“Dalam
perjalanan rumahtangga makcik bersama suami, ada beberapa individu yang sangat
kami hormati dan jadikan rujukan untuk mengemudi bahtera perkahwinan. Salah
seorang daripada mereka ialah bapa mertua makcik sendiri..” Makcik Aini berbicara
dengan senyuman manis bertali.
Ketika
itu, beliau bersama anak perempuannya yang baharu sahaja menamatkan pengajian
di Universiti Yarmouk di Irbid, berkunjung ke rumah saya diiringi beberapa
orang temannya yang juga akan pulang ke tanahair tercinta.
“Makcik
masih teringat suatu masa, makcik balik ke kampung suami untuk berhariraya.
Oleh kerana bilik yang ada tidak cukup, makcik sekeluarga serta beberapa
keluarga adik beradik suami yang lain tidur di ruang tamu; yang perempuan,
tidur di satu bahagian, manakala lelaki di satu bahagian lain, pakaian dan
aurat sangat dititikberatkan di kalangan keluarga suami.” Makcik Aini menyambung
kata-kata.
Kami
berteleku mendengar ceritanya. Ada kalanya senyum dan ketawa kecil memenuhi
suasana, namun banyak ketikanya, kami terdiam penuh kekaguman apabila Makcik
Aini membawakan contoh peribadi tauladan yang
banyak membantunya dan suami mencorak harmoni dan bahagia bersama.
“Malamnya,
makcik terjaga. Dalam keadaan suram lampu pelita yang meliangliuk di tiup angin
malam dari tingkap yang sedikit terbuka, makcik melihat kelibat bapa mertua.
Sebak hati makcik melihat cara dia berjalan melalui kawasan kami tidur
itu…dijingkit-jingkitkan kakinya, satu demi satu penuh cermat disusun
langkahnya supaya anak cucu yang tidur tidak terjaga…” Sampai pada ayat itu, Makcik
Aini menghentikan kata-kata.
Kolam
matanya berkaca.
Saya
tunduk menahan rasa sambil membayangkan lantai papan rumah kampung yang sudah
lama. Berpijak padanya tentu mengeluarkan bunyi keriut, walaupun mungkin tidak
begitu kuat di siang hari, namun pada waktu malam membawa ke dinihari yang
sunyi, tentu sahaja bunyi itu boleh mengganggu sesekali.
“Bagaimana
mungkin isterinya, iaitu ibu mertua makcik termasuk anak-anak, menantu dan cucu
tidak menyayanginya? Andai begitu sekali penghormatan yang ditunjukkan dalam
keadaan kami tidak sedar, ketika lena keletihan. Tentu sekali ketika kami sedar
dan jaga, penghormatan itu lebih-lebih lagi ditampilkannya…” Suara Makcik Aini sebak.
Setiap seorang daripada kami, dipandang dengan renungan yang dalam.
PERBALAHAN
Dalam
suasana hari ini, di mana perceraian suami isteri banyak terjadi di usia
perkahwinan yang masih dini, cerita-cerita penuh iktibar sebegini mampu
menyuntik sedar dan insaf agar perjalanan rumahtangga dilalui dengan
tanggungjawab dan peranan yang diisi.
Sememangnya
kami semua, terutama saya sendiri yang ketika itu baharu setahun jagung
menyemai kasih dan cinta dalam rumahtangga, amat memerlukan nasihat dan panduan
daripada ‘orang lama’ lagi kaya pengalaman sebegitu.
Tambahan
lagi, dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang menyajikan informasi dari
pelbagai dimensi, sehinggakan urusan rumahtangga yang dahulunya dilakukan tanpa
soal oleh suami dan isteri setelah bergelar ‘raja sehari’, boleh menjadi satu
persoalan yang membawa perbalahan jika tidak ditangani dengan keimanan.
Masakan
tidak, tugas memasak, mengemas rumah, membasuh baju dan lain-lain yang sekian
lama dilangsaikan melalui titikpeluh seorang isteri, akhir-akhir ini menjadi
pertikaian bahawa ia bukan tugas hakikinya, bahkan ia menjadi tugas yang harus
dipikul oleh seorang suami. Pelbagai pendapat disorong ke hadapan disertai
perbincangan di kalangan ulama silam bagi menyokong pandangan tersebut sedang
hakikatnya jika dikaji penuh teliti, Imam Ibn al-Qayyim dan ramai ulama lain
membawa isu ini kepada isu ‘uruf ( adat setempat ) kerana tugas memasak,
mengemas rumah dan seumpamanya itu adalah isu yang didiamkan syara'.
TANGGUNGJAWAB
"Tanggungjawab
suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan
isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari.
Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tidak ditimpa hujan."
Teringat pesan ayah di suatu petang, usai majlis kenduri pernikahan saya dan
suami.
"Ayah
dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah
keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja
di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum
riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah
menambah berkongsi pengalaman selama hampir 41 tahun bersama arwah Mak.
Saya
dan suami saling berbalas pandang dan tunduk merenung kata-kata ayah. Saya
menyedari, walau ayah menegaskan tentang peranan suami dalam nasihatnya kepada
kami, saya sebagai isteri perlu mencontohi arwah Mak yang sepanjang tempoh
pernikahannya bersama ayah, telah menjalankan peranannya dengan baik sekali.
Walaupun
begitu, saya memahami, sudah pasti tidak sama seorang isteri yang bekerjaya
dalam urusan membantu suami dengan seorang isteri yang menyandang ‘kerjaya’
sebagai surirumah sahaja. Tentu sahaja pada menjayakan peranan tersebut, ada
tolakansur antara pasangan yang perlu dipenuhi. Sebagaimana hadis baginda Nabi
Sallallahu ‘alaihi wasallam :
“Setiap
kalian adalah ra’in ( penjaga, orang yang diberi amanah ) dan setiap kalian
akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang pemimpin ( yang berkuasa atas manusia
) adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki/suami
adalah ra’in bagi ahli keluarganya dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya.
Seorang wanita/isteri adalah ra’iyah terhadap ahli keluarga suaminya dan anak
suaminya dan ia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah ra’in
terhadap harta tuannya dan ia akan ditanya tentang harta
tersebut. Ketahuilah setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan
ditanya tentang ra’iyahnya.” ( Hadis
riwayat Bukhari no. 5200, 7138 dan Muslim no. 4701 dari Abdullah bin ‘Umar radiallahu
‘anhuma)
Dari
hadis di atas, secara jelas disebutkan tatkala ketiadaan seorang suami di rumah
pada satu-satu masa, maka menjadi tanggungjawab ke atas isteri untuk mengambil
alih tugas suami iaitu dengan menjaga harta suami, menyelenggara keperluan ahli
keluarga suami ( anak-anak, ibubapa ) dan lain-lain.
HORMAT
DAN CINTA
Sebagaimana
yang sering ditemukan dalam buku-buku psikologi kekeluargaan dan hubungan
perkahwinan antara lelaki dan perempuan, masing-masing memiliki ‘kantung emosi’
yang perlu diisi agar kelangsungan ikatan yang dimeterai berjalan lancar lagi
harmoni.
Wanita
mengimpikan cinta manakala lelaki menagih hormat daripada pasangannya. Ini
semua bagi mewujudkan rasa dihargai dalam diri masing-masing. Namun, andai
direnung-renung dari kisah yang saya tampilkan pada awal penulisan ini, saya
pasti, ramai di kalangan pasangan hari ini yang mempersoalkan:
Siapakah
di antara keduanya yang lebih dahulu ‘PATUT’ memberi untuk nantinya ‘LAYAK’ menerima
sesuatu daripada insan yang dikasihi? Adakah cinta daripada suami atau hormat
daripada isteri?
Bagaimana,
jika masing-masing lebih memikirkan diri sendiri? Maka, sudah pasti hak yang
ditagih mendepani tugas dan tanggungjawab yang mesti diisi. Lalu, jika ini
berlaku, bukankah tidak pelik betapa banyak perhubungan dalam rumahtangga
dewasa kini yang berpenghujung dengan perpisahan walau mereka mendakwa cinta
membawa mereka ke jinjang perkahwinan?
SEBUAH
KISAH CINTA
“Mengapa
abang tidur di sini?” Suatu ketika seorang isteri solehah bertanya; terkejut saat
daun pintu rumahnya dibuka, dia melihat sosok suami yang dicintai sedang
berbaring. Entah bila, si suami tidur di situ, dia sendiri tidak menyedari.
Rasa bersalah menyergap ke seluruh jiwanya. Sedangkan malamnya, dia sendiri
tertidur dekat muka pintu, menunggu kepulangan yang dirindu.
“Abang
pulang sudah larut malam, abang khuatir mengganggu tidurmu lalu abang tidak
mengetuk pintu. Itulah sebabnya abang tidur di depan pintu.” Dengan
senyuman si suami berbicara sekaligus melenyapkan rasa bersalah di hati isteri.
Alangkah
indah bicara percintaan ini, kisah rumahtangga yang tidak lain ditampilkan dari
peribadi junjungan mulia, Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam dan isterinya
Saidatina Aisyah radiyallahu ‘anha. Mereka saling memberi hormat dan cinta pada
waktu yang sama, hingga setiap diri merasa amat dihargai penuh saksama!
Kerana
itu, saya berpandangan, isu persoalan hak yang dibangkitkan dalam media sosial
hari ini, wajar diisi dengan mengenengahkan kisah-kisah rumahtangga Nabi dan
para isteri baginda, lantaran persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh
dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan.
Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya.
Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja.
Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk
saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.
Bukankah,
ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sendiri menggalakkan hamba-NYA berlumba-lumba pada
perkara kebaikan, sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Maka
berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti
Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah
Maha Berkuasa atas segala sesuatu”. (Al-Baqarah: 148).
SALING
MEMBERI : ITULAH CINTA
Sesungguhnya,
setiap sesuatu yang baik sudah pasti wujud keindahan padanya....namun, andai
diiringi bersamanya sesuatu yang berlawanan, keindahan itu seakan terlihat
sirna.
Sabar
itu indah jika tidak didahului keluh kesah. Kemaafan itu jelita jika tidak
disertai marah dan cerca. Kerana itu, kelembutan usah diperkecil, tindakan
emosi usah pula langsung tidak dipeduli. Kerana kedua-duanya terbit dari wadah
yang serupa...dari jantung jiwa , tempat bertemu iman dan cinta.
Demikian,
dalam melakar bahagia perkahwinan, saling memberi dan melaksana peranan itulah
cinta yang tidak terlafazkan. Lantaran cinta dan hormat itu bukan sekadar kata
tanpa kerja, tetapi kedua-duanya memerlukan kesungguhan dan tindakan bersama
agar mahligai yang dibina terus teguh dan kukuh seiring masa.
Justeru,
mari suami, mari isteri, kita berusaha memperbaiki diri. Memelihara tutur dan tingkah
dari kelaku onar menatijah pedih hati. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada
lebih baik...
Alangkah
berharga satu nasihat lewat seseorang yang dikasihi :
"Learn
to say 'no' to bad thing, only then you can say 'yes' to good thing, and learn
to say 'no' to good thing, only then you can say 'yes' to the better one.”
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.