KITA ADALAH KUNTUMAN MAWAR

“Ee…nape ummi pakai ubat kat muka?” Petah mulut si kecil Solehah bertanya. Berkerut-kerut wajahnya melihat ke wajah saya yang putih menampakkan hanya dua biji mata dan mulut sahaja.

Melihat itu, saya bagaikan mahu ketawa, tetapi terpaksa saya tahan sekuat rasa. Jika tidak, sedikit sahaja senyuman yang melebar, sudah cukup untuk ‘meretakkan’ wajah putih saya.

“Ummi pakai yoghurt la dik, bukan ubat…” saya cuba menjawab seringkas mungkin. Kasihan melihat si kecil tertanya-tanya.

“Yoghurt?” Solehah bertanya dengan pelat comelnya. Bertambah berkerut wajahnya.

“Adik makan yoghurt…” Solehah menambah. Mungkin dia kehairanan bila saya meletakkan yoghurt yang selama ini menjadi kegemarannya diletakkan ke muka, tidak dimakan seperti biasa!

Jawapannya kali ini sungguh menggeletek jiwa. Pecah juga ketawa saya akhirnya. Terasa ketegangan yang menguasai muka beberapa minit lalu turut mengendur.

Cepat-cepat saya beredar ke dapur dan mengambil air suam untuk membersihkan kulit muka yang diselaputi keputihan. Sejurus, saya membuka peti sejuk dan mengambil bekas yoghurt yang saya kenakan di muka sebentar tadi.

“Ummi pakai ni la dik. Yoghurt ni masam, tak manis macam yoghurt yang adik makan tu,” saya menunjukkan supaya Solehah tidak salah faham.

Bimbang juga, kalau-kalau Solehah pula melumurkan yoghurt manis ke kulit mukanya. Jenuhlah saya membersihkan muka, rambut dan bajunya nanti.

Senyum sendiri saya mengingatkan itu.


WANITA DAN SOLEKAN
Sememangnya solekan dan wanita tidak boleh dipisahkan terutama dalam dunia hari ini yang mengenengahkan senarai wanita cantik adalah mereka yang memiliki pesona kecantikan seumpama artis dan selebriti. Kerana itu, pada saya, apabila berbicara mengenai solekan, ia adalah sama sebagaimana fesyen pakaian. Kedua-duanya agak kontroversi bila diketengahkan.

Saya cuba membuka topik ini di ruang fb sebelum merayakan Aidiladha tempohari untuk meninjau pandangan dan buah fikiran rakan-rakan fb saya yang rata-ratanya adalah perempuan.

Saya bersyukur kerana maklum balas yang diterima sejurus itu amat baik, walau terdapat berencam sudut pandang mengenainya, hingga ada pendapat yang bagi saya agak sinis dan mengena.

Namun bukanlah niat saya untuk melempar pandangan tidak elok kepada mana-mana muslimah yang mengenakan solekan di luar rumah, akan tetapi apa yang saya harapkan ialah perbincangan tersebut dapat dilakukan dengan hati yang lapang, fikiran yang terbuka bersuluh keimanan dan ketaatan kepada ALLAH SWT.

Saya suka mengingatkan diri sendiri, bahawa bila mana berbicara dan mengutarakan pandangan terutama berkait sesuatu perkara yang melibatkan hukum agama, ada dua aspek yang tidak boleh dikesampingkan, iaitu kefahaman tentang topik perbincangan dan juga ketaqwaan kepada ALLAH SWT.

Kefahaman penting, kerana ia melibatkan keupayaan untuk mengetahui, mengerti dan menyelami masalah yang dibicarakan secara adil dan saksama, sementara dengan ketaqwaan pula, ia memimpin dan mendorong kepada jalan penyelesaian yang terbaik berlandaskan syari’at demi meraih keredaan-NYA.

Pincang salah satu darinya, maka ‘outcome’ dari perbincangan tersebut tidak akan memberi faedah apa-apa.


MENCARI-CARI
Awal mulanya, saya ingin mendapatkan pandangan rakan-rakan fb tentang bagaimana yang dikatakan sebagai solekan yang sederhana. Ini kerana, saya pernah beberapa kali mencari-cari di internet dan majalah kewanitaan mengenainya, akan tetapi dapatan saya menunjukkan solekan sederhana itu tidaklah begitu mudah dan ‘sederhana’ aplikasinya. Bahkan menurut penilaian saya, berdasarkan kepada peralatan dan bahan-bahan solekan yang dikenakan, ia mengambil masa juga dengan pelbagai lapisan pada muka.

Justeru, saya tertanya-tanya, jika itu dikatakan sederhana, bagaimana pula dengan solekan yang tebal dan luar biasa dari itu? Kefahaman tentang ini penting, kerana ia melibatkan beberapa hukum iaitu hukum berhias bagi wanita dan hukum bersuci , bak kata seorang rakan di fb :

“….singgah surau dan masjid leceh nak bersihkan.. tak pasal-pasal menyusahkan suami jaga anak-anak dalam kereta... “

Tambahan pula, pemakaian alat solekan yang berlebihan tidaklah memberi kebaikan pada kulit untuk jangka panjang. Sekian ramai artis-artis ternama terutama dari barat yang rosak kulit wajah mereka, kesan penggunaaan yang berterusan, juga akibat dari bahan kimia yang terdapat pada alat-alat solekan.


KISAH 'ANAK ITIK' YANG HODOH
“Kak long, kak ngah pernah tak dengar atau baca cerita tentang angsa yang hodoh?” Saya bertanya. Petang itu, sambil menyusun buku-buku cerita di bilik anak-anak, saya mengambil peluang berbual bersama mereka.

“Tak….” Kedua-duanya menjawab serentak.

“Eh! Takkan tak pernah…” Saya menyanggah.

“Kan ada satu cerita tentang seekor anak angsa yang dibela oleh itik. Selepas menetas, dia melihat dirinya tak sama dengan anak-anak itik yang lain. Mereka semua berwarna kuning, bersih dan cantik, tapi dia…dah lah warna hitam, besar dan nampak hodoh pulak..” Saya mula berkisah.

“Oh! Cerita tu. Kak long dah baca dah…” Tiba- tiba kak long mencelah.

“Ha, kalau dah baca, apa jadi lepas tu?” Saya menyoal untuk menduga ingatannya.

“Dia sedih sebab tak cantik macam anak itik lain. Anak itik lain pun tak nak kawan dengan dia. Satu hari, anak ‘itik’ tu nampak swan terbang dekat dengan kolam. Dia kata, kan baik kalau dia jadi swan..putih, cantik dan menarik..Rupa-rupanya bila dah besar, 'anak itik' tu swan sebenarnya...” Kak long menambah cerita.


BAGAI SANG ANGSA
Saya pasti ramai di kalangan wanita hari ini yang meletakkan diri mereka seumpama sang angsa di dalam cerita dongeng tadi. Sejak kecil, ramai di antara kita terperangkap dengan suasana semasa dalam menentukan nilai kecantikan seorang wanita.

Andai di zaman kanak-kanak, patung Barbie dan seumpamanya menjadi idola, menjengah ke alam remaja dan dewasa, tanda aras cantik dan jelita itu terarah pula kepada artis dan selebriti yang menghiasi media elektronik dan majalah.

Kondisi ini semakin 'melumpuhkan' pandangan mata. Kita bagai tidak memiliki 'tenaga' untuk mengembangkan daya dan upaya menghargai kecantikan sendiri yang sebenarnya wujud dalam diri setiap individu di muka bumi ini.

“Cukup sifat, ada mata, hidung, telinga, mulut….cantiklah namanya tu.” Demikian jawapan ayah bila saya dan adik beradik perempuan lain membandingkan kelainan yang ada di antara kami. Asalnya mahu bergurau senda, tetapi tidak sangka pula rupa-rupanya ayah memasang telinga. Kami terdiam dan berpandangan sesama sendiri. Senyuman terukir di bibir masing-masing, penuh makna.

Hakikatnya, generasi wanita yang terperangkap dengan 'neraca' semasa ini akan mewariskan piawaian sonsang tentang kecantikan kepada anak-anak gadis mereka.

Saya pernah menonton satu rancangan keibubapaan di kaca televisyen, yang dikendalikan oleh seorang pakar bernama Jo Frost.

Di dalam siri yang menyentuh tentang obses remaja hari ini tentang penampilan dan kecantikan, Jo menegur segelintir kaum ibu yang begitu mengkritik bentuk tubuh sendiri akibat membanding-bandingkan penampilan diri dengan model-model majalah. Akibatnya, anak-anak gadis yang melihat atau mendengar turut terkesan sama. Impak panjang dari itu, kecantikan yang ada pada diri terus tidak dibangunkan, sebaliknya perbandingan dengan orang lain akan terus subur dan mewarnai kaca mata seorang perempuan.

Oleh kerana itu, sebaiknya, sebelum membelek-belek wajah dan tubuh di cermin, sebelum mengkritik itu dan ini pada tubuh sendiri, pandang dahulu ke kanan dan kiri. Andai bersendiri di dalam bilik dengan pintu bertutup rapat dan terkunci, itu lebih molek, kerana lebih terjamin dari penglihatan anak-anak. Lantaran seringkali sebagai ibu kita terlepas pandang, menyangka anak-anak sedang leka melakukan aktiviti masing-masing; akan tetapi sebenarnya mereka menjeling dan men'curi-curi' dengar.


RAWATAN KULIT
Sungguhpun demikian, saya tidak menafikan bahawa setiap wanita, masing-masing dikurniakan struktur kulit yang berbeza-beza. Bagi yang dianugerahkan kulit yang sedia halus, mulus dan tidak bermasalah, maka pasti tidak sukar untuk menjaganya.

Begitu juga antara wanita dan lelaki. Struktur kulit lelaki adalah lebih kasar berbanding wanita. Kalau difikir-fikirkan, inilah mungkin, antara hikmah mengapa orang lelaki lebih banyak diberikan peranan untuk bergelanggang di luar rumah berbanding kaum perempuan.

Walaubagaimanapun, keadaan tidak sedemikian bagi wanita yang mempunyai kulit yang bermasalah. Ditambah pula bagi wanita yang telah melewati keadaan-keadaan berikut :

1) Mengandung dan bersalin – Perubahan hormon yang berlaku menyebabkan sebilangan mereka, mengalami jeragat dan hitam-hitam pada muka.

2) kepada mereka yang berada di luar negara seperti di UK dan negara empat musim yang lain, perlu pula menyesuaikan diri dengan perubahancuaca di sini.

Justeru itu pada saya, pemakaian sabun pencuci muka, toner, serum, krim pelembab muka, bedak untuk melindungi dari sinar UV, pelembab bibir dan lain-lain adalah perlu hanya bertujuan untuk menjaga kesihatan kulit dari masalah kekeringan, jerawat, rekahan dan seumpamanya.

Tidak lebih dari itu.

Sebagai contoh, penggunaan pelembab bibir biasa adalah sebagai keperluan agar bibir tidak kering dan pecah ( terutama dalam cuaca dingin dan kering ) sementara penggunaan pelembab bibir jenis berkilat ( lip gloss ) pula adalah untuk kelihatan lebih dari itu, iaitu agar tampil menawan dengan warna bibir yang menyerlah.

Inilah yang salah!

Selain itu, corak pemakanan dan gaya hidup juga memberi kesan kepada keadaan kulit seseorang. Oleh itu, jika dapat menjadikan rutin pemakanan yang sihat, minum air yang banyak, tidur yang cukup, di samping mengamalkan petua-petua tradisional dari bahan-bahan asli adalah sangat baik dan digalakkan, kerana bahan-bahan tersebut tidak mengandungi unsur kimia yang boleh menjejaskan nilai ph kulit.

Saya juga ada mengamalkan serba sedikit petua-petua berkenaan. Antaranya, menggunakan yoghurt untuk melembabkan kulit, serbuk kacang hijau sebagai pencuci muka dan madu sebagai pemerah bibir.

Kesihatan kulit wajah penting pada saya, terutama untuk tatapan suami sendiri. Bak kata orang, dari mata jatuh ke hati.


SOLEKAN 'RATU SEHARI'
Berbalik kepada persoalan bersolek untuk bakal ratu sehari, pada saya, suasana itu dalam masyarakat kita hari ini adalah sudah termasuk dalam perkara 'umum balwa ( iaitu sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dan sangat sukar dielakkan ).

Saya menerima beberapa pertanyaan tentang ini dari beberapa gadis yang sangat ingin menjaga hukum, tetapi dalam masa yang sama terhimpit dan diasak dengan permintaan dari keluarga terutama ibu bapa untuk bersolek dan berhias di hari bahagia itu. Memang bukan mudah memberi kefahaman kepada orang-orang terdekat tersebut dalam sehari dua. Bimbang nantinya akan ada hati-hati yang menjeruk rasa.

Masyarakat kita bukan sebagaimana sebahagian masyarakat arab ( iaitu yang mengamalkan agama dengan baik ). Pada hari perkahwinan, pengantin perempuan mereka tetap berhias cantik dan bersolek tetapi demi memelihara hukum, mereka mengenakan penutup muka di kawasan tetamu yang bercampur baur lelaki dan perempuan. Namun, sebaik sahaja melangkah ke dewan/bilik yang dikhususkan untuk tetamu wanita sahaja, barulah penutup muka itu dibuka. Di dalam bilik inilah, pengantin perempuan dan tetamu-tetamu yang ada bergembira, menari dan usik mengusik sesama mereka.

Saya cuba untuk meneliti dan memahami ini semua dengan memandang 'dua kaki ini agar tetap berpijak di bumi.'

Justeru itu, melihat kepada suasana masyarakat Melayu Malaysia pada hari ini, saya berpandangan, jika mahu pengantin perempuan mengenakan solekan, hendaklah ia dikenakan sekadarnya sahaja iaitu tidak terlalu tebal sehingga mengubah langsung rupa paras dari sebelumnya. Juga, hendaklah tetap menjaga aurat sebaik-baiknya iaitu baju pengantin yang tidak ketat membalut tubuh, tudung yang masih dilabuhkan ke dada dan tidak menggunakan khidmat 'pak' andam atau jurusolek berlainan gender.

Solekan yang dikenakan pada hari tersebut hanya dengan maksud mengambil sedikit ruang ‘kemeriahan’ di hari berbahagia itu terutama untuk tatapan ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan kaum keluarga yang banyak membantu.


KITA ADALAH KUNTUMAN MAWAR
Akhirnya, sebagai kesimpulan, perkara-perkara di bawah ini perlu diambil perhatian oleh setiap muslimah/wanita sebelum mengenakan sebarang alat solekan pada wajah :

1) Bahan solekan adalah halal dan tidak memudaratkan.
2) Bersolek bukan untuk tujuan menggoda atau mendapat pujian lelaki atau bagi menarik perhatian mereka, kecuali untuk tatapan suami sendiri.
3) Penggunaan pelembab bibir, losyen muka, bedak dan seumpamanya di luar rumah adalah bertujuan untuk menjaga kesihatan kulit dari kekeringan, rekahan dan lain-lain.
4) Tidak mengubah mana-mana bahagian pada anggota tubuh semula jadi ( iaitu bukan kerana darurat atau keperluan kesihatan ) seperti mencukur bulu kening dan lain-lain, termasuk bertindik pada lidah, bibir dan sebagainya.
5) Hendaklah tidak mengambil khidmat juru solek berlainan jantina dan bukan mahram.
6) Tidak mengenakan solekan yang tebal dan keterlaluan.
7) Tidak mendedahkan aurat seperti rambut yang sengaja dikeluarkan di bahagian depan, bahagian dada yang tidak ditutup untuk menampakkan rantai yang bergemerlapan dan lain-lain.
8) Tidak melakukan pembaziran pada pengeluaran kos solekan yang terlalu mahal walaupun berkemampuan seperti membeli barangan berjenama semaata-mata untuk menunjukkan kemegahan dan kelainan dari orang lain.
9) Cara solekan hendaklah jauh dari unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah atau syari’at (seperti mengandungi bacaan jampi serapah, memakai susuk dan seumpamanya. )


Insafilah, hukum halal dan haram itu telah jelas. Tinggal lagi, kita membuat pilihan sama ada untuk menjadi seorang yang bebas atau masih terbelenggu oleh nafsu yang tidak mengenal belas.
Perhatikanlah hikmah yang terkandung di dalam ayat ini, mengapa dan kenapa wanita lebih dituntut untuk lebih banyak berada di rumah berbanding lelaki. Firman ALLAH SWT :

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا


Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah salat, tunaikanlah zakat dan taatilah ALLAH dan Rasul-NYA. Sesungguhnya ALLAH bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” ( Surah al Ahzab ayat 33 )


Andai masih terasa rendah diri dengan kecantikan kurniaan ILAHI, renungkanlah kata-kata ini :

Wanita adalah umpama kuntuman mawar. Mekar indah dengan pelbagai warna : putih bersih, merah muda, merah menyala dan kuning diraja, akan tetapi pada setiap penghujungnya, semua kuntuman mawar itu akan dihidu dan dinilai dengan cara yang sama, iaitu melalui keharumannya yang semerbak walau apapun warnanya.

Lalu, begitulah juga kita, dengan pelbagai bentuk tubuh, ketinggian dan paras rupa, pengakhirannya kita semua memiliki satu ciri yang sama, kecantikan semulajadi kurniaan Yang Maha Adil lagi Bijaksana.

Bersyukurlah!

Namun, jangan sesekali kita lupa wahai Muslimahku, kecantikan luaran hanya sementara, kecantikan dalaman yang seharusnya lebih kita jaga dan perhati sentiasa.

Sebaik-baiknya, jika indah rupa luaran pada pandangan manusia, mudah-mudahan cantik juga ‘jiwa’ di dalam yang lebih di’pandang’ TUHAN Yang Maha Esa.

Sesungguhnya apa yang baik datang dari ALLAH SWT, sementara yang kurang itu dari kelemahan saya sebagai manusia biasa.

Kepada-NYA saya memohon keampunan.


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH
.

Comments

onedurrani said…
Terima kasih kak ina...atas perkongsian ini..sejak sibuk mencari ilmu n kerenah anak2..sy sering lupa utk berhias kepada suami...terima kasih kak ina.....mohon di share kan di blog sy...
Anonymous said…
salam,

syukran akak ina... :)... nasihat yg berguna sangat...mintak izin nak share... :)
sarah said…
tq atas peringatan... mohon share ye
HijabRockers said…
Assalamu'alaikum.
Saya kuntuman mawar BESAR. hehe... tapi InshaAllah dah azam kalau menikah nnt nak sederhana je. Malas nk pakai mekap. Fmly kata sukati la... =) Alhamdulillah.

Mintak izin share ya? mekasih kakak =)
Dr.husnaalya said…
salam kak nak tanyer...camner pulak bagi org yg belum kawin..niatnya bersolek(alar kadar) untuk siapa yer?coz akak tulis kalu kawin untk suami..
~tq kak..post akak amat membantu InsyaAllah=)
Unknown said…
salam. best sgt. mohon share di fb k akak :)
MuslihahR said…
Salam Kak Ina,
Betul ke memakai celak mata sunnah Nabi s.a.w untuk wanita juga? saya ada ramai kawan-kawan perempuan yg memakai eyeliner di luar rumah atas alasan itu sunnah Nabi s.a.w...
izzahmohammad said…
saya suka post ni.. =)

bersederhana kan tuntutan agama kita.. kalau tak jaga sangat penampilan pun tak boleh, kalau terlebih jaga, mudharat rasanya
alFarafisyah said…
salam..syukran kak atas perkongsiannya...cukup menyentuh & menyeluruh...mohon izin share.
Ummu Umair said…
salam,artikel yang bermanfaat utk saya,syukran jazilan.

mohon kongsi di blog saya ya :)
Amoi Ida said…
Jazakillah kak..

Bagus untuk semua muslimah..kadang2 duk sibuk 'mekap' luaran tapi dalaman terlepas pandang... :)
elya khadijah said…
salam kak..

syukran ats perkongsiannya..

cuma nak tanya ttg bgaimana cara pnggunaan madu utk bibir tu?

bole akak terangkan tak?

syukran.
Unknown said…
Assalamualaikum..

Terima kasih atas tulisan yang sangat bermanfaat..
Setiap wanita adalah hiasan, sebaik2 hiasan adalah wanita yang solehah yang sentiasa menjaga kehormatan diri.. Tiada mengharapkan pujian kecuali dari suami sendiri..
bungakecil said…
terima kasih diatas perkngsian ini.
sy brharap agar dpt berkongsi tulisan kak dng saudara2 sy yg lain.
sy hrap kak izinkn sy copy artikel ini utk dkongsi brsama-sama rkn2 sy yg lain. harap dihalalkn :)
Syukran..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA