MASIH ADAKAH PERTEMUAN
“Kita
duduk dulu ye. Lepas ni, baru baca al Quran, “ pinta saya usai solat Maghrib berjemaah bersama
anak-anak. Setelah beberapa malam dihambat beberapa urusan si kecil yang kurang
sihat, saya ingin mengambil luang waktu yang ada malam ini untuk memberikan
sedikit tazkirah buat peringatan bersama anak-anak tercinta.
Kak
ngah duduk bersebelahan Solehah, kak long pula selesa berada di tengah-tengah
antara dua orang adiknya, Solehah di sebelah kiri dan Khalil di sebelah kanan,
sementara saya mengambil tempat di sebelah kanan Khalil sambil memangku si
kecil Maryam. Sambil menatap seorang demi seorang wajah anak-anak yang
dikasihi, saya menarik nafas bagi memulakan mukadimah. Pandangan dari setiap
biji mata dari wajah-wajah indah di mata saya ini, bersilihganti menerjah ruang
hati seorang ummi.
“Kak
ngah sayang Solehah?” Saya memulakan sesi dengan satu soalan mudah.
“Of
course, ummi..” Ringkas jawapan kak ngah dengan sedikit ketawa kecil menghiasi.
Solehah di sebelah hanya tersenyum malu-malu.
“Solehah
pula, sayang kak long tak?”Kali ini giliran Solehah dilontar pertanyaan serupa.
Sebagaimana biasa, ‘si bongsu tak jadi’ ini hanya menganggukkan kepala dengan
senyuman manisnya. Sesekali dia menjeling kak long yang sengaja melihat ‘tajam’
ke arahnya. Acah-acah…
“Kak
long, sayang tak Khalil?” Saya terus bersoaljawab dengan topik yang sama.
“Mestilah, ummi..” kak long menjawab dengan
sedikit kerutan di dahi. Mungkin tertanya-tanya mengapa tiada soalan lain yang
dilontarkan kepadanya.
“Khalil?
Sayang ummi?” Khalil yang sedari tadi hanya menanti giliran, pantas memberikan
senyuman lebar. Banyak kali kepalanya dianggukkan sehingga mencetus ketawa kami
semua.
“Ummi
pun sayang semua anak-anak ummi; kak ngah, Solehah, kak long, Khalil dan
Maryam. Opss, ummi sayang ayah juga.” Saya berkata tanpa disoal sesiapa sebagai
menamatkan rantaian pertanyaan pertama. Tersenyum manis semuanya mendengar
bicara ummi mereka; walau entah kali ke berapa ayat yang sama saya ulang sejak
mereka kecil hingga usia mereka kini.
KEJUTAN
Sememangnya
tajuk yang ingin saya bawa kepada anak-anak malam ini, agak berat. Sesuatu yang
ada kaitan dengan hari akhirat, tempoh di mana tiada lagi bicara ‘kasih sayang’
antara keluarga dan sanak saudara. Setiap orang membawa diri masing-masing,
hanya sibuk memikirkan nasib diri di hadapan pengadilan ILAHI.
Betapa
kerap terbayang suasana hingar bingar itu. Dan acapkali, airmata ini tumpah
mengenangkan diri ini yang ‘tidak lagi akan peduli’ pada anak-anak ketika
itu. Bertambah pilu tatkala mentadabbur
firman-NYA ini :
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا
الْمُتَّقِينَ
Maksudnya
: “Orang-orang yang saling mencintai, pada hari itu (kiamat) sebahagian mereka
menjadi musuh bagi sebahagian lainnya, kecuali orang-orang yang
bertakwa.” (Az-Zukhruf: 67)
Saya
menginsafi, sesungguhnya Yaumul Mahsyar kelak bukan sekadar tempat perhimpunan
seluruh umat manusia untuk diadili segala amalan mereka di dunia, tetapi lebih
dari itu ia merupakan ‘daerah’ penuh kejutan yang tidak terjangka.
Ternyata
insan yang dahulunya dimesrai, dikasihi dan dicintai, adalah musuh yang
melukakan hati. Sebaliknya, insan yang dipandang remeh tidak menguntungkan,
rupanya selalu mendoakan dalam sunyi.
Betapa
dosa yang selalu menghambat dan menghenyak untuk bertaubat tanpa henti, ternyata paling diampuni. Banyak pula amal-amal kecil yang dipandang sebelah mata,
rupa-rupanya mampu menyelamatkan dari seksa neraka.
Banyak
kata-kata dan ucapan bibir yang disangka tidak apa-apa, ternyata mengundang
dosa mencelaka. Dan betapa banyak amal
yang dibangga-bangga pelakunya hingga disangka akan membawa ke syurga, ternyata
hanya ‘debu-debu bertebaran’, tidak berguna.
SEANDAINYA….
“Apa
perasaan kak ngah, Solehah, kak long dan Khalil, seandainya kita semua tak dapat
bersama-sama di syurga?” Soalan kedua ini melirihkan jiwa menuturkannya, namun
tetap saya luahkan demi memberi bayangan kepada anak-anak tercinta.
“Tak
bestlah...” Kak long dan kak ngah menjawab serentak.Terserlah riak sedih pada
wajah kedua-duanya.
“Solehah
nak ummi ada..” Celah Solehah dengan wajah kurang ceria. Khalil juga agak
serius, tidak sebagaimana soalan pertama tadi. Bagai ada genangan air di kolam
matanya…kak long dan kak ngah juga sudah mulai sayu.
Melihat
itu saya sebak. Namun, saya kuatkan hati untuk meneruskan bicara.
“Hmmm…tahu
tak anak-anak semua, walaupun kita semua sayang menyayangi di dunia ini, tapi
di akhirat nanti, kita mungkin menjadi musuh?” Agak tegas nada suara saya.
Soalan
ketiga ini menjadikan wajah anak-anak terkejut. Kak long memandang kak ngah,
sementara Solehah maju ke hadapan saya dan bertanya :
“Musuh
tu apa, ummi?”
“Musuh
tu, orang yang tak sayang kita tapi benci…” Saya cuba menjawab dengan susunan
dan pilihan perkataan yang diharapkan mampu Solehah fahami.
“Kenapa
pula macam tu?” Soalan Solehah bertali. Terlihat riak terpinga-pinga pada air
mukanya.
“Sebab,
perasaan sayang di dunia ni bukan kerana ALLAH dan untuk mendapat reda-NYA,
tapi semua kerana dunia sahaja. ” Saya cuba menjelaskan.
Teringat
penjelasan ayat 67, Surah az Zukhruf tadi daripada Syaikh Abdul Rahman as-Sa’di
rahimahullah dalam kitab tafsirnya, Taisir al karim ar Rahman :
“Dan
sesungguhnya pada hari itu, yakni pada hari kiamat, orang-orang yang saling mencintai,
iaitu orang-orang yang kecintaan mereka di bangun atas kekafiran, pendustaan
dan kemaksiatan kepada ALLAH; maka sebahagian mereka menjadi musuh bagi sebahagian
yang lain. Hal itu karena cinta kasih mereka di dunia ini bukan kerana ALLAH,
sehingga berbaliklah menjadi permusuhan pada hari kiamat. Kecuali orang-orang
yang bertakwa (menjaga dan melindungi diri) dari kesyirikan dan kemaksiatan,
maka kecintaan mereka akan kekal dan berkesinambungan disebabkan kekalnya ALLAH
yang menjadi tujuan kecintaan mereka.”
DEMI
BERSAMA….
“Kalau
macam tu, bagaimana nak pastikan kita boleh bersama di syurga nanti ummi?” Kali
ini kak long pula menyoal saya dan soalannya itu amat menggembirakan saya,
sementara adik-adiknya setia menanti jawapan dan penerangan daripada saya.
“ALLAH
Subhanahu wa Ta’ala sebut dalam al Quran, syarat pertama untuk bersama ialah,
kita mesti jadi orang beriman.” Ulas saya mengingatkan firman-NYA :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ
أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ
شَيْءٍ
Maksudnya
:“Dan orang-orang yang beriman, sedangkan anak keturunan mereka mengikutinya
dengan keimanan, maka KAMI susulkan anak keturunan itu kepada mereka. Dan KAMI tidak
mengurangi sedikit pun dari amalan mereka.” ( Surah at-Thur ayat 21 )
“Inilah
salah satu khabar gembira bagi orang-orang dan keluarga yang beriman. Walaupun,
mereka terpisah di dunia kerana kematian, namun jika ada iman, mereka akan kembali
bersama di akhirat dalam keadaan yang lebih baik.” Tambah saya dengan wajah
ceria. Terasa indah bila menyebutkan tentang harapan yang ALLAH hamparkan dari
keimanan kepada-NYA.
“Tapi
kena buat syarat kedua pula..” Saya tersenyum manis. Tanpa menunggu lebih lama,
penjelasan saya bertali apabila melihat anak-anak mendengar dengan penuh
bersemangat.
“Apa
lagi ummi?” Kak ngah mencelah. Nadanya juga bertenaga. Duduk yang tadi senget
diluruskan semula.
“Lepas
beriman, kena buat pula amalan orang-orang beriman. Orang beriman buat yang baik-baik
je. Dan amalan yang paling atas sekali ialah solat, sebab solatlah amalan
pertama yang akan ALLAH nilai di akhirat nanti. Kalau malas, solat main-main…susahlah
nak jumpa kat syurga nanti. Betul tak Khalil dan Solehah?” Usik saya di hujung
kata. Tersengih-sengih Khalil dan Solehah menyambut usikan saya.
KERANA
DIA
“Dan
akhir sekali, bila buat amal-amal baik tu, hati kita semua kena sama. Kalau
lain-lain, macam mana nak bersama kat akhirat nanti, dalam syurga yang best
tu.” Sekali lagi saya menjentik perasaan INGIN TAHU anak-anak di depan mata.
“Macam
mana tu ummi? Hati kena sama?” Kak ngah bertanya kali kedua. Berkerut dahinya;
pening barangkali memikirkan kata-kata saya tadi.
“Rasulullah
bersabda :
يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى نِيَّاتهِمْ
Maksudnya
: "Sesungguhnya manusia dikumpulkan (di Padang Mahsyar) berdasarkan
niat-niat mereka." ( Hadis riwayat Ibnu Majah )
Walaupun
kita sama-sama buat amalan baik tapi kalau niat lain-lain, contohnya, kak ngah
baca Quran sebab nak orang puji, kak long pula baca quran sebab nak disayangi
ayah dan ummi, Khalil baca Quran sebab takut kena marah, solehah seorang je
yang baca Quran sebab ALLAH suka, macam mana niat yang berbeza-beza tu boleh
mengumpulkan pelakunya dalam kumpulan yang sama? Betul tak? Orang yang buat
kerana ALLAH, dia akan berkumpul bersama orang lain yang buat kerana ALLAH. Orang
yang buat kerana manusia dan dunia, akan berkumpul dengan kumpulan yang sama
niat dengan mereka jugalah. Jadi, kalau nak bersama-sama di syurga nanti, kena
buat kerana ALLAH. Itulah ikhlas.” Saya menjelaskan.
“Jadi,
kalau nak berjumpa semula semuanya di syurga nanti, kita kena jadi orang
beriman, jaga solat dan buat banyak kebaikan dan lakukan semua itu kerana
ALLAH. In shaa ALLAH, dengan rahmat ALLAH, ummi, kak ngah, Solehah, kak long,
Khalil, Maryam dan ayah juga, pasti dapat berjumpa semula di syurga, ameen.”
Saya mengakhiri sambil menatap penuh makna wajah-wajah anak-anak yang amat saya
kasihi.
MASIH
ADAKAH PERTEMUAN?
Saya
meyakini, soalan ini ‘mampu’ kita jawab dengan bertanya ke dalam diri sendiri. Lantaran,
kita maklumi, bahawa dunia ini hanya sementara, maka apa sahaja yang pernah
wujud di dalamnya termasuk hubungan kasih sayang yang terbina antara keluarga,
perkahwinan dan lain-lain juga tidak kekal sifatnya.
Kecuali,
memang ada faktor penyebab yang akan melestarikan hubungan itu sampai ke
akhirat sana.
Justeru
itu, pada saya, tiada yang dapat menjamin itu semua, melainkan setiap individu
perlu menatarapi hubungannya dengan ALLAH, Tuhan Yang Maha Esa.
Insafilah….perumpamaan
ikatan yang murni dan akrab antara ‘jiwa’ seorang hamba dan Rabbnya adalah
seperti bulan yang tetap bersinar indah kerana tidak pernah meninggalkan
langit; juga pesis mawar yag segarnya tidak sirna selagi ia setia berada di tangkai
dan pepohonannya..
Kerana,
hati yang meninggalkan TUHAN-nya, tidak lain adalah umpama akar yang buruk dan
reput. Ia mengeringkan batang, melayukan daun, dan membantutkan buah.
Demikianlah iman yang menjauh dari hati; kesannya melemahkan amal bakti, menggugurkan
akhlak terpuji, lalu mudah hanyut dengan pujuk rayu iblis yang dikeji.
Jika
itu berlaku, mampukah kita menjejak syurgawi? Dan…buat kesekian kalinya,
tanyakan persoalan ini ke dalam jiwa, tanpa menghuni syurga, masih adakah
pertemuan bersama mereka yang tercinta?
Tepuk
dada, tanyalah iman di dada…
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.
Comments
salam ukhwah,
blogsenyumansihat.blogspot.com