12 May 2014

BUKAN SEMATA SAYANG

“Ummi, letih tak jaga adik?" Begitu soalan Solehah tatkala saya sedang sibuk memakaikan pakaian buat si kecil.

Saya menoleh dan menghadiahkannya senyuman manis. Namun, Solehah tidak membalas senyuman saya, bahkan wajahnya serius memandang tepat ke arah adiknya yang sedang dipakaikan lampin pakai buang. Melihat adiknya tertawa barulah Solehah menguntum senyuman di bibirnya.

“Kenapa kakak Solehah tanya macam tu?” Saya pula melontar soalan sementara pertanyaannya tadi saya biarkan dahulu tanpa jawapan.   

“Sebab Solehah rasa macam susah je. Kena susukan, mandikan, pakai diaper, adik menangis….” Luah Solehah. Jujur. Senarai ‘aktiviti’ seorang bayi yang semakin dimakluminya setelah hampir lima bulan bergelar kakak.

Mendengar itu, sekali lagi saya tersenyum. Kali ini lebih lebar.

Bicara tulus Solehah mengimbas kembali kenangan saya masa-masa lalu ketika persoalan yang sama pernah bermain di fikiran. Terlalu banyak tandatanya yang memerlukan jawapan tetapi umur yang masih mentah belum memungkinkan saya untuk memahami setiap keadaan.

Namun, setelah berada di peringkat umur sebegini, menggalas pula peranan sebagai isteri dan ummi, maka saya mulai memahami, menginsafi dan berusaha mengupayakan diri terhadap satu demi satu situasi hidup yang perjalanannya tidak selalu terbentang permaidani merah. Akan tetapi walau sesukar apapun tribulasi yang merentang, cabaran itu mampu ditatang dengan memelihara segala nikmat yang dikurnia oleh-NYA. 

TANGGUNGJAWAB

Pada saya, sewajarnya tiada istilah letih dalam memelihara nikmat yang diberikan oleh ALLAH lebih-lebih lagi nikmat yang saban waktu saya sendiri meminta kepada-NYA seperti nikmat berkeluarga, mendapat suami yang baik, anak-anak penyeri rumahtangga dan seumpamanya.

Bak kata pepatah Melayu lama : Orang memberi, kita berbahasa.

Sedangkan pemberian manusia perlu dihargai, inikan pula anugerah dari Yang Maha Kuasa. Menghargai dengan cara memberi layanan dan khidmat bakti itu dilaksanakan  bukan sekadar untuk kebaikan diri sendiri, tetapi juga untuk kebahagiaan insan-insan yang dikasihi;  menginsafi bahawa pada tiap nikmat ada pertanggungjawabannya, ada hisabnya; walau sekecil apapun kurnia, pasti akan ada pertanyaan dari TUHAN Yang Maha Kaya.

Sabda Junjungan Rasulullah SallaLlahu’alaihi wasallam ini sentiasa tersemat kuat di lipatan jiwa :


Maksudnya : Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggungjawab atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suaminya dan bertanggungjawab atasnya. Seorang ‘khadam’ ( pelayan/hamba) adalah penjaga bagi harta tuannya dan ia bertanggungjawab atasnya. ( Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, hanya melalui sikap melayani, berbakti, ambil peduli dan mengurusi amanah yang telah diberi ILAHI, diharapkan itulah jalan yang mampu meringankan beban jawapan kelak di pengadilan. Lantaran, ketika di dunia inilah usaha untuk meramaikan insan-insan yang mampu menjadi ‘pembela’ dan bukannya ‘pendakwa’; juga hayat yang masih berbaki inilah merupakan masa bagi memperbanyak bekal bukan beban untuk kehidupan akhirat yang kekal.

BARAKAH
Sungguhpun begitu, ada ketikanya, dalam jiwa seorang manusia tidak dapat tidak terlintas untuk memikir dan mencongak-congak ganjaran atas segala penat lelahnya.

Justeru itu, memberi, berbakti dan melayani tanpa mengharapkan balasan walau selelah apapun usaha yang dilakukan merupakan kayu ukur kemuliaan seorang insan. Masih terngiang di telinga bicara penuh manfaat daripada suami tercinta.

“Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di  dunia"?. 

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan, sebaliknya apa yang diimpikan untuk dunia  hanyalah meraih rezeki yang berkat.” Suami menjelaskan dalam satu sesi ceramah.

“Menurut para ulama berkat atau ‘barakah’ itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Maksudnya : Iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyak, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada ALLAH Azza wa Jalla.

Untuk itu, saya memahami bahawa cara bagaimana keberkatan dalam sesebuah keluarga itu dapat dicapai ialah melalui ikhtiar cinta sesama ahli di dalamnya kerana penghujung kepada setiap inci usaha itu adalah demi mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Apabila keberkatan berlimpah dalam sesebuah rumahtangga, bukan soal kaya atau miskin yang menjadi punca bahagia, bukan juga soal sedikit atau banyak cabaran yang tiba, tetapi soal betapa besarnya jiwa berhadapan semua perkara. Ini kerana, keberkatan melahirkan kepekaan; bagaimana sikap yang benar saat berhadapan ujian, baik ketika hidup diselimuti nikmat lebih-lebih lagi ketika musibah datang menjengah.

Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan, bahawa barakah itu, sejak zaman kenabian lagi, selalu menampilkan keajaiban. Lantaran, sesiapa yang beroleh keberkatan hidup dari ar Rahman, syukurnya berlimpah saat nikmat, dan sabarnya menggunung berhadapan keburukan yang berat.
Kedua-duanya menjadi hasanah yang menutup musibah.

BUKAN SEMATA SAYANG
“Solehah tau kenapa ummi suka buat semua ni untuk adik walaupun penat? Bukan adik kecil ni je, untuk Solehah, abang Khalil, kak long dan kak ngah juga.” Saya kembali bertanya setelah selesai memakaikan baju buat si manja.

“Kenapa?” Solehah menunggu jawapan yang dinanti-nantikannya.

“Sebab ummi sayang Solehah, sayang adik, abang Khalil, kak long dan kak ngah la…” Jawab saya sambil mencuit hidungnya. Solehah tertawa.

Dalam hati, saya berbisik :

“Jangan pernah lelah untuk insan-insan yang disayangi.." itu jawapan sebenar buat diri.

Saya meyakini, baik ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai yang mencintai, bukan semata sayang kesanggupan berpenat lelah itu ini dilakukan sepenuh hati, tetapi kerana melaksanakan tanggungjawab bagi memperoleh keberkatan ILAHI untuk hidup yang sementara ini.

Hanya sahaja, merenung kendali diri, andai jauh dari amal ketaatan, maka jemu terlalu mudah muncul, mengganggu harmoni. Akan tetapi, andai akrab dengan jalan-jalan ketaatan, maka lelah dan penat itu hanya perlu dilayan sebentar sebelum cergas kembali untuk berbakti.

Pada saya, banyak ketikanya, penat dan lelah untuk menyantuni insan-insan lain dalam hidup ini, bukan kerana upaya badan yang sudah sampai ke kemuncak, bak bateri yang sudah kehabisan tenaga; tetapi ia adalah konsekuensi dari tiadanya ketertarikan. 

Mengapa tidak tertarik? Mungkin tiadanya imbalan balik yang baik, yang menarik ? Lalu, putus asa mengambil tempat dalam jiwa untuk meneruskan usaha?
Untuk itu, kembali menghalusi niat dan matlamat. Andai sahaja manusia mengerti ajakan ILAHI ini :

فاستبقوا الخيرات
Maka, berlumba-lumbalah kamu pada mengerjakan kebaikan..

Pasti ramai akan banyak berjaga dan kurang lena, lebih serius dan kurang berlawak jenaka kerana perlumbaan ini bukan pertandingan memperolehi, bahkan ia adalah perlumbaan untuk melayani, siapakah di antara manusia yang paling banyak memberi. 

Masa, wang dan tenaga... Jika untuk diri, dunia ini takkan pernah mencukupi, namun jika untuk ILAHI, yakinlah bahagianya syurga terlalu luas berbanding sempitnya dunia yang fana ini.

Syukur dan sabar, jadikan kedua-duanya 'kenderaan' yang menggerakkan usaha.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


Jumpa lagi, in shaa ALLAH.

5 comments:

Ummu Hanna @ Hana' said...

segarnya membaca coretan kak ina...jazakillah khairan kathira atas peringatan ini...fastabiqul khairat..in shaa allah..jommmm! :)

fyumie said...

rindu ustazah punya blog. Jazakillahukhoir atas perkongsian & update! :D

kaseh hajar said...

betapa cinta illahi itu mengatasi segalanya.menitis air mataku membaca bait2 coretanmu..
This

Nurul Atiqah Baharuddin said...

Terima kasih kak ina,atas peringatan.. :)

cilipadi said...

Alhamdulillah...artikel yang sangat bermakna...Memang saya perhatikan ramai orang di sekeliling saya yang tidak merasa penat dalam mencurah kasih sayang dan menabur bakti terutama golongan ibu termasuk saya.Kita bahagia dengan cara ini.Cuma ada sedikit cacatnya bilamana ada yang mengambil kesempatan dan ada ketikanya sehingga menjejaskan kesihatan sendiri.Saya rasa kita menzalimi diri sendiri dan orang-orang yang disayangi bilamana kita tidak tahu sempadannya...kita jatuh sakit,anak-anak tidak pandai mengurus diri,anak-anak membesar menjadi orang dewasa yang sangat mementingkan diri,dll.Wallahualam.