'DIA'..PENAWAR LUKA

“Ustazah..tiadakah rasa bersalah pada diri seorang suami yang ingin berpoligami kerana melukakan hati isteri?”

Demikian soalan yang diajukan kepada saya oleh seorang kenalan di alam maya, soalan yang cukup membuatkan saya termenung panjang sebelum melontar apa-apa pandangan. 

Pendapat awal saya, sungguhpun kenalan yang bertanya, saya sendiri dan wanita lain di luar sana telah maklum akan kesempatan yang diluangkan oleh ALLAH kepada kaum adam untuk mengahwini sehingga empat wanita, sementelah Rasulullah Sallalllahu ‘alaihi wa sallam sendiri mendahului dengan menunjukkan contoh teladan, namun, satu perkara yang sangat perlu diinsafi ialah tujuan pernikahan baik ia monogami ataupun poligami adalah untuk menyempurnakan ‘deen’, agama yang mulia ini. 

Justeru, satu pertanyaan berbangkit yang perlu disoal dan jawab oleh kedua-dua suami dan isteri : 

Benarkah kita mampu menyempurnakan ‘deen’ dengan membahagiakan pasangan ( suami/isteri ) dari siapapun yang menjadi “partner” kita nanti? 

Itu intipatinya!


LUKA


Secara manusiawinya, kita memaklumi bahawa dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, memang akan terjadi banyak keadaan yg melukakan; baik fizikal atau dalaman. Akan tetapi, nilai yang membezakan insan beriman dengan yang tidak memiliki keyakinan adalah setinggi mana kepercayaannya kepada ALLAH melalui ayat-ayatNYA dan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam menerusi hadis-hadis baginda.

Andai mereka menelusuri sabda junjungan kekasihNYA yang bermaksud :

"Tidaklah ALLAH menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya" ( Sahih Bukari )

Maka, mereka juga harus mentadabburi firmanNYA ini :

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua." (Al-Israa’ 17:82)

…bahawa ALLAH dan Rasul telah lama menegaskan, pada setiap penyakit ( kesakitan/kepedihan ) ada penawarnya, lalu apa-apa 'luka' yang disebabkan oleh sikap dan tindakan manusia ( termasuk pasangan/anak-anak dan lain-lain ) juga pasti ada penyembuhnya.

Tinggal lagi, bagaimana kesedaran tentang wujudnya ‘ubat’ ini lantas menggerak ikhtiar dan usaha bagi memperolehinya. Bak nasihat seorang teman :

“Kadang kadang dah tahu ubatnya tapi terlupa nak ambil..atau dah tahu tapi tak mahu ikut..atau tak tahu macam mana nak merawat luka, hingga merasa pedih hingga ke akhir usia...”


TANGGAPI LUKA ‘DALAMAN’

Walaupun demikian, saya tidak bermaksud menafikan perasaan pedih dan sakit yang hadir pada jiwa seorang isteri saat mengetahui hasrat suaminya ingin berpoligami; demikian juga saya tidak berniat sama sekali untuk menyelidik ke dalam hati lelaki sama ada rasa bersalah itu bertandang saat keputusan bulat diambil untuk menikahi seorang lagi suri; cuma saya suka untuk berkongsi sebuah mutiara kata daripada seorang ilmuwan silam buat renungan bersama, agar keinsafan mampu dijana bahawa dalam kehidupan ini, ketika hati memilih siapa yang disukainya, pemilik hati itu tidak akan pernah mampu untuk merencana bagaimana kasih, sayang dan cinta yang termeteri antara dua jiwa itu berlangsung mengikut sekehendaknya. 

Hanya sahaja, apa yang mampu lagi wajar dilakukan adalah mengendali hati dengan kekuatan iman.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menukilkan :


“Dalam hati ini ada kekusutan yang tak boleh terurai, kecuali dengan menghamparkannya pada ALLAH.
Dalam jiwa ini ada kebuasan yg tak akan mampu terjinakkan kecuali dengan mengingat kebesaran ALLAH.
Dalam hati ini selalu ada kesedihan yang tak akan pernah hilang kecuali dengan perasaan damai bersama ALLAH dan kembali pada ALLAH.” 


Justeru itu, dapat difahami, jika seorang suami yang baik agama dan akhlaknya serta tidak cuai melunaskan tanggungjawab kepada keluarga mengajukan niat berpoligami kepada isteri yang dicintai, ia harus dipandang dengan jiwa besar bahawa dia sedang berusaha ‘menghurai’ kekusutan jiwanya kepada jalan yang halal menurut agama.

Tanggapi bicaranya sebagai satu bentuk penghargaan buat isteri sedia ada, walau bukan kewajipan suami untuk meminta redha dan persetujuan isteri bagi berpoligami, namun digagahi susunan kata-katanya itu bagi mengisi landasan ‘hablumminannaas’ demi menghormati hati isteri yang sekian lama hidup susah senang bersamanya. Dia menjauhi poligami rahsia kerana menyedari kezaliman yang bakal terjadi andai jalan itu dituruti.

Demikian sebaliknya bagi isteri yang sedang terluka dengan niat suami tersebut, rawati luka dan kepedihan itu dengan mengadu dan merintih lebih akrab kepada ALLAH Yang Maha Mengetahui segala rahsia hidup ini. 

Pandanglah ‘langit ILAHI’ dengan penuh keinsafan bahawa disetiap kepedihan jiwa, ALLAH lah penawarnya. Umpama aliran air gunung yang berhujung menjadi sungai mengairi padang tandus setelah sekian lama ditimpa kemarau lantaran kemaksiatan dan kerisauan akan dunia. Di setiap gelisah hati, selidiki ia, ‘ada’ kah ALLAH di sana ? Jika tiada, maka ‘cari’lah DIA. 

Sesungguhnya, kegelisahan itu tidak lebih sekadar sepotong episode dalam hari-hari manusia, sama ada kita ingin ataupun tidak, kondisi itu tetap akan bertamu. Justeru itu, gusar yang lebih wajar ditangani adalah ketika jiwa yang luka belum disembuhkan dengan meredam segala keinginan dunia, ketika amalan-amalan ibadah selalu ditunda kerana mendahulukan nafsu dan keinginannya. Lalu, iringi rasa hati itu dengan kerinduan yang meluap untuk-NYA, kuatkan ia dengan muhasabah-muhasabah tanpa henti untuk mengenal-NYA. Pegang erat proses penyembuhan itu bersama kenangan-kenangan Rasulullah serta rasa rendah diri mengingat insan-insan terpandang di sisi Yang Maha Kuasa.\

Suasana ini, mungkin menyaksikan lebih banyak titisan mutiara air mata, bersama sendu sedan yang tak tertahankan, namun percayalah, hati akan dinaungi ketenangan dan kelapangan kerana luka serta gelisah itu telah ditatang dengan kerinduan pada DIA Yang Maha Hebat!


‘DIA’…PENAWAR LUKA


Akhirnya, saya suka menyarankan beberapa pandangan berisi nasihat untuk direnungkan oleh seorang suami bagi berhadapan situasi seorang isteri yang ter’luka’ ini; kepada siapa lagi yang diharapkan dapat mengerti, jika bukan suami sendiri yang sekian lama hidup bersama :

1) Hargai perasaan isteri – andai setelah berpoligami, seorang suami menyatakan ucapan terima kasih atas kesudian isteri baru menerimanya sedang dia seorang lelaki yang telah berkeluarga, lebih manis pula untuk suami turut berterima kasih diiringi permohanan ‘maaf’ kepada isteri sedia ada atas kesudiannya memberi ruang baru kepada suami untuk mengasihi wanita lain sebagai isteri dalam hidupnya. 

2) Walau bukan menjadi bebanan ke atas seorang lelaki yang berhasrat berpoligami untuk meminta redha isteri, apatah lagi memohon maaf atas hak yang telah diperuntukkan kepadanya oleh TUHAN yang Maha Adil dan Saksama, akan tetapi demi cinta, belas ihsan serta perikemanusiaan antara suami isteri, ia dilakukan sebagai penghargaan atas sebuah pengorbanan yang sentiasa memerlukan mujahadah untuk mendepaninya. 

3) Manusia sama sekali tidak boleh takabur ‘menetapkan takdirnya sendiri’; walau dirasakan mampu untuk adil dalam melaksanakan tanggungjawab yang kian bertambah setelah berkahwin lagi, seorang suami harus terus menggali ilmu lagi dan lagi bagi menjayakan tugasnya. Lantaran, ALLAH punya cara sendiri untuk menguji hamba-NYA, sementelah poligami juga bukan hanya berisi hak suami serta isteri-isteri, tetapi juga hak anak-anak yang lahir setelah itu. Usah ‘perjudikan’ hati-hati suci ini kerana malas, cuai dan lalai.

Jika benar niat berkahwin lagi itu untuk menyempurna agama, justeru usah menghampiri jalan-jalan fitnah yang merosakkan persepsi masyarakat terhadap sunnah mulia ini.

Selanjutnya, kepada para isteri pula, saya suka berkongsi beberapa perkara :

1) Bahwa rasa cinta bukan semata masalah perasaan, akan tetapi ia adalah hasil ‘dialog’ antara akal dan hati. Dua instrumen yang khusus dikurniakan ar Rahman kepada insani. Justeru, manfaatkan keduanya untuk menjadi wanita solehah di dunia ini.

2) Ubati dan rawat hati dengan menyubur sifat penyayang, sebenar-benar penyayang. Mudah-mudahan dengan itu ALLAH meredhai dan Rasulullah merindui. Usah memaksakan keinginan perasaan kita dengan mengorbankan hasrat suami andai jalan itu adalah jalan yang disarankan ILAHI. Dan jika telah ditakdirkan untuk kita berada dalam lingkaran poligami, maka berusahalah untuk menyayangi setiap peribadi yang dicintai oleh suami.

3) Hakikat sebenar kebahagiaan adalah ketika kita mampu ‘memberi’ untuk orang yang kita kasihi dan hormati. Indahnya perkongsian apabila masing-masing tersenyum dan ketawa atas bahagia yang dinikmati bersama; membuang keegoaan sendiri lalu beralah demi sebuah ukhuwah atas nama ILAHI …dengan langkah penuh yakin, pasti bergema bisikan kesyukuran dalam jiwa : 

“Ya ALLAH, benarlah firmanMU yang agung :

"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)


Sesungguhnya luka itu…hanya ‘DIA’ penawarnya…


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, in shaa ALLAH.




Comments

SulamKaseh said…
bergenang airmata membaca nukilan kak ina ni...

Ya Allah, aku masih belum mampu sekuat kak ina... :(

Ya Allah, Engkau kuatkan lah semangat kak ina dalam menempuhi segala mehnah dalam berumahtangga ini.. Aameen..
rosfazila said…
salam ukhtie:

saya kagum dengan Allah atas anugerah kemuliaan isteri kepada jiwa ukhtie. i envy you sis :).

selepas baca nukilan ukhtie, saya setuju kerana asasnya untuk kepuasan hati seorang perempuan, walau takut dan risau pada bayang saya sendiri,,saya kira)..saya sendiri telah tanya suami saya soalan membara: mengapa lelaki suka kawin lagi? dan jawapan beliau buat saya puas, akur dan redho dengan ketentuan Allah.

jawab suami saya/walau ramai akan sangkakan ianya klise, tapi pada saya ia adalah hakikat dan ketentuan; katanya ringkas sambil menjawab (selepas berfikir:) Allah dah bagi naluri kepada lelaki sebegitu...

jawapannya buat saya laaaama berfikir dan tunduk. apa boleh saya buat? saya kira, betul seperti ungkap ukhtie; serah kepadaNya!siapa saya untuk menyekat, mengagak dan menjangka apa sudahnya walau suami saya belum berpoligami tapi berpotensi :)??

saya kira, serahkan padaNya dan teruskan rebut peluang bercinta dengan suami kerana ladang pahalaNya amat luas untuk kita tuai di sana.......redho suami, syurga tempatnya, kan ukhtie??
maryamsiddiqah said…
Boleh ke kalau saya katakan begini...

Kalau naluri lelaki begitu,maksudnya, bukan semua lelaki nalurinya begitu... sbb tak semua perempuan ada naluri keibuan, ada yang tidak ada naluri keibuan dan tak kisah pun jika belum dikurniakan anak (provided tidak ada tekanan2 drpd faktor luar drps rumahtangga bahagianya bersama suami)
iblisuhl said…
Slots in casino - DrmCD
Online Slots in Casino. w88 Free for 경상북도 출장샵 everyone. Play Slots. Win big. Fun mode. 대구광역 출장안마 Exciting gameplay. No download. Play for real. Real. No spam. No pop-ups. No pop-up 바카라사이트 ads. 동두천 출장안마

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA