5 May 2014

MASIH ADAKAH PERTEMUAN

“Kita duduk dulu ye. Lepas ni, baru baca al Quran, “ pinta saya  usai solat Maghrib berjemaah bersama anak-anak. Setelah beberapa malam dihambat beberapa urusan si kecil yang kurang sihat, saya ingin mengambil luang waktu yang ada malam ini untuk memberikan sedikit tazkirah buat peringatan bersama anak-anak tercinta.

Kak ngah duduk bersebelahan Solehah, kak long pula selesa berada di tengah-tengah antara dua orang adiknya, Solehah di sebelah kiri dan Khalil di sebelah kanan, sementara saya mengambil tempat di sebelah kanan Khalil sambil memangku si kecil Maryam. Sambil menatap seorang demi seorang wajah anak-anak yang dikasihi, saya menarik nafas bagi memulakan mukadimah. Pandangan dari setiap biji mata dari wajah-wajah indah di mata saya ini, bersilihganti menerjah ruang hati seorang ummi.

“Kak ngah sayang Solehah?” Saya memulakan sesi dengan satu soalan mudah.

Of course, ummi..” Ringkas jawapan kak ngah dengan sedikit ketawa kecil menghiasi. Solehah di sebelah hanya tersenyum malu-malu.

“Solehah pula, sayang kak long tak?”Kali ini giliran Solehah dilontar pertanyaan serupa. Sebagaimana biasa, ‘si bongsu tak jadi’ ini hanya menganggukkan kepala dengan senyuman manisnya. Sesekali dia menjeling kak long yang sengaja melihat ‘tajam’ ke arahnya. Acah-acah…

“Kak long, sayang tak Khalil?” Saya terus bersoaljawab dengan topik yang sama.

 “Mestilah, ummi..” kak long menjawab dengan sedikit kerutan di dahi. Mungkin tertanya-tanya mengapa tiada soalan lain yang dilontarkan kepadanya.  

“Khalil? Sayang ummi?” Khalil yang sedari tadi hanya menanti giliran, pantas memberikan senyuman lebar. Banyak kali kepalanya dianggukkan sehingga mencetus ketawa kami semua.

“Ummi pun sayang semua anak-anak ummi; kak ngah, Solehah, kak long, Khalil dan Maryam. Opss, ummi sayang ayah juga.” Saya berkata tanpa disoal sesiapa sebagai menamatkan rantaian pertanyaan pertama. Tersenyum manis semuanya mendengar bicara ummi mereka; walau entah kali ke berapa ayat yang sama saya ulang sejak mereka kecil hingga usia mereka kini.


KEJUTAN
Sememangnya tajuk yang ingin saya bawa kepada anak-anak malam ini, agak berat. Sesuatu yang ada kaitan dengan hari akhirat, tempoh di mana tiada lagi bicara ‘kasih sayang’ antara keluarga dan sanak saudara. Setiap orang membawa diri masing-masing, hanya sibuk memikirkan nasib diri di hadapan pengadilan ILAHI.

Betapa kerap terbayang suasana hingar bingar itu. Dan acapkali, airmata ini tumpah mengenangkan diri ini yang ‘tidak lagi akan peduli’ pada anak-anak ketika itu.  Bertambah pilu tatkala mentadabbur firman-NYA ini :

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : “Orang-orang yang saling mencintai, pada hari itu (kiamat) sebahagian mereka menjadi musuh bagi sebahagian lainnya, kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Az-Zukhruf: 67)
Saya menginsafi, sesungguhnya Yaumul Mahsyar kelak bukan sekadar tempat perhimpunan seluruh umat manusia untuk diadili segala amalan mereka di dunia, tetapi lebih dari itu ia merupakan ‘daerah’ penuh kejutan yang tidak terjangka.

Ternyata insan yang dahulunya dimesrai, dikasihi dan dicintai, adalah musuh yang melukakan hati. Sebaliknya, insan yang dipandang remeh tidak menguntungkan, rupanya selalu mendoakan dalam sunyi.

Betapa dosa yang selalu menghambat dan menghenyak untuk bertaubat tanpa henti,  ternyata paling diampuni. Banyak pula  amal-amal kecil yang dipandang sebelah mata, rupa-rupanya mampu menyelamatkan dari seksa neraka.

Banyak kata-kata dan ucapan bibir yang disangka tidak apa-apa, ternyata mengundang dosa mencelaka.  Dan betapa banyak amal yang dibangga-bangga pelakunya hingga disangka akan membawa ke syurga, ternyata hanya ‘debu-debu bertebaran’, tidak berguna.

SEANDAINYA….
“Apa perasaan kak ngah, Solehah, kak long dan Khalil, seandainya kita semua tak dapat bersama-sama di syurga?” Soalan kedua ini melirihkan jiwa menuturkannya, namun tetap saya luahkan demi memberi bayangan kepada anak-anak tercinta.

“Tak bestlah...” Kak long dan kak ngah menjawab serentak.Terserlah riak sedih pada wajah kedua-duanya.

“Solehah nak ummi ada..” Celah Solehah dengan wajah kurang ceria. Khalil juga agak serius, tidak sebagaimana soalan pertama tadi. Bagai ada genangan air di kolam matanya…kak long dan kak ngah juga sudah mulai sayu.

Melihat itu saya sebak. Namun, saya kuatkan hati untuk meneruskan bicara.

“Hmmm…tahu tak anak-anak semua, walaupun kita semua sayang menyayangi di dunia ini, tapi di akhirat nanti, kita mungkin menjadi musuh?” Agak tegas nada suara saya.

Soalan ketiga ini menjadikan wajah anak-anak terkejut. Kak long memandang kak ngah, sementara Solehah maju ke hadapan saya dan bertanya :

“Musuh tu apa, ummi?”

“Musuh tu, orang yang tak sayang kita tapi benci…” Saya cuba menjawab dengan susunan dan pilihan perkataan yang diharapkan mampu Solehah fahami.

“Kenapa pula macam tu?” Soalan Solehah bertali. Terlihat riak terpinga-pinga pada air mukanya.

“Sebab, perasaan sayang di dunia ni bukan kerana ALLAH dan untuk mendapat reda-NYA, tapi semua kerana dunia sahaja. ” Saya cuba menjelaskan.

Teringat penjelasan ayat 67, Surah az Zukhruf tadi daripada Syaikh Abdul Rahman as-Sa’di rahimahullah dalam kitab tafsirnya, Taisir al karim ar Rahman :

“Dan sesungguhnya pada hari itu, yakni pada hari kiamat, orang-orang yang saling mencintai, iaitu orang-orang yang kecintaan mereka di bangun atas kekafiran, pendustaan dan kemaksiatan kepada ALLAH; maka sebahagian mereka menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Hal itu karena cinta kasih mereka di dunia ini bukan kerana ALLAH, sehingga berbaliklah menjadi permusuhan pada hari kiamat. Kecuali orang-orang yang bertakwa (menjaga dan melindungi diri) dari kesyirikan dan kemaksiatan, maka kecintaan mereka akan kekal dan berkesinambungan disebabkan kekalnya ALLAH yang menjadi tujuan kecintaan mereka.”

DEMI BERSAMA….
“Kalau macam tu, bagaimana nak pastikan kita boleh bersama di syurga nanti ummi?” Kali ini kak long pula menyoal saya dan soalannya itu amat menggembirakan saya, sementara adik-adiknya setia menanti jawapan dan penerangan daripada saya.

“ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sebut dalam al Quran, syarat pertama untuk bersama ialah, kita mesti jadi orang beriman.” Ulas saya mengingatkan firman-NYA :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ

Maksudnya :“Dan orang-orang yang beriman, sedangkan anak keturunan mereka mengikutinya dengan keimanan, maka KAMI susulkan anak keturunan itu kepada mereka. Dan KAMI tidak mengurangi sedikit pun dari amalan mereka.” ( Surah at-Thur ayat 21 )

“Inilah salah satu khabar gembira bagi orang-orang dan keluarga yang beriman. Walaupun, mereka terpisah di dunia kerana kematian, namun jika ada iman, mereka akan kembali bersama di akhirat dalam keadaan yang lebih baik.” Tambah saya dengan wajah ceria. Terasa indah bila menyebutkan tentang harapan yang ALLAH hamparkan dari keimanan kepada-NYA.

“Tapi kena buat syarat kedua pula..” Saya tersenyum manis. Tanpa menunggu lebih lama, penjelasan saya bertali apabila melihat anak-anak mendengar dengan penuh bersemangat.

“Apa lagi ummi?” Kak ngah mencelah. Nadanya juga bertenaga. Duduk yang tadi senget diluruskan semula.
“Lepas beriman, kena buat pula amalan orang-orang beriman. Orang beriman buat yang baik-baik je. Dan amalan yang paling atas sekali ialah solat, sebab solatlah amalan pertama yang akan ALLAH nilai di akhirat nanti. Kalau malas, solat main-main…susahlah nak jumpa kat syurga nanti. Betul tak Khalil dan Solehah?” Usik saya di hujung kata. Tersengih-sengih Khalil dan Solehah menyambut usikan saya.

KERANA DIA
“Dan akhir sekali, bila buat amal-amal baik tu, hati kita semua kena sama. Kalau lain-lain, macam mana nak bersama kat akhirat nanti, dalam syurga yang best tu.” Sekali lagi saya menjentik perasaan INGIN TAHU anak-anak di depan mata.

“Macam mana tu ummi? Hati kena sama?” Kak ngah bertanya kali kedua. Berkerut dahinya; pening barangkali memikirkan kata-kata saya tadi.

“Rasulullah bersabda :

يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى نِيَّاتهِمْ

Maksudnya : "Sesungguhnya manusia dikumpulkan (di Padang Mahsyar) berdasarkan niat-niat mereka." ( Hadis riwayat Ibnu Majah )


Walaupun kita sama-sama buat amalan baik tapi kalau niat lain-lain, contohnya, kak ngah baca Quran sebab nak orang puji, kak long pula baca quran sebab nak disayangi ayah dan ummi, Khalil baca Quran sebab takut kena marah, solehah seorang je yang baca Quran sebab ALLAH suka, macam mana niat yang berbeza-beza tu boleh mengumpulkan pelakunya dalam kumpulan yang sama? Betul tak? Orang yang buat kerana ALLAH, dia akan berkumpul bersama orang lain yang buat kerana ALLAH. Orang yang buat kerana manusia dan dunia, akan berkumpul dengan kumpulan yang sama niat dengan mereka jugalah. Jadi, kalau nak bersama-sama di syurga nanti, kena buat kerana ALLAH. Itulah ikhlas.” Saya menjelaskan.

“Jadi, kalau nak berjumpa semula semuanya di syurga nanti, kita kena jadi orang beriman, jaga solat dan buat banyak kebaikan dan lakukan semua itu kerana ALLAH. In shaa ALLAH, dengan rahmat ALLAH, ummi, kak ngah, Solehah, kak long, Khalil, Maryam dan ayah juga, pasti dapat berjumpa semula di syurga, ameen.” Saya mengakhiri sambil menatap penuh makna wajah-wajah anak-anak yang amat saya kasihi.

MASIH ADAKAH PERTEMUAN?
Saya meyakini, soalan ini ‘mampu’ kita jawab dengan bertanya ke dalam diri sendiri. Lantaran, kita maklumi, bahawa dunia ini hanya sementara, maka apa sahaja yang pernah wujud di dalamnya termasuk hubungan kasih sayang yang terbina antara keluarga, perkahwinan dan lain-lain juga tidak kekal sifatnya.

Kecuali, memang ada faktor penyebab yang akan melestarikan hubungan itu sampai ke akhirat sana.
Justeru itu, pada saya, tiada yang dapat menjamin itu semua, melainkan setiap individu perlu menatarapi hubungannya dengan ALLAH, Tuhan Yang Maha Esa.

Insafilah….perumpamaan ikatan yang murni dan akrab antara ‘jiwa’ seorang hamba dan Rabbnya adalah seperti bulan yang tetap bersinar indah kerana tidak pernah meninggalkan langit; juga pesis mawar yag segarnya tidak sirna selagi ia setia berada di tangkai dan pepohonannya..

Kerana, hati yang meninggalkan TUHAN-nya, tidak lain adalah umpama akar yang buruk dan reput. Ia mengeringkan batang, melayukan daun, dan membantutkan buah. Demikianlah iman yang menjauh dari hati; kesannya melemahkan amal bakti, menggugurkan akhlak terpuji, lalu mudah hanyut dengan pujuk rayu iblis yang dikeji.
Jika itu berlaku, mampukah kita menjejak syurgawi? Dan…buat kesekian kalinya, tanyakan persoalan ini ke dalam jiwa, tanpa menghuni syurga, masih adakah pertemuan bersama mereka yang tercinta?

Tepuk dada, tanyalah iman di dada…

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.

7 comments:

CAHAYA HIDUPKU (Nur Hayati) said...

Terima kasih ustazah... amat terkesan sekali dengan entri ini..

afiqah adam malek said...

Salam.Maryam..subhanallah:-)Tahniah ustazah,just dapat tahu perkembangan melalui blog ustazah merely(after quite a long time) coz did'nt sign up for fb. By the way,turut terasa dengan 'aura' kesebakan itu,touching.Jazakillahukhair for great sharing!

Rose Azadir said...

Terima kasih atas perkongsian..anyway Assalamualaikum, sy blogwalking kat sini, jemput singgah ke blog sy http://ibu2ahmad.blogspot.com. Sy follow sini n kalau sudi follow la sy balik yer...

Mar Mansor said...

jatuh hati dengan nukilan ni

fiefi irafizah said...

menarik 'cara' penyampaian untuk menjelaskan kepada anak2..mudah difahami..

salam ukhwah,
blogsenyumansihat.blogspot.com

rosni razak said...

salam nukilan ini byk memberi manfaat dan panduan dlm mendidik roh anak2..terima kasih kak ina teruskan menulis..

umirar said...

Alhamdulillah...jazakillah ustazah..