SALING MEMBERI, ITULAH CINTA...

“Dalam perjalanan rumahtangga makcik bersama suami, ada beberapa individu yang sangat kami hormati dan jadikan rujukan untuk mengemudi bahtera perkahwinan. Salah seorang daripada mereka ialah bapa mertua makcik sendiri..” Makcik Aini berbicara dengan senyuman manis bertali.

Ketika itu, beliau bersama anak perempuannya yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk di Irbid, berkunjung ke rumah saya diiringi beberapa orang temannya yang juga akan pulang ke tanahair tercinta.

“Makcik masih teringat suatu masa, makcik balik ke kampung suami untuk berhariraya. Oleh kerana bilik yang ada tidak cukup, makcik sekeluarga serta beberapa keluarga adik beradik suami yang lain tidur di ruang tamu; yang perempuan, tidur di satu bahagian, manakala lelaki di satu bahagian lain, pakaian dan aurat sangat dititikberatkan di kalangan keluarga suami.” Makcik Aini menyambung kata-kata.


Kami berteleku mendengar ceritanya. Ada kalanya senyum dan ketawa kecil memenuhi suasana, namun banyak ketikanya, kami terdiam penuh kekaguman apabila Makcik Aini membawakan contoh peribadi tauladan yang  banyak membantunya dan suami mencorak harmoni dan bahagia bersama.

“Malamnya, makcik terjaga. Dalam keadaan suram lampu pelita yang meliangliuk di tiup angin malam dari tingkap yang sedikit terbuka, makcik melihat kelibat bapa mertua. Sebak hati makcik melihat cara dia berjalan melalui kawasan kami tidur itu…dijingkit-jingkitkan kakinya, satu demi satu penuh cermat disusun langkahnya supaya anak cucu yang tidur tidak terjaga…” Sampai pada ayat itu, Makcik Aini menghentikan kata-kata.

Kolam matanya berkaca.

Saya tunduk menahan rasa sambil membayangkan lantai papan rumah kampung yang sudah lama. Berpijak padanya tentu mengeluarkan bunyi keriut, walaupun mungkin tidak begitu kuat di siang hari, namun pada waktu malam membawa ke dinihari yang sunyi, tentu sahaja bunyi itu boleh mengganggu sesekali.  

“Bagaimana mungkin isterinya, iaitu ibu mertua makcik termasuk anak-anak, menantu dan cucu tidak menyayanginya? Andai begitu sekali penghormatan yang ditunjukkan dalam keadaan kami tidak sedar, ketika lena keletihan. Tentu sekali ketika kami sedar dan jaga, penghormatan itu lebih-lebih lagi ditampilkannya…” Suara Makcik Aini sebak. Setiap seorang daripada kami, dipandang dengan renungan yang dalam.

PERBALAHAN
Dalam suasana hari ini, di mana perceraian suami isteri banyak terjadi di usia perkahwinan yang masih dini, cerita-cerita penuh iktibar sebegini mampu menyuntik sedar dan insaf agar perjalanan rumahtangga dilalui dengan tanggungjawab dan peranan yang diisi.

Sememangnya kami semua, terutama saya sendiri yang ketika itu baharu setahun jagung menyemai kasih dan cinta dalam rumahtangga, amat memerlukan nasihat dan panduan daripada ‘orang lama’ lagi kaya pengalaman sebegitu.

Tambahan lagi, dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang menyajikan informasi dari pelbagai dimensi, sehinggakan urusan rumahtangga yang dahulunya dilakukan tanpa soal oleh suami dan isteri setelah bergelar ‘raja sehari’, boleh menjadi satu persoalan yang membawa perbalahan jika tidak ditangani dengan keimanan.

Masakan tidak, tugas memasak, mengemas rumah, membasuh baju dan lain-lain yang sekian lama dilangsaikan melalui titikpeluh seorang isteri, akhir-akhir ini menjadi pertikaian bahawa ia bukan tugas hakikinya, bahkan ia menjadi tugas yang harus dipikul oleh seorang suami. Pelbagai pendapat disorong ke hadapan disertai perbincangan di kalangan ulama silam bagi menyokong pandangan tersebut sedang hakikatnya jika dikaji penuh teliti, Imam Ibn al-Qayyim dan ramai ulama lain membawa isu ini kepada isu ‘uruf ( adat setempat ) kerana tugas memasak, mengemas rumah dan seumpamanya itu adalah isu yang didiamkan syara'.

TANGGUNGJAWAB


"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tidak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang, usai majlis kenduri pernikahan saya dan suami.

"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama hampir 41 tahun bersama arwah Mak.

Saya dan suami saling berbalas pandang dan tunduk merenung kata-kata ayah. Saya menyedari, walau ayah menegaskan tentang peranan suami dalam nasihatnya kepada kami, saya sebagai isteri perlu mencontohi arwah Mak yang sepanjang tempoh pernikahannya bersama ayah, telah menjalankan peranannya dengan baik sekali.

Walaupun begitu, saya memahami, sudah pasti tidak sama seorang isteri yang bekerjaya dalam urusan membantu suami dengan seorang isteri yang menyandang ‘kerjaya’ sebagai surirumah sahaja. Tentu sahaja pada menjayakan peranan tersebut, ada tolakansur antara pasangan yang perlu dipenuhi. Sebagaimana hadis baginda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam :

“Setiap kalian adalah ra’in ( penjaga, orang yang diberi amanah ) dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang pemimpin ( yang berkuasa atas manusia ) adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki/suami adalah ra’in bagi ahli keluarganya dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang wanita/isteri adalah ra’iyah terhadap ahli keluarga suaminya dan anak suaminya dan ia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah ra’in terhadap harta tuannya dan ia akan ditanya tentang harta tersebut. Ketahuilah setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya.” ( Hadis riwayat Bukhari no. 5200, 7138 dan Muslim no. 4701 dari Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma)

Dari hadis di atas, secara jelas disebutkan tatkala ketiadaan seorang suami di rumah pada satu-satu masa, maka menjadi tanggungjawab ke atas isteri untuk mengambil alih tugas suami iaitu dengan menjaga harta suami, menyelenggara keperluan ahli keluarga suami ( anak-anak, ibubapa ) dan lain-lain.

HORMAT DAN CINTA
Sebagaimana yang sering ditemukan dalam buku-buku psikologi kekeluargaan dan hubungan perkahwinan antara lelaki dan perempuan, masing-masing memiliki ‘kantung emosi’ yang perlu diisi agar kelangsungan ikatan yang dimeterai berjalan lancar lagi harmoni.

Wanita mengimpikan cinta manakala lelaki menagih hormat daripada pasangannya. Ini semua bagi mewujudkan rasa dihargai dalam diri masing-masing. Namun, andai direnung-renung dari kisah yang saya tampilkan pada awal penulisan ini, saya pasti, ramai di kalangan pasangan hari ini yang mempersoalkan:

Siapakah di antara keduanya yang lebih dahulu ‘PATUT’ memberi untuk nantinya ‘LAYAK’ menerima sesuatu daripada insan yang dikasihi? Adakah cinta daripada suami atau hormat daripada isteri?

Bagaimana, jika masing-masing lebih memikirkan diri sendiri? Maka, sudah pasti hak yang ditagih mendepani tugas dan tanggungjawab yang mesti diisi. Lalu, jika ini berlaku, bukankah tidak pelik betapa banyak perhubungan dalam rumahtangga dewasa kini yang berpenghujung dengan perpisahan walau mereka mendakwa cinta membawa mereka ke jinjang perkahwinan?

SEBUAH KISAH CINTA
“Mengapa abang tidur di sini?” Suatu ketika seorang isteri solehah bertanya; terkejut saat daun pintu rumahnya dibuka, dia melihat sosok suami yang dicintai sedang berbaring. Entah bila, si suami tidur di situ, dia sendiri tidak menyedari. Rasa bersalah menyergap ke seluruh jiwanya. Sedangkan malamnya, dia sendiri tertidur dekat muka pintu, menunggu kepulangan yang dirindu.

“Abang pulang sudah larut malam, abang khuatir mengganggu tidurmu lalu abang tidak mengetuk pintu. Itulah sebabnya abang tidur di depan pintu.” Dengan senyuman si suami berbicara sekaligus melenyapkan rasa bersalah di hati isteri.

Alangkah indah bicara percintaan ini, kisah rumahtangga yang tidak lain ditampilkan dari peribadi junjungan mulia, Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam dan isterinya Saidatina Aisyah radiyallahu ‘anha. Mereka saling memberi hormat dan cinta pada waktu yang sama, hingga setiap diri merasa amat dihargai penuh saksama!

Kerana itu, saya berpandangan, isu persoalan hak yang dibangkitkan dalam media sosial hari ini, wajar diisi dengan mengenengahkan kisah-kisah rumahtangga Nabi dan para isteri baginda, lantaran persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.

Bukankah, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sendiri menggalakkan hamba-NYA berlumba-lumba pada perkara kebaikan, sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :

“Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu”. (Al-Baqarah: 148).

SALING MEMBERI : ITULAH CINTA
Sesungguhnya, setiap sesuatu yang baik sudah pasti wujud keindahan padanya....namun, andai diiringi bersamanya sesuatu yang berlawanan, keindahan itu seakan terlihat sirna.

Sabar itu indah jika tidak didahului keluh kesah. Kemaafan itu jelita jika tidak disertai marah dan cerca. Kerana itu, kelembutan usah diperkecil, tindakan emosi usah pula langsung tidak dipeduli. Kerana kedua-duanya terbit dari wadah yang serupa...dari jantung jiwa , tempat bertemu iman dan cinta.


Demikian, dalam melakar bahagia perkahwinan, saling memberi dan melaksana peranan itulah cinta yang tidak terlafazkan. Lantaran cinta dan hormat itu bukan sekadar kata tanpa kerja, tetapi kedua-duanya memerlukan kesungguhan dan tindakan bersama agar mahligai yang dibina terus teguh dan kukuh seiring masa.

Justeru, mari suami, mari isteri, kita berusaha memperbaiki diri. Memelihara tutur dan tingkah dari kelaku onar menatijah pedih hati. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada lebih baik...

Alangkah berharga satu nasihat lewat seseorang yang dikasihi :


"Learn to say 'no' to bad thing, only then you can say 'yes' to good thing, and learn to say 'no' to good thing, only then you can say 'yes' to the better one.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.


Comments

Unknown said…
terima kasih cerita dan nasehatnya

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA