20 May 2010

BUAT MUSLIMAH YANG DIKASIHI.....

Saya sering bermonolog tatkala bersendiri, terutama saat mata terhenti membaca apa-apa berita dan hal ehwal terkini wanita hari ini. Hati disayat pilu melihat tubuh-tubuh Muslimah yang masih banyak dimanipulasi sebagai daya penarik. Tanpa saya menafikan, seringkali keadaan itu beriringan dengan ‘perbalahan’ dari dua sisi di lubuk jiwa yang paling dalam.


Sisi gelap dari syaitan Laknatullah yang membisikkan rasa tidak kisah. Biarkan sahaja...bukankah wanita-wanita itu telah memilih jalan kehidupan mereka? Lalu, mengapa perlu menyibukkan dirimu?


Namun, sisi kedua yang memancarkan cahaya Ilahi berbisik sebaliknya.


Sayangkah saya kepada wanita, apatah lagi muslimah seperti saya…andai tika melihat mereka hanyut dilambung ombak dunia yang bergelora, saya hanya berdiam tanpa usaha?


Kasihkah saya pada keturunan Hawa, jika saat melihat mereka semakin asyik dibuai alunan nafsu, saya hanya diam membatu? Kaku dan bisu.






WANITA DAN ‘TREND’

Sebetulnya, saya tidak mahu terlalu kerap menyentuh tentang wanita dan segala perhiasannya yang indah. Sudah cukup rasanya beberapa peringatan yang tidak seberapa dari saya lewat artikel-artikel sebelum ini. Akan tetapi, sebaik menerima beberapa pertanyaan tentang trend terkini pakaian Muslimah yang semakin menjadi-jadi, saya kembali meniupkan semangat diri untuk saling nasihat menasihati. Pertanyaan tersebut saya ambil dari ruang komentar pada artikel, Tsunami Dosa :


Salam,

Saya nak bertanya pasal wanita. saya ada terlihat kawan saya post : ~ Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat~

Yang pasal sanggul tu betul ke ye? Minta pandangan.


Saya membuka lembaran al Quran untuk mengambil pedoman dan kekuatan. Ayat di bawah ini sungguh menggetarkan jiwa kehambaan bila mengingatkan amaran Ilahi dan Rasul yang dicintai.


Allah SWT berfirman:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُون َكَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : “Orang-orang kafir dari Bani israil telah dilaknat melalui lisan Daud dan Isa, Putera Maryam. Yang demikian itu kerana mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan yang selalu mereka perbuat. Sungguh, sangat buruk apa yang mereka perbuat“. ( Surah Al-Maidah ayat 78-79 )


Ibnu Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, usai membaca ayat tersebut, Baginda bersabda:


“Demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, hendaklahlah kalian menegakan amar ma’ruf dan nahi munkar, membimbing orang yang buruk akalnya dan meluruskanya agar sejajar dengan kebenaran. Jika tidak, sungguh Allah akan melenturkan hati sebahagian kalian atas hati sebahagian yang lain dan akan melaknat kalian sebagai melaknat mereka“.


SEUMPAMA BONGGOL UNTA



Kenyataan yang jelas terpampang di dalam masyarakat kita hari ini, ramai wanita menghambur wang ringgit untuk mendapatkan pakaian yang cantik menawan, perhiasan yang bergemerlapan, bahan-bahan kecantikan, peralatan solek yang berlebihan dan seumpamanya. Golongan ini mudah terikut dengan arus fesyen kontemporari atau perkataan lainnya, trend, tanpa mengambil tahu terlebih dahulu persoalan hukum dan kewajarannya menurut pandangan agama.


Sedangkan jika diperhalusi secara matang dengan berpandukan kebenaran, semua itu tidak banyak menjana atau menambah kemajuan perekonomian sejagat dan tidak pula meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bahkan sebaliknya, ia hanya menambah beban dan tanggungan yang maha berat kepada ummat kerana dilakukan TANPA menurut aturan syari’at.


Kata-kata yang disertakan di dalam pertanyaan di atas, sebenarnya bersumber dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


“ Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri atau anak perempuan mereka ), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula terdapat bonggolan seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”. ( Hadith riwayat Ahmad )


Dan juga sabda Nabi SAW :

صنفان من أهل النار لم أرهما بعد قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رؤسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا

Maksudnya : "Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat kedua-duanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang ( iaitu penguasa yang kejam), (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan bisa masuk syurga, dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim, Babul Libas)

Dari hadis ini, Rasulullah SAW memberi amaran tentang dua golongan yang menghuni neraka, dan salah satu daripadanya ialah wanita yang mendedahkan aurat, mereka berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang dek pakaian yang disarung amat nipis, ketat dan sendat. Masih menampakkan lekuk dan bentuk tubuh. Juga, mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyempurnakan penutupan aurat sebagaimana yang disyari’atkan agama.

Jujurnya, rambut wanita yang disifatkan oleh Junjungan Mulia itu sebagai sebesar punuk unta atau bonggol unta sedang berlaku secara meluas dan digayakan tanpa rasa bersalah. Segalanya bermula dari daya tarik inginkan kecantikan yang ada pada wanita yang mengenakan trend tersebut dalam berpakaian ketika mereka keluar bergelandangan di dalam masyarakat. Walaupun telah mengenakan tutup kepala, tetapi hakikatnya mereka masih ingin mempamerkan keindahan dengan meninggikan ikatan sanggul di kepala. Dikatakan, gaya sedemikian dapat menjadikan pemakainya kelihatan lebih seksi dan menawan.

Lebih malang, bagi wanita yang tidak memiliki rambut panjang, mereka sanggup membeli sanggul tiruan untuk turut serta memeriahkan gaya terkini lagi ranggi itu. Tanpa sedar, dua kesalahan telah mereka lakukan. Dosa memakai rambut palsu, walaupun tersorok di sebalik tudung yang dikenakan; dan kedua, dosa bertabarruj ( berhias dan mempamer kecantikan serta keindahan pada wajah dan tubuh badan kepada yang bukan muhrim ) yang amat dilarang.

Berita tentang itu, boleh dibaca di sini.

Tidakkah timbul rasa gerun dan gentar di hati para Muslimah yang membaca hadis ini bila mana Rasululullah menyatakan golongan yang melakukan dosa seumpama ini sebagai penghuni neraka Allah? Na’uzubillah…


KREATIF SENI

Situasi ini disemarakkan lagi dengan kehadiran pereka-pereka busana Muslimah yang menyatakan mereka mahu membantu Muslimah ( yang perlu menyahut seruan menutup aurat tetapi dalam masa yang sama tetap mampu tampil bergaya, anggun lagi mencuri tumpuan ) untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Sayangnya, mereka tidak menyedari atau mungkin kurang mengerti bahawa rekaan yang dikeluarkan itu tidak selari dengan kehendak Ilahi sebaliknya ia hanya meletakkan martabat ajaran Islam di bawah nama kreativiti seni.

Apabila ada suara-suara berkumandang menegur hasil seni mereka yang tidak sefahaman dengan ajaran murni Islam, mereka mulai rasa tergugat dan membantah menggunakan hujah akal yang banyak diwarnai nafsu kepada dunia.

Dakwa mereka:

“Apa salahnya Muslimah berfesyen arus kontemporari? Bukankah ini lebih bermanfaat untuk menarik lebih ramai orang bukan Islam melihat keindahan Islam yang dipamerkan dari pakaian dan perhiasan. Walaupun Muslimah menutup aurat, bertudung kepala dan mengenakan hijab, tetapi mereka tetap dilihat cantik dan menawan, mengikut arus fesyen semasa, tidak kolot atau jauh ketinggalan.”

“Kami membantu Muslimah untuk lebih yakin diri. Mereka hidup dalam suasana semasa yang mana wanita semakin berada di depan bersama lelaki. Jadi, rekaan sebegini mampu menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan berpersonaliti.”

Ingatlah, jika kreativiti seni dan kehendak manusia dijadikan sebagai satu piawaian atau kerangka nilai, maka akan terjadilah kekacauan dan kepincangan.



BISIKAN IBLIS


Allah SWT menggambarkan orang-orang yang lebih mengutamakan kebenaran logik akal, juga kehendak dan kesukaan manusia ramai daripada kebenaran wahyu adalah identik dengan sifat orang-orang yang lalai dan termakan hasutan syaitan. Firman-Nya :

وَلاَ تَأْكُلُواْ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ


Maksudnya : “Dan janganlah memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya agar mereka membantah kamu; dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik.” ( Surah Al-An’am ayat 121 )


Sifat iblis dan syaitan yang terus menerus diperjuangkannya ialah menyanggah dan menolak kebenaran demi mempertahankan pandangan dan pendirian yang menyalahi ajaran Allah SWT. Justeru, tidak hairan, hakikat yang berlaku ialah bukan ia tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, tetapi karena memang ia tidak mau mengikut dan tunduk pada kebenaran tersebut.


Allah SWT juga mengingatkan :

يَا بَنِي آدَمَ لاَ يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَاتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لاَ تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاء لِلَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ


Maksudnya : “Hai anak Adam! Janganlah kamu sekali-kali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat mereka.” ( Surah Al-A’raf ayat 27 )


ALAT DAN TUJUAN

Saya bukan mahu menafikan fitrah seorang wanita. Juga, jauh sekali dari meletakkan diri saya sebaris dengan orang-orang yang anti kepada fesyen-fesyen terkini. Tidak sama sekali. Kerana jujurnya saya juga punya naluri ingin tampil mempesona. Juga turut tertarik dengan busana yang sungguh indah dan cantik di mata.


Saya akui dan sedar semua wanita mempunyai keinginan itu.


Cuma, saya berhasrat untuk mengajak wanita bergelar Muslimah memahami dan meneliti setiap tindak tanduk mereka. Menggunakan kecerdasan akal yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Esa untuk lebih bijak menggunakan kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka, tidak lebih dari hanya sebuah ‘alat’, bukan tujuan.


Andai betul dan benar bawaan kita dalam menggunakan alat itu, maka besar pula potensi kita mencapai tujuan. Sebaliknya, jika salah bawaan kita, walau sedikit sahaja, maka ‘alat’ itu tidak lagi memberikan manfaat dan KEBAIKAN, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam lipatan. Atau lebih buruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan!


Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj.


Justeru itu, Islam menggesa kaum wanita agar memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarah kaum lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumber dari syaitan. Allah SWT berfirman:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ


Maksudnya : “Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” ( Surah an-Nur ayat 30 )


Kerana itu, perlu saya tegaskan bahawa tujuan seorang wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama suami, menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Tuhan Yang Maha Esa. Dan akhir dari itu semua pastilah demi mencapai kesejahteraan dan keredhaan-Nya.


MUSLIMAH SOLEHAH YANG BEBAS

Saya menemui satu pengakuan tulus dan jujur lewat tulisan seorang wanita Barat bernama R. Stevenson di dalam The Toronto Star bertarikh 23 Januari 2002, berhubung etika pemakaian wanita Islam. Sebagai seorang Muslimah, saya amat terharu membaca kata-katanya itu. Menurut beliau:


“While out for dinner last week with colleagues, we sat beside three 20-something women. There was the usual posing and glances exchange, and as they paid their bill two Muslim women entered and sat nearby. Whispers were quickly exchanged and we could hear, "Why do they wear those things anyway?" ... "I feel sorry for them" ... and so on.


As they filed out of the restaurant with guests, we noticed they spotted a mixed collection of the following: skin tight pants, short skirts, exposed midriffs, push-up bras, high heels, jewelry, see-through or plunging tops, piercings, lipstick and makeup, and one had breast implants for certain.


We observed the two Muslim women as they were engaged in close conversation over coffee. Their graceful features complimented their dark headscarves and warm eyes. Their natural gestures were flirty without even trying - revealing natural beauty. And their clothes, while conservative, brought forth the hidden potential of something wonderful and truly feminine. The idea of dressing modestly terrifies some western women - but why? Perhaps it would trample their "right" to show off. Would their self-esteem fall along with their hemlines?


After some debates, we identified the cost of the western "right" to flaunt. The Muslim women were free from the fashion trap - free to "just be" without posing, comparing, dieting and spending for the approval of men and each other. And they looked more desirable to us than the exhibitionists who were in the restaurant and parading on the sidewalk. The sexual displays in our culture are so mainstream and competitive that modesty is seen as regressive. Yet, long term, when a man looks past the tight pants and heels, he will ultimately detect not confidence, but a certain unattractive desperation. Modest women don't have that desperation - they don't compete in the arena of vanity. They have themselves - and that's the kind of attraction with legs to last the long run.


Remember that the next time you feel sorry for a Muslim woman.”



UNTUK MUSLIMAHKU YANG DIKASIHI…

Akhirnya, wahai Muslimahku….
Insafilah, bahawa ketika ini musuh-musuh Islam begitu memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu, sekaligus sebagai guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu.


Justeru itu, mereka berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap ‘pakaian’ Deen yang benar, mengoyak ‘hayaa’ ( rasa malu ) dari menutupi tubuh badan, fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang ummat, akan turut hancur dan rosak. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan Ummah. Generasi pewaris semakin lemah, maka apa yang akan terjadi pada masa depan umat Islam ? Mungkinkah hanya tinggal sejarah ?


Tidakkah sebak di hati kita membayangkan ummat Islam di zaman Rasul dan salafussoleh, mereka cemerlang dan tinggi di mata dunia kerana meletakkan kebenaran menguasai hawa nafsu. Berbanding kita hari ini…semakin lemah dan diperlekeh kerana nafsu merajai kebenaran sehingga sanggup mengenepikan wahyu dan aturan Tuhan.


Oleh itu, marilah kita bersama-sama, dalam menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu berwahanakan ilmu. Ilmu yang yang diwariskan oleh Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan para ulama yang sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.


Muslimah tercinta…
Kata-kata saya ini bukan baru, namun ia adalah peringatan untuk kita semua. Semoga Allah SWT mengurniakan manfaat yang ada padanya dan mengalirkan kesannya pada hati dan jiwa kita dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan.


Ketahuilah, kita kini umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan carilah apa yang menyenangkan Allah bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak terbanding nilaiannya..


Bahawa kita semua punya harapan untuk Al- Jannah. Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.


Persoalannya : Layakkah kita ? Renungilah bicara puitis ini....






Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

33 comments:

~albazrah~ said...

Assalamualaikum, Terima kasih kak ina entri ini.Kak ina tahu kan elaika tu munajat imam Syafei, detik-detik beliau nazak. Saya beru terbaca minggu lepas.

kakchik said...

Assalamualaikum ina.
Terharu kakchik membaca tulisan ina ni kerana teratur dan jelasnya penyampaian nasihat mengenai pakaian muslimah ni. Kakchik tak mungkin dapat menulis sebaik ini.
Kakchik juga rasa berterima kasih kepada penulis yang membuat observasi di dalam restoran tu.
Terasa betapa ikhlas pnadangan beliau tentang cerminan akhlak muslimah Islam w/pun pakaiannya sederhana.
Terima kasih ina.

p/s: kakchik pun suka nasyid doa imam syafie ni. layout baru blog ina sgt mesra mata :)

Min said...

thanks kak ina... semoga terus menjadi sumber rujukan dan informasi bagi generasi yang ingin mencari kebenaran...

Shahibul Afzan Wahab said...

salam ustazah,
saya sentiasa melawat blog ustazah...seronok mendapat nasihat di sini.kagum dengan muslimah spt ustazah :)

doakan saya ustazah...
afzan uia kuantan

Sakinah said...

Assalamualaikum,

Jika alasannya untuk menarik non Muslim kepada Islam melalui fesyen pakaian dan perhiasan, saya sebagai "mualaf" antara yang meyakinkan saya kebenaran Islam adalah kewajiban wanita menutup aurat. (macam dah beri komen macam ni saja sebelum ni..takpe ya)

Saya dan kawan2 Kristian saya dulu selalu komen (bahasa directnya: menghina) pakaian wanita Islam yang pakai tudung tapi pakai seksi, nipis, ketat dan dedah badan. sebab kami ingatkan (daripada melihat pakaian yg ditunjukkan oleh wanita Islam sendiri) aurat wanita Islam hanyalah rambut semata2. Seorang kakak saya pun dia pernah mahu masuk Islam sebab suka dengan pakaian muslimah yang ditunjukkan seorang guru di sekolahnya tapi sampai sekarang dia tak dapat hidayah Islam itu.

Kalau tak menyusahkan boleh kak beritahu apa yg dimaksudkan "kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid."

Thanks :)

CatlinaFly said...

salam ummu husna,
sy berterima kasih di atas entry yang merungkai segala persoalan sy mengenai sanggul ni.Ada juga kawan yang mempertikaikan bhw tak ape bersaggul, bukan dedahkan rambut.sekarang sy dah jumpe jwpn utk mereka dan sy minta izin utk copy dan paste entry ummu husna ye?sy akan linkkan kepada pemilik asal iaitu ummuhusna...terima kasih...

alrijalnajwa said...

Berada di luar negara di mana menutup aurat dgn cara yg betul kelihatan begitu asing memang memerlukan kita sentiasa bersedia dgn jawapan yg tepat dan menusuk hati org bukan Islam yg bertanya...
Terkadang mereka bertanya mmg ikhlas inginkan penjelasan..tp acap kali juga mereka mahu memberi seolah2 'kesedaran' kepada kita bahawa kita menyiksa diri sendiri dgn tidak mengikut arus fesyen semasa...
Terima kasih atas perkongsian ini...

kak zaa said...

assalamualaikom...
akak selalu dtng menjengah ke sini..
tahniah..
sama sama kita memberi kesedaran kpd diri dan seluruhnya.

akak pn tk tahu rupanya, sanggul ni sengaja dijual utk pemakaian tudung..

mintak2 kita diberi hidayah dan cinta Nya..

terima kasih allah
terima kasih ummu

Ummimusa said...

VERY well said. I wanted to cry reading your heartfelt advice...

p/s kak ina, I have 'separated' my writings into several blogs. If you like, you may add this blog to your reading list: seventythousand.blogspot.com (I invite you to another one)

Ummimusa said...

oh ye, excerpt yg akhir tu mengingatkan najwa pd lagu 'The Veil', nyanyian Dawud Wharnsby Ali, yang menceritakan perihal yg sama

Nisha said...

assalamualaikum semua,
Terpana akak dengan tulisan kali ini, menyebabkan akak terfikir dan berfikir dengan apa yang ingin akak lakukan selepas ini.

Semoga apa yang ingin akak lakukan tidak bercangah dengan kehendak Allah.

Terima kasih ummuHusna, atas peringatan yang betul-betul membuatkan kita berfikir.

Wassalam

...antikapel... said...

salam....

pasal bonggol unta tu, memang tak dinafikan la ni ramai sangat yang meninggikan bonggol unta tersebut...

lagi2 sekarang ni malaysia dibanjiri denga tudung endon yang senang diapakai yakni pakai sarong je.

tapi ia dicemari dengan trend untuk dibutang dibelakang dan sanggul kepala sengaja dinaikkan untuk nampak 'cantik' kata nya. saya memang la tak berapa minat tudung ni.

tak minat sebab mereka yang memakainya meninggikan sanggul mereka....

moga2 kita semua berpeluang mencium syurga dan menjadi penghuninya....:)

satu said...

Salam kak Ina...alhamdulillah...lega di hati saya dapat baca tulisan sebegini dari kak Ina. Saya tahu kak Ina pasti ambil berat akan isu-isu ini. Takpe kak Ina,teruskan menulis tentang aurat wanita kerana ada antara kita di luar sana masih terkeliru mahupun yang tidak pasti tapi melakukannya juga tanpa merujuk pada yang lebih mengetahui.

Saya sedih apabila membaca iklan mengenai sanggul tiruan ini dijual semata-mata khas untuk dibuatnya tinggi-tinggi di atas kepala. Satu muka surat dari majalah keluaran karangkraf; Keluarga keluaran bulan April didedikasikan buat produk ini. Sedih melihat model yang amat jelita memperagakannya sebegitu rupa.

Terima kasih sekali lagi kak Ina atas tulisan ini. Kekadang apabila disentuh ada yang tidak berpuas hati dan mara-marah pula. Tapi itulah hakikatnya. Yang haram tetap haram dan ianya nyata, maka perlu ditegur.

Kak Ina, jadilah sahabat dan cerminan kami ya kak. SEmoga ukhuwwah bertautan atas nama Allah.

-ibunoor-

ummi athirah said...

salam kak ina..entry yg sgt bagus...

cuma saya hairan..telah banyak yang diperkatakan tentang aurat wanita tetapi masih ada yang tidak mengerti.
malah, ada yang mengatakan mereka belum bersedia lagi dan tidak mahu menjadi hipokrit dengan mengenakan tudung tanpa kerelaan/keikhlasan hati mereka. ada juga yang berpakaian labuh menutup punggung tetapi nipis dan ketat menampakkan susuk tubuh.
Mereka mengatakan " bukan semua wanita bertudung /menutup aurat itu baik..dan bukan semua wanita tidak bertudung / tidak menutup aurat itu jahat.."

astaghfirullah...

daughter said...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh.

Saya pun sedih dgn apa yg berlaku skg ni...tma kasih ustazah dgn mengetengahkan perkara yg semakin saya rasa menjadi2 dan semakin disalahertikan oleh wanita Islam itu sendiri. Bertudung rasanye sudah semakin berubah kpd trend, bukan seperti yg Allah mahu dan Rasulullah sampaikan.

kadang2 saya rasa nk beritahu atau tegur pn rasa susah pada mereka,tambah2 lagi ahli keluarga dn teman rapat... hanya Allah yg tahu dalam hati ni, sgt sedih.

Tambahan pula dgn keadaan Miss Usa yg dimenangi oleh seorang wanita Islam, ada diantara mereka merasa amat bangga. Frankly, i'm not proud at all and i'm sad and i'm scared. Kesukaan manusia tetapi menjadi kemurkaan dan kebencian Allah.

Saya harap Ustazah tetap akan meneruskan perjuangan suci ini dan terus membimbing kami yg kurang ilmu ini, termasuk saya. Semoga semuanya dijalan yg Allah redhai, insyaAllah.

syanashwa said...

salam kak ina..

kak ina berjaya mngaitkan impak besar kepada generasi akn dtg serta masa depan ummah..
..hanya melalui penutupan aurat yang sempurna oleh seorang muslimah..!

masya Allah..

Ummie said...

salam kak ina dan bloggers. Byk sekali info tentang sanggul unta ini. terima kasih kak ina kerana baru sekarang sue tahu tentang sanggul ini. alhamdulilllah, kerana diri ini tidak terjebak dengan permainan fesyen muslimah yang semakin jauh menyimpang dari landasan syariat..

UmmuFarhan said...

Salam,

Kak Ina, teruskan perjuangan dalam memartabatkan wanita islam.

ANIEMZ said...

Salam.. kak ina, maaf komen ni lari dari topik.. saye cuba cari emel kak ina dalam ni, tapi tak der.. saye ade kemuyskilan sikit pasal satu laman web ni..

Laman web ni dia bayar kat kite bile kite jawab soalan2 survey yang dia dah bagi tu.. tiada pelaburan apa pun.. just sign up free n complete the survey.. after complete tu, dia bayar kat kite.. setiap survey dah ditetapkan harga bayaran tu..

Saya dah cuba bukak laman web ustaz zaharudin, nak cari pasal ni.. tapi tak der pun keterangan pasal hukum dapat duit melalui sign up n jawab survey..

Harap sgt kak ina dpt bantu sebab saya nakkan rezeki yang halal untuk family saya.. semoga ALLAH merahmati keluarga kak ina.. amiin.. mekasih byk2 n mintak maaf sbb panjang komen ni..

Adamtenang said...

Salam kak ina, saya ada kawan wanita yang saya lihat baik pada keluarganya, tingkah laku nya, dan menjaga diri nya. Mungkin atas faktor persekitaran tempat belajar dan kerja nya yang menyebabkan dia belum menutup aurat sepenuhnya. Saya kurang pasti. Setelah berkawan beberapa lama saya lihat dia boleh dididik & dibimbing ke arah yang lebih baik kerana saya lihat ada keinginan dlm dirinya utk membaiki dirinya.

Bagaimana mungkin caranya utk saya membimbing dia utk menutup aurat dgn sempurna? Kerana saya sendiri pun faham bkn mudah utk melakukan perkara ini tanpa menyinggung perasaan dia.

Mungkin pembaca2 yang lain juga bole membantu?

Ummuzulfa said...

Astaghafirullahal 'azim...

dimanakah AYAH, ABANG, ADIK LELAKI, PAK SAUDARA, SUAMI, ATOK DAN SEMUA KAUM LELAKI kepada perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna ini.

Bukankah mereka juga perlu dipertanggungjawabkan?

Sememangnya dosa si pembuat yang akan menanggungnya namun pertanggungjawaban masih boleh diletakkan di bahu kaum lelaki mereka.

Justeru, pendidikan anak-anak lelaki juga dilihat semula.

allahu'alam

cilipadi said...

'a certain unattractive desperation'.....saya suka frasa ini....bukankah ia juga menggambarkan sesetengah wanita di malaysia kini.Agaknya macamana nak menangani fenomena ini...back to pelajaran tauhid kut.

jnt said...

assalamualaikum ustazah..

saya selalu ziarah blog ummuhusna namun x penah mngglkn jejak. sy adlh insan yg masih cuba mmperbaiki diri utk kearah yg lebih baik namun sy x mmpu nk menasihati org2 di keliling saya yg masih leka soal aurat. ustazah..kuatkah sy utk menasihati org lain sdangkn diri masih belum sempurna. entri ustzah slalunya mmbuka mata & hati sy. trima kasih atas ilmu ini.

Nurul Huda said...

Salam...Saudara Faisal Tehrani ada mengupas isu berpakaian ni dengan cara yang lebih santasi dalam karyanya "Manikam Kalbu". Karya ni sangat sesuai untuk dibaca terutama oleh golongan remaja. Isu berpakaian mengikut agama dan adat dikupas dengan mendalam tapi cukup santai hingga tak rasa terbeban nak menghadam isinya.

Nurul Huda said...

ops.. santai ye bukan santasi...typo. Maaf.

Lady CT said...

salam, betul jugak bagai yg difikirkan oleh wanita Barat tu... kesimpulan yg dapat saya fikirkan... diri kita bebas dari menjadi mangsa fesyen... kita wanita Islam punya jati diri yang kuat kiranya tidak menjadi mangsa fesyen. FREEDOM! :)

qaseh mas said...

salam ummu Husna

Jazakillah atas cara penulisan yang baik dan tazkirah ini.U.Mas pun tak reti nak menulis seumpama ini.straigt to the point tapi berhimah.

Teruskan menulis,Ummu Husna.Tahniah.Layout rumah baru akak pun nampak mesra mata macam Kak Chik tulis..

HasneY said...

salam kak, izinkan sekali lagi saya kongsi coretan akak di blog saya..nanti saya masukkan link akak yer..Alhamduillahjakillahhukhiro.

Mawar said...

salam... saya baru jumpa blog akak ni... saya sukakan tulisan akak... ikhlas sebenarnya saya mencari cinta Ilahi... terima kasih diatas segala peringatan dan tulisan akak...

lilyRizana said...

Assalamualaikum,ustazah...inginkan pandangan dari ustazah....Saya seorang muslimah... Apabila saya keluar dari rumah, saya akan memakai jijbab a.k.a jubah, contoh ke tempat kerja, shopping, belajar dan segala aktiviti segalanya berjubah. Bab tudung pula, saya tidak memakai tudung labuh dan kadangkala, saya akan memakai selendang, tetapi saya akan pastikan ia sesuai dgn syarak iaitu menutupi dada dan saya juga selalu mengenakan celak...saya ingin memohon pandangan ustazah, adakah penampilan saya mengikut syarie...jzkk

nor aznah said...

mohon izin copy & paste artikel ni... alhamdulillah sgt bermanfaat dn peringatan buat diri yg sering alpa

nor aznah said...

mohon izin copy & paste artikel ni... alhamdulillah sgt bermanfaat dn peringatan buat diri yg sering alpa

zeera said...

salam ummu husna,
alhamudulillah kerana telah menghuraikan isu ini dengan baik sekali. kak zira memang rungsing dgn perkembangan yg tak sihat ini lebih2 lg bila ada syarikat pakaian muslimah giat mempromosikan apa yg dinamakan sanggul Arab ini di akhbar dan majalah. Mohon ummuhusna email artikel ini ke sykt berkenaan.sekian, terima kasih wassalam.