ANAKMU BUKAN MILIKMU
“Kakak risau la ustazah. Membesarkan anak-anak di zaman dunia tanpa
sempadan hari ini terlalu besar cabarannya bagi kita sebagai ibu ayah.”
Keluh seorang kenalan sewaktu saya minum pagi bersamanya di sebuah restoran
usai menghantar anak-anak ke sekolah.
“Apa yang kakak risaukan?” Saya bertanya.
“Macam-macam, ustazah. Masa kecil, terasa mudah untuk menasihati
anak-anak; tambahan mereka juga tidak banyak karenah dan baik-baik sahaja pada
penglihatan saya dan suami. Tetapi, setelah meningkat remaja dan memasuki alam
universiti, lain pula kisahnya,” dia menambah dengan wajah gelisah. Seakan ada
sesuatu yang berbuku di dada, belum terluah.
Saya diam, sekadar memberi respon dengan anggukan; memberikan masa
untuknya berfikir. Biar dia sendiri yang membuat pilihan, sama ada mahu
meneruskan bercerita atau sebaliknya, tanpa apa-apa paksaan atau permintaan.
Tambahan pula, masa yang masih berbaki sebelum pulang ke rumah
untuk memasak juadah tengahari, agak selesa juga untuk kami meneruskan perbualan.
“Entahlah ustazah….Sejak kecil, kakak dan suami sudah memilih
sekolah yang baik pada penilaian kami untuk anak-anak. Di rumah juga, kami
sendiri mengajarkan al Quran dan adab sopan. Harapan kami, suasana yang
baik di rumah dengan kesinambungannya di sekolah dalam bi’ah yang baik
dan guru-guru yang berakhlak mulia dapat memberikan kesan yang baik juga di
peringkat tumbesaran anak-anak. Namun,
dengan masalah yang berlaku hari ini, kakak jadi keliru dan tertanya-tanya,
apakah silap dari semua yang telah kami berikan kepada anak-anak dahulunya?”
PERIBADI CONTOH
Dalam hati saya membenarkan kata-katanya. Betapa banyak persoalan
berkisar anak-anak hari ini yang memerlukan mata fikir dan mata hati bagi
menemukan jawapannya. Sikap baik anak-anak, mendengar kata dan sangat
menyejukkan hati ketika kecil mereka, tidak beerti ia akan kekal begitu
menjelang usia dewasa mereka. Justeru, persoalan inilah yang perlu ditangani
dan difikirkan bersama.
Oleh itu, pada saya, bila memperkatakan tentang remaja, perkara pertama
yang sangat penting untuk diambil peduli
adalah, orang dewasa perlu 'melihat' dirinya sendiri, bahawa mereka adalah umpama
cermin kepada individu yang masih muda di bawah mereka.
Bagaimana mereka berperilaku, refleksi dari tindakan mereka akan
terpantul kepada anak-anak yang melihat dan memperhati.
Contohnya, bagaimana ibu bapa memanfaatkan ruang bersosial di
internet seperti FB, YM atau seumpamanya bersama lawan gender dalam
keadaan tidak mengawal kata-kata, pertanyaan yang meleret-leret tanpa keperluan,
maka keadaan yang sama juga boleh berlaku di antara anak-anak dan rakan-rakan
mereka atau mungkin mereka menjadi lebih jauh lagi dari apa yang dilakukan oleh
ibu bapa.
Menyebut tentang ini, saya teringat kepada pengalaman sendiri ketika
berusia awal 20-an dan masih menuntut di sebuah IPTA tempatan. Imbauan masa
lalu yang saya rasakan baik untuk diteladani oleh orang dewasa terutama mereka
bergelar ibu bapa.
Ketika itu, saya menelefon seorang tuan guru yang alim serta amat
saya hormati cara pergaulannya dan penghormatannya kepada kaum wanita. Sebaik
mengangkat gagang telefon, beliau terus bertanya apakah keperluan saya
menghubunginya. Bila saya melontarkan persoalan, beliau terus menjawab
pertanyaan itu tanpa bertanya lebih lanjut seperti pertanyaan : “Saudari
belajar di mana, jurusan apa,” dan seumpamanya . Sebaliknya, sebaik sahaja selesai
memberikan jawapan, beliau terus meminta maaf, memberi salam dan lantas mengakhiri
perbualan.
Pada saya, inilah contoh yang amat tepat agar pergaulan antara dua
jantina dapat dijaga sebaik-baiknya. Walaupun jarak usia antara keduanya
mungkin jauh, namun syaitan tidak memandang itu semua. Asal saja ada ruang,
fitnah yang merosakkan boleh saja mengetuk jendela rasa.
Amanah dalam menjaga batas perhubungan, sama ada di hadapan orang
lain atau ketika bersendirian inilah yang menjadi ujian semua orang baik
seseorang itu bergelar agamawan terkenal sekalipun.
Seorang suami atau isteri, boleh saja menahan diri atau mengawal perbualannya
ketika berchatting bersama seseorang lain berbeza jantina sewaktu di
rumah atau ketika pasangan dan anak-anak ada bersamanya, akan tetapi bila
bersendirian di pejabat atau ketika berjauhan dari pasangan dan anak-anak, maka
kawalan itu sudah longgar, lantaran itu tidak sedikit yang tersasar dari batas
dan sempadan pergaulan yang disyari’atkan.
Situasi sebegini hakikatnya menuntut kejujuran seseorang kepada
ALLAH Subhanahu wa ta’ala dalam mengukur sejauhmana urusannya itu satu
keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung kepada
sejauh mana keimanannya kepada Yang Maha Esa. Jika muraqabatillah
seseorang itu kuat ( yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan ALLAH ), maka itu
yg akan menjadi pengawal dirinya. Jika tidak maka kemungkinan besar, dia hanyut
bersama dengan teknologi moden ini.
POSESIF DAN EGOIS
“Satu kemungkinan lain adalah, kesan sebegitu datang dari
sikap negatif ibu bapa sendiri dalam
mendidik. Setiap ibu bapa menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Tidak ada
yang salah dengan pernyataan tersebut. Namun, tidak sedikit ibu bapa
menggunakan alasan tersebut untuk bersikap posesif dan egois terhadap anak.”
Saya memberikan pandangan selanjutnya.
“Maksud ustazah?” Soalnya penuh perhatian. Sambil itu, air bandung
cincau yang dipesannya dihirup penuh sopan. Ada sedikit kelegaan pada wajahnya
setelah kami berbalas pandangan tentang pengaruh gajet-gajet moden dalam
pembesaran anak-anak tadi.
“Posesif’ iaitu ibu bapa merasakan ‘pemilikan’ mereka pada diri
anak-anak menjadikan mereka boleh memperlakukan anak-anak itu sesuai dengan
keinginan mereka sebagai ibu bapa. Lantas, anak-anak seakan dipaksa mengikut
kehendak mereka. Semua perilaku dan sifat anak haruslah sesuai dengan keinginan
ibu bapa. Semua obsesi orang tua dilimpahkan kepada anak-anak sehingga
jika lain yang ditunjukkan maka mereka terus melontarkan kata-kata yang
membandingkan diri mereka sendiri dengan anak-anak ketika mereka berada pada
usia yang sama. Inilah ego namanya. Membuat perbandingan dek sedikit kesilapan
anak-anak tanpa lebih dulu melihat sisi kebaikan mereka yang pernah dan sedang
mereka lakukan.” Saya berusaha menjelaskan. Kelihatan dia termenung, bagai
mengingat-ingat sesuatu.
“Terasa macam saya pernah buat pula apa yang ustazah sebutkan tu.
Saya dulu ketika bersekolah menengah dan rendah, boleh dikatakan antara pelajar
cemerlang juga. Jadi, bila melihat perkembangan pelajaran anak-anak yang kurang
berprestasi saya selalu mengatakan begini:
“Kenapalah anak-anak mak tidak
seperti mak dulu; walaupun susah, tapi selalu sahaja beroleh nombor satu di
sekolah.” Dia mengakui khilaf diri.
PILIHAN DALAM PANDUAN
“Benar kak. Kita sebagai ibu bapa, selalu tidak menyedari hal ini. Terlalu
egois jika ibu bapa boleh bertindak sewenangnya terhadap anak-anak. Bukankah mereka
juga adalah manusia yang memiliki perasaan dan keinginan sendiri.” Saya
menambah. Dia membalas dengan anggukan kepala.
“Jadi, sepatutnya apa yang ibu bapa boleh lakukan, Ustazah? “ Buat
kesekian kalinya, dia bertanya.
“Saya berpandangan, adalah lebih bijak jika ibu bapa mengarahkan
dan membina anaknya sesuai minat dan kecenderungan mereka. Akan tetapi, ini
bukan bererti ibu bapa menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada anak-anak tanpa
memberi panduan atau mengabaikan aspek lain di luar minat dan kecenderungan
tersebut. Sebaliknya, manfaatkan minat itu sebagai sarana belajar yang membantu
untuk mengembangkan sesuatu aspek yang kurang pada diri anak. Contohnya, jika
seorang anak suka menyanyi tetapi kurang mahir membaca al Quran, maka ibu bapa
boleh menggunakan teknik berlagu untuk mengembangkan keterampilan dan minat si
anak membaca al Quran melalui pengenalan huruf dan hukum hakam berkait membaca
kitab suci itu. Demikian seterusnya bagi kecenderungan lain.” Saya melontarkan
pandangan.
ANAKMU BUKAN MILIKMU…
Saya menginsafi, berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan
suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya mahu memberi
nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan.
Namun, tanpa sedar mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan
membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.
Ironinya, buah dari sikap posesif dan egois ibu bapa hanya akan
menghancurkan masa depan anak-anak tercinta. Apa yang dibimbangkan, anak-anak
hakikatnya menjadi baik dalam terpaksa akibat tidak punya pilihan, impian dan
kebebasan.
Justeru, hanya sikap
bijaksana yang dapat menyelamatkan mereka dari merasa dipaksa dan terpaksa.
Biarkan anak-anak meneroka dunia, dan dalam masa yang sama,
iringkan dengan peringatan dan pesan ke arah kebaikan. Walau nantinya,
anak-anak melakukan kesilapan, tetapi silap ketika dalam kawalan ibu bapa lebih
mudah untuk diperbetulkan agar kembali ke landasan kebenaran.
Hakikatnya, anak-anak bukan milik mutlak ibu bapa.
Mereka tidak akan selamanya berada di keliling ibu bapa. Sampai
saatnya mereka akan lepas pergi. Berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup
mereka sendiri.
Sungguhpun, seorang anak memang terlahir di dunia melalui mereka
tapi usah lupa bahwa seorang anak adalah titipan sekaligus ujian dari ALLAH
Subhanahu wa ta’ala yang harus dijaga, dibina dan dibimbing dengan penuh rasa bertanggungjawab
dan cinta.
Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud :
“Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai
cubaan dan sesungguhnya di sisi ALLAH-lah pahala yang besar.”
( Surah Al Anfaal 8:28)
Justeru, temukan cinta antara ibu bapa dan anak-anak dengan saling
memahami, komunikasi yang beerti dan berdoa ke hadrat ILAHI. Semoga, sikap baik
yang ditunjukkan anak-anak sewaktu membesar bukanlah kerana terpaksa bagi
memenuhi selera ibu bapa, tetapi sebaliknya ia adalah pilihan mereka sendiri;
datang dari hati yang mahu menjadi muslim mukmin sejati.
Dengan ini, walau di mana sahaja mereka berada kelak, walau suasana
sekitar ‘gelap gelita’ dan rosak, anak-anak yang memilih untuk menjadi baik ini
bakal menjadi ‘cahaya’ yang menebarkan kebenaran seterusnya memulih suasana ke
arah yang diredai-NYA, insya ALLAH.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI
Jumpa lagi, in shaa ALLAH.
Comments
Alhamdulillah kak ina sihat, baby pun dah besar, setahun lebih dah ;))
In shaa ALLAH, moga ada izin-NYA untuk kita berjumpa suatu masa nanti, ameen.