya dua hari lalu melihat suami yang dikasihi sedang berbalas pandang penuh cinta dengan seorang wanita jelita sangat kuat mengganggu jaganya. Ditambah pula penemuan sampul-sampul berwarna merah jambu dari kotak barang-barang lama suaminya ketika dia mengemas stor bawah tangga menjadikan perasaannya begitu sengsara. Kebetulan dia mahu mengemas rumah yang didiaminya bersama suami sejak setahun dulu yang telah lebih dulu dihuni suaminya bersama beberapa rakan bujangnya sebelum mereka disatukan.

Jelas tergambar baris-baris ceria dan mesra berisi nasihat dan kata-kata semangat yang dicoret seseorang bergelar wanita yang menjadi rakan pena kepada suaminya dalam surat-surat bersampul merah jambu tersebut.

Walaupun ia berlaku sebelum ikatan perkahwinan antara mereka, penemuan itu agak menjeruk rasa. Sakit di hatinya masih belum hilang. Sekali hatinya terluka, memang lambat untuk sembuh semula. Hanya kepada Solehah, sahabat baik yang telah lama mengenali hati budinya tempat dia meluahkan rasa.

“Buat apa surat-surat itu masih disimpan? Itu menandakan perempuan tu sangat bermakna dalam hidupnya!” Ahyana mengertap bibir. Geram.

Kali ini Solehah pula menatap muka Ahyana. Renungannya sedikit meredup. Belas bercampur simpati dengan amukan cemburu yang sedang melanda jiwa sahabat baiknya itu.

“Kau tak rasa bersalahkah? Membiarkan suamimu bagai ayam berak kapur…termangu-mangu tanpa belaian sambil menatap isteri di rumah berwajah masam? Pedih tau…”

Ahyana hanya menyambut dengan ketawa kecil. Mungkin dibuat-buat. Mungkin juga geli hati mendengar peribahasa dari bibir Solehah yang terkenal suka menyakat.

Namun, di sebalik itu, dia tahu, Solehah sangat memaksudkan setiap patah bicaranya. Tanda ambil berat seorang sahabat. Tambahan pula, Solehah ‘lebih dulu makan garam berbanding dirinya’ yang baru setahun jagung di alam rumahtangga.

10 June 2012

BUKAN BABU, BUKAN JUGA RATU

"Assalamualaikum kakak. Saya hanya mahu bertanya. Apakah pendapat kakak tentang pautan yang saya sertakan ini? Boleh kakak bagi penerangan yang jelas tak tentang isu ni? Adakah seorang lelaki itu perlu menjadi kuli pada isterinya sedangkan isterinya hanya duduk makan tidur makan tidur di rumah sahaja?

Saya tertanya-tanya sebab jika lelaki yang perlu membuat kerja rumah, maka apa tugas isteri di rumah yang sebenar-benarnya?

Memangbenar, kalau di zaman moden ini ramai wanita bekerjaya, maka keadaan itumungkin boleh diterima iaitu suami sama-sama membantu melakukan kerja-kerja rumah...tetapi jika si isteri tidak bekerja...dan sangat-sangat pemalas untuk membuat kerja rumah, maka terpakaikah perkara ini pada si isteri yang tidak bekerja dan tugasnya di rumah hanya makan tidur makan tidur sahaja?”

Demikian paparan soalan pada kotak mesej Facebook yang tertera di hadapan mata saya. Ia datang dari seorang gadis yang masih muda dan belum menempuh alam rumahtangga.

Bersama emel tersebut, dia menyertakan satu paparan kata-kata yang menurutnya merupakan satu petikan ceramah atau tazkirah seorang ustaz melalui corong radio. Petikan itu berbunyi :



5 April 2012

SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU...

Satu demi satu kunjungan persolan rumahtangga menjengah ke kotak emel saya. Rata-ratanya adalah dari kaum wanita, baik yang bekerja mahupun yang bergelar surirumahtangga. Dari luahan rasa, gelodak jiwa hinggalah kepada cetusan emosi yang meluap api benci kepada suami , semuanya dicoret sebegitu panjang bernada harapan agar saya mampu melorongkan mereka kepada jalan-jalan penyelesaian.

Namun, menginsafi bahawa saya bukanlah seorang yang benar-benar berkelayakan dalam memberikan nasihat dan pandangan, ditambah pula hambatan masa yang sukar berkompromi untuk saya berlama-lama di hadapan komputer bagi menjawab kemusykilan yang diutarakan, justeru menulis secara umum sebegini diharapkan mampu memberi sedikit jawapan bagi merungkai kekusutan perasaan seorang isteri yang sedang gerhana dari cahaya cinta.

Sebenarnya, sudah agak lama saya mahu menambah penulisan saya pada sesuatu yang memfokus kepada ikhtiar isteri dalam melakar bahagia rumahtangga tetapi masa dan idea belum kunjung tiba. Sehinggalah saat ini, kala suami berpergian memenuhi tanggungjawabnya kepada ummah, kerinduan yang hadir membangkitkan keinsafan, kesedaran dan muhasabah diri seorang isteri. Lalu, jemari ini mulai ligat menyusun kata bertemankan wajah-wajah bersih yang sedang lena dibuai mimpi.


24 March 2012

BUKAN BLUETOOTH, BUKAN WIFI

Agak melucukan! Begitu tanggapan awal saya saat membaca sebuah perumpamaan moden yang memperkatakan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menanggapi perhubungan sesama mereka.

“Men are like Bluetooth. He is connected to you when you are nearby, but searches for other devices when you are away. Women are like Wifi. She sees all available devices, but connects to the strongest one.”

“Hmmm…bila teknologi terkini dijadikan perumpamaan manusiawi…siapalah pengarangnya. Bagaimana agaknya kalau ayat itu diubah sedikit.” Saya berbisik sendiri.

“Men are like Bluetooth, you are next to him, then he stays connected. You go away, he finds for new devices. And a lady, however, is like Wifi. Many devices can connect to her as long as she is not secured. ”

Bibir saya terus menguntum senyum.

“Mungkin kerana itu, ada yang berpandangan bahawa pencarian seseorang yang ‘betul’ dan tepat bagi diangkat sebagai pasangan hidup yang serasi dan membawa bahagia,seumpama mencari sehelai rumput paling cantik.” Bisikan saya bertali.

29 February 2012

RUMPUT DI PADANG NAN LUAS...

Wahai sahabat...apa jawabmu jika ditanya : "Bagaimana dapat kutemukan pasangan hidup yang setia?"

Kuakui soalan ini amat indah untuk dicerna, namun sukar untuk dilaksana....

Bagiku....seorang pemburu cinta....
Dia ibarat seseorang yang berada di padang rumput yang menghijau luas. Impiannya adalah mencari sehelai rumput yang paling cantik di antara sekian banyak rumput yang melata.

Dia berjalan, dan terus berjalan. Bila sahaja matanya tertancap pada sehelai rumput yang dirasakannya paling cantik, hatinya pula berkata : "Nanti dulu! Rumput-rumput di depan ini masih banyak, mungkin ada yang lebih cantik dari yang ini..."

Lalu, rumput itu ditinggalkan dan dia meneruskan pencarian. Namun akhirnya, tanpa disedari dia sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi tiada sehelai rumput pun yang berada di dalam genggaman...

Untuk berpaling ke belakang dan kembali mencari, dia sudah keletihan, sedang masanya juga sudah banyak terbuang tanpa penghasilan....

Inilah realiti hidup....

Justeru, dalam mencari pasangan hidup, janganlah selalu membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti kelelahan...

Ambillah pedoman agama....pesan rasul menjadi syaratnya, pasti bahagia akan kau kecapi sehingga ke syurga sana, InsyaALLAH :)




Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

22 January 2012

BERJUANGLAH WAHAI ISTERI

“Ummi, tadi opah jatuh.” Kak ngah bercerita. Saya hanya menganggukkan kepala. Bukan tidak peduli, tetapi cerita itu telah lama saya maklumi. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali dalam sehari, wanita tabah yang digelar ‘opah’ itu terjatuh tanpa sengaja.

Salah mengatur langkah, mudah amat badannya yang kecil dan kurus itu jatuh ke lantai, tanpa dapat dikawal. Namun, tidak pernah saya melihat kesedihan dan riak kecewa pada wajahnya setiap kali menemukan adegan serupa.

Walau berulangkali dalam sehari.

Andai ada orang yang melihat keadaannya ketika itu, dia hanya tersenyum manis sambil berusaha bangun semula tanpa meminta bantuan apatah lagi belas kasihan.

“Kak ngah buat apa bila nampak opah jatuh?” saya bertanya setelah beberapa ketika.

“Mula-mula kak ngah tak tahu..tapi, masa kak ngah on the way ke dapur, kak ngah nampak opah atas lantai, she was trying to get up,” jawab kak ngah jujur.

Buat kesekian kalinya, saya hanya menganggukkan kepala bersama perasaan yang berbaur ritmanya.Simpati, kagum sekaligus menambah syukur ke hadrat Yang Esa. Ada sesuatu yang saya dapatkan dari sekian banyak pengalaman mendengar dan melihat sendiri peristiwa ini.

Ketabahannya menanggung ujian hidup. Kesabarannya meladeni ayahanda yang sudah tua, kesungguhannya mengambil hati anak-anak tiri dan cucu-cucu, semua itu membekas dalam diri saya sebagai seorang isteri dan ibu yang lebih sempurna berbanding dirinya.