MENGHARGAI UNTUK DIHARGAI


Assalamualaikum ustazah, saya seorang isteri dan ibu kepada dua orang cahayamata; sudah hampir lima tahun berumahtangga dengan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Saya seorang surirumahtangga, sementara suami merupakan eksekutif kanan di sebuah syarikat ternama.

Kami hidup bahagia, cuma akhir-akhir ini, saya mulai merasakan perhubungan saya dan suami semakin hambar. Saya seakan tidak memahami suami yang kelihatan semakin pendiam, tidak lagi banyak bercerita seperti awal-awal perkahwinan dahulu. Keadaan ini menjadikan saya bimbang. Pelbagai andaian muncul dalam fikiran. Apa yang perlu saya lakukan Ustazah? Saya menyayangi rumahtangga kami dan sangat menyintai suami.

JAWAPAN :

Tiada laut dan sungai yang tidak pernah bergelora; akan ada waktunya tenang dan damai, dan ada ketikanya berombak dan berarus deras.

Demikian juga alam perkahwinan, tidak semua keadaan sentiasa bahagia dan manis. Pasti ada waktunya, pahit, kelat dan masam mencelah. Akan tetapi jika dipandang dari sudut positif: pahit, kelat dan masam itu perlu sesekali dirasa agar manis tidak memudarat jiwa seorang hamba; umpama makanan :

Manis boleh manis, tapi kalau terlebih manis nanti menangis!

Inilah realiti, lantaran setiap pernikahan tidak terikat hanya dengan kebahagiaan, tapi juga berkait sekali sekala dengan penat, letih dan lelah bagi memaknai kewajipan.

Penat seorang suami dalam mencari nafkah diisi lantaran itu kewajipannya. Dan rasa lelah seorang isteri beserta segala ‘beban perasaan’ bernama jenuh, bosan, sepi adalah juga jihad dalam tugasnya sebagai pemelihara amanah suami ke atas harta, anak-anak dan segalanya dalam rumahtangga.

Mungkin, kerana rasa letihnya, suami lupa pada tanggungjawabnya untuk tetap membantu isteri, demikian juga dengan isteri yang terlalu sibuk mengurus anak-anak dan rumahtangga hingga lupa untuk menyambut dan melayani suami yang pulang mengimpikan istirehat di rumah.

Oleh itu, amat malang jika rasa lelah itu menjadi punca perselisihan.

Justeru, dalam menanggapi alam rumahtangga yang berencam cuaca, seorang suami atau isteri itu, perlu bersedia berkorban rasa, wang dan tenaga. Jangan pernah ada sikap mementingkan kehendak sendiri lalu meminggirkan keinginan pasangan di sisi.

Saya berpandangan, sebagai wanita, adalah baik untuk seorang isteri bersikap pro-aktif dalam menanggapi perubahan suami. Apa yang saya maksudkan ialah seorang isteri bukan sekadar perlu tahu bebanan suami dan senarai tanggungjawabnya, tetapi juga turut ‘merasakan’ beratnya tugas yang sedang digalas oleh suami tercinta. Walau bukan dengan turun padang untuk memahami situasi, cukuplah sekadar memberikan empati.

Untuk itu, perkara pertama yang perlu seorang isteri fahami adalah, suami ( lelaki ) itu berbeza daripada wanita dalam pelbagai segi. Walaupun keperluan antara kedua-duanya tidak banyak berbeza, tetapi lelaki tidak berfikir, bertindak dan bereaksi sebagaimana wanita, contohnya : ketika  berhadapan masalah dan tekanan; Wanita lebih mudah berkongsi masalah, mahu didengarkan, seterusnya dimengerti. Akan tetapi bagi lelaki, masalah menjadikannya menyendiri dan banyak berdiam diri  bagi merumuskan solusi.

Ketidakupayaan memahami perbezaan ini, akan menemukan kekecewaan di pihak isteri ( dan suami sekaligus ) kerana isteri memberikan apa yang diinginkannya bukan yang dikehendaki suami secara hakiki lalu berhujung dengan bingung dan tertanya-tanya mengapa suami tidak bertindakbalas sebagaimana yang sepatutnya.

Berikut adalah beberapa senarai cadangan peraturan perhubungan yang boleh difahami oleh seorang isteri agar komunikasi bersama suami berdaya kembali :

a.Menerima siapa dia seadanya.
1)      Menghargai sisi positif pada dirinya.
2)      Menunjukkan kekaguman pada sifat maskulin ( kelelakiannya ).
3)      Meletakkan suami sebagai nombor ‘wahid’ dalam tugasan seorang isteri.
4)      Biarkan suami berperanan sebagai pelindung, penyedia ( nafkah ) dan pengemudi rumahtangga.
5)      Biarkan dia mengurus kewangan.
6)      Berusaha untuk tidak ‘melukakan’ sisi kelelakiannya.
7)      Tunjukkan simpati dan penuh memahami.

b.Jangan memulakan langkah dengan rasa curiga dan tidak percaya kepada suami. Syak wasangka yang menempati hati, singkirkan segera kerana banyak ketikanya perasaan syak wasangka ini menghijab hati untuk menilai perasaan sebenar seorang lelaki ( suami ).
c.Sediakan catatan tentang kebaikan suami yang pernah dilakukannya untuk isteri dan anak-anak. Catatan ini penting ketika jiwa isteri dilanda keliru dan ragu-ragu; dengannya isteri lebih menghargai dan sentiasa mensyukuri.

Justeru, sebarang kekurangan dan ketidaksempurnaan di pihak suami yang berlaku, dapat menjadikan isteri lebih bersabar kerana setiap mehnah pasti beriring hasanah jika jalan menanggapinya juga menuruti tuntunan ALLAH.

d. Usah terlalu berharap untuk men’dengar’kan apa yang seorang suami bicarakan tentang kasih sayangnya tetapi lihat apa yang dilaksananya bagi menzahirkan rasa cinta.  Saya percaya, ramai wanita bersetuju bahawa lelaki yang baik kurang cekap bermain kata, tetapi ‘fasih’ mengotakan amanahnya. Jadi, untuk seorang isteri lebih mengenali suaminya, lihat apa yang dilakukannya. Seorang lelaki boleh berbicara sebanyak mungkin kata–kata cinta pada seorang wanita, tetapi untuk menilai kejujuran cintanya,  lihat apa yang dilaksananya sebagai manifestasi dari jiwa.

Akhirnya, renungi pujukan lembut ILAHI ini seeratnya; bukan semua yang baik itu adalah baik juga menurut ilmu-NYA, manakala tidak semua yang buruk itu juga adalah buruk pada pengetahuan Yang Maha Esa :


Maksudnya : Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."   ( Surah al Baqarah ayat 216 )

Semoga setiap badai yang menerpa akan semakin menguatkan layar bahtera mahligai kita semua untuk menuju destinasi yang dirindui bersama mereka yang kita cintai; Syurga nan abadi, ameen Ya Rabbal ‘alamin.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH. 


Comments

mek nor said…
Penulisan yang sentiasa ditunggu-tunggu..
Penuh panduan, manfaat dan pedoman dalam meniti hari sebagai seorang isteri yang kadang-kadang kekurangan formula untuk terus meningkatkan produktiviti famili & motivasi diri.. Semoga setiap bait yang Kak Ina coretkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan lain juga. insha Allah.
Shalimar Yusof said…
Saya baru dapat tahu blog ustazah dari seorang sahabat blogger jua..
Alhamdulillah...byk topik yg menyedarkan saya..kekadg terlalu ingin mnjaga rumh tgga,,sibuk dgn urusan..suami kekadg terasa tidk diperlukan...kerana tidk meminta pertolongn dr dia...

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA