22 April 2009

ANTARA DUA CINTA


“ Ish..banyak tu. Macam-macam warna ada, “ tiba-tiba suara ayah menyapa dari belakang. Saya yang sedang asyik mengemas beg sebelum bertolak pulang ke kampus, menoleh dan melemparkan senyum malu-malu. Faham dengan sapaan ayah..apa yang dimaksudkannya banyak dan berwarna.


“ Mana ada banyak ayah. Tiga helai tudung lama, dua je yang masih baru“ saya menjawab ramah. Saya mengesot sedikit ke tepi dinding untuk memberi ruang ayah duduk bersila.


“ Baru atau lama tak penting. Yang utama tahu apa tujuan dan niat pemakainya. Bimbang tak terjawab nanti di akhirat sana, “ nasihat ayah. Masih sempat ayah menitip sepatah dua peringatan diri, walau nampak remeh tapi besar jika difikir jernih.



WARNA-WARNI DOSA


Entah kali keberapa saya menggeleng kepala begitu. Gelengan kesal berbaur hiba. Kesal kerana yang putih semakin kelam, berubah kelabu warnanya. Hiba dek mengenang masa depan anak-anak yang kian membesar di depan mata. Bagaimana agaknya corak dunia mereka bila dewasa.
Hari ini saya menggeleng kepala lagi. Gambar-gambar yang tertera berwarna-warni memang indah bila nafsu yang beraja di mata. Akan tetapi, jika diguna kacamata Iman dan ilmu yang sedikit dalam dada, bukan itu sepatutnya yang bertakhta.


Di hadapan, saya menatap wajah-wajah model dengan pelbagai gaya digunakan untuk mengiklan pakaian yang dilabel sebagai ‘fesyen Islami’ atau nama lainnya ‘busana muslimah’. Gelengan pertama kerana model-modelnya yang tampil dengan gaya menggoda. Dan gelengan kedua, ketiga dan seterusnya pula kerana bentuk pakaiannya. Lebih-lebih lagi iklan yang dipapar itu kemungkinan besar dibaca oleh ramai wanita di luar sana, baik bekerja mahu pun suri rumahtangga. Akhbar arus perdana, tentu liputannya luas melata.


Kalau dulu ‘fesyen islami’ dipandang sepi, tapi kini munculnya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di siang hari. Banyak dan merata. Bagaimana wanita Islam tidak rambang mata. Koleksi pakaian yang tersedia semuanya diilhamkan dari keindahan peribadi seorang perempuan. Pelbagai elemen disuaipadan, gaya tradisi bercampur ranggi, motif songket disulam butiran manik sebagai penyeri, malah ada yang berkilau dengan taburan mutiara dan bermacam-macam lagi. Dikatakan dengan adanya elemen-elemen tersebut, mampu mengindahkan lagi koleksi busana rebutan wanita masa kini. Tudung pula dinaiktaraf dengan menggunakan nama-nama besar industri muzik dan lakonan tanahair. Semuanya menampilkan tema yang serupa, iaitu walau bertudung tapi tetap mampu tampil mempesona.


Inilah hakikat Muslimah akhir zaman. Menutup aurat (kata mereka), tapi pakaian masih ketat menampakkan susuk indah tubuh mereka. Berpakaian sopan, tapi dengan warna dan perhiasan yang menarik pandangan. Memakai tudung tapi nipis dan jarang, yang panjang dililit pendek hanya melepasi bawah leher. Jelasnya, busana muslimah yang wujud kini sudah banyak disalaherti.



GOLONGAN AGAMA YANG ‘KELIRU’


“ Terkejut akak, Ina…,” kata Cikgu N, sebaik duduk di kerusi sebelah saya. Dia baru sahaja pulang dari majlis penganugerahan khidmat cemerlang di Shah Alam.


“ Kenapa, kak ? terkejut sebab ramai guru yang terima anugerah ke ?,” saya tersenyum membalas sambil cuba berjenaka.


“ Bukan.. akak terkejut sebab ada beberapa orang ustazah yang juga menerima anugerah, tapi gaya..fuh! kalah kami guru-guru biasa. Tudung berjurai-jurai dengan ‘brooch’ dua tiga, berkilat-kilat lagi. Baju agak ketat, bersolek pula lagak selebriti, “ Cikgu N bercerita sambil menggeleng kepala. Saya yang mendengar rasa kecewa dan hampa. Golongan agama yang diharap mampu menjadi contoh, tapi tampil dengan watak sebaliknya. Mereka keliru dan mengelirukan orang lain pula.


Saya sering bertanya sendiri, apa agaknya yang ingin dibuktikan oleh golongan agama seperti ini. Adakah mereka mahu menunjukkan kepada ramai, walaupun mereka bergelar ‘ustazah’ namun mereka boleh mengikut arus fesyen semasa. Atau mereka ingin meningkatkan keyakinan diri untuk berdepan dengan wanita-wanita bergaya agar mudah diajak kepada agama.


Hakikatnya mereka tertipu dengan pesona dunia, juga masih tidak berdaya menolak bisikan nafsu yang beraja dijiwa. Lantas mereka menampilkan diri sebagai golongan agama mengikut acuan dan kehendak diri mereka. Syari’at agama bukan lagi sebagai neraca yang menentukan salah dan benar bagi rupa dan gaya, tetapi hanya sebagai daya penarik untuk lebih dikagumi dan dihormati pada pandangan manusia. Kesampingkan dulu ciri-ciri pakaian yang sebenar dituntut agama. Pedulikan saja kata-kata ulama’ terdahulu tentang pakaian wanita ketika berada di luar rumahtangga. “ Kami golongan agama yang mengikut peredaran masa, kami beragama tapi kami juga boleh menawan mata, “ mungkinkah itu bisikan hati mereka ?


“ Apa pandangan Ina tentang Ustazah begini? “ Cikgu N masih belum berganjak dari tajuk bicara.


“ Itu tandanya mereka juga manusia biasa, “ saya menjawab bukan untuk membela, tapi sebagai membuka mata dan jiwa bahawa seorang manusia walau siapa pun dia, tetap tidak lari dari berbuat dosa.


“ Walaupun begitu, saya tetap berpendapat tidak wajar golongan yang memiliki kefahaman lebih tentang agama ini, berpenampilan jauh dari landasan sebenarnya. Mereka yang diharap menjadi penyuluh dari kegelapan, namun menyebar asap yang makin menjerebukan pandangan.Kerana itu, tidak hairan kalau hari ini semakin ramai wanita bertudung tapi jauh dari akhlak Islam, dari remaja sekolah hingga wanita dewasa. Menutup aurat tapi mulut becok mengata. Menutup aurat tapi berpelukan dengan pasangannya dan berbagai lagi. Akhirnya, jadilah ‘orang yang bertudung’ seperti ini menambah fitnah kepada agama bukan membantu menzahirkan indah dan cantik Islam di mata manusia, “ saya meluahkan sesak di dada.


“Bukan semua golongan agama boleh menghayati sebaiknya ajaran agama. Jadi, ambillah yang baik dari kata-kata dan tindakan mereka dan tinggalkan apa yang bertentangan dengannya. Manusia seperti saya dan mereka yang bergelar ustazah bukan hujjah untuk menentukan benar atau salah sesuatu perkara, tapi kembalilah kepada al Quran dan sunnah. Hanya dua neraca ini yang boleh menyelamatkan manusia dari sesat di dunia, “ saya berhenti memberi ruang kepadanya berfikir.



PERINGATAN DARI DUA NERACA


Sebaik-baik pakaian ialah pakaian taqwa. Justeru, hanya dengan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah, menjadikan seseorang itu redha untuk tunduk kepada setiap suruhan dan laranganNya. Tubuh yang cantik dan indah bukan tiket untuk meraih perhatian manusia, tetapi sebagai ujian ketaatan selaku hambaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud :


Dan tidaklah (patut) bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah tersesat, sesat yang nyata. (Surat Al-Ahzab ayat 36 )


Allah SWT juga menegaskan di dalam ayat lain melalui firmanNya yang bermaksud :


Kemudian sesungguhnya pada hari itu kamu akan ditanya tentang segala ni'mat yang telah dini'mati kamu (di dunia). ( at Takathur ayat 8 )

Kurniaan yang pelbagai dari Allah di dunia ini, harus di salur kepada usaha mengajak manusia agar mengabdikan diri kepadaNya. Biar pun hanya sekadar tudung dan pakaian yang menutup aurat menurut syari’at, mampu mengawasi pemakainya untuk lebih menjaga tingkahlaku dan akhlak selaras dengan pakaian yang dipakai. Kerana, pakaian itu melambangkan imej agama yang mulia, suatu tanggungjawab dan amanah bagi orang-orang yang insaf tentang dosa dan pahala.


Jangan nanti ketika di Mahsyar untuk diadili, pakaian indah biar pun menutup aurat di dunia hanya menjadi saksi kepada rasa angkuh, riak dan ujub dalam diri. Atau, menjadi bukti bahawa pemakainya pernah melakukan dosa ‘mengelirukan‘ manusia lain tentang kewajipan menutup aurat yang sebenarnya, nauuzu billahi min zaalik. Bukan ‘fesyen islami’ atau ‘busana muslimah‘ yang akan membantu di sana, akan tetapi amalan jasad dan rohani yang selari dengan maksud ‘menutup aurat’ yang dituntut Ilahi.


Rasulullah SAW mengingatkan tentang ramainya wanita menghuni neraka. Sekian banyak sabda Baginda, sematkan semuanya di dalam jiwa. Bayangkan sakitnya rambut disentap tangan si anak kecil, tentulah kesakitan ditarik rambut di dalam neraka hingga menggelegak isi kepala tidak terbayang rasanya. Bayangkan pula pedihnya jari terhiris pisau yang tajam bergerigi, tentu tidak terbanding pedihnya badan yang dipotong dengan gunting api neraka.


Di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda bersabda:


"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)



Antara dua cinta, hanya satu yang perlu kita pilih. Cinta dunia yang sering melalai dan meleka atau cinta akhirat yang kekal abadi. Rebutlah cinta kedua kerana pasti di sana adanya syurga, juga di sana bahagia menanti.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

26 Rabi’ulakhir 1430


22 April 2009

17 comments:

aya harith said...
This comment has been removed by the author.
aya harith said...

menangani mereka yang lebih tahu adalah lebih susah

-terima kasih atas perkongsian-

=)

Anonymous said...

Salam Ina, akak seronok sangat baca blog Ina... Artikel menarik dan isi yang penuh pengajaran dan iktibar. Moga dapat diteladani segalanya... Teruskan usaha dakwah ini semoga dapat di manfaati semua, InsyaAllah.

Kak Arena

nas said...

slm k ina..

sy ikut blog akak dari awal dan saya dpt rasa, posting akak makin hari makin berisi... :)tahniah.

moga diberi hidayah utk terus menulis, berkongsi ilmu yg memberi manfaat, insyaAllah.

Ummu Husna said...

Salam,

AYA HARITH : Ye, betul tu. Kerana itu kita sentiasa diseru agar saling berpesan-pesan dengan kebenaran, juga kesabaran.

KAK ARENA : Alhamdulillah. Terima kasih kak. Teruskan memberi sokongan ye.

NAS : Alhamdulillah. Tulisan Nas juga menarik. Teruskan berkongsi perasaan dan pandangan seorang ibu dan isteri.

Ummu Husna said...

Salam ASMA 1482,

Sebenarnya panduan tentang etika pakaian dalam Islam telah termaktub dalam al Quran dan sunnah Rasulullah,antaranya : Surah al Ahzab ayat 33 dan 59, juga Surah an Nur ayat 31.

Di dalam hadis pula ialah peristiwa di mana Rasulullah menegur Asma' yang memakai pakaian agak jarang ketika bertandang ke rumah Baginda dan Aisyah r.a.Panduan telah ada, tinggal lagi kita mengaplikasikannya dalam kehidupan moden hari ini.

Islam tidak melarang untuk wanita kelihatan cantik, tapi biarlah kecantikan itu dibatasi oleh panduan yang telah digariskan syari'at. Ada bezanya antara kemas dan bersih dengan bergaya dan mempesona. Pilihlah yang mana bertepatan dengan kehendak Islam :)

RAHINA_77 : Ye, Kak Ina setuju. Maksud dan tujuan bertudung perlu difahami kerana zahir dan batin terlibat dengannya. Tubuh bersalut pakaian menutup aurat, hati juga mesti diselubungi dengan pakaian taqwa dan iman.

Malu itu sebahagian darinya. Hilang malu, maka manusia akan melakukan apa saja yang dia mahu( maksud hadis ). Hilang sudah pertimbangan benar atau salah, juga dosa dan pahala.

am0i ida said...

Salam Kak Ina tersayang...

Jazakillah atas perkongsian ilmu yang sangat berharga ini. Memang perkara sebegini sedang hangat berlaku. Kadang-kadang Ida sendiri jadi konfius apabila melihat di kaca tv para ustazah atau motivator islamik yang berpakaian bolehla dikatakan vouge dari pakaian golongan seperti mereka dulu...

Saya pulak jadi macam pelik, apa sudah jadi dengan golongan bergelar ustazah ini? Adakah mereka mahu dilihat 'tidak takut didekati' oleh masyarakat moden sekarang atau terpaksa kerana kena keluar di kaca tv?

Dengan memakai lipstik dan pemerah pipi menggerunkan saya yang sudah lama meninggalkan alam 'mekap' tersebut...saya jadi sedih, dan sekarangpun rasa nak menangis kerana seolah2 golongan yang mendapat sentuhan tarbiyah seperti saya sudah hilang idola yang dulunya selalu kami sebut2...

sudah tentulah idola sekarang terlalu jauh bezanya dengan idola zaman Rasulullah saw

tolonglah jangan dikatakan zaman berubah jadi penampilanpun kena berubah....

kalau sekadar perubahan tudung dari jenis kain tidak mengapa asalkan masih tidak nipis, jarang dan tidak tembus pandang...tapi punyalah susah nak cari tudung begini...maksud saya tudung siap di kedai yang labuh dan menepati syara'...yang memudahkan pergerakan bagi mereka yang bergelar ibu...memang ada tapi susah sgt nak dapat, dan kadang-kadang kena pakai selapis di dalam...

maaflah nak kata, kadang2 nak jual tudung2 sekarangpun rasa serba salah takut bersubahat pulak..so saya kena berhati2 nak pilih material untuk dijual di kedai online saya...

doakan saya juga istiqamah kak...

Ummu Husna said...

Salam Ida,

Alhamdulillah, terima kasih dik atas perkongsian buah fikiran. Betul, dari hari ke hari makin lari maksud berhijab yang sebenarnya dari muslimah hari ini.

Kak Ina pun masih perbaiki diri, mudah-mudahan perubahan kita selari dengan peningkatan usia yang makin pendek ini. Berubah ke arah yang lebih baik dari semalam yang telah pergi.

Sayang Ida juga : )

Anonymous said...

assalamualaikum
kIna n sumer,

Alhamdulillah..artikel yg ini btul2 mengetuk pintu hati zue..

just nk share website utk beli2 tudung besar..zue baru cuba beli..puas hati..alhamdulillah

http://www.tudungnur.blogspot.com/

cun09 said...

salam utk ina... 1. ape padangan ina jika di katakan jgn pandang yg bertudung itu baik tp yg tak pakai tudung itu tak baik... tp hati yg di pandang... 2. jika pakai tudung labuh tp dia lupa utk pakai stokin seolah2 kaki bukan dianggap aurat (saya rasa dia ustazah)...3. bagaimana cara seorg anak utk menegur seorg ibu yg masih kurang sempurna cara memakai tudung, contoh pakai selendang yg rambut depan masih nampak...TQ!

Juliana said...

Salam.

Kali pertama saya berkunjung ke sini sebenarnya.

Pada pandangan mata kasar saya, wanita muslim hari ini kebanyakannya bukan menutup aurat, tetapi sekadar menutupi rambut. Masakan tidak, tudung pun tidak labuh menutupi dadanya yang indah mempersona, atau berbaju jarang yang nampak susuk badan (walapun memakai baju dalam sekalipun), atau berseluar jeans ketat dan berkemeja-T pendek menampakkan bentuk punggung dan sedikit kulit perut. Inilah fesyen terkini, kata mereka.

nisha said...

Assalamualaikum Ummu Husna,
Bagaimana pula dengan tudung yang berwarna warni dan bercorak tapi tetap labuh melepasi dada. Saya baru nak buat tudung batik labuh/bulat sehingga kepinggan tapi mempunayai corak batik kat bahagian kepala dan di sekeliling bawahnya.

Ummu Husna said...

Salam buat semua,

Maaf, dah 2 hari tak online..baru hari ini dapat menjenguk. Terima kasih kepada para pelawat dan teman-teman muslimah khususnya.

ANONYMOUS : Terima kasih atas link yang diberi. Kak Ina pun dah pernah tengok kawan-kawan Kak Ina memakainya. Alhamdulillah, bagi Kak Ina kainnya menepati syarat-syarat penutupan aurat. Teruskan perbaiki diri, Kak Ina juga : )

CUN09 : Jawapannya 1 ) http://www.zaharuddin.net/content/view/288/99/.
2) belum menutup aurat sepenuhnya. Aurat wanita adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan tapak tangan ( pendapat jumhur fuqaha' ).
3) Hadiahkannya tudung yang sempurna penutupan aurat dan sesuai serta selesa dipakai oleh perempuan yang telah berusia, kalau beli ikut warna kegemarannya lagi bagus : ) Boleh juga bawa ibu ke majlis-majlis agama dan belikannya buku atau majalah agama untuk menambahkan kefahamannya.

NISHA : Alhamdulillah, bagus tu. Teruskan. Tak ada masalah selagi kain yang digunakan tidak jarang.

Kak Aishah Is Smile said...

salam..

kak Aishah ucap banyak terima kasih atas kesudian menyiarkan artikel yang berani ini. Kak Aishah sokong pandangan UmmuHusna.Pada pendapat Kak Aishah pakailah pakaian yang mencerminkan kerjaya kita dan tonjolkan kehebatan Islam dengan menjadi orang yang bijak berfikir berprinsip dan sentiasa niatkan di hati walaupun kita pakai sederhana tapi otak dan hati kita biar 'grand'. bukan tonjolkan Islam dengan berfesyen-fesyen yang menjadi contoh cinta dunia.Keterlaluan bermekap kena pakai foundationlah dn mcm-mcm lagi. Kak Aishah berpendapat jadilah muslimah yang bijak berpengetahuan tentang agama, sains, teknologi, seni dll agar bila berckap atau beri pandangan atau memberi perkhidmatan(untuk kerjaya) lebih hebat dari pakaian yang diperagakan.

Percayalah saudaraku IT'S YOUR MIND THAT MADE HOW PEOPLE THINK ABOUT YOU.IF YOU ARE PROUD OF WHO YOU ARE(MUSLIMAH SEJATI) AND WHAT YOU WEAR (ALLAH REDHA DENGAN PAKAIAN ITU)Insya"Allah you will be more confident and happy with what you are doing! Believe me because I Do Love You Sister!

maaf zahir dan batin.

thank you ummuhusna

with love always,
Kak Aishah

Anonymous said...

Salam Ina,
Terima kasih atas peringatan...kekadang tu memang blh terleka & terpengaruh dgn arus komodenan fesyen skrg ni..bila membaca peringatan ni membuat kita blh membetulkn diri semula :-)
Terima kasih Ina..

~Kak Rofizah~
::Surrey::

MAMI AZLINA said...

Assalamualaikum Ina,

Tak dinafikan mmg ramai yg bertudung tp tak sempurna. Kadang2 terdetik di hati mami, org perempuan suka buat sesuatu kerja tak kira besar atau kecil akan dicuba buat dgn sempurna selagi boleh tp bila bab bertudung & berpakaian, terasa macam susah ke nak ikut cara yg betul. Padahal bg mami, nampak lagi manis & org lebih hormat lagi... Klau berjubah lagi selesa rasanya.... Mami bangga & suka tengok budak2 remaja yg berjubah dang bertudung labuh... nampak bertambah ayu rasanya... mudah2an kita semua diberi taufik & hidayah utk terus menjaga aurat kita, insyaALLAH

Mohd Shahnom Ismail said...

Assalamualaikum wbt

Disangka Ustaz2 sahaja perangai mengelirukan, rupanya ustazah2 pun.
Ana ada berdiskusi dengan sahabat lain mengenai istilah Ustaz-Ustazah, yang mana penggunaannya di Malaysia OUT OF CONTEXT

Apa pun ana yakin rakyat akan mengikut siapa yang menjadi pemimpin
Kalau kepimpinan yang ada tidak diubah, maka masyarakat akan jadi semakin korup

Nice entry

Jzk