26 October 2009

MUHASABAH CINTA



Entah kali ke berapa saya menatap wajah lembutnya. Wajah yang suatu ketika dulu indah berseri dengan senyuman bak gula, kini suram dan kelam dengan pelbagai rasa yang terpendam.

Saya cuba menarik perhatiannya dengan menyanyi-nyanyi kecil lirik nasyid: Isteri cerdik yang solehah. Namun dia terus membisu. Tidak berkata walau sepatah.

“Ehemm..”saya berdehem. Kelihatannya dia bagai tenggelam dalam lamunan yang amat dalam.

“Ehemm..sahabat !” kali ini saya menguatkan suara. Sedikit, sekadar untuk memastikan dia mendengar dan memberi perhatian.

Panggilan saya berbalas pandangan. Dia melempar senyum, malu-malu. Mungkin baru tersedar sudah beberapa detik pertemuan kami ini hanya bersulam diam.

Saya membalas dengan senyuman. Dari hati. Penuh empati. Bukan baru sehari dua kami saling mengenali.

Dia, sahabat yang dahulunya sentiasa ceria dan tinggi keyakinan diri. Kata-katanya petah berisi. Bahasanya dari hati, meninggal bekas kepada sesiapa yang mendengar. Tanda sampainya juga jauh ke lubuk jiwa.

Tetapi hari ini, tatkala melihat dia sering mengelamun sendiri, bagaikan dia bukan lagi sahabat yang amat saya kagumi. Suatu ketika dahulu, ketika di alam kampus universiti.

CINTA PUDAR, BENCI MEMUGAR

“ Mengapa..sahabat?”soal saya memecah senyap dan sunyi yang lama membaluti pertemuan kami. Dia memandang sambil melepas keluhan. Berat sekali.

“ Bukankah lebih baik mengubat luka dari membiarkannya terus berdarah sehingga bernanah..tidak dijaga. Mengapa membiarkan cinta pudar berganti benci yang kian memugar?” saya menyambung tanya. Saya tahu dia memahami apa maksud saya.

“ Ana dah cuba…tapi semuanya tetap begitu. Ana jadi bosan..” dia meluah rasa.

“ Sahabat belum cuba sehabis daya..”saya berkata. Mendengar itu, dia mengalih pandang. Masam. Mungkin tersinggung dengan kata-kata saya tadi. Bagai tuduhan tanpa bukti.

“ Ukhti tak tahu apa yang ana rasa…Ana ingatkan dia seorang yang menjaga kesempurnaan. Ibadahnya diambil berat. Hubungan dengan perempuan lain dikawal ketat..dan yang lebih penting, perasaan ana sebagai isteri dipegang erat. Ana merajuk. Dia memujuk. Ana sedih, dia segera menghilangkan pedih….tapi..”dia berhenti. Pandangannya sekali lagi dilempar jauh. Kolam matanya mula bergenang air jernih.

Saya mendengar. Cuba memahami pilu hati sahabat yang kini bergelar isteri. Mengahwini seorang lelaki yang dahulunya bergelar pemimpin pelajar.

PEMBIMBING

“ Sahabat terlalu mengharap kesempurnaan. Tiada manusia yang sempurna serba serbi. Kita sebagai isteri juga banyak kelemahan diri..”luah saya lembut. Saya pegang bahunya. Moga dia mengerti.

“ Bukan begitu…”dia menafikan. Airmatanya yang tumpah dibiarkan laju menuruni pipi.

“Dahulu, saat dia melafazkan: Aku terima nikahnya, ana terlalu gembira. Bersyukur, memperolehi seorang suami yang mampu menjadi pembimbing dan pendamping setia. Tetapi..kini, setelah bertahun hidup bersama..apa yang ana impikan jauh dari kenyataan…dia bukan sebagaimana yang ana harapkan. Ana pula yang banyak menegur salah dan silap suami,” dia bersuara. Sebak dan sayu. Pilu.

“Itulah yang bagus..menegur salah pasangan, tanda masih ada kasih. Tidak membiarkan dia terus berdosa, lambang sahabat masih punya cinta,”saya memberi semangat. Dia bagai terkejut mendengar bicara saya. Saya tersenyum.

“ Sahabat…sebagai manusia, setiap dari kita mengalami turun naik iman di dada. Pahala semakin sirna berganti khilaf dan dosa. Justeru, sebagai suami atau isteri, kita sewajarnya bukan hanya melihat kelebihan pasangan sebagai keistimewaan yang mampu membahagiakan, tetapi juga menerima kelemahannya sebagai hadiah dari Yang Maha Esa.” Saya menambah rencah nasihat dengan nada sebak memenuhi jiwa. Nasihat saya kepadanya, adalah juga peringatan untuk diri saya yang sering lupa.


HADIAH

“Hadiah…bagaimana tu?” Dia bertanya. Sudah ada sinar pada renungan matanya. Hati saya berbunga ceria.

“Hadiah berupa peluang dan ruang agar kita MELIPATGANDAKAN amalan, ibadah dan usaha untuk memperbaiki diri. Semakin mendekatkan diri pada Ilahi. Adakalanya kita lalai dan leka..hanya melihat kelemahan dan kesilapan pasangan, tanpa lebih dulu menilai kesilapan diri sepanjang tempoh perkahwinan. Terlalu banyak alasan yang kita cipta hanya untuk menampakkan kita betul dan benar belaka. Kerjaya, anak, rutin rumahtangga dan berbagai lagi.

Kesibukan itu..menyebabkan kita membiarkan pasangan tanpa layanan. Dan yang paling malang, kesibukan itu, menjadikan kita semakin jauh dari Tuhan.

Solat tidak lagi di awal waktu. Tergesa-gesa sahaja.

Doa juga tidak lagi panjang dan penuh pengharapan seperti dulu.

Ibadah tidak lagi menjadi makanan yang enak dan sihat kepada ruh yang dikurniakan Ilahi, tetapi telah bertukar basi dan mengundang penyakit pada diri. Ruh kita sakit dan menderita..Bila semua itu berlaku, jiwa kita jadi kacau..tak menentu. Lalu, masalah yang kecil diperbesar-besarkan, pasangan disalahkan dan akhirnya saling berjauhan,”tambah saya penuh keinsafan.

Dia tunduk, menekur kepala. Ada titisan yang menitik ke lantai. Buat ke sekian kali, tangisan sayunya memecah hening sunyi.

MUHASABAH CINTA

“As…bangun sayang..dah subuh ni.”Sayup-sayup saya mendengar satu suara. Saya membuka mata. Suami tersenyum memandang saya.

“Astaghfirullah..mimpi rupanya..”bisik saya sendiri. Saya memicit kepala berulang kali. Betapa saya memikirkan cerita dan masalah rumahtangga yang banyak mengisi ruang kotak emel, hingga terbawa ke alam lena.

Melihat suami yang telah bersedia untuk ke masjid, saya bersegera ke bilik air. Membersihkan diri dan bersuci.

Usai solat, saya menadah tangan ke hadrat Yang Esa. Munajat saya berisi muhasabah cinta. Doa saya:

“Wahai pemilik cinta yang hakiki, pandulah kami..bimbinglah kami. Jangan biarkan kami sendiri melayari kehidupan ini. Biarlah kesakitan yang ENGKAU berikan sebagai kaffarah dosa dan silap kami. Sakit yang nampak di mata, jua sakit yang menyelinap ke dalam jiwa. Bantulah kami untuk mensucikan ruh dan hati. Izinkan kami menyintai dengan Cinta dan Kasih yang suci dari-Mu..sesungguhnya cinta, kasih dan sayang kami hanya kerana-Mu, Ya Rabbi.”


Ameen..ameen.





Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

27 comments:

ummufarhan said...

Sayu dan pilu...bermanfaat untuk saya alhamdulillah

Suluh Hati said...

Subhanallah...sentiasa menginsafi bahawa cinta manusia boleh saja membahagiakan namun kadang-kadang bisa menyakitkan. Pada akhirnya, hanya dengan meletakkan cinta pada-Nya akan memandu diri dalam percintaan dan menjadikan hati penuh ketenangan.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi..

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Inilah antara hidangan yang perlu di nikmati dan di hayati serta di insafi.
Terima kasih ummu Husna mengingatkan dan menyedarkan akak.

Wassalam

ummimusa said...

I am of a slight different school of thought. I think that both parties hv a lot to learn, as mukmin & mukminah about being man & wife. I am not implying informal, spontaneous learning, but sit-down academic classes on the differences between men & women. Is it not part of hikmah bestowed from Allah, and doesn't the mukmin & mukminah need to acquire it?

wfaiziah said...

mimpi benar atau sebuah karya yg bermanfaat..?? What a good dream u have...i wish to have a dream too...:)

^inas^ said...

lirik lagu tu mmg tepat pada masanya..

Anonymous said...

Salam Ustazah,
Saya sangat terkesan dengan tulisan ustazah, apatah lagi dengan lagu tu... Terima kasih atas pengisian dan perkenalkan lagu yang penuh beerti...

me01my said...

terima kasih ummu husna atas tulisan yg sangat terkesan ni..

btw..ummu husna sangat berbakat dalam penulisan laa..boleh contribute dlm islamic novel ni..or muslimah motivation books..

maybe pengalaman mereka2 yg menghantar email boleh dijadikan sumber idea menulis..mungkin??

UMMI HUMAIRA said...

assalamualaikum..

kak ina..

banyak2 entry.. ni yang paling best.. 11 bintang...
tahniah.. teruskan berjihad dan berdakwah...

shaza said...

Salam,

Nasihat yang amat bermanfaat buat pencari cinta Ilahi...

Kak Ina, lirik lagu apa ye? teringin nak dengar...

Semoga bertemu lagi...

Anonymous said...

"Lelaki yg baik adalah utk perempuan yg baik & perempuan yg baik adalah utk lelaki yg baik"
Namun kdg2 terdapat perempuan/lelaki yg baik tidak mendapat pasangannya yg baik...

BERBAHAGIALAH perempuan/lelaki yg baik yg mendapat lelaki/perempuan yg baik sbg pasangannya...

BERSABARLAH perempuan/lelaki yg baik yg mendapat lelaki/perempuan yg tak baik sbg pasangannya...

Ummu Husna said...

UMMUFARHAN : Alhamdulillah, itu yang Kak Ina harapkan. Semoga ia terus menjadi peringatan untuk diri yang menulis juga.

SULUH HATI :Ya, Kak Ina setuju. Kembalikan cinta yang sebenar kepada-Nya. InsyaAllah, jiwa kita akan terarah kepada kedamaian dalam kehidupan, walau banyak halangan di hadapan.

Anonymous said...

Salam..ummuhusna.terima kasih dengan perkongsian yang amat bermanfaat..salam ukhuwwah..

am0i Ida said...

Terima kasih kak Ina atas entry ini..sangat bermanfaat..

Suami isteri itu diciptakan Allah untuk saling melengkapi antara satu sama lain..suami manusia biasa, begitu juga kita..yg penting saling mengingatkan dengan berhikmah dan penuh kasih-sayang..

sukarnya melakukan semua ini andainya iman tidak dijaga dengan sebaiknya...

peringatan untuk diri sendiri..

syireen said...

salam kak...entry yg menusuk ke kalbu...semoga Allah mengurniakan suami yg sholeh dan dapat membimbing sy ke jalanNya...amin..akak doakan ye...

Anonymous said...

Assalamualaikum ummi

ummi tak kisah kan saye pnggil 'ummi'
trime kasih ye diats tulisan ummi ni..
memberi kesedaran kpd saye untuk tidak terlalu mengharapkan kesempurnaan dlm mencari pasangan

Ummu Jannah said...

salam..

ummu, part yang solat tidak di awal waktu, tergesa-gesa kini menjadi amalan ku setelah bernikah, mempunyai anak kecil, bekerja dan menguruskan kerja rumah.. tidak spt dulu.. tetapi terima kasih dengan entry ummu.. amat terkesan dlm mendidik sy yg lalai ini.. terima kasih ;)

Ummu Husna said...

Salam, Ummimusa. pandangan yang baik dan bagus untuk direnungkan bersama.

Kak Ina juga berpandangan, perbezaan antara lelaki dan perempuan, juga cara bagaimana menangani perbezaan ini ( agar ia mampu merapatkan dan bukan sebaliknya bagi pasangan suami isteri ) sewajarnya didedahkan di dalam kursus-kursus perkahwinan oleh pakar-pakar motivasi yang ada.

Gerun dan bimbang melihat kadar perceraian yang banyak di Malaysia. Membaca emel-emel tentang masalah rumahtangga yang pelbagai juga mengundang persoalan tentangnya.

Mungkin ini sebagai jalan dan langkah awal untuk memberi kefahaman dan ilmu kepada pasangan yang akan melangkah ke alam baru, alam perkahwinan yang berencam ragam dan cabaran selepas akad pernikahan.

Ummu Husna said...

WANFAIZIAH :Bolehlah dikatakan ia adalah gabungan kedua-duanya :)

Yang penting adalah pengajaran darinya. Semoga ia menjadi peringatan untuk diri yang menulis dan pembaca semua.

INAS : Adakah rahsia di sebalik perntaan itu? :)

Ummu Husna said...

ANONYMOUS :Alhamdulillah, yang baik dari Allah jua dan yang buruk dari kelemahan saya sebagai manusia.

ME01MY : Doakan saya :)

UMMUHUMAIRA : InsyaAllah, semoga kita termasuk di kalangan orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan saling mengingatkan agar jauh dari melakukan kemungkaran.

Ummu Husna said...

SHAZA : Tak dapat buka ye ? Lagu tu, MUHASABAH CINTA, nyanyian kumpulan edcoustic.

Mesej di dalamnya amat baik untuk direnungkan bersama.

IDA : Ye, betul. Untuk saling lengkap melengkapi itulah memerlukan banyak kesabaran, tolakansur dan saling faham memahami. Maklum, kedua-duanya dari latar keluarga yang berbeza.

SYIREEN & ANONYMOUS : Ameen..ameen..sama-sama kita perbaiki diri.

Adib said...

Salam Ziarah...
Sangat bermanfaat & terkesan dihati...(-:

um. masyitah said...

Salam ummu husna
sayu membacanya.Sungguh cinta Ilahi lah yang utama,meski suami di sisi.namun suami sebagai wasilah untuk menju gerbang baagia di sana atau derita...

MaWaDDaH said...

salam akak.....
indahnya hidup bersama Ilahi..
perintah Allah dilaksana, yang ditegah dijauhi..
mengingin cinta dari kekasih Allah bagai tak mungkin untuk diri yang penuh dengan dosa dan noda..
akak, doakan saya ditemukan jodoh yang baik2..
cemburu dengan kebahagiaan akak..
mungkinkah kebahagiaan yang same digapai oleh orang yang selalu leka dari mengingati Allah?? sob..sob.. sediynye memikirnya kkurangan diri ini

Anonymous said...

Salam UmmuHusna,

Jazakallah di atas tulsian yg mmg memberi pengajaran buat akak. Maaf Ummu, akak gunakan saluran ini utk bertanya Ummu. Ummu akak ada hantar email kpd ummu dan ust pd 2 Nov berkaitan program di Lancaster (asalnya 31 Oct) dibatalkan krn ada hal. Mohon agar Ummu dapat beri balasan atau Ust sendiri. Mohon maaf terpaksa guna saluran ini. Maaf sangat-sangat.

salam ,
kak rina
lancaster

Eyda said...

Assalamualaikum k Ummu husna.

Tersinggah kat sini dan melayani diri dengan membaca salah satu entry menarik ni.

Bila baca ayat ni "Ibadah tidak lagi menjadi makanan yang enak dan sihat kepada ruh yang dikurniakan Ilahi, tetapi telah bertukar basi dan mengundang penyakit pada diri. Ruh kita sakit dan menderita"

Hati amat tersentuh. Terasa diri ini bnyak betul buat salah.
Muhasabah Diri.

*Muhasabah Cinta" my favourite nasyid song.

Terima kasih kak.

نورالعتيقة بنت محمود said...

Assalamu'alaikum, mohon agr izinkan saya share doa pd perenggan terakhir tu dgn sahabat2. boleh ya.. syukran.