7 April 2009

PENGALAMAN IMAN

Wajah mak nampak tenang seperti selalu-selalunya mak di mata saya. Saya sedaya mungkin menahan tangis, namun titisan air mata tetap laju menuruni pipi. Cepat-cepat saya menyeka dengan lengan baju. Untung tiada siapa yang memandang.

“ Jirus air ke seluruh tubuhnya ye, “ Ustazah Kamariah, selaku ketua penyelenggara jenazah memberi arahan sekaligus tunjuk ajar. Saya, Kak Kam dan Ija, adik kedua bongsu bersama-sama membantu memandikan jenazah Mak di tengah rumah.

“ Pakai sarung tangan ini. Kemudian bersihkan gigi dan mulutnya. Sisir perlahan rambutnya kalau-kalau ada kotoran “ satu persatu Ustazah Kamariah memberikan tunjuk ajar kepada Ija yang memegang bahagian kepala. Saya membersihkan bahagian perut, sementara Kak Kam di bahagian kaki.

UMPAMA BURUNG PULANG PETANG

“ Awak dah buat keputusan, Ina?” Tanya sahabat saya, Hamizan. Saya mengangguk sambil mata memandang kehijauan rumput di Taman Universiti. Di atas pokok berdekatan bangku yang kami duduki, kelihatan seekor burung kecil baru pulang ke sarangnya.

“Peperiksaan akhir hanya lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi. Awak pasti dengan keputusan tu?” Hamizan bagaikan menunggu jawapan dari mulut saya. Jawapan yang pasti, bukan bersalut keraguan.

Saya menoleh memandang wajahnya. Dia antara sahabat yang sentiasa bersama ketika susah dan senang. Sahabat ketika ketawa gembira, juga teman di waktu menangis kesedihan. Saya melemparkan senyum hambar.

“ Awak nampak tak burung di atas pokok besar sana?” Tanpa lebih dulu menjawab pertanyaannya, saya mengalih tajuk perbualan kepada burung kecil tadi. Hamizan menoleh memenuhi permintaan.

“ Saya cuba untuk yakin sebagaimana yakinnya burung kecil itu, “ saya berkias memberi jawapan.

“ Apa maksud awak ? “ Hamizan meminta penjelasan.

Rasulullah SAW pernah bersabda, yang bermaksud:”Seandainya kamu bertawakal sungguh-sungguh kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong (lapar) dan kembali senja hari dalam keadaan kenyang.”(HR.Tirmidzi)

“ Allah sedang menguji saya. Dan saya redha serta pasrah dengan ketentuannya. Dalam pada saya berusaha untuk meraih kejayaan dalam pelajaran, DIA mendatangkan cubaan sebagai ujian. Lalu kepada siapa harus saya yakin kalau bukan menyerahkan diri kepada Nya. Namun itu bukan pengakhiran kepada semua yang saya usahakan sebelum ini. Bahkan ia menjadi titik mula untuk saya terus berusaha. Saya yakin kejayaan ada di hadapan, cuma saya perlu berusaha lebih keras belajar sendiri kerana terpaksa tidak hadir ke kelas. Sebagaimana seekor burung yang yakin dan pasrah kepada Allah yang telah menciptakan makanan baginya. Dengan keyakinan tersebut ia keluar pagi hari untuk berusaha keras mencari bahagian yang telah disediakan olehNya, maka sudah pasti ia pulang dengan kenyang. Inilah keyakinan seekor burung, dan kalau ia boleh sebegitu yakin dan berusaha maka inikan pula saya, seorang manusia.” Panjang lebar saya menjelaskan. Hamizan mengangguk tanda faham dan setuju.

“Saya akan berjumpa Dr Ali untuk meminta pelepasan kuliah dan tutorial. Seterusnya jasa baik sahabat-sahabat sangat saya perlukan untuk mengambil nota bagi rujukan saya nanti. Saya akan berusaha, selebihnya Allah yang menentukan juga, ” tambah saya lagi.

“ Jangan bimbang Ina. Saya dan sahabat lain sentiasa mendokan awak. Insya Allah, kami akan menyediakan nota dan keperluan lain untuk peperiksaan. Awak pulanglah, “ Hamizan memberi kata peransang.

RINDU

Saya mencium dahi Mak yang kelihatannya sedang tidur. Along, kakak sulung saya berada di dapur menyediakan minuman. Anak-anaknya pula bermain di luar, menemani ayah mereka yang sedang membersihkan longkang sekeliling rumah.

Perlahan-lahan Mak membuka mata. Bibir Mak tersenyum lesu memandang saya.

“ Aa…aa…aa,” Mak ingin berkata sesuatu. Bagaikan faham apa yang mahu ditanya, saya menjawab pantas, “ Ina baru je sampai dari Kuala Lumpur. Mak banyakkan berehat ye, Ina akan jaga Mak, “ saya menahan sebak di dada. Seboleh mungkin saya tidak mahu menangis di depannya.

Mak mengangguk dan memejamkan mata semula. Saya menyoroti wajah dan tubuh Mak. Wajah yang dulu sentiasa manis melayan anak dan suami tercinta. Tubuh kecil yang dulunya kuat mengurus rumahtangga, kini terbaring lesu tidak berdaya. Ini kali ketiga Mak diserang strok. Kalau sebelumnya, Mak hanya tidak boleh berjalan seketika, tapi serangan kali ini menghilangkan hampir keseluruhan upaya tubuh Mak. Badan Mak lumpuh dan suara mak juga hilang diragut penyakit berbahaya itu. Alangkah rindunya pada suara seorang ibu.

TAWAKAL ANAK KECIL

Sepanjang bulan Ramadhan saya meneladani Mak. Memapahnya ke bilik air dan memandikannya. Menyuap makan dan minum di samping menelaah nota kiriman teman-teman sepengajian. Along, kakak saya yang bekerja di Pejabat RISDA, Tapah akan memasak makanan Mak sebelum ke pejabat. Pulang dari pejabat pada petang harinya, baru saya membantu menyediakan juadah berbuka.

Ayah pula berada di kampung kerana menemani adik bongsu yang masih bersekolah menengah. Kebetulan sewaktu serangan, Mak dan Ayah berada di Tapah. Mak dikejarkan ke Hospital Tapah dan ditempatkan di wad. Selepas seminggu, Mak dibenarkan pulang. Dan atas persetujuan ayah, Mak tinggal sementara di rumah Along agar mudah menerima rawatan susulan dari hospital yang sama.

Malam ke 26 Ramadhan, seusai Solat Isyak, saya berterawih bersama Along dan Ija, yang kebetulan pulang bercuti untuk menyambut hari raya.

“ Macam mana dengan persediaan Kak Ina untuk peperiksaan akhir nanti ?” Ija bertanya sambil menjamah bubur kacang.

“ Alhamdulillah, Kak Ina dah berusaha. Kawan-kawan banyak membantu mengirim nota dan bahan-bahan lain untuk peperiksaan. Kak Ina yakin, Kak Ina akan lulus. Tawakal kepadaNya” Jawab saya.

“Along dan Ija tentu masih ingat cerita waktu Ija kecil dulu…cerita..” Belum sempat saya menghabiskan ayat, Along mencelah menyambung cerita.

“ Ala, ni mesti cerita Ija kejar Mak sebab tak mahu orang lain jaga kan?” Along meneka sambil ketawa kecil. Ija menyambut dengan muka masam.

“ Jangan marah dik. Cerita tu bukan sekadar cerita kosong, tapi pengalaman yang berisi pengajaran Iman, “ saya memujuk. Ija memang kurang gemar cerita yang satu ini diulang dengar.

“ Cerita tentang seorang anak kecil terhadap ibunya. Dia tidak melihat orang selain ibunya dan tidak mahu bersama dengan selain ibunya. Bagi diri anak kecil itu, ibu adalah segalanya. Pelindung, memberi rasa aman dan penyejuk perasaan. Jika dia menghadapi sesuatu masalah, maka yang pertama kali terlintas di dalam hati, dan yang pertama terucap dari bibirnya adalah perkataan, "Ibu..!". Demikianlah sewajarnya pergantungan seorang hamba yang benar-benar mengaku beriman kepada Allah. Tawakkalnya seumpama pergantungan anak kecil kepada ibunya. Dia tidak akan memandang selain Allah, hanya DIA yang mampu memberi segala.”

PERJALANAN AKHIR

“ Allahu akbar ! “ Lamunan saya terputus mendengar suara ayah mengimamkan solat jenazah. Saya segera menyertai dengan mengangkat takbiratulihram. Selesai memberi salam, ayah membaca doa. Tersekat-sekat suara ayah sampai ke telinga orang-orang yang berada di sekitar ruang solat. Mak, sebagai teman hidup ayah sepanjang 41 tahun perkahwinan mereka kini sudah tiada. Saya juga tidak mampu menahan sendu dan tangis hiba. Perjalanan hidup Mak di dunia telah berakhir. Dan bermula pula perjalanannya ke akhirat yang kekal abadi.

Bersyukur kepada Ilahi kerana saya sempat melalui pengalaman berharga ini, dari ketika menjaga Mak di perbaringan hingga saat memandikan jenazahnya. Pengalaman berupa didikan hati agar terus berserah kepada Nya. Jika dulu hanya umpama pasrah seekor burung kecil mencari rezeki, kemudiannya meningkat sebagaimana pergantungan seorang anak kecil terhadap ibunya. Mudah-mudahan untuk seterusnya, mencapai pula tingkatan iman yang paling tinggi kerana seorang Mukmin di hadapan Rabbnya seumpama mayat di tangan orang-orang yangmemandikannya. Dia tidak mampu berpisah dengan Allah, lantaran sedar dirinya tiada kuasa.

Selamat menempuh perjalanan baru Mak, doa dari anakmu akan sentiasa mengiringi..Bagai masih terdengar-dengar suara merdu Mak menyanyi kepada kami :

“ Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan.

Intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan”.

Sememangnya kami merinduimu….


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.

11 Rabi'ulakhir 1430

7 April 2009



10 comments:

fadillah said...

assalamualaikum..cerita puan amat menyentuh hati dan perasaan saya kerana kisah puan itu mengingatkan saya terhadap arwah ibu saya yg telah kembali ke rahmatullah pd bln syawal 2 thn lps, ketika itu saya juga masih sedang menuntut. Cuma perbezaan antara apa yg puan lalui adalah ibu puan seperti sudah ada tanda-tanda kerana kedengaran seperti die sering sakit, manakala ibu saya pula meninggal dunia pada pagi jumaat secara tiba-tiba. Sudah sampai ajalnya kan, akan tetapi apa yang begitu menyentuh hati saya adalah arwah kelihatan sangat sihat pada hari-hari sebelumnya walaupun arwah menghidap penyakit darah tinggi tetapi jarang sakit. Ketika itu Tuhan saja yang tahu bagaimana sedih dan perit pula untuk saya memberitahu adik saya yang juga sedang menuntut yang ketika itu sedang dalam peperiksaan akhir semester. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Roh mereka.Amin~

shaza said...

Assalamualaikum,

Alfatihah untuk mak kak ina. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohNya.Saya takut menghadapi saat-saat itu...Semoga saya sempat menggembirakan dan membalas jasa mak saya...dan menjadi anak yang solehah.

Anonymous said...

Salam Ummu Husna..

Akak ingin berkongsi pengalaman yang serupa dengan ummu Husna. 10 thn yang lalu, akak berhenti kerja selama hampir 2thn untuk menjaga emak yang diserang stroke juga... Alhamdulillah, akak sempat menjaganyanya sehingga kesaat beliau dijemput menghadap Ilahi

Indahnya kenangan di saat itu... Menyuapnya makan/minum, memandikannya, mengambil wuduk untuknya. Segalanya dilakukan dengan kasih sayang, namun tak mungkin sama dgn kasih sayangnya membesarkan kita.

Saat yang paling tak dapat ditahan kesedihan ialah ketika memandikan jenazahnya yang telah kaku itu.. ketika itulah terasa kehilangan yang sebenar...

Ya Allah..Semoga Bondaku tersayang (dan juga Bonda Ummu Husna) diletakkan di tempat yang mulia di sisiMu, bersama para Nabi dan orang2 yang soleh.. Amin

zaffan said...

salam kak ina

makin laju akak menulis

mencurah-curah idea...teruskan mencoretkan pengalaman berharga buat didikan jiwa anak bangsa. =)

sungguh peristiwa-peristiwa dalam kehidupan inilah mengajar pratikal yakin dan tawakal, berserah dan hanya bergantung padaNya.

terima kasih kak ina

ummu_hafiy said...

Salam kak ina,

al-fatihah untuk arwah, tulisan-tulisan akak menarik, semoga istiqamah dalam menulis dan berkongsi teladan bersama. salam ukhwah dan perkenalan dari saya.

syauqina said...

assalamualaikum kak ina,

Bergenang air mata tatkala membaca catatan akak...saya suka membaca coretan dan catatan akak...salam perkenalan..

jazakallah..

Anonymous said...

touching and inspiring... tahniah ustazah!

Anonymous said...

salam ustazah, sebak pula rasa nya di hati...terasa ia bagaikan 'tarbiyah' dariNya....ketika diri ini se akan ' berkonflik' dengan mak...yup, salah na....maybe...

ermm...

Anonymous said...

kak....
sedih kan bila kehilangan ibu tersayang? seolah suram perjalanan hidup kita.
alhamdulillah...saya masih punya ibu..yg saya kira masih kuat dan mampu meneruskan perjalanan hidupnya seperti biasa
kekadang..terfikir...saya serasanya takut...xmampu dan xbersedia untuk kehilangannya...Ya allah...moga hamba mu ini diberi kesempatan untuk berbakti kepadanya..bukan sahaja ibu..tetapi ayah saya juga...
insyaAllah...dengan masa yg terbatas...saya akan usahakan untuk menjadi anak yg terbaik untuknya...

Anonymous said...

salam...
Takziah ye ummu husna...