9 October 2009

DETIK-DETIK YANG BERLALU

Rumah ayah saya


Kemeriahan meraikan 1 Syawal 1430 Hijriah di kampung halaman, di Felda Gedangsa masih terbayang di depan mata. Kenangan manis bagi saya kerana buat pertama kalinya setelah berkahwin dan beranak pinak, saya dan lapan adik beradik berkumpul bersama.

Along dan keluarga di Tapah. Kak Kam di Melaka, abang Fuad di Telok Gong, Kak Eton di Bukit Subang, kembar saya Nora di Paya Jaras, adik saya Ija di Ipoh dan adik bongsu, Faridah atau lebih dikenali sebagai Acu di kalangan adik beradik dan anak saudara, semuanya pulang meraikan hari yang mulia.

Hanya abang kedua, Jaafar, isteri dan tiga anaknya tidak dapat bersama. Mereka kini menetap di Kelantan dan menyambut lebaran di sana.

Memang riuh rendah jadinya bila lapan orang anak, lapan orang menantu dan dua puluh sembilan orang cucu ayah berkumpul bersama.

Kak Long, Kak Ngah dan Khalil riang bermain bersama sepupu-sepupu yang sedang membesar dan meningkat remaja. Gelak tawa, telatah dan tangisan mereka memeriahkan suasana di ruang hadapan rumah. Mujur lantai rumah lama itu kini bersimen dan berdinding batu. Jika tidak, bergegar dan berdentum-dentum bunyi rumah yang dahulunya berlantai kayu bila ‘hero-hero’ yang bilangan mereka lebih ramai dari ‘heroin’ berkejar-kejaran sambil membuka silat lagak pahlawan Melayu.

Yang tua pula duduk di dapur, saling berkongsi cerita sambil menjamu selera. Sesekali pecah ketawa semua bila ayah mengimbau kenangan lama.

‘WOW !’
“Ina dulu, balik je sekolah…lepas letak beg, terus ke dapur buka tudung saji, “ kata ayah membuka kisah lama.

“Yang seronoknya, kalau bawah tudung saji tu ada makanan sedap..’wow!’, perkataan tu dulu la yang keluar dari mulutnya,” cerita ayah lagi sambil ketawa kecil. Tersipu-sipu saya dibuatnya, disambut ketawa abang, kakak dan anak saudara yang ada. Saya menjeling suami. Tersenyum-senyum sahaja dia melihat wajah merah saya. Aduh! Malu juga rasanya.

Tidak pernah pula ayah mengenang kisah yang satu ini. Kenangan lama yang baru terimbau kembali bagi saya setelah hampir dua puluh tahun berlalu masa remaja.

TETAP BERLARI
Dalam kesibukan orang lain menyambut lebaran, suami seperti biasa tetap ‘berlari’ ke sana dan sini memenuhi ruang untuk berdakwah kepada masyarakat. Salah satu rancangan yang dijayakannya ialah rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ yang menjadi tatapan ramai kini di TV9.

Sunnguh pun begitu, suami masih punya ruang membawa saya dan anak-anak berziarah ke rumah sahabat taulan yang mengenali. Juga yang paling penting kunjungan ke rumah Kak Su, kakak suami yang terletak di Bukit Jelutong untuk bersama meraikan hari raya bersama sebelas orang adik beradik dan sejumlah besar anak-anak saudara sebelah suami.

Seperti biasa, masa bersama ini dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk beramah mesra, saling bertanya khabar dan mendengar nasihat yang mendidik jiwa melalui slot tazkirah dari suami tercinta.

Keceriaan berterusan, kemeriahan berpanjangan walau waktu yang ada untuk kami di Malaysia terbatas dan amat terhad.

Alhamdulillah, semoga ada pertemuan lagi seumpama itu selepas ini, InsyaAllah.

KEMBALI
Kini, saya dan keluarga telah kembali semula ke bumi United Kingdom. Sudah lama saya berehat dari melakar sesuatu untuk tatapan pembaca setia juga sahabat-sahabat yang berkunjung ke blog ini. Bukan tidak mahu menulis, akan tetapi hambatan tanggungjawab di rumah, di tambah pula ‘jet lag’ yang masih bersisa dalam diri, niat itu saya tangguhkan dahulu.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyapa di alam maya dengan ucapan yang membangkitkan rasa dan jiwa. Walaupun tidak pernah bersua, namun ayat-ayat yang mesra dan ceria terasa bagaikan telah kenal bertahun lama.

Tidak dilupa kesempatan membuka ruangan komentar terkini beberapa hari lalu menemukan saya dengan sapaan mesra dari Syafiqah, salah seorang anak murid yang dahulunya pernah menjadi sebahagian dari hari-hari saya sebagai seorang pendidik.

Saya merindui mereka. Saya juga berharap akan bertemu mereka semula suatu ketika nanti. Dan yang pasti, saya akan tetap mengenang mereka. Mendoakan kejayaan mereka di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Justeru, di ruang yang ada ini, ingin saya paparkan sebuah nasyid yang tidak sempat saya nyanyikan kepada anak-anak murid yang sentiasa di hati, bersama kenangan yang mekar di dalam jiwa.


DETIK-DETIK YANG BERLALU
Detik-detik terus berlalu, meniti kehidupan,
Permukiman inikan berakhir, meninggalkan kenangan.
Kepiluan mencengkam hati, tak sanggup mengenangkan,
Amanah yang tak terlaksanakan, hasrat tak kesampaian.

Dunia Islam kini kehilangan, ketandusan jiwa yang memahami,
Perjalanan bagai tak berkemudi, terkapai lemas di sudut jahiliyyah,
Tiada daya lagi mengulangi kisah silam.

Suasana makin suram, generasi kian lesu,
Keindahan kini hilang, kerana kegersangan iman,
Hati bagaikan terkunci, dari hidayahMu Rabbi,
Hanyut dalam kelalaian, alam remaja yang mengasyikkan.

Apakah mentari masih sudi, memancarkan sinarnya,
Mungkinkah kebahagiaan semalam bisa hadir kembali.

Islam kini menanti kebangkitan, peribadi penerus perjuangan,
Usahlah dibiarkan berterusan, lirikan senyuman syaitan memanjang,
Sedarlah wahai teman, dari nikmat mempesona.

Masanya kini hampir tiba, untuk melangkah pergi,
Hanya sekalung doa dariku, agar kau subur kembali
.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Semoga jumpa lagi, InsyaAllah.

14 comments:

Kak Nisha said...

Assalamualaikum Ummu Husna,
Selamat kembali ke alam maya.

Sempat dengar Ustaz Z menggulas tentang buku "untukmu Wanita" di radio IKIM je. TV9 akak memang tak boleh nak tengok(tak dapat siarannya).

Wassalam.

Syuhairah said...

Salam kak...

Dah lama tak menyapa akak.... harap akak dan family berada dalam keadaan yang sihat dan baik belaka hendaknya...

Umi Syida said...

salam kak.semoga sihat walafiat. selamat melakar kembali buah fikiran dan idea yang baik katt laman maya ini. ida salah seorang yang kagum dengan kakak serta pengikut setia dalam membaca coretan yang dinukilkan. Di mana, sekarang masih sebagai murabbi. doakan diri ini ada kekuatan untuk trus mendidik anak2 bangsa dalam menjadi generasi rabbani
SHAIDAH //www.anissufiyyah.blogspot.com

Hisservant said...

Assalamualaikum kak,

lama akak tak update blog, ternanti-nanti juga post akak.

cerita pasal raya dan berkumpul saudara-mara ni, saya masih dalam dilema kes bersalaman dengan saudara bukan mahram. maklumlah, sepupu2 ada yg datang dari keluarga yang kurang pentingkan agama. saudara yang lebih tua pula, takut dikatakan tak hormat pula.. kalau ada kesempatan boleh akak ulas pasal ni?

terima kasih, semoga sentiasa dilindungi Allah

cun09 said...

salam...
jalinan persaudaraan di hari raya memang di tunggu2... thn ni juga saya sekeluarga seronok, ibu saudara yg berada di swak dapat balik kg. gembira saya tengok air muka mak yg dah hampir 5 thn tak beraya bersama adik bongsunya...

sempat tengok uzar di tv9, tajuk yg "best" bg kita di alam perniagaan ini ^-^

Rohani said...

Salam Ina,

Bagi akak pula, raya tahun ni cukup memberi seribu ujian dan keinsafan bila terpaksa beraya di hospital kerana menjaga bapa mertua yang sakit dan telah selamat pulang ke rahmatullah pada hari raya ke tujuh. Pada hari raya ke lima, ibu saudara akak juga telah maeninggalkan dunia ini. Melihat dua insan nazak dalam masa yang lebih kurang sama, cukup membuatkan diri ini merasa betapa sakitnya untuk mati. Cerita selanjutnya ada dalam blog akak. Semoga kita semua sentiasa membuat persediaan untuk meninggalkan dunia yang penuh ujian dan tipu daya ini...Amin.

ummi humaira said...

salam ummu husna..

seronok dan meriahnya dapat berkumpul dan beramah mesra dgn kaum kerabat walau pun hanya beberapa detik waktu .. yg kat bkt subang dan paya jaras tu tak jauh ler dgn rumah ummi.
selamat hari raya walau dah di penghujung Syawal

Zilla said...

Salam Kak Ina,
Selamat Hari Raya di ucapkan untuk Kak Ina sekeluarga. Dah lama tak jenguk blog Kak Ina ni, rindu rasanya....

Linz said...

Assalamu'alaikum k.ina..

Puas saya memikirkan melodi lagu tersebut, akhirnya saya ketemukan.. Cuma masih teraba2 rentak chorusnya..

Sedih bila teringat buku catatan Nasyid di ASPURI KISAS hilang entah ke mana...

Saya tidak berkesempatan bersama k.ina di KISAS, tapi bertemu sebentar di UM.. Ada gambar k.ina dan suami selang tak lama pernikahan yang saya simpan semasa memenuhi jemputan di 1st College.. ;) Salam bertamu, mohon izin saya link blog k.ina ye. T.Kasih..

Teruskan menulis... Salam..

Kartika said...

Assalamualaikum Ustazah :)

Terima kasih ustazah, kerana mendoakan kami, lebih-lebih lagi sekarang, kami semua gementar lagi sebulan sahaja tinggal untuk SPM.

Semoga Ustazah juga sentiasa diberkati :)

Ummu Husna said...

Salam,

KAK NISHA : Waalaikumussalam kak. Alhamdulillah..terima kasih.

Tak apa Kak Nisha, boleh lihat rakamannya di Vimeo. Semoga sama-sama kita beroleh manfaat darinya.

SYUHAIRAH : Alhamdulillah, kami semua sihat..cuma tengah pening dengan ragam Khalil yang baru mula bersekolah di Leicester ni :)

Ummu Husna said...

UMI SYIDA : Ws..Alhamdulillah, terima kasih. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat. Tulisan Kak Ina biasa-biasa je, hanya berkongsi sedikit pengalaman yang ada.

Teruskan berkongsi, juga buat Syida ye :)

HISSERVANT : Cerita ada..cuma ketenangan hati nak menulis belum datang lagi.

InsyaAllah, akan tiba juga masanya. Doakan Kak Ina ye.

Tentang bersalaman, Kak Ina dah pernah ulas ringkas dalam entri yang lepas.

Ummu Husna said...

CUN09 : Alhamdulillah..semoga kemeriahan itu akan berulang lagi, InsyaAllah :)

KAK ROHANI : Innalillah wainna ilaihi roji'un..takziah saya ucapkan buat Kak Rohani sekeluarga.
Semoga Allah SWT merahmati keduanya dan menempatkan mereka di kalangan hamba-hamba yang berbuat amal soleh ketika hayat mereka, ameen.

Saya dah membaca kisah tersebut di blog akak..memang syahdu dan rasa gerun mengenangkan sakaratulmaut..Allah.

Semoga kita semua tergolong di kalangan mereka yang memperoleh husnul khatimah di sisi-Nya, ameen..ameen Ya Rabb

Ummu Husna said...

KAK UMMI ( UMMIHUMAIRA ) : Betul tu kak..Alhamdulillah..:)Masih terasa bagai berada di Malaysia lagi ni rasanya..

Alhamdulillah, sempat juga berkunjung ke rumah kembar saya di paya jaras sebelum bertolak ke UK. Yang bestnya, dapat makan ikan pari bakar cecah air asam buatan air tangan abang Fuad saya dari Telok Gong..terubat rindu 'orang tu' nak makan ikan pari ..he..he..