Posts

Showing posts from May, 2010

MUSLIMAH 'PUTERI LILIN'

Image
“Kak Long…kalau kita pakai payung dalam cuaca panas ni..bagaimana agaknya orang pandang kita ye?” saya bertanya. Sengaja mahu mengisi masa-masa santai bersama anak-anak sebaik pulang dari sekolah. “Boleh ke Ummi…pakai payung?” soal Kak Long tiba-tiba. Agak serius nada pertanyaannya. Mendengar itu, saya tersenyum lebar. ‘Alahai…ingatkan saja nak buat kelakar….’bisik hati. Saya memandang Kak Long yang masih menanti. Agak lucu pula melihat wajah seriusnya menanggapi soalan jenaka saya sebentar tadi. “Orang-orang di sini pakai payung ketika hujan. Mereka tak biasa berpayung ketika musim panas. Berjemur tengah padang atau tepi pantai tanpa pakaian adalah. Kalau kita pakai payung, mesti ramai yang akan tersenyum geli hati…macam ‘Puteri Lilin’,” luah saya dengan iringan ketawa kecil. “Puteri Lilin?” tercengang-cengang Kak Long mendengar peribahasa lama. Bagai mendengar bahasa asing yang lansung tidak difahaminya. “Puteri lilin tu salah satu dari peribahasa Melayu. Maksudnya, orang yang tak ta

BUAT MUSLIMAH YANG DIKASIHI.....

Image
Saya sering bermonolog tatkala bersendiri, terutama saat mata terhenti membaca apa-apa berita dan hal ehwal terkini wanita hari ini. Hati disayat pilu melihat tubuh-tubuh Muslimah yang masih banyak dimanipulasi sebagai daya penarik. Tanpa saya menafikan, seringkali keadaan itu beriringan dengan ‘perbalahan’ dari dua sisi di lubuk jiwa yang paling dalam. Sisi gelap dari syaitan Laknatullah yang membisikkan rasa tidak kisah. Biarkan sahaja...bukankah wanita-wanita itu telah memilih jalan kehidupan mereka? Lalu, mengapa perlu menyibukkan dirimu? Namun, sisi kedua yang memancarkan cahaya Ilahi berbisik sebaliknya. Sayangkah saya kepada wanita, apatah lagi muslimah seperti saya…andai tika melihat mereka hanyut dilambung ombak dunia yang bergelora, saya hanya berdiam tanpa usaha? Kasihkah saya pada keturunan Hawa, jika saat melihat mereka semakin asyik dibuai alunan nafsu, saya hanya diam membatu? Kaku dan bisu.

PUTERI AYU UMMI ..

Image
Saya suka memasak. Sejak kecil, saya gemar melihat emak memasak. Dari situ, saya memberanikan diri mencuba. Bermula dengan resepi yang mudah dan ringkas hingga kepada resepi yang agak remeh dan sedikit sulit penyediaannnya. Ia akhirnya menjadi hobi sekaligus satu terapi yang cukup baik kala saya berdepan kebosanan. Ketika memasak dan mengadun bahan-bahan, saya melepaskan tekanan, melegakan ketegangan masalah, cuba berkreativiti dengan resepi yang saya temui di internet atau majalah. Dalam kepelbagaian ragam masakan yang ada, saya paling berminat mencuba resepi kuih muih Malaysia. Lebih-lebih lagi tatkala jauh di perantauan. Serba serbi perlu dimasak sendiri. Apabila keinginan bertandang untuk mencicip kuih-muih tempatan, saya mula bergelanggang di dapur walaupun masa yang diambil mungkin panjang. Oh! Di Leicester ini bukannya tidak punya pilihan. Makanan bercirikan tempatan, segera lagi halal dari tradisi masyarakat India, Arab dan Pakistan memang banyak dijual di restoran-restoran. Ma

TSUNAMI DOSA

“Satu gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter melanda Meulaboh, Aceh, Indonesia, pada pukul 12.59 tengah hari tadi, menyebabkan penduduk di kawasan itu menjadi panik. Pihak berkuasa segera mengeluarkan amaran potensi tsunami dan menasihat penduduk di Meulaboh menjauhi kawasan pantai sebaliknya pergi ke tempat lebih tinggi.” ( Bernama ) “Ya Allah, bantulah saudara kami di Acheh. Selamatkanlah mereka dengan limpah kasih sayang-Mu. Hanya kepada-Mu, Ya Allah..kami berlindung dan berserah..” saya memanjatkan doa tatkala membaca berita duka di atas. Kemungkinan Tsunami melanda bumi Acheh buat kesekian kalinya cukup menggerunkan rasa. Bagai masih terbayang kedahsyatan tragedi menyayat hati yang pernah melanda rantau ini di penghujung tahun 2004. Ketika itu, saya dan keluarga baru beberapa bulan berada di Malaysia setelah 3 tahun hidup di perantauan, di bumi Jordan. Ribut Tsunami yang mengorbankan ribuan nyawa. Memisahkan insan-insan tercinta dari kamus kehidupan di dunia. Suami kehil