“Ustazah, saya sedih…” Lirih
suara wanita berusia hampir lima puluh tahun yang saya panggil Kak Ni ( bukan
nama sebenar ) melalui telefon bimbit. Saya mendengar dan cuba memahami
perasaannya yang baharu sahaja menerima kehadiran seorang teman baharu sebagai
pendamping bersama suami yang dikasihi.
“Saya reda dan telah merestui,
akan tetapi apabila ada teman dan saudara mara yang meluah rasa kasihan melihat
saya yang ‘kehilangan’ suami setelah berpuluh tahun susah senang bersama. Kata
mereka, yang untung isteri barunya. Tak perlu menempuh perit hidup. Apa yang
dinikmati kini semua yang terbaik dari suami. Mendengar semua itu, saya jadi
tak menentu. Entah mengapa, saya seolah mengiyakan kata-kata mereka.” Tambah
Kak Ni sayu.
Saya mengesan nada suaranya yang sedang
‘sakit’ menahan hiba.
Saya akui, kebelakangan ini,
sudah beberapa kali saya menerima panggilan telefon daripada individu bergelar isteri meluahkan suara hati,
meminta pandangan tentang keadaan mereka yang sedang bermujahadah menempuh alam
rumahtangga serupa; hidup bermadu yang manisnya SUKAR wujud TANPA usaha
bersama.
Luahan Kak Ni tidak terus saya
jawab, sebaliknya saya beristighfar dan memohon kekuatan dari ALLAH terlebih
dahulu agar apa yang terlafaz mampu menghurai kekusutan bukan menambah ribut
perasaan.
JIWA PENYAYANG
“Kak Ni, boleh saya tahu dah berapa lama Kak ni dan suami
berumahtangga?” Saya memulakan bicara setelah diam seketika.
“Hmm…dah 25 tahun. Entahlah…Kak Ni rasa sesal pula
mengizinkan suami berkahwin lain. Kami ni dah sama-sama menuju ‘senja’.” Kak Ni
menyuarakan kekesalannya.
“Mengapa Kak Ni mengizinkan
sebelum ini?” Saya bertanya lagi.
“Sebenarnya, madu Kak Ni ni anak
yatim piatu. Dibesarkan di rumah anak yatim sejak usianya lapan tahun lagi.
Ditakdirkan ALLAH, suami dan Kak Ni berkunjung ke rumah anak yatim tersebut
untuk memberikan sedikit sumbangan. Di situlah pertemuan pertama kali kami
dengannya. Kak Ni akui dia seorang gadis yang baik, bersopan santun dan berbudi
bahasa sehingga Kak Ni tergerak hati untuk mengambilnya sebagai anak angkat
kami. Namun, memikirkan dia perempuan dan bukan mahram pula kepada suami,
ditambah lagi Kak Ni tak punya anak lelaki dewasa, Allah menghadirkan ilham
kepada Kak Ni untuk menawarkan kepada suami mengahwininya sekaligus dapat
memenuhi keperluannya untuk belajar lagi. Dia masih muda, sayang jika masa yang
ada tidak diisi dengan ilmu,” lancar bibir Kak Ni bercerita; menerbit kekaguman
saya kepadanya.
Walau hatinya sedang menderita,
namun terpancar kebaikan jiwanya untuk membantu sesama saudara. Pengasih dan
penyayang. Itu penilaian awal saya terhadap Kak Ni. Luka yang sedang dirasa
tidak menjadikannya ‘bisu’ dari berbicara secara adil terhadap madunya yang
terlebih dulu telah dicurahkan kasihnya sebagai seorang ibu.
Untuk itu, saya merasakan tidak
adil perasaan Kak Ni yang sedang luka di’simbah cuka’ pula dengan kata-kata
seolah menghasut daripada insan sekelilingnya.
Saya akui, dalam situasi
masyarakat yang rata-rata masih memandang negatif kepada perlaksanaan poligami,
sukar menemukan orang-orang yang mampu memberikan nasihat serta penilaian yang
adil lagi benar terhadap individu yang berazam menjalaninya.
Justeru itu, saya merasakan
perlunya ‘suntikan’ kesedaran diberikan kepada individu-individu yang sedang
berhadapan cabaran poligami ini agar mereka meyakini bahawa rasa sukar, payah
dan susah berhadapan kata-kata orang sekeliling yang tidak faham dan tiada ‘common
sense’ itu, sebenarnya adalah ‘lubuk pahala’ yang wujud dalam poligami berasaskan
takwa dan taqarrub kepada ALLAH Yang Maha Esa.
TERBAIK
“Tentu Kak Ni dan suami dulu banyak mencipta kenangan hidup
bersama…” Saya kembali membuka kata.
Tiada suara dari sebelah sana
menjawab kenyataan saya tadi. Sunyi.
Namun saya meyakini, Kak Ni
sedang termenung mengimbau detik penuh warna warni dia dan suami memulakan
hidup bersama.
“Hmmm….banyak, Ustazah. Terlalu
banyak kenangan. Memulakan hidup berdua
dengan hanya bermotosikal sahaja ke sini sana, menumpang rumah saudara
sementara mencari rumah sewa, dikurniakan anak ketika suami baru sahaja
mendapat kerja tetap, sambil itu kami cuba berniaga dan syukur, rezeki
anak-anak bertambah seiring rezeki kewangan sehingga kami dapat membeli rumah
dan membesarkan lagi perniagaan. Jatuh bangun berniaga itu lumrah dan kami
hadapi semuanya bersama.” Tenang Kak ni menuturkan perjalanan cintanya bersama
suami yang dikasihi.
“Bagaimana pandangan Kak Ni
tentang suami Kak Ni ketika itu?” Saya cuba memasukkan lagi perbincangan
sebelum sampai kepada tujuan yang saya inginkan.
Kak Ni menarik nafas…
“Jujur Kak Ni katakan, suami Kak
Ni seorang yang sangat bertanggungjawab, penyayang dan mengambil berat
kebajikan Kak Ni dan anak-anak. Tidak pernah kami berlapar walau sesusah
manapun, anak-anak bersekolah seperti anak-anak orang lain juga..sebagai suami
dan ayah, dia sanggup bersusahpayah. Biar harirayanya tanpa baju baru, tetapi
anak isteri tetap dibelikan yang terbaik semampunya ketika itu. Dan kini, walau
telah beristeri baru, Kak Ni masih dapat merasakan kasih
sayangnya. Tidak berkurang, malah makin bertambah…” Kak Ni berhenti seketika
dan bagai terdengar di telinga saya, esakan halus yang ditahan-tahan.
“Kak Ni, kalau saya katakan…sebenarnya Kak Ni
sangat bertuah kerana segala sudut ‘yang terbaik’ dari diri suami Kak Ni telah
dicurahkannya kepada Kak Ni dan anak-anak sebelum beliau berpoligami lagi.
Biarlah orang lain menilai yang terbaik itu dari sudut material semata-mata,
asalkan sebagai isteri Kak Ni menilainya dari sudut yang jauh lebih
mulia…kesungguhannya membina mahligai bahagia untuk Kak Ni dan anak-anak. Tenaga,
masa dan kerehatan masa mudanya…semua itu adalah yang terbaik daripada seorang
suami. Dan kini, ternyata, sisi terbaik itu tidak pernah hilang, malah masih
kekal diberikannya buat Kak Ni, isteri yang dicintainya.” Selembut mungkin saya
cuba mengatur patah kata agar isinya direnungi oleh wanita berhati baik ini.
Kak Ni masih diam, sesekali
sahaja saya mendengar keluhan dan esakan bersilihganti.
Entah mengapa, saya turut
terharu. Terbayang kelibat suami sendiri dengan segala kerja kerasnya untuk kebahagiaan
saya dan anak-anak tercinta.
“Kak, memang poligami tidak mudah terutama
kepada kaum hawa seperti kita. Ia melibatkan pengorbanan perasaan yang bukan
sedikit, tetapi yakinlah..bertuhankan nafsu menjadikan manusia lesu, tetapi
berTUHANkan ALLAH, manusia tidak akan mudah lemah dan menyerah kalah. Selagi
mana kita bertawakal kepada ALLAH setelah berazam melaksanakan keputusan menerima
poligami, semoga DIA jua membantu menunjukkan jalan-NYA, melapangkan jiwa,
meringankan beban perasaan yang menimpa dan menambah keberkatan dalam setiap
perjalanan hidup kita setelah itu. “ Tambah saya lagi.
“In shaa ALLAH ustazah. Kak Ni
memang telah reda dengan ketentuan-NYA setelah melakukan perbincangan yang lama
juga dengan suami serta beberapa ahli keluarga terdekat yang Kak Ni yakini
agama mereka. Juga selepas istikharah dan munajat kepada ALLAH..tapi dengan
kata-kata daripada orang sekeliling, Kak Ni jadi keliru dan menyesal pula...”
Beliau meluahkan dengan sebak di dada.
Saya tekun mendengar sambil
berfikir ligat menyusun kata agar bicara yang terlafaz menatijahkan kedamaian
jiwa wanita mulia ini. Mudah-mudahan.
“Semoga ALLAH memudahkan Kak Ni.
Kak, tidak sepatutnya rasa sesal itu dibiarkan menjalar dan mengakar dalam
jiwa, sebaliknya apa yang wajar adalah tentangi rasa sesal yang bertandang dengan
syukur, reda dan mengisi waktu-waktu selepas berpoligami ini dengan sebaiknya
bagi bekalan akhirat.
Kata kunci yang pada saya amat
baik untuk kita hayati adalah, cintai suami kerana ILAHI, kak…bukan kerana apa-apa
tujuan dunia yang tidak kekal ini. Jangan sampai, kerana terlalu cintakan
suami, ketentuan ALLAH dinafi. Usah kerana cinta suami, kesal dan kecewa
merajai hati, kak. Sedangkan, cinta kepada suami hanyalah jalan untuk meraih
cinta ALLAH jua, tidak lebih dari itu.
ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala
berfirman :
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ
وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ
تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ
وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ
بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya : “Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara
kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan
harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot,
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (daripada)
berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan
keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka).” ( Surah at Taubah ayat 24 )
Dengan ini, lebih mudah untuk
kita menyedari bahawa kekesalan dalam cabaran sebesar ini hanyalah refleksi
dari bisikan dan waswas dari Syaitan, jin atau manusia lain yang tidak tunduk
kepada hukum ILAHI yang mesti dilawan. Selagi suami bertanggungjawab, baik
serta bersungguh-sungguh menjaga keadilan dan perasaan isteri-isteri, maka rasa kesal itu patut berkubur berganti dengan syukur
yang sentiasa disubur. Ujian dan cabaran hidup, usah kita jadikan ia sumber
sesal, sebaliknya jadikan ia sumber sabar. Alangkah beruntungnya, kerana ALLAH
sendiri berfirman bahawa DIA bersama orang-orang yang sabar. Semoga kita
sentiasa diberikan taufiq dan hidayah dari ALLAH agar jalan yang lurus menjadi
laluan hidup kita hingga akhir hayat nanti ye kak…amen.“ Saya tersenyum saat
menuturkan ayat–ayat hujung itu; terasa menyusup rasa indah dalam jiwa saat menuturkannya.
“Ye, betul
ustazah….alhamdulillah, lapang sedikit perasaan Kak Ni. “ Saya yang mendengar
juga terasa lega, alhamdulillah.
MENYINTAIMU KERANA ALLAH
Setelah mengucapkan salam dan
berjanji akan berhubung semula, Kak Ni mengakhiri perbualan. Dan, saya
sendiri….terdiam lama. Berfikir, merenung…
Saya menginsafi…bahawa, inilah aturan
hidup insan ciptaan-NYA. Manusia hanya diminta beribadah kepada-NYA, memohon
pertolongan-NYA agar mampu menyempurnakan ibadah pada-NYA.
Sejalan itu juga manusia bermohon
petunjuk ‘sirat al mustaqim’
iaitu jalan orang-orang yang diberi
nikmat ikhlas di dunia serta nikmat reda-NYA di akhirat sana.
Maka, benarlah….segala puji bagi
ALLAH yang hanya dengan kurniaan ikhlas kepada-NYA lalu menjadi sempurna segala
ketaatan dan kebajikan di dunia yang sementara.
Saya meraup dua tangan ke wajah
sambil hati berbisik indah :
“Suamiku…diri ini menyintaimu
hanya kerana ALLAH.”
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, in shaa ALLAH.