27 April 2009

BERSYUKUR APA YANG ADA


Mata saya tidak berkedip memandang ke wajah anak sulung kesayangan. Saya menoleh pula ke almari cermin di hadapannya. Menggeleng kepala saya seketika.

“ Muka Kak Long dah putihkan Ummi, “ kata Kak long melihat saya terpaku memandangnya dari tadi.


“ Kenapa pakai bedak banyak sangat ni, sayang ?” saya melemparkan pertanyaan. Hairan dengan lakunya malam ini. Berbedak hingga sampai ke baju dan seluar. Putih bertompok sana sini.


“ Kak Long nak putih macam Kak Ngah, “ Kak Long menjawab sambil mula menunjukkan muka masam. Belas pula saya melihatnya.


Baru saya teringat kata-kata Kak Imah yang berkunjung ke rumah siang tadi. Rupa-rupanya Kak Long terdengar perbualan kami.


“ Husna lain sikit kulitnya dari Najwa ye, Ina” Kak Imah berkata memandang ke arah anak-anak yang sedang leka bermain di halaman rumah.


“ Seorang ikut ayah, seorang ikut Umminya, “ saya menjawab dengan senyum kelat. Bimbang Kak Long mendengar. Pasti dia terasa hati nanti. Sensitif sungguh dia bila orang menyebut warna kulitnya.



WANITA DAN WARNA KULIT

Betapa dunia hari ini. Seorang anak kecil juga sudah tahu menilai kecantikan rupa. Baginya putih itu cantik pada pandangan mata. Fikiran yang dicorak oleh penilaian manusia dewasa kaum wanita terutamanya. Semakin putih, semakin banyak mata yang menoleh.


Ironinya, di luar negara khususnya di UK ini, ramai wanita terutama golongan remaja kulit putih yang baru menginjak dewasa berfikiran sebaliknya. Bagi mereka, berkulit gelap dan hitam lebih seksi dan memikat hati. Justeru mereka berlumba-lumba melakukan rawatan wajah dan seluruh tubuh yang dinamakan ‘sunbed’ untuk menukar warna kulit dari putih ke warna coklat dan agak gelap. Dilaporkan, lebih dari 25% remaja dan golongan muda di UK menunjukkan gejala obses terhadap rawatan berisiko ini.


Saya pernah menonton satu rancangan bualbicara, Trisha Goddard Show yang banyak mengenengahkan masalah masyarakat termasuk remaja yang terlalu obses dengan kecantikan diri. Remaja jemputannya pada rancangan tersebut membelanjakan hampir GBP2000 sebulan hanya untuk rawatan kulit dan tubuh badan. Jumlah ini termasuk kos melakukan rawatan ‘sunbed’ di atas. Baginya, rawatan tersebut menjadikannya kelihatan lebih menarik, lebih sihat dan seterusnya akan mendapat ketenangan diri.


Saya bimbang dan kasihan melihat wanita-wanita yang terlalu mementingkan kecantikan rupa seperti ini. Bimbang kerana jika mereka seorang selebriti, pengaruh yang dibawa bukan sedikit impaknya. Ramai wanita kini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola dalam menentukan gaya dan penampilan mereka. Kasihan, lantaran kecantikan yang mereka tonjolkan adalah cantik palsu yang hanya membawa kepada kemurkaan Allah SWT.


Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit’ ingin sentiasa cantik ini, apa yang telah dimiliki bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang tidak kena dengan kemahuan jiwa. Mereka kurang yakin dengan penampilan biasa-biasa. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka berlumba-lumba melakukan rawatan mencantikkan tubuh dan rupa. Cuma bezanya, yang putih ingin lebih gelap dan gelap pula mengimpikan kulit putih menawan. Cetusan keinginan yang sama walau berlainan warna dan rupa.



SYUKURI KESEMPURNAAN

“ Eee..tengok muka orang tu Ummi, sebelah mukanya tak ada“ Kak Ngah tiba-tiba menjerit. Mungkin terkejut dengan gambar yang dilihatnya di kaca televisyen. Saya dan suami saling berbalas pandang. Kak Long yang asyik menggunakan komputer juga menerpa ke ruang depan mendengar jeritan Kak Ngah.


Ketika itu kami sedang menonton rancangan bercorak dokumentari, The extraordinary People yang memaparkan wajah dan rupa tubuh manusia yang luarbiasa dari yang biasa wujud di dunia ini. Dan kali ini, wajah lelaki di hadapan kami rongak sebelah dengan mata kanan yang lebih kecil, tanpa hidung dan mulut yang rebeh sebahagian besarnya. Wajahnya memang cukup menggerunkan bagi anak kecil yang melihat.


Lelaki itu berasal dari kawasan pedalaman negara China. Kedudukan kampung halamannya yang jauh terpencil menyebabkan dia hidup beberapa tahun dengan wajah yang rosak teruk selepas diserang seekor beruang hutan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital di tengah kotaraya untuk menerima rawatan membaikpulih wajah dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital. Saya, suami dan anak-anak melihat dengan rasa penuh keinsafan.


“Sebab itu kita yang ada wajah yang sempurna ini perlu selalu bersyukur. Allah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Semua sama sahaja. Ada mata, hidung, mulut, telinga dan anggota lainnya. Jadi kena selalu ucap Alhamdulillah,” kata suami saya menasihatkan anak-anak sebaik selesai menonton.


“ Tak boleh banyak komen tentang warna kulit lagi, “ saya mencelah dengan nada bergurau. Mata saya memandang Kak Long yang hanya tersengih malu.


“ Kulit Kak Long putih juga sebab Kak Long ikut Ummi. Cuba Kak Long tengok, samakan ?” saya menambah lalu memegang tangannya di atas tangan saya. Kami berdua memang memiliki warna kulit yang sama. Bibir Kak Long mula mengorak senyum biasa.


“ Tapi kulit Kak Ngah, Khalil, Solehah dan ayah lebih putih dari kita, “ bidas Kak Long masih belum puas hati.


“ Putih lebih sikit je. Tapi muka Kak Long muka ayah, tahu tak. Kak ngah pula lebih hampir dengan muka Ummi. Itu tandanya baik Kak Long mahu pun Kak Ngah, kedua-duanya anak-anak Ummi dan ayah yang tiada bezanya,” kata saya lagi sambil menjeling manja kepada suami. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil mendengar celoteh Ummi mereka.



MENGUBAH CIPTAAN

Tiada yang kurang dari ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Tinggal lagi manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan segala kurniaannya. Selagi belum menutup mata, selama itulah nafsu sentiasa meniupkan keinginan untuk meraih perhatian manusia. Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit hati’ seumpama ini, merasakan kulit yang mulus, masih belum mampu membahagiakan kerana warnanya yang tidak seputih salju. Lalu ribuan ringgit dibelanjakan. Berbagai rawatan kecantikan dicuba tanpa mengira halal dan haram menurut syari’at agama. Semua itu dilakukan hanya untuk mencapai impian memiliki warna kulit idaman hati agar lebih menawan pada pandangan manusia lainnya. Seolah-olah kejadian Allah menjadikan warna kulit yang gelap tidak tepat dan sangat hodoh pada pandangan mata.


Soal mengubah warna kulit bukan soal ranting yang boleh dikesampingkan dari diperkatakan oleh golongan agamawan. Ini kerana ia melibatkan persoalan akidah, lantaran kejahilan diri. Allah SWT menghebahkan tipudaya syaitan menerusi kalamNya yang bermaksud :


Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.’ Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (an-Nisa': ayat 117 - 119)


Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa Islam mengharuskan rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya seperti menggunakan ubat-ubatan untuk membuang jeragat atau jerawat yang merosakkan kulit wajah dan seumpamanya dan bukan dengan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit.



BERSYUKUR APA YANG ADA

Sememangnya wanita sangat teruji dengan warna kulit kurniaan Ilahi. Hanya mereka yang bersyukur sahaja mampu menerima dengan senang hati. Justeru, hati dan minda perlu sentiasa disuburkan dengan sifat redha terhadap apa-apa yang dimiliki hari ini. Gembira terpancar indah menyerikan seri rupa, tanda seseorang itu mensyukuri segala nikmat yang diterimanya. Kesyukuran yang akan lebih melorongkannya untuk terus beribadah, mengabdikan diri sebagai hamba yang Esa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih. (Ibrahim : ayat 7)

Akhirnya, bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar terlafaz oleh lisan, tetapi hidupkan syukur dengan meningkatkan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah. Sedarilah, sesungguhnya DIA telah, sedang dan selalu memberi lebih banyak dari apa yang telah dan mampu kita berikan kepada Nya.

Dan Dia (Allah) Telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi sangat mengingkari (kufur nikmat). (Ibrahim: ayat 34)




Benarlah..benarlah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.




Jumpa lagi, Insya Allah.


2 Jamadil Awwal 1430


27 april 2009

17 comments:

maisarah said...

salam k ina, saya kagum dgn cara k ina handle situasi sebegini..sebab, saya perhatikan...kalau ibubapa silap handle rasa rendah diri anak..dibimbangi hilang rasa yakin diri kan.k ina cakap pada husna, makcik mai cakap husna sangat sweet.memang anak2 k ina sweet2 dan comel2. saya selalu baca blog k ina utk jadi panduan bagi saya mendidik si kecil saya juga.

zaffan said...

salam kak ina

baru-baru ini ada melihatkan gambar-gambar anak-anak kak ina. pandai benar husna bergambar. Bagi saya, amat fotogenik.

Kak long husna jangan risau, kecantikan itu dalaman :)

kak ina, ini website baju yang saya katakan haritu, saya sudah beli. alamdulillah kualiti dan labuhnya ok. http://shukr.co.uk

Aisyah Humairah said...

Assalamu'alaikum...
Salam ukhwah kak ina... izinkan ana memanggil kak ina.. Ana setuju pendapat kak.. betul apa yang diutarakan.. memang manusia suka pada keindahan... mereka menilai keindahan itu cantik dari matanya. Tetapi keindahan itu sebenarnya adalah cantik dari sisi Allah... Biarlah ia tak cantik dari sisi kita, kerana benda yang terbaik untuk kita hanya Allah yang mengetahui.....

ummi humaira said...

assalamualaikum kak ina.. memang betul manusia tak pernah puas dengan apa yang ada..

yang membezakan hanya orang2 yang beriman dan bersyukur dengan kurniaan-nya.

saya sendiri pernah mengalaminya.. cemburu dengan kehidupan orang lain.. alhamdulillah suami cepat menyedarkan.. ada orang lain yang teruk lagi nasibnya dari kita seperti nasib anak2 di dafur tu..

waallah hu a'lam

maryam yaseerah said...

salam kak ina. slm ukhwah, dpt blog ni dr kakak.. akak, sy nak mntk pndgn ni. difhmkan, dulu akak pun seorg ustzh. sy pn seorg ustzh, br je posting. kak, cmn nak letakkan diri kita tkedepan setanding ngan guru2 hebat yg lain. kdg2 klu bkn dgn cara ni, suara kita guru2 agama kurang didengari. khususnya bg sek bkn SMKA. dan kak, blh bgi tips tak camane nak biar btl2 close ngan students khususnya pljr perempuan. sy dpt rasakan mrk mghormati sy sbg seorg guru, tp bile b'sama2 mase buat kerja eg psiapan maulud etc, mrk spt tbatas utk b'ckp ngan saya. no jokes, no mesra2.. pendek kate xdela dieorg nak luah2 perasaan.. padahal klu kes2 berat yg melibatkan BADAR, dierg mmg refer sy... akhir skali, bagilah sy tips utk jadi ustazah yg excellent n hasanah fiddunya wal- akhirah, yg blh touch ht anak2 murid, yg akhirnya menggerakkan perubahan dlm dr mrk n sy sendiri... btl2 nak dgr respon akak.. or akak blh tulis 1 artikel psl ni...Terima kasih banyk2 ye kak ina... :-)

Kak Ummi said...

Aslkm Dik Ina.Waduh!Rindu tak terkira nak menjenguk Ina di sini.Dah seminggu modem Kak Ummi bermasalah.

Kak Ummi nak cerita kat Ina satu perkara.He,he...sebagai pengubat rindu...

Masa Kak Ummi kecik-kecik dulu,kan...pernah ada yang menegur mak Kak Ummi masa Kak Ummi ke pasar bersama mak.Nak tau apa tegurannya?

"Eh,Cik Yam,yang ni anak siapa?"....Wusyh!Perkataan tu terasa seperti tombak tertikam di dada!Betullah Ina.Perkataan tu lekat sangat-sangat di kepala dan Kak Ummi ingat sampai sekarang sebab tegurannya membawa maksud Kak Ummi ni lain sangat dari mak dan kakak Kak Ummi yang berkulit putih!Huhuhu...

Namun Alhamdulillah,pandai mak Kak Ummi cover balik.."Laa..tak nampak ke?Kan adik ni 100% ikut bak (bapa)nya..anak perempuan ikut bapak..sejuk kata orang."..membuatkan 'keterlukaan' Kak Ummi kembali terubat...fuh!

Sekarang ni tibalah masa kita pulak untuk 'berpsikologi' dengan anak-anak dalam situasi masyarakat yang tidak mahu mengambil berat teknik perbualan berhikmah...

Aisyah said...

Salam Ustazah,
Terima kasih atas cerita dan tazkirah yang begitu mengenai batang hidung saya... Saya memang selalu berkata2 seperti mengutuk rupa sendiri... Sehinggakan ibu saya mungkin terasa dan berkata "Nak buat macam mana, dah ibubapanya macam ini."....
Sebenarnya tidak pernah sekali-kali saya berniat untuk tidak bersyukur dengan nikmat kecantikan yang dikurniakan Allah, Wa Na'uzu billahi min zalik... Tetapi mungkin sikap rendah diri yang terlalu kuat dalam diri ini menjadikan saya berintonasi seperti itu. Tidak dinafikan dalam kebanyakan masa saya mengharapkan si pendengar menidakkan kata2 saya atau memuji saya...
Minta maaf memberi komen yang panjang, saya hanya ingin berkongsi krisis dalam diri saya (mungkin sebahagian daripada psikologi anak kedua)... Anyway, thank you very much Ustazah... I will try my best to be more and more grateful to Our Creator and be more self-confident...

Ummu Husna said...

Salam semua,

MAI & ZAFFAN : senyum lebar Kak Long dan Kak Ngah baca komen tentang mereka. Terima kasih : )

AISYAH : ye, paras rupa yang cantik hanya bonus dan ujian kepada pemiliknya. Jadi, jangan menyalahgunakannya kerana ia akan dikembalikan kepada Yang Maha Mencipta ( Allah SWT ).

UMMI HUMAIRAH : Kita jadi lupa dan sering kecewa kerana memandang orang yang di atas dalam perkara dunia, sedangkan untuk ibadah dan urusan agama kita memandang orang yang di bawah..bukankah itu tertipu dengan diri dan nafsu sndiri.

Terima kasih atas perkongsian. Sama-sama kita perbaiki diri.

Ummu Husna said...

MARYAM YASEERAH : Panjang ceritanya tu :)Ringkasnya, guru perlu sentiasa ikhlaskan hati terutama golongan ustazah kerana kita bukan sekadar mengajar untuk mereka pandai, tetapi lebih dari itu agar mereka menjadi muslim dan muslimah yang lebih baik dari semalam dan akan datang.

Kita dekati mereka kerana murid biasanya malu untuk berjumpa apatah lagi berbaik-baik dengan guru agama. Mungkin rendah diri terutama jika mereka tidak menutup aurat sempurna bagi pelajar perempuan. Ayat yang selalu Kak Ina ulang-ulang untuk menghargai kehadiran golongan seperti ini:
" Kamu masih muda dan kurang dosa berbanding ustazah yang telah berusia..kamu lebih mulia, jadi teruskan kemuliaan ini dengan berbuat baik dan taat pada perintah Allah juga RasulNya "

Apapun,Insya Allah jika ada kesempatan akan Kak Ina kongsikan..

Ummu Husna said...

KAK UMMI : Betul tu, anak-anak perempuan biasanya lebih terasa dengan kata-kata orang berbanding anak lelaki. Terima kasih kak atas pandangan dan perkongsian pengalaman. Bagus betul cara ibu Kak Ummi, anak rasa terbela : )

AISYAH : Alhamdulillah, perasaan remaja memang begitu..dan Kak Ina juga pernah melaluinya. Tapi ayah Kak Ina selalu memujuk, " kita ni dah Allah jadikan cukup sempurna ada mata, hidung, mulut dan lain-lainnya. Cantiklah tu..". Pandang orang yang kurang dari kita, Insya Allah kita akan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada : )

D'Rimba said...

Syukuri dan manfaatkan kurniaan Allah jauh lebih bermakna............

LUKISAN PENA said...

berharap semoga tidak tersesat dalm pencarian...

Anonymous said...

Salam kak ina,

Anak saya yg no3 pun dulunya sgt sensitive dgn isu warna kulit ni.. anak yg lain2 putih, kami tak pernah membeza2kan.. cuma mulut org yg tak tahu nak cakap berlapik2... esp masa anak tu ada jgn lah ckp pasal warna kulit kan? Pernah juga anak saya ni tempek bedak byk2sebab nak putih. Dia tadika lagi masa tu. tapi saya ckp Allah tak tgk muka.. Allah tgk hati... byk lah saya borak2 dgn dia bab muka lawa ni bukan segala2nya... skrg dia dah tak kisah sgt hal ni.. Alhamdulillah. Cuma berkongsi pengalaman kak. Wasalam.

Tie

noraslina.jusin said...

Salam,

D'RIMBA : Ye, betul tu..Kak Ina sangat bersetuju.

LUKISAN PENA : Ye, semoga tidak sesat, banyakkan bertanya orang yang tahu, InsyaAllah selamat.

TIE : Terima kasih atas perkongsian..sama je tindakbalas anak Tie dan anak Kak Ina ye :)..bagus cara Tie terang pada anak..semoga dia tidak terasa legi.

ummu alia said...

salam,first time ziarah blog ni.alhamdulillah,banyak yang dapat dimanfaatkan.tak dinafikan wanita memang obses dengan kecantikan ni.terpengaruh dengan aliran fesyen semasa sampai syariat ditolak ke tepi.camana ye nak istiqamah...susah sangat..

ummu Masyitah said...

assalamualaikum..izinkan saya memanggil kak ina. catatan akak ini mengingatkan saya kepada pengalaman masa kecil saya. pendekatan berhimah akak itu akan saya jadikan pedoman untuk anak2 saya kelak.iAllah

CT said...

Salam,
saya harus simpan dan ingat pendekatan kak ina ini saya pun mempunyai 2 org anak perempuan yg berlainan warna kulit...mmg sudah pasti bila besar nanti akan jadi satu persoalan...

terima kasih ya kak ina