Di ulangtahun ke-25 ini


Alhamdulillah thumma alhamdulillah, Ma shaa Allah Tabaarakallah 🥰, 25 tahun sudah mengharungi kehidupan bersama. Usah ditanya bagaimana perjalanan melaluinya kerana saya yakin setiap kita punya cerita masing-masing; cabaran, ujian, kesedihan, kegembiraan dan lain-lain. 

Hanya sahaja, sebagai renungan di ulangtahun ke-25 pernikahan Disember ini, saya suka untuk berkongsi beberapa sudut pandang yang pastinya sudah dimaklumi ramai, namun semoga ia menjadi ulangan peringatan buat kita bersama 😘 :

❤️Beroleh seorang teman yang dipanggil isteri/suami dalam meniti kehidupan ini merupakan satu kurnia yang besar apatah lagi ia dimulai dengan lafaz yang Allah SWT sendiri sebutkan sebagai ‘mithaqan ghalizo’ (ikatan yang teguh); justeru, seringlah bertanya kepada diri, apa yang boleh saya usahakan bagi melestarikan kurnia ini hari ke hari.


❤️Perkahwinan adalah sesuatu yang sukar, kerana itu ia memerlukan komitmen daripada dua pihak umtuk menjayakannya. Bertepuk sebelah tangan, hanya angin yang sudi menyambut namun tiada kemeriahan bunyi yang akan memecah sepi suasana. Oleh itu, sentiasalah belajar untuk mengambil peduli antara satu sama lain serta bajailah kekuatan jiwa untuk terus melakukannya walau hati sesekali terluka kerana disakiti.


❤️Ubahlah diri ke arah yang lebih baik untuk sentiasa melindungi ikatan yang terjalin kerana kawalan kita adalah pada diri sendiri bukan pada orang lain (pasangan). Berharap pada orang selalu mengecewakan tapi bermuhasabah ke atas diri dan terus berbuat kebaikan akan sering meletakkan diri di depan, walau setapak dan perlahan, ia tetap satu keberhasilan. Percayalah, ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa tidak pernah lalai menyaksikan.


❤️Kebahagiaan dalam pernikahan hanya akan didapatkan oleh pasangan suami isteri itu apabila mereka menjaga keberkahan padanya. Bagaimana? Dengan memelihara aib sesama mereka dari diumbar ke pengetahuan orang lain/umum. Saling menutup kekurangan satu sama lain sebagai kekuatan dan bahan evaluasi bersama, bukan untuk dikongsi dengan khalayak yang tidak mengerti apa-apa. Lantaran, bahagia bukan tujuan utama pernikahan, bahkan ia adalah ibadah kepada Allah SWT.


Berkah itu ‘ziyaadatul khair fi kulli hal’, maka semaklah setiap sudut perhubungan. Kian akrab suami dan isteri kepada Yang Maha Kuasa, maka semakin kuat ikatan sesama mereka saat berhadapan apapun di kehidupan; lapang sempitnya, susah senangnya..semua dijalani dalam rangka ibadah yang mudah-mudahan membuahkan barakah.


Ibadah > barakah > bahagia in shaa Allah 🥰

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. 

🌹ummuhusna99 🌹


Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA