"Susahkah
untuk taat pada suami, kak Ina?"
Soalannya
di kotak mesej petang semalam bagai terkenang-kenang. Seorang rakan FB yang
jarak usianya hanya muda beberapa tahun daripada saya.
Sudah
berumahtangga dan memiliki empat cahayamata. Memiliki kerjaya sebagai seorang
pendidik bangsa serta bersuamikan seorang lelaki bergelar usahawan berjaya.
Perjalanan hidupnya tampak lancar, hanya sahaja dua tahun kebelangan ini, jiwa
wanitanya cepat sedih dan hiba lantaran suaminya memilih untuk bernikah kali
kedua. Walau diawalnya dia merelakan, namun akhir-akhir ini jiwa
perempuannya diasak penyesalan.
"Kenapa
isteri diminta taat kepada suami?" Soalan kedua menyusul.
Perbualan
yang bermula dengan perkenalan ringkas berlanjut ke topik rumahtangga.
Sementelah menurutnya, dia peminat blog kecil saya : ummuhusna99, sejak ia
dibuka.
PERUMPAMAAN
Saya memahami, dalam perkahwinan, menampilkan kebaikan ketika suasana tenang dan aman, begitu mudah lagi menyenangkan...
Saya memahami, dalam perkahwinan, menampilkan kebaikan ketika suasana tenang dan aman, begitu mudah lagi menyenangkan...
Ketika
suami meminta belaian daripada isteri, lalu dengan penuh senang hati
permintaannya dipenuhi; demikian pula, tatkala isteri meminta bantuan itu dan
ini, dengan gagah bantuan dihulur oleh si suami.
Lancar,
harmoni...
Umpama
otot yang memerlukan latihan jasmani untuk kekal sihat dan tegap, demikian juga
sikap baik terhadap pasangan. Ia memerlukan kerja keras dan latihtubi yang
acap; jika tidak sebelum sampai ke penghujung hayat, cahaya kebahagiaan mungkin
malap...
Namun,
ramai yang sukar menunjukkan kebaikan ketika amarah menyelubungi diri...apatah
lagi bagi wanita yang diuji dengan cabaran hidup berpoligami. Luka, pedih,
kecewa dan pelbagai rasa yang negatif lebih mudah menguasai andai emosi
dilayan, lebih-lebih lagi tanpa prihatin dan peduli seorang suami. Sehinggakan
tanpa sedar ia 'meracuni' hati dan membuang waras pada akal kurniaan
ILAHI.
Untungnya,
suami adik ini tidak sebegitu. Malah menurutnya, si suami berusaha sebaik
mungkin untuk memenangi hatinya kembali, memujuk jiwanya semula.
Untuk
itu, tidakkah patut hulurannya itu wajar disambut penuh gembira?
LOGIK
"Hurufnya
hanya empat, tapi untuk melaksana memang agak berat...itulah taat, dik. Suruhan
dari Allah, juga saranan daripada Nabi. Ia bukan untuk mengurangi nilai dan
harga diri isteri tapi bagi melengkapi kebaikan dalam hidup suami. " Begitu
mukadimah saya kepadanya.
"Dalil
al Quran dan hadis tersebut, saya tahu…Cuma, kalau kita disakiti, masihkah
perlu taat kepada suami?" Dia bertanya tanpa sempat saya menulis kedua
kali.
Saya
melepaskan nafas seketika saat membaca pertanyaannya. Bagai terbayang-bayang
rona wajah seorang isteri yang sedang diasak oleh rasa-rasa yang menekan untuk
berterusan dalam hiba dan tangisan.
"Rasa
sakit hati singgah kerana kita yang menjemput ia bertamu, dik...kalau kita
tidak membuka pintu, masakan ia dapat mengganggu?" Kali ini, saya pula
memulangkan soalan balas kepadanya.
Melihat dia tidak membalas, saya meneruskan taipan.
Melihat dia tidak membalas, saya meneruskan taipan.
"Pada
kak ina, kalau pun kita sebagai wanita belum mahu mengambil dalil sebagai isi
perbincangan tentang ketaatan kepada seorang suami, beberapa logik akal sudah memadai...hanya
saja, buka hati seluasnya dan ketepikan ego seketika.” Laju saya menyudahkan
kata.
Namun
sebelum sempat menyambung, melihat tanda dia sedang menaip, saya berhenti dan
menunggu sebentar.
“Logik?
Logik bagaimana tu kak Ina?” Agakan saya mengena. Itulah persoalan yang akan
dikemukakannya.
“Kita
semua ada seorang ibu, dan ketaatan kepadanya adalah tiga kali ganda berbanding
seorang ayah, betul tak? “ Saya mengajukan tanya. Dia membalas dengan emoticon
senyum dan ‘thumbs up.’
“Bayangkan…seorang
lelaki bergelar anak yang juga telah menjadi seorang suami itu dahulunya dibesarkan
oleh ibu yang sangat mengasihinya. Bukan sehari, seminggu, sebulan atau
setahun…tetapi untuk seumur hidup. Akan tetapi apabila dewasa, dia memilih
mencintai isterinya yang mungkin belum tentu mencintainya seumur hidupnya.”
“Dia
juga dibesar dan dibiaya makan pakai serta nafkah oleh ayah ibunya sehingga dewasa
dan bekerja. Namun, sebelum dia mampu membalas jasa bakti kedua ibubapa, dia
telah bertekad menanggung nafkah isterinya, seorang perempuan asing yang diikat
dengan akad tanpa ikatan rahim seperti ayah dan ibunya.” Saya menaip itu dengan
sedikit sendu di kalbu. Terkenang wajah ayahanda dan bonda mertua sendiri yang
telah pergi menemui ILAHI.
“Seorang suami walau dia sedar ketaatan
anak-anaknya kepadanya tidak sama sebagaimana ketaatan mereka kepada isterinya,
namun tidak pernah sekalipun dia merasa iri kerana dia mencintai isteri bahkan
dia tetap rela dan bangga menafkahi isteri serta anak-anak yang dikasihi tanpa
minta dibalas atau diingati….” Saya berhenti seketika untuk menegangkan
jari-jari yang sudah lenguh kerana menaip laju.
Tidak
lama, muncul emoticon menangis di skrin komputer. Saya turut hiba…
“Dik,
seorang suami yang baik…dia berusaha seboleh mungkin untuk merahsiakan
masalahnya dan melakukan ikhtiar untuk menyelesaikannya sendiri, sedangkan
seorang isteri…sudah terbiasa mengadukan masalah kepada suaminya dengan harapan
dia mampu memberi solusi. Padahal, kemungkinan saat isteri mengadu itu, si
suami sendiri sedang memiliki masalah yang lebih besar. Ah…biasanya, masalah
isterilah yang diutamakan berbanding masalah yang dihadapi sendiri...” Sengaja
saya menaip dengan ayat sedikit sinis sebegitu. Buat kesekian kalinya, emoticon
‘thumbs up’ muncul mewakili dirinya.
“Dan
yang paling utama dik…seorang suami…tatkala isteri melakukan dosa, dia juga
ikut bertanggungjawab, bahkan mungkin terheret sama ke neraka….walya’uzubillah,
kerana isteri itu adalah di bawah tanggungan didikannya. Namun bila dia sendiri
melakukan dosa, isteri tidak akan pernah dituntut ke neraka kerana apa yang
dilakukannya di bawah tanggungannya sendiri. Lalu, dengan logik-logik tadi,
tidakkah seorang suami itu wajar ditaati?” Saya menutup bicara.
Tiada
balasan daripadanya.
UBAT
JIWA
“Saya
faham semua logik yang kak Ina berikan tadi…ye, saya bersetuju…tanggungjawab
seorang suami itu sangat besar dan berat sekali. Kerana itu, agama memuliakan
suami untuk ditaati.” Selang beberapa ketika, dia membalas kata.
Membaca
itu, saya tersenyum lega.
“Cuma
kak ina…bagaimana mahu merawat rasa pedih, sakit dan cemburu terhadap suami dan
madu? Walau bagaimana baik pun mereka terhadap saya, tetap ada terselit pedih
melihat mereka bersama-sama. “ Jujur dia meluahkan perasaannya. Sekali lagi,
saya menghela nafas…dalam dan penuh makna.
“Dengan
berdoa, itulah ubat jiwa…” Ringkas saya menyarankan.
“Berdoalah
yang terbaik untuk kedua-duanya. Kebahagiaan, kemudahan, kesenangan dan apa-apa
kebaikan lainnya, dengan harapan agar manfaat dari doa tersebut turut membawa
kita kepada kebaikan yang sama. Bukankah Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam
pernah bersabda :
Dari Abu Ad-Darda’ radiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah
Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi
saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan
berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” ( Hadis riwayat Muslim no.
4912 )
Dalam riwayat lain, baginda bersabda :
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa
seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah
doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah
diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka
malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan
mendapatkan seperti itu.” Saya menambah penjelasan.
KOTAK
PERKAHWINAN
“Dah
dapat jawapan kepada persoalan tadi?” Sebelum menutup perbualan saya bertanya
soalan yang diajukannya pada awal-awal tadi.
“Saya
rasa saya dah dapat kak…” Dia menjawab ringkas beriring emoticon senyum
dan senyum dan senyum.
Saya
membalas kembali dengan sekuntum bunga. Walau sekadar emoticon, tetapi
ia mewakili rasa hati wanita yang berseni ini.
Saya
meyakini bahawa hakikat perkahwinan adalah seumpama kotak kosong pada fasa awal
memasukinya. Setiap dari suami dan isteri perlu memasukkan sesuatu ke dalamnya
sebelum mereka boleh mengambil sesuatu darinya.
Cinta
tidak wujud dalam perkahwinan, cinta wujud pada peribadi yang menjayakannya. Cemburu,
pedih, sakit hati, juga romantik, belas dan empati, semua itu tiada dalam
perkahwinan kecuali individu-individu di dalamnyalah yang mengadakannya.
Kerana
itu, setiap pasangan perlu belajar dari semasa ke semasa akan erti memberi
sebelum menerima bagi memenuhkan ‘kotak cinta dan kasih’ yang mereka masuki;
lantaran jika yang diambil lebih banyak dari yang diisi, pasti kotak tersebut
akan kosong kembali.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.