BAGAIMANA CINTA-MU WAHAI IBUBAPA?

Saya melepaskan satu keluhan berat tatkala mendengar cerita daripada seorang kenalan terdekat tentang sikap segelintir ibu bapa yang menyalahkan pihak sekolah atas kegagalan anak-anak mereka meraih markah cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun bulan Jun yang lalu.

“Tambah menyedihkan bila ibu bapa kepada pelajar yang kurang menyerlah ini seperti membandingkan pula anaknya itu dengan kakak dan abangnya yang telah berjaya, kata mereka : “Kakak dan abangnya dulu pandai-pandai belaka!.” Ujar kenalan saya itu dengan wajah sedikit kesal.

Saya yang mendengar juga turut terdiam. Gusar!

“Apa agaknya yang diinginkan oleh ibu bapa sebegini daripada anak-anak mereka? Hanya memperakui anak yang berjaya, sementara yang ketinggalan, segala kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada pihak ketiga. Di mana muhasabah ibu bapa?” Gelengan kepalanya bagaikan mewakili rasa sesal yang bersarang dalam jiwa.

Saya terus membisu tanpa sepatah kata. Dalam hati, saya sangat menyetujui patah bicaranya.

Di mana muhasabah ibu bapa? Mampukah bicara yang membezakan prestasi anak-anak dalam pencapaian akademik sedemikian rupa mampu menyelamatkan mereka dalam kehidupan seterusnya?


Bermain salji ~ sekadar hiasan

KEJAYAAN

Saya merenung ke dalam diri, melontarkan satu pertanyaan yang saya rasakan begitu dekat dengan ibu bapa lain tika menangani soal pendidikan anak-anak. Sepenuh hati saya meyakini bahawa, tiada ibu bapa di dunia ini yang mengimpikan anak-anak yang ‘gagal’ dalam hidup mereka. Cuma pada saya kekeliruan kita sebagai orang tua adalah pada memberikan makna dan pengertian tentang sebuah kejayaan.

Kerap kali, tatkala berbicara tentang individu pelajar yang berjaya, fokus perbincangan lebih menjurus kepada nilaian markah dan jumlah A yang berhasil diperolehi. Sementara sudut-sudut selain dari itu, bagai terpinggir dan kurang diberi perhatian.

Sedangkan saya percaya, jika diperhatikan situasi sekeliling, kebejatan akhlak yang berlaku di kalangan remaja dan belia hari ini telah menjangkaui kepada anak-anak muda yang cemerlang pelajaran mereka, yang juga pernah dibangga-banggakan sebagai pemuda pemudi harapan bangsa.

Namun, tatkala individu yang cemerlang ini ditemukan melakukan kesalahan yang berat menurut norma budaya dan agama, kita mula mempersoalkan, di manakah silapnya pada pendidikan anak-anak ini sehingga kejayaan meraih deretan ‘A’ tidak pula menjangkau kepada akhlak dan budi pekerti?

“Bagaimana agaknya ya…penerimaan orang tua yang pernah dengan rasa gembira dan bangga menghantar anak-anak ke menara gading, tetapi kemudiannya, setelah empat lima bulan berlalu, menerima pula surat makluman dari pihak universiti tentang masalah disiplin anak-anak mereka. Ada yang sengaja ponteng kuliah, sebahagiannya pula lambat hadir ke kelas kerana terlalu lewat tidur dan tidak kurang juga yang terjebak dengan sindiket pernikahan palsu. Itu belum lagi menyentuh gejala seks sonsang yang berlaku di kalangan penuntut universiti. Tak dapat saya bayangkan…” Pernah seorang kenalan lain meluahkan kerisauan.

Mereka berjaya menggapai kegemilangan pelajaran, tetapi belum benar-benar menjadi muslim 'berTUHAN'!

 

MENJADI LALANG

Justeru itu, sudah sampai masanya, kita sebagai individu dewasa yang mendakwa ‘lebih dulu makan garam ini’ bermuhasabah dan merenung kesilapan diri.

Andai kita selaku ibu bapa mengakui bahawa di satu tempat yang sama pasti akan lahir orang-orang yang baik maupun orang-orang yang rosak, kita juga sewajarnya turut mengakui bahawa betapa pun berpengaruhnya persekitaran, baik buruk modal insan yang dihasilkan tetap tidak bergantung kepada lingkungan, bukan juga suasana dan bukan zaman saat seseorang itu dibesarkan menjadi penentunya. Akan tetapi yang paling berperanan mencorak anak-anak adalah bagaimana kedua ibu bapanya membekalkan nilai-nilai hidup kepada cahaya mata mereka sejak awal usia.

Walaubagaimanapun, inilah masalah yang berlaku apabila ibu bapa dewasa ini terlalu sibuk menyuburkan keterampilan anak-anak dalam peperiksaan, memerhati penuh teliti kemampuan mereka menjawab segala bentuk soalan yang dikemukakan pada kertas ujian, juga kekreatifan anak-anak mengolah jawapan agar bertepatan dengan soalan peperiksaan. Sedangkan, persoalan mengenai prinsip dan pegangan hidup yang lebih mendasar dikesampingkan bagai tiada nilai untuk masa depan.

Jika sekadar itu sahaja kecerdasan kognitif anak-anak ini dibangunka dengan tumpuan ibu bapa di rumah dan penekanan yang berulangkali sepanjang tempoh sekolah dibuka, maka kebimbangan untuk anak-anak ini kehilangan jejak dan arah tatkala usia dewasa menginjak adalah lebih besar. Ini kerana, anak-anak yang baru mula memegang ‘layar’ kehidupan sendiri setelah sekian lama mengikut perlayaran ibu bapa, tidak mampu mengarah diri mereka sendiri kerana tiada prinsip yang kuat, orientasi yang jelas dan nilai-nilai hidup yang berpengaruh yang benar-benar men’jatidiri’kan mereka selama ini. Kesannya mereka menjadi seumpama lalang, sangat mudah mengikut arus atau ‘ trend’ yang melata tanpa kebijaksanaan menilai akan baik buruknya.


QAULAN SADIIDA

Ini mengingatkan saya kepada lembaran ayat-ayat cinta-NYA yang pernah saya baca; ayat-ayat yang sungguh indah dari surah an-Nisa’ ayat 9 dan surah al Ahzab ayat 70. Ada persamaan pesanan dari untaian kata yang tertera pada kedua-duanya.

Cukup dalam….

Firman ALLAH SWT :

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُواْ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُواْ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللّهَ وَلْيَقُولُواْ قَوْلاً سَدِيدًا

Maksudnya : “Dan hendaklah takut kepada ALLAH orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada ALLAH dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” ( An Nisa’ ayat 9 )

Dan firman-NYA :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALLAH dan katakanlah perkataan yang benar.” ( Al Ahzab ayat 70 )

Itu pesan indah dari ALLAH SWT yang cukup menyentak jiwa. Kedua-duanya menggariskan dua pendekatan iaitu bertaqwa dan mengucapkan kata-kata yang benar sebagai pra-syarat yang harus dipenuhi agar generasi yang ditinggalkan nanti, adalah generasi yang tidak lemah, bahkan kuat menentang mehnah. 


TAQWA DAN QAULAN SADIIDA

Pra-syarat pertama berawal mula dengan ibu bapa, mereka harus lebih dulu menjadi orang-orang yang bertaqwa. Ketaqwaan terhasil dari keimanan kepada Yang Maha Esa dan bukan semata pengetahuan tentang agama, iaitu dengan meyakini bahawa setiap syari’at-NYA mengandungi kebaikan terhadap kehidupan manusia sepanjang masa dan di mana sahaja.

Untuk itu, mereka lebih dulu melaksanakan ketaatan agar anak-anak menuntuninya pula. Mereka lebih dulu menjauhi maksiat sebelum anak-anak diperingat dan dinasihat. Seterusnya mereka pasti akan berusaha pula untuk membangun keyakinan yang kuat dalam diri anak–anak terhadap syari’at ALLAH; tidak ada keraguan sedikit pun padanya kerana mereka memahami bahawa al Quran yang diturunkan oleh ILAHI sebagai petunjuk dan panduan abadi hanya akan berfungsi kepada jiwa yang tidak curiga dan meragui.

Mereka percaya menanam nilai bukan semudah memupuk kebijaksanaan kognitif yang hanya berkisar soal teknik dan cara, tetapi nilai beragama serta merasai hidup ‘Bertuhan’ datang bersama pakej kesedaran mengamalkannya, dan ia bertitiktolak dari keyakinan. Jika jiwa anak-anak tidak yakin, penjelasan panjang lebar tidak akan memberi manfaat apa-apa selain hanya menambah pengetahuan. Sebaliknya, jika anak-anak memiliki keyakinan yang kuat, maka bertambahnya pengetahuan akan menambah kuat keyakinan yang telah sedia tersemat.

Selanjutnya, pra-syarat kedua ialah mengenai kata-kata yang benar, qaulan sadiida. Imam at-Tabari ( Jami’ul Bayan fi ta’wili ayyil Quran ) menafsirkan kata  qaulan sadida dengan makna adil manakala Al Buruswi  ( Tafsir Ruhul Bayan ) pula menyebutkan  qaulan sadida dalam konteks tutur kata kepada anak-anak yatim yang harus dilakukan dengan cara yang lebih baik dan penuh kasih sayang, seperti kasih sayang kepada anak sendiri.

Sementara itu, Hamka ( Tafsir al Azhar )  menafsirkan kata  qaulan sadida berdasarkan konteks ayat, iaitu dalam konteks mengatur wasiat yang mengandung makna kekuatiran dan kecemasan seorang pemberi wasiat terhadap anak-anaknya yang digambarkan dalam bentuk ucapan-ucapan yang lemah lembut, jelas, jujur, tepat, baik dan adil.

Untuk itu, apa yang dapat saya fahami secara ringkas, perlaksanaan qaulan sadida dalam pendidikan anak-anak terutama dalam pergaulan seharian hendaklah berintikan perkara-perkara berikut :

1)  Benar iaitu kata-kata yang diucapkan itu sesuai dengan realiti yang terjadi, tidak menambah-nambah ataupun menguranginya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Biasakanlah berkata benar, kerana kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Hendaklah seseorang itu selalu berkata benar dan berusaha supaya tetap benar, sehingga dicatat di sisi ALLAH sebagai as-siddiq ( yang amat benar).” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Siapakah lawan dalam berbicara tentu sahaja berbeza kata-kata yang tepat untuknya; sebagai contoh: berbicara dengan orang tua pasti tidak sama kata-kata yang diucapkan terhadap anak kecil dan remaja. Oleh itu, di samping kata-kata yang benar, harus pula bijak membaca situasi dan objek yang diajak bicara. Ini termasuk, harus pandai mengukur apakah kata-kata itu melukai atau tidak, karena sensitiviti setiap orang tidak serupa.

Bermanfaat dan membangun jiwa sebagaimana anjuran Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud : "Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam; barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati jirannya; dan barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya" ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk itu, saya suka berkongsi sebuah kisah menakjubkan di dalam al Quran tentang bagaimana kata-kata yang benar, tepat dan bermanfaat ini dapat direalisasikan bagi menyelamatkan sebuah kehidupan.





KISAH SEMUT

Suatu ketika, tatkala Nabi Sulaiman alaihissalam bersama bala tenteranya melewati suatu wilayah, tiba-tiba baginda mendengar laungan seekor semut kepada semut-semut yang lain :

“Wahai semut-semut, masuklah kamu semua ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak  oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”

Nabi Sulaiman yang dikurniai mukjizat oleh ALLAH SWT memahami bahasa seluruh makhluk hidup, sebaik mendengar kata-kata semut tersebut, baginda tersenyum dan tertawa lantas mengangkat tangannya berdoa ke hadrat Yang Maha Kuasa :

رَبِّ أَوْزِعْنى‏ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الّتى‏ أَنْعَمْتَ عَلَىّ وَعَلى‏ والِدَىَّ وَأَنْ اَعْمَلَ صالِحاً تَرْضيهُ وَأَدْخِلْنى‏ بِرَحْمَتِكَ فى‏ عِبادِكَ الصَّالِحينَ

Maksudnya : “Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan agar aku mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” ( Surah an Naml ayat 19 )

Alangkah indahnya andai semua ibu bapa menurut jejak langkah semut pada ayat ini dalam berbicara kerana ada beberapa pengajaran berharga yang dititipkan Yang Maha Kaya dari ucapan semut ini, antaranya :

1)  Kata-kata yang bertujuan menyelamatkan kehidupan sangat mahal nilainya. Apatah lagi jika kata-kata seumpama ini dilafazkan oleh kedua ibu bapa terhadap apa jua situasi anak-anak mereka, baik ketika mereka mempamerkan prestasi demi prestasi yang memberangsangkan dalam pelajaran, mahupun ketika mereka menghulurkan dengan penuh bimbang ke tapak tangan ibu bapa, sekeping kad kemajuan yang bertanda ‘merah’ pada markah peperiksaan.

Ketika itu, adakah kemarahan dan cercaan yang anak-anak dapatkan dari ibu bapa atau pelukan penuh hangat beriring kata-kata semangat bahawa mereka harus berusaha lebih kuat untuk kejayaan akan datang.

 

Sekali gagal, bukan beerti gagal selamanya.

 

2)   Bersangka baik melalui kata-kata. Bersangka baik seperti ini lebih menenangkan semua pihak dalam bermuhasabah seterusnya masing-masing berlapang dada untuk melipatgandakan usaha.  Pihak sekolah dan guru-guru merasa dihormati dan berikhtiar lebih gigih manakala ibu bapa pula berperanan membantu di rumah.

 

3)      Ikhlas untuk manfaat akhirat. Jika ALLAH SWT merakamkan bicara sang semut yang bertujuan untuk keselamatan di dunia ini di dalam al Quran sebagai menunjukkan betapa mulianya kata-kata sedemikian, maka apatah lagi jika kata-kata yang terbit itu bermatlamatkan keselamatan di akhirat nanti. Pasti kemuliaannya berganda juga.  Justeru, sebagai ibu bapa, tanggapi permasalahan anak-anak dengan kata-kata yang bersifat menyelamat akhirat ini iaitu ucapan berintikan ikhlas dan cinta tanpa syarat.

 

BAGAIMANA CINTAMU WAHAI IBU BAPA?

Akhirnya, wahai insan bergelar ibu bapa…mari kita terus bermuhasabah. Sesungguhnya tiada kerugian pada orang yang selalu menghitung diri. Mencongak-congak ‘nasib diri’ di hadapan pengadilan ILAHI nanti.

Andai setelah membaca pandangan ini, kalian bertanyakan kepada saya :

“Lalu apakah anda reda jika suatu masa kelak anak-anak yang diharapkan menjadi ‘insan’ terpandang di dunia hanya menjadi kerani biasa?”

Jawapan saya :

“Jika ALLAH SWT menetapkan bahawa syurga itu hanya tersedia buat mereka yang cemerlang dalam kerjaya di dunia, maka saya amat bimbang, kecewa dan putus asa. Akan tetapi, ALLAH SWT telah berfirman bahawa syurga itu adalah buat orang-orang bertaqwa, maka harapan saya masih subur, impian saya masih tidak lebur kerana keadilan-NYA menjamin sesiapa sahaja yang bertaqwa pasti memperolehi nikmat berganda di dalam syurga-NYA.”

Untuk itu, saya akan terus berusaha mengisi jalan-jalan asbab  bagi meraih kejayaan di dunia dan akhirat, dan meninggalkan pilihan masa depan itu di ‘tangan-NYA’ Yang Maha Tahu.

Tawakal yang sebenar-benarnya hanya pada DIA, bukan pada usaha manusia yang lemah seperti kita.

Saya hanya memerlukan ikhlas.

Ikhlaslah dalam menyintai anak-anak kita…

Comments

Artikel yang sangat Menarik
kunjjungi juga:
website kami

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA