21 December 2011

MENGENANGMU FATIMAH....


Siapalah aku berbanding dirimu....
Tumbuh membesar dari tangan manusia paling mulia....
Bondamu tidak meninggalkan harta,
tapi khazanah peribadi yang sentiasa disebut-sebut sang nabi, ayahandamu nan tercinta....
Kerana itu, dirimu dan bondamu...
tergolong antara empat srikandi pilihan Yang Maha Esa...

Siapalah aku berbanding dirimu....
Maharmu bukan dari wang berjuta....
Cukup nilaian sebatang perisai sebagai penyatu cinta....
Episod rumahtanggamu masyhur bahagia...
Bukan kerana harta, tapi kaya jiwa....
Kau meniup obor semangat perjuangan...
Merawat luka ayahanda dan suami di medan peperangan...


Siapalah aku berbanding dirimu...
Ketaatan tidak berbelah bahagi kepada suami,
kesungguhan mengurus rumah sebagai suri,
Mendidik generasimu menyintai ukhrawi...
melebihi dunia dan segala isinya...
Walau kerana semua itu..tubuhmu letih dan lesu....
tidak pernah mengganggumu mengabdi diri
kepada Yang Satu....

Sungguh...siapalah aku berbanding dirimu...
Fatimah bintu Rasulillah...
menyusuri kisahmu, dan aku takjub
atas takdirNya,
kau teguk kepahitan di dunia ini....
untuk kemanisan abadi di akhirat nanti....
Aku tahu, sungguh tidak mudah 'menjadimu'
Kau suri tauladan buat aku wanita biasa....
Buat menjejak makna 'solehah' sebelum jiwa ini menuju Rabbnya.

Namun di sisi lain...
tenggelam dalam ceritamu, menjadikan mataku basah
“Syurga, rasanya masih jauh, sangat jauh..”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

15 December 2011

SABAR DAN SYUKUR

Melakukan maksiat memang mengasyikkan,

kedurhakaan terlihat cantik dan mempesonakan,

lantaran syaitan menghiasinya dengan keindahan yang palsu, tidak berkekalan

justeru, berSABARlah pada menjauhi maksiat…

dan berSYUKURlah, kerana imanmu menjadi penyelamat dengan rasa malu pada-NYA.


Melaksanakan ketaatan selalu terasa berat,

ibadah bagai beban,

memelihara kesolehahan bagai mengurung , menyekat dan menyesakkan…

justeru, berSABARlah pada melakukan ketaatan…

dan berSYUKURlah, kerana imanmu membangkitkan kesedaran bahawa ALLAH itu amat dekat.


Dan, berSYUKURlah kerana ALLAH terus mendatangkan ujian cinta-NYA..

yang dengannya kita tahu bahawa kita masih memerlukan DIA

dengan berSABAR untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia....

tetapi, kasihanilah diri sendiri andai merasa setiap impian, hajat dan doa telah dikabulkan...

kerana bimbang, ia hanya habuan di dunia semata,

tanpa sedikit pun yang tersisa untuk kelangsungan hidup di akhirat sana.......


Umpama dua cengkerang tiram yang melindungi sebiji mutiara bergemerlapan...

begitulah SABAR dan SYUKUR…..

keduanya adalah cengkerang yang melindungi jiwamu..

agar gemerlap taqwanya mampu menjulang dirimu ke sisi Yang Maha Esa....


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


11 December 2011

BUKAN SEMATA PERASAAN!

Sungguhpun jiwanya pedih saat mengetahui perkahwinan kedua suami, namun dia menerima dengan pasrah segala ketentuan Yang Maha Esa.

Sedangkan…..

Setiap saat guruh di langit berdentum hebat, tika bumi hampir bah ditimpa hujan lebat, dia memandang ke langit yang tinggi, menadah tangan ke hadrat ILAHI agar suami yang jauh dari mata kerana bekerja di perantauan selamat dan terpelihara dari sebarang bencana.

Bila ditanya mengapa dia pasrah menerima semua itu, dengan tenang dia menutur bicara :

“Kerana bernikah lagi secara sah menurut hukum agama, bukanlah satu perkara aib.”

Dia diasak lagi dengan persoalan yang menyentuh riak rasanya sebagai seorang wanita; sekali lagi, dia menjawab dengan jiwa kental seorang muslimah mukminah solehah :

“Selama ini saya tidak lelah berdoa kepada ALLAH, memohon supaya suami dipelihara oleh-NYA…lantas, bila mengetahui suami berkahwin lagi, membuatkan saya berfikir, jangan-jangan…..dengan suami bernikah kedua kali ini, adalah cara ALLAH mengabulkan doa saya, menjaga suami dari melakukan maksiat, atau supaya suami saya ada yang merawat nun jauh di perantauan sana…”

MasyaALLAH!


BUKAN SEMATA PERASAAN

Sahabat-sahabat, sebagai wanita@perempuan, kita dibekalkan oleh ALLAH SWT dengan kelebihan emosi dan perasaan. Dengannya kita mampu menananggung sakit ketika melahirkan, kita juga mampu bersabar dengan tangisan dan 'perangai' anak-anak yang berencam, dan pelbagai lagi 'mampu' yang terhasil dari kelebihan kurniaan-NYA ini.

Akan tetapi, ingin kuperingatkan diriku dan diri kalian, sahabat-sahabat yang kusayangi atas nama TUHAN Yang Maha Pengasih LAGI Maha Penyayang,

Banyak ketikanya, perasaan dan emosi ini jugalah yang mengeheret kita kepada lembah kedukaan. Cemburu melulu, ambil berat yang melebihi perlu, iri dan dengki bersatu hingga ada saatnya, ia umpama ledakan gunung berapi; menghambur lava amarah yang amat panas lalu melebur cinta dan belas kasihan menjadi debu berterbangan.

Kala itu, hidup dirundung duka hingga kolam matamu menumpahkan air jernih yang bertali arus.....dan saat itu, perasaan serta emosi bukan lagi aset berharga yang menjadikan dirimu istimewa.

Yakinilah....perasaan dan emosi perempuan tidak cukup untuk menjadikan dirimu teguh mendepani hari mendatang kerana rasa reda dan pasrah terhadap takdir-NYA tidak akan pernah mampu ditatang dengan semata perasaan dan emosi perempuan, tetapi ujian dan kedukaan yang menimpa itu mampu dipempan sebaiknya oleh perasaan yang dipatri kekuatannya dengan iman dan ketaqwaan.

Justeru, binalah benteng imanmu kala matahari memancar indah, ketika tawa dan riang masih mengulit kehidupan sebelum datang awan mendung yang menumpahkan hujan lebat, kerana ketika itu, hanya dengan benteng iman yang teguh dapat melindungi dirimu dari hanyut dan lemas dek limpahan banjir yang tidak mengenal belas.

Kita sebenarnya sentiasa diuji, baik ia berwajah gembira atau ia tiba dalam rupa sengsara....namun di akhirnya, hanya pemilik emosi yang tunduk pada Yang Maha Pencipta sahaja akan muncul sebagai juara!

Muhasabah bersama...

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


7 December 2011

TUHAN, IZINKAN KAMI TERUS BERSAMA

Saya hampir kehilangannya. Ye, pernah…hampir-hampir kehilangan seorang insan yang amat saya kasihi. Seorang sahabat sejati setelah akad menyatukan kami, dia juga seorang suami yang sangat saya cintai.

Ketika itu, kami dan dua permata hati, kak long dan kak ngah masih berada di bumi asing, di Irbid, Jordan. Jauh dari sanak saudara, dengan kewangan yang juga amat sederhana.

Terbayang saat melihat suami terbongkok-bongkok menahan sakit, setelah bersusah payah melintas jalanraya, menggagahkan diri mendaki anak tangga dan mengetuk pintu rumah, hanya untuk memberitahu saya, yang dirinya akan dibawa ke hospital berdekatan.

“Nanti as jumpa abang di sana ye…” lemah nada suaranya sambil melangkah menuju ke ambulan yang menunggu di tepi jalan.

Saya bagai terpempan. Hanya mengangguk dan terdiam tanpa kata. Wajah anak-anak yang sedang leka bermain, saya pandang dengan mata mulai berkaca.

Saya menangis.

Takut. Bimbang….kehilangannya.

INGIN DI SISINYA

“As baliklah…abang boleh sorang-sorang, tak pe…” tegur suami melihat anak mata saya yang keletihan. Sejak tengahari, sebaik suami dimasukkan ke wad, saya meminta bantuan sahabat-sahabat Irbid yang rata-ratanya masih belajar untuk menjaga anakanda berdua. Sementara saya menemani suami di hospital sehingga mendapat kata putus dari doktor yang merawat.

Di bucu katil hospital saya merenung tubuhnya yang agak pucat, kadang sedikit ketar menahan kesakitan.

“As nak di sini…abang tentu perlukan apa-apa nanti. Biar As bantu ye…” jawab saya sambil melempar senyuman.

Jauh di sudut hati, saya menangis lagi. Andai saja saya dapat menggantikan tempatnya.

Walaupun saya tahu, ada jururawat lelaki yang dapat meladeni keperluan suami, namun hakikatnya, saya mesti berada di sampingnya. Biar suami tidak memerlukan saya, namun saya sendiri amat memerlukan dia berada di depan mata untuk semangat dan kekuatan diri.

Saya ingin berada di sisinya hanya untuk memastikan, bahawa saya dan dia, masih bersama. Masih dapat melihat dia membuka mata, walau tiada senyum, namun itu sudah cukup melega dan menenangkan.

PERUMPAMAAN

Saya yakin, tiada siapa sanggup menjamah minyak masak,beberapa biji telur mentah, tepung dan serbuk penaik.

“Semuanya meloyakan…yuck!!” Mungkin itu ungkapan yang keluar jika ada individu yang diminta memakan bahan-bahan berkenaan.

Akan tetapi, setelah semua bahan-bahan tersebut diadun bersama, dibakar sehingga menjadi sebiji kek, saya pasti semua orang tidak menolak untuk merasainya.

Demikian dalam hidup ini, banyak perkara buruk yang berlaku di dalamnya,kelihatan menyusahkan andai dipandang setiap satunya secara bersendiri. Namun, jika dilihat keburukan-keburukan yang berlaku itu secara bersama, pasti ada kebaikan di sebaliknya yang tidak dapat kita jangka.

Kahilangan orang tersayang, kerinduan yang mencengkam,kenangan yang tidak mungkin dapat diulang….setiap satunya sungguh memedihkan!

Namun,bila direnung penuh insaf dan sedar, semua itu hakikatnya akan melorongkan manusia kepada jalan-jalan keindahan menuju destinasi cinta Ar Rahman. Tiada yang kekal melainkan DIA. Tiada cinta yang lebih agung melainkan cinta-NYA.

Kerana itu, setiap kali kenangan yang banyak mengalirkan airmata itu datang bertamu, saya pasti terkenang kepada seorang wanita……

PERLINDUNGAN

Dia seorang isteri yang telah bertahun 'kehilangan' suami yang dikasihi, pergi tak kembali. Namun saat dia menceritakan ketabahan si suami berhadapan sakit sampai ke detik akhir perjuangannya melawan kanser, bebola matanya bercahaya.

"Beliau meninggalkan kami dengan 'perlindungan' yang kuat." Ujarnya dengan senyuman dan sinar mata yang galak mengimbas kenangan bersama suami tercinta.

Tidak terlihat riak sedih, apatah lagi kecewa, tetapi 'aura' semangat yang berkobar dan membara dari dalam dirinya bagai dapat saya rasa.

Saya cuba memahami apa yang dimaksudkannya dengan 'perlindungan'. Ye, suaminya tidak meninggalkan harta melimpah, jauh sekali dari rumah dan kereta mewah. Semuanya serba sederhana, berbekal wang pencen suami dan usahanya mengajar tuisyen sekali sekala, wang yang ada sekadar cukup untuk dia dan empat anaknya meneruskan kehidupan di dunia sementara.

Lalu, apa yang dapat saya fahami, perlindungan yang dimaksudkan adalah kasih sayang, didikan iman dan teladan kesabaran dari suaminya itu di sepanjang hembusan nafas yang diizinkan TUHAN untuk 'bekalan' si isteri serta zuriat yang dikasihi mendepani cabaran hidup yang tidak bertepi.

Hingga akhirnya, walau jasad si suami telah tiada, namun, budi dan akhlaknya yang mulia tetap 'hidup' mendampingi anak dan isteri tercinta.

Itulah perlindungan yang dimaksudkan!

PERINGATAN BERSAMA

Kini, di ulangtahun perkahwinan kami yang ke-13, sekali lagi kenangan itu menggamit ingatan. Kenangan lapan tahun lalu yang tidak akan pernah saya lupa.

Kenangan itu menjadikan setiap detik bersama suami yang dikasihi, Zaharuddin bin Abdul Rahman, hingga ke saat ini begitu saya hargai. Walau berencam rasa yang ada di dalamny; manis, pahit, ketawa dan tangis hiba, semua itu membulat sempurna sebagai detik indah dalam kehidupan saya dan suami tercinta.

Mengimbau setiap detik yang dilalui ketika itu, sentiasa mengingatkan saya, bahawa segala yang ada di dunia ini bukan milik sesiapa. Ia hanya pinjaman sementara dari Yang Maha Esa, hatta insan yang sangat dicintai pun, tetap akan kembali kepada ‘pemilik’ yang kekal abadi.

Di sisi ILAHI.

Tinggal lagi, ketika masih dipinjamkan hayat yang ada oleh Yang Maha memiliki, lakukanlah yang terbaik, sepenuh upaya yang termampu. Hargai setiap waktu bersama. Isikan ia dengan sesuatu yang menghampirkan jiwa kepada Pencipta.

Belajar dan berusaha meningkatkan kesedaran dan kualiti pertemuan agar jauh lebih baik dari sekadar pertemuan-pertemuan biasa, biar sekerap manapun.

Hanya dengan itu, ketika salah seorang daripada suami isteri lebih dulu dijemput ILAHI, tiada lagi sesal yang bertandang.Tiada lagi penyesalan yang melukakan, kerana memori bahagia bersamanya tetap hidup segar menghiasi hari-hari mendatang, InsyaALLAH.

Bagai terbayang kenangan cinta Junjungan agung, Muhammad SAW terhadap suri jiwa baginda, Sayyidatina Khadijah r.a.

“Dia ( Khadijah ) beriman ketika manusia lain kafir kepadaku, dia membenarkanku ketika manusia lain mendustakanku, dan dia membantuku dengan hartanya ketika manusia lain menghalangiku.”

“ALLAH tidak memberiku pengganti yang lebih baik daripada dia.”

“Sesungguhnya aku telah diberi kurnia dengan cintanya Khadijah kepadaku.” ( hadis riwayat Muslim)

TUHAN, IZINKAN KAMI TERUS BERSAMA

Detik ini, saya bersyukur kerana ALLAH SWT masih mengizinkan kami bersama.

Ditambah lagi, tatkala membaca lembaran sajak yang dikarang suami khusus sebagai hadiah istimewa di hari yang berbahagia, titisan jernih mengungkap segalanya :

Buat Noraslina Jusin,

Isteriku,

kehadiran dan keberadaanmu di sisi,

dengan senyuman dan ringan tulangmu,

amat menyeri perasaan dan jiwa ini.

Maka dengannya,

dapat kujalankan tugas dan amanah yang pelbagai,

harapan masyarakat dan amanah sebagai hamba-NYA,

dengan jaya dan wibawa.


Sayangku,

tanganmu yang amat berjasa,

penyedia juadah halal lagi baik,

juga yang kerap merawat dan menyegarkan tubuhku,

yang letih dan lesu selalu,

bukan sekadar fizikalnya malah mental

serta spritualnya,

rumah terurus kemas,

melegakan lagi memberikan inspirasi.


Cintaku,

Tusukan cintamu telah sekian lama menembusi jiwa ini,

lalu berkekalan sudah 13 tahun kita bersama,

walau sesekali dilanda ombak dan badai,

ia tidak sama sekali menjadikanku,

ragu-ragu untuk terus berenang dalam cintamu,

InsyaALLAH dengan kudrat kurniaan-NYA,

mahligai ini bakal diteruskan,

ke akhir hayat dan ke syurga,

ALLAHUMMA AMEEN,

Moga sakinah dan mawaddah milik kita selamanya,

Moga ia terus dilimpahi berkat dan rahmat,

Diberati hidup kita, dengan amal dan solat,

Ilmu serta iman,

Melebihi emosi, cemburunya dunia dan sedih sendu……

Suamimu.


Terima kasih Ya ALLAH kerana mengizinkan kami untuk terus bersama….Alhamdulillah wa syukru lillah….

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


23 November 2011

CHAT : Satu pandangan

Dalam usrah baru-baru ini, saya dan sahabat-sahabat seusrah bersama naqibah banyak membincangkan tentang pergaulan tanpa batas hari ini terutama di kalangan remaja walaupun mereka berlatarbelakangkan pengajian agama di universiti.

"Saya tengok 'suasana' di ***, dah tak sama sebagaimana ketika saya mengajar di sana 15 tahun yang lalu..." kata seorang rakan usrah.

Pada saya, bila memperkatakan tentang remaja, orang dewasa juga perlu 'melihat' dirinya sendiri, bahawa mereka adalah cerminan kepada individu yang masih muda di bawah mereka.

Contohnya, bagaimana seorang ayah/ibu berchatting di fb, YM atau seumpamanya bersama lawan gender, tidak mengawal kata-kata, pertanyaan yang meleret-leret tanpa keperluan, maka keadaan yang sama juga boleh berlaku di antara anak-anak dan rakan-rakan mereka atau mungkin mereka menjadi lebih jauh lagi dari apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Saya masih ingat ketika berusia awal 20-an suatu masa dulu ( masih di IPTA ) saya menelefon seorang alim yang amat saya hormati cara pergaulannya dan penghormatannya kepada kaum wanita. Sebaik mengangkat gagang telefon, beliau terus bertanya apakah keperluan saya menghubunginya. Bila saya melontarkan persoalan, beliau terus menjawab pertanyaan itu, tanpa bertanya lebih lanjut seperti saya belajar di mana, jurusan apa dan seumpamanya . Sebaik selesai memberikan jawapan, beliau meminta maaf, memberi salam dan terus mengakhiri perbualan.

Pada saya, inilah contoh yang amat baik agar pergaulan antara dua jantina dapat dijaga sebaik-baiknya. Walaupun jarak usia antara keduanya mungkin jauh, namun syaitan tidak memandang itu semua. Asal saja ada ruang, fitnah yang merosakkan boleh saja mengetuk jendela rasa. Setiap sesuatu itu bermula dengan langkah pertama...demikian juga dalam perhubungan antara 'Adam dan Hawa' ini.

Amanah dalam menjaga batas perhubungan, baik di hadapan orang lain atau ketika bersendirian inilah yang menjadi ujian semua orang baik seseorang itu bergelar ustaz/ustazah sekalipun. Seorang suami/isteri, boleh saja menahan diri atau mengawal perbualannya ketika berchatting/ berbual dengan orang lain berlainan jantina di rumah atau ketika pasangan dan anak-anak ada bersama, akan tetapi bila bersendirian di pejabat atau ketika berjauhan dari pasangan dan anak-anak, maka kawalan itu sudah longgar.....terlepas dari batas dan sempadan.

Di sini, situasi yang ada menuntut kejujuran kita kpd ALLAH dalam mengukur sejauhmana urusan kita itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung sejauhmana iman kita kepada-NYA. Jika muraqabatillah kita kuat ( iaitu merasa diri sentiasa dalam pandangan ALLAH ), maka itu yg akan menjadi pengawal kita. Jika tidak maka kita akan hanyut bersama dengan teknologi moden ini.

Saya memohon perlindungan dari ALLAH SWT dan mengajak kita semua melihat ke dalam diri, kita adalah cerminan kepada generasi masa depan.

Andai benar kita menyayangi anak-anak kita, marilah bersama memperbaiki cara pergaulan kita. Baik di alam maya, lebih-lebih lagi di alam realiti.

Apa pandangan sahabat-sahabat pembaca?

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

22 November 2011

DI SEBALIK FOTO INDAHMU

Astaghfirullah!”

Meluncur kalimah tersebut dari bibir saya diiringi gelengan kepala tatkala menatap sekeping foto dari deretan News feed pada dinding ‘muka buku’ ( facebook ) pagi ini.

Tidak lama dulu, saya ada membaca beberapa tulisan di blog yang mendakwa gambar-gambar muslimah bertudung telah di’scan’ dan diedit sehingga ‘menjadi’ seperti sekeping gambar bogel. Diikuti kemudiannya, paparan beserta bukti bergambar yang menampilkan foto muslimah dieksploitasi sehingga seakan-akan menampakkan susuk badan.

Walaupun, asal foto-foto tersebut adalah bertudung dan menutup aurat sempurna, namun ia telah diedit melalui teknik super impose dan sinar x-ray untuk menampakkan bahagian dalaman.

Kini, cerita yang sama muncul semula. Dari paparan nota pada gambar dan komen-komen di bawahnya, dapat saya simpulkan bahawa cerita tentang gambar-gambar muslimah menutup aurat di'bogel’ka, kembali heboh diperkata.

Jujurnya, saya sendiri amat sedih melihat gambar-gambar tersebut dan bersimpati kepada pemiliknya.

1 November 2011

CINTA USIA EMAS

Pagi ini, sewaktu menghantar kak long ke sekolah untuk ujian lisan bahasa arab, saya melalui sebuah masjid berhadapan jalanraya utama. Sewaktu kereta berhenti di lampu isyarat dengan warna merah yang baru menyala, di sisi lantai dan tangga bawah masjid, mata tertancap ke susuk tubuh seorang mak cik tua, manis bertelekung bagaikan menunggu seseorang.

Selang beberapa langkah di kawasan tempat letak kereta, seorang pak cik tua sedang berusaha menghidupkan enjin motornya. Sebaik enjin hidup,dia bersegera menuju kepada mak cik tua yang setia menunggu dengan senyuman di bibirnya.

"Tentu mereka baru mendengar kuliah subuh pagi ini..." saya berbisik.

Mak cik tua membonceng motor dengan tangannya berpaut pada pinggang pak cik tua.

Kejap. Erat.

Sungguh romantik pemandangan itu bagi saya.

"Tentu sudah banyak ranjau kehidupan berumahtangga yang mereka lalui untuk sampai kepada peristiwa pagi ini," saya menelah.

20 October 2011

BERIKAN KAMI FURQAN...

“Apa pandangan kak long?” saya bertanya seraya mengarahkan matanya ke satu foto di skrin komputer.

Di hadapan kami terpapar gambar seorang gadis dengan fesyen tudung terkini gadis remaja. Sengaja saya bertanyakan pandangan kak long tentangnya. Mana tahu, sedikit sebanyak dapat juga saya menyelami naluri berfesyen anak dara sulung saya ini.

“Hmmm…too stylish.” Ringkas jawapan kak long. Saya menganggukkan kepala, tersenyum dan kembali menatap foto gadis yang mengenakan turtle neck inner di sebelah dalam dengan lilitan tudung dari satin pada bahagian luarnya sebagai pelengkap.

Biarpun tudung yang disarungkan sudah menutupi bahagian dada, namun keseluruhan penampilan dan gaya yang ditunjukkan masih ada yang tidak kena.

“Lengan bajunya pada ummi agak ketat…”saya menambah. Kak long mengiyakan dengan sedikit kerutan di dahinya. Wajahnya agak tegang. Entah apa yang difikirkan.

“Kak long tak suka lengan baju ketat…susah nak ambil wuduk,” luah kak long, sekaligus menjawab persoalan saya tentang wajah seriusnya tadi.

Buat kesekian kalinya saya membalas kata-katanya dengan anggukan bertali. Membenarkan setiap patah yang dibicarakan. Bersyukur ke hadrat-NYA, kerana dalam menjejak usia 12 tahun, kak long telah dapat membezakan pakaian yang selayaknya dikenakan oleh seorang wanita.


14 October 2011

CIPTALAH MUSIM INDAH KEHIDUPANMU

Saya pernah membaca sebuah kisah. Ia cerita yang ringkas, tetapi berisi pengajaran yang bernas.

Cerita seorang gadis yang dibesarkan di sebuah rumah kecil dan serba kekurangan di lereng bukit. Gadis itu gemar bermain di tengah-tengah padang bak ‘taman’ alam semulajadi yang luas dan indah berhampiran rumahnya. Saban hari, sambil bermain, dia mengkhayalkan kehidupan bak puteri di dalam istana yang megah dan mewah.

Walaupun cintanya pada keluarga tidak dinafi, tetapi impiannya yang satu ini kerap meng’hantui’!

“Betapa beruntungnya andai aku bergelar seorang puteri. Setidak-tidaknya, menjadi anak hartawan ternama saja sudah memadai berbanding kehidupanku yang miskin ini.”

Suatu ketika, setelah meningkat dewasa, sedang dia menghabiskan masanya sebagaimana biasa di padang tersebut, tiba-tiba dia melihat di kejauhan pancaran keemasan dari sebuah rumah yang besar di atas sebuah bukit bersetentang. Seakan-akan rumah itu diperbuat dari emas dan permata yang bersinar-sinar! Tingkap, pintu, bahkan dinding dan atapnya, semuanya memancarkan cahaya seiring terik mentari di langit tinggi.

Belum pernah dia melihat rumah sebegitu indah!

“Oh, rumah siapakah agaknya itu? Indah sungguh bentuknya!Pasti penghuni di dalamya juga di kelilingi rasa bahagia,” bisik si gadis teruja.

Perlahan-lahan dia menapak menuruni bukit rumah kecilnya menuju ke bukit yang menempatkan rumah besar itu.

Keghairahannya untuk melihat dengan lebih dekat kecantikan rumah besar itu membuatkannya berlari sekuat hati. Biar cepat sampai!

Namun, tatkala kakinya berada betul-betul di hadapan pintu rumah besar itu, dengan tarikan nafas yang masih tercungap-cungap kepenatan, matanya yang bulat itu hanya menyaksikan sebuah rumah usang dengan warna pintu, tingkap dan dinding yang kian pudar. Daun-daun kering berserakan di lantai. Tiada kedengaran gelak tawa….sekelilingnya sunyi sepi. Tidak berpenghuni.

“Benarkah ini rumah besar yang keemasan itu?” si gadis bermonolog sendiri.

Perlahan-lahan, dia membalikkan badan,membelakangi rumah besar yang disangkanya sangat indah itu dan mulai melangkah menuju ke rumah kecilnya. Sedih dan kecewa. Akan tetapi….

Alangkah terkejutnya si gadis. Bagai mahu luruh tangkai jantungnya kerana di atas bukit yang ingin ditujunya itu, dia melihat sebuah rumah kecil yang keemasan! Sinar matahari menambah cantik sinar rumah itu.
Kini dia menyedari. Selama ini dia tidak bermimpi. Bayangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa menguasai jiwanya, bersama keindahan alam semulajadi yang menceriakan hidupnya setiap ketika, rumah kecil itu sebenarnya adalah sebuah rumah paling ‘indah dan mewah’.

Ia ada di hadapan mata tanpa pernah dia sedar kewujudannya!

Si gadis akhirnya tersenyum. Senyuman paling manis dirasakan sepanjang hidupnya…..


10 October 2011

MUSLIMAHKU,SEMALUMU...IMANMU...

Suatu masa aku melihat,
Dua gadis berpapasan dengan hilai tawa panjang,
Mata-mata menoleh tidak mereka hirau,
Tertawa, tertawa dan terus tertawa….

Suatu ketika aku membaca,
Kisah seorang gadis cantik jelita,
"Anakku itu pemalu orangnya," si ibu berbicara bangga...
Tapi, gaya pakainya amat terbuka....
Ketat dan padat, mampu menggoncang sukma.

Suatu saat aku menyapa,
‘Dinding mukabuku’ seorang gadis bertudung labuh,
Nada bicara lewat tulisannya, manja dan amat mesra,
Menyahut gurau senda dan usikan sang jejaka...

Aku merenung semua keadaan itu dengan pandangan sayu...
Di mana letak malu tanda iman dalam dirimu..
Kerana malu dan iman itu bagai saudara seiring sejalan,
Saling melengkapi, saling membutuhkan demi kesempurnaan amalan,
Sirna salah satu dari keduanya, maka tiadalah ia sempurna...


Pandanglah pohon semalu,
Ia lambang iman dan malu muslimah bermaruah,
Dari jauh ia menyeri dengan kembang ungu yang indah,
Namun sebaik mendekat dia segera menutup ‘rupa’,
Tunduk sopan dengan duri bercerakan sebagai perlindungan.

Muslimahku...semalumu...imanmu...


Peliharalah....

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

26 July 2011

Inikah rindu?


Berjauhan bukanlah sebab utama untuk saling merindui. Akan tetapi, kedekatan hati, ingatan berterusan dan perasaan memerlukan, itulah yang menerbitkan kerinduan walau sebenarnya antara kita dan orang yang dirindui amat dekat, bertemu setiap saat.

Sekiranya itu yang kita rasakan terhadap orang yang dikasihi, maka apatah lagi terhadap ALLAH SWT,Rabbul Izzati yang selayaknya kita serahkan kerinduan ini.

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

Maksudnya : "Dan sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan KAMI lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya." ( Surah Qaaf ayat 16 )

Justeru, muhasabahlah diri seandainya ketika di kelilingi tangisan orang lain usai solat, berzikir dan membaca al Quran, kita hanya termangu-mangu melihat dan bermonolog sendiri,

"Mengapa mereka sampai menangis? Sedang aku sedikitpun tidak merasa sedih?"

Tatkala itu, menangislah kerana tidak mampu menangis kerana bimbang ALLAH SWT sudah 'menutup hatimu' dari merasakan kehangatan cinta, kasih dan rindu kepada-NYA.

Menangislah, kerana hakikatnya jiwamu sedang menderita 'sakit'!

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

23 June 2011

TERUSLAH BERCINTA HINGGA KE SYURGA-NYA


Sejak keluar dari rumah jam 6.15 petang tadi, hujan masih turun mencurah. Tiada tanda akan berhenti. Sambil mendengar radio IKIM.fm, saya terus setia menunggu di dalam kereta. Sesekali saya meninjau dari kaca tingkap kereta, kalau-kalau terlihat kelibat suami di luar.

45 minit berlalu. Saya sedikit resah. Namun, sejurus terlihat samar-samar tubuh suami menghampiri, dengan berpayung dan membimbit tiga plastik barang-barang yang baru dibeli dari pasar malam berhampiran, saya menanti dengan senyum lega.

“Alhamdulillah hujan…tak ramai orang di pasar malam,” ujar suami sebaik pintu kereta dibuka, tanpa sempat saya bertanya. Plastik barang dihulurkannya kepada saya.

Sungguhpun pada awalnya saya dan suami bercadang membeli belah bersama ( berdua ), tetapi hujan lebat menyebabkan suami meminta saya menunggu sahaja di dalam kereta. Tambahan pula, tubuh saya masih terasa sedikit lemah kesan demam pada hari sebelumnya.

“Eh! “ Senyuman saya kian melebar. Mata bulat meninjau ke dalam satu plastik barang yang dibeli. Suami memandang agak terkejut. Namun kemudiannya turut tersenyum bersama.

Saya teruja. Suami ceria.

“Abang ni macam tau-tau je…As tak suruh pun tadi…” saya berkata dalam nada gembira. Aroma laksa menggamit selera. Sememangnya laksa makanan yang paling saya gemari sejak pertama kali menjamahnya sewaktu kecil dahulu, sehinggakan ayah menggelar saya, ‘hantu laksa’.

Ada laksa, nasi saya tolak ke tepi.

Hari-hari makan laksa pun saya sudi!

“Mestilah tahu…suami mithali…” jawab suami selamba. Saya tertawa.

‘Bunga-bunga’ bahagia mekar di dalam jiwa. Kembang segar mewarnai ‘taman’ hati.


20 June 2011

NILAI SEUTAS GELANG EMAS

Kolam mata saya bergenang membaca satu emel yang dikirimkan oleh pihak editorial Majalah Solusi. Baris demi baris pada emel tersebut saya amati. Setitik demi setitik air mata menitis ke pipi. Saya menangis.

Bukan terharu kerana emel yang dibaca berisi pujian dan maklum balas positif terhadap artikel saya : Darurat Bukan semudah Itu ( Artikel asal : Zuriat Berkat ) yang disiarkan di dalam majalah tersebut, akan tetapi saya menangis kerana tersentuh dengan tindakan mulia seorang wanita semata-mata untuk menjaga iman serta maruah diri dan suaminya demi melahirkan zuriat yang dikasihi.

Berikut emel yang dikirimkan :

26 February 2011

HATI YANG PALING INDAH


Sehingga saat ini, saya masih termenung panjang tatkala mengulang baca sebuah sajak yang baru saya siarkan dua hari yang lalu.

CINTA 100%.

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

24 February 2011

CINTA 100%

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka bertanya, lalu berapa peratus pula cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…
Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.


p/s : Sekadar mengambil kefahaman dari didikan Junjungan mulia, Muhammad SAW dan masih berusaha untuk mencapainya, doakan saya :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

23 February 2011

BERBALASKAH CINTAKU?


"Kita selalu mengucapkan cinta kepada ALLAH. Tetapi pernah tak kita terfikir, adakah ALLAH juga cinta kepada kita?"kata-kata suami di suatu petang, cukup menyentak jiwa ini.

Kuat!

Saya terdiam tidak membalas. Merenung-renung kebenaran dari bicaranya. Bukan tidak pernah terfikir, cuma selalu terlupa.

Berapa ramai manusia yang mengharap dirinya jatuh cinta, lalu setelah merasakan dirinya dicintai, membalas pula huluran kasih itu dengan cinta yang serupa. Maka jadilah mereka dua insan bercinta, saling kasih mengasihi.

Alangkah indahnya kala cinta bersemi, lebih indah bila kasih yang diberi berbalas cinta sejati.

Sebaliknya, bila cinta tidak dihirau, kasih dipandang sepi, bagai bertepuk sebelah tangan, kesakitan yang menjalar dari itu umpama menghulur sebungkus hadiah, tetapi akhirnya ia ‘mendarat’ di tempat sampah.

Sungguh pedih dan menyakitkan perasaan!

6 February 2011

KERANA SAYA SEORANG IBU

Cuaca petang itu agak panas. Sesekali sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, membawa bersamanya rasa dingin yang cukup menyamankan. Saya, adik kembar dan dua adik yang masih kecil, sedang leka bermain masak-masak menggunakan bekas plastik dan sudu di dapur.

Dalam keasyikan itu, tiba-tiba, bagai terdengar derap tapak kaki seseorang menuju ke rumah.

Saya menjengahkan sedikit kepala, meninjau-ninjau ke luar. Dari mulut pintu dapur yang terbuka luas, saya melihat kelibat emak menyusuri lorong bersemak di belakang rumah. Langkahnya kecil-kecil tetapi pantas. Kelihatan wajah emak sedikit cemas dan agak tergesa-gesa berjalan.

“Eh! Kejapnya mak…dah selesai ke ’rewang’ di rumah Mak Cik Senah tu?” soal kak Eton yang masih di bangku sekolah menengah, kehairanan.

“Belum lagi….” Ringkas jawapan emak sebaik duduk di kerusi makan melepaskan lelah.

Saya juga tertanya-tanya. Rasanya, baru sahaja emak keluar ke rumah Mak Cik Senah membantu kerja-kerja memasak untuk hidangan kenduri esoknya.

“Habis tu, kenapa mak balik?” kak Eton melanjutkan tanya. Emak tersenyum manis.

“Mak ni cemburu orangnya,” luah emak dengan lirikan mata.

Saya perasan emak sedang memandang ke ruang depan. Kebetulan, abang sepupu yang tinggal bersama kami sedang tekun menelaah dan membaca buku. Oleh kerana jarak rumahnya yang agak jauh, juga peperiksaan SPM yang semakin hampir, menyebabkan ibu bapanya meminta keizinan ayah dan emak untuk menumpangkan beliau sebulan dua.

4 February 2011

ANTARA MALU DAN MAHU


Gambar demi gambar saya tatapi. Dengan pelbagai gaya dan berencam warna, terdapat lebih seratus foto silih berganti mengambil ruang pada skrin komputer.

Tidak sukar, tidak perlu menyelak lembar demi lembar. Hanya menekan mouse di bahagian kiri, keseluruhan foto-foto yang ada dapat saya lihat sepuasnya. Jika ingin mengulang tatap, teruskan sahaja menekan, pusingan gambar akan terus beredar. Satu demi satu.

Saya akui, kesemuanya cantik, comel dan ayu. Sememangnya, mereka gadis-gadis yang bertuah kerana memiliki kecantikan wajah. Mungkin kerana itu, mereka berusaha menampilkan gambar dalam pose terbaik dan tercantik untuk beradu nasib dalam pertandingan menggayakan tudung itu.

Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya sedih dan gundah.

Bagai ada sesuatu yang terbuku di dada saya rasakan, tetapi tidak terluah.

Saya melanjutkan pandangan mata pada komen-komen yang bertemali di bawah setiap gambar. Ada kata-kata pujian serta pujuk rayu agar gambar mereka diundi. Gulana saya bertali sehinggalah saya menemukan komen dari seorang lelaki di bawah foto seorang gadis berpakaian t-shirt panjang tetapi agak ketat, bertudung kepala yang tidak cukup melindungi dada dengan legging hitam menutupi kakinya :

“Ini bukan hijab.”

Kata-katanya itu, disambut satu pertanyaan :

then what?”


25 January 2011

ANAKKU, CERMIN-CERMIN DIRIMU


Bila berdiri ketinggiannya sudah menyamai ketinggian saya. Baju-baju saya juga, sudah banyak yang muat dan tersarung elok ke tubuhnya. Banyak kali juga saya berjenaka :

“Tak lama lagi, Ummi makin ke ‘bawah’ la. Bila tengok kak long, mesti kena mendongak....”
Mendengar itu, dia pasti tersengih lantas tertawa. Malu-malu si anak dara.

Perhatiannya pada fesyen dan aksesori juga semakin ketara. Pernah sekali, saya melihatnya sedang memerhati penuh minat pada satu laman web menjual baju-baju terkini gadis remaja. Bola matanya bersinar, teruja. Senyumnya meleret, ceria. Tentu ada sehelai dua yang menarik perhatiannya.

Sebagai ibu, saya menyedari, Jika dibandingkan dengan anakanda kedua, kak ngah masih lagi gembira bermain dengan patung boneka.

Memang, anakanda saya yang pertama ini kian menginjak dewasa.

Terasa masa berlalu begitu pantas. Mengenang ini, jiwa sering berdebar. Cemas. Memikirkan terlalu banyak lagi pesan yang perlu dititipkankan, buat pedoman dan panduan anak meniti alam remaja yang mencabar.


MELIHAT CERMIN
“Kak long, kalau kak long tengok cermin, apa yang kak long nampak?” saya bertanya usai solat maghrib bersama. Kak ngah yang bersimpuh di sebelahnya sekadar memandang, tidak bersuara.

“Hmm..nampak muka kak longlah ummi..” kak long menjawab bersahaja. Saya mengangguk, mengiyakan jawapannya.

“Macam ni ye…muncungkan mulut, bulatkan mata, kembangkan hidung, belek pipi…ada jerawat ke tak…ye kan?” Saya menambah disambut ketawa anakanda berdua. Melihat itu, saya turut ketawa bersama.

“Pernah tak kak long, kak ngah ‘lihat’ lebih dari itu masa berada di depan cermin?” Saya meluahkan soalan seterusnya.

Kak long dan kak ngah mengerutkan dahi. Kurang mengerti, barangkali.

“Tengok lebih tu macam mana, Ummi ?” soal kak long. Kak ngah pula masih diam. Lagak termenung.

“ Maksud Ummi…bukan setakat melihat fizikal luaran, tetapi melihat ke dalam diri…setakat mana kak long dan kak ngah sedar akan kelebihan dan kekurangan diri sendiri.”Saya cuba menjelaskan.

Suasana sepi. Kak long dan kak ngah terus mendiamkan diri.

Saya akui tidak mudah untuk anak-anak seusia mereka memahami. Ini kerana sepasang mata kurniaan ILAHI ini hanya mampu melihat permukaan, sedangkan untuk ‘melihat’ sehingga ke bahagian ‘dalaman’ atau rohani, manusia memerlukan ‘mata hati’.

Namun, saya tidak mahu berputus asa. Terlintas di minda, sebuah hikayat dulukala.

“Ha..ummi ada satu cerita.” Luah saya gembira. Bebola mata kak long dan kak ngah juga menampakkan sinar ceria. Mereka segera menganggukkan kepala.

“Ok..ceritanya begini…..”


HIKAYAT BERMULA
Di dalam sebuah rimba, tinggal seekor kancil yang bijaksana. Suatu hari, sang kancil berjalan-jalan menikmati keindahan hutan. Sedang sang Kancil asyik dan leka, tiba-tiba terdengar ngauman yang amat kuat di belakangnya. Sang kancil menoleh. Rupa-rupanya, sang singa, si Raja Rimba, sedang bersedia untuk menerkam dan membahamnya.

Sang kancil cemas. Kakinya terketar-ketar. Namun, fikirannya tetap ligat berputar. Mencari akal untuk lepas dari dibaham sang singa yang lapar.

“Nanti dulu wahai raja rimba yang gagah perkasa. Sebelum aku kau jadikan hidangan tengaharimu, ingin kusampaikan satu pesan,” ujar sang kancil kurang bermaya.

“Pesan apa wahai sang kancil? Jangan fikir kau dapat melepaskan diri,” sergah sang singa sambil menunjukkan taring dan kukunya yang tajam bak taji.

Melihat itu, sang kancil bertambah gerun di hati. Namun, digagahkan juga dirinya untuk menyambung bicara.

“Sebenarnya, aku disuruh oleh seekor singa yang sama besar dan gagah sepertimu untuk menyampaikan pesan mahu bertarung dan beradu kekuatan,”sang kancil melaporkan.

“Apa? Mustahil ada singa lain yang menyamai kegagahanku, apatah lagi berani untuk menentangku di hutan ini!” bentak sang singa sebaik mendengar berita. Dia mengaum sekuat-kuatnya sehingga unggas-unggas yang sedang berehat di pepohonan, terbang bertempiran.

Marah sungguh nampaknya sang singa.

“Di mana kau temui singa yang berani menentangku itu. Tunjukkan aku sekarang juga!” tambah sang singa dengan luapan amarah yang membara.

“Singa itu sedang menunggumu di sebatang sungai di pinggir hutan ini. Di sana...” Tanpa lengah sang kancil menunjukkan arah.


PERTEMUAN
Sang singa berlari selaju mungkin menuju sungai yang dimaksudkan. Sebaik sampai ke tebing sungai yang jernih alirannya itu, sang singa terus menyeberangi jambatan kayu yang merintangi dari kedua-dua belah tebing. Matanya melilau liar sambil memusing-musingkan kepala, mencari-cari sang singa yang mahu menentangnya, sebagaimana diberitakan oleh sang kancil yang bijaksana.

Ketika inilah…

Saat sang singa melihat ke dalam air, ia melihat satu bayangan yang menyerupai dirinya. Menyangka bahawa bayangan itu adalah singa yang mahu beradu kekuatan dengannya, sang singa mengaum keras, menunjukan rasa tidak takut, apatah lagi cemas.

Akan tetapi alangkah terkejutnya sang singa tatkala melihat bayangan ‘singa’ itu juga membuka mulut dan menampakan taringnya yang memancarkan cahaya. Tajam.

Sang singa merasa tercabar. Lalu, tanpa berfikir panjang, ia segera terjun ke sungai untuk menyerang bayangan ‘singa’ tersebut.

Jbbuur!!

Sang singa basah kuyup disimbahi air sungai, sementara bayangan yang menentangnya menghilang entah kemana. Sang singa yang basah lenjun, merasa kedinginan bercampur kebingungan memikirkan ke mana perginya singa ‘penentang' itu tadi.


MENGENAL DIRI
“Akhirnya, selamatlah sang kancil dari dimakan oleh singa, sang raja rimba…the end,” saya menyudahkan cerita.

Kak long dan kak ngah tersenyum ceria.

“Agak-agaknya, kenapa singa tu tak tahu yang bayang-bayang dalam sungai tu adalah dirinya sendiri?” Saya bertanya.

Tujuan saya sekadar ingin melanjutkan sesi bercerita dengan mencungkil kefahaman anak-anak tentang pengajaran yang mampu mereka cerna.

Kefahaman amat perlu dititikberatkan agar cerita-cerita dongeng dan khayalan seumpama sang kancil dan singa itu tadi dapat memberi manfaat, terutama sebagai mengisi nilai pendidikan kepada anak-anak.

“Hmmm…singa tu tak pernah guna cerminlah tu agaknya, Ummi..” Sambil tersengih, kak ngah meneka. Saja-saja.

Saya dan kak long tertawa mendengarnya.

“Betul tu. Singa tak pernah cermin diri sendiri, sebab tu bayang-bayang sendiri pun dia tak tahu,” saya menambah senda.

“Dan juga sebab singa tak pernah kenal dirinya, dia tak tahu kekuatan yang ada padanya, tidak pernah tahu di mana kelemahannya, dan kerana itu, singa dengan mudah diperdaya oleh sang kancil. Akhirnya, perut singa yang lapar terus lapar, dan kesejukan pula.”

“Sebab tulah, penting untuk kita mengenal diri, salah satu caranya ialah dengan ‘bercermin’, tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri,” saya menerangkan sejelas yang mungkin.


ORANG YANG SOMBONG
Saya menginsafi, kisah sang kancil dan singa di atas, bukan sahaja baik untuk diambil pengajaran oleh anak-anak seusia kak long dan kak ngah, tetapi ia juga baik untuk diteladani oleh kelompok dewasa seperti saya.

Betapa orang dewasa yang sewajarnya sudah ‘cukup’ berakal untuk mendepani hidup juga mudah dan ramai terpedaya dek tidak mengenal diri sebaiknya.

Salah satu darinya ialah orang yang terpedaya dengan kesombongan dirinya sendiri, sebagaimana kesombongan sang raja rimba yang akhirnya memakan diri.

Seandainya setiap insan itu mengetahui dari apa ia diciptakan, untuk apa ia diciptakan dan matlamat sebenar atas penciptaannya, juga sekiranya dia menyedari betapa manusia adalah makhluk yang lemah dan sangat memerlukan kerjasama orang lain dalam memperolehi sesuatu di dunia ini, maka sudah pasti dia akan membuang jauh-jauh kesombongannya itu, diganti dengan kerendahan hati yang sangat disukai ILAHI.

“Cuba kak long, kak ngah fikir, untuk dapat makan sebutir nasi pun, kita memerlukan kepada beberapa kumpulan orang. Jika tidak kita tak dapat makan nasi,” saya menambah.

“Siapa orang tu, Ummi?” kak long bertanya.

“Pertama, petani yang tanam padi. Kedua, pengilang yang mengilang padi hingga menjadi beras. Ketiga, penjual beras di kedai. Keempat, ayah yang selalu beli beras untuk kita di rumah, akhir sekali tentulah ummi, tukang masak nasi,” jelas saya sambil mengangkat kening.

Menyeringai ketawa kak long dan kak ngah.

“Sebab tu, orang yang kenal diri, dia humble…tak sombong. Sebab orang yang sombong macam singa tadi, dia akan cepat marah, mudah terasa, senang sakit hati dan sebagainya. Akhirnya, sikap begini akan merugikan diri sendiri, macam singa tadi kena tipu dengan sang kancil,” saya menghabiskan kata-kata.


ANAKKU, CERMIN-CERMIN DIRIMU
Saya bersyukur atas peluang masa yang diizinkan oleh-NYA untuk saya berbagi cerita bersama anakanda tercinta.

Hati ibu mana yang tidak resah dengan suasana semasa hari ini. Kejahatan berleluasa, maksiat bagai perkara biasa.

Setidak-tidaknya ini antara usaha awal saya dalam menerap nilai-nilai mulia dan membangunkan jatidiri anak-anak sebelum mereka menginjak dewasa, agar menjadi di antara umat-NYA yang terpilih, yang menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran.

InsyaALLAH!

Akhirnya, untuk anak-anakku,

Masih terbayang saat getir perjuangan melahirkanmu, masih terasa sakit yang ditanggung demi membawamu melihat dunia nyata. Masih terkenang senyum, tangis dan tawa manjamu sewaktu kecil.

Kini, kau memanjat tangga usia.


Ingatlah, kenali dirimu dengan selalu melihat ‘cermin’. Cermin pertama ada pada hatimu, sementara cermin kedua wujud di sekelilingmu.

Sentiasalah berkaca pada hatimu. Persoalkan, dari mana asal usulmu, di mana kini dirimu berada dan ke mana dirimu akan kembali kelak. Dengan izin dan petunjuk-NYA, kau akan memahami anakku, bahawa manusia ini adalah mahluk ALLAH yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepada-NYA.

Teruslah bercermin pada sekitarmu. Pada keluarga, pada teman-teman dan pada sesiapa saja. Sikap yang mereka tunjukkan kepadamu adalah ‘refleksi’ sikapmu terhadap mereka. Justeru, andai kau ingin mereka menghormatimu, dahulukan penghormatanmu buat mereka. Andai kau mahu mereka menyayangimu, dahulukan kasih sayangmu terhadap mereka.

Berlandas panduan-NYA, yakinlah anakku, dirimu akan selamat dari kerugian di dunia, juga kerugian di akhirat sana, ameen.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


23 January 2011

SEMUA ITU HANYA ALASAN !


Saat tubuh segar bugar,
Dihiasi busana berkilauan,
Jejaka menatap, bergetar keimanan,
Walau gaya potongan menidakkan suruhan TUHAN,
Dek mengikut tema dan kesesuaian zaman,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat mata melihat,tidak buta,
Dipandang, memandang kecantikan ‘taman larangan’,
Putih gebu, hitam manis, melonjak keghairahan,
‘Si ikan ada didepan si kucing jantan’,
Peluang keemasan, jangan disiakan,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat telinga mendengar, tidak tuli,
Suara manja menggoncang iman,’ halwa’ pendengaran,
Berita sensasi, gossip terkini,
Alunan cinta nafsu, membuai keasyikan,
Sekadar berhibur penawar kepenatan,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat mulut berbicara, tidak bisu,
Patah kata umpat-umpatan,
Bicara kesat, membuak kemarahan,
Biar luahan sangat melukakan,
Asal diri puas menuturkan,
Tercapai hasrat, maksud dan tujuan,
Konon perbincangan berpaksi kebenaran,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Beringatlah wahai tubuh yang segar bugar,
Beringatlah mata yang tidak buta,
Beringatlah telinga yang tidak tuli,
Beringatlah mulut yang tidak bisu,
ALLAH SWT tidak pernah lalai menyaksikan,
Malaikat di kiri kanan setia mencatat amalan,
Bertaubatlah, pohon keampunan.

Jangan menunggu mata rapat terpejam,
Telinga pekak, tidak mampu mendengar,
Mulut terkatup rapat, tidak sepatah terluah,
Tubuh segar, kaku di pembaringan,
Ketika itu, tiada guna penyesalan,
Kelak 'alasan' makan tuan!

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.