27 April 2009

BERSYUKUR APA YANG ADA


Mata saya tidak berkedip memandang ke wajah anak sulung kesayangan. Saya menoleh pula ke almari cermin di hadapannya. Menggeleng kepala saya seketika.

“ Muka Kak Long dah putihkan Ummi, “ kata Kak long melihat saya terpaku memandangnya dari tadi.


“ Kenapa pakai bedak banyak sangat ni, sayang ?” saya melemparkan pertanyaan. Hairan dengan lakunya malam ini. Berbedak hingga sampai ke baju dan seluar. Putih bertompok sana sini.


“ Kak Long nak putih macam Kak Ngah, “ Kak Long menjawab sambil mula menunjukkan muka masam. Belas pula saya melihatnya.


Baru saya teringat kata-kata Kak Imah yang berkunjung ke rumah siang tadi. Rupa-rupanya Kak Long terdengar perbualan kami.


“ Husna lain sikit kulitnya dari Najwa ye, Ina” Kak Imah berkata memandang ke arah anak-anak yang sedang leka bermain di halaman rumah.


“ Seorang ikut ayah, seorang ikut Umminya, “ saya menjawab dengan senyum kelat. Bimbang Kak Long mendengar. Pasti dia terasa hati nanti. Sensitif sungguh dia bila orang menyebut warna kulitnya.



WANITA DAN WARNA KULIT

Betapa dunia hari ini. Seorang anak kecil juga sudah tahu menilai kecantikan rupa. Baginya putih itu cantik pada pandangan mata. Fikiran yang dicorak oleh penilaian manusia dewasa kaum wanita terutamanya. Semakin putih, semakin banyak mata yang menoleh.


Ironinya, di luar negara khususnya di UK ini, ramai wanita terutama golongan remaja kulit putih yang baru menginjak dewasa berfikiran sebaliknya. Bagi mereka, berkulit gelap dan hitam lebih seksi dan memikat hati. Justeru mereka berlumba-lumba melakukan rawatan wajah dan seluruh tubuh yang dinamakan ‘sunbed’ untuk menukar warna kulit dari putih ke warna coklat dan agak gelap. Dilaporkan, lebih dari 25% remaja dan golongan muda di UK menunjukkan gejala obses terhadap rawatan berisiko ini.


Saya pernah menonton satu rancangan bualbicara, Trisha Goddard Show yang banyak mengenengahkan masalah masyarakat termasuk remaja yang terlalu obses dengan kecantikan diri. Remaja jemputannya pada rancangan tersebut membelanjakan hampir GBP2000 sebulan hanya untuk rawatan kulit dan tubuh badan. Jumlah ini termasuk kos melakukan rawatan ‘sunbed’ di atas. Baginya, rawatan tersebut menjadikannya kelihatan lebih menarik, lebih sihat dan seterusnya akan mendapat ketenangan diri.


Saya bimbang dan kasihan melihat wanita-wanita yang terlalu mementingkan kecantikan rupa seperti ini. Bimbang kerana jika mereka seorang selebriti, pengaruh yang dibawa bukan sedikit impaknya. Ramai wanita kini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola dalam menentukan gaya dan penampilan mereka. Kasihan, lantaran kecantikan yang mereka tonjolkan adalah cantik palsu yang hanya membawa kepada kemurkaan Allah SWT.


Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit’ ingin sentiasa cantik ini, apa yang telah dimiliki bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang tidak kena dengan kemahuan jiwa. Mereka kurang yakin dengan penampilan biasa-biasa. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka berlumba-lumba melakukan rawatan mencantikkan tubuh dan rupa. Cuma bezanya, yang putih ingin lebih gelap dan gelap pula mengimpikan kulit putih menawan. Cetusan keinginan yang sama walau berlainan warna dan rupa.



SYUKURI KESEMPURNAAN

“ Eee..tengok muka orang tu Ummi, sebelah mukanya tak ada“ Kak Ngah tiba-tiba menjerit. Mungkin terkejut dengan gambar yang dilihatnya di kaca televisyen. Saya dan suami saling berbalas pandang. Kak Long yang asyik menggunakan komputer juga menerpa ke ruang depan mendengar jeritan Kak Ngah.


Ketika itu kami sedang menonton rancangan bercorak dokumentari, The extraordinary People yang memaparkan wajah dan rupa tubuh manusia yang luarbiasa dari yang biasa wujud di dunia ini. Dan kali ini, wajah lelaki di hadapan kami rongak sebelah dengan mata kanan yang lebih kecil, tanpa hidung dan mulut yang rebeh sebahagian besarnya. Wajahnya memang cukup menggerunkan bagi anak kecil yang melihat.


Lelaki itu berasal dari kawasan pedalaman negara China. Kedudukan kampung halamannya yang jauh terpencil menyebabkan dia hidup beberapa tahun dengan wajah yang rosak teruk selepas diserang seekor beruang hutan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital di tengah kotaraya untuk menerima rawatan membaikpulih wajah dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital. Saya, suami dan anak-anak melihat dengan rasa penuh keinsafan.


“Sebab itu kita yang ada wajah yang sempurna ini perlu selalu bersyukur. Allah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Semua sama sahaja. Ada mata, hidung, mulut, telinga dan anggota lainnya. Jadi kena selalu ucap Alhamdulillah,” kata suami saya menasihatkan anak-anak sebaik selesai menonton.


“ Tak boleh banyak komen tentang warna kulit lagi, “ saya mencelah dengan nada bergurau. Mata saya memandang Kak Long yang hanya tersengih malu.


“ Kulit Kak Long putih juga sebab Kak Long ikut Ummi. Cuba Kak Long tengok, samakan ?” saya menambah lalu memegang tangannya di atas tangan saya. Kami berdua memang memiliki warna kulit yang sama. Bibir Kak Long mula mengorak senyum biasa.


“ Tapi kulit Kak Ngah, Khalil, Solehah dan ayah lebih putih dari kita, “ bidas Kak Long masih belum puas hati.


“ Putih lebih sikit je. Tapi muka Kak Long muka ayah, tahu tak. Kak ngah pula lebih hampir dengan muka Ummi. Itu tandanya baik Kak Long mahu pun Kak Ngah, kedua-duanya anak-anak Ummi dan ayah yang tiada bezanya,” kata saya lagi sambil menjeling manja kepada suami. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil mendengar celoteh Ummi mereka.



MENGUBAH CIPTAAN

Tiada yang kurang dari ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Tinggal lagi manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan segala kurniaannya. Selagi belum menutup mata, selama itulah nafsu sentiasa meniupkan keinginan untuk meraih perhatian manusia. Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit hati’ seumpama ini, merasakan kulit yang mulus, masih belum mampu membahagiakan kerana warnanya yang tidak seputih salju. Lalu ribuan ringgit dibelanjakan. Berbagai rawatan kecantikan dicuba tanpa mengira halal dan haram menurut syari’at agama. Semua itu dilakukan hanya untuk mencapai impian memiliki warna kulit idaman hati agar lebih menawan pada pandangan manusia lainnya. Seolah-olah kejadian Allah menjadikan warna kulit yang gelap tidak tepat dan sangat hodoh pada pandangan mata.


Soal mengubah warna kulit bukan soal ranting yang boleh dikesampingkan dari diperkatakan oleh golongan agamawan. Ini kerana ia melibatkan persoalan akidah, lantaran kejahilan diri. Allah SWT menghebahkan tipudaya syaitan menerusi kalamNya yang bermaksud :


Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.’ Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (an-Nisa': ayat 117 - 119)


Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa Islam mengharuskan rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya seperti menggunakan ubat-ubatan untuk membuang jeragat atau jerawat yang merosakkan kulit wajah dan seumpamanya dan bukan dengan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit.



BERSYUKUR APA YANG ADA

Sememangnya wanita sangat teruji dengan warna kulit kurniaan Ilahi. Hanya mereka yang bersyukur sahaja mampu menerima dengan senang hati. Justeru, hati dan minda perlu sentiasa disuburkan dengan sifat redha terhadap apa-apa yang dimiliki hari ini. Gembira terpancar indah menyerikan seri rupa, tanda seseorang itu mensyukuri segala nikmat yang diterimanya. Kesyukuran yang akan lebih melorongkannya untuk terus beribadah, mengabdikan diri sebagai hamba yang Esa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih. (Ibrahim : ayat 7)

Akhirnya, bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar terlafaz oleh lisan, tetapi hidupkan syukur dengan meningkatkan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah. Sedarilah, sesungguhnya DIA telah, sedang dan selalu memberi lebih banyak dari apa yang telah dan mampu kita berikan kepada Nya.

Dan Dia (Allah) Telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi sangat mengingkari (kufur nikmat). (Ibrahim: ayat 34)




Benarlah..benarlah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.




Jumpa lagi, Insya Allah.


2 Jamadil Awwal 1430


27 april 2009

22 April 2009

ANTARA DUA CINTA


“ Ish..banyak tu. Macam-macam warna ada, “ tiba-tiba suara ayah menyapa dari belakang. Saya yang sedang asyik mengemas beg sebelum bertolak pulang ke kampus, menoleh dan melemparkan senyum malu-malu. Faham dengan sapaan ayah..apa yang dimaksudkannya banyak dan berwarna.


“ Mana ada banyak ayah. Tiga helai tudung lama, dua je yang masih baru“ saya menjawab ramah. Saya mengesot sedikit ke tepi dinding untuk memberi ruang ayah duduk bersila.


“ Baru atau lama tak penting. Yang utama tahu apa tujuan dan niat pemakainya. Bimbang tak terjawab nanti di akhirat sana, “ nasihat ayah. Masih sempat ayah menitip sepatah dua peringatan diri, walau nampak remeh tapi besar jika difikir jernih.



WARNA-WARNI DOSA


Entah kali keberapa saya menggeleng kepala begitu. Gelengan kesal berbaur hiba. Kesal kerana yang putih semakin kelam, berubah kelabu warnanya. Hiba dek mengenang masa depan anak-anak yang kian membesar di depan mata. Bagaimana agaknya corak dunia mereka bila dewasa.
Hari ini saya menggeleng kepala lagi. Gambar-gambar yang tertera berwarna-warni memang indah bila nafsu yang beraja di mata. Akan tetapi, jika diguna kacamata Iman dan ilmu yang sedikit dalam dada, bukan itu sepatutnya yang bertakhta.


Di hadapan, saya menatap wajah-wajah model dengan pelbagai gaya digunakan untuk mengiklan pakaian yang dilabel sebagai ‘fesyen Islami’ atau nama lainnya ‘busana muslimah’. Gelengan pertama kerana model-modelnya yang tampil dengan gaya menggoda. Dan gelengan kedua, ketiga dan seterusnya pula kerana bentuk pakaiannya. Lebih-lebih lagi iklan yang dipapar itu kemungkinan besar dibaca oleh ramai wanita di luar sana, baik bekerja mahu pun suri rumahtangga. Akhbar arus perdana, tentu liputannya luas melata.


Kalau dulu ‘fesyen islami’ dipandang sepi, tapi kini munculnya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di siang hari. Banyak dan merata. Bagaimana wanita Islam tidak rambang mata. Koleksi pakaian yang tersedia semuanya diilhamkan dari keindahan peribadi seorang perempuan. Pelbagai elemen disuaipadan, gaya tradisi bercampur ranggi, motif songket disulam butiran manik sebagai penyeri, malah ada yang berkilau dengan taburan mutiara dan bermacam-macam lagi. Dikatakan dengan adanya elemen-elemen tersebut, mampu mengindahkan lagi koleksi busana rebutan wanita masa kini. Tudung pula dinaiktaraf dengan menggunakan nama-nama besar industri muzik dan lakonan tanahair. Semuanya menampilkan tema yang serupa, iaitu walau bertudung tapi tetap mampu tampil mempesona.


Inilah hakikat Muslimah akhir zaman. Menutup aurat (kata mereka), tapi pakaian masih ketat menampakkan susuk indah tubuh mereka. Berpakaian sopan, tapi dengan warna dan perhiasan yang menarik pandangan. Memakai tudung tapi nipis dan jarang, yang panjang dililit pendek hanya melepasi bawah leher. Jelasnya, busana muslimah yang wujud kini sudah banyak disalaherti.



GOLONGAN AGAMA YANG ‘KELIRU’


“ Terkejut akak, Ina…,” kata Cikgu N, sebaik duduk di kerusi sebelah saya. Dia baru sahaja pulang dari majlis penganugerahan khidmat cemerlang di Shah Alam.


“ Kenapa, kak ? terkejut sebab ramai guru yang terima anugerah ke ?,” saya tersenyum membalas sambil cuba berjenaka.


“ Bukan.. akak terkejut sebab ada beberapa orang ustazah yang juga menerima anugerah, tapi gaya..fuh! kalah kami guru-guru biasa. Tudung berjurai-jurai dengan ‘brooch’ dua tiga, berkilat-kilat lagi. Baju agak ketat, bersolek pula lagak selebriti, “ Cikgu N bercerita sambil menggeleng kepala. Saya yang mendengar rasa kecewa dan hampa. Golongan agama yang diharap mampu menjadi contoh, tapi tampil dengan watak sebaliknya. Mereka keliru dan mengelirukan orang lain pula.


Saya sering bertanya sendiri, apa agaknya yang ingin dibuktikan oleh golongan agama seperti ini. Adakah mereka mahu menunjukkan kepada ramai, walaupun mereka bergelar ‘ustazah’ namun mereka boleh mengikut arus fesyen semasa. Atau mereka ingin meningkatkan keyakinan diri untuk berdepan dengan wanita-wanita bergaya agar mudah diajak kepada agama.


Hakikatnya mereka tertipu dengan pesona dunia, juga masih tidak berdaya menolak bisikan nafsu yang beraja dijiwa. Lantas mereka menampilkan diri sebagai golongan agama mengikut acuan dan kehendak diri mereka. Syari’at agama bukan lagi sebagai neraca yang menentukan salah dan benar bagi rupa dan gaya, tetapi hanya sebagai daya penarik untuk lebih dikagumi dan dihormati pada pandangan manusia. Kesampingkan dulu ciri-ciri pakaian yang sebenar dituntut agama. Pedulikan saja kata-kata ulama’ terdahulu tentang pakaian wanita ketika berada di luar rumahtangga. “ Kami golongan agama yang mengikut peredaran masa, kami beragama tapi kami juga boleh menawan mata, “ mungkinkah itu bisikan hati mereka ?


“ Apa pandangan Ina tentang Ustazah begini? “ Cikgu N masih belum berganjak dari tajuk bicara.


“ Itu tandanya mereka juga manusia biasa, “ saya menjawab bukan untuk membela, tapi sebagai membuka mata dan jiwa bahawa seorang manusia walau siapa pun dia, tetap tidak lari dari berbuat dosa.


“ Walaupun begitu, saya tetap berpendapat tidak wajar golongan yang memiliki kefahaman lebih tentang agama ini, berpenampilan jauh dari landasan sebenarnya. Mereka yang diharap menjadi penyuluh dari kegelapan, namun menyebar asap yang makin menjerebukan pandangan.Kerana itu, tidak hairan kalau hari ini semakin ramai wanita bertudung tapi jauh dari akhlak Islam, dari remaja sekolah hingga wanita dewasa. Menutup aurat tapi mulut becok mengata. Menutup aurat tapi berpelukan dengan pasangannya dan berbagai lagi. Akhirnya, jadilah ‘orang yang bertudung’ seperti ini menambah fitnah kepada agama bukan membantu menzahirkan indah dan cantik Islam di mata manusia, “ saya meluahkan sesak di dada.


“Bukan semua golongan agama boleh menghayati sebaiknya ajaran agama. Jadi, ambillah yang baik dari kata-kata dan tindakan mereka dan tinggalkan apa yang bertentangan dengannya. Manusia seperti saya dan mereka yang bergelar ustazah bukan hujjah untuk menentukan benar atau salah sesuatu perkara, tapi kembalilah kepada al Quran dan sunnah. Hanya dua neraca ini yang boleh menyelamatkan manusia dari sesat di dunia, “ saya berhenti memberi ruang kepadanya berfikir.



PERINGATAN DARI DUA NERACA


Sebaik-baik pakaian ialah pakaian taqwa. Justeru, hanya dengan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah, menjadikan seseorang itu redha untuk tunduk kepada setiap suruhan dan laranganNya. Tubuh yang cantik dan indah bukan tiket untuk meraih perhatian manusia, tetapi sebagai ujian ketaatan selaku hambaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud :


Dan tidaklah (patut) bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah tersesat, sesat yang nyata. (Surat Al-Ahzab ayat 36 )


Allah SWT juga menegaskan di dalam ayat lain melalui firmanNya yang bermaksud :


Kemudian sesungguhnya pada hari itu kamu akan ditanya tentang segala ni'mat yang telah dini'mati kamu (di dunia). ( at Takathur ayat 8 )

Kurniaan yang pelbagai dari Allah di dunia ini, harus di salur kepada usaha mengajak manusia agar mengabdikan diri kepadaNya. Biar pun hanya sekadar tudung dan pakaian yang menutup aurat menurut syari’at, mampu mengawasi pemakainya untuk lebih menjaga tingkahlaku dan akhlak selaras dengan pakaian yang dipakai. Kerana, pakaian itu melambangkan imej agama yang mulia, suatu tanggungjawab dan amanah bagi orang-orang yang insaf tentang dosa dan pahala.


Jangan nanti ketika di Mahsyar untuk diadili, pakaian indah biar pun menutup aurat di dunia hanya menjadi saksi kepada rasa angkuh, riak dan ujub dalam diri. Atau, menjadi bukti bahawa pemakainya pernah melakukan dosa ‘mengelirukan‘ manusia lain tentang kewajipan menutup aurat yang sebenarnya, nauuzu billahi min zaalik. Bukan ‘fesyen islami’ atau ‘busana muslimah‘ yang akan membantu di sana, akan tetapi amalan jasad dan rohani yang selari dengan maksud ‘menutup aurat’ yang dituntut Ilahi.


Rasulullah SAW mengingatkan tentang ramainya wanita menghuni neraka. Sekian banyak sabda Baginda, sematkan semuanya di dalam jiwa. Bayangkan sakitnya rambut disentap tangan si anak kecil, tentulah kesakitan ditarik rambut di dalam neraka hingga menggelegak isi kepala tidak terbayang rasanya. Bayangkan pula pedihnya jari terhiris pisau yang tajam bergerigi, tentu tidak terbanding pedihnya badan yang dipotong dengan gunting api neraka.


Di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda bersabda:


"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)



Antara dua cinta, hanya satu yang perlu kita pilih. Cinta dunia yang sering melalai dan meleka atau cinta akhirat yang kekal abadi. Rebutlah cinta kedua kerana pasti di sana adanya syurga, juga di sana bahagia menanti.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

26 Rabi’ulakhir 1430


22 April 2009

17 April 2009

QURRATU'AYUN AYAT CINTA KAMI

Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.

Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :

“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )


WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA

Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.

“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.

“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.

“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.

“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dรญgalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.

Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.

Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.


CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA

Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.

Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.

Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :

1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.

Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.

2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :

"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.

Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.

4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.


QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI

Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.

“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

( al Furqan : 74 )

Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, Insya Allah.

21 Rabi'ulakhir 1430

17 April 2009

13 April 2009

MENGIMPIKAN PUTERI ISLAM SEJATI

Satu persatu anak tangga pentas kami turuni. Di belakang kami, tepukan gemuruh masih kuat kedengaran. Alhamdulillah, kami mengucap syukur kehadrat Nya. Debaran yang sekian lama mengiringi setiap kali sesi latihan, telah berakhir hari ini. Kami telah melakukan sedaya yang terbaik. Moga-moga di samping bertanding dan berusaha meraih kemenangan, kami dapat berdakwah menerusi bait-bait nasyid yang kami lagukan sebentar tadi.

“ Wahai puteri, lihat nun di sana. Islam mu kini ketandusan pembela.
Bersama sendu mengalir lesu, tertunggu-tunggu mujaddid baru.
Kembangnya kini diulit sepi, tiada lagi rijaluddin sejati.
Wahai puteri khidmat mu dinanti.
Ummah derita, engkau pengubatnya. Kelembutanmu penawar sengsara.
Engkau penyeri Islam dan tamannya,
Tanganmu bakal menggoncang dunia. "


“ Tahniah , “ kata ketua hakim pertandingan. Baru sebentar tadi nama kumpulan kami diumumkan sebagai Juara Pertandingan Nasyid Puteri Islam, peringkat negeri Selangor.
“ Kamu semua tak teringin ke nak merakamkan suara? Saya rasa kamu ada potensi besar untuk berjaya sebagai penasyid wanita berkumpulan,” tambah beliau lagi cuba memancing minat.

Kami berpandangan sambil berbalas senyuman. “ Terima kasih Puan. Tak pernah pula kami terfikir hingga sejauh itu. Cukuplah kejayaan yang kami raih ini. Hasrat kami lebih kepada untuk berdakwah, bukan menginginkan kemasyhuran, “ saya membalas selaku ketua kumpulan.

Pendirian kami jelas, berdakwah jangan sampai melampaui batas. Suara yang lunak dan merdu dalam nyanyian,walau dinamakan nasyid sekalipun bukanlah untuk halwa telinga lelaki yang bukan mahram. Prinsip itu kami pegang erat,agar matlamat yang murni tidak dicemari oleh jalan yang bukan halal menurut syari’at.


PRINCESS’ DALAM ISLAM

“ Kak Long dan Kak Ngah suka cerita Cinderella dan Snow White ?” tanya saya di suatu petang. Mereka yang sedang asyik membaca buku cerita ‘fairy tales’ dongeng dahulukala, menoleh sambil mengangguk mengiakan.

“ Kenapa Kak Long dan Kak Ngah suka Cinderella dan Snow White ? “ saya bertanya lagi meminta penjelasan.

“ Sebab mereka ‘princess’. Mereka juga cantik, Ummi “ jawab Kak Long yang memang gemarkan penampilan feminin.

“ Kak Ngah suka sebab mereka baik, “ Kak Ngah pula menegaskan sambil mata menatap kembali buku yang dibaca.

“ Ok, hari ini Ummi nak cerita tentang dua orang ‘princess’ dalam Islam,” kata saya sambil mata memandang tepat ke wajah anak-anak.

“ Dalam Islam pun ada ‘princess’ ke Ummi? “ Kak Long bertanya kehairanan. Mungkin belum pernah dia mendengar istilah tersebut sebelum ini.

“ Mestilah ada. Mereka bukan saja cantik dan baik, tapi lebih dari itu mereka juga solehah dan beriman, “ saya menjawab dengan senyum lebar. “ Ceritanya begini…..


KHADIJAH PENDAMPING SETIA

Hartawan, rupawan, bangsawan, budiman, miliki kecerdikan dan..amat banyak yang boleh diperkatakan tentang ‘princess’ pertama Islam ini, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Segala kesempurnaan seorang wanita idaman jejaka ada padanya. Walaupun begitu, kecantikannya bukan untuk dijaja, akhlaknya luhur sangat dijaga. Tambahan lagi dia seorang wanita berjaya dan berasal pula dari keturunan mulia. Kerana itu, Khadijah dihormati dan dipandang tinggi. Walaupun ramai yang menaruh rasa, hanya sekadar memandang tanpa bicara.

Sebelum menikahi Muhammad, Utusan Terakhir, Saidatina Khadijah pernah melalui dua kali perkahwinan. Namun, kedua-dua suaminya lebih dulu menemui Ilahi. Lalu, dia sendirian meneruskan hari-harinya menguruskan perniagaan sehingga pada usianya 40 tahun, hatinya kembali terpaut. Muhammad al Amin,merupakan seorang jejaka berusia 25 tahun membantu meniagakan barang-barang dagangannya ke Syam. Sifat yang mulia serta akhlak yang sangat tinggi menarik perhatian Khadijah. Dua jiwa bertemu dalam keindahan perkahwinan.

Ditakdirkan mendampingi lelaki pilihan Allah, Saidatina Khadijah menjadi penyokong dan pendokong yang tiada taranya. Di waktu suka dan duka, dia sentiasa setia di sisi. Jika dahulunya, dia terkenal sebagai usahawanita berjaya,namun setelah menikahi Rasululullah segalanya ditumpukan kepada kehidupan berkeluarga bersama suami tercinta. Sampai suatu ketika suaminya gemar beruzlah dan menyendiri, Khadijah setia dirumah menanti. Kelengkapan suami disediakan, urusan rumahtangga dilakukan tanpa resah. Sehingga suatu hari suaminya pulang dalam keadaan menggeletar ketakutan, menerima wahyu pertama tanda bermula tugas berat sebagai Utusan akhir zaman. Saidatina Khadijah dengan tenang menyelimuti suaminya sambil mulutnya manis memberi kata-kata penguat jiwa.

Dia merupakan wanita pertama yang mengisytiharkan keimanan kepada Allah dan RasulNya. Kecintaan dan keikhlasan melapangkan hatinya untuk berkorban seluruh harta demi kelansungan perjuangan dakwah yang baru bermula. Segalanya habis digunakan, tiada sisa walau sedikitpun. Namun di hatinya tiada rasa sesal, apatah lagi menangis hiba mengenangkan harta yang banyak kian hilang dari pandangan. Hujung usianya, Saidatina Khadijah tetap bersama Rasulullah dan orang-orang Islam lainnya walau terpaksa memamah daun kayu sebagai mengalas perut yang lapar. Sehingga akhirnya, dia jatuh sakit dan mengadap Ilahi dengan jiwa srikandi Mukminah sejati. Sungguh Khadijah penenang jiwa dan pendamping setia, sehingga terbit kata-kata yang sangat menyentuh hati dalam sabda Baginda :

“ Demi Allah tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia. Dia beriman kepadaku, ketika orang lain ingkar. Dia percaya kepadaku, tatkala semua mendustakan. Dia mengorbankan seluruh hartanya saat semua berusaha mempertahankannya, dan daripadanyalah aku beroleh keturunan. “


AISYAH ISTERI BIJAKSANA

Rasulullah memanggilnya dengan gelaran manja, ‘Humaira’ iaitu si merah kecil. Merupakan puteri Saidina Abu Bakar, sahabat Baginda yang paling akrab dan isterinya Ummu Ruman. Dari rumah sahabat inilah,kemuliaan dan keberkatannya diangkat terus oleh Allah SWT sehingga terpilih sebagai salah seorang Ummul Mukminin. Dia dinikahkan saat usianya masih muda. Bersama Rasulullah melayari bahtera rumahtangga setelah berhijrah ke Madinah.

Membesar dalam didikan dan asuhan Junjungan Mulia,menjadikan Saidatina Aisyah antara yang paling banyak menghafal hadis secara lansung dari Baginda. Ini ditambah dengan kecerdasan akal dan kuat ingatan yang telah sedia ada pada dirinya. Keadaan ini,menjadikan Saidatina Aisyah sebagai rujukan ilmu setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Beza usia yang jauh menjadikan Aisyah seorang isteri yang manja dan pandai mengambil hati. Kemesraan hidup bersama suami tercinta sentiasa menjadi keutamaannya. Dia bijak berbicara, juga petah menghibur dengan kelincahannya. Namun, bukan itu sahaja keistimewaan beliau. Ketika isteri-isteri Baginda yang lainnya datang mengadu kerana cemburu dengan layanan yang diberikan Rasulullah kepada Aisyah , Baginda SAW bersabda yang bermaksud :

“ Janganlah kalian mengguris hatiku kerana Aisyah. Demi Allah,aku tidak menerima wahyu ketika bersama isteri-isteri lainnya kecuali ketika aku bersama Aisyah.”


MENGIMPIKAN PUTERI-PUTERI ISLAM

“ Macam mana,seronok tak cerita ‘princess’ Khadijah dan Aisyah tadi?” saya bertanya setelah selesai sesi pengkisahan.

“ Seronok. Tapi, kita tak dapat tengok mereka Ummi,” kata Kak Ngah membuat perbandingan. Kisah puteri di alam cerita, dan sejarah puteri yang telah tiada.

“ Siapa kata tak boleh tengok. Cuma bukan sekarang, tapi di akhirat nanti. Sebab cerita ‘princess’ dalam Islam semuanya berakhir dengan ‘happy ending ever after’juga. Iaitu di Syurga yang kekal selamanya, jadi….” Saya berhenti menunggu reaksi mereka seterusnya.

“ Jadi apa, Ummi? “ Kak Long tidak sabar menunggu penjelasan lanjut.

“ Jadi kalau nak jumpa ‘princess’ Khadijah, Aisyah dan lain-lainnya kenalah jadi anak solehah dan taat pada Allah. Baru boleh masuk syurga dan jumpa di sana,” saya berhenti berkata. Mudah-mudahan mereka mengerti dan mencontohi. Juga kepada diri ini. Tiada contoh terbaik melainkan suri tauladan yang ditunjukkan oleh srikandi-srikandi Islam silam. Mereka ibu, isteri , juga pejuang agama yang mulia ini. Semoga kami akan bersama kalian, puteri-puteri Islam sejati.

Bagaikan terdengar lirik nasyid ‘Puteri Islam Sejati’ mengiringi kehidupan kami :

Namun ingat puteri,ilmu perlu dicari.
Buat bekalan dalam perjuanganmu nanti.
Pembimbing diri dari thoghut dibenci, tuntutlah seikhlas hati.
Wahai puteri,kau Muslimah sejati. Teguhkan iman,taqwamu di hati.
Taqarrub billah takhta peribadi, amalmu menjadi bukti.
Sabarmu dikagumi,pasrah pada ilahi. Redha menghadapi mehnah Rabbul Izzati.
Usah ditangisi takdir yang sudah pasti, pengorbananmu kan disanjungi.
Puteri solehah,mujahidah, ansarullah. Berbekal iman, sabar, taqwa dan redha.
Berilmu, beramal, berkhidmat, berjuang. Berkorban agar Islamkan gemilang.
Bersama puteri, Islam takkan sepi. Subur disirami,harum mewangi.
Wahai puteri, kau Muslimah sejati.





Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.


17 Rabi'ulakhir 1430

13 April 2009

12 April 2009

ANUGERAH DARI PERMATA HATI




Orang memberi, kita merasa,
Anak memberi, rasa bahagia.


Terima kasih daun keladi,
Lain kali berilah lagi.


Terima kasih anak-anak Ummi, Kak Long dan Kak Ngah.
Jadi anak solehah ya, amin.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

16 Rabi'ulakhir 1430

12 April 2009

10 April 2009

SURAT CINTA, SUARA CINTA


Bukan sekali dua, bahkan telah banyak kali dia memberi saya kad atau surat cintanya. Akan tetapi tidak satu pun yang saya balas. Seingat saya, saya hanya pernah memberi kad ucapan tahniah atas kejayaannya. Itupun, sudah lama dulu. Oh, ya. Juga kad sempena ulangtahun kelahirannya tahun lepas. Sudah lama rupanya saya membiarkan kad dan surat cintanya tanpa balasan.

SEKOLAH YANG MENGGEMBIRAKAN

Wajah mereka nampak ceria sekali. Melihat itu, saya tersenyum lega. Bimbang juga mulanya.

“ Bagaimana sekolah Kak Long Kak Ngah tadi, seronok ?” saya memulakan perbualan sambil menemani mereka makan nasi. Kak Long mengangguk. Kak Ngah pula hanya tersenyum sambil mulut terus mengunyah ayam goreng kegemarannya.

“ Tentulah seronok Ummi. Cikgu baik, kawan-kawan pun ramai, “ Kak Long mula buka bicara.

“ Kak Ngah, tak takut bercakap Bahasa Inggeris?”soal saya menduga.

“ Taklah. Kak Ngah cakap campur-campur dengan kawan-kawan Melayu. Dengan kawan Mat Saleh, Kak Ngah cakap sikit-sikit je dulu,”balasnya yakin.

Mulut saya melafaz syukur pada Ilahi, Alhamdulillah. Bimbang yang bertamu pagi tadi hilang melihat anak-anak gembira bercerita tentang sekolah baru mereka.

Rupanya benar sebagaimana yang saya dengar dari mulut-mulut saudara mara dan kawan-kawan. Anak-anak Malaysia di UK sangat suka bersekolah, sampaikan ada yang menangis kerana hendak ke sekolah tetapi terhalang oleh sebab-sebab kesihatan seperti demam dan sebagainya.

SERUPA TAPI TAK SAMA

Mengenang kembali persekolahan anak-anak di Malaysia, keadaan yang sebaliknya berlaku. Gembira mereka ialah bila cuti sekolah bermula. Buka semula semester, wajah masam di pagi hari datang kembali. Suasana yang sangat kontra berbanding di UK ini.

Di sini, pada pengamatan saya, ada dua sebab utama anak-anak sukakan sekolah.

Pertama : Guru-guru yang dedikasi dan komited dengan tugas. Mereka tegas dalam kelembutan. Mereka memberi dengan senyuman. Amat jarang, saya mendengar anak-anak bercerita tentang guru-guru yang marah atau menengking pelajar di dalam kelas. Mereka hanya menegur dengan lembut sekiranya ada pelajar yang melakukan kesilapan, hinggakan kesalahan dalam buku latihan juga mereka tidak akan pernah menggunakan pen merah. Mereka hanya menulis dengan pen hitam atau biru. Mungkin ada benarnya, bak kata pantun moden orang Melayu ,

Pen merah pen biru, U marah I love you

Merah lambang marah, sebaliknya biru tanda cinta dan sayang. Ironisnya, di Malaysia. Menanda buku pelajar dengan menggunakan pen selain warna merah adalah salah. Satu tindakan, tapi berbeza pendekatan.

Kedua : Kata-kata peransang dari guru tidak pernah tiada dalam kamus persekolahan sehari-hari mereka. Boleh dikatakan hampir setiap hari anak-anak saya akan membawa pulang pelekat ( sticker ) yang bertulis, Well done !, Keep it up!, You are the best ! dan berbagai lagi kata-kata berbentuk galakan mahu pun pujian. Demikian juga di dalam buku-buku latihan. Setiapnya mesti diakhiri dengan motivasi supaya pelajar memperbaiki tugasan mereka di lain hari. Lebih mengujakan, saban minggu ada sahaja pelajar-pelajar yang dianugerahkan sijil penghargaan ( award ) atas sikap baik yang mereka tonjolkan walaupun hanya dengan duduk diam di dalam perhimpunan sekolah.

Teacher’s Special award

Presented to

Husna Zaharuddin ( 4 SC )

For Sitting Perfectly during year 3 and 4 assembly.

Keadaan ini tidak pernah saya jumpa di Malaysia. Lebih mendukacitakan, buku latihan anak-anak hanya banyak bercatat dengan arahan atau tiada lansung pujian yang diberikan. Bagaimana benih yang baik akan tumbuh menghijau jika tidak dibaja dan disiram?

PENDIDIKAN MENYENTUH HATI

“ Kenapa Kak Long guna komputer lama sangat. Ummi kata lepas solat, turn Kak Ngah pulak, “ suara Kak Ngah kuat jelas kedengaran di telinga saya yang sedang membasuh pinggan di dapur.

“ Ala, Kak Long nak betulkan layout blog Kak Long sekejap. Itu pun tak boleh, “ jawab Kak Long pula.

Anak lelaki bila bermain dan bergaduh boleh bergoncang seluruh rumah, tapi anak-anak perempuan bila bertengkar boleh menaikkan amarah. Saya cepat-cepat ke depan.

“ Kak Long dan Kak Ngah tentu tak solat betul-betul semasa berjemaah tadi,” saya mencelah tanpa menyebut punca pergaduhan mereka sebelum ini.

“ Kenapa pula Ummi?” Kak Ngah bertanya kehairanan. Bingung barangkali. Mereka bergaduh tapi solat pula yang dibangkitkan.

“ Sebab Allah kata dalam al Quran, sesungguhnya solat dapat mencegah dari perbuatan tidak baik. Orang yang solatnya betul dan sempurna tentu tak bergaduh,betulkan? ” saya menjelaskan kaitan antara pergaduhan dan solat mereka. Kak Long dan Kak Ngah menguntum senyum. Mereka meminta maaf dan kembali berdamai.

Mendidik dengan kasih sayang dan penuh rasa cinta seharusnya menjadi tunggak seorang wanita bergelar ibu. Dia sewajarnya menginsafi bahawa tidak ada satu pun yang dapat menghalanginya untuk memberikan keperluan jiwa seorang anak berupa kasih sayang dan perlindungan baik dalam menegaskan kebaikan mahu pun mencegah keburukan.

Jika sikap baik seorang guru yang memberi penghargaan berupa pujian, ransangan dan senyuman boleh melahirkan pelajar yang sukakan sekolah; apatah lagi seorang ibu yang mengalir di dalam batinnya fitrah kasih dan cinta kepada insan bernama anak. Dari saat mengandung dengan penuh lelah dan payah sehingga tiba masa melahirkan dengan nyawa sebagai pertaruhannya.

Seterusnya, tugas mengasuh dan membesarkan dari kecil hingga dewasa. Tentu saja, dari kasih dan cinta seorang ibu seperti ini akan meransang hati seorang anak untuk menjadi anak yang berbakti. Ibu mendidik dengan hati, anak menerima juga dengan hati. Dua jiwa , satu hati.

Inilah kelebihan wanita yang waktu dan masanya lebih banyak diluangkan untuk mengasuh anak-anak di rumah. Dengan tangannya sendiri dia membelai jasad dan tubuh fizikal anak-anak melalui tugas-tugas rumahtangga seperti membersihkan pakaian, menyediakan makan minum serta memastikan persekitaran rumah yang bersih dan menenangkan, juga dalam masa yang sama menyentuh hati dan rohani melalui didikan al Quran, akhlak dan budi seorang mukmin sejati. Tanggungjawab yang bukan sedikit imbalannya, agar lahir dari didikannya nanti seorang pemimpin dan generasi soleh di masa depan.

( Rujukan lanjut oleh UZAR )

SURAT CINTA, SUARA CINTA

Saya mengambil kertas tebal berwarna merah jambu. Kali ini saya mesti membalas surat cintanya. Saya Lipat dua dan saya tuliskan di atasnya dengan pen berdakwat biru,

Surat cinta untuk Kak Ngah

Di dalamnya, saya coretkan pula kata-kata : Ummi sayang Kak Ngah. Jadi anak solehah ye. Saya letakkan di atas papan kekunci komputer di dalam bilik permainan anak-anak.

“ Terima kasih Ummi, “ tiba-tiba muncul wajah Kak Ngah tersenyum menunjukkan kad yang diterimanya di balik daun pintu dapur.

Sama-sama anakku. Kad itu hanya kad biasa, berisi suara cinta seorang ibu. Jadikan ia sebagai peransang dan pembakar semangatmu, bahawa di sini ada seorang ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupmu. Dunia dan akhirat sana. Semoga, bila tiba masanya, kau juga tidak lupa mengirimkan surat cintamu untuk ibu dan ayah melalui doa setiap akhir solatmu.

“ Ya Allah, ampunilah dosaku. Ampunilah juga dosa kedua ibu bapaku. Dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku semasa aku masih kecil. Amin “

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.

14 Rabi’ulakhir 1430

10 April 2009

7 April 2009

PENGALAMAN IMAN

Wajah mak nampak tenang seperti selalu-selalunya mak di mata saya. Saya sedaya mungkin menahan tangis, namun titisan air mata tetap laju menuruni pipi. Cepat-cepat saya menyeka dengan lengan baju. Untung tiada siapa yang memandang.

“ Jirus air ke seluruh tubuhnya ye, “ Ustazah Kamariah, selaku ketua penyelenggara jenazah memberi arahan sekaligus tunjuk ajar. Saya, Kak Kam dan Ija, adik kedua bongsu bersama-sama membantu memandikan jenazah Mak di tengah rumah.

“ Pakai sarung tangan ini. Kemudian bersihkan gigi dan mulutnya. Sisir perlahan rambutnya kalau-kalau ada kotoran “ satu persatu Ustazah Kamariah memberikan tunjuk ajar kepada Ija yang memegang bahagian kepala. Saya membersihkan bahagian perut, sementara Kak Kam di bahagian kaki.

UMPAMA BURUNG PULANG PETANG

“ Awak dah buat keputusan, Ina?” Tanya sahabat saya, Hamizan. Saya mengangguk sambil mata memandang kehijauan rumput di Taman Universiti. Di atas pokok berdekatan bangku yang kami duduki, kelihatan seekor burung kecil baru pulang ke sarangnya.

“Peperiksaan akhir hanya lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi. Awak pasti dengan keputusan tu?” Hamizan bagaikan menunggu jawapan dari mulut saya. Jawapan yang pasti, bukan bersalut keraguan.

Saya menoleh memandang wajahnya. Dia antara sahabat yang sentiasa bersama ketika susah dan senang. Sahabat ketika ketawa gembira, juga teman di waktu menangis kesedihan. Saya melemparkan senyum hambar.

“ Awak nampak tak burung di atas pokok besar sana?” Tanpa lebih dulu menjawab pertanyaannya, saya mengalih tajuk perbualan kepada burung kecil tadi. Hamizan menoleh memenuhi permintaan.

“ Saya cuba untuk yakin sebagaimana yakinnya burung kecil itu, “ saya berkias memberi jawapan.

“ Apa maksud awak ? “ Hamizan meminta penjelasan.

Rasulullah SAW pernah bersabda, yang bermaksud:”Seandainya kamu bertawakal sungguh-sungguh kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong (lapar) dan kembali senja hari dalam keadaan kenyang.”(HR.Tirmidzi)

“ Allah sedang menguji saya. Dan saya redha serta pasrah dengan ketentuannya. Dalam pada saya berusaha untuk meraih kejayaan dalam pelajaran, DIA mendatangkan cubaan sebagai ujian. Lalu kepada siapa harus saya yakin kalau bukan menyerahkan diri kepada Nya. Namun itu bukan pengakhiran kepada semua yang saya usahakan sebelum ini. Bahkan ia menjadi titik mula untuk saya terus berusaha. Saya yakin kejayaan ada di hadapan, cuma saya perlu berusaha lebih keras belajar sendiri kerana terpaksa tidak hadir ke kelas. Sebagaimana seekor burung yang yakin dan pasrah kepada Allah yang telah menciptakan makanan baginya. Dengan keyakinan tersebut ia keluar pagi hari untuk berusaha keras mencari bahagian yang telah disediakan olehNya, maka sudah pasti ia pulang dengan kenyang. Inilah keyakinan seekor burung, dan kalau ia boleh sebegitu yakin dan berusaha maka inikan pula saya, seorang manusia.” Panjang lebar saya menjelaskan. Hamizan mengangguk tanda faham dan setuju.

“Saya akan berjumpa Dr Ali untuk meminta pelepasan kuliah dan tutorial. Seterusnya jasa baik sahabat-sahabat sangat saya perlukan untuk mengambil nota bagi rujukan saya nanti. Saya akan berusaha, selebihnya Allah yang menentukan juga, ” tambah saya lagi.

“ Jangan bimbang Ina. Saya dan sahabat lain sentiasa mendokan awak. Insya Allah, kami akan menyediakan nota dan keperluan lain untuk peperiksaan. Awak pulanglah, “ Hamizan memberi kata peransang.

RINDU

Saya mencium dahi Mak yang kelihatannya sedang tidur. Along, kakak sulung saya berada di dapur menyediakan minuman. Anak-anaknya pula bermain di luar, menemani ayah mereka yang sedang membersihkan longkang sekeliling rumah.

Perlahan-lahan Mak membuka mata. Bibir Mak tersenyum lesu memandang saya.

“ Aa…aa…aa,” Mak ingin berkata sesuatu. Bagaikan faham apa yang mahu ditanya, saya menjawab pantas, “ Ina baru je sampai dari Kuala Lumpur. Mak banyakkan berehat ye, Ina akan jaga Mak, “ saya menahan sebak di dada. Seboleh mungkin saya tidak mahu menangis di depannya.

Mak mengangguk dan memejamkan mata semula. Saya menyoroti wajah dan tubuh Mak. Wajah yang dulu sentiasa manis melayan anak dan suami tercinta. Tubuh kecil yang dulunya kuat mengurus rumahtangga, kini terbaring lesu tidak berdaya. Ini kali ketiga Mak diserang strok. Kalau sebelumnya, Mak hanya tidak boleh berjalan seketika, tapi serangan kali ini menghilangkan hampir keseluruhan upaya tubuh Mak. Badan Mak lumpuh dan suara mak juga hilang diragut penyakit berbahaya itu. Alangkah rindunya pada suara seorang ibu.

TAWAKAL ANAK KECIL

Sepanjang bulan Ramadhan saya meneladani Mak. Memapahnya ke bilik air dan memandikannya. Menyuap makan dan minum di samping menelaah nota kiriman teman-teman sepengajian. Along, kakak saya yang bekerja di Pejabat RISDA, Tapah akan memasak makanan Mak sebelum ke pejabat. Pulang dari pejabat pada petang harinya, baru saya membantu menyediakan juadah berbuka.

Ayah pula berada di kampung kerana menemani adik bongsu yang masih bersekolah menengah. Kebetulan sewaktu serangan, Mak dan Ayah berada di Tapah. Mak dikejarkan ke Hospital Tapah dan ditempatkan di wad. Selepas seminggu, Mak dibenarkan pulang. Dan atas persetujuan ayah, Mak tinggal sementara di rumah Along agar mudah menerima rawatan susulan dari hospital yang sama.

Malam ke 26 Ramadhan, seusai Solat Isyak, saya berterawih bersama Along dan Ija, yang kebetulan pulang bercuti untuk menyambut hari raya.

“ Macam mana dengan persediaan Kak Ina untuk peperiksaan akhir nanti ?” Ija bertanya sambil menjamah bubur kacang.

“ Alhamdulillah, Kak Ina dah berusaha. Kawan-kawan banyak membantu mengirim nota dan bahan-bahan lain untuk peperiksaan. Kak Ina yakin, Kak Ina akan lulus. Tawakal kepadaNya” Jawab saya.

“Along dan Ija tentu masih ingat cerita waktu Ija kecil dulu…cerita..” Belum sempat saya menghabiskan ayat, Along mencelah menyambung cerita.

“ Ala, ni mesti cerita Ija kejar Mak sebab tak mahu orang lain jaga kan?” Along meneka sambil ketawa kecil. Ija menyambut dengan muka masam.

“ Jangan marah dik. Cerita tu bukan sekadar cerita kosong, tapi pengalaman yang berisi pengajaran Iman, “ saya memujuk. Ija memang kurang gemar cerita yang satu ini diulang dengar.

“ Cerita tentang seorang anak kecil terhadap ibunya. Dia tidak melihat orang selain ibunya dan tidak mahu bersama dengan selain ibunya. Bagi diri anak kecil itu, ibu adalah segalanya. Pelindung, memberi rasa aman dan penyejuk perasaan. Jika dia menghadapi sesuatu masalah, maka yang pertama kali terlintas di dalam hati, dan yang pertama terucap dari bibirnya adalah perkataan, "Ibu..!". Demikianlah sewajarnya pergantungan seorang hamba yang benar-benar mengaku beriman kepada Allah. Tawakkalnya seumpama pergantungan anak kecil kepada ibunya. Dia tidak akan memandang selain Allah, hanya DIA yang mampu memberi segala.”

PERJALANAN AKHIR

“ Allahu akbar ! “ Lamunan saya terputus mendengar suara ayah mengimamkan solat jenazah. Saya segera menyertai dengan mengangkat takbiratulihram. Selesai memberi salam, ayah membaca doa. Tersekat-sekat suara ayah sampai ke telinga orang-orang yang berada di sekitar ruang solat. Mak, sebagai teman hidup ayah sepanjang 41 tahun perkahwinan mereka kini sudah tiada. Saya juga tidak mampu menahan sendu dan tangis hiba. Perjalanan hidup Mak di dunia telah berakhir. Dan bermula pula perjalanannya ke akhirat yang kekal abadi.

Bersyukur kepada Ilahi kerana saya sempat melalui pengalaman berharga ini, dari ketika menjaga Mak di perbaringan hingga saat memandikan jenazahnya. Pengalaman berupa didikan hati agar terus berserah kepada Nya. Jika dulu hanya umpama pasrah seekor burung kecil mencari rezeki, kemudiannya meningkat sebagaimana pergantungan seorang anak kecil terhadap ibunya. Mudah-mudahan untuk seterusnya, mencapai pula tingkatan iman yang paling tinggi kerana seorang Mukmin di hadapan Rabbnya seumpama mayat di tangan orang-orang yangmemandikannya. Dia tidak mampu berpisah dengan Allah, lantaran sedar dirinya tiada kuasa.

Selamat menempuh perjalanan baru Mak, doa dari anakmu akan sentiasa mengiringi..Bagai masih terdengar-dengar suara merdu Mak menyanyi kepada kami :

“ Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan.

Intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan”.

Sememangnya kami merinduimu….


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.

11 Rabi'ulakhir 1430

7 April 2009



5 April 2009

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

" Aslina, sudah berapa tahun awak berkahwin, " tanya Sibyl, guru Bahasa Inggeris berbangsa Cina.

"Emm..sudah masuk tahun ketujuh, kenapa ? " Saya menjawab dan berbalas tanya pula.

"Awak hati-hati. Biasanya, ramai pasangan yang berpisah pada usia keenam dan ketujuh perkahwinan mereka." Katanya sinis tanda mengusik.

"Alamak Sibyl, cuba awak rasa mulut awak, "saran saya tiba-tiba. "Why?"Sibyl tertanya-tanya.

"Kalau masin mulut awak tu, susahlah saya." Sibyl menyambut dengan ketawa.

Gurauan ada kalanya tersirat kebenaran. Berapa ramai pasangan suami isteri hari ini yang bercerai di usia perkahwinan yang masih muda. Mereka menyatakan semuanya Takdir Tuhan, berpisah lantaran tiada lagi persefahaman. Ikatan suci yang bermula dengan kasih dan cinta, berakhir dengan sengketa dan buruk sangka.


SUATU PERJALANAN

"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang.

"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

Wahai kaum wanita, aku lihat
kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang
demikian? Adakah sebab kami ini kufur?'

Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu
yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG

" Awak beruntung ye Ina, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

" Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata.

" Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana. Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU


" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini. "


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.

10 Rabi'ulakhir 1430

6 April 2009.