SANAH HELWAH MARYAM 'AFIFAH

Sanah helwah anakanda ummi


"Eeii ni kak long, kak ngah ke?" Soal anak dara kenit ummi dengan nada teruja saat kami membelek foto-foto lama. Saya mengangguk. 

"Hihi tengok ni Khalil Solehah masa kecik..kelakar."Dia tertawa pula menatap gambar abang dan kakak di atasnya; kawan bermain, kawan bergaduh pun iya. 

"Gambar Maryam tak ada pun.."Tambahnya dalam nada seakan merajuk , tertanya-tanya barangkali kenapa dirinya 'tidak wujud' dalam semua gambar-gambar yang dilihatnya. Baik gambar-gambar kenangan semasa di Irbid, Jordan, apatah lagi semasa kami 6 beranak merantau ke Wales dan Leicester, United Kingdom. 

"Memang la Maryam tak ada..kan Maryam belum lahir lagi masa ni.."Pujuk kak ngah yang memang rapat dengan adik kecilnya ini. 

"Maryam kat perut ummi lagi kan..."Dia pula menambah, memujuk diri sendiri.

Comel!


DI SINI BERMULA

"Ya ALLAH, andai ada izin-MU untuk diri ini beroleh seorang lagi, permata hati. Engkau kabulkanlah permohonan hamba-MU ini.."

Acap kali kebelakangan, doa ini sering saya panjatkan ke hadrat-NYA. Entah mengapa, 'gurauan' seorang kenalan di Giant, Batu Caves beberapa hari sebelum, sangat meninggalkan kesan di hati. Ketika itu, saya bersama anak-anak baharu sahaja selesai membeli barang-barang keperluan rumah. 

"Empat je anak ustazah?" Sapanya. 

"Ya..Alhamdulillah, empat orang. Ni yang kecil...dah nak masuk tadika tahun depan."Saya cuba beramah tamah.

"Sikit tu..boleh tambah lagi. Cuba tengok anak ustazah N, lapan orang anaknya..ramai.."Dia 'mengusulkan' dengan senyuman sinis. Mungkin saya yang melihatnya begitu lantaran kata-katanya menyentap tangkai jiwa. 

Saya terasa! 

Perasaan itu terbawa-bawa sehinggalah saya sekeluarga direzekikan melaksanakan umrah pada bulan Februari 2013 bersama agensi Wira Saujana yang menaja pemergian kami. Suami dijemput sebagai tokoh yang akan mengiringi para jemaah lain, memberi pengisian, panduan dan rujukan sepanjang berada di Makkah dan Madinah. Alhamdulillah.

Saat berada di bumi barakah sana, antara waktu-waktu meneladeni cinta hati saya berlima, iaitu suami dan anak-anak berempat, masa yang terluang memang saya manfaatkan untuk memanjangkan permohonan ini secara khusus kepada Yang Maha Kaya. 

Bergambar sebelum meninggalkan bumi Madinah


Bersungguh rasanya kali ini saya menginginkan seorang lagi zuriat penyambung kasih saya dan suami,.  

Apakah 'rahsia' dari-NYA? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui. 

SubhanaLlah wal hamdulillah walLahu akbar!


10 NOVEMBER 2013

"Rasanya dah sampai masa ni bang, ada darah sikit...."Pagi itu, saya memberitahu suami yang dikasihi usai keluar dari 'toilet'. 

Keadaan perut yang membuyut terasa amat berat sekali. 

Walaupun sakit tidak begitu kuat terasa tetapi pengalaman empat kelahiran yang lepas, menguatkan rasa hati bahawa masa untuk bertemu yang dinanti-nanti setelah sembilan bulan lebih ini semakin menghampiri. 

Si kecil yang amat saya tunggu-tunggu kehadirannya setelah enam tahun berlalu dari saat melahirkan anakanda keempat, Zahratun Nur Solehah. 

Saya merindukan bau seorang bayi, mengulit jemari kecil, momen indah menyusukan, mendodoi tika menidurkan walau pastinya semua rutin berpenat lelah berjaga malam, menggantikan lampin, tangisan, rengekan dan lain-lain dalam membesarkannya akan seiring bersama. 

Dalam usia mencecah angka 40 dua tahun sahaja lagi, memang kandungan kali ini terasa begitu beerti.Sementelah ujian kehidupan dalam tempoh mengandung yang berbeza amat dari sebelum ini,; beban fizikal, mental dan emosi begitu mengasak...apa yang boleh saya katakan..


Manusia hanya merancang tetapi ALLAH Yang Maha Kuasa lebih hebat perancangannya. Dikurniai-NYA  rezeki dengan beriring cabaran untuk diri ini terus tunduk menagih kasih-NYA. 

"Ya ALLAH, terus kuatkan hamba-MU yang lemah ini..." Tak henti lidah ini menzikirkan munajat ringkas namun penuh mengharap belas.  

Syukur, tepat jam 10.15 malam setelah sakit yang bersangatan dialami hampir lima jam lamanya, lahirlah seorang puteri dalam tangis rindu seorang ummi, bersama doa dan sokongan moral juga semangat seorang ayah yang tak pernah gagal menemani sejak anak pertama dulu lagi. 

Alhamdulillah thumma alhamdulillah <3


TUJUH TAHUN BERLALU

Dan hari ini, tanggal 10 November 2020, alhamdulillah, genap usia anakanda kelima ini tujuh tahun. 

Moga ALLAH Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Kaya melimpahkan keberkatan dalam setiap perjalanan hidupmu anakku, dengan berkongsi suka, duka, tangis dan tawa ummimu ini sewaktu dirimu masih dalam kandungan lagi...maaf atas khilaf dan kekurangan ummi yang lemah..dengan kasih-NYA, kita terus melangkah, bismillah Aameen.

 


 


Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA